Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 13 October 2003

Di Mana Bulan Selalu RetakAnugerah ERA 2003

Anugerah ERA yang berlangsung Sabtu lepas di Arena Of Stars Genting Highland telah berlangsung dalam suasana yang meriah bertemakan retro 70-an. Retro 70-an berjaya

Persembahan pembukaan tirai oleh Nash yang bertajuk The Revival mendendangkan lagu Dendangan Laguku dan Dengarlah yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Carefree. Turut sama menghangatkkan persembahan pembukaan itu ialah duet bersama penyampai ERA Khairil yang turut bermain gitar. Hebatnya persembahan tersebut kerana ia diiringi oleh legenda rock Malaysia seperti Man Kidal, Along, Ujang sekadar menyebut beberapa nama besar dalam industri muzik tempatan.

Vokal Lelaki Pilihan

Seperti yang dijangka Anuar Zain terpilih untuk memenangi anugerah tersebut yang disampaikan oleh Najman dan tiga Puteri ERA Felisa.

Persembahan diteruskan dengan lagu Sandarkan Pada Kenangan yang didendangkan oleh Raja Pop Jamal Abdillah dan Sarah Raisuddin. Kesilapan Jamal Abdillah yang sering terlupa lirik menghancurkan persembahan ini. Nama Jamal sudah sinonim dengan lagu ini dan kesilapan terlupa lirik tidak wajar diulangi oleh beliau.

Vokal Duo Berkumpulan Pilihan
Kemenangan anugerah ini berpihak kepada pasangan sensasi Jamal Abdillah dan Sarah Raisuddin yang popular dengan lagu yang menjadi lagu tema filem Azura walaupun saya mengharapkan kemenangan berpihak kepada kumpulan Too Phat.

Persembahan Chakrasonic mendendangkan lagu Feel This agak unik kerana menyelitkan unsur rap dalam bahasa Tamil. Reshmonu membawakan lagu Cintaku Pergi juga biasa sahaja.

Lagu Etnik Pilihan
Anugerah yang disampaikan oleh Faizal Ismail, Nina dari Teh Tarik Crew dan Johan Akademi Fantasia, Vince dimenangi oleh Siti Nurhaliza melalui lagu Badarsila.

Persembahan May yang membawakan lagu Sinar banyak dirosakkan oleh mutu vokal penyanyi kumpulan tersebut.

Artis Harapan Pilihan
Kemenangan Misha Omar memang mengejutkan banyak pihak termasuk beliau sendiri. Ramai yang tidak menyangka beliau akan memenangi anugerah tersebut yang rata-rata memilih Sarah Raisuddin yang akan pulang membawa anugerah tersebut berdasarkan anugerah terdahulu yang pernah beliau menangi di Anugerah Planet Muzik dan juga Anugerah Industri Muzik.

Persembahan Jai menerusi lagu Kasih juga tiada keistimewaan melainkan lagu yang didendangkan sesuai dengan tema Retro 70-an.
Muzik Video Pilihan
Sekali lagi menyaksikan penguasaan Siti Nurhaliza melalui muzik video Bukan Cinta Biasa. Dan sekali lagi kita rakyat Malaysia menghargai hasil kerja orang luar sama seperti tahun-tahun lepas.

Persembahan Datuk M. Daud Kilau dan Aishah mendendangkan lagu Seri Langkat. Persembahan ini juga biasa.

Artis Inggeris Tempatan Pilihan
Anugerah tersebut dimenangi oleh Too Phat. Yang menariknya ialah melihatkan gelagat Halim Othman yang seakan-akan ingin menghebahkan kepada seluruh dunia yang beliau masih bujang amat memualkan. Umum sudah mengetahui tentang bujangnya beliau, oleh itu tidak perlulah dihebahkan lagi tentang perkara tersebut.

Persembahan Bintang Akademi Fantasia terasa begitu singkat. Kemunculan mereka dimulakan dengan klip video yang memaparkan persembahan Penyampai ERA. Di pentas, Bintang Akademi Fantasia hanya muncul dua minit dan kemudian Penyampai ERA mencuri glamour dari mereka untuk turut sama membuat persembahan. Sebagai tuanrumah, Penyampai ERA lebih manis memeriahkan suasana sebagai persembahan pembukaan dan hanya sebagai penyampai anugerah. Diharapkan untuk Anugerah ERA 2004, Penyampai ERA tidak membuat persembahan finale. Cukuplah dengan tahun ini mereka mencuri sedikit glamour Bintang Akademi Fantasia.

Anugerah Panggung ERA
Memang sewajarnya anugerah ini diberikan kepada Dato Jins Shamsuddin. Beliau telah melibatkan diri dengan dunia ini sudah terlalu lama. Siapa yang tidak mengetahui filem seperti Menanti Hari Esok, Esok Masih Ada, Menanti Hari Esok, Bukit Kepong dan Ali Setan. Sudah terlalu banyak anugerah yang beliau terima walaupun tidak sebanyak Siti Nurhaliza tetapi pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan terpilih untuk menjadi juri festival filem antarabangsa benar-benar mengkagumkan.

Kemunculan Hazami mendendangkan lagu Tekad memang ditunggu. Persembahan beliau secara unplugged amat indah lebih-lebih lagi dengan diiringi oleh mainan piano.

Lagu Rock Pilihan
Derma yang disumbangkan oleh Airtime Management & Programming Sdn. Bhd. sebanyak RM20,000 kepada mangsa banjir di Utara Malaysia melalui Tabung Bencara Negeri, Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri wajar dipuji. Tahniah !
Anugerah Lagu Rock Pilihan memihak kepada lagu Percayakan Siti oleh Exists.

Persembahan hebat dari Moluccas yang membawakan lagu Ironi dan Lupakan Saja. Showmanship antarabangsa yang ditonjolkan oleh mereka benar-benar memikat sesuai dengan gelaran Destiny’s Child Asia. Aksi profesional mereka benar-benar cemerlang. Aksi persembahan mereka berkualiti.

Anugerah Carta ERA
Anugerah yang disampaikan dicacatkan dengan penampilan Radhi OAG yang seolah-olah baru lepas stone. Beliau yang jelas tidak dapat mengawal pergerakan beliau yang adakalanya merimaskan. Walaupun T-Shirt yang dipakai oleh beliau memaparkan gambar potret Perdana Menteri dan bertulisan SALUTE. Beliau seharusnya belajar cara untuk tampil di khalayak ramai lebih-lebih lagi di sebuah rancangan yang disiarkan secara langsung. Anugerah tersebut diterima oleh Ezlynn melalui lagu Hi Hi Bye Bye yang menduduki Juara Carta ERA selama 8 minggu.

Persembahan diteruskan dengan persembahan oleh Azarina, Naufara, Ezlynn dan Ellyana dengan lagu Mustika Hati. Showmanship Ezlynn nampak begitu bertenaga sesuai dengan imej beliau. Beliau cuba untuk memberi nafas kepada lagu tersebut.

Lagu Nasyid Pilihan
Kemenangan Lagu Nasyid Pilihan berpihak kepada lagu Sumayyah oleh kumpulan Hijjaz.

Persembahan terbaik malam itu tentunya dari Kumpulan VE dan Misha Omar. Mereka mendendangkan lagu Ayu dan Bunga Bunga Cinta secara berselang-seli. Susunan muzik lagu tersebut dibuat dengan begitu baik. Kehebatan mereka menyanyikan lagu tersebut juga secara tidak langsung telah memberikan satu persembahan yang cemerlang. Showmanship mereka wajar dipuji.

Anugerah Emas
Anugerah Emas yang diberikan kepada Habsah Hassan pada tahun ini dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada penulis secara tidak langsung. Habsah Hassan memang dikenali sebagai seorang penulis lirik yang telah menghasilkan ratusan lirik lagu oleh penyanyi seperti Sudirman Hj Arshad, Francesca Peters, Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah sekadar menyebut beberapa nama. Pengiktirafan yang diberikan kepada insan yang hanya wujud di belakang tabir karier seseorang artis wajar dipuji. Penerima Anugerah Emas terdahulu ialah Tan Sri SM Salim dan Datuk Sharifah Aini. Tahniah !

Hijjaz muncul mendendangkan lagu Sumayyah.

Band Pilihan
Kemenangan berpihak kepada kumpulan Exist sekali lagi. Kali ini Ezad Exists mengajak semua calon Band Pilihan naik ke atas pentas untuk sama-sama meraikan kemenangan beliau.

Persembahan Kumpulan C21 yang mendendangkan lagu One Night In KL hanya untuk memenuhkan slot pada malam tersebut. Kumpulan dari Denmark ini tidak memberikan persembahan yang bertaraf antarabangsa.

Lagu Pop Pilihan
Kemenangan Lagu Pop Pilihan juga agak mengejutkan. Ramai yang menyangkakan lagu Bukan Cinta Biasa nyanyian Siti Nurhaliza atau lagu Keabadian Cinta nyanyian Anuar Zain muncul pemenang, tetapi nyata meleset apabila lagu Lembah Asmara nyanyian Ziana Zain muncul di tengah-tengah kehebatan dua lagu tersebut.

Di Mana Bulan Selalu RetakVokal Wanita Pilihan
Kemenangan mengejutkan Ning Baizura memang menjadi kemuncak malam tersebut. Tiada siapa menyangka beliau akan memenangi anugerah tersebut. Kebanyakan akhbar cuba mensensasikan Siti vs Siti. Tetapi tidak menjadi kenyataan. Kemenangan Ning saya kira adalah kerana semangat peminat beliau di ningclix.com yang menjalankan kempen mengundi untuk Ning. Rata-rata peminat yang mengundi untuk Anugerah ERA datangnya dari golongan bandar yang mana skop pengundiannya agak terbatas. Pengundian secara SMS memberi kelebihan kepada Ning.

Persembahan finale menampilkan Azlina Aziz, Jay Jay, Francesca Peters dan Jatt. Persembahan ini yang menjadi kemuncak malam itu terasa tidak cukup kuat untuk memberi kesan kepada malam tersebut. Tidak seperti Anugerah ERA 2002 bila mana persembahan Ella, Ramli Sarip dan Amy Search yang menggegarkan pentas dengan lagu-lagu nostalgia. Walaupun para artis turut sama bangun menari mengiringi lagu tersebut, pemilihan lagu seperti ada yang tidak kena. Namun demikian sifat sporting para artis-artis muda yang turut bangun menari amat baik sekaligus memeriahkan kemuncak malam tersebut yang perjalanannya begitu terasa amat panjang.

Pada pendapat saya, rekaan pentas untuk Anugerah ERA 2003 kali ini amat menarik serta dibantu dengan teknik tatacahaya yang cukup sesuai dengan tema persembahan. Gangguan bunyi serta teknikal yang berlaku sekali-sekala boleh dimaafkan. Yang perlu diambil perhatian ialah kedudukan Feratik yang saya sifatkan telah dianak-tirikan. Kedudukan mereka yang membelakangi persembahan amat tidak sesuai. Kedudukan mereka seharusnya diletakkan di bahagian hadapan seperti AE2002. ERA juga perlu bijak menyusun senarai persembahan agar malam tersebut tidak terlalu membosankan dan perjalanan acara terasa tidak terlalu panjang. Kumpulan muzik iringan yang dipimpin oleh Ramli MS juga cemerlang.

Selain daripada itu pihak pengurusan ERA diharapkan dapat mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam dengan tidak lagi menganjurkan majlis yang sebegini yang jatuh pada hari-hari yang boleh dianggap kebesaran kepada mereka yang beragama Islam.

Secara keseluruhan Anugerah ERA 2003 boleh dikirakan berjaya walaupun ada beberapa kekurangan yang masih boleh diperbaiki.

Gambar adalah ihsan Utusan Malaysia dan Berita Harian. Terima kasih !

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger