Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 17 December 2004

Sinar Syawal Bersama AndingSinar Syawal Bersama Anding
Hotel Coronade Kuala Lumpur

Majlis bermula sekitar jam 1 petang. Agak lewat kerana kesesakan jalanraya di Kuala Lumpur. Lagipun ia berlangsung pada hari Sabtu bekerja dan pada hari tersebut rakyat Selangor bercuti.

Saya berasa seronok kerana dapat bertemu dengan satu kelompok yang berbeza dalam peminat Anding. Ini kali pertama saya menghadiri pertemuan peminat Anding. Tentunya atmosferanya berbeza dengan kelompok peminat Zahid, Farah, Adam dan Kaer.

Mereka nampaknya lebih santai. Suasana berlangsung dalam keadaan yang begitu terkawal. Anding memulakan persembahan dengan lagu Dendang Perantau.

Satu yang menarik tentang Sinar Syawal Bersama Anding ialah peminat berpeluang untuk bertanya apa sahaja soalan kepada Anding. Petang itu, dua soalan saya telah dijawab oleh Anding.

Saya bertanyakan tentang filem yang beliau gemari serta ingin arahkan. Menurut Anding beliau gemar filem realisme arahan Zhang Yimou. Filem arahan beliau mampu membuatkan penonton berfikir. Filem sebegini menurut Anding agak sukar untuk menarik penonton untuk menontonnya tetapi sedikit suntikan komersial perlu dimasukkan dalam filem-filem sebegini kerana ia mampu membuatkan penonton sedar dengan keadaan sekeliling.

Soalan shengdewata pula adalah tentang binatang yang amat ditakuti oleh Anding.

Ular dan tikus ! Kata Anding, menonton ular dan tikus di dalam dokumentari tidak mengapa tetapi tidak melihatnya secara langsung. Katanya lagi, ia mewarisi sifat ayahnya yang sememangnya tidak gemar dengan haiwan-haiwan tersebut.

Soalan lain menjurus kepada permainan bowling antara peminat dan Anding. Anding lebih gemarkan paintball. Maka terdetik dalam hati saya untuk menganjurkan pertandingan paintball antara fanclub. Aktiviti sihat sebegini sewajarnya dijayakan oleh kesemua fanclub yang ada. Satu liga boleh diatur sesama mereka. Setiap fanclub menghantar satu atau dua kumpulan.

Aktiviti tersebut perlu dibuat secara kerjasama kerana ia melibatkan kos yang besar. Sekiranya ia digabungkan, maka sekurang-kurangnya kos yang ditanggung oleh peminat dapat dikurangkan.

Sinar Syawal Bersama AndingSaya hampir terpegun mendengar nyanyian Anding bersama peminat kecilnya iaitu Nur Atiqah yang membawakan lagu Ceria Bersamamu. Lagu duet tersebut dijayakan oleh Nur Atiqah kerana ketiadaan Edlin dalam majlis tersebut. Kehebatan adik Nur Atiqah yang berumur 11 tahun menghafal lagu tersebut sememangnya mengejutkan saya kerana fikir saya album tersebut baru sahaja beberapa minggu di pasaran.

Tiru Gaya Anding hanya sekadar untuk menyuntik gelak ketawa peminat. Peminat tentunya sudah maklum antara identiti utama Anding sewaktu dalam Akademi Fantasia ialah aksinya sewaktu sukar menerima penyingkiran Edlin dan gaya rambut cacaknya.

Lima orang kanak-kanak beradu nasib untuk merebut gelaran juara yang mana pertandingan tersebut dinilai oleh penonton dan diakhiri dengan segmen menarik beg keluar dari Akademi Fantasia.

Pertandingan mengikat sampin telah dijayakan oleh empat pasangan yang mana pemenangnya tidak lain dan tidak bukan saya sendiri. Saya memang cukup pakar apabila mengikat sampin kerana menjadi pelajar di sekolah berasrama penuh yang pernah menghadiri kelas pada hari Jumaat serta menghadiri sembahyang Jumaat lengkap dengan pakaian seragam berbaju Melayu. Pada zaman-zaman tersebut, ada bermacam-macam gaya lipatan digunakan. Lipatan di bahagian belakang siapakah yang paling kemas juga seakan menjadi pertandingan ketika itu.

Sinar Syawal Bersama AndingMenyegarkan suasana raya, Anding membawakan lagu Selamat Hari Raya nyanyian asal Ahmad Jais. Menjawab soalan lain, Anding bercerita tentang perancangan masa depannya. Beliau seboleh-bolehnya mahu berlakon, menyanyi dan menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi. Berbekalkan diploma yang beliau ada sekarang dalam bidang seni persembahan tidak mustahil Anding akan berjaya satu hari kelak untuk menjadi seorang artis yang berilmu.

Satu lagi soalan yang agak relevan dengan Anding ialah tentang kecekapannya dalam bidang tarian. Semua tahu bagaimana menariknya aksi Anding sewaktu menari. Saya sendiri masih ingat persembahannya dengan lagu Yeah di Konsert Reunion Akademi Fantasia. Gerak dan koreograf yang tajam serta lincah benar-benar memukau pandangan saya. Menari sememangnya sukar. Saya akuinya sendiri. Otak dan fizikal harus bekerja dalam masa yang sama.

Peminat kanak-kanak Anding pada petang itu turut diberi peluang untuk bertanding mengira duit raya. Sedikit sebanyak kenangan sewaktu kecil-kecil apabila melihat aksi kanak-kanak tersebut mengira duit raya di sudut-sudut rumah sememangnya melucukan. Ada juga yang tersilap mengira. Terkurang. Jumlah sebenar ialah RM55.16 sen. Untuk tidak melupakan golonga ibubapa yang turut meminati Anding, pertandingan menguli kuih raya telah dijalankan. Pertandingan ini telah diadili oleh Bob yang hadir di pertengahan majlis.

Soalan kedua dari saya yang dijawab oleh Anding berkisar tentang pendapatnya mengenai tulisan-tulisan saya dalam blog saya sendiri. Anding sebenarnya menceritakan bagaimana beliau mengetahui kewujudan blog tersebut. Menurutnya seperti yang telah diceritakan kepada saya pada Konsert 6 pada musim lalu, beliau telah mengetahui kewujudan blog itu sebelum memasuki Akademi Fantasia lagi. Beliau yang belajar dalam bidang seni persembahan telah menjadikan blog itu sebagai rujukannya mengenai filem ini termasuklah blog nizamzakaria. Menurutnya lagi pendapat yang diluahkan oleh saya bersifat peribadi, kritis dan menggunakan pendekatan yang kreatif. Menurutnya lagi, ini secara tidak langsung melahirkan kalangan rakyat Malaysia yang lebih baik lagi di masa akan datang melalui kaedah penyampaian maklumat yang dibuat dengan jujur.

Sinar Syawal Bersama AndingMajlis diteruskan dengan nyanyiannya untuk lagu Emosi dan Situasi sebelum upacara lelongan diteruskan. Majlis lelongan dikelolakan oleh Ikram, sahabat baik Anding. Antara yang dilelong ialah dua tempat untuk makan malam bersama Anding dan Edlin yang telah mencecah harga RM300. Turut dilelong ialah t-shirt yang telah ditandatangani oleh kesemua bintang Akademi Fantasia sewaktu mereka masih lagi di dalam Akademi. Tandatangan Edlin dan Fitri telah diwakili oleh Anding sendiri dan Linda. Ia sememangnya amat berharga kerana ia merupakan tandatangan terawal mereka sebagai bintang Akademi Fantasia. T-shirt tersebut mencecah harga RM550.16 sen.

Selesai acara lelongan, Bob membawakan lagi Cinta Seorang Teman yang memang tidak dinafikan kelunakan vokal beliau. Cabutan Bertuah telah diadakan di pertengahan majlis sewaktu masa yang terluang dan berakhir dengan hadiah-hadiah bertukar tangan.

Persembahan Anding berakhir dengan lagu Senorita. Saya tertinggal satu lagu Inggeris nyanyian Anding kerana sibuk berbual dengan Ikram di luar.

Keseluruhannya saya berbangga kerana berjaya menghimpunkan satu lagi kelompok peminat Anding yang lebih mementingkan persahabatan sesama sendiri dan majlis berlangsung dalam suasana yang amat santai.

Sinar Syawal Bersama AndingIdea asal saya adalah untuk melahirkan sebuah keluarga peminat Akademi Fantasia yang lebih mementingkan persahabatan dan memantau perkembangan bintang Akademi Fantasia yang mereka minati lebih daripada mementingkan soal materialistik. Majlis tetap berlangsung dalam suasana yang sederhana tetapi tetap meriah. Tahniah !

Nota: Saya memohon maaf sekiranya ulasan majlis ini disiarkan agak lewat setelah majlis berakhir pada minggu lepas kerana trauma kejadian Isnin lepas masih segar dalam ingatan saya. Beban masalah yang melanda minggu sudah benar-benar mengganggu hidup. Sesekali terbayang, apakah kejadian tersebut merupakan satu petunjuk yang tidak baik...

foto album I oleh http://sultanmuzaffar.fotopages.com
foto album II oleh http://sultanmuzaffar.fotopages.com

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger