Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 21 January 2004

Gathering gengjurnal.netGathering Gengjurnal.net url link
Sabtu, 17 Januari 2004
Restoran Nelayan, Titiwangsa

Ini kali pertama saya hadir ke Gathering Gengjurnal.net. Setelah beberapa tahun menyertai gengjurnal.net, baru kali ini hati saya tergerak untuk bertemu muka dengan penulis blog serta pembaca yang lain. Soal kalah atau menang tidak menjadi soal yang lebih penting menghormati pihak pengurusan lebih-lebih lagi telah dicalonkan. Saya pernah bertemu beberapa di antara mereka di dalam pertemuan yang tidak formal.

Setibanya di Restoran Nelayan, Titiwangsa, wkdin masih belum tiba. Mungkin menyedari saya sedang mencari tempat pertemuan gengjurnal, seorang lelaki yang tidak saya kenali menegur dan dengan baik hati menghulurkan tunjuk arah. Saya nampak satu tanda positif yang gathering gengjurnal akan menjadi satu malam paling indah buat semua. Beliau bertanyakan nama saya, lalu ucapan tahniah pun diterima. Lelaki itu namanya toksik. Pernah dengar nama itu. Sampai ke meja pendaftaran saya dibawanya. Saya mendaftarkan diri dan terus duduk. Tidak kenal siapa pun. Resah !

Perjalanan majlis agak kelam-kabut kesan tempat yang tidak sesuai. Sewajarnya di masa akan datang majlis sebegini dibuat di satu tempat yang lebih tertutup. Sekurang-kurang segala aturcara majlis dapat diikuti dengan lancar. Antara tempat yang sesuai dan lebih tertutup ialah Restoran Sri Kampong, Bangsar dan Kuala Lumpur Golf and Country Club.

Kedudukan tempat duduk yang tidak dirancang dengan baik menyebabkan hubungan mesra ahli tidak dapat dijanakan dengan berkesan. Mereka dibenarkan untuk memilih tempat duduk sendiri menyebabkan ahli yang lama akan terus selesa dengan ahli lama dan ahli yang baru terkial-kial menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru.

Beberapa nama yang ingin saya ketemu antara lain ialah Fajar, Tahrizi, Mat Jan dan Iwan (yang saya belum pernah jumpa). Rudy dan tunang serta Mie dah jumpa dah sebelum itu. Bagaimana saya kenal Tahrizi ? Malam itu dia duduk sebelah saya. Lama juga. Saya diam. Dia sibuk berbual dengan Mukeh. Lama juga. Dia tanya nama saya. Dia gelak. Kemudian dia beritahu saya namanya. Bayangkan, bagaimana malunya saya pada malam itu kerana saya sudah lama mengenali beliau melalui Yahoo Messenger dan beliau juga "penaja" server untuk saya simpan mp3 dan gambar-gambar Akademi Fantasia sebelum saya membeli hosting sendiri. Tapi saya tidak kenal dia duduk sebelah saya. Fajar datang ke meja saya, Rudy yang bawa. Lama juga kami berbual. Fajar minat Sahri dan saya tunjukkan kepada beliau gambar-gambar Sahri yang saya ambil di No Black Tie. Mat Jan saya kenal setelah namanya diumumkan pemenang Weblog Terbaik. Selesai majlis, saya bertemu beliau dan mengucapkan tahniah. Satu kemenangan yang sudah saya jangkakan sejak dari awal. Saya juga sempat bertemu Sridiah dan MBA2u sewaktu menebalkan muka berjalan ke meja mereka diperkenalkan diri oleh wkdin. Joliekins, Amyz dan Elin juga menegur.

Saya teringin benar ingin mengenali semua yang hadir pada malam itu tetapi keadaan tidak mengizinkan. Tembok ego masing-masing masih menebal dan bukan salah sesiapa. Salahkan diri sendiri. Namun sebagai tuan-rumah yang telah lama menginap dalam rumah gengjurnal, jika bukan tuan rumah lama yang mulakan, siapa lagi ? Takkan penyewa baru ? Inisiatif patut hadir dalam diri masing-masing tetapi inisiatif dari ahli-ahli lama perlu lebih lagi. Khabarnya, pertemuan yang terdahulu ada majlis taaruf. Pertemuan kali ini taaruf tidak dapat diadakan memandangkan keadaan tempat yang tidak mengizinkan. Ice-breaking merupakan satu yang bagus tetapi tidak semua ahli dapat meluangkan masa setengah hari untuk aktiviti gengjurnal sahaja.

Perbezaan senioriti itu memang saya lihat agak ketara. Ada meja senior, ada meja junior, ada meja blog popular, ada meja blog tidak popular. Terdengar bisik-bisik yang menyatakan seperti ini "Kalau kau pergi jumpa penulis itu, maknanya dia popular. Kalau kau ada orang jumpa nak kenal, maknanya kau dah popular. Kalau kau tolong bawakkan orang untuk kenal orang lain, maknanya kau nak menumpang glamour orang itu." Sampai begitu sekali. Saya hanya tersenyum.

Gengjurnal.net perlukan ahli yang muka jenis tidak tahu malu macam Iwan. Kali pertama datang gathering, tapi peramahnya macam sudah beberapa kali menyertai gathering gengjurnal.net. Saya tabik dengan tahap keyakinan diri beliau. Gengjurnal jika terus diramaikan dengan ahli yang tembok ego mereka tebal macam dinding penjara tidak akan ke mana. Ahli macam saya yang sukar untuk memulakan langkah pertama dalam perhubungan tentu menyukarkan GJ mencapai matlamatnya. Oleh yang demikian, baik ahli baru atau pun lama mesti memulakan inisiatif. Tembok tebal itu mesti kita robohkan sama-sama. Kita harus menerima dengan terbuka kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri kita dan diri orang lain.

Tiada inisiatif yang dijanakan oleh ahli-ahli lama untuk saling mengenali ahli-ahli baru. Susunan meja juga tidak memberikan kesan positif ke arah itu. Ahli-ahli dibenarkan memilih untuk duduk di mana-mana sahaja mengikut pilihan mereka. Oleh itu yang lama merasa selesa dengan yang lama dan yang baru termanggu-manggu dengan yang baru.

Dalam satu pertubuhan, kita jangan syok sendiri. Kalau kita syok sendiri yang akan penat bekerja hanyalah kita kerana walau sebagaimana ramai pun ahli pertubuhan itu ianya tidak akan mendapat kerjasama yang baik dari semua ahli. Itu silap paling besar. Lagi ramai ahli, lagi mudah untuk kita bekerjasama. Selain minat yang sama, duit juga merupakan pemangkin untuk kita terus bekerjasama.

AGE boleh mempelajari sesuatu dari apa yang telah berlaku dalam gengjurnal.net. Ahli lama atau pun baru perlu diberi peluang sama rata. Sekurang-kurangnya pengalaman ini mengajar saya bagaimana untuk menguruskan Akar Gita Estetika serta PFS yang rata-rata akan melibatkan pertambahan bilangan ahli dari masa ke semasa. Perasaan mereka harus saya jaga kerana apabila minat sudah dipupuk, perhubungan sudah tercipta dan rasa mesra sudah terikat ia akan memudahkan satu kumpulan itu untuk bergerak ke hadapan. Masalah inilah yang AGE sering hadapi. Perhubungan sesama ahli (baru dan lama) tidak sentiasa dirapatkan dan apabila ahli-ahli baru menjadi keluarga baru AGE, mereka cepat rasa tersisih.

Pemenang Anugerah

Berkenaan dengan anugerah malam itu, saya akan cuba memberikan beberapa komen yang termampu kerana tidak semua blog saya baca. Oleh yang demikian tidak wajar saya menilai. Seperti yang diumumkan oleh Rudy, saya merupakan juri untuk anugerah Weblog Baru Terbaik. Saya tentunya amat berharap keputusannya diterima ramai dengan positif. Bukan untuk anugerah itu sahaja tetapi untuk semua anugerah.

01. Pakaian Terbaik Lelaki: Khalil

02. Pakaian Terbaik Wanita: Mushroom

03.Catatan Entry Terbaik: Sup Kaki Ayam by Fajar
Anugerah ini memerlukan seseorang pembaca membaca kesemua entri yang ada sepanjang tempoh penilaian. Saya tidak layak memberi komen kerana banyak sangat blog yang ada di Malaysia. Saya perlu membuat pilihan sendiri kerana saya tidak punya lebihan masa untuk membacanya.

04. Weblog Bahasa Inggeris Terbaik: Princess Diary

05. Weblog Dakwah Terbaik: Esprit de Corps

06. Projek GJ Terbaik: Bowling Bukit Jalil

07. Anugerah 3D [ Design, Develop n Deploy ] : Nett
Sebetulnya anugerah ini perlu diberi penjelasan yang lebih terperinci kepada umum. Apa yang dinilai serta apakah kriteria-kriteria pemilihan.

08. Anugerah Khas Juri : sultanmuzaffar

09. Weblog Baru Terbaik: Jurnal Alam
Sebagai juri anugerah ini, saya dapat merasakan semakin banyak muncul weblog-weblog baru yang semakin bertambah dari hari ke sehari. Apa yang membimbangkan bila mereka hanya muncul untuk sebentar sahaja. Diharapkan jurnalalam akan terus mencurahkan idea-idea serta isi hatinya kepada umum sampai bila-bila.

10. Weblog Luar Negeri Terbaik: Tidak Diumumkan

11. Weblog Terbaik 2003: Jongkang Jongket
Satu kemenangan yang saya sudah jangka sejak awal pencalonan. Saya ikuti blog beliau juga sudah agak lama. Ada keunikan tersendiri. Saya akui saya tidak baca semua blog yang ada. Lebih-lebih lagi blog yang berbentuk diari peribadi. Saya hanya baca yang mempunyai keunikan sendiri. Komen-komen sinis beliau kadangkala mampu menyebabkan internal bleeding.

Saya serik ? Ya, mungkin ! Mungkin saya tidak begitu selesa dengan bilangan yang terlalu ramai. Saya lebih selesa dengan bilangan yang tidak terlalu ramai. Selepas Akademi Fantasia, hidup saya banyak berubah. Saya perlu menyesuaikan diri dengan setiap perubahan. Dan perubahan itu menyebabkan saya tidak selesa. InsyaAllah di masa akan datang jika ada pertemuan-pertemuan tidak formal, akan saya hadir. Tetapi bukan yang melibatkan terlalu ramai orang. Tahniah kepada pihak penganjur. Semoga di masa akan datang boleh diperbaiki.

Maaf jika ada nama yang tertinggal kerana memang sukar untuk memuaskan hati semua orang.

Ulasan-Ulasan Lain:
Rudy : Tukul Pahat GJ2003
Jongkang : url link
Fajar : Gathering Geng Jurnal - Side B
Iwan : url link
Manmoncang : url link
Purbe : url link
Mukeh : url link

Nota: Janji aku sebagai orang baru dah pergi jumpa dengan orang yang aku nak kenal. Yang baru atau lama yang nak kenal dengan aku, apa salahnya datang jumpa aku. Pasal orang yang aku nak kenal, aku dah pergi jumpa mereka. As simple as that. Aku amat berharap tiada siapa yang menganggap aku sombong malam itu. Takut dapat title tu !

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger