Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 12 September 2004

Buai Laju Laju : Macam menonton teater Ronggeng Rokiah

Buai Laju LajuSaya duduk dalam panggung. Harapan saya rendah untuk filem ini. Tetapi hasilnya besar. Jiwanya terlalu besar. Mesejnya maha besar.

Dari cerita orang Melayu yang tidak pandai berniaga, cerita orang Melayu yang hanya bermegah punya tanah berpuluh ekar, cerita orang Melayu yang terlalu leka mengejar bintang, Segalanya didedahkan di dalam filem ini. Faham atau tidak faham. Terletak pada otak dan hati masing-masing.

Cukup sekadar imej kotor yang dirakamkan menggunakan video dan kemudiannya dibesarkan untuk disesuaikan ke skrin panggung wayang, imej-imej yang terpapar pada filem ini punya seribu makna. Jangan mengharapkan sinematografi seindah Puteri Gunung Ledang dalam filem ini kerana impian anda akan berkecai. Sinematografi filem ini kotor, kabur, gelap dan agak kacau-bilau. Jiwanya noir tetapi tidak terlalu noir. Sebagaimana kotornya imej dalam Perempuan, Isteri dan Jalang serta Kaki Bakar dan Jogho, begitulah filem ini. Imej-imej yang terpapar berbau kusam. Semuanya digambarkan penuh jujur.

Jika anda pernah menonton teater Ronggeng Rokiah, anda tentu faham apa yang saya cuba sampaikan. Saya menonton teater Ronggeng Rokiah sebanyak empat kali. Untuk mencari makna-makna setiap babak serta makna imej yang tertera di hadapan saya. Tegaknya pili bomba bewarna merah ada makna besar begitu juga naga yang menerjah layar putih. Dalam Buai Laju Laju ia digambarkan dengan air yang mendidih.

U-Wei memang cukup sinonim menggunakan simbol untuk menyampaikan sesuatu makna. Masih kekal lagi adegan sewaktu Tapa lakonan Zaidi Omar dan Zaleha lakonan Sofea Jane berasmara di tengah-tengah hutan di dalam hujan. Imej susu pokok getah yang melimpah dari takungannya memberikan satu intepretasi seksual yang tinggi pada adegan tersebut. Lepas dari tapisan kerana Lembaga Penapis hanya mengharamkan adegan keluar-masuk yang dizahirkan secara terang-terangan tetapi menghalalkan imej yang dizahirkan secara simbolik. Mungkin juga mereka tidak faham makna susu getah tersebut.

Buai Laju LajuBerbalik kepada Buai Laju Laju, saya suka kepada imej majalah Hai yang beberapa kali dirakamkan di atas skrin. Tidak cukup untuk menggambarkan bagaimana lekanya Melayu yang bernama Zaiton itu, dinding-dinding rumahnya dipenuhi dengan poster-poster dengan wajah-wajah bintang terkenal antara Siti Nurhaliza. Bintang-bintang inilah yang telah membuatkan Melayu terleka, terlalu dibuai angan-angan dan diulik mimpi-mimpi indah. (poster bintang Akademi Fantasia juga boleh digunapakai untuk adegan tersebut).

Macam kata U-Wei, di Malaysia untuk buat filem memang susah, filem seks tidak boleh digambarkan dengan adegan ranjang dan bunuh tidak boleh dibasahi dengan darah juga filem hantu tidak boleh ada hantu. Malaysia Boleh !

Lakonan hebat Eman Manan yang telah pun memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia yang baru lalu benar-benar tepat dan tidak wajar dipertikaikan. Eman Manan memberikan sebuah lakonan yang dikawal dengan baik dan menjadi kekuatan utama filem ini untuk mengimbangi kelemahan Betty Benafe sebagai Zaiton yang agak goyah tetapi agak minimal kesannya kepada filem ini.

Sememangnya kekuatan filem Buai Laju Laju terletak pada lakonan, cerita serta rekaan produksinya yang benar-benar kuat dan mantap.

Saya meletakkan filem ini melebihi Puteri Gunung Ledang. Selepas menonton filem ini terasa Puteri Gunung Ledang terlalu kecil jiwanya dan terlalu kurang mesejnya. Jiwa Buai Laju Laju terlalu besar. Namun demikian, Perempuan Isteri dan Jalang masih karya terbaik U-Wei Haji Shaari.

Buai Laju Laju
Perempuan, Isteri dan Jalang
Buai Laju Laju

Rating: 4/5 bintang

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger