Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 03 October 2003

Ulasan filem Cinta Kolesterol oleh Nizam Zakaria

Cinta KolesterolCinta Kolesterol merupakan satu lagi hasil karya Profesor Madya Abdul Razak Mohaideen. Sebuah filem yang telah saya tonton semalam dengan penuh resah. Hampir-hampir saya mahu meminta maaf kepada rakan saya kerana telah memintanya menemani saya menonton filem ini, kerana saya lihat dia banyak kali merungut dan menggelengkan kepalanya. Saya rasa malu tak sudah, lantas menyalahkan diri saya berkali-kali tatkala menonton filem ini. Mungkin lain kali, jika saya nak tonton filem arahan seorang yang bergelar 'Profesor Madya' ini, saya tak harus membawa orang lain, jika tidak, saya akan dituduh sengaja menganiaya kawan sendiri.

Menurut Professor Madya Abdul Razak Mohaideen, beliau mendapatkan idea untuk membuat filem ini setelah menonton filem The Nutty Professor pada lewat tahun 90-an. Apa-apa pun, banyak kali kita lihat penggunaan prosthetic dalam filem-filem yang telah dibikin sebelum ini, seperti filem 'Big Momma's House', 'Shallow Hal', 'Love On A Diet' dan baru-baru ini, sebuah filem yang ditayangkan bersama Cinta Kolesterol, 'Mr. Fit' (Andy Lau memakai prosthetic untuk menjadikannya seorang lelaki bertubuh tegap lagi sasa).

Ada sesetengah orang yang mengatakan filem ini meniru filem 'Shallow Hal', lakonan Jack Black dan Gwyneth Paltrow - memang benar, tetapi bagi saya filem ini juga mirip kepada filem Hong Kong 'Love On A Diet' lakonan Andy Lau dan Sammi Cheng. Persamaan ini ada, kerana dalam filem Hong Kong tersebut, watak Mini Mo mempunyai seorang kekasih dari Jepun bernama Kurokawa, yang pergi meninggalkannya selama 10 tahun untuk mengejar cita-citanya sebagai penyanyi. Setelah 10 tahun, Mini Mo berubah menjadi seorang gadis gemuk. Untuk membuatkan Kurokawa menerimanya, Mini Mo sanggup bersenam dan berdiet. Dalam filem Cinta Kolesterol, Yusry berpisah dengan Fazira (Erra Fazira) kerana menuntut selama 8 tahun di London (eh, kenapa lama sangat?) dan setelah dia pulang, dia terkejut melihatkan keadaan Fazira yang gemuk (hubungan kekeluargaan mereka dikatakan rapat, tetapi mengapa pula tidak berhubungan atau bertanya khabar serta menghantar surat-surat lengkap bergambar seperti mana yang sering dilakukan oleh pelajar-pelajar Malaysia di luar negara?). Fazira, kerana malu dengan Yusry, pergi membawa dirinyai ke Switzerland semata-mata untuk menguruskan badannya (dia terlupa, di negara kita sendiri ada pusat-pusat untuk menguruskan badan).

Persamaan filem 'Shallow Hal' juga ada. Watak Hal Larsen (yang telah dipukau Tony Robbins) menyukai Rosemary. Kebetulan pula, bapa Rosemary merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat tempat dia bekerja. Dalam Cinta Kolesterol, bapa Fazira merupakan CEO kepada Cemara Holdings. Yusry, akhirnya dijadikan CEO Cemara Holdings kerana dia akan dikahwinkan dengan Fazira. Walau bagaimanapun, tidak ada persoalan mengenai materialisme dalam Cinta Kolesterol sebagaimana yang ada dalam filem 'Shallow Hal'. Dalam filem 'Shallow Hal', bapa Rosemary hairan mengapa Hal menyukai anaknya yang gemuk itu. Sedangkan dalam filem Cinta Kolesterol, perkara ini tidak dipersoalkan secara mendalam. Malah, Yusry mengambil alih pucuk pimpinan Cemara Holdings dari Datuk Osman, bapa Fazira tanpa banyak soal, malah dia gembira. Datuk Osman tidak sedikit pun bertanya kepada Yusry jika dia benar-benar menyayangi serta menyintai anaknya. Harta dan kedudukan difikirkannya dapat membuatkan Yusri menerima Fazira (dan sememangnya dia akhirnya berjaya). Sebab itulah agaknya saya anggap filem Cinta Kolesterol terlalu 'shallow' (cetek) dengan isinya penuh berserabut dengan segala 'fat jokes' berbagai dan nilai-nilai yang sukar saya terima.

Filem ini dimulakan dengan adegan kematian ibu Fazira. Dalam adegan ini kita dapat melihat keadaan Fazira yang sedikit terencat akalnya. Apa tidaknya, umurnya pada ketika itu mungkin di sekitar 7-8 tahun, tetapi masih tidak dapat memahami tentang kematian ibunya sendiri; malah dia bertanyakan kepada bapanya mengapa ibunya di simpan di dalam tanah. Dari situ kita dapat melihat bayangan seorang budak perempuan yang akhirnya akan menjadi seorang gadis dengan daya intelektual dan emosi yang cukup kacau.

Kemudian kita dibawa untuk melihat bagaimana Yusry menyelamatkan Fazira dari mati lemas. Dan seterusnya bapa Yusry, Encik Zaini bersetuju untuk mengahwinkan anaknya dengan Fazira, anak perempuan Datuk Osman apabila mereka dewasa kelak. Kononnya semasa berjanji, Encik Zaini mengatakan bahawa dia tidak mahu melakukan ini semua atas dasar kebendaan. Yang hairannya, dia tetap menerima 'pemberian' Datuk Zaini - sebuah rumah yang besar dan kereta mewah BMW. Belum cukup itu sahaja, Yusry setelah selesai pengajiannya, diberikan kedudukan tertinggi di Cemara Holdings.

Setelah Yusri dewasa, kita dapat melihat dengan jelas bahawa bapa Yusry adalah seorang materialistik yang sanggup mengenepikan kemahuan anaknya asalkan apa yang dimintanya dapat ditunaikannya. Malah, di saat-saat akhir kematiannya sendiri dia masih berdegil dengan keputusannya itu (perhatikan bagaimana dia menunjukkan kepada Yusry kepada segala kekayaan yang dikecapi oleh mereka selama ini hasil pemberian Datuk Osman sebelum dia diserang penyakit jantung).

Yusry akhirnya diketemukan dengan Fazira, tetapi Yusry tidak dapat menerima Fazira kerana dia gemuk. Lagipun pada masa itu, dia sudah mempunyai seorang rakan rapat yang dikenalinya sejak di London bernama Nadia. Pada anggapan saya, isu saiz tubuh Fazira bukan menjadi persoalan yang besar, tetapi sikapnya yang buruk. Beliau seorang yang pelahap, tidak sopan, (sendawa dengan kuat tanpa menutup mulut) seorang 'spoil brat' dan perangainya yang paling buruk sekali, dia sentiasa sahaja merengek (whining) tidak mengikut tempat! Pendek kata, sukar untuk kita bersimpati dengan Fazira jika dibandingkan dengan watak Rosemary dan Mini Mo.

Yusri dapat dilihat akan melakukan apa sahaja untuk menjauhkan dirinya dari Fazira. Dia merapati Nadia. Encik Zaini sejak mula lagi tidak menyukai Nadia. Apabila Nadia hendak menumpang keretanya di lapangan terbang pun tidak dibenarkan (inikah dinamakan sikap sopan santun dan berbudi bahasa orang Melayu?). Tapi saya perhatikan, sikap Encik Zaini dua kali lima macam anaknya. Yusry apabila berhadapan dengan Datuk Osman, (buat pertama kali setelah lama tidak bertemu) nampak sedikit kurang ajar. Saya lihat, rakan-rakan saya dari Amerika, tatkala berhadapan dengan orang yang lebih tua pun tidak macam itu sikap mereka.


Fazira mula sedar bahawa dirinya diketepikan Yusry. Dalam masa yang sama, dia tetap yakin bahawa Yusry akan mengahwininya juga. Dengan penuh bangga dia memberitahu kepada kawan-kawannya tentang perkara ini. Tetapi pasa satu hari, dia mendapat tahu bahawa Yusry berkawan rapat dengan Nadia. Fazira mula rasa risau dan cemburu.

Fazira dan Yusry akhirnya bersemuka. Dalam pertemuan mereka makan di restoran Saloma, mereka bergaduh. Yusry marah kepada Fazira kerana cuba untuk mengawal hidupnya dengan ingin mengetahui setiap jejak langkahnya. Saya fikir, Yusry sememangnya berhak untuk marah. Lagipun, inikah perangai yang ditunjukkan oleh Fazira kepada bakal suaminya. Terdetik dalam kotak hati saya untuk berkata: "Ini belum berkahwin lagi, sudah mahu kawal suami. Kalau dah kahwin nanti macam mana lah agaknya?"

Fazira dihina di hadapan orang ramai di restoran Saloma. Dia kecewa dan pulang dalam keadaan sedih. Kemudian, cuba pula bunuh diri dengan makan terlalu banyak pill menguruskan badan (fat burner overdose). Macam kes Andrea De Cruz, selebriti dari Singapura yang hampir mati kerana makan pill menguruskan badan 'Slim 10' pula lagaknya.

Encik Zaini kecewa kerana anaknya tidak mahu mendengar nasihatnya supaya rapat kepada Fazira agar nanti dia dapat dikahwinkan dengannya. Dia marah kepada Yusry kerana telah menyebabkan Fazira masuk ke dalam hospital. Kemudian kerana terlalu marah dan kecewa, dia akhirnya mati akibat serangan penyakit jantung.

Bahagian seterusnya ini agak mengelirukan bagi saya. Saya anggap ini satu kekeliruan yang tidak sepatutnya berlaku!

Fazira, selepas keluar dari hospital, terus ke Switzerland untuk mendapatkan rawatan untuk menguruskan badannya. Yang menghairankan, beliau hanya dapat berita tentang kematian bapa Yusri tatkala berada di sana. Saya tidak faham bagaimana pula beliau tidak tahu tentang kematian bapa Yusri tatkala di Malaysia lagi? Bukankah hubungan kekeluargaan mereka rapat?

Maka selama setahun, Fazira hilang dari dunia Yusry. Yusry pula gila bayang kepada Fazira. Saya tidak faham bagaimana perkara ini boleh berlaku. Malah, ada kalanya saya lihat watak Yusry seolah sudah kena 'mandrem' (atau telah dibomoh) oleh Fazira. Sama ada itulah adanya, atau mungkin Yusry sudah tidak lagi stabil keadaan mentalnya, sehingga berhalusinasi tentang Fazira. Teori terakhir saya, Yusry sudah mula berkenan dengan Fazira kerana dia mula mempunyai selera seorang 'chub chaser' (this is an acquired taste, no doubt). Walau bagaimanapun, teori terakhir ini sukar untuk diguna pakai setelah Yusry tergila-gilakan Erra, seorang model terkenal bertubuh langsing yang difikirkannya Fazira yang telah kurus setelah setahun menghilang di Switzerland cuba menguruskan badannya.

Saya hairan... Jika dia fikir Fazira sudah pulang ke Malaysia dan fikirkan bahawa Erra itu adalah versi Fazira yang telah kurus, mengapa pula dia terpaksa meminta penolong peribadinya menghubungi Erra setelah bertungkus-lumus mencari gambarnya di dalam majalah? Mengapa tidak menghubungi bapa Fazira terus? Mengapa tidak bertanyakan kepadanya jika Fazira sudah benar-benar pulang ke Malaysia dari Switzerland?

Kita dapat melihat bahawa Yusry tertarik secara fizikal dengan Erra buat pertama kali dia melihatnya dalam sebuah pertunjukan fesyen. Perkara ini, walaupun sejauh mana hipokritnya kita, tidak boleh kita nafikan sama sekali bahawa; perkara pertama yang membuatkan kita tertarik kepada bakal pasangan kita adalah aspek fizikalnya. Kemudian, setelah berkenalan, barulah kita kenal hati budinya. Maka itulah yang berlaku ke atas Yusry, tetapi dalam proses yang terbalik (agaknya). Dia mengenali perangai Fazira yang gemuk, (yang perangainya seperti yang saya katakan tadi, buruk) dan kini dia mengenali Erra, seorang model yang cantik (versi Fazira yang kononnya telah kurus) yang saya rasa, perangainya jauh lebih baik dari Fazira.

Yusry jatuh hati kepada Erra, tetapi Erra tidak mahu melayannya.

Dalam filem ini, kita tidak diberitahu bagaimana Erra, model terkenal ini boleh berkawan rapat dengan si Saiful sehingga duduk serumah dengannya dan Fazira (Erra dan Fazira adalah dua watak berbeza). Kita tidak tahu bagaimana Fazira dapat mencari versi cantik dan kurusnya, Erra dan meyakinkan Erra agar melakukan konspirasi mempermainkan perasaan Yusry (lepas ini, boleh tolong carikan versi lelaki kacak dan bertubuh tegap Nizam Zakaria pula? Kita jadikan dia model, kemudian beritahu kepada orang ramai, itulah dia Nizam Zakaria yang sebenarnya!).

Bahagian akhir filem ini begitu mengelirukan mengalahkan 'Matrix Reloaded' gamaknya. Sukar untuk saya memahami perasaan Yusry pada ketika itu apabila dia diberitahu bahawa Erra sebenarnya bukan Fazira. Fazira yang ada masih belum kurus-kurus walaupun sudah setahun menghabiskan wang menguruskan badannya di Switzerland. Yusry saya lihat terkejut (atau mungkin kecewa sedikit) apabila mendapati bahawa Fazira, masih seperti dulu (gemuk, masih dengan perangai menyakitkan hati dan pelahap).

Jika kita perhatikan Yusri dalam keadaan gembira, mungkin impian 'chub chaser'nya tercapai juga akhirnya. Tapi saya ada juga tertanya-tanya, "Yusry suka siapa sebenarnya ni?"

Jika filem ini berkembang lagi, saya yakin Yusry akan lebih tertarik kepada Erra. Seperti saya katakan tadi, Erra mempunyai budi bicara yang jauh lebih baik dari Fazira. Lagipun, secara fizikal, Yusry memang tertarik kepada Erra. Lagipun, lelaki mana yang tidak tertarik kepada Erra? (ermm... I reserve my comments here)

Saya sebenarnya keliru dengan skrip Cinta Kolesterol. Mengapa setelah Yusry pergi ke rumah Erra, apabila Erra tidak mahu lagi melakonkan wataknya sebagai seorang model yang 'bitchy' mengalahkan Naomi Campbell, Saiful memarahinya. Dia cuba mengingatkan Erra, tentang segala apa yang telah dilakukannya dahulu ketika dia gemuk. Eh, apa pulak? Bukankah Erra dan Fazira dua manusia yang berbeza? Apa sudah jadi sebenarnya ni?

Filem ini mempunyai skrip yang mengelirukan dan tunggang-langgang. Skrip atau lakon layar filem Cinta Kolesterol ini telah dihasilkan oleh Abdul Shukor Mohaideen (abang kepada 'Profesor Madya' kita). Nak buat skrip yang tidak masuk akal tak apa, jika sudah dipastikan bahawa kesemua penontonnya sudah sedia bodoh lagi bebal. Tetapi kena ingat sendirilah, bukan semua penonton filem-filem Melayu itu bodoh dan mahu dipersendakan pemikiran mereka.

Apa sebenarnya motif pembikin filem Cinta Kolesterol? Adakah mereka sengaja mahu menunjukan segala-galanya yang buruk tentang orang Melayu? Mengapa tidak ditunjukkan sifat-sifat kebiasaan yang ada dalam masyarakat Melayu? Mengapa perlu ditonjolkan sifat yang bukan-bukan? Orang Melayu, pada hemat saya, jika diminta tolong akan tetap menolong, walaupun mereka sendiri sukar untuk menolong (adegan Nadia tidak ditumpangkan pulang oleh Encik Zaini). Anak Melayu, dari pemerhatian saya, cukup hormat dengan orang tua walaupun berpakaian skin head atau punk (perhatikan cara Yusry berkomunikasi dengan bapanya dan Datuk Osman). Jadi kenapa perlu ditunjukkan seperti yang sebaliknya dalam filem Cinta Kolesterol?

Filem ini bukan sahaja kucar-kacir dari segi plotnya, tetapi juga dari segi suntingan. Suntingan yang telah dilakukan oleh Meriam Ibrahim agak teruk sehingga menampakan pergerakan adegan yang jelas tidak kemas. Walau bagaimanapun, muzik latar filem ini, agak baik dan sesuai dengan adegan yang ada.

Saya lihat, langsung tak ada 'chemistry' di antara Yusry dan Fazira. Mereka saya lihat langsung tidak cocok digandingkan bersama. Jika watak Fazira dibuat lebih baik dan dapat menimbulkan simpati penonton, mungkin sesuai mereka digandingkan (seperti watak Hal dengan Rosemary). Akhirnya, watak Yusry saya lihat, jika dia menerima Fazira sekalipun, macam tak ikhlas.

Bagi saya, lakonan para pelakon agak sederhana. Ada kalanya lakonan pelakon tambahan terlalu over-acting (perhatikan lakonan rakan-rakan Fazira tatkala mereka sedang makan bersama). Lakonan Yusry tidak konsisten. Ada kalanya baik, ada kalanya kaku. Ada kalanya pula macam lakonan Yusof Haslam (perhatikan mimik mukanya tatkala berjumpa dengan Erra di restoran di Menara Kuala Lumpur). Lakonan Erra Fazira pula tetap macam dulu, tidak ada kemajuan. Lakonan watak bapa Yusry, lakonan Abu Bakar Omar memang superb. Beliau dapat melakonkan watak seorang bapa hipokrit yang ego serta materialistik dengan begitu berkesan sekali. Begitu berkesan sehingga saya yakin penonton akan bersimpati dengannya, walaupun dia mempunyai sifat-sifat lebih mementingkan dirinya dari memastikan kebahagiaan anaknya sendiri. Lakonan Aleeza Kassim yang membawa watak Nadia juga bagus, walaupun masih ada kelemahannya lagi (saya yakin dengan bimbingan seorang sutradara bagus, lakonannya boleh digilap dengan lebih baik lagi). Pada adegan akhir, saya lebih bersimpati kepadanya. Nadia dapat meyakinkan saya bahawa dialah yang lebih sesuai untuk Yusry. Kerana Nadia sentiasa ada di samping Yusry sejak beliau bergelar pelajar lagi. Nadia sedia berkorban untuk Yusry, sehingga sanggup dia mengikut Yusry 'pulang' (saya tidak tahu mengapa istilah 'pulang' di gunakan dalam filem ini) ke London bersamanya, demi cintanya kepadanya. Tetapi apa nak buat, Yusry sudah buta hati dan perasaan. Dia tak tahu lagi apa itu cinta. Agaknya dia sekadar mengikut resmi bapanya yang kacau-bilau fikirannya (atau sekurang-kurangnya, mengikut teori saya sebelum ini bahawa beliau dah kena 'mandrem' oleh Fazira).

Ada beberapa adegan dalam filem ini yang sukar diterima dek akal. Sebagai contoh, saya hairan bagaimana Yusry, setelah pulang ke Malaysia, boleh tergamam melihat kewujudan Litar F1 di Sepang. Saya yakin jika filem ini dibuat mengenai kisah seorang 'Queen's Scholar' yang pulang ke Malaya setelah lama menuntut di London dalam zaman sebelum merdeka, mungkin masih boleh diterima lagi (itu pun jika dia jenis manusia yang tidak mahu tahu tentang perkembangan negaranya sendiri). Mungkin dalam kotak fikiran Abdul Shukor Mohaideen, di London tidak ada Internet, TV dan radio, maka pelajar seperti Yusry tidak mungkin tahu apa-apa tentang perkembangan terbaru di Malaysia. Satu lagi, saya hairan bagaimana seorang yang pelajar yang mempunyai bapa berkereta BMW tidak mampu untuk membawa anaknya pulang ke Malaysia selama 8 tahun anaknya itu menuntut di sana. Saya rasa tiket kapalterbang masih mampu dibayar oleh para pelajar Malaysia untuk pulang bercuti sekali-sekala ke kampung halaman.

Skrip Abdul Shukor Mohaideen juga memampukan Erra berkereta mewah, (dengan gaji sebagai model sepenuh masa di Malaysia) dengan plat 'ERRA'. Satu lagi, watak Yusry memberi notis berhenti dari menjadi CEO Cemara Holdings kepada pembantu peribadinya tanpa merujuk kepada Lembaga Pengarah syarikatnya. Jika dia CEO kepada syarikat jual jamu di Chow Kit, mungkin saya boleh percaya. Atau mungkin, Abdul Shukor Mohaideen mahu menunjukkan kepada dunia bahawa; inilah caranya orang Melayu mentadbirkan syarikat yang diketuainya sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif? Dengan cara sambil lewa dan boleh berhenti dengan sesuka hati?

Kewujudan watak Saiful lakonan Farid Kamil juga agak merunsingkan. Saya tidak faham mengapa Abdul Shukor Mohaideen mewujudkan watak seorang lelaki yang menjadi rakan serumah dengan Fazira. Adakah Fazira 'fag hag' kepada Saiful ala-ala hubungan Will dengan Grace dalam rancangan TV popular di AS, 'Will & Grace'? Atau mungkin dia merupakan 'house boy' si Fazira ala-ala watak pembantu rumah lelaki dalam 'La Cage aux Faux' (dan kemudiannya 'The Bird Cage'). Entahlah, saya sendiri tidak tahu jawapannya sehingga sekarang...

Sebenarnya peruntukan sebanyak RM200,000 hanya untuk solekan khas termasuk baju gemuk tak akan menjaminkan sesebuah filem itu dapat dibuat dengan baik. Sebuah filem itu sama ada dibuat dengan baik atau sebaliknya. Jika bajet diberikan kecil tetapi visi dan jalan cerita bagus, filem itu tetap bagus. Banyak kali pembikin-pembikin filem seperti Robert Rodriguez, (El Mariachi) Edward Burns, (The Brothers McMullan) Ed Sanchez dan Dan Myrick (The Blair Witch Project) serta Amir Muhammad (6horts) membuktikan bahawa bajet yang kecil bukan menjadi batu penghalang untuk membuat filem-filem yang baik serta diterima penonton. Pendek kata, jika filem ini diberikan bajet RM berjuta-juta sekalipun, tetapi plot serta lakon layar lemah dan mengelirukan, filem itu tetap buruk dan tidak menjadi.

Produser filem Cinta Kolesterol, David Teoh ada mengatakan bahawa filemnya ini akan dipertandingkan dalam beberapa pesta filem antarabangsa. Cinta Kolesterol akan ditayangkan dalam Festival Filem Antarabangsa Stockholm pada bulan November ini. Satu perkara yang agak menakutkan, kerana saya kurang pasti dengan penerimaan dan anggapan orang-orang sana nanti tentang nilai dan budaya kita. Saya takut nanti kita akan dicapkan sebagai kaum yang materialistik, tidak rasional dan cetek. Adakah ini yang kita mahu?

Menurut wartawan hiburan Suraiya Mohd Nor: "Sekali tonton terasa tidak puas. Ada tarikan yang membuatkan timbul keinginan untuk menyaksikannya sekali lagi". Mungkin ada betul katanya ini. Kerana saya tidak merasa puas hati menonton sekali filem ini, kerana saya tidak percaya sebuah filem boleh dibuat seburuk ini.

Apa-apa pun, saya yakin filem ini akan diterima ramai. Terutamanya oleh peminat-peminat Erra dan Yusry. Lagipun filem ini telah dibuat untuk khalayak penonton seperti mereka. Jadi jika sudah dibuat filem-filem seperti ini, siapa sebenarnya harus kita persalahkan?

Pada hemat saya, Profesor Madya Abdul Razak Mohaideen langsung tidak mempunyai kredibiliti sebagai seorang pengarah. Bukan satu dua filemnya yang saya lihat mempunyai mutu yang boleh dipersoalkan, tetapi hampir kesemua. Mungkin dia hanya layak untuk menjadi pensyarah di Jabatan Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Mungkin juga dia mengarahkan filem untuk ditunjukkan kepada anak-anak muridnya di UiTM sana agar jangan meniru cara dia bikin filem. Mungkin ini caranya untuk melahirkan pembikin-pembikin filem yang jauh lebih baik darinya. Cuma yang saya takut, jika ini lah dia hasil kerja guru, hasil kerja anak-anak muridnya bagaimana pula agaknya? Ye lah, bak kata pepatah lama Melayu, "Jika cikgu kencing berdiri, anak murid akan kencing berlari."

Rating: 2/5

Baca ulasan alternatif Cinta Kolesterol di Utusan Online

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger