Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 23 October 2003

Bel CantoKonsert Koir Kebangsaan Bel Canto
Panggung Sari, Istana Budaya
28 September 2003

Saya berkesempatan untuk menonton sebuah persembahan Konsert oleh Koir Kebangsaan Bel Canto yang membawa maksud nyanyian dan lagu-lagu indah dalam bahasa Itali. Ia merupakan satu terma yang popular di kalangan pencinta seni suara klasikal. Walaupun ianya juga dikenali sebagai satu kaedah operatik, namun ianya dipilih sebagai tema pada persembahan kali ini kerana Koir Kebangsaan akan mendendangkan lagu-lagu dari berbagai genre muzik di mana penekanan akan diberi ke atas penghasilan suara yang lunak, lagu-lagu yang merdu serta tonasi dan frasa yang indah dan lancar.

Persembahan Koir
Persembahan Koir Kebangsaan dimulakan dengan lagu Ode II Joy yang diketuai oleh Syafinaz Selamat pada bahagian Soprano dan Chan Yim Mey untuk bahagian Mezzo Soprano. Ketika memperkenalkan kumpulan Koir Kebangsaan, penggunaan pentas hidraulik mencantikkan lagi persembahan tersebut. Turun-naik pentas yang dibantu oleh teknik lampu berjaya mencuri tumpuan penonton.

Sing A Song Of Sixpence hasil Koir Kebangsaan amat menakjubkan. Lagu tradisional Inggeris ini telah dipercepatkan temponya. Tanpa kawalan nafas yang sempurna agak sukar untuk menyanyikan lagu tersebut. Kebolehan Koir Kebangsaan menyanyikan lagu ini amat mengkagumkan.

Lagu I Got Rhythm memberi sentuhan jazz pada persembahan koir ini. Lagu Ampar Ampar Pisang, Gadis Kampong, Rancak Bertemu dan Rasa Sayang merupakan lagu tradisional Melayu yang turut dipersembahkan.

Noraniza Idris
Beliau berpeluang mendendangkan dua buah lagu bertajuk Hati Kama dan Putera Lantai Emas. Hati Kama di tangan beliau menjadi lebih menarik walaupun tanpa kehadiran Siti Nurhaliza. Rangkap Siti Nurhaliza dibawakan oleh kumpulan koir dengan cemerlang dan begitu harmoni dan kena dengan vokal Noraniza Idris. Susunan lagu Hati Kama yang dibuat oleh Drs. Yoesbar Djaelani amat baik dan lebih mengindahkan lagu tersebut yang sememangnya sudah indah hasil kerja tangan Pak Ngah. Juga susunan vokal yang dibuat lebih menarik tanpa kehadiran Siti Nurhaliza.

Suntikan Jawa dalam lagu Putera Lantai Emas memang mengkagumkan. Koreograf dari penari latar yang berkonsepkan Jawa juga menarik. Saya amat tertarik dengan set yang mempunyai unsur-unsur Bali seperti melengkapkan persembahan lagu tersebut.

Dayang Nurfaizah
Sinaran di tangan Dayang Nurfaizah biasa sahaja. Begitu juga dengan kumpulan Koir Kebangsaan. Tiada keunikan baru yang ditampilkan kecuali pada bahagian koir yang ada sedikit perubahan. Lagu ini adalah ciptaan Azlan Abu Hassan dan bukannya Roslan Aziz seperti yang tertera di dalam buku cenderamata.

Lagu Seandainya Masih Ada Cinta menjadi lebih menarik dengan bantuan Koir Kebangsaan. Tidak semua lagu boleh menjadi menarik jika tidak kerana susunan muzik yang dibuat dengan begitu teliti.

Zainal Abidin
Zainal Abidin mempunyai mutu vokal yang terbaik. Beliau berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Beliau masih mampu mengekalkan kehebatannya sebagai penghibur. Saya tabik dengan kelantangan vokal beliau yang saya sifatkan cemerlang. Hijau, sebuah lagu popular dari beliau menjadi begitu indah dengan gabungan Koir Kebangsaan. Saya lebih menyukai lagu Orak Arek sebuah lagu yang saya gemari kerana melodinya yang agak catchy serta mempunyai lirik yang baik.

Lagu Tanpa Kata 1
Nyanyian soprano oleh Syafinaz benar-benar memukau. Beliau hebat menvariasikan teknik vokal beliau untuk mencantikkan lagu tersebut. Lagu ini terasa begitu pendek kerana penonton terpaku melihat kehebatan Syafinaz. Cuma skrin di belakang pentas terlalu pantas movementnya sedangkan lagunya berentak perlahan menyebabkan adakalanya mood penonton terganggu.

Meditasi Ritualistik Seorang Pemuda
Sebuah komposisi panjang yang meresahkan. Mungkin kerana ilmu muzik saya tidak mendalam kerana hanya tahu asas note taugeh. Walaupun ada cerita yang ingin disampaikan dalam nada bass dan soprano oleh Syafinaz dan Eddy Chin. Lagu ini akan menjadi lebih menarik sekiranya diiringi dengan tayangan multimedia yang boleh sedikit menceritakan mesej lagu tersebut.

Tatacahaya dan Rekaan Set
Penggunaan tatacahaya yang serba mewah menjanjikan kepuasan menonton persembahan ini. Teknik cahaya dimanafaatkan sepenuhnya untuk memantapkan lagi persembahan tersebut. Rekaan set yang minima tetapi bersesuaian dengan konsep persembahan tetapi masih nampak gah dan selayaknya persembahan itu diadakan di Istana Budaya.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger