Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 14 August 2004

Akademi Fantasia IIKemuncak Konsert Akademi Fantasia

Bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil, Zahid telah dinobatkan sebagai Juara Akademi Fantasia II menewaskan saingannya bintang AFMASUK iaitu Linda dan bintang klon iaitu Adam. Persembahan konsert yang berlangsung hampir empat jam telah menampilkan 6 finalis yang terdiri dari pelbagai latarbelakang dan bandar.

Persembahan konsert kali ini agak hambar dan tidak meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada penonton. Kesan Akademi Fantasia I jauh lebih hebat daripada musim yang kedua ini.

Suka saya menambah tentang kamera yang merakamkan siaran langsung tersebut. Saya bernasib baik kerana berpeluang untuk menonton siaran langsung di stadium dan kemudian menonton siaran ulangannya di rumah keesokkannya. Saya mengakui, sebagai penonton di rumah tentulah kita mahu merasai kehangatan yang berlangsung di stadium sama seperti apa yang dirasai oleh penonton di stadium. Sayangnya, apabila menonton di rumah, pergerakan kamera tidak seperti yang diharapkan. Saiz stadium yang agak luas menyebabkan terlalu banyak shot-shot jauh yang mana saiz penyanyi yang sedang beraksi di atas pentas terlalu kecil. Banyak aksi-aksi menarik yang tidak dapat ditonton di rumah. Yang seronok apabila menonton di stadium apabila air-horn dibunyikan dan bunyi itu datang tidak sampai 20cm dari telinga saya. Yang seronok apabila menonton di stadium kita dapat mendengar dengan jelas jeritan boo oleh sebahagian penonton apabila Linda membuat persembahan dan diumumkan sebagai Naib Juara. Yang seronok apabila di stadium saya dapat bertemu dengan sebilangan pembaca blog ini yang bertemu di stadium buat pertama kali.

Akademi Fantasia II membuka satu episod baru dalam hidup saya juga telah memberi seribu macam kenangan-kenangan yang baru. Kali ini saya berpeluang untuk muncul di dalam Imbasan IV Akademi Fantasia. Walaupun saya sendiri kurang berpuas hati dengan hasilnya, ia tetap memberikan satu kenangan paling manis. Ekoran daripa kemunculan tersebut, nama saya sekali lagi telah disebut di dalam Surat Pilihan Pembaca di dalam Berita Minggu yang mana surat tersebut telah ditulis oleh Wani yang bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Yang paling membanggakan saya apabila Surat Untuk Ibu Ayuna tulisan salah seorang sahabat saya telah tersiar di dalam kolum yang sama di dalam Berita Minggu semalam. Permulaan positif ini menandakan yang tulisan saya dibaca oleh mereka dan timbul satu perdebatan yang sihat di kalangan pembaca. Itu yang lebih membanggakan saya.

Akademi Fantasia IIKedudukan Selepas Konsert
Juara – Zahid 28%
Naib Juara – Linda 21%
Tempat Ketiga – Adam 14%
Tempat Keempat – Farah 14%
Tempat Kelima – Bob 13%
Tempat Keenam – Kaer 11%

Pengkritik Profesional
Farihin Abdul Fatah selaku Pengkritik Profesional muncul semula untuk memberikan komen-komen bernas beliau. Saya merasakan beliau layak untuk menduduki kerusi Pengetua untuk Akademi Fantasia III. Beliau telah memberikan komen-komen yang jujur dan amat penting buat setiap pelajar. Mamat Khalid yang juga muncul semula telah menyuntik elemen jenaka pada setiap komennya dan merayu undi pelajar yang berada di tangga di bawah. Kudsia Kahar seperti biasa memberikan komen-komen yang biasa dan agak emosi sewaktu Bob selesai membuat persembahan.

Sumbangan Biasiswa dan Derma
Pengumuman sumbangan biasiswa bernilai RM300,000 untuk rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran dalam bidang seni amat kena untuk membawa nama Malaysia ke satu peringkat yang lebih tinggi. Selain daripada itu, sumbangan derma sebanyak RM200,000 akan diserahkan kepada badan-badan kebajikan yang memerlukan.

Persembahan Pelajar
Akademi Fantasia IIAdam Ooo La La 4/10
Persembahan Adam benar-benar mengecewakan kerana saya mahu melihat Adam dan bukannya KRU. Panggilan telefon dari Yusry benar-benar memberi lesen besar kepada Adam untuk meniru bulat-bulat persembahan KRU pada konsert-konsert mereka sepuluh tahun lampau. Koreograf yang ditampilkan oleh Adam merupakan koreograf KRU zaman 90an. Sepuluh tahun telah berlalu. Adam sememangnya bijak berinteraksi dengan penonton di stadium mahupun di rumah. Penguasaan pentasnya baik. Adam mempunyai vokal yang baik tetapi tumpuannya terlalu tertumpu kepada koreograf menyebabkan kegagalan beliau mengawal vokal beliau dengan baik. Stamina beliau yang tidak setanding untuk sebuah lagu rancak telah menyebabkan momentum persembahannya jatuh.

Kudsia Kahar khabarnya sering menyaksikan konsert baik di luar negara mahupun di dalam negara. Oleh itu, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila beliau menilai sebuah koreograf yang tiada kreativiti dari Adam sebagai sebuah persembahan yang menarik. Kudsia besar kemungkinan tidak pernah menonton Konsert KRU dan beliau merasakan koreograf Adam adalah koreograf yang asli. Adam harus sedar bahawa mesej Farihin yang beliau harus menyertai KRU adalah satu sindiran dan bukannya galakan.

Akademi Fantasia IIZahid Biarkan Bulan Bicara 7/10
Kejutan untuk Zahid ialah ditayangkan gambar-gambar Zahid sewaktu kecil. Gambar-gambar yang sama sebenarnya telah tersebar di internet pada awal minggu ini. Kerja siapa, tidak kita ketahui.

Sebuah persembahan yang mantap dari Zahid jika dinilai dari sudut vokal tetapi masih kurang penghayatan yang baik untuk membuatkan penonton suka dengan persembahan tersebut. Beliau sekadar berdiri dan menyanyikan lagu tersebut. Kekuatan utama persembahannya ialah mutu vokal beliau yang agak mantap. Beliau berjaya menarik perhatian saya untuk mendengar nyanyiannya dari awal sehingga akhir lebih-lebih lagi beliau menyanyikan sebuah lagu yang tidak popular. Saya ingin mendengar bagaimana beliau mencorakkan lagu tersebut.

Akademi Fantasia IILinda Aku Cinta Kamu 5/10
Kejutan untuk Linda apabila Nurul penulis lirik lagu tersebut muncul untuk menemuinya. Beliau telah menghadiahkan Linda sepasang anting-anting untuk dipakai sewaktu membuat persembahan. Pakaian yang dipakai oleh Linda direka oleh Bill Keith.

Pada salah satu episod Diari Akademi, Ajai telah memberitahu bahawa lagu tersebut ada kena mengena dengan Akademi Fantasia. Saya telah meletakkan harapan yang tinggi untuk dapat menghayati lagu tersebut sebaik-baiknya kerana saya amat meminati Akademi Fantasia. Saya cuba untuk menafsirkan lirik-liriknya dan membuai perasaan saya bersama-sama Linda. Tetapi sayangnya ia tidak kesampaian. Jika salah satu lirik lagu tersebut turut menyatakan bagaimana rasa apabila kembali semula ke Akademi Fantasia, Linda tidak dapat membuatkan penonton merasainya. Keikhlasan Linda menghadiahkan lagu tersebut kepada penonton tidak disambut baik oleh penonton kerana penghayatan beliau yang tidak begitu baik untuk lagu tersebut. Wajahnya memang tidak seceria sewaktu beliau berada di Akademi Fantasia secara halal. Ekspresi wajahnya jelas nampak tidak berkeyakinan tinggi dan sekadar menyiapkan kerjanya sahaja. Linda punya vokal yang mantap, lontaran vokalnya tinggi dan mempunyai personaliti untuk lahir sebagai bintang baru industri seni Malaysia.

Akademi Fantasia IIBob Gadis Sarawak 9.3/10
Pada pendapat saya beliau sewajarnya diberi satu anugerah khas kerana telah berjaya mengharungi cabaran besar dalam Akademi Fantasia untuk menjadi seorang yang versatile. Bob merupakan pelajar paling menyerlah pada persembahan semalam. Beliau seorang penghibur yang serba-boleh. Vokalnya mantap. Karismanya besar untuk menjadi seorang penghibur. Beliau bijak menguasai pentas dengan pergerakan-pergerakan yang kena dengan rentak lagu tersebut. Interaksi dengan kamera dan penonton dibuat dengan baik oleh beliau.

Kekuatan utama persembahan Bob ialah beliau berjaya meyakinkan penonton dengan kemantapan vokalnya serta tenaga yang dibawa oleh beliau melalui lagu tersebut. Beliau berjaya membawa penonton mendekati Sarawak dalam masa yang singkat pada persembahannya. Pakaian berkonsepkan etnik Sarawak dengan elemen pua kumbu yang direka oleh Salikin Sidik juga kena dengan konsep lagu tersebut.

Akademi Fantasia IIFarah Tangisan Dalam Kerinduan 8.6/10
Jika bukan Farah yang menyanyikan lagu ini, tentunya lagu ini dinyanyikan oleh Zarina dengan nada diturunkan sedikit. Menurut Cikgu Adnan sendiri, lirik lagu tersebut berdasarkan kisah salah seorang kawan Farah di Akademi Fantasia. Salah satu perkataan pada lirik tersebut yang terus mengingatkan saya tentang Zarina ialah gambar wajah.

Saya melihat persembahan Farah amat bersahaja. Penonton sudah berasa tenang setiap kali sebelum beliau membawakan nada tinggi. Penonton sudah mula berasa yakin dengan kemantapan vokal beliau. Ini berbeza sewaktu beliau menyanyi pada minggu-minggu awal di Akademi Fantasia. Penonton sentiasa resah menantikan bahagian korus. Nyanyiannya bagus dan sebutannya jelas. Mesej lagu tersebut sampai kepada penonton kerana penghayatan Farah untuk lagu ini sememangnya hebat. Beliau kelihatan bersahaja menyampaikan lagu tersebut pada nada rendah sehingga nada tinggi. Lagu ini telah menyerlahkan kematangan Farah yang pada awalnya ramai menyangka yang Farah hanya berkebolehan untuk menjerit.

Akademi Fantasia IIKaer Sway 8.4/10
Sebuah persembahan muzikal yang biasa dari Kaer. Menariknya persembahan ini apabila Kaer dapat menguasai pentasnya dengan bersahaja. Interaksinya dengan penari latar juga kena dengan mesej lagu tersebut. Beliau telah memberikan persembahan yang sederhana tetapi memadai dengan konsep persembahannya. Kaer bijak mengawal keseronokan penonton dan mengambil hati mereka dengan gaya persembahan yang berpewatakan.

Mutu vokal beliau tidak sebaik yang diharapkan. Keyakinannya tinggi tetapi tumpuannya terlalu menumpukan kepada koreograf lagu tersebut. Pergerakan-pergerakannya mampu membuatkan penonton bersorak kegembiraan apabila melihatkan aksi Kaer.

Kaer boleh saya sifatkan menang sorak tetapi tidak berjaya membuatkan penonton untuk mengundinya. Kaer perlu meningkatkan lagi keyakinannya yang sering tidak konsisten dan banyak menganggu tumpuannya.

Akademi Fantasia IIAdam Haruskah 6/10
Saya menyukai melodi permulaan lagu ini. Sebuah ciptaan yang indah dan sesuai dengan imej Adam. Lirik lagu ini turut diselitkan bahasa Inggeris. Segala keperluan dalam penciptaan lagu telah diambil kira untuk Adam.

Tetapi sayangnya, vokal beliau tidak menyerlah untuk lagu ini. Sebutannya tidak jelas. Showmanship Adam untuk lagu ini lebih yakin dan beliau bijak menguasai pentas dengan baik.

Adam, yang terlalu menyintai dirinya telah membawakan lagu ini dalam keagungannya kepada KRU. Agungnya KRU di mata Adam sehingga lupa yang KRU tidak pernah menangis sengsara sewaktu merakamkan sebuah lagu lama iaitu Getaran Jiwa yang berjaya mencipta kontroversi.

Akademi Fantasia IIZahid Milikku 9/10
Terbukti yang Zahid seorang yang versatile dan genre rap merupakan genre pilihannya. Karisma yang dibawa oleh Zahid di atas pentas begitu tinggi. Penonton menantikan persembahannya dengan bersungguh-sungguh. Pergerakan beliau di atas pentas amat profesional.

Beliau bijak mengawal lontaran vokalnya dengan cemerlang. Pergerakannya dikawal oleh stamina yang baik dan Zahid telah memberikan sebuah persembahan yang bertenaga. Beliau melontarkan mesej lagu tersebut dalam penghayatan yang cukup baik.

Saya suka dengan pergerakan-pergerakan Zahid yang penuh attitude dan sesuai dengan lagu. Penguasaan pentasnya hebat dan interaksi beliau dengan penonton di rumah dan stadium amat cemerlang. Penonton memberikan tindakbalas yang positif. Kelemahan utama Zahid ialah falsetto yang tidak cukup hebat untuk melengkapkan persembahan lagu tersebut.

Akademi Fantasia IILinda Only You 8/10
Saya amat menyenangi persembahan Linda. Penghayatannya untuk lagu ini lebih baik kerana beliau sudah biasa menyanyikan lagu ini. Range vokal Linda amat besar dan beliau bijak menggunakan kelebihan tersebut. Beliau telah berjaya menyesuaikan vokalnya dengan lagu tersebut.

Penghayatannya berjaya membuatkan saya terpaku menonton persembahannya. Kekuatan utamanya ialah vokal yang mantap. Walaupun saya tidak memahami makna lagu tersebut, perkaitan lagu tersebut berjaya dihubungkan kepada saya.

Linda mempunyai karisma sebagai seorang penghibur yang disegani sebelum dicalarkan imejnya dengan kemasukan semula ke Akademi Fantasia. Saya dapat merasakan hanya segelintir sahaja yang tidak dapat menerima hakikat kebenaran tersebut kerana Linda telah pun dinobatkan sebagai Naib Juara Akademi Fantasia.

Akademi Fantasia IIBob Cinta Seorang Teman 9.5/10
Cinta Seorang Teman ialah persembahan terbaik di Kemuncak Konsert Akademi Fantasia. Segalanya hebat. Bob telah menyempurnakan tugasnya dengan cemerlang tetapi tidak pengundi. Pengundi masih menilai fizikal sebagai salah satu faktor pemilihan.

Sebuah lagu yang dicipta oleh Cikgu Adnan telah disampaikan dengan penuh penghayatan oleh Bob. Bermula dengan nada yang rendah dan kemudian di bawa ke bahagian tinggi, Bob telah membuai penonton dengan lagu tersebut. Penghayatannya dashyat.

Beliau merupakan pelajar yang mempunyai vokal paling hebat di Akademi Fantasia. Persembahannya sederhana tetapi telah dibawa dengan kreatif oleh Bob.

Rata-rata penonton menyukai dengan persembahan penuh penghayatan oleh Bob. Lagu ini seakan-akan sedang berputar-putar dalam kotak fikiran penonton. Sebuah lagu baru yang jarang-jarang dapat menangkap perhatian penonton walaupun baru pertama kali didengari.

Akademi Fantasia IIFarah Sk8erboi 7.5/10
Farah dan Johhny memang sukar untuk dipisahkan. Kemesraan mereka di Akademi Fantasia lebih serasi daripada Farah dipadankan bersama Adam. Saya lebih menyukai sekiranya Farah memilih Johnny berbanding Adam yang lebih bersifat narcissistic. Farah seringkali dilihat bersama dan melayan Johnny. Buat pertama kali, Johnny diperkenalkan kepada umum. Farah harus memilih antara Johnny sebenar dan Rosyam Nor. Kejujuran Farah terserlah apabila jambangan bunga dari Johnny dahulu sebelum mengambil dari Rosyam Nor. Sememangnya Farah benar-benar ingin bertemu Johnny. Impiannya tercapai.

Farah seorang yang sedar ruangnya dan menanti sehingga Johnny bersedia di kamera. Persembahan bertenaga Farah untuk lagu Sk8erboi benar-benar memikat. Sebuah persembahan yang biasa tetapi mampu memikat hati penonton dengan showmanship Farah yang bertenaga. Farah mempunyai attitude yang sesuai untuk lagu sebegini. Kini Farah diuji dengan sebuah lagu berentak rock dan cabaran itu diharungi tanpa perlu menangis teresak-esak seperti Adam. Penguasaan pentasnya agak terganggu kerana penari latar yang terlalu ramai dan nampak serabut.

Vokal Farah tidak begitu menyerlah untuk lagu ini kerana kurang stamina untuk mengekalkan momentum persembahannya sehingga penamat. Persembahan Farah nampak cemerlang kerana ditutup dengan pergerakannya di atas pentas.

Akademi Fantasia IIKaer Kembali Bersama 8.7/10
Saya tidak pasti tajuk lagu ini sebenarnya. Sekejap Kau Kembali, sekejap Kembali Bersama. Saya keliru. Lirik lagu ini pada mulanya berbeza dengan apa yang dinyanyikan oleh Kaer. Mungkin juga ini salah satu sebab mengapa sokongan kepada Kaer berkurangan kerana pengundi Kaer sedikit kecewa dengan keadaan tersebut.

Lagu R&B sememangnya kena dengan vokal Kaer dan beliau sendiri inginkan imej sedemikian. Kaer bijak berinteraksi dengan penonton dan kamera. Penghayatannya untuk lagu ini bagus. Kaer berani untuk melenggokkan melodi lagu tersebut mengikut gayanya tetapi adakalanya beliau agak terbabas dan terlalu berlebihan.

Jika golongan remaja mahu menjadikannya seorang idola, Kaer ialah pilihan yang tepat. Seorang yang tidak mudah patah semangat, cekal, bermotivasi tinggi, rela menyahut cabaran dan berani menempuh segala dugaan. Perjalanan beliau di Akademi Fantasia tidak mudah lebih-lebih lagi didorong dengan masalah keluarga yang dihadapi olehnya.

Beliau antara penyanyi lelaki yang mempunyai mutu vokal yang mantap terutamanya apabila mendapat lagu yang kena dengan imejnya. Beliau punya daya untuk memberikan warna sendiri pada lagu tersebut.

Akademi Fantasia IIMedley Bekas Pelajar 5/10
Persembahan Medley Bekas Pelajar bermula dengan Nurul yang membawakan lagu Sejakku Bertemu Padamu. Lagu tersebut merupakan antara persembahan terbaik Nurul dan Nurul telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Fitri muncul dengan rekaan pakaian yang unik ciptaan beliau sendiri membawakan lagu Jepun bertajuk First Love. Edlin membawakan lagu Can’t Fight The Moon Light dengan penuh berkeyakinan. Walaupun berlaku masalah teknikal, Edlin dengan selamba meneruskan persembahannya tanpa tergugat dengan masalah tersebut.

Akademi Fantasia IIKemunculan Justin Timberlake Malaysia, Anding benar-benar memukau. Di Stadium Putra vokalnya seperti tidak begitu jelas dan amat berbeza apabila menonton di rumah. Saya suka dengan perwatakan yang dibawakan oleh Anding dengan lagu Senorita itu. Beliau menampilkan imej yang lebih memukau dan penguasaan pentasnya hebat. Gelek Mas untuk lagu Penasaran sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat Akademi Fantasia yang kempunan untuk melihat beliau membawakan lagu dangdut. Zarina dan Khai dipertemukan semula dengan lagu Pulangkan. Sebuah lagu yang amat sesuai dibawakan oleh Zarina untuk menceritakan perjalanan hidupnya.

Persembahan ditutup dengan lagu Seasons In The Sun yang mana Anding, Zarina dan Edlin merupakan kekuatan lagu tersebut. Yang peliknya enam finalis tidak disatukan dalam persembahan tersebut seperti Thank You For The Music tahun lepas. Saya dapat melihat Kaer mengharapkan pelepasan dari Aznil untuk turut sama bersama-sama menyanyikan lagu tersebut.

Secara keseluruhan persembahan Medley Bekas Pelajar tidak seperti yang diharapkan. Kesan kepada penonton tidak sehebat persembahan Medley Bekas Pelajar Akademi Fantasia I. Fenomena yang melanda negara tahun lepas kesannya begitu hebat sehingga penonton bersorak meraikan persembahan Nana serta menangisi persembahan Adi dan Sahri. Persembahan tahun ini tidak begitu meyakinkan penonton untuk memberikan tepukan hebat untuk mereka.

Akademi Fantasia IIMenuju Puncak (featuring Tenaga Pengajar)
Kejutan seterusnya menampilkan persembahan terakhir Menuju Puncak pelajar bersama Tenaga Pengajar. Versi Ke Laut ini merupakan satu yang agak unik apabila guru-guru turut sama berada di pentas meraikan pelajar yang telah pun tamat pengajiannya di Akademi Fantasia.

Kehebatan Linda Jasmine dan Corrie menari bersama mereka umpama mereka salah seorang pelajar Akademi Fantasia. Ini adalah antara saat-saat yang tidak dapat dilupakan di dalam Akademi Fantasia.

Akademi Fantasia IIKeputusan Rakyat Malaysia
Rakyat Malaysia telah pun membuat keputusan mereka. Pelajar pilihan Pengkritik Profesional tidak dapat mengatasi pilihan rakyat Malaysia. Itulah SMS. Apabila diletakkan kuasa ke atas penonton untuk membuat pilihan. Penilaian penonton berbeza-beza. Mengaku atau pun tidak, sentimen kenegerian, faktor fizikal, faktor pendidikan akan dijadikan sandaran dalam pemilihan. Saya tidak meletakkan segala kesalahan kepada penonton kerana inilah tv realiti. Realiti itulah cermin kepada apa yang berlaku sekarang. Album yang baik gagal di pasaran, tetapi album yang biasa masih gagah di pasaran kerana ada pembelinya. Industri seni Malaysia masih didorong faktor komersial.

Lihat bagaimana terkejutnya Adam apabila diumumkan sebagai pemenang Tempat Ketiga kerana beliau menyangkakan dengan kedudukan yang teratas pada Konsert IX akan terus melonjakkan namanya sehingga Kemuncak Konsert. Tidakkah pernah beliau terfikir di mana tahap dirinya jika dibandingkan dengan Zahid dan Bob juga Kaer ? Linda sememangnya terkejut dengan keputusan simpati rakyat Malaysia kepadanya. Beliau merasa serba salah dengan keputusan tersebut. Tindakan penonton mem’boo’ Linda sememangnya satu tindakan yang kejam. Bukan salah Linda berada di situ. Bukan salah Linda yang mampu melonjakkan undiannya sehingga muncul Naib Juara. Kemunculan Linda di saat-saat akhir telah melonjakkan undian untuk Zahid yang tidak mahu Juara Akademi Fantasia dilahirkan dari pelajar yang tersingkir. Akibatnya, undian untuk Bob, Farah dan Kaer terpaksa disalurkan kepada Zahid untuk membalas sentimen kenegerian, sentimen politik yang menular ke dalam Akademi Fantasia. Tanpa Linda berada di dalam saingan, besar kemungkinan Adam akan muncul Juara. Lebih menyakitkan sekiranya ini berlaku.

Persembahan Terbaik SM
Bob Cinta Seorang Teman 9.5/10
Bob Gadis Sarawak 9.3/10
Zahid Milikku 9/10
Kaer Kembali Bersama 8.7/10
Farah Tangisan Dalam Kerinduan 8.6/10
Kaer Sway 8.4/10
Linda Only You 8/10
Farah Sk8erboi 7.5/10
Zahid Biarkan Bulan Bicara 7/10
Adam Haruskah 6/10
Linda Aku Cinta Kamu 5/10
Adam Ooo La La 4/10

Ranking Prestasi Persembahan Pelajar
Bob
Zahid
Farah
Kaer
Linda
Adam

Akademi Fantasia II
Baju sultanmuzaffar pada malam tersebut ditaja oleh dreamfinder.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger