Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 29 July 2004

Novel Bersiri Akademi Impiana: Bahagian 35



Jumairi mendapat tahu bahawa dia akan dibawa dengan sebuah ambulans yang telah ditempah khas untuk memindahkannya ke sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur pada malam semalam. Dia juga telah mendapat tahu bahawa Salina telah menguruskan segala-galanya agar perkara ini dapat dilakukan dengan lancar.

Jumairi banyak kali memerhatikan hubungan di antara Salina dan Rahmat. Sebelum ini, Rahmat tidak pernah memberitahu kepadanya tentang kawan-kawannya di Kuala Lumpur. Kali ini, ketika dia menemuinya, tiba-tiba sahaja Rahmat membawa Salina bersamanya. Perkara ini sememangnya telah mengejutkannya, namun begitu dia dapat menerima kehadiran Salina di dalam hidupnya dan khususnya Rahmat dengan baik.

Jumairi cukup senang melihat hubungan yang terwujud di antara Salina dengan Rahmat. Didapatinya Salina seorang yang cukup prihatin terhadap dirinya, juga orang-orang yang terdekat dengannya. Semalam petang, Jumairi telah berpeluang untuk bertemu dengan ibu dan bapa Salina yang telah datang melawat dari Johor Bahru. Mereka telah datang untuk melawatnya setelah Salina memberitahu kepada mereka tentang keadaannya dirinya yang terlantar di hospital.

Sejuk hati Jumairi melihat budi pekerti Salina yang baik serta perwatakannya yang sopan serta lemah lembut. Semalam, barulah diketahuinya bahawa Salina adalah seorang anak kacukan, walaupun persoalan ini telah bermain-main di dalam benak fikirannya sejak kali pertama dia bertentang mata dengan Salina. Bapanya, Leone Alberti atau nama Islamnya Sulaiman Abdullah adalah seorang yang peramah - maka fahamlah Jumairi di mana datangnya sikap peramah Salina itu dan kecantikannya pasti datangnya dari ibunya yang masih kelihatan jelita walaupun umurnya telahpun mencecah setengah abad.

Sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, Jumairi telah meminta agar Rahmat pulang ke rumahnya di kampung dan mengambil sebentuk cincin yang masih tersimpan dengan baik di dalam almarinya. Jumairi telah meminta agar Rahmat membawa cincin tersebut kepadanya pada pagi itu sebelum dia dibawa ke Kuala Lumpur. Dan ada sesuatu yang penting yang ingin diamanahkan kepadanya nanti, katanya.

“Ibu dan bapak kamu bagaimana?” tanya Jumairi kepada Salina yang sedang mengemaskan beberapa barangan kepunyaan Jumairi lalu dimasukkannya ke dalam sebuah beg kecil. Salina menemani Jumairi sementara menunggu ketibaan pembantu kesihatan, sambil-sambil masih menanti ketibaan Rahmat yang pergi mengambil salinan bil hospital dari pejabat pengurusan.

“Mereka sihat sahaja. Sebelum mereka pulang ke JB malam semalam, mereka sekali lagi kirim salam kepada pak cik. Mereka harap pak cik akan beransur sihat. Mereka akan ke KL nanti untuk melihat perkembangan pak cik di sana.” Jelas Salina dengan tertib. Setelah jam tangan kepunyaan Jumairi dimasukkan ke dalam beg kecil yang dipegangnya, beg tersebut ditutup zipnya dengan penuh berhati-hati.

“Apa yang ibu dan bapa kau bualkan dengan Rahmat semalam. Lama aku tengok mereka berbual di luar.” tanya Jumairi.

“Mereka bertanyakan kepada Rahmat tentang pak cik. Mereka juga saya rasa mahu berkenalan dengan Rahmat. Mereka memang macam tu, pak cik. Sejak saya kecil lagi, semua kawan-kawan saya mahu mereka dikenali.”

“Kamu dengan Rahmat... Kawan sahaja?”

“Ya pak cik. Kami berkawan. Sebenarnya kami baru sahaja berkenalan.” Jawab Salina malu-malu. “Kami mula berkenalan bila dia datang ke pejabat saya--”

“Aku tahu kau suka dengan si Rahmat tu.” Jumairi melemparkan sekuntum senyuman kepada Salina yang bentuknya hampir sama dengan senyuman nakal dari Rahmat.

Salina tidak menjawab. Dia sedikit terkejut mendengar kalimah-kalimah itu keluar dari mulut Jumairi. Salina hanya mampu membalas senyumannya.

“Saya sebenarnya dua tahun lebih tua dari Rahmat, pak cik. Jadi--”

“Sejak bila pula umur jadi penghalang?”

“Penghalang kepada apa pak cik?” tanya Salina dengan nada mengusik.

“Pak cik tahu pak cik tak ada banyak masa lagi di dunia ni. Jadi, satu-satunya perkara yang pak cik mahu pastikan adalah kehidupan Rahmat terurus. Pak cik tak mahu dia melakukan segala kesilapan yang pernah pak cik lakukan dahulu. Pak cik mahu dia bahagia. Pak cik dapat rasakan, dia akan dapat kecapi kebahagiaan yang dia cari-cari semala ini jika dia bersama kamu.”

“Soal hidup dan mati, jodoh pertemuan tu semua di tangan tuhan, pak cik...” Salina memegang tangan Jumairi dengan erat. “Entahlah pak cik... Mak dan bapa saya pun cakap benda yang sama kepada saya semalam...”

“Apa yang mereka kata?”

“Mereka tanya kepada saya, bila lagi saya nak berkahwin. Mereka fikir saya dan Rahmat dah lama berkenalan dan kami mempunyai hubungan yang lebih erat dari sekadar seorang sahabat biasa. Mungkin salah faham tu berlaku bila mereka lihat saya telah ke sini mahu membantunya--”

“Kau ada hati dengan Rahmat?” tanya Jumairi sambil tersenyum walaupun dia sudah dapat meneka jawapannya.

Salina serba salah mahu menjawab soalan tersebut dari Jumairi. Katanya dengan suara yang tenang:

“Saya memang ada menaruh perasaan kepadanya. Tetapi saya tak tahu jika selama ini saya sekadar bertepuk sebelah tangan.”

“Aku sebenarnya cukup kenal dengan si Rahmat tu... Dari gerak-gerinya, aku dah boleh agak dia suka dengan kau, cuma dia belum bersedia untuk memberitahu kepada kau, agaknya...”

Salina tidak menjawab. Dia sekadar mendengar apa yang ingin dikatakan lagi oleh Jumairi kepadanya:

“Mereka tahu tentang pekerjaan Rahmat dan kedudukan keluarga kami?”

“Mereka tahu. Mereka tidak pentingkan itu semua. Mak saya sendiri dari sebuah keluarga yang susah. Mereka ada cakap semalam kepada saya... Mereka tidak kisah siapa yang saya pilih sebagai kawan... Atau calon suami, asalkan saya bahagia. Itu yang penting bagi mereka...”

Rahmat tiba-tiba masuk ke dalam wad. Dia menyerahkan bil rawatan hospital yang ada di tangannya kepada Salina. Salina cepat-cepat memasukkan bil tersebut ke dalam beg tangannya.

“Awak berbual pasal apa tadi?” tanya Rahmat sambil mendekatkan dirinya kepada bapanya.

“Kita gossip pasal awak lah, apa lagi!” Salina menjeling manja. Rahmat tersengih sendiri. Jumairi cukup senang melihat Rahmat kembali ceria dan tidak murung seperti semalam.

“Ayah... Ini cincin yang ayah suruh saya cari semalam. Hampir setengah jam saya mencari barulah jumpa.” Rahmat menyerahkan sebentuk cincin yang selama ini tidak pernah dilihatnya kepada Jumairi.

“Cincin ini kepunyaan ibu kamu, cincin kahwinnya. Dia tinggalkan cincin ini kepada aku bila kami berpisah dahulu,” ujar Jumairi dengan perlahan. Dia mengamati cincin emas yang bertatahkan berlian itu. Memori suka duka dia bersama bekas isterinya tiba-tiba membasahi jiwanya. Jumairi menarik nafasnya panjang-panjang. Nafas penuh rasa kesal. “Aku pernah sayang dengan ibu kau itu setengah mati, walaupun selama ini aku beritahu kepada kau yang aku membencinya. Aku mahu meminta maaf jika aku dah tanamkan rasa benci kau kepada ibu kau tu selama ini. Aku tak sepatutnya melakukan ini semua.”

Rahmat berdiri kaku. Perasaannya sedikit terganggu mendengar penjelasan dari Jumairi tadi.

“Salina, aku mahu kau terima cincin ini.” Jumairi memegang kedua belah tangan Salina lalu menyerahkan cincin tersebut kepadanya. “Tak banyak harta yang aku ada untuk aku serahkan kepada kau untuk membalas segala budi baik kau kepada aku. Tapi ini sahaja yang aku ada...”

Salina termanggu buat beberapa ketika. Dia memandang ke arah wajah Rahmat yang kini nampak sedikit kabur.

“Saya tidak boleh terima pemberian pak cik ini. Lagipun saya tolong pak cik dengan iklas.” perasaan sebak mula melanda dirinya. Salina berharap Rahmat akan mengatakan sesuatu kepada bapanya, tetapi Rahmat terus tercegat berdiri tanpa sepatah perkataan pun terkeluar dari mulutnya.

“Aku juga ikhlas mahu memberi. Aku harap, kau jagalah nanti cincin ini baik-baik.” Jumairi menyarungkan cincin tersebut ke jari manis tangan kanan Salina. Salina tertunduk akur.

“Rahmat... Aku harap kau akan dapat jaga Salina ini betul-betul. Salina ini baik budaknya.”

Rahmat mengangguk sekali. Dia perpaling ke arah Salina yang sedang memandang sayu ke dalam wajah Jumaini.

“Satu lagi... Bila kau pulang ke KL nanti. Aku harap kau akan mencari ibu kau tu. Mungkin dia akan dapat jelaskan segala-galanya kepada kau tentang aku dan mengapa dia tinggalkan aku dahulu. Aku mahu kau tahu sendiri darinya.”

Rahmat memegang tengkuknya sebelum dia mengangguk sekali lagi.

“Maaf encik, kami mahu menghantar Encik Jumairi masuk ke dalam Ambulans.” Ujar seorang pembantu perubatan kepada Rahmat. Mereka meminta agar Rahmat dan Salina keluar dari wad agar dia serta dua orang rakannya lagi dapat melakukan tugas mereka dengan lancar.

Rahmat mencium tangan bapanya. Diikuti oleh Salina. Mereka berdua memberi ucapan selamat jalan kepadanya dan memberitahu kepada Jumairi bahawa mereka akan menunggunya di Kuala Lumpur nanti...

**


Menangani Media - Berikut merupakan soalan-soalan cepumas yang akan ditanyakan oleh media kepada pelajar-pelajar Akademi Impiana 2 apabila mereka terkenal kelak dan apa yang mungkin akan dijawab oleh mereka

Soalan dari media: Terdapat tohmahan-tohmahan di dalam beberapa buah forum dan laman di Internet yang mengatakan kerana anda seorang pereka fesyen yang lembut ditambah dengan kecenderungan anda suka memakai pakaian ala wanita lengkap bertocang, bahawa anda adalah seorang lelaki gay...
Jawapan: Bukan semua pereka fesyen itu gay! Saya tahu saya lembut tapi saya suka dengan perempuan yang pandai bergaya dan nampak jelita dan absolutely fabulous seperti saya.

Soalan dari media: Mengapa awak suka membetulkan dandanan rambut awak dan melihat wajah awak di cermin setiap tiga minit?
Jawapan: Saya telah dinasihati oleh seorang pakar rambut agar melakukan membetulkan rambut saya setiap masa agar rambut saya nanti tidak gugur.

Soalan dari media: Adakah kamu sememangnya seorang jejaka yang nakal?
Jawapan: Rilek lah brader. Tak syok lah nanti kalau Misha tahu pasal benda ni!

Soalan dari media: Kenapa saudari suka menyebut “breep-breeep?”
Jawapan: Breep-breeeeeeeppppp!

Soalan dari media: Mengapa anda suka menukar irama sesebuah lagu yang anda terima kepada irama R&B sehingga mengubah jiwa lagu tersebut?
Jawapan: (mengulangi kembali soalan yang dikemukakan kepadanya dengan lenggok R&B tanpa menjawab jawapan yang ditanya kepadanya)

Soalan dari media: Adakah saudari sedar suara saudari sumbang dan saudari mempunyai masalah untuk mengenali tone muzik?
Jawapan: Ermm... (termenung selama dua minit) Apa kau cakap tadi? Kamik tak paham!


**


Mantera meng-R&B seperti mana yang tidak akan dinyanyikan oleh Khir di dalam Konsert Akademi Impiana nanti (Lirik oleh Dom Junior)


Oh! Sedapnya udang yang diberi
Sehingga aku
Memakan tanpa terhenti
Agar aku bisa menyanyi
Penuh lenggok stail
Bagaikan berada di BB

Oh! sepuluh ekor udang lagi,
Ku baham bersama

Boboy di sarapan pagi
Tapi kini aku tanggungni
disuntik kerna gatal dan alergi
Telantar di sofa
Untuk -� menagih undi simpati

Biar apa lagu diberi
Ku tetap kan R & B
Berkali-kali telah diteguri
Nyayian ku tetap R&B
Ku seru mantera kusendiri
Mantera meng - R&B.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger