Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 19 January 2004

Anak Kerbau Mati Emak d Istana BudayaAnak Kerbau Mati Emak
18 Januari 2004
Istana Budaya
8.30-10.30 malam

Karya - Bidin Subari
Pengarah - Mior Hashim Manap
Pengarah Artistik - Mazlan Tahir

Menonton Teater Anak Kerbau Mati Emak memang merupakan teater yang saya tunggu-tunggu. Pertama kerana ia diarahkan oleh seorang penggiat teater lama yang cukup disegani iaitu Mior Hashim Manap. Saya ikuti kerja-kerja beliau dalam Matinya Seorang Patriot dan juga Pelakon Lelaki Terbaik yang memegang watak Leman dalam Rumah Kedai Jalan Seladang. Saya sendiri pernah memegang watak yang sama tahun lepas dan di akhir persembahan mendapat tahu beliau turut menonton lakonan saya pada malam tersebut. Keduanya, adanya Atie, salah seorang bintang Akademi Fantasia yang turut memegang salah satu watak utama dalam teater ini. Ini merupakan penampilan beliau yang pertama di pentas Istana Budaya dan juga penampilan pertama beliau setelah menamatkan pengajiannya di Akademi Fantasia.

Sinopsis
Bermula dengan Tawil kena sondol anak kerbau. Dia telah datang ke rumah Pak Mohsein meminta diurut punggungnya. Setiap kali Pak Mohsein cuba memulakan urutnya, ada saja halangan. Mula-mula datang Kulup, kemudian datang Tuk Empat Takat membawa pesanan Tok Penghulu mahu berjumpa Pak Mohsein mengenai tanah yang dimohon. Kemudian datang pula Kulup yang dia jumpa Jamiah berbual dengan Cikgu Salim di padang sekolah. Dia cemburu dan jauh hati kerana berbanding dia, Cikgu Salim ada skuter sedangkan dia hanya ada basikal tua. Pak Mohsein dan isterinya, Jumi cuba pujuk Kulup agar tidak cepat membuat andaian. Lepas itu muncul pula Kamarun mengadu kebunnya dilanyak kerbau dan menuntut gantirugi.

Bermula dengan Kulup meluahkan kekecewaannya kepada Jamiah. Jamiah pula telah meminta izin ibunya untuk pergi ke Kuala Lumpur bersama Cikgu Salim. Ibunya tidak benarkan kerana Jamiah nak pergi bersama Cikgu Salim. Jamiah memberontak sanpai ingin putuskan pertunangannya dengan Kulup. Niat Jamiah diketahui oleh Pak Mohsein melalui isterinya, Jumi. Pak Mohsein terlalu marah hingga memukul Jamiah.

Datang pula Penghulu memberitahu Pak Mohsein mengenai projek tanah. Kamarun pula datang bersama Tuk Empat Takat berunding dengan Pak Mohsein, tapi tidak berjaya. Tawil disuruh ke hutan mencari kerbau. Kamarun bengang. Pak Mohsein rasa tak sedap hati, mahu mencari kerbau.

Kecoh apabila Jamiah hilang dari rumah. Pak Mohsein ternyata marah lalu tercetus pergaduhan dengan Jumi hingga menyebabkan Jumi nak minta cerai. Kulup bagaimanapun berjaya meredakan suasana apabila dia memberitahu Jamiah telah ditemui tapi Kulup mahu Pak Mohsein berjanji tidak mengapa-apakan Jamiah bila dia balik. Pada waktu yang sama, Penghulu datang membawa berita baik mengenai projek tanah yang sudah diluluskan. Kulup pula membawa Jamiah pulang bersama Cikgu Salim. Cikgu Salim memperjelaskan apa yang berlaku adalah disebabkan salah faham. Kulup pula menyedari kesilapannya terhadap Jamiah dan berjanji mengubah sikapnya. Jamiah mengingatkan Kulup bahawa kasih sayang dan pembangunan mesti berjalan seiringan. Keadaan kembali tenang seperti biasa.

Anak Kerbau Mati Emak d Istana BudayaPengarahan
Teks teater ini mengenengahkan pemasalahan sekitar sebuah keluarga Melayu. Sebagai pengarah, Mior Hashim Manap telah mencipta satu imej komedi yang bersifat biasa untuk teater ini. Karya bermesej seperti Anak Kerbau Mati Emak telah diringankan dan adakalanya telah dislapstikkan. Beberapa penekanan watak serta adegan yang memerlukan emosi dan lakonan serius telah menjadi bahan ketawa kerana tidak diarah dengan baik. Aspek lakonan jika tidak diarah dengan baik menyebabkan Jamiah, seorang anak sanggup melemparkan tali cemeti kepada ibunya dan bukannya memberi secara baik. Secara keseluruhan saya berpuas-hati dengan komedi ringan yang cuba disampaikan oleh beliau walaupun berpandukan pada sebuah naskhah yang tidak kukuh atau dengan erti kata lain, sebuah naskhah yang relevannya boleh dipertikaikan pada masa kini.

Cerita/Skrip
Skrip ini ditulis sekitar tahun 1972, beberapa tahun sebelum saya dilahirkan. Antara skrip lain tulisan Bidin Subari ialah Tingginya Menyapu Awan yang pernah dipentaskan oleh rakan-rakan saya serta beberapa kumpulan dari Akademi Seni Kebangsaan. Skrip tulisan beliau banyak berkisar tentang suasana hidup di kampung. Skrip ini membawa persoalan yang sama serta pemasalahan yang masih sama. Cuma bezanya dari segi zaman. Suasana kampung sebegini serta pemasalahannya merupakan perkara biasa tetapi menilai dari latarbelakang, agak sukar untuk saya mengaitkannya dengan diri sendiri. Mesejnya jelas iaitu menginginkan perubahan sikap orang melayu agar mereka tidak ketinggalan di masa akan datang.

Anak Kerbau Mati Emak d Istana BudayaLakonan
Setiap pelakon telah memberikan mutu lakonan yang amat baik. Ternyata pengalaman memberikan kelebihan kepada beberapa orang pelakon seperti Jalil Hamid, Liza Othman dan Zaidi Omar. Atie masih perlu mempelajari teknik lontaran vokal untuk menjadi seorang pelakon teater yang berjaya. Ekspresi wajah sudah berjaya diperoleh oleh Atie tetapi sayang vokalnya yang tidak lantang menyebabkan beberapa dialog tidak jelas. Lebih-lebih lagi beliau bergandingan dengan Zaidi Omar yang amat berpengalaman luas. Oleh kerana pemilihan pelakon yang tidak dibuat dengan teliti menyebabkan pelakon seperti Zaidi Omar yang berumur 50an terpilih untuk membawakan watak seorang pemuda berumur 20an. Oleh yang demikian, pasangan Jamiah dan Kulup nampak seperti bapa dan anak sedangkan berpandukan skrip watak mereka sebagai pasangan yang telah bertunang. Saya kira terdapat ramai pelakon-pelakon muda berbakat yang boleh diketengahkan untuk membawakan watak Kulup seperti contohnya Zulhuzaimy atau Shahrolnizam. Lakonan Ebby Yus sebagai Tawil adakalanya mengganggu tumpuan penonton untuk mengikuti perjalanan teater ini dari awal hingga akhir. Lakonan slapstik beliau sedikit sebanyak merencatkan tumpuan penonton. Penonton dipaksa ketawa melihatkan aksi-aksi lakonannya. Saya masih tidak faham kenapa teater Melayu mesti wujud watak-watak sedemikian untuk membuatkan penonton ketawa. Lafaz dialog oleh Harun Salim Bachik juga terlalu cepat dan ia dibuat dalam keadaan kelam-kabut dan marah. Oleh yang demikian terdapat beberapa dialognya yang tidak jelas. Pelakon lain yang boleh dipuji ialah Liza Othman. Beliau melakonkan watak Jumi dengan penuh karektor. Beliau bijak mengawal lakonannya.

Rekaan Set
Saya puji rekaan set persembahan teater ini. Walaupun tanpa memanafaatkan penggunaan pentas hidraulik, rekaan set teater ini saya sifatkan agak baik. Realiti suasana kampung dijelmakan dengan cemerlang di atas pentas. Penggunaan set statik setidak-tidaknya dapat menyelamatkan produksi dari gangguan teknikal yang adakalanya datang tidak diundang. Rekaan set nampak begitu gagah di atas pentas. Cuma pada bahagian depan pentas yang agak serabut dan cuba dimuatkan dengan segala macam props untuk menunjukkan kawasan pertanian, termasuk orang-orangan yang tiada fungsinya.

Anak Kerbau Mati Emak d Istana BudayaTatacahaya
Penggunaan tatacahaya general juga sekali lagi tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan yang ada di Istana Budaya. Latar masa teater ini tidak panjang dan hanya melibatkan adegan siang. Oleh itu teknik lampu yang digunakan tidak dipelbagaikan. Satu yang menarik tentang tatacahaya ialah satu spot lampu merah yang dipancarkan kepada tali cemeti menunjukkan tali cemeti merupakan pencetus konflik sebenar cerita ini.

Props/Busana
Setiap perincian untuk merealisasikan zaman tersebut telah dibuat dengan cemerlang oleh Pengarah Artistik teater ini. Rumah Melayu yang dibina mengikut model asal amat mengkagumkan. Ini dapat dilihat apabila kanak-kanak berlari-lari di bawah rumah. Gambar-gambar lama yang tergantung di dinding, serta almari yang terisi piala-piala juga kena pada zamannya. Kerusi di ruang tamu menepati ciri-ciri props pada zaman tersebut. Secara tidak langsung, nostalgia penonton akan terimbau apabila menonton teater ini. Selaku pereka busana, Badrulzaman Abd Jalil telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang. Beliau telah merealisasikan zaman tersebut dengan berjaya tanpa sebarang kecacatan.

Pendekatan Akan Datang
Secara keseluruhan, saya berpuas-hati menonton teater ini. Segala kekurangan boleh diperbaiki di masa akan datang. Besar harapan saya untuk melihat sebuah teater Melayu yang bersifat lebih kontemporari. Sebuah teater Melayu yang lari dari imej bangsawan, imej kesultanan Melayu Melaka, imej hang tuah, imej kampung dan imej Melayu tanpa wawasan. Menjelang Siri Teater Malaysia yang akan berlangsung sekitar bulan September, saya ingin sekali melihat beberapa teater Melayu yang lebih kontemporari sifatnya hasil karya pengarah-pengarah teater muda Malaysia. Saya dapat merasakan sejak akhir-akhir ini teater Melayu sudah ada ciri-ciri terlalu dikomersialkan sama seperti yang telah berlaku kepada filem-filem Melayu untuk menarik penonton menonton. Apa jadi dengan teater yang berat yang dapat menjentik minda untuk terus berfikir ? Apakah nasib mereka nanti menjadi sama seperti apa yang telah berlaku kepada filem-filem artistik ? Khalayak teater mahu terus disogok dengan isu-isu global yang dapat merangsang minda dari terus berfikir.

Keseluruhan : B-
Lakonan : B
Cerita : C
Artistik : B

Bual Teater: Kreativiti Teater masih terbatas oleh Khalid Salleh
Nizam Zakaria : dah tak cukup pelakon muda lagi di Malaysia ke ?

Nota: Untuk persembahan akan datang di Istana Budaya, pengurusan Istana Budaya bermurah hati untuk menaja beberapa tiket persembahan. Nantikan Peraduan Istana Budaya bersama sultanmuzaffar !

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger