Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 21 July 2003

Salah Penonton Atau Salah Infrastruktur Sistem SMS ?

Kedudukan sebelum Konsert VI
Vince 14%
Nana 13%
Khai 12%
Rosma 12%
Nija 12%
Azizi 12%
Sahri 12%
Liza 11%

Giliran Persembahan
Liza (3/5 bintang)
Khai (3/5 bintang)
Nana (2.5/5 bintang)
Sahri (4/5 bintang)
Nija (3/5 bintang)
Vince (4.5/5 bintang)
Rosma (4/5 bintang)
Azizi (3.5/5 bintang)

Kedudukan selepas Konsert VI
Sahri 16%
Liza 14%
Vince 13%
Nija 12%
Khai 12%
Azizi 11%
Nana 11%
Rosma 11%

Hasil daripada keputusan di atas, saya boleh membuat kesimpulan bahawa giliran persembahan yang telah menyebabkan Rosma tersingkir. Oleh kerana sistem SMS yang tidak dapat berfungsi dengan baik dan juga trafik yang masuk dengan menggila telah menyebabkan undian untuk Rosma tidak dapat dikira. Penggunaan teknologi adalah baik dan wajar saya puji, tetapi perlaksaannya harus memberi kesan dan realiti yang sebenar.

Aznil Nawawi, mewakili ASTRO terang-terang menudingkan jarinya penonton Sabtu lalu sewaktu siaran langsung Konsert 6 di Dewan Percubaan UPM tanpa sedar empat lagi jari menuding ke arah dirinya sendiri. Penonton telah pun mengundi dengan baik untuk Rosma tetapi sistem SMS yang tidak cekap telah menyebabkan Rosma menjadi mangsa. Saya amat berharap sesuatu dapat dilakukan untuk meningkatkan kecekapan sistem SMS tersebut. Sistem server terkini perlu digunakan kerana trafik yang diterima terlalu menggila sama seperti barisan panjang yang telah bermula seawal jam 4 petang hanya untuk masuk menonton Siaran Langsung Konsert Akademi Fantasia.

Saya pernah mengemukakan perkara yang sama sewaktu Konsert IV bila mana Sahri yang membawakan lagu Tekad dengan begitu cemerlang tetapi menjadi peserta yang terakhir membuat persembahan telah menyebabkan undian untuk beliau hanya 10% dan berada di tempat ketujuh.

Ada beberapa pengundi yang hanya menerima pengesahan undian setelah jam 3 pagi. Pada waktu tersebut SMS air mata darah sekalipun sudah tiada gunanya. Rosma akan tetap meninggalkan Akademi. Jadi, di mana adilnya sistem ini ? Sistem ini sudah jelas ketidakadilannya, di tambah dengan ketidakcekapan sistem akan menyebabkan kredibiliti rancangan ini hilang tanpa dapat dikembalikan. Itukah yang pihak ASTRO inginkan ?

Saya bagi pihak penggemar Akademi Fantasia merayu agar kecekapan sistem SMS dinilai semula. Sistem tersebut memerlukan sedikit perbelanjaan untuk memperkukuhkan infrastrukturnya demi masa depan industri huburan tanahair.



AKADEMI FANTASIA – BIJAKKAH KITA DALAM MEMILIH?

Dalam kesibukan rakyat Malaysia diselubungi pelbagai isu semasa, tidak ketinggalan kita semua dihidangkan dengan menu hiburan terkini untuk minda kita bersantai. Antara rancangan hiburan yang begitu hangat dan riuh diperkatakan untuk beberapa minggu kebelakangan ini adalah rancangan Akademi Fantasia (AK) di saluran Astro.

AK memilih 12 peserta (lelaki dan perempuan), ‘dikurung’ untuk dibentuk menjadi bintang seni suara satu hari nanti. Semasa mereka di akademi tersebut, mereka diajar pelbagai teknik berkenaan vokal, drama, gerak-tari dan lain-lain. Setiap hujung minggu, mereka akan mengadakan konsert (setiap Sabtu, 8:30 malam), di mana ia akan menentukan masa hadapan seseorang peserta – untuk terus berada di AK atau disingkirkan. Kedudukan peserta ditentukan oleh undian melalui pesanan ringkas telefon bimbit (SMS) dari para penonton siaran itu. Vokal dan persembahan mereka diuji semasa konsert mingguan itu dan peserta yang mendapat undian terendah di akhir konsert, terpaksa meninggalkan akademi dan rakan-rakan peserta lain, dan ‘terkuburlah’ hasrat untuk menjadi 5 peserta terakhir (terbaik) yang bakal berentap untuk dinobatkan sebagai penghibur sebenar.

Apa yang menarik untuk dibicarakan ialah, sistem pengundian yang dilakukan melalui SMS. Lupakan sejenak tentang pulangan yang diperolehi oleh penganjur melalui setiap unit SMS yang dihantar, kerana ia sudah semestinya begitu lumayan. Apa yang patut kita teliti adalah, bagaimana peserta yang sepatutnya sudah terkeluar tetapi masih berada di dalam kumpulan itu untuk berminggu-minggu lamanya, dan ada pula peserta yang begitu berbakat besar menjadi ‘mangsa undian’ SMS, dan terpaksa meninggalkan AK.

Berbalik kepada peserta-peserta yang ada, antara kelompok peserta yang dianggap favorit (berdasarkan vokal, persembahan dan personaliti) untuk melangkah ke peringkat akhir adalah Rosma, Azizi, Sahri, Vince, Nija dan Khai. Apa yang berlaku Sabtu lepas (19 Julai 2003), amat memeranjatkan semua pihak di mana Rosma yang bersuara lunak, bagus dan hebat, berbakat serta berpersonaliti, telah tersingkir keluar. Lantas, ini memusnahkan harapannya untuk ke peringkat akhir dan mungkin bergelar juara. Sedangkan, tidak keterlaluan jika saya katakan, peserta yang kurang berbakat (vokal) seperti Liza dan Nana, masih terus di dalam kelompok ‘bertuah’ untuk mara ke minggu seterusnya. Di mana silapnya?

(Surat ini mahu disiarkan ke laman Forum Utusan, tetapi telah dihantar kepada saya agar diterbitkan ringkasannya di sini - SM)

Sila ke laman Nizam Zakaria untuk membaca seluruh kandungan surat tersebut sekiranya ia tidak disiarkan di akhbar Utusan Malaysia.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger