Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 18 January 2004

Sahri at No Black TieSuflan and Friends featuring Sahri
No Black Tie
Jumaat, 16 Januari 2004
10.30 malam - 1 pagi

Petang tersebut saya perlu menghadiri satu mesyuarat dengan TwoGateways.com di Pusat Dagang SS16. Saya risau kalau-kalau mesyuarat habis lewat dan tidak berkesempatan untuk makan malam bersama beberapa orang teman di No Black Tie. Alhamdulillah, mesyuarat habis awal dan hanya memakan masa selama 20 minit. Gila professional ! Saya sempat pulang ke rumah dan terus ke No Black Tie. Ini kali kedua saya singgah ke No Black Tie. Kali pertama sewaktu persembahan Sheila Majid sebelum beliau mengadakan persembahan untuk Phillips Jazz International sekitar tahun 2000. Persembahan kali ini merupakan antara persembahan-persembahan terakhir sebelum No Black Tie menutup premis mereka di sekitar kawasan hitam belakang Hotel Istana Negara. Seperti biasa, kalau dah perempuan yang “lead the way”, terpaksalah juga pusing dua-tiga round sekitar kawasan tersebut. Mereka telah sedia menanti ketibaan kami. Sahri di dalam sedang membuat persiapan terakhir. Adifashla dengan handphone tunggu kawan di luar. Sempat makan malam di Restoran sekitar No Black Tie.

Persembahan bermula sekitar jam 10.30 malam dengan persembahan pembukaan dari Suflan & Friends. Kata Suflan ini warm-up session. Persembahan jazz itu hanya menggunakan 4 instrumen iaitu piano, drum, saxophone dan bass gitar serta diselangi dengan vokal Sahri.

This Masquarade oleh Goerge Benson
Persembahan vokal dari Sahri bermula dengan lagu This Masquarade nyanyian asal George Benson. Permulaan yang baik untuk satu persembahan jazz yang mengkagumkan. Rata-rata penonton senang mendengar nyanyian Sahri lebih-lebih lagi kepada pasangan berbangsa Inggeris yang duduk berhadapan dengan Sahri kelihatan amat berpuas hati dengan persembahannya. Tahap keyakinan beliau masih belum terserlah pada lagu pertama ini tetapi melihatkan reaksi penonton, saya dapat merasakan keyakinannya sedikit meningkat untuk meneruskan dengan lagu yang kedua.

Go The Distance oleh Michael Bolton lirik
Lagu Go The Distance merupakan nyanyian asal Michael Bolton. Lagu ini bermula agak baik dengan solo piano oleh Suflan. Saya pernah mendengar beberapa kali lagu ini. Tidak dapat tidak, perbandingan telah saya buat. Ada beberapa kesilapan yang kurang enak didengar. Sahri cuba sedaya upaya untuk mempelbagaikan vokalnya tetapi kedengaran tidak kena dengan lagu tersebut. Namun demikian kekurangan ini tidak sedikit pun mencacatkan persembahan beliau yang seterusnya.

One Hundred Ways oleh Quincy Jones lirik
Best gila ! Saya tabik dengan vokal beliau. Beliau bijak mengawal tinggi rendah vokal beliau. Lagu tersebut memerlukan vokal jenis falsetto yang baik. Lebih-lebih lagi lagu ini agak rancak temponya. Pertukaran dari note tinggi kepada rendah dilakukan oleh Sahri dengan selamba. Menyuntik unsur-unsur soprano pada lagu tersebut secara tidak langsung mempersembahkan sebuah lagu menjadi begitu indah.

Sahri at No Black TieSekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi
Apabila ditanya oleh Suflan mahu lagu apa, Sahri terus menjawab “Mawar Merah !, Mawar Merah !”. Sahri sudah selesa dengan lagu ini. Penghayatan beliau untuk lagu ini terbaik. Susunan lagu ini dengan piano solo serta saxophone juga baik. Lagu ini sedikit sebanyak menaikkan keyakinan beliau.

Jazz solo oleh Suflan & Friends
Persembahan berhenti seketika untuk memberi laluan kepada Suflan & Friends menyajikan sebuah persembahan instrumental yang cemerlang. Dua buah lagu dimainkan dengan baik oleh 4 orang pemuzik profesional. Lebih menarik sewaktu masing-masing membuktikan skil masing-masing untuk persembahan solo. John Thomas, pemain drum berjaya memikat penonton dengan aksi beliau yang bersahaja serta kecekapan beliau mengendalikan drum tersebut.

Keabadian Cinta
Lagu ini bermula dengan baik oleh Suflan dengan petikan piano solo beliau. Sahri bijak mengawal penonton untuk mendengar beliau menghabiskan setiap baris lirik lagu Kebadian Cinta. Penonton benar-benar terbuai dengan lagu ini. Sahri telah menyanyikan lagu ini lebih baik dari persembahan beliau di Konsert Akademi Fantasia. Mungkin kerana penggunaan muzik iringan secara langsung memberikan sedikit kelebihan kepada beliau untuk mencorakkan lagu tersebut mengikut gayanya.

Every Little Thing She Does Is Magic oleh Sting lirik
Anda semua tahu siapa Sting bukan ? Penyanyi hebat dengan vokal macho dalam kelasnya tersendiri. Lagu rancak ini dipersembahkan oleh Sahri dengan baik. Sebutannya lancar. Seperti lagu One Hundrey Ways, Sahri bijak menvariasikan vokalnya dari note tinggi ke note rendah dengan baik sekali. Sahri cuba untuk memberikan showmanship yang baik walaupun tempat tersebut agak sempit. Sorry ! :)

Pelangi Akan Pulang, Sahri at No Black TiePelangi Akan Pulang ciptaan Suflan Shamsuddin
Permulaan lagu ini amat rendah, terlalu rendah jika boleh saya katakan. Baris-baris awal, saya tidak berapa dengar dengan vokalnya. Bukan Sahri tidak sampai tetapi mungkin disebabkan teknik pernafasan. Jika kena gaya, mesti sampai. Kata seorang teman, tajuk lagu ini Pelangi Akan Pulang tetapi kedengaran seperti Pelangi Atas Bulan. Kalau ya pun biarlah logik. Bila ada bulan mestilah malam, kalau malam ada ke pelangi ? :) Uniknya lagu ini ia bermula dengan amat rendah dan terus naik ke note yang agak tinggi. Sebuah lagu yang agak sesuai untuk dimuatkan di dalam album baru Sahri. Lagu ini menguji vokal beliau yang sebenar-benarnya.

My Funny Friend And Me oleh Sting lirik
Kata Sahri, lagu ini untuk teman-temannya yang hadir pada malam tersebut. Ada hampir 5 meja dipenuhi oleh peminat-peminat Akademi Fantasia. Wajah-wajah biasa yang kelihatan apabila setiap persembahan yang melibatkan bintang Akademi Fantasia. Sahri telah mempersembahkan lagu ini dengan penuh perasaan. Jika anda baca baris-baris liriknya, anda tentu turut sama merasai apa yang dirasai oleh saya. Sahabat senang memang banyak, sahabat susah dan senang itulah yang susah diperoleh. Vokal Sahri saya dengar lebih sesuai mendendangkan jenis lagu yang mendayu-dayu. Tetapi sekali sekala beliau perlu diuji dengan lagu yang rentaknya lebih moderate.

Jazz solo oleh Suflan & Friends

Grup Band Sahri at No Black TieSomeday
Penutup persembahan, Sahri menyanyikan lagu Someday. Lagu ini juga tipikal dari note rendah ke note tinggi. Pemilihan lagu ini membuktikan bahawa ia jenis yang sesuai dengan vokal Sahri. Rata-rata penonton terhibur dengan persembahan Sahri. Saya sendiri berpuas-hati dengan persembahan tersebut. Lagu-lagu yang dipilih sesuai dengan vokal beliau dan konsep persembahannya.

Sahri telah diuji dengan kepelbagaian vokal beliau melalui persembahan ini. Beliau telah diberi peluang untuk menonjolkan keunikan vokal beliau kepada umum melalui variasi lagu yang dipilih oleh Suflan. Dinamik vokal Sahri benar-benar teruji pada beberapa lagu. Genre jazz merupakan genre yang agak sukar kerana teknik vokal seperti soprano, falsetto merupakan kunci utama vokal genre-genre sedemikian. Setidak-tidaknya selepas malam tersebut Sahri telah membuktikan yang beliau berkemampuan dan berketrampilan untuk membawakan lagu dari genre tersebut.

Persoalan utamanya di sini bukanlah Sahri, tetapi bagaimana dengan bintang-bintang Akademi Fantasia yang lain. Sampai bila Adifashla akan terus menggunakan modal Aku Cinta Kau Dan Dia, Khai yang terus-terusan dengan lagu Dambaan Pilunya, Nana yang merasakan dirinya sudah terlalu selesa dengan lagu I Will Survive dan Rosma yang masih belum mahu menukar imej Nirmalanya serta ke mana hilangnya Azizi. Itu persoalan yang utama yang perlu difikirkan. Sahri telah diberi peluang itu, yang lain bagaimana ?

Pihak pengurusan Maestro perlu melakukan satu breakthrough dengan mengambil satu langkah bijak untuk mendedahkan mereka kepada pelbagai genre lagu secepat mungkin. Peminat juga tentu tidak mahu melihat Adi terus-terusan dengan lagu ACKDD dan Khai dengan DPnya. Mereka perlu disediakan asas ke arah perkembangan dan pembangunan bakat serta skil mereka. Sekurang-kurangnya untuk membentuk mereka menjadi seorang penyanyi dan penghibur serba boleh.

Aspek komunikasi juga perlu diambil perhatian. Saya perhatikan interaksi Sahri bersama penonton agak kaku dan tidak natural. Jarang sekali beliau memandang tepat dengan berani ke arah penonton kecuali kepada pengendali rakaman video. Salah satu cara untuk meningkatkan keyakinan berkomunikasi ialah dengan selalu bertemu peminat. Secara tidak langsung, perhubungan telah dibentuk dan ini menjadikan seseorang itu lebih selesa dan lebih berkeyakinan. Dunia mereka perlu diluaskan dan minda mereka perlu dibuka bukan setakat kepada dunia hiburan, tetapi juga dunia yang bukan menjadi dunia mereka hari-hari.

Kebanyakan lagu Inggeris yang dinyanyikan oleh Sahri dibantu dengan lirik yang berada di hadapannya. Sedikit sebanyak emosi dan jiwa lagu-lagu tersebut tidak berjaya disampai dengan penuh perasaan. Saya tidak salahkan Sahri kerana masa latihan yang begitu pendek. Lebih-lebih lagi bukan lagu beliau. Siti Nurhaliza pun sewaktu membuat persembahan di Konsert Salam Terakhir Untukmu Sudir menyanyi dengan bantuan prompter. Itu salah satu sebab mengapa saya tidak bangun untuk beri standing ovation kepada Siti Nurhaliza.

Saya pulang pagi itu dengan rasa sangat berpuas-hati walaupun pening-pening penangan Virgin Bloody Mary. Saya pulang untuk tidur dan bukannya pulang kerana tidak sabar untuk menyiapkan ulasan persembahan Sahri di No Black Tie. Sahri, Adi dan yang lain-lain, jika ada masa, lain kali kita boleh pekena teh tarik di Kampung Baru.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger