Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 11 August 2004

Akademi Fantasia II
Menilai Peningkatan Prestasi Enam Finalis Akademi Fantasia II

Zahid
Percayakan Siti 6/10
Istana Menanti 8/10
Bila Resah 7.8/10
Teratai 9.2/10
Warna Kehidupan – 9.3/10
Where Is The Love 9.5/10
Cinta Sakti 8/10
Semusim 8/10
Cek Mek Molek 8.8/10

Purata 8.28

Persembahan yang membanggakan dari Zahid ialah Istana Menanti, Bila Resah, Teratai, Warna Kehidupan, Where Is The Love dan Cinta Sakti. Zahid antara pelajar yang paling konsisten perubahannya sewaktu di dalam Akademi Fantasia. Perubahannya agak besar dan tahap keyakinan beliau semakin meningkat dari setiap minggu ke setiap minggu. Berilah apa sahaja jenis lagu, beliau akan memberikan rasa baru pada lagu tersebut. Ianya berlaku pada Konsert ketiga sehingga seterusnya. Pelajar contoh ciptaan Ramli MS ini telah menggunakan segala peluang yang ada secara maksimum.Kenakalan beliau menyebabkan beliau seringkali dilihat sebagai seorang yang sombong. Adakalanya ya, mungkin juga tidak.

Saya juga melihat beliau seorang yang bijak dalam melaksanakan strategi dalam permainan ini. Beliau tidak menunjukkan segala kelebihan yang beliau ada sewaktu latihan dan telah memberikan persembahan yang hebat pada malam sebenar. Sifatnya agak kurang ceria pada minggu akhir di Akademi Fantasia mungkin merasa tergugat dengan kembalinya Linda ke dalam Akademi. Beliau tidak sepatutnya gusar dengan perkara tersebut.

Kemantapan vokal beliau serta kepelbagaian beliau dalam persembahan nyata merupakan kelebihan utama Zahid. Beliau selesa di pentas dan pandai mengambil hati penonton. Pengalaman beliau sebagai penyanyi kelab memberikan sedikit kelebihan kepada beliau. Saya melihat pengundi beliau kebanyakannya datang daripada golongan yang matang dan tidak terlalu dipengaruhi dengan imej seseorang penyanyi. Berbeza dengan pengundi Kaer dan Adam yang mana pengundinya terdiri daripada remaja perempuan yang lebih mementingkan rupa dari menilai bakat sedia ada. Golongan pengundi Zahid adalah mereka yang akan terus menyokong kerjaya Zahid selepas Akademi Fantasia dan bersifat jangka panjang. Mereka ini tidak begitu gemar mengundi tetapi tahu menilai mana yang baik, mana yang buruk.

Kaer
Januari 7.5/10
Ikhlas Tapi Jauh 7.5/10
Kenanganku 9/10
If You’re Not The One 9/10
Habis Sudah Umpanku – 6.5/10
Epilog Cinta Dari Bromley 8/10
Bunga Pujaan 5/10
Mentera Semerah Padi 9.9/10
Fantasia 8.5/10

Purata 7.87

Persembahan yang membanggakan dari Kaer ialah Januari, Ikhlas Tapi Jauh, Kenanganku dan Mentera Semerah Padi. Kemuncak prestasi Kaer tentunya lagu Mentera Semerah Padi yang pada mulanya tidak saya sukai. Kaer mempunyai sikap suka mengubah lagu mengikut gayanya yang tersendiri. Beliau pernah mengalami zaman kejatuhan apabila gagal menyempurnakan tugasnya dengan baik. Kegagalannya menyebabkan peminatnya lari kepada Zahid. Walaupun telah bangkit semula, ia masih belum dapat meyakinkan peminat-peminatnya untuk terus menyokong beliau kerana persembahan Zahid yang lebih konsisten. Didorong sentimen simpati penonton akan masalah yang melanda keluarganya, Kaer pasti dapat mengumpan undian simpati penonton dengan persembahannya. Di Akademi, kita dapat melihat perhubungannya yang agak rapat bersama Mas, seorang ibu tunggal juga tempat Kaer meluahkan perasaannya. Di saat inilah terserlah sifatnya yang agak matang dan tidak terlalu memilih kawan. Keceriaan serta sifat blurnya juga mungkin dapat mengumpan undian penonton.

Keunikan beliau apabila dapat menyampaikan lagu-lagunya mengikut stailnya yang tersendiri. Keyakinan beliau untuk memberi satu jiwa baru pada lagu-lagu yang beliau terima agak meyakinkan. Beliau tidak terlalu terikat dengan identiti asal penyanyi lagu tersebut.

Beliau antara pelajar yang menerima banyak kejutan untuk meningkatkan keyakinan beliau serta mengekalkan tumpuan beliau semasa sesi kelas di Akademi Fantasia. Pelbagai cara digunakan untuk menyuntik semangat kepada beliau.

Tidak salah saya katakan sekiranya pengundi Kaer sebenarnya telah beralih arah kepada Adam sewaktu Kaer keliru mencari identitinya tatkala prestasinya yang menurun pada minggu-minggu pertengahan di Akademi Fantasia. Agak sukar untuk beliau memenangi pertandingan ini kerana bilangan pengundi untuk Adam semakin bertambah serta kemasukan semula Linda sedikit sebanyak mempengaruhi pola pengundian.

Farah
Seandainya Masih Ada Cinta 7/10
Tua Mengejar Kita 7/10
Janji Manismu 7.5/10
Farah Dancing Queen 7.5/10
Tenda Biru – 7.5/10
Ya Maulai 7.5/10
Jangan Kau Mimpi 7/10
Bebas Berlari 8.5/10
Mengapa 9/10

Purata 7.61

Persembahan yang boleh dibanggakan dari Farah ialah Janji Manismu, Ya Maulai, Jangan Kau Mimpi, Bebas Berlari dan Mengapa. Beliau antara pelajar perempuan yang agak konsisten. Mempunyai kelantangan vokal yang paling tinggi merupakan aset utama beliau. Selain daripada itu, sebutan beliau jelas dan menjadikan mesej sesebuah lagu itu sampai kepada penonton.

Beliau bermula sebagai seorang yang bukan pilihan utama. Sentiasa berada pada kedudukan dibawah tidak melemahkan semangatnya. Beza beliau dengan Liza ialah beliau mempunyai mutu vokal yang jauh lebih hebat daripada Liza. Berdirinya beliau di Kemuncak Konsert adalah satu yang amat membanggakan dan tidak dipertikaikan kerana sememangnya beliau layak berada di situ.

Beliau berperwatakan agak ceria dan seringkali menjadi bahan usikan Kaer, Zahid dan Linda. Kemesraan mereka secara tidak langsung tidak memberi sedikit ruang untuk telenovela Farah dan Adam diteruskan. Kematangan Farah mengendalikan Adam yang sedang kerisauan amat mengkagumkan. Beliau bersifat agak matang dari usianya.

Kelemahan utama beliau apabila berada di pentas. Masih kelihatan kaku tetapi boleh dibaiki. Jika diberi peluang, beliau perlu lebih diberikan lagu-lagu yang rancak untuk meningkatkan keyakinan beliau di pentas. Saya melihat beliau begitu selesa dengan lagu jenis balada yang tidak memerlukan beliau banyak bergerak di pentas.

Bob
Wajah Kesayangan Hamba 7/10
Jangan Bersedih Lagi 7.5/10
Tanya Sama Itu Hud Hud 7.3/10
Pantun Budi 8.4/10
Akar Dan Bumi – 8.5/10
I Can See Clearly Now 8.3/10
Salam Terakhir 6.5/10
Alhamdulillah 6.7/10
Laguku Untukmu 7.2/10

Purata 7.48

Persembahan yang membanggakan dari Bob ialah Wajah Kesayangan Hamba, Akar Dan Bumi dan I Can See Clearly Now. Saya melihat persembahan beliau sebagai biasa sahaja, mungkin juga saya telah meletakkan namanya sebariss dengan amatur dan sewajarnya persembahan dari Bob bertaraf tersebut dan keluar dari Akademi Fantasia sebagai seorang yang profesional. Walaupun persembahannya agak konsisten, tetapi beliau sering melakukan kesilapan-kesilapan yang serupa. Beliau sememangnya versatile kerana telah diuji dengan lagu pelbagai rentak tanpa perlu menangis beliau melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang. Beliau saya lihat seorang yang berkeyakinan tinggi dan mampu memberikan saingan yang sengit kepada rakan-rakannya. Beliau mungkin kalah dari segi penampilan diri serta imej tetapi lebih jauh ke hadapan dari segi vokal. Kemantapan vokal beliau nyata merupakan aset utama beliau.

Pada peringkat awal di Akademi Fantasia, kita dapat melihat beliau banyak memonopoli kelas vokal, kelas tarian dan kelas seni persembahan. Beliau bijak mendapatkan tumpuan kamera. Tapi lama-kelamaan sifat tersebut hilang daripadanya. Tentu kita masih ingat bagaimana beliau mengarahkan perubahan pada koreograf yang telah ditetapkan oleh Cikgu Corrie.

Saya dapat merasakan tekanan yang hebat diberikan kepadanya oleh Ramli MS yang ingin melihat beliau keluar sebagai seorang profesional dan ini secara tidak langsung telah mengganggu tumpuannya dan seringkali melakukan kesilapan yang serupa.

Adam
Jangan Lafazkan 5/10
Kerna Dia 7/10
Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta 7.3/10
Gerhana 8.2/10
Tipah Tertipu – 8.7/10
Keroncong Untuk Ana 7.3/10
Smooth Criminal 3/10
Kasih 7/10
Bila Larut Malam 8.3/10

Purata 6.87

Adam lebih menyerlah untuk lagu yang agak rancak. Beliau dikirakan berjaya membawakan lagu rancaknya dengan baik kecuali lagu Smooth Criminal yang tiada originaliti dari beliau. Persembahan yang membanggakan dari Adam ialah Kerna Dia, Gerhana, Tipah Tertipu dan Kasih. Adam mempunyai pakej yang baik untuk menjadi seorang idola. Peningkatan persembahan Adam nampak lebih ketara pada minggu-minggu akhir di Akademi Fantasia. Kelemahan Adam yang paling ketara ialah beliau seringkali terikat dengan gaya KRU iaitu idolanya. Beliau secara terang-terangan mengakui perkara tersebut. Adam boleh berjaya sekiranya membentuk imejnya yang tersendiri. Jika tidak berjaya sebagai penyanyi sekalipun, peluang untuk Adam lebih terbuka luas dalam bidang lakonan dan modeling. Telenovelanya dengan Farah tidak mendapat sambutan penonton dan tidak dapat berkembang dengan baik sehingga penghujung kerana sifat Adam yang tidak mahu dikaitkan dengan sesiapa kecuali KRU dan Kaer. Walaupun Zahid cuba untuk mengaitkan dirinya dengan Adam, beliau mengambil jalan tengah dan meneruskan persahabatannya dengan Kaer. Saya melihat hubungan beliau dengan Cikgu Fauziah Nawi juga semacam ada kekuatan yang begitu kuat.

Adegan beliau menangis kerana mendapat lagu Bila Larut Malam dan adegan perbualan beliau bersama Farah agak merimaskan. Seakan-akan terserlah sifatnya yang terlalu mementingkan dirinya sendiri tanpa menghiraukan perasaan pelajar lain. Beliau tidak mahu menerima pembaharuan yang cuba dibawakan oleh Tenaga Pengajar kepadanya. Beliau hanya mahu terus berada di dalam dunia rap yang telah beliau ceburi sejak empat tahun yang lampau. Jikalau KRU mahu dijadikan contoh, beliau seharusnya berpandangan lebih jauh. Pada masing-masing berumur masuk 30an, KRU sudah pun tidak terkinja-kinja di atas pentas dengan rap sebaliknya membuka banyak perniagaan berasakan seni muzik. Ambil yang positif dari KRU, dan buka minda Adam untuk lebih melihat ke hadapan. Impiannya untuk masuk Final telah pun tercapai, jika itulah visinya di dalam Akademi Fantasia.

Linda
Tak Tahan Lagi 7.5/10
Semoga Abadi 7/10
Leaving On The Jet Plane 9/10
Madah Berhelah 8.6/10
Bunga Melor – 7/10
Panti Asuhan 9.3/10
Akan Ku Tunggu 6/10
Syurga Idaman 6.8/10

Purata 6.8

Persembahan yang boleh dibanggakan dari Linda ialah Semoga Abadi, Leaving On The Jet Plane dan Panti Asuhan. Kemasukan semula beliau ke dalam Akademi Fantasia memang mencetuskan kemarahan peminat lima pilihan terbaik pada mulanya. Ya benar beliau sememangnya berbakat tetapi dimasukkan semula sememangnya tidak adil kepada satu pertandingan yang berasaskan undian SMS. Kesilapan awal tidak mengundi tidak sepatutnya diulang semula dengan memberi peluang kedua kepada pengundinya untuk mengundinya.

Peluang kedua ini memberikan sedikit kelebihan kepada beliau bila mana pengundi-pengundinya telah berpeluang untuk menebus kesilapan lalu dengan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau.

Kemuncak Konsert sudah cukup resepinya dengan lima pelajar yang terpilih tetapi kemunculan beliau sedikit sebanyak memberikan saingan yang bukan kecil kepada mereka.

Beliau memiliki kelebihan dari segi rupa yang diwar-warkan mempunyai pesona bintang, fizikal yang menarik, boleh bermain alat muzik dan vokal yang baik. Peluang kali kedua ini seharusnya dimanafaatkan oleh Linda untuk meyakinkan penonton yang beliau sebenar-benarnya layak berada di situ.

Linda digantung satu konsert kerana kesalahan membawa toyol.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger