Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 30 August 2004 0 komen

Puteri Gunung Ledang
Puteri Gunung Ledang
Asas penulisan ulasan saya kali ini adalah bertunjangkan sebuah puisi agung Sasterawan Negara Usman Awang yang bertajuk Melayu. Antara bait-bait penting dalam puisi tersebut ialah :

(1)
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

(2)
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau
memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

(3)
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

(4)
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

(5)
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

(6)
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Inilah antara bait-bait penting dalam puisi tersebut untuk kita mengenal siapa itu Melayu. Melayu bercakap penuh sopan, ada sebabnya. Melayu cakap berlapik juga ada sebabnya. Melayu setianya melampau juga ada sebabnya. Filem ini besar jiwa Melayunya walaupun....

Akhirnya setelah terlalu lama menunggu, filem hebat ini dapat saya tonton pagi ini atas undangan seorang sahabat dari ntv7. Saya menonton bersama beberapa orang kawan. Sebelum membaca ulasan dari saya, sila baca ulasan dari blogger lain tentang filem ini di Tontonfilem dan Skrin.

Saya harus melupakan tentang Pengarahnya yang berbangsa Cina, melupakan tentang Laksamana Hang Tuah yang pernah bewarganegara Singapura, juga melupakan tentang Gusti Putri Retno Dumillah seorang mualaf serta Mamat Khalid penulis skripnya yang hanya layak menulis skrip filem dan telefilem bergenre komedi kerana filem ini begitu kental jiwa Melayunya. Itu semua tidak penting kerana hasilnya mengatasi segala-galanya. Sedari minit pertama sehingga minit akhir menonton filem ini terasa kental, kuat, utuh jiwa Melayunya. Setiap perincian dalam filem ini sungguh tinggi nilai estetikanya serta memartabatkan budaya Melayu ke tempat yang sewajarnya.

Puteri Gunung Ledang
Pelakon unggul yang saya rindukan lakonannya, Datuk Rahim Razali.

Yang penting, saya suka filem ini. Sebelum memasuki ke panggung wayang kita harus membuang maklumat yang filem ini menelan kos sebanyak RM15 juta untuk disiapkan. Anggap sahaja filem ini terhasil dengan kos RM2 juta sahaja, maka kita akan kagum dengan hasilnya. Saya sendiri risau yang filem ini tidak dapat memuaskan hati saya. Apabila kita terlalu berkira soal ringgit, tidak dapat tidak rasa cemburu dengan jutaan ringgit yang dilimpahi ke atas produksi ini akan menyebabkan kita begitu sinis dan kritis terhadap filem ini. Memang ada pembikin filem bebas di Malaysia yang mampu untuk menghasilkan filem yang lebih hebat dengan kos yang amat kecil. Itulah antara faktor-faktor yang menjadikan api cemburu semakin marak kerana terus-terusan terfikirkan jumlah wang yang telah dibelanjakan oleh produksi ini.

Lakonan
Kekuatan utama dalam lakonan filem ini terletak pada Tiara Jacquelina. Tiara telah memberikan sebuah lakonan yang penuh penghayatan serta secukup rasa. Begitu juga dengan M.Nasir yang juga telah berjaya melengkapkan lakonan hebat Tiara.

Konflik yang dihadapi oleh Hang Tuah benar-benar memberikan impak kepada filem ini. Antara kesetiaannya kepada Sultan Melaka yang amat jelek perlakuannya dan cintanya pada Gusti Putri. Semangat daya-usaha dan kesetiaan cinta Gusti Putri begitu hebat.

Saya melihat kekuatan lakonan filem ini agak seimbang. Setiap pelakon walaupun sedikit adegannya telah memberikan lakonan yang mantap dan penuh berkarektor.

Pertalian kuat di antara Tun Teja dan Gusti Putri Retno Dumillah yang berkongsi permasalahan yang sama iaitu terpaksa berkorban cinta mereka terhadap Hang Tuah demi Sultan Melaka. Antara sebab mereka dipertemukan dalam satu suasana yang agak tenang tetapi penuh rasa cemburu.

Puteri Gunung Ledang
Ekspresi Gusti Putri sudah cukup menceritakan segala-galanya pada babak ini.

Adegan yang paling berkesan bagi saya ialah sewaktu komunikasi telepati antara Gusti Putri Retno Dumillah dan Gusti Adipati Handaya Ningrat. Hanya kedengaran dialog sebagai latar dan ekspresi wajah mereka begitu menjadi dan boleh saya katakan sempurna. Lafaz dialog dilengkapi dengan ekspresi muka mereka yang memberi makna-makna besar pada dialog tersebut.

Saya amat membenci lakonan Adlin Aman Ramlie sebagai Sultan Melaka sekaligus membuktikan yang beliau telah berjaya membawakan wataknya dengan cemerlang. Sedikit kekurangan pada lakonannya ialah lakonannya sedikit moden dan agak tidak serasi dengan watak-watak yang lain.

Nyata modal yang dikeluarkan untuk menerbangkan pelakon hebat dari Indonesia seperti Christine Hakim, Slamet Rahardjo dan Alex Komang berbaloi dengan hasil yang mereka tonjolkan. Kehadiran mereka telah menguatkan lagi filem ini.

Lakonlayar
Cinta Melayu terletak pada keindahan bahasanya. Sememangnya itu cara Melayu bertutur. Penuh tertib. Berhati-hati. Salah pandang, saya akan mengatakan filem ini bergerak terlalu perlahan sehingga membosankan. Rasa itu datang dari pengucapan dialog-dialog puitis yang dilafazkan satu-persatu memberi seribu makna. Dialog yang disusun cukup indah, dikarang cukup bunga dan dilafaz cukup rasa telah memberikan satu lakonan cinta yang penuh perasaan. Perasaan cinta agung itu sampai kepada saya melalui penggunaan bahasa yang amat puitis dan penuh kiasan. Tumpuan saya tidak mahu diganggu walau seminit pun kepada setiap patah dialognya. Lebih memberikan saya kekaguman yang amat sangat apabila penulis skripnya ialah Mamat Khalid yang telah mengarahkan Lang Buana, penulis Pukul Dua Petang yang bergenre komedi dan pengkritik yang telah memberikan kritikan berunsur humor pada Konsert Akademi Fantasia. Saya jabat erat tangan Mamat Khalid kerana begitu kagum dengan hasilnya.

Puteri Gunung Ledang
Antara dialog yang saya ingat ialah “Tuah bertarung untuk dirinya, aku bertarung untuk negara dan rakyatku.” oleh Gusti Adipati Handaya Ningrat.

Beberapa dialog antara M.Nasir dan Tiara juga mampu mencairkan hati wanita. Dari bait-bait dialog itulah datang rasa cinta agung tersebut. Itulah Melayu yang menzahirkan rasa cintanya melalui patah perkataan bukan sekadar bahasa tubuh.

Sinematografi
Setelah Spinning Gasing, inilah filem yang mempunyai sinematografi yang amat indah. Kreativiti Jason Kwan terserlah pada filem ini.

Keindahan semulajadi Gunung Berinchang, Pulau Perhentian dan Tasik Kenyir menjadi begitu kena dengan cerita Puteri Gunung Ledang. Keindahan inilah yang akan menyebabkan penggiat filem antarabangsa berminat untuk merakamkan keindahan yang sama untuk filem-filem mereka kelak. Keindahan New Zealand telah pun dieksploitasi oleh pembikin filem Lord Of The Rings. Tidak mustahil, keindahan lokasi-lokasi yang ada di Malaysia akan terus digunakan satu hari kelak.

Kesan Khas
Pada mulanya saya menganggap kesan khas pada Lord Of The Rings sesuatu yang tidak masuk akal tetapi itulah yang rakyat Malaysia agung-agungkan. Dewa-dewakan.
Jika rakyat Malaysia boleh jatuh taksub dan mendewa-dewakan adegan peperangan di Pelennor Fields dalam Lord Of The Rings, mengapa tidak bangsa kita sendiri mendewa-dewakan adegan pertarungan dalam filemnya sendiri.

Letak diri kita sebagai pemerhati filem antarabangsa yang tidak pernah menonton filem Melayu. Oleh itu, apa yang kita tonton dalam Puteri Gunung Ledang tentunyalah sesuatu pengalaman yang baru. Jika mereka boleh mngiktiraf Crouching Tiger, Hidden Dragon, mengapa tidak Puteri Gunung Ledang.

Antara kesan khas yang amat menarik perhatian saya ialah sewaktu gugurnya daun-daun yang tertulis syarat-syarat peminangan Puteri Gunung Ledang. Walaupun kurang serasi dengan imej sinematografi yang ada tetapi unsur-unsur magik itu ada pada adegan tersebut. Di Istana Melaka, tulisan yang tertulis pada lantai Istana amat cantik sekali.

Skor Muzik
Pada peringkat awal pembikinan filem Puteri Gunung Ledang, saya berkesempatan untuk berbual-bual dengan kes reject pencipta muzik latar filem tersebut. Khabarnya anggaran perbelanjaan yang diminta terlalu tinggi dan akhirnya M.Nasir terpilih untuk melakukannya. Ini baru soundtrack. Jarang benar pada filem Malaysia terhasil sebuah soundtrack yang mampu menarik minat saya. Kali terakhir saya kagum dengan skor muziknya ialah filem Layar Lara.

Puteri Gunung Ledang
Muzik latar yang mengasyikan serta sinematografi yang hebat telah berjaya memberikan rasa pada sebuah cinta agung ini.

Lagu tema filem ini iaitu Bagai Sakti nyanyian Siti Nurhaliza dan M.Nasir serta lagu Asmaradana dendangan Tiara Jacquelina sering kedengaran di corong radio. Irama moden pada lagu Asmaradana setidak-tidaknya dapat menarik golongan muda untuk mendekati filem ini selain populariti para pelakonnya.

Ekstremis Islam
Saya boleh sahaja mengabaikan aspek ekstremis Islam pada filem ini kerana tidak ada kasar atau negatifnya seperti yang dipaparkan pada filem tersebut. Terdapat pelbagai cara menyebarkan Islam, salah satunya adalah dengan menakluk. Antara cara-cara penyebaran agama Islam di Melaka dan kawasan sekitarnya ialah melalui perkahwinan, penaklukan wilayah, perdagangan dan kegiatan mubaligh/pendakwah. Mungkin kerana cara Islam disebarkan ke sini dengan cara yang lebih lembut makanya kita tidak biasa dengan sejarah yang berlaku di Majapahit. Di Majapahit, Tanah Jawa dan sekitarnya Islam banyak tersebar melalui cara penaklukan. Itu sememangnya sejarah bahawasanya Islam disebarkan di sana melalui penaklukan.

Adegan yang paling saya ingati:
1. Kemunculan pertama Laksamana Hang Tuah di sebuah pasar. Berlaku kekalutan dan bola sepak raga
2. Bayan membunuh diri dengan tiga imej di cermin serta tiga kuntum bunga mawar. Adegan sebelumnya juga merupakan pertemuan tiga watak yang berlainan kasta iaitu Gusti Adipati, Patih dan Bayan berkonflik kerana bantuan kepada Gusti Putri.
3. Pertemuan pertama Gusti Putri Retno Dumillah dan Laksamana Hang Tuah di Majapahit serta sepakan kaki bunga ke muka Laksamana Hang Tuah. Menurut fadz adegan ini penting kerana di sinilah bermulanya konflik pada setiap watak dalam filem ini.
4. Kenangan semula terimbau sewaktu pertemuan mereka dan sama-sama menari. Adegan ini penting kerana ada tindakbalas positif sesama sendiri. Laksamana Hang Tuah membalas cinta Gusti Putri apabila sama-sama menari.
5. Komunikasi antara Gusti Putri dan Gusti Adipati amat indah dari segi ekspresinya. Lakonan yang terlahir dari jiwa dalaman benar-benar mencipta rasa kagum.
6. Gugurnya daun-daun yang tertulis tujuh syarat peminangan. Keindahan adegan ini memberi satu intepretasi visual baru kepada sebuah kisah sejarah yang kita sudah tahu naratif serta visualnya.
7. Perasaan belah-bahagi Gusti Putri di sebalik rimbunan buluh sambil mendengar keluhan Laksamana Hang Tuah tentang perasaan cinta beliau.
8. Sentuhan Gusti Putri dari belakang bahu Laksamana Hang Tuah. Di sinilah letaknya cinta agung yang diperkatakan oleh filem ini. Cinta mereka yang agung mengatasi segala persoalan maut yang menanti. Dengan teragak-agak Gusti Putri menyentuh bahu Laksamana Hang Tuah menzahirkan rasa cintanya kepada beliau.

Puteri Gunung Ledang
Adegan ini mengingatkan saya kepada watak Erma Fatima dalam XXRay II. Bezanya Tiara telah turun dari puncak Gunung Ledang untuk mengingatkan Sultan Melaka yang terlupa.

Bajet Besar
Limpahan wang ringgit untuk produksi filem ini bukan lagi menjadi rahsia. Semua orang tahu. Limpahan wang ringgit itulah yang telah memungkinkan kostum para pelakonnya direka dengan baik, set dibina untuk merealisasikan kegemilangan zaman kesultanan Melayu Melaka, solekan zaman tersebut yang menjadi dan kena pada zaman juga percikan api yang mengiringi pencak silat M.Nasir dan Alex Komang.

Saya mahu menonton sekali lagi filem ini kerana mahu menghayati setiap patah perkataan yang dilafazkan oleh para pelakonnya. Wanita dalam dunia lelaki yang sering dieksploitasi untuk memuaskan kehendak sang lelaki. Sesungguhnya Puteri Gunung Ledang merupakan sebuah filem Malaysia yang boleh dibanggakan.

Nasihat saya cuma satu: Lihat filem ini sebagai mata antarabangsa dan dari sudut pandangan antarabangsa, bukan sekadar sebagai seorang warganegara Malaysia yang hanya mahu mencari kesilapan.

Keseluruhan: 4.5/5 bintang
Usaha: 5/5 bintang
Lakonan: 4.5/5 bintang
Sinematografi: 5/5 bintang
Skrip: 5/5 bintang

Ulasan Lain:
Tontonfilem
Skrin
Donababygurl.com
Shahnon

Rujukan:
Artikel 1
Artikel 2
Artikel 3

Entri oleh sultanmuzaffar 26 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia Media Appreciation Nite
Kit Kat Club

Akademi Fantasia II
Sang Pencinta

Akademi Fantasia II
Januari oleh Kaer

Akademi Fantasia II
Bintang Akademi Fantasia II

Akademi Fantasia II
Adam sedang ditemuramah Bernama

Akademi Fantasia II
Seksis oleh Mas

Akademi Fantasia II
Kaer sedang ditemuramah oleh Bernama

Akademi Fantasia II
Bintang Akademi Fantasia

Nota: TQ Badrul kerana bersusah-payah mendapatkan jemputan. TQ Hakim. TQ Izrin. TQ Astro.

Entri oleh sultanmuzaffar 24 August 2004 0 komen

Saya dan Akademi Fantasia

Prolog
Tanggal 7 Jun 2003 bermula satu episod baru dalam dunia hiburan tempatan. Tirai Akademi Fantasia disiarkan dan dari situ berputiklah minat saya untuk mengikuti rancangan tersebut tanpa punya alasan lain untuk tidak mengikutinya. Dunia sekeliling saya seakan terhenti. Yang saya tahu, hanya perlu pulang ke rumah tepat jam 8.30 malam sudah harus terpacak di hadapan peti televisyen. Mujur pada waktu itu, saya baru sahaja selesai mengadakan satu persembahan teater bertajuk Rumah Kedai Jalan Seladang. Akademi Fantasia hadir dalam hidup saya tepat pada masanya.

Saya sememangnya gemar menonton rancangan Survivor dan The Amazing Race. Secara tidak langsung Akademi Fantasia membawa wadah baru untuk saya menyaksikan sebuah rancangan berkonsepkan realiti buatan tempatan. Walaupun rancangan ini disadur dari sebuah rancangan La Academia dari Mexico, tetapi ia masih mengekalkan ciri-ciri buatan tempatan.

Saya tonton rancangan tersebut dan mengenali watak-watak dalam siri tersebut. Ada yang saya sayang, ada yang saya benci, ada yang saya suka, ada yang saya sedih. Watak-watak itulah yang telah menceriakan hidup kita selama beberapa bulan sejak tahun lepas. Yang pasti, Akademi Fantasia tetap sebuah rancangan hiburan yang tidak perlu kita ambil perhatian secara berat. Cukup sekadar hiburan tetapi sebuah rancangan hiburan yang punya masa depan yang besar dan melihat jauh ke hadapan.

Mengapa Akademi Fantasia
Tentu ada sesuatu yang menarik tentang Akademi Fantasia. Sebuah rancangan yang mampu membuatkan saya melekat setiap malam depan TV. Sebagai penonton, saya sukakan konsepnya yang telah melibatkan penyertaan penonton secara interaktif. Penonton boleh memilih untuk menonton siapa yang mereka ingin tonton. Penonton juga boleh sahaja menutup tv mereka sekiranya mereka tidak mahu menonton atau pun menukar ke rancangan Audition atau Malaysian Idol sebagai pilihan lain. Konsep ini agak unik walaupun bukan pertama kali ia berlaku di Malaysia. Saya sukakan human touch yang ada pada rancangan ini. Rancangan yang berlandaskan populariti ini menggunakan penonton sebagai jurinya. “Inilah yang terjadi apabila penonton menjadi jurinya.” Kata Fauziah Nawi pada malam Linda tersingkir dari Akademi Fantasia sebelum diserap kembali untuk Kemuncak Konsert. Penyertaan penonton jugalah yang memungkinkan Linda diserap kembali.

Best bila menonton Akademi Fantasia. Ada kejutan. Ada yang tidak disangkakan. Ada yang betul-betul mengejutkan dan ada yang tidak berapa mengejutkan. Kejutan-kejutan itulah yang menjadi momentum kepada Akademi Fantasia selain daripada versatile dan dinamiknya seorang pengacara bernama Aznil Hj Nawawi. Setelah dua musim dikendalikan oleh beliau, Akademi Fantasia terus kekal sebagai sebuah rancangan yang popular dan mencetuskan fenomena baru dalam dunia hiburan tempatan.

Sebagai penulis, secara tidak langsung saya telah menyediakan satu platform kepada pembaca untuk berbincang tentang Akademi Fantasia. Komen yang dahulunya hanya sekadar 20 telah meningkat kepada 700 pada satu artikel. Mereka berbual dan memberikan komen tentang bintang pujaan mereka. Sememangnya pada tahap ini agak sukar untuk saya membaca satu-satu komen yang ada sehingga adakalanya terlepas komen-komen yang sedikit menganggu pembaca lain. Ulasan yang saya tulis juga adakalanya menjentik perasaan marah kepada para pembaca saya. Memang agak sukar diterima tetapi saya mengharapkan mereka faham konsep blog. Blog ini bukannya blog rasmi Akademi Fantasia. Blog ini tempat saya menulis pendapat saya tentang satu-satu perkara dan di blog ini jugalah saya mengharapkan agar proses bertukar-tukar pendapat secara positif dapat berlangsung. Melalui komen yang saya terima, saya dapat melihat ia berlaku.

Dan sebagai manusia, saya dapat memperoleh ilmu-ilmu baru untuk melengkapkan perjuangan hidup yang kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Komen-komen dari pembaca saya yang positif mahu pun yang negatif saya ambil untuk digunakan pada penulisan akan datang.

Akademi Fantasia I dan II
Pengalaman Akademi Fantasia
Pengalaman di musim Akademi Fantasia I telah banyak mematangkan saya melalui tindakan-tindakan melulu yang tidak menggunakan akal fikiran. Saya seharusnya sedar yang kejayaan hari ini jika boleh dikatakan kejayaan adalah turut berhasil daripada pengorbanan orang lain. Beliaulah yang telah memungkinkan saya untuk muncul dalam Imbasan IV Akademi Fantasia.

Fenomena yang melanda Akademi Fantasia I telah menyebabkan saya sanggup turun ke Zoo Negara untuk menonton persembahan mereka di sana. Cuma saya tidak sanggup meredah becak di padang Stadium UITM Shah Alam dan bersesak-sesak dalam lautan puluhan ribu manusia di Konsert Reunion di KLCC. Malam Konsert Reunion tersebut saya selesa menonton Multimedia Super Cintun di ntv7.

Pertama kali saya bertemu dengan 12 bintang Akademi Fantasia I ialah sewaktu menonton siaran langsung Imbasan Akademi Fantasia di ntv7.

Bercerita tentang bintang Akademi Fantasia I tidak lengkap sekiranya tidak bercerita tentang Nemo. Saya juga telah melawat Nemo, kucing Akademi Fantasia yang ditinggalkan bapanya kerana seorang perempuan. :) Nemo yang telah mengalami sedikit kemalangan juga telah menjadi sepopular bintang Akademi Fantasia.

Di penghujung Akademi Fantasia I, saya menerima bil telefon sebanyak RM700 yang perlu dijelaskan. Bagaimana dengan tahun ini, biarlah ia menjadi rahsia saya.

Pengalaman di Akademi Fantasia II yang paling tidak dapat saya lupakan tentunya apabila diminta untuk turut serta dalam rancangan Imbasan IV Akademi Fantasia pada siri keempat. Saya juga berpeluang untuk bertemu dengan Finalis Akademi Fantasia II di Studio Muzik@Ria atas jemputan seorang kawans. Juga bertemu Farah dan Adam di Studio ERA atas pelawaan seorang kawan juga.

Bintang Akademi Fantasia
Masa depan Bintang Akademi Fantasia
Khai, Vince dan Adifashla berkebolehan dalam mencipta lagu. Ini membolehkan mereka untuk pergi lebih jauh lagi dalam bidang muzik. Zarina telah pun berpeluang untuk menyanyi di Istana Budaya, satu tempat berprestij yang menjadi idaman setiap penyanyi di Malaysia. Begitu juga dengan Atie yang telah pun berpeluang untuk berlakon di Istana Budaya. Nana kini telah selesa di konti ERA di sebalik kutukan dan kejian yang diterimanya sepanjang berada di Akademi Fantasia I. Linda khabarnya telah mendapat pelawaan untuk berlakon filem. Adam telah pun mendapat tawaran dari KRU. Terima sahaja. Itu satu caranya untuk Adam menyerlahkan dirinya. Dalam sebuah keluarga besar Akademi Fantasia yang punya 24 adik-beradik tentulah kasih sayangnya tidak sama rata. Oleh itu, sekiranya ada peluang untuk menerima kasih sayang dari pihak lain, setiap pelajar perlu menerimanya dan mencekup peluang yang datang.

Satu hakikat yang sukar untuk ditelan walaupun pahit ialah tentang pudarnya populariti bintang Akademi Fantasia I. Memang pahit tetapi harus diakui. Salah-menyalah antara mereka mungkin akan berterusan tetapi pihak pengurusan seharusnya peka dengan keadaan ini. Bintang yang terlahir secara instant itu punya bakat yang besar dan tidak seharusnya dipersia-siakan.

Selangkah sahaja mereka keluar dari Akademi Fantasia, maka bermulalah survival hidup mereka. Maka bermulalah segala kepayahan, kesusahan yang akan datang silih berganti. Menjadi bintang, bukan sekadar terang gemerlap sampai bila-bila. Bintang itu tentunya mahu terus bersinar. Peluang yang tiba harus digunakan sebaik mungkin.

Menariknya Akademi Fantasia II apabila setiap mereka punya pengkhususan tersendiri dalam bidang akademik. Anding berkelulusan Seni Persembahan, Fitri dalam bidang rekaan fesyen, Nurul dalam bidang pengurusan dan Kaer dalam bidang arkitek. Ilmu-ilmu sampingan ini masih ada relevannya dalam dunia seni dan masih boleh diadaptasikan sebagai melengkapkan diri mereka dalam bidang seni.

Di sinilah letaknya peranan penting dari Maestro untuk mempelbagaikan bakat bintang Akademi Fantasia. Business is still a business. Janganlah terlalu mementingkan keuntungan sehingga perkembangan diri bintang dipersiakan.

Sahabat Akademi Fantasia
Setelah berakhirnya Akademi Fantasia I saya berpeluang untuk bertemu hampir 30 orang kawan baru dari serata pelusuk negara. Itulah kali pertama saya bertemu dengan pembaca blog saya. Itupun setelah saya mengenali mereka secara mendalam melalui sembang online di Yahoo Messenger dan Zonkboard. Memang saya seorang yang agak introvert. Saya lebih suka menyendiri. Saya seorang yang lebih gemar menonton wayang seorang, menonton teater seorang tanpa perlu menyusahkan orang lain untuk mengikut bersama. Mudah. Saya tidak perlu mengikut kepada masa orang lain dan orang lain tidak perlu mengikut masa saya.

Bertemu dengan pembaca yang selama ini membaca blog saya tentunya sesuatu yang berbeza. Mereka datang dari pelbagai latarbelakang tetapi mampu berbual dari pagi sehingga petang tentang satu perkara iaitu Akademi Fantasia. Itu yang sangat menyeronokkan saya. Tanpa mengira siapa yang kita minat, kita akan berbincang tentangnya tanpa perlu membuat komen-komen serta kritikan-kritikan pedas tentang siapa yang kita minat.

Mereka ini dari pelbagai pelusuk negeri. Berkomunikasi menggunakan internet dan bertemu. Memang sudah agak rapat. Bagaimana saya berasa selesa dengan mereka dibuktikan apabila saya sudi untuk membawa mereka bersantai di rumah saya beramai-ramai untuk satu jamuan Hari Raya Aidilfitri. Mereka menggelarkan diri mereka PFS yang tercipta dari thread email terpanjang iaitu Petrol Free Setahun tetapi saya berperasaan yang ia bermaksud Peminat Fanatik Sultanmuzaffar. Hahahhahahaa. Oleh kerana mereka dengki, mereka berhasrat mencipta satu lagi nama iaitu PBSM yang bermaksud Pembaca Blog SultanMuzaffar. Walau apa pun namanya, saya tetap berasa selesa dengan mereka ini.

Sahabat Baru
Rumah Terbuka sultanmuzaffar
Hadiah Hari Jadi dari kawans
Tiga Jam Yang Terlalu Singkat

Saya memang senang apabila bersama mereka kerana masing-masing berkongsi minat yang sama. Jika diminta untuk saya lepak bersama mereka sehingga ke pagi pun tidak mengapa. Walaupun saya jenis yang cepat mengantuk.

Saya ada lagi satu kelompok kawan yang terdiri daripada moderator beberapa Yahoogroups iaitu Adifashla, Sahri, Vince dan operator AFChat serta seorang abang yang boleh diklasifikasikan sebagai Abang Besar dalam novel Akademi Impiana.

Untuk Akademi Fantasia II, saya telah membangunkan 12 yahoogroups baru untuk setiap bintang dan dengan masa yang ada pada saya sendiri, saya tidak berhasrat untuk terus menjaganya. Saya bernasib baik kerana mendapat sokongan yang kuat dari yahoogroups yang ada seperti contohnya untuk Farah, Adam, Kaer, Anding dan Zahid. Mereka terdiri dari Fauzi, Alia, Feeda, Alang, Firmanfirdaus dan Fatul serta stalker Zahid yang paling ulung, niwanda. Saya tidak berkecil hati sekiranya ada di antara yahoogroup yang ingin memisahkan diri mereka dengan yahoogroups yang ada sekarang kerana sememangnya Melayu tidak pernah bersatu dari dahulu lagi.

Peminat Akademi Fantasia
Jumlah SMS yang tiga kali ganda telah bertambah tentunya datang dari bilangan peminat Akademi Fantasia yang turut bertambah jumlahnya. Mereka ini punya pelbagai personaliti dan latar belakang. Wujud nama-nama baru dalam dunia peminat Akademi Fantasia. Begitu juga di dalam blog saya sendiri dan saya tidak mampu untuk menaipnya satu persatu tetapi anda tentunya tahu siapa diri anda.

Sistem pertahanan mereka begitu kukuh untuk menjadi benteng penghalang kutukan terhadap bintang yang mereka puja. Jangan sekali dijentik mereka akan membalasnya dengan komen-komen yang tidak kurang pedasnya. Kekuatan mental inilah yang menjadi sumber dan hasil penting kepada ASTRO. Sedar atau tidak, business masih menjadi tunjang utama Akademi Fantasia.

Penjara yang saya cipta di blog ini serta moderation system yang saya aktifkan untuk yahoogroups hanyalah salah satu sistem penguatkuasaan agar kita menjadi lebih dewasa dan tahu menghargai kemudahan yang telah disediakan untuk kita gunakan berkomunikasi sesama sendiri.

Saya dan Akademi Fantasia sememangnya rapat. Pertalian itu kukuh sehingga minat dan permintaan untuk mengulas Malaysia Idol tidak saya endahkan. Malaysian Idol hanya sekadar saya tonton kerana pertalian antara saya dan finalisnya tidak wujud sama sekali.

Entri oleh sultanmuzaffar 22 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIKonsert Siti Fantasia Stadium Nasional Bukit Jalil

Di saat-saat akhir saya mendapat jemputan untuk menghadiri Konsert Siti Fantasia ini yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Sangkaan saya, stadium yang boleh memuatkan 100,000 penonton tentunyalah terlalu kecil untuk Siti Nurhaliza. Tetapi sangkaan saya itu meleset kerana masih banyak ruang-ruang kosong yang boleh menyakitkan mata. Pada pandangan saya, hampir 40,000 tempat duduk telah diisi oleh penonton. Konsert ini turut menghimpunkan 24 bintang Akademi Fantasia. Bukan mudah untuk menghimpunkan mereka dalam satu konsert yang agak besar dan dikemudikan oleh Siti Nurhaliza.

Saya kurang berpuas hati dengan mutu sistem audio yang terdapat dalam stadium. Kedudukan pembesar suara yang tidak menyeluruh agak mengganggu kepuasan yang menyeluruh untuk konsert sebegitu besar. Hasil audio tidak menyeluruh pada setiap kawasan di dalam stadium, yang mana lebih tertumpu kepada penonton di bahagian depan pentas.

Penataan cahaya pada segmen bintang Akademi Fantasia agak mendukacitakan. Keseimbangan pada penataan cahaya tidak dibuat dengan baik lalu menenggelamkan rupa fizikal bintang yang membuat persembahan. Ini jelas berbeza sewaktu segmen Siti Nurhaliza.

Saya menonton hampir separuh dari persembahan ini dari kerusi VIP yang letaknya di kanan pentas. Saya memang tidak suka menonton apabila perlu memberikan pandangan yang mengiring dari pandangan berhadapan. Walaupun ada skrin besar yang banyak membantu penontonan saya tetapi saya masih kurang berpuas hati. Terlalu jauh.

Akademi Fantasia IISegmen Bintang Akademi Fantasia
Persembahan bermula dengan lagu Lolipop oleh Atie, Liza & Azza (2*). Nyata tidak banyak perubahan yang berlaku pada nyanyian mereka. Bukan merupakan sebuah lagu yang sesuai sebagai lagu pembukaan. Persembahan mereka kurang memberikan tenaga kepada penonton. Lagu Cengkaman oleh Nija (3*) agak baik disertakan dengan penghayatan yang bagus. Saya kagum dengan showmanship Nija untuk lagu tersebut. Pergerakan Nija mengikut tempo lagu tersebut. Hebat sekali pergerakan rock Nija.

Aku Bisa oleh Azizi (3*) agak bagus penghayatannya. Sebuah lagu yang bagus tetapi kurang mendapat perhatian stesen radio. Tepukan untuk Vince untuk lagu Hold On To Your Dreams / Mimpi Yang Pasti (4*) tidak begitu hebat berbanding sewaktu beliau mula-mula menjuarai Akademi Fantasia tahun lepas. Persembahan Vince agak bernasib baik kerana korus lagu tersebut memang selalu kita dengari dalam salah satu iklan Hotlink. Nyata Vince tidak dirindui peminatnya.

Demi Kasih Ini oleh Rosma (3*) merupakan sebuah lagu R&B. Persembahan Rosma agak kurang menyerlah tetapi masih sebuah persembahan yang biasa bagi seorang bintang yang penyingkirannya mencetuskan fenomena kecoh tahun lepas. Saya suka dengan lagu yang dinyanyikan oleh Burn. Lagu Kasih Ibu (4*) pada mulanya merupakan sebuah lagu nasyid yang kemudiannya diubah susunan muziknya dan diberikan kepada Burn. Burn merupakan antara bintang Akademi Fantasia I yang mempunyai vokal yang bagus.

Bila agaknya album dari Sahri dan Adi hendak dipasarkan ? Saya ternanti-nanti. Lagu Memori Bahagia (3*) oleh Sahri merupakan sebuah lagu yang menarik. Oleh kerana lagu tersebut belum didengari oleh penonton, maka persembahan Sahri tidak dapat menarik perhatian penonton. Hal yang sama berlaku kepada lagu Rahmat Cinta (3*) oleh Adifashla. Lagu tersebut disampaikan dengan bersahaja oleh Adi.

Katakan oleh Nana (4*) yang kini merupakan Penyampai ERA agak bertenaga. Lagu tersebut memang antara lagu yang popular dalam Carta ERA. Nyata kontroversi Nana pada Akademi Fantasia tidak sedikit pun menggugat popularitinya kini. Benarkah Dia oleh Khai (3*) agak bertenaga. Bukan pilihan lagu yang sesuai untuk menarik perhatian penonton. Penonton mungkin lebih sukakan Dambaan Pilu.

Sebagai mengakhiri penampilan bintang senior, lagu Khayalan oleh Bintang Akademi Fantasia I dipilih. Sebuah lagu yang hebat dan penonton dapat mengimbas kembali gerak koreograf mereka pada tahun lepas.

Penantian penonton akhirnya terubat dengan kemunculan Bintang Akademi Fantasia II. Tepukan bergema kerana mereka masih lagi panas. Tetapi yang panas itu akan menjadi suam akhirnya. Mereka harus sedar yang gemerlap bintang belum tentu akan terus berkekalan sampai bila-bila. Saya berharap mereka bersedia untuk memperbaiki diri.

Persembahan mereka mengimbas kembali kegemilangan mereka di Akademi yang baru sahaja selesai. Lagu Medley Joget oleh Bintang Akademi Fantasia II agak menghiburkan. Walaupun hanya muncul untuk dua lagu tetapi sudah cukup memuaskan hati penonton. Tidak hairanlah sekiranya selepas selesai lagu Menuju Puncak oleh gabungan Bintang Akademi Fantasia, ada penonton yang beredar pulang. Menariknya persembahan Menuju Puncak apabila 24 Bintang Akademi Fantasia bergabung dengan dua jenis koreograf yang berbeza di atas satu pentas. Hebat !

Akademi Fantasia IISegmen Siti Nurhaliza
Secara keseluruhan segmen untuk Siti Nurhaliza lebih terancang rapi dari segi penataan cahaya. Kreativiti penata cahaya lebih terserlah pada segmen tersebut. Segala-galanya teradun dengan rapi, begitu juga dengan warna pakaian yang digunakan oleh Siti Nurhaliza. Penggunaan muzik live juga banyak membantu persembahan Siti. Mutu vokal Siti apabila menyanyi secara live tidak boleh saya pertikaikan. Hebat dan Cemerlang !

Lagu yang dipilih oleh Siti Nurhaliza juga kurang memberikan kesan kepada penonton. Gaya berkomunikasinya juga telah banyak berubah. Kelainan yang ditonjolkan pada lagu Aku Cinta Padamu apabila lagu tersebut disampaikan dalam beberapa bentuk susunan lagu. Bermula dengan versi asal hinggalah versi waltz, broadway, dangdut, breakdance, rock dan rap. Ini secara tidak langsung memberikan satu kelainan kepada keindahan vokal Siti serta variasi kepada teknik vokalnya.

Tidak cukup dengan itu, Medley Rock Fantasia Bulan Madu, Hati Emas, Gerhana & Isabella juga merupakan sebuah persembahan yang hebat. Penggunaan pentas hidraulik yang membawa Siti Nurhaliza ke hadapan penonton benar-benar membuatkan penonton diserang histeria.

Kepelbagaian bakat Siti Nurhaliza dibuktikan lagi menerusi lagu Pejam Matamu apabila beliau turut bermain gitar dalam nyanyian. Dalam banyak-banyak persembahan Siti, saya lebih suka melihat Siti menyanyi secara unplugged kerana kehebatan vokal Siti dapat diserlahkan melalui persembahannya.

Nyanyian Siti Nurhaliza untuk semua lagu adalah bagus dan disampaikan dengan penuh penghayatan. Saya mengkagumi stamina Siti Nurhaliza yang sememangnya maha hebat di atas pentas. Agak sukar untuk beliau letih di atas pentas. Menyanyikan hampir 20 buah lagu dalam masa 2 jam bukan satu tugas yang mudah.

Akademi Fantasia IISekali lagu Bintang Akademi Fantasia muncul untuk mengiringi persembahan Siti. Top 5 Bintang Akademi Fantasia I dan Top 6 Bintang Akademi Fantasia II menyertai Siti Nurhaliza untuk lagu One Sweet Day. Nyata sebuah persembahan yang hebat dari mereka. Kurang memberikan tumpuan kerana sibuk mengambil gambar. Ada sebab mengapa peluang mengambil gambar ini tidak saya lepaskan kerana berpeluang untuk mengambil gambar dari hadapan pentas. Saya menggunakan Pas VIP All Access Badrul untuk bergerak bebas di hadapan pentas. Nyata peluang tersebut saya pergunakan sepuas-puasnya. Walaupun Adam muncul sebagai rappers undangan untuk lagu Pendirianku, tumpuan saya terganggu kerana sibuk berbual dengan Farah dan Bob di belakang pentas.

Kawalan keselamatan yang agak ketat untuk seorang yang bernama Siti Nurhaliza tetapi berjaya juga dibolosi oleh peminat-peminat untuk merasai kehangatan persembahan konsert dari dekat.

Akademi Fantasia II
Dua lagu penamat Siti agak terganggu kerana emosi Siti yang bercampur-campur. Mengimbas kembali pengedaran email kontroversi yang telah tersebar pada minggu lepas benar-benar telah menyentuh perasaan Siti. Memang sukar untuk menjadi Siti Nurhaliza dan akan saya jadikan panduan untuk diri saya sendiri. Terlalu banyak cabaran yang melanda tetapi Siti terus berdiri kukuh di persadanya tanpa sedikit pun tercalar dengan sebarang kontroversi.

Senarai Lagu
Cahaja Seribu Liku (4*)
Debaran Cinta (4*)
Kau Kekasihku (3*)
Percayalah (3*)
Lagu Rindu (4*)
Cinta Tak Berganti (4*)
Janji Kasih (3*)
Aku Cinta Padamu (4*)
Kembalikan Indah (4*)
Ku Milikmu (3*)
Medley Rock Fantasia Bulan Madu, Hati Emas, Gerhana & Isabella (5*)
Bukan Cinta Biasa (3*)
Cindai (4*)
Ku Menunggu (4*)
Pejam Matamu (4*)
I Surrender (3*)
One Sweet Day (5*)
Pendirianku featuring Adam (4*)
Dialah Di Hati (4*)
Seindah Biasa (3*)

Sebuah konsert yang biasa sahaja kerana kurang berjaya mencuri perhatian saya untuk menikmati persembahan tersebut secara serius. Walaupun persembahan vokal Siti Nurhaliza agak cemerlang pada malam itu, kehangatan dan kehebatan malam itu sebenarnya milik Bintang Akademi Fantasia. Merekalah yang sebenar-benarnya ditunggu oleh para peminat mereka. Ini dibuktikan melalui tepukan apabila tepukan begitu bergemuruh apabila Siti Nurhaliza mengumumkan nama Zahid dan Farah. Mereka nyata berjaya menarik perhatian penonton. Saya sendiri agak kecewa apabila mendengar tepukan untuk senior mereka jauh lebih kurang berbanding dahulu.

Aksi Farah yang sibuk melayan Johnny pada penghujung konsert tersebut lebih kekal dalam ingatan. Harap ia tidak disunting apabila rakaman konsert tersebut disiarkan kelak.

Nota: Pass VIP All Access ditaja oleh badrul. Menjadi milik saya setelah beliau pulang.

Entri oleh sultanmuzaffar 20 August 2004 0 komen

Top 100 Persembahan Terbaik SM

Kaer – Mentera Semerah Padi
Memories
Zahid - Where Is The Love
Bob - Cinta Seorang Teman
Linda - Panti Asuhan
Zahid - Warna Kehidupan
Bob - Gadis Sarawak
Farah – Mengapa
Zahid - Teratai
Zarina – Pulangkan
Linda - Leaving On The Jet Plane
Zarina - Satu Cinta Dua Jiwa
Kaer - Kenanganku
Zahid - Milikku
Mas - Kaulah Segalanya
Zahid – Cek Mek Molek
Kaer - Kembali Bersama
Adam - Tipah Tertipu
Farah - Tangisan Dalam Kerinduan
Linda - Madah Berhelah
Farah – Bebas Berlari
Kaer - Sway
Kaer – Fantasia
Jangan Pisahkan
Kaer - If You're Not The One
Bob - Akar Dan Bumi
Bob - Pantun Budi
Party Like This
Adam – Bila Larut Malam
Bob - I Can See Clearly Now
Adam - Gerhana
Zahid - Cinta Sakti
Zahid - Istana Menanti
Zahid – Semusim
Greatest Love Of All
Linda - Only You
Anding - Ayu
Kaer - Epilog Cinta Dari Bromley
Mas - Seksis
Zahid - Bila Resah
Kaer - Januari
Farah - Sk8erboi
Farah - Ya Maulai
Bob - Jangan Bersedih Lagi
Farah - Tenda Biru
Kaer - Ikhlas Tapi Jauh
Zarina - Awallah Dondang
Farah - Dancing Queen
Farah - Janji Manismu
Linda - Tak Tahan Lagi
Medley Joget
Mas - Permata Biru
Zarina - Mencintaimu
Medley Bekas Pelajar Akademi Fantasia
Nurul - Ku Mohon
Zarina - Penantian
Bob - Tanya Sama Itu Hud Hud
Adam - Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta
Adam - Keroncong Untuk Ana
Bob – Laguku Untukmu
Zahid - Biarkan Bulan Bicara
Farah - Jangan Kau Mimpi
Bob - Wajah Kesayangan Hamba
Adam – Kasih
Main Shaayar To Nahin
Mas – Aku Cinta Padamu
Linda - Bunga Melor
Zarina - My Immortal
Edlin - Kau dan Aku
Linda - Semoga Abadi
Farah - Seandainya Masih Ada Cinta
Adam - Kerna Dia
Farah - Tua Mengejar Kita
Mas - Tegar
Anding - Melompat Lebih Tinggi
Mas – Yayadan
Linda – Syurga Idaman
Adam - Haruskah
Mas - Semakin Hari Semakin Sayang
Bob – Alhamdulillah
Linda - Aku Cinta Kamu
Nurul - Bawalah Daku Pergi
Bob - Salam Terakhir
Kaer - Habis Sudah Umpanku
Nurul - Sejakku Bertemu Padamu
Anding - Slumber
Fitri - Bayangan Tarimu
Zahid - Percayakan Siti
Linda - Akan Ku Tunggu
Edlin - Can't Fight The Moonlight
Nurul - Ke Hujung Dunia
Adam - Ooo La La
Fitri - Ku Petik Bintang-Bintang
Fitri - Kasih Latifah
Kaer - Bunga Pujaan
Nurul - Seri Dewi Malam
Anding - Merisik Khabar
Edlin - Bintang Hati
Adam - Jangan Lafazkan
Nurul - Bersamamu
Medley Dua Insan/Kita Insan Biasa
Anding - Jika Kau Bercinta Lagi
Nurul - Lucky
Adam - Smooth Criminal
Fitri - Jerat
Mas - Can't Get Outta My Head
Mas - Tamparan Wanita

Entri oleh sultanmuzaffar 19 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia II
Anugerah Akademi Fantasia

Adegan Paling Kelakar Pilihan
1. Zahid menjadi Datuk Harimau bermain “Pukul Berapa Datuk Harimau”.
2. Pertemuan Johhny dengan Farah
3. Farah tarik rambut dan kain Fitri semasa kelas Cikgu Fauziah Nawi.
4. Mas jatuh bedebab semasa tengah berkungfu.
5. Adam “Aku nak makan nasi dengan sambal belacan”.

Adegan Paling Diingati Konsert Pilihan
1. Misha Omar menziarahi ke rumah Zahid
2. Farah memperbetulkan Kudsia tentang Lirik
3. Reaksi Anding semasa Edlin terkeluar
4. Pertemuan Farah dengan Johnny
5. Pengakuan Mas yang beliau seorang ibu tunggal

Adegan Paling Diingati Diari Pilihan
1. Pelajar-pelajar bermain Datuk Harimau
2. Ramli MS baling marker
3. Pelajar-pelajar membuat kejutan untuk Ramli MS
4. Anding mengajar Mas berbahasa Inggeris
5. Telatah Farah dan Johnny

Adegan Paling Sedih Pilihan
1. Mas dapat berjumpa dengan anak-anaknya
2. Ucapan Selamat Hari Bapa
3. Kesedihan Mas apabila berbual dengan anaknya di telefon
4. Pertemuan Kaer dan keluarganya di bawah pentas
5. Tangisan Adam dan Mas memohon maaf kepada ibu mereka.

Adegan Paling Romantik Pilihan
1. Sewaktu Anding menyanyi lagu 'Ayu'.
2. Adam mengelap peluh di muka Farah
3. Farah memujuk Adam yang kesedihan apabila mendapat lagu Bila Larut Malam
4. Pertemuan Farah dan Johnny
5. Zahid menyikat rambut Farah untuk memujuknya.

Adegan Paling Dibenci Pilihan
1. Sewaktu Fitri menjalankan strateginya untuk membuatkan pelajar perempuan menangis.
2. Apabila Mas melukis sampul surat wasiat semasa kelas RMS
3. Apabila Mas bercakap mengenai wasiatnya
4. Apabila Adam bertegas memotong percakapan Farah sewaktu Farah cuba memujuknya.
5. Mas meniru gaya Zarina di basikal gym dengan aksi rambut mengerbang.

Kejutan Pilihan
1. Misha Omar datang umah zahid
2. Anak-anak Mas dibawa bertemu dengan Mas
3. Pertemuan Johnny dan Farah
4. Sewaktu bintang Akademi Fantasia I bertemu di Konsert I
5. Peluang Kaer untuk turun ke bawah bertemu dengan keluarganya.

Pengkritik Pilihan
1. Hetty Koes Endang
2. Farihin
3. Anuar Zain
4. Zainal Abidin
5. Erma Fatima

Pengkritik Bukan Pilihan
1. Mamat Khalid
2. Awie
3. Radhi OAG
4. Andy Flop Poppy
5. Hanizam Abdullah

Vokal Lelaki Pilihan
1. Bob
2. Zahid
3. Kaer
4. Adam
5. Anding

Vokal Wanita Pilihan
1. Farah
2. Linda
3. Zarina
4. Mas
5. Edlin

Persembahan Konsert Pilihan
1. Kaer - Mentera Semerah Padi
2. Bob - Cinta Seorang Teman
3. Memories
4. Zahid - Where Is The Love
5. Zarina - Pulangkan

Persembahan Konsert Bukan Pilihan
1. Nurul - Lucky
2. Adam - Smooth Criminal
3. Fitri - Jerat
4. Mas - Can't Get Outta My Head
5. Mas - Tamparan Wanita

Adegan Paling Sakit
1. Farah terkena bola tendangan En. Julian
2. Zahid kena penampar dengan Mas
3. Adam benjol terkena tin coke
4. Mas jatuh bila berkungfu
5. Bontot pelajar terbakar bila berlumba heret punggung

Adegan Paling Cute
1. Farah cakap "amaaah" kepada Johnny
2. Farah bawak M&M besar untuk Ramli MS
3. Farah gelak bila tengok Diari Khas Aznil utk pelajar AF
4. Farah cuba sorok album gambar dari Kaer + Zahid
5. Kaer mengayuh basikal gym

Adegan Paling Menggelikan Pilihan
1. WooHaaaaaa oleh Nurul
2. Fitri memakai kimono
3. Bill Keith
4. Mas gelek gerudi
5. Kaer dan Bob tunjuk gatal-gatal

Adegan Paling Misteri Pilihan
1. Kehilangan Encik Julian masa minggu terakhir.
2. Siapa beri kek 'Budak Hitam' setiap minggu.
3. Punca kulit Kaer, Bob dan Zahid gatal-gatal.
4. Punca Nurul marahkan Mas masa ambil makanan.
5. Punca pelajar perempuan suka menangis pada minggu-minggu awal.

Perkataan-Perkataan Paling Popular di Akademi Fantasia II
1. Miss World
2. kukukakikakakukakek
3. Cigu
4. Johnnnyyyyyy
5. ammaaa
6. if not for me ... do it for the young ones - Kaer
7. welcome back welcome home - Kudsia
8. Apa Khabar Nurul .. er.. er ... Linda !!! - Hani Mohsin
9. Er... takut lah .... saya dengar kak nutul dan saya dah dashkan dan tulis yang betul ... maaf kak kudsia - Farah
10. At least she do her homework and she do her homework - Aznil
11. Brrrrrrr aaa Brrrrrrr - Zahid buat bubbling semasa tidur
12. toceh .. toceh leng chai !! - student AF salam dengan cikgu Corrie
13. keconrong - Adam
14. Kalau kau menangis mesti muka kau macam ni ...mmphhh ... - Zahid lepas sikat rambut Farah
15. tak gemuk le .. apom - Farah cakap kat mak dia dalam phone.

Aksi Aznil Nawawi Pilihan
1. Muka bengang sewaktu Zahid tanya 'Abang Aznil tua ke?"
2. Mimik muka tiru Anding nangis tersemput-semput.
3. Muka curi makan cengkodok dari Misha.
4. Semasa meniru dialog femes pak abu.
5. Semasa mengusik Mas tentang lelaki pilihan Mas
6. Semasa mengaku Azwan Penghibur No Satu, memberi idea supaya parents Farah tepis Azwan ke tasik.
7. Semasa gambar Aznil pakai cawat disiarkan.
8. Semasa tiru gaya Bob messrrrreeeeee.
9. Semasa mengusik Adam pasal dialog ' dah bertahun2 aku nyanyi lagu rap.
10. Semasa menjadi penari latar di persembahan Adam menari tertiarap.

Nota
Saya di dalam proses menyiapkan 10 e-book Akademi Fantasia II. Di dalamnya terkandung ulasan Diari Akademi Fantasia, Imbasan Akademi Fantasia serta Konsert Akademi Fantasia. Saya dalam proses menyiapkan sinopsis setiap minggu untuk mendapatkan gambaran ilustrasi untuk muka hadapan.

Entri oleh sultanmuzaffar 17 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IICoretan Khas Buat Pembaca Blog sultanmuzaffar

Klik logo untuk ke coretan tersebut.

Adam
Adam berpeluang untuk pergi lebih jauh sekiranya dapat membina identiti sendiri. Beliau merupakan tarikan para remaja dan gunakan kelebihan itu untuk menguasai pasaran remaja. Sekiranya Adam terus dengan imej kini, maka perjalanannya dalam seni tidak jauh, hanya sekadar di Malaysia sahaja. Buka diri anda, dan kuasai pasaran antarabangsa.

Anding
Beliau merupakan seorang penari yang baik. Mempunyai pakej yang baik untuk terus berjaya. Minatnya yang mendalam dalam bidang perfileman dan lakonan perlu disokong. Beliau telah pun memenangi anugerah dalam bidang tersebut. Berilah Anding peluang untuk meneruskan bakatnya dalam bidang lakonan, jangan dipaksa beliau untuk terus menyanyi. Biasiswa yang ditawarkan itu, boleh diberikan kepada Anding untuk meneruskan pengajiannya.

Bob
Bob berbakat besar dalam bidang nyanyian tetapi sayangnya kita berada di Malaysia. Faktor fizikal masih merupakan faktor pilihan utama penonton. Jika serius, teruskan cita-cita anda dan buktikan kepada semua anda masih boleh berjaya. Paling tidak, Bob sesuai menjadi Penyampai baru di ERA.

Nurul
Perwatakannya di Akademi jauh benar bezanya dengan perwatakan sebenar beliau di luar. Di luar beliau nampak lebih berkeyakinan. Pergunakan bakat anda dalam nyanyian sebaik-baiknya dan dalami ilmu nyanyian serta ilmu pengurusan yang sedang anda ikuti untuk melengkapkan lagi diri anda sebagai seorang artis yang berilmu.

Farah
Kekalkan imej anda seperti sekarang. Seorang yang manja dan sentiasa riang. Imej tersebut kena dengan anda pada ketika usia seperti sekarang. Bilangan peminat anda semakin bertambah, baik dari golongan muda, tua, lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Perwatakan anda amat menyenangkan.

Edlin
Tanpa nyanyian Edlin sudah pun boleh berjaya. Bakat beliau masih boleh digilap untuk menyinar dengan lebih terang.

Kaer
Arkitek merupakan cita-cita anda. Nyanyian merupakan impian anda. Dalami kedua-dua bidang ini dan jadilah artis yang berilmu. Bukan hanya sekadar menjadi penyanyi tetapi juga menjadi pereka set. Itu kelebihan artis yang mempunyai pengkhususan lain dalam bidang seni.

Zahid
Anda sememangnya hebat. Karisma penghibur anda sememangnya ada dalam diri anda. Cara anda melayan peminat anda memang cool. Seperti sudah bertemu beberapa kali.

Fitri
Seperti Kaer, Nurul dan Anding, anda tergolong dalam artis yang mempunyai ilmu lain selain dari menyanyi. Inilah uniknya Akademi Fantasia II, apabila ASTRO mempunyai perancangan serampang dua mata untuk masa depan mereka. Ilmu fesyen perlu anda kuasasi dan ilmu nyanyian perlu anda dalami. Bakat anda dalam bidang fesyen masih boleh membantu karier anda dalam bidang seni ini.

Zarina
Zarina berbakat besar dalam bidang nyanyian. Tetapi sayangnya sudah terlalu ramai penyanyi wanita Malaysia sepertinya. Imej-imej sebegitu sudah terlalu ramai di Malaysia sehingga kita tidak kenal pun ada artis baru yang muncul. Zarina perlu memantapkan lagi mutu vokalnya. Jika kita imbas kembali, Rosma dahulu juga dikatakan bakal artis wanita yang akan menggegarkan industri seni tempatan, tetapi di mana Rosma kini. Agak sukar untuk penyanyi seperti Zarina menembusi pasaran yang kini dikuasai Siti Nurhaliza selain memberikan warna pada perjalanan karier beliau.

Linda
Seperti Zarina, Linda juga bakal berdepan dengan masalah yang sama. Uniknya Linda beliau boleh bermain alat muzik. Perjalanan kariernya agak lebih cerah.

Mas
Jangan terkejut jika saya katakan Mas mampu pergi lebih jauh dengan tone vokal yang beliau ada sekarang. Keunikan vokal Mas memang merupakan sebab utama beliau dipilih dalam Akademi Fantasia. Mas hanya perlu meningkatkan lagi kemantapan vokal beliau. Karisma beliau sebagai penghibur perlu ditingkatkan lagi serta gaya persembahannya di atas pentas perlu digilap untuk menjadikannya lebih profesional.

Apa pesanan anda buat mereka ? Berikan pendapat anda.

Entri oleh sultanmuzaffar 15 August 2004 0 komen

Tanda-tanda Demam Akademi Fantasia Anda Masih Belum Kebah II
oleh ashburn

1. Anda lebih sanggup mengikat perut dan tidak pergi ke shopping malls walaupun pada masa Great Malaysian Sale kerana anda lebih rela beli prepaid topup kad anda untuk mengafundi pelajar AF II anda yg diminati.

2. Anda tidak langsung rasa bersalah apabila anda menggunakan telefon bimbit ahli-ahli keluarga anda untuk mengafundi pelajar favourite anda.

3. Walaupun anda sudah bercucu empat, anak sudah besar panjang, anda masih lagi mengafundi Zahid setiap hari dan mengarahkan anak-anak anda berbuat begitu juga.

4. Sanggup menghabiskan duit pencen anda yang seciput itu untuk mengafundi pelajar favourite AF II anda.

5. Sanggup berbaik2 dengan adik beradik anda yang sudah lama tak bertegur hanya kerana rumahnya ada Astro.

6. Sanggup menghabiskan uwang membeli baju berwarna oren (walaupun anda sebenarnya sudah terlalu sengkek bulan ni) kerana ingin memberitahu seantero dunia yang anda peminat Zahid.

7. Sanggup mengeluarkan duit simpanan dari Tabung Haji untuk menampung kehidupan anda di bulan2 kering (dek kerana mengafundi peserta favourite dengan banyaknya).

8. Sanggup membuang masa berejam-jam di blog-blog (di sini, juga di sini contohnya) yang mengulas tentang Diari Akademi Fantasi secara terperinci dan tidak memperdulikan kerja-kerja pejabat anda yang makin bertimbun.

9. Sanggup bergaduh dan bertikam lidah dengan orang-orang tidak dikenali hanya kerana membacking pelajar AF II favourite anda walaupun anda tahu dan sedar yang peserta favourite anda tidak akan membaca pendapat anda.

10. Tiba-tiba suka makan cekodok.

11. Tiba-tiba suka memancing.

12. Tiba-tiba anda rasa anda perlu untuk ke Tawau untuk merasa sate hasil tangan ibu pelajar favourite AF II anda.

13. Tiba-tiba anda rasa gelek penyanyi2 dangut adalah tarian terseksi di dalam dunia.

14. Tiba-tiba bercita-cita hendak jadik architect walaupun usia anda sudah terlalu lanjut untuk mencapai cecita tersebut.

15. Memarahi anak anda kerana tidak mengafundi pelajar AF II favourite anda sehingga pelajar itu terkeluar.

16. Sanggup tidak ke kenduri berinai saudara dekat anda kerana tidak mahu terlepas menonton Konsert Akademi Fantasia.

17. Hanya sanggup menikah selepas berakhirnya siri Akademi Fantasia dan tidak sebelum itu.

18. Sanggup dimarahi ibu kerana tidak mahu pergi ke kenduri arwah saudara di kampung kerana kenduri itu dibuat pada hari Sabtu malam.

19. Menghabiskan masa berjam-jam di pantry di ofis untuk mengupas program diari dan konsert Akademi Fantasia malam sebelumnya lagaknya melebihi juri professional.

20. Sanggup berembun di Dewan Sivik MPPJ pada pukul 12 malam dengan harapan dapat ticket konsert mingguan percuma.

21. Berasa sangat-sangat kecewa apabila mengetahui yang tiket-tiket itu hanya diberi pada pukul 3pagi.

22. Sanggup membayar lebih 100% lebih daripada harga asal tiket Konsert akhir Akademi Fantasia walaupun pada masa tengah-tengah bulan.

23. Sanggup bermuncung bibir dan tidak bertegur sapa dengan kawan-kawan kerana peserta AF II favourite berbeza-beza.

24. Tiba-tiba rasa upah RM100 untuk sepasang baju kurung tidak mahal walaupun dahulu anda merungut jika upah menjahit baju kurung adalah RM60 sahaja.

25. Sanggup membeli sapu tangan dan belajar mengikat bandangan.

26. Tiba-tiba timbul minat untuk ingin mempelajari bermain guitar.

27. Rasa kosong dan terkedu apabila menyedari yang seri Akademi Fantasia II sudah pun habis.

28. Menonton ch@15 dan menyerang balas statement2 daripada peminat-peminat fanatik AFII dengan begitu bersemangat sekali.

29. Turut jua mengatakan yang sebuah kamera yang tidak mempunya hati, perasaan dan personaliti sebagai cute hanya kerana pelajar AF II favourite anda juga berkata demikian.

30. Tiba-tiba merasakan yang M. Daud Kilau, yang dahulunya dikutuk oleh anda, sebagai seorang yang cool.

31. Sanggup mengambil risiko yang tinggi dan membeli tiket Konsert Mingguan dan Konsert Akhir AFII daripada orang-orang yang tidak langsung dikenali (dan tidak bekerja di Axcess Charge).

32. Sanggup tidur pada pukul 1.30 pagi supaya anda tidak lepas menonton Diari Akademi Fantasia walaupun anda mula bekerja pada pukul 8 pagi dan majikan anda adalah seorang yang garang.

33. Rasa marah yang meluap-luap apabila pengkiritk mengutuk/mengomen peserta favourite AFII anda dengan negatifnya.

34. Terlupa memberi kucing anda makan kerana terlalu masyuk menonton Diari atau Konsert AF II

35. Masih lagi menonton ch@15 walaupun Konsert AF II sudahpun berakhir.

36. Menelefon dan merecce terlebih dahulu tempat penginapan percutian anda untuk bertanyakan samada hotel tersebut mempunyai siaran Astro Ria di sana.

37. Rasa panik melampau-lampau bila anda dapati yang tempat penginapan tersebut tidak mempunyai siaran Astro Ria.

38. Sanggup bermati-matian mebacking pelajar favorite AFII anda di forum/komen blog/yahoo messenger conference walaupun anda sedar anda berada di pihak minoriti (1 lawan berpuluh orang).

39. Tiba-tiba menyampah dan meluat maksima terhadap seorang bekas pelajar AFI kerana "merampas" teman lelaki peserta favourite AF II anda.

40. Mimpi anda menjadi begitu extravanganza sehinggakan anda bermimpi yang pelajar Recyle AF II memulangkan trofi kemenangannya.

41. Menggunakan perkataan-perkataan seperti "pitching lari ke laut" dan sebagainya di dalam kehidupan seharian.

42. Menonton ulangan konsert pada hari Ahad pagi walaupun anda baru sahaja menonton siaran Konsert itu beberapa jam sebelum ini.

43. Sanggup sorok status perkahwinan semata2 ada keinginan untk mengambil Mas sebagai isteri kedua.

44. Setiap kali makanan ikan anda habis, ataupun anda tidak terlalu sihat, anda akan mencarik Johnny dan Jenny untuk mengadu kepadanya.

45. Nama kucing anda Markonah tiba-tiba jadik "Johnny".

46. still spend weekend kt umah mak cik yg ade astro wpun AF dh abis

47. bila terdengar orang menyanyi dekat dengan anda, anda mula bagi komen pasal pitching, falsetto, ad-lib, feel....

48 sanggup menyuruh rakan anda yg berada di dalam dewan konsert untuk melaporkan keadaan setiap 30 minit ketika kenduri aruah sedang berlangsung, sehingga turut terlupa yang radio Era juga ada siaran langsung

49 menyuruh anak anda yang seramai 5 orang itu untuk mengembangkan rambut ala² p3

50 sudah berkira ² untuk beraya dengan kimono sekeluarga tahun ini

51 sanggup menaja baju kaler oren sebab nak suruh sama2 bg semangat utk pelajar favourite anda

52) bunyik hon keta dah tukar jd breep..breep..

53) tetiba bangga jd sagitarrian..huhuhu..

54) tetiba rasa rendah diri tengok muka sendiri yg tak selicin muka farah..

55) dah mula pasang azam tak mo m'punyai keluarga tak bahagia

56 - Sanggup menunda membeli cincin kahwin walhal majlis lagi seminggu semata2 takut terlepas ke konsert Final AF

57 Tetibe aje nak beli teddybear letak dalam bilik

58. Practise "tahan perut" walaupun anda hanya lah ketawa. Mana tau, takut orang sebelah komen pitching gelak anda "terkeluar acuan".

59. Hadiahkan org tercinta dengan VCDs Akademi Fantasia. Bunga dan kad sudah tidak dihargai lagi.

60. Bercita2 untuk namakan anak2 anda Zahid, Kaer dan Adam.

61. Sampai bermasam muka dgn suami gara2 dia mengajak tengok "Spiderman" di malam Konsert AF.

62. Tak senang duduk masa company dinner sbb tak dapat nak menonton konsert AF.

63 semua security camera kat opis anda sudah ada name ... Johnny, Jenny, Sammy, Kenny, dll.

64 Sorok semua marker bila dengar bos nak adalah mesyuarat tergempar



Entri oleh sultanmuzaffar 14 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIKemuncak Konsert Akademi Fantasia

Bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil, Zahid telah dinobatkan sebagai Juara Akademi Fantasia II menewaskan saingannya bintang AFMASUK iaitu Linda dan bintang klon iaitu Adam. Persembahan konsert yang berlangsung hampir empat jam telah menampilkan 6 finalis yang terdiri dari pelbagai latarbelakang dan bandar.

Persembahan konsert kali ini agak hambar dan tidak meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada penonton. Kesan Akademi Fantasia I jauh lebih hebat daripada musim yang kedua ini.

Suka saya menambah tentang kamera yang merakamkan siaran langsung tersebut. Saya bernasib baik kerana berpeluang untuk menonton siaran langsung di stadium dan kemudian menonton siaran ulangannya di rumah keesokkannya. Saya mengakui, sebagai penonton di rumah tentulah kita mahu merasai kehangatan yang berlangsung di stadium sama seperti apa yang dirasai oleh penonton di stadium. Sayangnya, apabila menonton di rumah, pergerakan kamera tidak seperti yang diharapkan. Saiz stadium yang agak luas menyebabkan terlalu banyak shot-shot jauh yang mana saiz penyanyi yang sedang beraksi di atas pentas terlalu kecil. Banyak aksi-aksi menarik yang tidak dapat ditonton di rumah. Yang seronok apabila menonton di stadium apabila air-horn dibunyikan dan bunyi itu datang tidak sampai 20cm dari telinga saya. Yang seronok apabila menonton di stadium kita dapat mendengar dengan jelas jeritan boo oleh sebahagian penonton apabila Linda membuat persembahan dan diumumkan sebagai Naib Juara. Yang seronok apabila di stadium saya dapat bertemu dengan sebilangan pembaca blog ini yang bertemu di stadium buat pertama kali.

Akademi Fantasia II membuka satu episod baru dalam hidup saya juga telah memberi seribu macam kenangan-kenangan yang baru. Kali ini saya berpeluang untuk muncul di dalam Imbasan IV Akademi Fantasia. Walaupun saya sendiri kurang berpuas hati dengan hasilnya, ia tetap memberikan satu kenangan paling manis. Ekoran daripa kemunculan tersebut, nama saya sekali lagi telah disebut di dalam Surat Pilihan Pembaca di dalam Berita Minggu yang mana surat tersebut telah ditulis oleh Wani yang bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Yang paling membanggakan saya apabila Surat Untuk Ibu Ayuna tulisan salah seorang sahabat saya telah tersiar di dalam kolum yang sama di dalam Berita Minggu semalam. Permulaan positif ini menandakan yang tulisan saya dibaca oleh mereka dan timbul satu perdebatan yang sihat di kalangan pembaca. Itu yang lebih membanggakan saya.

Akademi Fantasia IIKedudukan Selepas Konsert
Juara – Zahid 28%
Naib Juara – Linda 21%
Tempat Ketiga – Adam 14%
Tempat Keempat – Farah 14%
Tempat Kelima – Bob 13%
Tempat Keenam – Kaer 11%

Pengkritik Profesional
Farihin Abdul Fatah selaku Pengkritik Profesional muncul semula untuk memberikan komen-komen bernas beliau. Saya merasakan beliau layak untuk menduduki kerusi Pengetua untuk Akademi Fantasia III. Beliau telah memberikan komen-komen yang jujur dan amat penting buat setiap pelajar. Mamat Khalid yang juga muncul semula telah menyuntik elemen jenaka pada setiap komennya dan merayu undi pelajar yang berada di tangga di bawah. Kudsia Kahar seperti biasa memberikan komen-komen yang biasa dan agak emosi sewaktu Bob selesai membuat persembahan.

Sumbangan Biasiswa dan Derma
Pengumuman sumbangan biasiswa bernilai RM300,000 untuk rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran dalam bidang seni amat kena untuk membawa nama Malaysia ke satu peringkat yang lebih tinggi. Selain daripada itu, sumbangan derma sebanyak RM200,000 akan diserahkan kepada badan-badan kebajikan yang memerlukan.

Persembahan Pelajar
Akademi Fantasia IIAdam Ooo La La 4/10
Persembahan Adam benar-benar mengecewakan kerana saya mahu melihat Adam dan bukannya KRU. Panggilan telefon dari Yusry benar-benar memberi lesen besar kepada Adam untuk meniru bulat-bulat persembahan KRU pada konsert-konsert mereka sepuluh tahun lampau. Koreograf yang ditampilkan oleh Adam merupakan koreograf KRU zaman 90an. Sepuluh tahun telah berlalu. Adam sememangnya bijak berinteraksi dengan penonton di stadium mahupun di rumah. Penguasaan pentasnya baik. Adam mempunyai vokal yang baik tetapi tumpuannya terlalu tertumpu kepada koreograf menyebabkan kegagalan beliau mengawal vokal beliau dengan baik. Stamina beliau yang tidak setanding untuk sebuah lagu rancak telah menyebabkan momentum persembahannya jatuh.

Kudsia Kahar khabarnya sering menyaksikan konsert baik di luar negara mahupun di dalam negara. Oleh itu, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila beliau menilai sebuah koreograf yang tiada kreativiti dari Adam sebagai sebuah persembahan yang menarik. Kudsia besar kemungkinan tidak pernah menonton Konsert KRU dan beliau merasakan koreograf Adam adalah koreograf yang asli. Adam harus sedar bahawa mesej Farihin yang beliau harus menyertai KRU adalah satu sindiran dan bukannya galakan.

Akademi Fantasia IIZahid Biarkan Bulan Bicara 7/10
Kejutan untuk Zahid ialah ditayangkan gambar-gambar Zahid sewaktu kecil. Gambar-gambar yang sama sebenarnya telah tersebar di internet pada awal minggu ini. Kerja siapa, tidak kita ketahui.

Sebuah persembahan yang mantap dari Zahid jika dinilai dari sudut vokal tetapi masih kurang penghayatan yang baik untuk membuatkan penonton suka dengan persembahan tersebut. Beliau sekadar berdiri dan menyanyikan lagu tersebut. Kekuatan utama persembahannya ialah mutu vokal beliau yang agak mantap. Beliau berjaya menarik perhatian saya untuk mendengar nyanyiannya dari awal sehingga akhir lebih-lebih lagi beliau menyanyikan sebuah lagu yang tidak popular. Saya ingin mendengar bagaimana beliau mencorakkan lagu tersebut.

Akademi Fantasia IILinda Aku Cinta Kamu 5/10
Kejutan untuk Linda apabila Nurul penulis lirik lagu tersebut muncul untuk menemuinya. Beliau telah menghadiahkan Linda sepasang anting-anting untuk dipakai sewaktu membuat persembahan. Pakaian yang dipakai oleh Linda direka oleh Bill Keith.

Pada salah satu episod Diari Akademi, Ajai telah memberitahu bahawa lagu tersebut ada kena mengena dengan Akademi Fantasia. Saya telah meletakkan harapan yang tinggi untuk dapat menghayati lagu tersebut sebaik-baiknya kerana saya amat meminati Akademi Fantasia. Saya cuba untuk menafsirkan lirik-liriknya dan membuai perasaan saya bersama-sama Linda. Tetapi sayangnya ia tidak kesampaian. Jika salah satu lirik lagu tersebut turut menyatakan bagaimana rasa apabila kembali semula ke Akademi Fantasia, Linda tidak dapat membuatkan penonton merasainya. Keikhlasan Linda menghadiahkan lagu tersebut kepada penonton tidak disambut baik oleh penonton kerana penghayatan beliau yang tidak begitu baik untuk lagu tersebut. Wajahnya memang tidak seceria sewaktu beliau berada di Akademi Fantasia secara halal. Ekspresi wajahnya jelas nampak tidak berkeyakinan tinggi dan sekadar menyiapkan kerjanya sahaja. Linda punya vokal yang mantap, lontaran vokalnya tinggi dan mempunyai personaliti untuk lahir sebagai bintang baru industri seni Malaysia.

Akademi Fantasia IIBob Gadis Sarawak 9.3/10
Pada pendapat saya beliau sewajarnya diberi satu anugerah khas kerana telah berjaya mengharungi cabaran besar dalam Akademi Fantasia untuk menjadi seorang yang versatile. Bob merupakan pelajar paling menyerlah pada persembahan semalam. Beliau seorang penghibur yang serba-boleh. Vokalnya mantap. Karismanya besar untuk menjadi seorang penghibur. Beliau bijak menguasai pentas dengan pergerakan-pergerakan yang kena dengan rentak lagu tersebut. Interaksi dengan kamera dan penonton dibuat dengan baik oleh beliau.

Kekuatan utama persembahan Bob ialah beliau berjaya meyakinkan penonton dengan kemantapan vokalnya serta tenaga yang dibawa oleh beliau melalui lagu tersebut. Beliau berjaya membawa penonton mendekati Sarawak dalam masa yang singkat pada persembahannya. Pakaian berkonsepkan etnik Sarawak dengan elemen pua kumbu yang direka oleh Salikin Sidik juga kena dengan konsep lagu tersebut.

Akademi Fantasia IIFarah Tangisan Dalam Kerinduan 8.6/10
Jika bukan Farah yang menyanyikan lagu ini, tentunya lagu ini dinyanyikan oleh Zarina dengan nada diturunkan sedikit. Menurut Cikgu Adnan sendiri, lirik lagu tersebut berdasarkan kisah salah seorang kawan Farah di Akademi Fantasia. Salah satu perkataan pada lirik tersebut yang terus mengingatkan saya tentang Zarina ialah gambar wajah.

Saya melihat persembahan Farah amat bersahaja. Penonton sudah berasa tenang setiap kali sebelum beliau membawakan nada tinggi. Penonton sudah mula berasa yakin dengan kemantapan vokal beliau. Ini berbeza sewaktu beliau menyanyi pada minggu-minggu awal di Akademi Fantasia. Penonton sentiasa resah menantikan bahagian korus. Nyanyiannya bagus dan sebutannya jelas. Mesej lagu tersebut sampai kepada penonton kerana penghayatan Farah untuk lagu ini sememangnya hebat. Beliau kelihatan bersahaja menyampaikan lagu tersebut pada nada rendah sehingga nada tinggi. Lagu ini telah menyerlahkan kematangan Farah yang pada awalnya ramai menyangka yang Farah hanya berkebolehan untuk menjerit.

Akademi Fantasia IIKaer Sway 8.4/10
Sebuah persembahan muzikal yang biasa dari Kaer. Menariknya persembahan ini apabila Kaer dapat menguasai pentasnya dengan bersahaja. Interaksinya dengan penari latar juga kena dengan mesej lagu tersebut. Beliau telah memberikan persembahan yang sederhana tetapi memadai dengan konsep persembahannya. Kaer bijak mengawal keseronokan penonton dan mengambil hati mereka dengan gaya persembahan yang berpewatakan.

Mutu vokal beliau tidak sebaik yang diharapkan. Keyakinannya tinggi tetapi tumpuannya terlalu menumpukan kepada koreograf lagu tersebut. Pergerakan-pergerakannya mampu membuatkan penonton bersorak kegembiraan apabila melihatkan aksi Kaer.

Kaer boleh saya sifatkan menang sorak tetapi tidak berjaya membuatkan penonton untuk mengundinya. Kaer perlu meningkatkan lagi keyakinannya yang sering tidak konsisten dan banyak menganggu tumpuannya.

Akademi Fantasia IIAdam Haruskah 6/10
Saya menyukai melodi permulaan lagu ini. Sebuah ciptaan yang indah dan sesuai dengan imej Adam. Lirik lagu ini turut diselitkan bahasa Inggeris. Segala keperluan dalam penciptaan lagu telah diambil kira untuk Adam.

Tetapi sayangnya, vokal beliau tidak menyerlah untuk lagu ini. Sebutannya tidak jelas. Showmanship Adam untuk lagu ini lebih yakin dan beliau bijak menguasai pentas dengan baik.

Adam, yang terlalu menyintai dirinya telah membawakan lagu ini dalam keagungannya kepada KRU. Agungnya KRU di mata Adam sehingga lupa yang KRU tidak pernah menangis sengsara sewaktu merakamkan sebuah lagu lama iaitu Getaran Jiwa yang berjaya mencipta kontroversi.

Akademi Fantasia IIZahid Milikku 9/10
Terbukti yang Zahid seorang yang versatile dan genre rap merupakan genre pilihannya. Karisma yang dibawa oleh Zahid di atas pentas begitu tinggi. Penonton menantikan persembahannya dengan bersungguh-sungguh. Pergerakan beliau di atas pentas amat profesional.

Beliau bijak mengawal lontaran vokalnya dengan cemerlang. Pergerakannya dikawal oleh stamina yang baik dan Zahid telah memberikan sebuah persembahan yang bertenaga. Beliau melontarkan mesej lagu tersebut dalam penghayatan yang cukup baik.

Saya suka dengan pergerakan-pergerakan Zahid yang penuh attitude dan sesuai dengan lagu. Penguasaan pentasnya hebat dan interaksi beliau dengan penonton di rumah dan stadium amat cemerlang. Penonton memberikan tindakbalas yang positif. Kelemahan utama Zahid ialah falsetto yang tidak cukup hebat untuk melengkapkan persembahan lagu tersebut.

Akademi Fantasia IILinda Only You 8/10
Saya amat menyenangi persembahan Linda. Penghayatannya untuk lagu ini lebih baik kerana beliau sudah biasa menyanyikan lagu ini. Range vokal Linda amat besar dan beliau bijak menggunakan kelebihan tersebut. Beliau telah berjaya menyesuaikan vokalnya dengan lagu tersebut.

Penghayatannya berjaya membuatkan saya terpaku menonton persembahannya. Kekuatan utamanya ialah vokal yang mantap. Walaupun saya tidak memahami makna lagu tersebut, perkaitan lagu tersebut berjaya dihubungkan kepada saya.

Linda mempunyai karisma sebagai seorang penghibur yang disegani sebelum dicalarkan imejnya dengan kemasukan semula ke Akademi Fantasia. Saya dapat merasakan hanya segelintir sahaja yang tidak dapat menerima hakikat kebenaran tersebut kerana Linda telah pun dinobatkan sebagai Naib Juara Akademi Fantasia.

Akademi Fantasia IIBob Cinta Seorang Teman 9.5/10
Cinta Seorang Teman ialah persembahan terbaik di Kemuncak Konsert Akademi Fantasia. Segalanya hebat. Bob telah menyempurnakan tugasnya dengan cemerlang tetapi tidak pengundi. Pengundi masih menilai fizikal sebagai salah satu faktor pemilihan.

Sebuah lagu yang dicipta oleh Cikgu Adnan telah disampaikan dengan penuh penghayatan oleh Bob. Bermula dengan nada yang rendah dan kemudian di bawa ke bahagian tinggi, Bob telah membuai penonton dengan lagu tersebut. Penghayatannya dashyat.

Beliau merupakan pelajar yang mempunyai vokal paling hebat di Akademi Fantasia. Persembahannya sederhana tetapi telah dibawa dengan kreatif oleh Bob.

Rata-rata penonton menyukai dengan persembahan penuh penghayatan oleh Bob. Lagu ini seakan-akan sedang berputar-putar dalam kotak fikiran penonton. Sebuah lagu baru yang jarang-jarang dapat menangkap perhatian penonton walaupun baru pertama kali didengari.

Akademi Fantasia IIFarah Sk8erboi 7.5/10
Farah dan Johhny memang sukar untuk dipisahkan. Kemesraan mereka di Akademi Fantasia lebih serasi daripada Farah dipadankan bersama Adam. Saya lebih menyukai sekiranya Farah memilih Johnny berbanding Adam yang lebih bersifat narcissistic. Farah seringkali dilihat bersama dan melayan Johnny. Buat pertama kali, Johnny diperkenalkan kepada umum. Farah harus memilih antara Johnny sebenar dan Rosyam Nor. Kejujuran Farah terserlah apabila jambangan bunga dari Johnny dahulu sebelum mengambil dari Rosyam Nor. Sememangnya Farah benar-benar ingin bertemu Johnny. Impiannya tercapai.

Farah seorang yang sedar ruangnya dan menanti sehingga Johnny bersedia di kamera. Persembahan bertenaga Farah untuk lagu Sk8erboi benar-benar memikat. Sebuah persembahan yang biasa tetapi mampu memikat hati penonton dengan showmanship Farah yang bertenaga. Farah mempunyai attitude yang sesuai untuk lagu sebegini. Kini Farah diuji dengan sebuah lagu berentak rock dan cabaran itu diharungi tanpa perlu menangis teresak-esak seperti Adam. Penguasaan pentasnya agak terganggu kerana penari latar yang terlalu ramai dan nampak serabut.

Vokal Farah tidak begitu menyerlah untuk lagu ini kerana kurang stamina untuk mengekalkan momentum persembahannya sehingga penamat. Persembahan Farah nampak cemerlang kerana ditutup dengan pergerakannya di atas pentas.

Akademi Fantasia IIKaer Kembali Bersama 8.7/10
Saya tidak pasti tajuk lagu ini sebenarnya. Sekejap Kau Kembali, sekejap Kembali Bersama. Saya keliru. Lirik lagu ini pada mulanya berbeza dengan apa yang dinyanyikan oleh Kaer. Mungkin juga ini salah satu sebab mengapa sokongan kepada Kaer berkurangan kerana pengundi Kaer sedikit kecewa dengan keadaan tersebut.

Lagu R&B sememangnya kena dengan vokal Kaer dan beliau sendiri inginkan imej sedemikian. Kaer bijak berinteraksi dengan penonton dan kamera. Penghayatannya untuk lagu ini bagus. Kaer berani untuk melenggokkan melodi lagu tersebut mengikut gayanya tetapi adakalanya beliau agak terbabas dan terlalu berlebihan.

Jika golongan remaja mahu menjadikannya seorang idola, Kaer ialah pilihan yang tepat. Seorang yang tidak mudah patah semangat, cekal, bermotivasi tinggi, rela menyahut cabaran dan berani menempuh segala dugaan. Perjalanan beliau di Akademi Fantasia tidak mudah lebih-lebih lagi didorong dengan masalah keluarga yang dihadapi olehnya.

Beliau antara penyanyi lelaki yang mempunyai mutu vokal yang mantap terutamanya apabila mendapat lagu yang kena dengan imejnya. Beliau punya daya untuk memberikan warna sendiri pada lagu tersebut.

Akademi Fantasia IIMedley Bekas Pelajar 5/10
Persembahan Medley Bekas Pelajar bermula dengan Nurul yang membawakan lagu Sejakku Bertemu Padamu. Lagu tersebut merupakan antara persembahan terbaik Nurul dan Nurul telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Fitri muncul dengan rekaan pakaian yang unik ciptaan beliau sendiri membawakan lagu Jepun bertajuk First Love. Edlin membawakan lagu Can’t Fight The Moon Light dengan penuh berkeyakinan. Walaupun berlaku masalah teknikal, Edlin dengan selamba meneruskan persembahannya tanpa tergugat dengan masalah tersebut.

Akademi Fantasia IIKemunculan Justin Timberlake Malaysia, Anding benar-benar memukau. Di Stadium Putra vokalnya seperti tidak begitu jelas dan amat berbeza apabila menonton di rumah. Saya suka dengan perwatakan yang dibawakan oleh Anding dengan lagu Senorita itu. Beliau menampilkan imej yang lebih memukau dan penguasaan pentasnya hebat. Gelek Mas untuk lagu Penasaran sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat Akademi Fantasia yang kempunan untuk melihat beliau membawakan lagu dangdut. Zarina dan Khai dipertemukan semula dengan lagu Pulangkan. Sebuah lagu yang amat sesuai dibawakan oleh Zarina untuk menceritakan perjalanan hidupnya.

Persembahan ditutup dengan lagu Seasons In The Sun yang mana Anding, Zarina dan Edlin merupakan kekuatan lagu tersebut. Yang peliknya enam finalis tidak disatukan dalam persembahan tersebut seperti Thank You For The Music tahun lepas. Saya dapat melihat Kaer mengharapkan pelepasan dari Aznil untuk turut sama bersama-sama menyanyikan lagu tersebut.

Secara keseluruhan persembahan Medley Bekas Pelajar tidak seperti yang diharapkan. Kesan kepada penonton tidak sehebat persembahan Medley Bekas Pelajar Akademi Fantasia I. Fenomena yang melanda negara tahun lepas kesannya begitu hebat sehingga penonton bersorak meraikan persembahan Nana serta menangisi persembahan Adi dan Sahri. Persembahan tahun ini tidak begitu meyakinkan penonton untuk memberikan tepukan hebat untuk mereka.

Akademi Fantasia IIMenuju Puncak (featuring Tenaga Pengajar)
Kejutan seterusnya menampilkan persembahan terakhir Menuju Puncak pelajar bersama Tenaga Pengajar. Versi Ke Laut ini merupakan satu yang agak unik apabila guru-guru turut sama berada di pentas meraikan pelajar yang telah pun tamat pengajiannya di Akademi Fantasia.

Kehebatan Linda Jasmine dan Corrie menari bersama mereka umpama mereka salah seorang pelajar Akademi Fantasia. Ini adalah antara saat-saat yang tidak dapat dilupakan di dalam Akademi Fantasia.

Akademi Fantasia IIKeputusan Rakyat Malaysia
Rakyat Malaysia telah pun membuat keputusan mereka. Pelajar pilihan Pengkritik Profesional tidak dapat mengatasi pilihan rakyat Malaysia. Itulah SMS. Apabila diletakkan kuasa ke atas penonton untuk membuat pilihan. Penilaian penonton berbeza-beza. Mengaku atau pun tidak, sentimen kenegerian, faktor fizikal, faktor pendidikan akan dijadikan sandaran dalam pemilihan. Saya tidak meletakkan segala kesalahan kepada penonton kerana inilah tv realiti. Realiti itulah cermin kepada apa yang berlaku sekarang. Album yang baik gagal di pasaran, tetapi album yang biasa masih gagah di pasaran kerana ada pembelinya. Industri seni Malaysia masih didorong faktor komersial.

Lihat bagaimana terkejutnya Adam apabila diumumkan sebagai pemenang Tempat Ketiga kerana beliau menyangkakan dengan kedudukan yang teratas pada Konsert IX akan terus melonjakkan namanya sehingga Kemuncak Konsert. Tidakkah pernah beliau terfikir di mana tahap dirinya jika dibandingkan dengan Zahid dan Bob juga Kaer ? Linda sememangnya terkejut dengan keputusan simpati rakyat Malaysia kepadanya. Beliau merasa serba salah dengan keputusan tersebut. Tindakan penonton mem’boo’ Linda sememangnya satu tindakan yang kejam. Bukan salah Linda berada di situ. Bukan salah Linda yang mampu melonjakkan undiannya sehingga muncul Naib Juara. Kemunculan Linda di saat-saat akhir telah melonjakkan undian untuk Zahid yang tidak mahu Juara Akademi Fantasia dilahirkan dari pelajar yang tersingkir. Akibatnya, undian untuk Bob, Farah dan Kaer terpaksa disalurkan kepada Zahid untuk membalas sentimen kenegerian, sentimen politik yang menular ke dalam Akademi Fantasia. Tanpa Linda berada di dalam saingan, besar kemungkinan Adam akan muncul Juara. Lebih menyakitkan sekiranya ini berlaku.

Persembahan Terbaik SM
Bob Cinta Seorang Teman 9.5/10
Bob Gadis Sarawak 9.3/10
Zahid Milikku 9/10
Kaer Kembali Bersama 8.7/10
Farah Tangisan Dalam Kerinduan 8.6/10
Kaer Sway 8.4/10
Linda Only You 8/10
Farah Sk8erboi 7.5/10
Zahid Biarkan Bulan Bicara 7/10
Adam Haruskah 6/10
Linda Aku Cinta Kamu 5/10
Adam Ooo La La 4/10

Ranking Prestasi Persembahan Pelajar
Bob
Zahid
Farah
Kaer
Linda
Adam

Akademi Fantasia II
Baju sultanmuzaffar pada malam tersebut ditaja oleh dreamfinder.

Entri oleh sultanmuzaffar 13 August 2004 0 komen

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 10-09-10

Kelas Terakhir Cikgu Adnan Abu Hassan
Kaer
Kau Kembali
Saya mengharapkan persembahan lagu ini benar-benar memberikan kejutan kepada penonton. Melihat sesi latihannya sahaja saya sudah terpegun dengan perkembangan vokal Kaer. Kaer bijak menggunakan teknik vokal yang dipelajarinya serta telah berjaya mencantikkan lagu tersebut. Untuk lebih memikat penonton di stadium, Kaer perlu menambah bahagian untuk vokal sebenar beliau dan mengurangkan sedikit falsetto. Penonton mahukan sesuatu yang solid untuk keadaan seperti di stadium.

Sway
Agak sukar untuk penonton mengaitkan diri mereka dengan persembahan lagu ini. Menurut kata javard, lagu ini agak urban dan terlalu janggal dengan penonton. Kaer besar kemungkinan memikat penonton dengan aksi showmanshipnya untuk lagu tersebut. Sewaktu latihan, Kaer masih menghadapi sedikit masalah menghafal lirik lagu tersebut. Saya mengharapkan agar Kaer dapat membawa penonton terbawa dengan nyanyiannya.

Adam
Haruskah
Masalah utama Adam ialah identiti. Sayang sekiranya beliau tidak memanafaatkan peluang mendapat lagu khas yang dicipta untuk beliau tetapi masih mengekalkan identiti KRU pada lagu tersebut. Saya merasakan persembahan Adam bakal menjadi hambar dengan lagu ini. Masalah utamanya ialah penghayatannya yang masih belum cukup untuk lagu sebegini. Lebih-lebih lagi di bahagian korus berlaku sumbang dan masalah pitching. Kesan kepada penonton tidak kuat untuk meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton.

Farah
Tangisan Dalam Kerinduan
Hayati lirik lagu ini yang boleh saya sifatkan sebagai sambungan kepada Dambaan Pilu. Farah membawakan lagu ini dengan penuh emosi. Penghayatannya cukup walaupun bukan beliau yang menghadapi. Lagu ini merupakan kekuatan utama persembahan Farah. Kawalan vokal Farah benar-benar mantap dan bergerak secara terus dengan baik.

Sk8erboi
Aspek paling penting yang perlu Farah beri perhatian untuk lagu ini ialah tempo lagu tersebut. Sebuah lagu rancak ini memerlukan stamina yang tinggi. Dapatkan tempo yang betul dan persembahkan pergerakan yang kena dengan lirik lagu tersebut. Sederhana tetapi tidak terlalu berlebihan.

Zahid
Milikku
Lagu ini merupakan kekuatan utama persembahan Zahid. Aspek yang perlu Zahid beri perhatian ialah tempo lagu tersebut. Sebutannya perlu jelas agar mesej lagu tersebut sampai kepada penonton. Zahid perlu mendengar betul-betul tempo lagu tersebut agar tidak lari tempo. Jika sempurna, persembahan Zahid akan memikat penonton.

Biarkan Bulan Bicara
Sebuah lagu balada yang kurang popular dan memberi cabaran yang bukan sedikit untuk Zahid. Pada bahagian transpose beliau harus lebih berhati-hati kerana bahagian tersebut mudah sumbang. Bahagian sebelum tiba ke korus perlu dibuat dengan lebih berhati-hati.

Bob
Gadis Sarawak
Bob telah mewarnai lagu tersebut mengikut gayanya yang tersendiri. Saya menyukai Gadis Sarawak versi Bob.

Cinta Seorang Teman
Kemantapan vokal Bob tidak dapat dinafikan. Modal utama lagu ini ialah kuasa lontaran vokal Bob yang berada di tahap yang tertinggi. Saya menyukai penghayatan beliau tatkala membawakan lagu tersebut. Beliau mempunyai karisma sebagai penghibur dan mampu membuatkan penonton terpaku dengan vokal beliau. Keinginan penonton untuk mendengar sehingga tamat lagu tersebut itu ada.

Linda
Only You (versi Spanish)
Linda tiada masalah untuk lagu ini. Tiada keunikan kepada persembahan Linda kecuali bahasa yang digunakan. Linda harus bijak untuk tidak membosankan lagu tersebut. Penonton mempunyai sebab untuk merasa bosan kerana kejanggalan bahasa. Jika tiada keunikan dan elemen-elemen mengkagumkan yang dipersembahkan oleh Linda, maka persembahannya akan menjadi begitu hambar.

Kelas Terakhir Seni Persembahan Cikgu Fauziah Nawi
Penghayatan Lirik Lagu
Setiap pelajar berpeluang untuk bercerita tentang lirik lagu yang mereka nyanyikan. Penghayatan lirik pada sesebuah lagu merupakan aspek penting sebelum menyanyikan sesebuah lagu. Lirik perlu dihayati untuk membolehkan pendengar menghayati mesej lagu. Cara penyampaian juga penting agar penghayatan dapat diperolehi dan ekspresi dapat direalisasikan. Bukan sesuatu yang mudah tetapi sebagai seorang penyanyi itu sudah menjadi tugas mereka. Penonton mahu melihat sebuah persembahan yang dapat memikat hati mereka serta meninggalkan kesan kepada penonton.

Latihan Tumpuan
Latihan tumpuan amat penting dan setiap pelajar dapat merasai bagaimana sukarnya untuk mendapatkan tumpuan apabila melakukan dua pekerjaan pada satu masa. Sewaktu menyanyi, seorang penyanyi sebenarnya berlakon dan membaca lirik. Fokus amat penting agar apa yang dilafazkan kena dengan ekspresi wajah. Dalam waktu yang sama, tumpuan perlu juga diberikan kepada faktor lontaran vokal untuk mendapatkan nada yang betul untuk satu-satu lagu.

Akademi Fantasia IIBayangkan Malam-Malam Anda Tanpa Akademi Fantasia
Seperti Akademi Fantasia I, Aznil Hj Nawawi membuat rakaman dari dalam Akademi Fantasia untuk episod ke 100 Akademi Fantasia II. Di situlah bermulanya segala perasaan anda terhadap Akademi Fantasia. Di Akademi itulah lahirnya perasaan gembira, marah, sedih, tangisan, risau, ketawa, usik, keliru, sombong, kecewa, nakal dan segala macam emosi dan tabiat yang kita saksikan saban malam sejak 7 Jun 2004. Di situlah kita mengenali dan melihat tangisan Edlin, kepelbagaian fesyen Fitri, rambut cacak Anding, kecantikan Zarina, kemonyokan Nurul, pesona bintang Linda, kejujuran Mas, kehebatan tarian Adam, kemesraan Bob, kelantangan vokal Farah, kekecewaan Kaer dan kenakalan Zahid. Dan di sinilah anda bercerita tentang mereka. Melihat perkembangan mereka dari diari pertama sehingga diari seratus tanpa jemu-jemu. Kejutan demi kejutan kita hadapi demi Akademi Fantasia. Dan kejutan itulah yang mengukuhkan dan mengeratkan hubungan kita dengan Akademi Fantasia. Hubungan kita dengan pelajar yang dua belas itu dirasakan begitu rapat walaupun tanpa kita mengenali mereka secara peribadi. Malam ini ialah malam terakhir kita melihat keletah mereka di dalam Akademi Fantasia.

Sesi Terakhir Bersama Pakar Motivasi
Sebagai Anak Merdeka, kita seharusnya tahu menghargai erti kemerdekaan. Berada di Malaysia dalam keadaan yang aman dan damai serta pembangunan yang semakin pesat. Menurut Farah yang menetap di Putrajaya tentunya lebih berbeza penerimaannya tentang erti kemerdekaan. Beliau telah melihatkan perubahan Putrajaya yang diteroka dari sebuah ladang kelapa sawit menjadi sebuah bandaraya pintar. Linda, ahli Puteri UMNO Ranau tentunya berbangga dengan perkembangan politik negara kini serta pengaruhnya kepada rakyat Malaysia amnya.

Akademi Fantasia IISesi Terakhir Bersama Pengetua dan Tenaga Pengajar
Inilah kali pertama saya menonton sesi bersama Pengetua yang tidak begitu tertekan dan terlalu serius. Rata-rata pelajar cuba meredakan ketegangan mereka dengan menjadikan sesi bersama Pengetua itu sesuatu yang agak santai. Nyanyian pelajar lain dijadikan bahan jenaka. Mereka mengangkat “kad merah” atau “kad hijau” sebagai mengimbas kembali saat-saat mereka diujibakat satu ketika dahulu. Adam pula memohon untuk diberi satu lagi peluang untuk membuktikan yang beliau boleh menyanyi. Farah tentunya tidak dapat menahan ketawa mendengar jenaka dari Zahid.

Secara keseluruhan setiap pelajar telah mencuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik untuk Konsert Finale malam esok. Setiap pelajar berpeluag untuk mempersembahkannya di hadapan Pengetua dan Tenaga Pengajar seperti minggu-minggu yang terdahulu kecuali Linda.

Nasihat Pengetua amat mudah. Esok merupakan malam penentuan, berikan sesuatu yang hebat untuk penonton. Buang segala kegugupan dan persembahkan dengan cemerlang. Zahid tidak sabar menantikan hari esok, walaupun Farah sedikit gugup kerana lokasi yang agak besar. Kaer mahu menghilangkan rasa segan di atas pentas. Adam mahu mengajak semua penonton menyanyi dan menari bersamanya. Namun demikian, Linda masih merasakan dirinya tidak layak untuk berada bersama-sama lima pelajar terbaik pilihan penonton. Memang sesuatu yang agak menyedihkan tetapi beradanya Linda kembali di dalam Akademi Fantasia bukan kehendaknya tetapi kehendak penonton.

Pengetua Ramli MS memohon maaf sekiranya ada di antara pengajarannya beliau agak kasar dan menyinggung perasaan mana-mana pihak. Begitu juga dengan Cikgu Fauziah Nawi. Tidak ada yang lebih berharga kepada seorang guru selain melihat anak didiknya mempraktikkan apa yang telah diajar di dalam kelasnya. Linda dalam sebak menegaskan yang beliau agak mendesak kerana mahukan yang terbaik dari mereka. Pertama kali kita dapat melihat Cikgu Corrie menitiskan air mata apabila bercerita tentang perkongsian pengalamannya dengan pelajar-pelajar yang ada di dalam Akademi. Zahid, Kaer, Adam dan Farah tidak dapat menahan perasaan sedih mereka.

Akademi Fantasia IIOne Shot Menuju Puncak

Tentu sahaja sukar untuk kita melupakan kenangan-kenangan kita bersama Akademi Fantasia. Di situlah wujudnya perasaan kasih sayang, mekarnya sifat kerjasama antara pelajar dan dipupuk semangat tolong-menolong antara pelajar. Seperti mimpi, masa itu berlalu begitu pantas. Terasa baru semalam, kita dikejutkan dengan pengumuman tentang Mas seorang ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak. Terasa baru berlangsung persembahan hebat Kaer dengan lagu Mentera Semerah Padi. Terasa baru semalam, Pengetua Ramli MS menghempaskan pen marker kerana marahkan Mas. Terasa baru semalam, melihat Adam menitiskan air mata kerana memohon maaf kepada ibunya. Terasa baru semalam, melihat Anding diserang lelah kerana terlalu sedih dengan penyingkiran Edlin. Terasa baru semalam melihat Aznil sering mengusik Zarina tentang perhubungannya dengan Khai. Terasa baru semalam kita melihat Fitri mengenakan imej bertocang macam perempuan dalam pantang dan terasa baru semalam kita mendengar Nurul melaungkan “Are You Ready To Run…….” sebelum meninggalkan Akademi Fantasia.

Jeritan One Shot Menuju Puncak bergema buat kali terakhir di Akademi Fantasia menandakan berakhirnya episod Diari Edisi Akademi Fantasia II.

Kategori Anugerah Akademi Fantasia
Perkara Yang Paling Dirindui Setelah Akademi Fantasia Tamat
Adegan Paling Kelakar Pilihan
Adegan Paling Diingati Konsert Pilihan
Adegan Paling Diingati Diari Pilihan
Adegan Paling Sedih Pilihan
Adegan Paling Romantik Pilihan
Adegan Paling Dibenci Pilihan
Kejutan Pilihan
Vokal Lelaki Pilihan
Vokal Wanita Pilihan
Persembahan Konsert Pilihan

Sila cadangkan sekiranya ada kategori lain yang ingin dimasukkan. Terima kasih.

AFUNDI ZAHID
AFUNDI KAER
AFUNDI FARAH
AFUNDI BOB

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger