Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 22 August 2004

Akademi Fantasia IIKonsert Siti Fantasia Stadium Nasional Bukit Jalil

Di saat-saat akhir saya mendapat jemputan untuk menghadiri Konsert Siti Fantasia ini yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Sangkaan saya, stadium yang boleh memuatkan 100,000 penonton tentunyalah terlalu kecil untuk Siti Nurhaliza. Tetapi sangkaan saya itu meleset kerana masih banyak ruang-ruang kosong yang boleh menyakitkan mata. Pada pandangan saya, hampir 40,000 tempat duduk telah diisi oleh penonton. Konsert ini turut menghimpunkan 24 bintang Akademi Fantasia. Bukan mudah untuk menghimpunkan mereka dalam satu konsert yang agak besar dan dikemudikan oleh Siti Nurhaliza.

Saya kurang berpuas hati dengan mutu sistem audio yang terdapat dalam stadium. Kedudukan pembesar suara yang tidak menyeluruh agak mengganggu kepuasan yang menyeluruh untuk konsert sebegitu besar. Hasil audio tidak menyeluruh pada setiap kawasan di dalam stadium, yang mana lebih tertumpu kepada penonton di bahagian depan pentas.

Penataan cahaya pada segmen bintang Akademi Fantasia agak mendukacitakan. Keseimbangan pada penataan cahaya tidak dibuat dengan baik lalu menenggelamkan rupa fizikal bintang yang membuat persembahan. Ini jelas berbeza sewaktu segmen Siti Nurhaliza.

Saya menonton hampir separuh dari persembahan ini dari kerusi VIP yang letaknya di kanan pentas. Saya memang tidak suka menonton apabila perlu memberikan pandangan yang mengiring dari pandangan berhadapan. Walaupun ada skrin besar yang banyak membantu penontonan saya tetapi saya masih kurang berpuas hati. Terlalu jauh.

Akademi Fantasia IISegmen Bintang Akademi Fantasia
Persembahan bermula dengan lagu Lolipop oleh Atie, Liza & Azza (2*). Nyata tidak banyak perubahan yang berlaku pada nyanyian mereka. Bukan merupakan sebuah lagu yang sesuai sebagai lagu pembukaan. Persembahan mereka kurang memberikan tenaga kepada penonton. Lagu Cengkaman oleh Nija (3*) agak baik disertakan dengan penghayatan yang bagus. Saya kagum dengan showmanship Nija untuk lagu tersebut. Pergerakan Nija mengikut tempo lagu tersebut. Hebat sekali pergerakan rock Nija.

Aku Bisa oleh Azizi (3*) agak bagus penghayatannya. Sebuah lagu yang bagus tetapi kurang mendapat perhatian stesen radio. Tepukan untuk Vince untuk lagu Hold On To Your Dreams / Mimpi Yang Pasti (4*) tidak begitu hebat berbanding sewaktu beliau mula-mula menjuarai Akademi Fantasia tahun lepas. Persembahan Vince agak bernasib baik kerana korus lagu tersebut memang selalu kita dengari dalam salah satu iklan Hotlink. Nyata Vince tidak dirindui peminatnya.

Demi Kasih Ini oleh Rosma (3*) merupakan sebuah lagu R&B. Persembahan Rosma agak kurang menyerlah tetapi masih sebuah persembahan yang biasa bagi seorang bintang yang penyingkirannya mencetuskan fenomena kecoh tahun lepas. Saya suka dengan lagu yang dinyanyikan oleh Burn. Lagu Kasih Ibu (4*) pada mulanya merupakan sebuah lagu nasyid yang kemudiannya diubah susunan muziknya dan diberikan kepada Burn. Burn merupakan antara bintang Akademi Fantasia I yang mempunyai vokal yang bagus.

Bila agaknya album dari Sahri dan Adi hendak dipasarkan ? Saya ternanti-nanti. Lagu Memori Bahagia (3*) oleh Sahri merupakan sebuah lagu yang menarik. Oleh kerana lagu tersebut belum didengari oleh penonton, maka persembahan Sahri tidak dapat menarik perhatian penonton. Hal yang sama berlaku kepada lagu Rahmat Cinta (3*) oleh Adifashla. Lagu tersebut disampaikan dengan bersahaja oleh Adi.

Katakan oleh Nana (4*) yang kini merupakan Penyampai ERA agak bertenaga. Lagu tersebut memang antara lagu yang popular dalam Carta ERA. Nyata kontroversi Nana pada Akademi Fantasia tidak sedikit pun menggugat popularitinya kini. Benarkah Dia oleh Khai (3*) agak bertenaga. Bukan pilihan lagu yang sesuai untuk menarik perhatian penonton. Penonton mungkin lebih sukakan Dambaan Pilu.

Sebagai mengakhiri penampilan bintang senior, lagu Khayalan oleh Bintang Akademi Fantasia I dipilih. Sebuah lagu yang hebat dan penonton dapat mengimbas kembali gerak koreograf mereka pada tahun lepas.

Penantian penonton akhirnya terubat dengan kemunculan Bintang Akademi Fantasia II. Tepukan bergema kerana mereka masih lagi panas. Tetapi yang panas itu akan menjadi suam akhirnya. Mereka harus sedar yang gemerlap bintang belum tentu akan terus berkekalan sampai bila-bila. Saya berharap mereka bersedia untuk memperbaiki diri.

Persembahan mereka mengimbas kembali kegemilangan mereka di Akademi yang baru sahaja selesai. Lagu Medley Joget oleh Bintang Akademi Fantasia II agak menghiburkan. Walaupun hanya muncul untuk dua lagu tetapi sudah cukup memuaskan hati penonton. Tidak hairanlah sekiranya selepas selesai lagu Menuju Puncak oleh gabungan Bintang Akademi Fantasia, ada penonton yang beredar pulang. Menariknya persembahan Menuju Puncak apabila 24 Bintang Akademi Fantasia bergabung dengan dua jenis koreograf yang berbeza di atas satu pentas. Hebat !

Akademi Fantasia IISegmen Siti Nurhaliza
Secara keseluruhan segmen untuk Siti Nurhaliza lebih terancang rapi dari segi penataan cahaya. Kreativiti penata cahaya lebih terserlah pada segmen tersebut. Segala-galanya teradun dengan rapi, begitu juga dengan warna pakaian yang digunakan oleh Siti Nurhaliza. Penggunaan muzik live juga banyak membantu persembahan Siti. Mutu vokal Siti apabila menyanyi secara live tidak boleh saya pertikaikan. Hebat dan Cemerlang !

Lagu yang dipilih oleh Siti Nurhaliza juga kurang memberikan kesan kepada penonton. Gaya berkomunikasinya juga telah banyak berubah. Kelainan yang ditonjolkan pada lagu Aku Cinta Padamu apabila lagu tersebut disampaikan dalam beberapa bentuk susunan lagu. Bermula dengan versi asal hinggalah versi waltz, broadway, dangdut, breakdance, rock dan rap. Ini secara tidak langsung memberikan satu kelainan kepada keindahan vokal Siti serta variasi kepada teknik vokalnya.

Tidak cukup dengan itu, Medley Rock Fantasia Bulan Madu, Hati Emas, Gerhana & Isabella juga merupakan sebuah persembahan yang hebat. Penggunaan pentas hidraulik yang membawa Siti Nurhaliza ke hadapan penonton benar-benar membuatkan penonton diserang histeria.

Kepelbagaian bakat Siti Nurhaliza dibuktikan lagi menerusi lagu Pejam Matamu apabila beliau turut bermain gitar dalam nyanyian. Dalam banyak-banyak persembahan Siti, saya lebih suka melihat Siti menyanyi secara unplugged kerana kehebatan vokal Siti dapat diserlahkan melalui persembahannya.

Nyanyian Siti Nurhaliza untuk semua lagu adalah bagus dan disampaikan dengan penuh penghayatan. Saya mengkagumi stamina Siti Nurhaliza yang sememangnya maha hebat di atas pentas. Agak sukar untuk beliau letih di atas pentas. Menyanyikan hampir 20 buah lagu dalam masa 2 jam bukan satu tugas yang mudah.

Akademi Fantasia IISekali lagu Bintang Akademi Fantasia muncul untuk mengiringi persembahan Siti. Top 5 Bintang Akademi Fantasia I dan Top 6 Bintang Akademi Fantasia II menyertai Siti Nurhaliza untuk lagu One Sweet Day. Nyata sebuah persembahan yang hebat dari mereka. Kurang memberikan tumpuan kerana sibuk mengambil gambar. Ada sebab mengapa peluang mengambil gambar ini tidak saya lepaskan kerana berpeluang untuk mengambil gambar dari hadapan pentas. Saya menggunakan Pas VIP All Access Badrul untuk bergerak bebas di hadapan pentas. Nyata peluang tersebut saya pergunakan sepuas-puasnya. Walaupun Adam muncul sebagai rappers undangan untuk lagu Pendirianku, tumpuan saya terganggu kerana sibuk berbual dengan Farah dan Bob di belakang pentas.

Kawalan keselamatan yang agak ketat untuk seorang yang bernama Siti Nurhaliza tetapi berjaya juga dibolosi oleh peminat-peminat untuk merasai kehangatan persembahan konsert dari dekat.

Akademi Fantasia II
Dua lagu penamat Siti agak terganggu kerana emosi Siti yang bercampur-campur. Mengimbas kembali pengedaran email kontroversi yang telah tersebar pada minggu lepas benar-benar telah menyentuh perasaan Siti. Memang sukar untuk menjadi Siti Nurhaliza dan akan saya jadikan panduan untuk diri saya sendiri. Terlalu banyak cabaran yang melanda tetapi Siti terus berdiri kukuh di persadanya tanpa sedikit pun tercalar dengan sebarang kontroversi.

Senarai Lagu
Cahaja Seribu Liku (4*)
Debaran Cinta (4*)
Kau Kekasihku (3*)
Percayalah (3*)
Lagu Rindu (4*)
Cinta Tak Berganti (4*)
Janji Kasih (3*)
Aku Cinta Padamu (4*)
Kembalikan Indah (4*)
Ku Milikmu (3*)
Medley Rock Fantasia Bulan Madu, Hati Emas, Gerhana & Isabella (5*)
Bukan Cinta Biasa (3*)
Cindai (4*)
Ku Menunggu (4*)
Pejam Matamu (4*)
I Surrender (3*)
One Sweet Day (5*)
Pendirianku featuring Adam (4*)
Dialah Di Hati (4*)
Seindah Biasa (3*)

Sebuah konsert yang biasa sahaja kerana kurang berjaya mencuri perhatian saya untuk menikmati persembahan tersebut secara serius. Walaupun persembahan vokal Siti Nurhaliza agak cemerlang pada malam itu, kehangatan dan kehebatan malam itu sebenarnya milik Bintang Akademi Fantasia. Merekalah yang sebenar-benarnya ditunggu oleh para peminat mereka. Ini dibuktikan melalui tepukan apabila tepukan begitu bergemuruh apabila Siti Nurhaliza mengumumkan nama Zahid dan Farah. Mereka nyata berjaya menarik perhatian penonton. Saya sendiri agak kecewa apabila mendengar tepukan untuk senior mereka jauh lebih kurang berbanding dahulu.

Aksi Farah yang sibuk melayan Johnny pada penghujung konsert tersebut lebih kekal dalam ingatan. Harap ia tidak disunting apabila rakaman konsert tersebut disiarkan kelak.

Nota: Pass VIP All Access ditaja oleh badrul. Menjadi milik saya setelah beliau pulang.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger