Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 14 November 2002 0 komen

Hari ini dengan rasminya aku mematikan sultanmuzaffar. sultanmuzaffar akan dikuburkan setelah aku merasakan tiada kejujuran dalam setiap penulisan aku. Dia tidak akan dihidupkan semula dan sultanmuzaffar juga perlu dimatikan. Jangan fikir akan wujudnya proses kehidupan semula setelah kematian. Aku mengambil langkah ini setelah mengambil kira perasaan kedua ibu-bapa aku. Aku sayangkan mereka. Anda semua masih boleh personal email kepada saya atau pun terus memeriahkan tag-board yang ada.

selamat tinggal

Entri oleh sultanmuzaffar 13 November 2002 0 komen

Baru-baru ini aku ada hantar artikel ke satu magazine, Siasah. Tajuk artikel itu Weblog Menjerit. Aku karang dan edit dari satu artikel yang keluar dekat PC.com dan juga terjemahan oleh Ghazali Bunari. Artikel ini ada dua bahagian.

Weblog Menjerit 1 (Bahagian Satu)
Oleh Sultanmuzaffar


E-niaga bukan hanya merujuk kepada perdagangan dan perhubungan yang melibatkan transaksi antara penjual dan pembeli. Rangkumannya meliputi juga sistem penyampaian maklumat. Globalisasi atau persejagatan telah menjadikan sistem maklumat lebih meriah.

Salah satu kaedah yang mula mendapat tempat, sungguhpun baru di negara ini ialah weblog. Apakah itu weblog dan bagaimanakah ia merubah budaya masyarakat sekarang terutama golongan muda-muda masa kini? Siasah memaparkan isu-isu yang berkaitan dengan weblog dan lihatlah bagaimana kuatnya pengaruh tersebut terhadap budaya kita.

Bahagian satu rencana ini akan memaparkan tiga isu; meraikan ego, anti-perkelompokan dan pemusnahan kekecewaan, manakala bahagian kedua Weblog Menjerit! Akan menyentuh perihal Keperluan Kemasyarakatan untuk Berkongsi, Bercita Menjadi Penulis dan Aplikasi Mesra Penulis.

Weblog mampu ‘menjerit’ dalam dunia tanpa sempadan ini. Weblog merupakan satu medium penyuaraan rasa hati untuk ia didengari ke seluruh pelusuk alam. Generasi baru mahu menjadi pelakon utama, maka memainkan peranan yang aktif dan bukannya sekadar penonton yang pasif dalam perubahan masyarakat (Ding, 2000). Blogger (http://www.blogger.com), merupakan salah satu syarikat penyedia alat untuk penerbitan di web kini menjadi kegilaan di kalangan remaja yang inginkan jeritan mereka didengar. Dalam satu kertas kerja yang bertajuk Weblog: Kuasa Menerbit Di Hujung Jari oleh Ghazali Bunari menjelaskan definisi weblog dan justifikasi mengapa weblog menjadi medium penulisan generasi baru. Kandungan weblog akan sentiasa segar kerana sering dikemaskinikan oleh editornya pada bila-bila masa. Kandungannya disusun mengikut kronologi. Kandungan weblog boleh berbentuk multimedia merangkumi teks, imej, audio, video dan pautan. Ciri yang utama terdapat pada satu weblog ialah catatan editornya dan buku lawatan untuk pembaca berinteraksi dengan editornya.

Di Malaysia khususnya, terdapat satu komuniti yang menggelarkan diri mereka Geng Jurnal (http://www.gengjurnal.net). Mereka terdiri daripada pelbagai latarbelakang, polar umur, tahap pendidikan, sosio-ekonomi, bangsa juga pemilihan seksual. Inilah suara hati generasi baru yang hidup dalam dunia globalisasi. Weblog-weblog mereka menjerit meraih perhatian. Setakat artikel ini ditulis, seramai 280 ahli berdaftar. Malaysia BolehBlog juga merupakan salah satu gerbang weblog muda-mudi Malaysia. (http://rantglass.insatiably.net/ring/index.html). Tetapi dalam banyak-banyak weblog yang ada, Kari Kambing (http://geocities.com/kari_kambing/main/) tetap merupakan himpunan weblog yang saya fikirkan terbaik.

Apakah yang merangsang seseorang itu menulis weblog? Dvorak (2000), seorang penulis untuk majalah Web, PC.com, menyenaraikan 5 justifikasi mengapa seseorang itu menerbitkan weblog. Ghazali Bunari, seorang pensyarah di Jabatan Bahasa Moden, Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, UTM pula menyenaraikan 7 justifikasi, termasuk yang dicadangkan oleh Dvorak, yang menjadi pemangkin kepada penerbitan weblog.

1. Meraikan Ego
Ada penulis weblog yang memerlukan perhatian. Lebih banyak perhatian berjaya dikumpul, lebih tinggi kepuasan dirasakannya. Weblog sebagai alat perantara melalui komputer yang memudahkan bagi seseorang mengenengahkan pendapatnya dengan berani. Komunikasi dengan menggunakan Web dapat mengurangkan gangguan komunikasi yang berbentuk tidak verbal seperti yang terdapat di dalam komunikasi bersemuka. Mesej yang disampaikan bergantung penuh keberkesanannya pada cara teks tersebut ditulis dan bukan lagi pada isyarat fizikal seperti cara berdiri, bersuara, dan berpakaian. Mereka mengunakan weblog sebagai pentas mengumpul khalayak pembaca mengkuti ide mereka. Setiap komen dan peningkatan angka pada pembilang pelawat (hit counter) ditafsirkan sebagai maklumbalas pembaca yang memberi perhatian kepada apa yang hendak diketengahkan oleh penulis itu sendiri. Di dalam Gerbang Geng Jurnal (http://www.gengjurnal.net) sendiri terdapat beberapa weblog yang dianggap berkelas elit berdasarkan dengan gaya penulisan editornya. Sebagai contoh, weblog Mat Jan (http://syafizan.diaryland.com), seorang pelajar IPTA tempatan, menulis dengan laras humor mengenai aktiviti-aktiviti yang beliau lalui sebagai pelajar jurusan undang-undang. Berikut adalah petikan weblog Mat Jan pada 11 September 2002,

“Laman yang anda cari tidak aktif buat masa ini. Laman ini mungkin mengalami masalah teknikal, atau pemiliknya sedang sibuk menghadapi peperiksaan akhir semester.

Sha dapat 55%. Owin dapat 60%. AKU DAPAT 75%.

Aku sungguh gembira hari ini sebab assignment CYBER LAW aku dapat markah 75%. Kalau ikut gred kira A- lah.

Wahhh, hebatnya aku ;รพ~

"Buat last minutes pun boleh dapat 75?" kata Sha dengan nada jealous.

Well, orang terror, hahaha!”


Nada weblog ini menjerit riang dalam nada humor dan adakalanya mampu membuatkan pembacanya tersenyum. Itulah Mat Jan. Kritikan dan penulisannya bersifat sindiran tajam yang menggeletek hati pembaca. Semasa beliau berkempen untuk kerusi Majlis Pewakilan Pelajar, beliau telah meletakkan poster-poster lucu kempen di weblog beliau. Beliau telah memenangi pilihanraya tersebut.

2. Anti Perkelompokan
Manusia mempunyai kecenderungan untuk melabel orang lain dalam kategori-kategori tertentu. Contohnya, seorang gay akan dilihat sebagai golongan yang lembut, tidak bermoral, tidak berpendidikan tinggi, tiada pegangan agama yang kukuh serta tidak mempunyai pekerjaan yang sempurna. Jika kita melihat weblog seorang penulis gay ini, tanggapan umum akan pasti berbeza apabila melihatkan dunianya yang jauh lebih sempurna. Pendiriannya juga tetap dan dari weblognya orang lain boleh mendapat maklumat-maklumat yang selama ini tidak diketahui atau diambil endah oleh orang lain. Sekaligus membuktikan bahawa golongan ini ialah golongan yang berperasaan. Sama seperti orang lain. Inilah yang dapat digarap jika kita membaca weblog Nizam Zakaria (http://nizamzakaria.blogspot.com) seorang penulis yang menerapkan unsur homoerotik dalam setiap karya-karyanya pada 26 Februari 2002,
“Semalam aku belek lagi gambar-gambar lama aku. Kemudian aku terjumpa kad lama yang pernah aku tulis kepada adik dahulu. Kad itu bertarikh 13/10/99. Pada masa itu aku telah menyayanginya tanpa pernah berjumpa dengannya. Kerana pada masa itu aku masih lagi menuntut di AS.
Di dalam surat itu aku telah mengingatkannya betapa aku semakin menyayanginya dan aku mahu dia menerima aku seadanya. Dan sebagai balasannya, aku akan menyayanginya tanpa berbelah bagi.
Semalam aku sedar bagaimana dia tidak pernah menepati segala janjinya itu. Air mata aku meleleh lagi memikirkan tentang masa lampauku dahulu.
Jadi dalam kesepian aku, aku pergi menelefon Nizam. Dia suruh aku lupakan Adik sama sekali. Dia suruh aku buang segala gambar-gambar serta surat-surat lama Adik. Tapi aku tak sanggup melakukannya. Aku mahu menyimpannya untuk mengingatkan diriku tentang Adik. Kerana aku tahu, jauh di dalam jiwaku, banyak memori manis aku bersamanya yang masih lagi mahu aku simpan. Semuanya akan terus aku simpan sampai bila-bila.
Lagipun. Rama-ramanya telah lama meninggalkannya.
Aku mahu terus simpan memori rama-ramaku ini di di dalam jiwaku yang lara ini...”

3. Pemusnahan Kekecewaan
Hidup memang selalu akan dihimpit masalah dan juga adakalanya masalah yang ditanggung terlalu berat. Dengan menulis weblog tidak banyak sedikit, masalah yang berat itu menjadi ringan sedikit setelah dikongsi di dalam weblog. Penderitaan yang ditanggung akan menjadi ringan sedikit setelah berkongsi. Kata-kata perangsang dari pembaca dapat sedikit sebanyak menenangkan fikiran dan menghilangkan kerunsingan. Weblog dapat menjadi medium dan alat rawatan jiwa serta menaikkan semula semangat yang hilang. Weblog saudara Rudy (http://www.bluehikari.com), kerap juga mengingatkan pembacanya akan kekuasaan Allah serta perlunya sifat tawakkal dalam setiap manusia. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pada 11 Mei 2002, beliau menulis,

“Seperti orang lumpuh yang optimis satu hari nanti dia akan boleh berjalan kembali. Seperti orang yang mandul yang optimis satu hari nanti dia akan dianugerahkan zuriat oleh Allah. Segala-galanya mungkin. Ia tidak mustahil jika Allah memperkenankan segala permintaan hambanya yang berikhtiar dan berdoa kepadaNYA. Bertawakkal dan SABAR sehingga detik waktu Allah bebaskan penderitaan!”

Weblog Rudy pula seakan-akan sebahagian dari rawatan kepada penyakit yang dirasainya. Pembacanya banyak memberi kata semangat untuk beliau terus tabah menghadapi kehidupan. Kehidupan Rudy yang terumbang-ambing dengan kerja yang tidak tetap juga turut memberi kesan kepada penyakitnya. Kini Rudy telah selesa dengan kerja baru yang pasti memenatkannya.

Weblog sultanmuzaffar (http://sultanmuzaffar.blogspot.com) merupakan satu weblog yang cuba lari dari permasalahan biasa dalam masyarakat. Hidup dalam dunia ini tidak menjadikan dia seorang yang pengecut untuk berhadapan dengan kenyataan. Di dalam weblog ini juga diceritakan dari hari ke sehari tentang bebanan kerja yang menimbun ditambah pula dengan masalah perhubungannya. Kekecewaan dalam bekerja dan kekecewaannya terhadap kerajaan diperincikan secara jujur dalam weblog beliau. Lebih banyak kekecewaan di dalam weblog ini. Pembacanya banyak memberi nasihat di dalam buku lawatan dan juga terus ke email beliau. Sultanmuzaffar sebenarnya cuba untuk berkongsi dengan pembacanya akan masalah yang ditanggungnya agar dapat meringankan sedikit bebannya.


Rujukan

Dvorak, John C. [Online]. (2002, February 5). ‘The Blog Phenomenon.’ Pada: http://www.pcmag.com/article2/0,4149,12899,00.asp [15/09/2002]
Wan Sabariah Shikh Ali. (2002) ‘Jurnal Pnline Papar Kreativiti Muda-mudi Melayu, Ruang Siber.’ Jelita. Februari.p.128
Ghazali Bunari. (2002) ‘Weblog: Kuasa Menerbit Di Hujung Jari.’ Pada: http://geocities.com/kari_kambing/weblog/ [13/09/2002]

Entri oleh sultanmuzaffar 07 November 2002 0 komen

11K-Coronary Risk Studies
Total Cholesterol 2.6 RR<5.2
HDL Cholesterol 0.79 L RR>0.90
LDL Cholesterol 1.4 RR<3.9
Triglycerides 0.9 RR<2.3
Total/HDL Ratio 3.3 RR<5.8

Cholesterol ada banyak jenis, ada yang baik ada yang jahat. Cholesterol yang ada dalam badan aku rendah, cuma 2.6. Cholesterol baik yang ada dalam badan aku ialah 0.79 juga rendah. Doktor menasihatkan aku supaya banyakkan bersenam untuk meninggikan kadarnya sehingga melebihi paras 0.90. Kandungan cholesterol jahat dalam badan aku juga rendah.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger