Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 17 January 2003

Saya berpeluang menonton Ada Apa Dengan Cinta (A2DC) semalam, sebuah filem yang menjadi kegilaan remaja Indonesia. Teratur arahannya, menarik jalan ceritanya, suntingannya kemas dan sinematografinya mampu berbicara dengan sendiri. Itulah kelebihan yang ada dalam filem ini. Filem ini bakal mengembalikan mengangkat martabat kegemilangan filem Indonesia satu ketika dahulu.

Saya benar-benar kagum dengan filem ini. Sebuah filem yang ringan tetapi berjaya membuatkan saya terpaku pada kerusi menontonnya sehingga habis. Saya memang menggemari filem-filem Melayu(filem-filem Melayu yang berkualiti sahaja). Jika ada waktu terluang pasti saya akan menonton. Filem-filem arahan pengarah ternama Malaysia seperti Datuk Rahim Razali(sudah terlalu lama beliau tidak mengarah filem), Aziz M. Osman dan beberapa pengarah filem yang lain. Saya tidak perlu menghabiskan wang untuk menonton filem-filem picisan pengarah jutawan Datuk Yusof Haslam. Saya hanya perlu bersabar sewaktu bulan puasa kerana pastinya filem beliau akan ditayangkan sewaktu perayaan Hari Raya. Percuma !

Ada Apa Dengan Cinta begitu memberi kesan kepada saya. Lihat bagaimana utuhnya persahabatan Cinta dan rakan-rakannya mengingatkan aku kepada shabat-sahabat aku. Pengorbanan dan penderhakaan Cinta terhadap Alya dilayarkan dengan begitu menarik dan berkesan. Sewaktu panggilan telefon dari Alya yang sedang menghadapi masalah dan ingin bertemu Cinta, saya benar-benar mengharapkan agar Cinta membatalkan niatnya untuk bertemu Rangga. Walaupun apa yang saya impikan itu tidak terjadi ! Itukah sahabat kata saya ! Ya, manusia adakalanya membuat kesilapan dan acapkali kesilapan itu tidak dapat dimaafkan. Cinta bertuah kerana Alya tidak mati dan mempunyai kesempatan untuk memohon maaf. Kadangkala dalam persahabatan kita keliru untuk membezakan prioritinya. Siapa yang harus didahulukan atau dikemudiankan ? Mungkin wajar bagi Cinta untuk mendahulukan Rangga dan mungkin juga bagi Cinta untuk membelakangkan Rangga. Itu yang dilakukan sebagai protes kesilapannya terhadap Alya. Adakah itu jalan yang terbaik ? Persahabatan ada batasnya. Saya semakin sedar.

Setiap saat dalam filem ini adalah permata. Watak walau sekecil mana sekalipun tetap memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan mood filem ini. Persis watak Mamet (pemuda nerd yang sering menjadi bahan buli 5 sahabat Cinta), pemuda rambut afro dan Pak Wardiman tetap penting. Watak yang paling mengesankan pada saya tentunya watak Alya, gadis yang menjadi mangsa keruntuhan keluarga. Wajahnya mampu berkata-kata dengan sendiri dalam mengekspresikan jiwanya yang kocak.

Bahasa yang digunakan dalam filem ini terlalu pekat Indonesianya. Jika tanpa subtitle agak sukar untuk memahami dialog filem ini. Tetapi bukankah rakyat Malaysia terlalu mengagungkan karya-karya asing ?

Filem ringan seperti ini mampu mendidik remaja menghargai erti sebuah persahabatan. Saya beri 4.5 bintang untuk filem Ada Apa Dengan Cinta. Saya termasuk dalam masyarakat Malaysia yang terlalu mengagungkan karya-karya asing.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger