Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 31 October 2004 0 komen

Majlis Berbuka Puasa Adam dan Rumah Anak Yatim Kg. Medan

oleh http://sultanmuzaffar.blogspot.com
foto oleh : http://sultanmuzaffar.fotopages.com

Saya harus mengakui yang imej dan penampilan seseorang artis turut dibentuk oleh pengurusan kelab peminatnya. Dalam hal yang demikian, bagaimana sesebuah pengurusan kelab peminat dalam merancang segala aktiviti-aktiviti yang dapat memberikan publisiti kepada artis berkenaan. Aktiviti-aktiviti memberikan faedah bukan sahaja kepada para peminatnya tetapi juga kepada masyarakat setempat dan orang sekeliling. Ini terlahir dari inisiatif sebilangan peminat Adam, bintang Akademi Fantasia yang telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Adam dan Rumah Anak Yatim Kg. Medan sebagai tuntutan sosial yang bersifat positif.

Ini merupakan pertemuan yang penting buat saya kerana saya dapat melihat secara jelas perjalanan profesional sebuah kelab peminat. Saya banyak dihujani dengan masalah kelab peminat bintang Akademi Fantasia dan ia merimaskan. Dibebani masalah peribadi dan kemudiannya disesakkan lagi dengan masalah-masalah kelab peminat benar-benar menguji kesabaran. Secara jujur, hampir semua kelab peminat bintang Akademi Fantasia mempunyai masalah yang agak kronik. Sama ada mereka sedar atau pun tidak, ia merupakan masalah besar kepada pengurusan bintang Akademi Fantasia. Menjadi sultanmuzaffar telah memberikan saya peluang untuk mendekati masalah-masalah itu. Banyak pihak yang menjadikan saya sebagai tempat membuat aduan.

Perjalanan Majlis
Majlis berlangsung di Dewan Chempaka, Kelab Darul Ehsan, Ampang. Majlis turut diserikan dengan kehadiran dua puluh orang pelajar dari Rumah Anak Yatim Kg Medan. Turut hadir ialah keluarga Datuk Mat dari Pulau Pinang dan keluarga Kapten Missman. Tetamu-tetamu lain adalah dari saudara mara Adam, Komputema Sdn. Bhd, Maestro Talent Management dan pihak media yang turut menyerikan lagi majlis tersebut.

Pengerusi Majlis pada malam itu sangat selesa dengan tuga yang telah diamanahkan kepadanya. Beliau kelihatan amat yakin di pentas. Kepetahannya berbicara dan mengawal majlis memadai dengan formaliti majlis tersebut. Jenaka-jenaka spontannya amat melucukan dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada hadirin yang hadir pada malam itu. Beliau seorang yang selamba dan bijak menyelia majlis dengan jayanya. Walaupun berlakunya gangguan bekalan elektrik pada permulaan majlis ia tidak sedikit pun mengganggu tumpuannya untuk menyelesaikan tugasnya.

Majlis bermula apabila saat untuk berbuka semakin hampir dengan ketibaan Adam yang berpakaian baju melayu ungu muda segak bersampin songket. Beliau yang tersekat dalam kesesakan jalanraya tetap tiba tepat pada masanya. Salah seorang daripada pelajar Rumah Anak Yatim membacakan doa berbuka puasa dan hadirin pun menjamu selera.

Selesai menjamu selera, majlis diteruskan lagi dengan ucapan Presiden Adam Fan Club dan ucapan daripada Adam sememangnya dinanti-nantikan oleh para peminatnya dan pelajar-pelajar Rumah Anak Yatim Kg. Medan.

Acara lelongan t-shirt yang mempunyai cap tangan Adam serta tandatangannya bermula. Harga permulaan RM30 telah meningkat sehingga RM200 dan 4 helai t-shirt tersebut bertukar tangan. Kesemua wang hasil lelongan telah diserahkan kepada Rumah Anak Yatim Kg. Medan.

Persembahan nasyid oleh pelajar Rumah Anak Yatim Taman Medan sebenarnya telah memberikan kesan yang bukan sedikit kepada majlis tersebut. Dua lagu yang disampaikan telah benar-benar menyentuh perasaan hadirin pada malam tersebut. Pemberian wang raya sumbangan Adam Fan Club telah disampaikan oleh Adam kepada setiap pelajar.

Persembahan miming Suasana Hari Raya dari AJK Adam Fan Club turut memeriahkan majlis tersebut. Adam turut sama-sama menyertai gabungan tersebut dan memberikan komen seperti pengkritik Akademi Fantasia. Seterusnya, Adam turut dihadiahkan dengan sehelai kad raya gergasi yang cantik apabila digantung.

Sesi bergambar dan mendapatkan tandatangan Adam boleh menjadi lebih teratur dan lebih manis sekiranya pelajar Rumah Anak Yatim diberikan keutamaan mendapatkannya dahulu berbanding peminat-peminatnya. Bukan bermakna peminat tidak penting, tetapi sewajarnya kita meraikan tetamu kita dahulu. Melihatkan mereka ternanti-nanti giliran mereka pada penghujung majlis setelah selesai para peminat mendapatkan peluang tersebut agak sedikit mengecewakan.

Malam itu pasti meninggalkan kenangan yang lebih manis lagi sekiranya Adam dapat membawakan beberapa buah lagu, bukan untuk peminat-peminatnya tetapi untuk anak-anak yatim yang hadir pada malam itu. Peluang bertemu Adam bukan datang selalu seumur hidup mereka dan kenangan mereka sewajarnya diindahkan lagi dengan mendengar Adam menyanyi secara langsung untuk mereka. Sedikit sumbangan nyanyian daripada Adam mungkin dapat menceriakan mereka.

Secara keseluruhan, majlis berbuka puasa ini lebih terkawal dan terancang dengan baik. Ia memberikan kesan yang positif kepada Adam dan membuatkan beliau tersenyum riang sehingga majlis selesai. Adam meluangkan masa untuk bertemu para AJK setelah majlis selesai.

Adam Role Model
Satu ketika dahulu, saya melihat apa yang diperkatakan oleh salah seorang pengkritik Konsert Akademi Fantasia iaitu Mamat Khalid tentang Adam sebagai role model hanyalah angan-angan sahaja. Tetapi setelah melihat aktiviti-aktiviti yang telah dirancang oleh Adam Fan Club yang telah memberikan kesan positif kepada imej Adam telah membuktikan yang beliau boleh dilihat sebagai role model kepada anak-anak muda.

Saya melihat pentingnya mempunyai kelab peminat yang mempunyai visi yang jujur untuk mempertingkatkan imej artis yang mereka sokong. Walaupun penglibatan kelab peminat tidak besar tetapi ia turut memberikan kesan positif kepadanya. Kelab peminat dibentuk dan diuruskan dengan profesional oleh mereka yang melakukannya secara sukarela. Aktiviti Adam diseliakan dengan baik oleh Maestro Talent Management. Mempunyai seorang pengurus yang komited juga memainkan peranan yang penting.

Sekali lagi saya mengingatkan para peminat, agar tidak terlalu memberikan pujian melulu kepada bintang yang kita sokong. Ia tidak hanya merugikan Adam tetapi turut merugikan industri muzik tempatan. Mempunyai kelab peminat yang terlalu mengongkong pergerakan bintang juga akan memberikan kesan yang negatif. Saya melihat kelab peminat sewajarnya tidak mencampuri pengurusan artis tetapi sekadar memberikan sokongan dari luar sebagai peminat dan tidak melibatkan diri dengan pengurusan artis. Memberikan kepercayaan yang keterlaluan kepada kelab peminat oleh bintang hanya akan merosakkan sahaja perkembangan kerjaya mereka kerana kepercayaan itu diberikan kepada mereka yang bukan ahli dalam bidang tersebut.

Untuk Adam, sekiranya minat KRU, teruskan minat Adam. Tetapi bukan sekadar meminati muzik KRU tetapi juga mencontohi semangat perjuangan KRU dalam bidang muzik. Ikuti wawasan KRU dalam muzik dan visi mereka dalam meneruskan survival dalam dunia muzik yang semakin mencabar dengan kemunculan artis-artis generasi baru. KRU tetap berada di situ. Pelajari bukan sekadar muzik KRU tetapi juga sifat-sifat positif KRU yang membawa mereka ke tahap yang mereka kecapi sekarang.

Majlis ini telah memberikan kesan positif kepada Adam, jika tidak pun ia telah berjaya menukar sedikit persepsi negatif saya tentang Adam satu ketika dahulu. Keep up the good work dan kekalkan apa yang ada sekarang !

Tahniah http://www.adamfanclub.com
Tahniah http://www.maestrotalent.com.my
Tahniah http://www.sulamanweb.com

Entri oleh sultanmuzaffar 05 October 2004 0 komen

sultanmuzaffar Berehat Lagi
Saya mengambil keputusan untuk merehatkan diri daripada blog untuk memberikan tumpuan kepada OPs OPHELIA II serta Projek E-Buku sultanmuzaffar. OPs OPHELIA II dalam fasa pra-produksi manakala Projek E-Buku masih dalam fasa pengumpulan bahan. Tokobuku juga perlu mendapatkan penjagaan yang sewajar serta sebaiknya dari saya. Saya akan meneruskan dengan kerja-kerja lain yang ingin saya lakukan dan Tokobuku tidak lagi menjadi keutamaan saya. Ia bukan prioriti !

Saya akan terus mengemaskinikan blog ini pada bahagian pengiklanan serta itinerary pergerakan saya pada setiap awal minggu. Cuma yang akan tertangguh adalah segmen kandungannya kecuali kandungan yang benar-benar penting.

Dalam masa yang sama akan menyiapkan satu kertas cadangan untuk diserahkan kepada ASTRO dan Maestro Talent.

Saya akan meneruskan kehidupan biasa saya kerana tidak SETIAP hari saya akan sentiasa sibuk memenuhi kehendak dan hasrat pihak lain. Beberapa sahabat memahami kehendak saya ini.

InsyaAllah. Rehat ini tidak lama. Jumpa lagi pada 1 April 2005. Dalam sibuk perang media arus perdana dan blogger, saya mengundurkan diri untuk berehat.

Nota:
1. Jongkang Mat Jan akan menjadi penghibur saya selama ketiadaan ini. Anugerah Weblog Terbaik GJ boleh menang dua tahun berturut-turut tak ? Saya mahu Mat Jan menang lagi.
2. Screenshots Jeff Ooi akan menjadi pembuka minda saya selama ketiadaan ini. Yang ini saya iktiraf sebagai Bapa Blogger Malaysia. Malaysian Idol yang sebenarnya !
3. Dalam pada seronok melayan karenah media, kita jangan lupa harga minyak sudah naik 5 sen. Nasi Lemak lauk ayam pagi tadi berharga RM4.00 !

Nota Kembali :
Saya menyangka penghasilan kertas cadangan dan proses menyatukan peminat Akademi Fantasia mengambil masa yang lama. Sasaran saya ia akan terhasil pada sekitar bulan April 2005 tetapi nampaknya ia menjadi kenyataan lebih awal. Oleh itu, saya kembali !

Entri oleh sultanmuzaffar 03 October 2004 0 komen

Akademi Fantasia Xtra

Introduksi
Zahid dan Farah amat cocok menjadi hos rancangan ini. Mereka nampak serasi dan nampak sesuai di hadapan kamera. Peminat yang rindukan aksi manja Farah dengan “Johnny”nya dapat melepaskan rindu masing-masing.

Akademi Fantasia Xtra banyak menayangkan klip-klip diari yang sebelum ini daripada menayangkan klip yang belum pernah ditonton. Tetapi cara pembawaan rancangan ini dengan menggunakan konsep talk show yang melibatkan Aznil Hj Nawawi iaitu pengacaranya, Puan Fauziah Nawi iaitu guru seni persembahan, Zahid dan Farah menambah elemen menyeronokan pada rancangan ini. Rancangan ini nampak hidup dengan karenah personaliti-personaliti tersebut.

Apabila bercerita tentang Edlin, menurut Farah, walaupun anak Dato’ tetapi Edlin merupakan seorang yang paling low profile. Lebih-lebih lagi di hostel, semuanya seperti biasa dan macam orang lain. Edlin memang seorang yang kuat menangis. Di hostel pun beliau kuat menangis. Permainan bahasa isyarat antara Zahid dan Edlin juga berkisar tentang hubungannya dengan Anding. Walaupun Edlin suka kepada Anding, tetapi beliau tidak bercerita tentangnya. Di hostel, beliau turut bercerita tentang Anding.

Manakala segmen untuk Nurul banyak bercerita tentang sifat Nurul yang juga kuat menangis. Menurut Fauziah Nawi, marahnya bersebab iaitu untuk mereka belajar sesuatu yang baru. Kemanjaan Nurul boleh dilihat apabila sering merindui keluarganya. Salah seorang yang mempunyai karisma sebagai seorang ketua ialah Bob selain Fitri dan Zahid. Lebih-lebih lagi Bob merupakan Ketua Pengawas di sekolahnya dahulu. Penimbang berat yang digunakan untuk menimbang berat badan tentu sekiranya dilelong akan mahal harganya lebih-lebih lagi dengan lekuk kaki Bob.

Anding pula ialah seorang yang betul-betul serius apabila membuat kerja. Selain Fitri, Anding juga seorang yang tahu berfesyen. Anding juga gemar melakukan senaman. Anding buat sit-up, Zahid buat sit-down. Tidak cukup dengan aksi “Johnny”nya, Farah pula gemar meniru gaya tenaga pengajar. Antaranya CIkgu Siti Hajar, CIkgu Ramli MS dan Puan Fauziah Nawi. Antara yang paling diingati oleh peminat Akademi Fantasia tentunya gelak besar Farah.

Fitri pula lebih gemar gossip. Apabila berbual-bual dengan rakan pelajar nampak keseriusan beliau menghabiskan ceritanya serta menyampaikan mesejnya. Menurut Aznil, mungkin kerana minatnya terhadap fesyen dan jahit-menjahit menyebabkan beliau gemar bergossip. Menurut Puan Fauziah Nawi pula, antara Linda dan Fitri sememangnya tidak kena. Farah dan Zahid juga tidak sesuai. Mereka sudah saling mengenali kerana keluarga mereka berkawan baik.

Satu yang paling diingati tentang Kaer ialah sifat motivasinya. Beliau banyak memberikan nasihat kepada Mas, Adam dan juga pelajar perempuan. Walaupun dalam usia yang masih muda tetapi beliau berfikiran agak matang. Minatnya yang gemar membaca telah banyak mematangkan usianya. Oleh kerana terlalu banyak membaca, terlalu baca juga yang gugur. Beliau seorang yang agak independent. Zarina walaupun gemar membantu rakan-rakannya di dalam Akademi, tetapi lebih gemar berlatih sendirian. Zarina lebih banyak bertanya di hostel kerana tiada kamera agaknya.

Adam pula degil orangnya. Beliau tahu apa yang dia mahu. Itu sebabnya sifatnya sedemikian. Tetapi sekiranya menggunakan pendekatan yang betul, Adam akan mendengar. Adam memang meminati KRU. Mana-mana pada bila masa akan tetap dengan KRU. Linda ialah seorang yang bersemangat besar lebih-lebih dalam keadaan ayahnya yang akan dibedah. Yang menarik tentang Linda menurut Puan Fauziah Nawi ialah penampilannya yang menarik serta jalan sengetnya.

Semua pelajar hanya mengetahui tentang Mas apabila segmen melukis oleh Puan Fatimah Abu Bakar. Menurut Zahid bekas suami Mas ada iras-iras Cina. Malah Zahid juga perwatakannya di Akademi memang jauh berbeza apabil di luar. Kerana tabiatnya itu, selesai makan semua pelajar akan menjauhkan diri darinya.

Surat Wasiat Finalis
Kita juga dapat mengetahui ringkasan surat wasiat terakhir mereka. Kaer mengatakan yang beliau akan mempunyai kad raya yang tersendiri iaitu Kaer@Reka. Bob pula jika tidak kerana Akademi Fantasia akan terus berkerja sebagai Pegawai Tabung BaitulMal. Adam seronok apabila dapat masuk final dan sentap sekiranya tidak dapat masuk. Farah gelak besar macam Ramli MS dan Zahid mimpinya menjadi kenyataan.

Dua Insan oleh Farah dan Zahid
Nyanyian duet oleh Farah dan Zahid juga amat menarik. Saya suka dengan nyanyian mereka berdua. Sedikit kesilapan Farah dapat ditutup oleh Zahid dengan pantas. Vokal mereka memang cemerlang.

Terasa begitu cepat satu jam berlalu. Melihat mereka bergelak-ketawa dan berseronok di set macam terasa berada di depan mata. Konsep talk-show sebegini sememangnya lebih hidup dan suasananya lebih dekat dengan penonton berbeza dengan rancangan yang hanya dikendalikan oleh Aznil. Mereka bebas untuk berbicara tentang apa sahaja. Sewajarnya konsep begini perlu diterapkan untuk Rumah Terbuka Akademi Fantasia II agar lebih hidup dan meriah.

Konsert Reunion Akademi Fantasia

Entri oleh sultanmuzaffar 02 October 2004 0 komen

Majlis Konvokesyen Yang Disaster

Hari Jumaat dan Sabtu merupakan hari yang memenatkan bagi saya. Dua hari ini merupakan hari berlangsungnya majlis konvokesyen tempat saya bertugas. Memang meletihkan. Jamuan Makan Malam pada malam hari Jumaat dan Majlis Konvokesyen berlangsung pada pagi hari Sabtu. Di dua tempat yang berasingan.

Saya yang bertugas sebagai AJK Fotografi, Videografi, Anugerah Pelajar dan Percetakan perlu menjaga segala hal yang berkaitan dengan fotografi dan anugerah untuk kedua-dua upacara tersebut. Baru empat AJK saya jaga, tetapi bila tiba hari sebenar selalunya setiap AJK akan jadi semua AJK. Biasalah pengurusan universiti tempatan. Memang tipikal sebegitu.

Untuk Fotografi, saya perlu mendapatkan jurugambar dan videografi rasmi untuk kedua-dua majlis tersebut. Mudah sahaja kerjanya. Cuma mudah sebelum tiba hari sebenar. Apabila tiba hari sebenar, tugas saya menjadi lebih mencabar dan tekanannya amat hebat. Saya perlu mengawal tingkah-laku ibu-bapa yang terlalu bangga yang anak mereka berada di atas pentas dan mereka mahu merakamkan gambar di hadapan. Secara tidak langsung tingkah laku ibu-bapa ini telah mencacatkan perjalanan majlis. Ibu-bapa yang berjalan mundar-mandir benar-benar merimaskan. Saya perlu memberitahu mereka agar duduk di tempat masing-masing kerana tindakan mereka telah menghalan penglihatan penonton di bahagian belakang. Apa gunanya jurugambar rasmi kalau ibu-bapa graduan masih berdegil. Ada pula yang marah bila saya menyuruh mereka supaya duduk. Macam bagus pula. Lainlah kalau anak-anak atau adik-adik mereka itu lulus Universiti Oxford ! Ini setakat lulus Universiti swasta tempatan dah nak berlagak. Tidak cukup dengan itu, ada abang graduan yang kononnya mengaku jurugambar TV3. Macam-macam helah mereka gunakan untuk berdiri dekat dengan pentas. Hello, jurugambar TV3 mana pakai handycam JVC untuk rakam upacara. Tidak pasal-pasal sahaja saya berlaku kasar dengan merampas pas masuk dari dalam poket abang graduan tersebut lalu saya arahkannya untuk beredar semula ke tempat duduknya.

Untuk Anugerah Pelajar lagi mudah. Dapatkan contoh dan quotation dari Royal Selangor dan pilih mana yang berkenan. Dapatkan nama pelajar yang memenangi anugerah dan hantar untuk engraving. Lebih mudah kerja untuk Anugerah Pelajar.

Untuk Percetakan saya buat separuh jalan kerana setelah mendapatkan vendor percetakan, saya melepaskan tanggungjawab untuk mendapatkan kandungan buku program kepada orang lain.

Oleh kerana majlis ini berlangsung di dua tempat yang berbeza, maka selesai sahaja majlis makan malam, semua petugas perlu bergegas ke lokasi majlis konvokesyen. Memandangkan kumpulan jurugambar dan videografi akan hanya tiba pada jam 5 pagi hari Sabtu, maka saya pulang tidur di rumah dahulu sementara menunggu jam 5 pagi.

Pada hari-hari Konvokesyen ini, fikiran saya banyak diserabutkan dengan masalah-masalah yang tidak sepatutnya datang pada hari-hari tersebut. Ia hanya membuatkan saya menjadi seorang yang tidak sabar dan cepat marah. Mangsanya keluarga graduan yang berkerumun di hadapan pentas untuk merakamkan gambar graduan secara dekat.

Majlis ini boleh saya sifatkan sebagai disaster of the year. Tidak pernah kami di sini terfikirkan akan ada seramai 707 orang yang menerima ijazah pada satu masa. Secara pengiraan mudah, maka akan ada seramai 1414 orang yang terdiri daripada ahli keluarga graduan. Majlis menjadi tidak terkawal apabila ibu-bapa berebut-rebut ingin mendapatkan tempat yang baik untuk melihat anak mereka menerima ijazah. Tempat yang sepatutnya diduduki oleh pelajar telah dipenuhi oleh para ibu-bapa. “Executive Decision” perlu dibuat. Para graduan tidak masuk ke dalam dewan dan mereka hanya beratur dari luar. Memang memenatkan.

Selesai majlis Konvokesyen pada hari Sabtu lebih kurang jam 11.45 pagi. Majlis persegaran yang disediakan mujur tidak sama dengan orang-orang kampung yang datang berdoyon-doyon satu bas. Ada tempat asing maka boleh makan dengan selesa. Selesai makan, perlu menghadiri sidang media dan sesi fotografi rasmi bersama tetamu khas. Segala-galanya selesai pada jam 1.30 petang. Perlu bergegas ke Subang.

KAERatics
KAERatics Magical Moment
Saya tiba di Subang lebih kurang jam 3 petang. Kaer masih belum tiba dari Melaka. Majlis yang sepatutnya bermula jam 2 petang ditangguhkan. Kaer tiba dan disambut dengan penuh meriah oleh para tetamu yang hadir.

Ini kali kedua saya dipanggil untuk berucap. Cuma saya mengharapkan agar juruacara di majlis-majlis akan datang tidak lagi menggunakan salutation Yang Mulia ke atas nama saya. Nama internet saya hanyalah sultanmuzaffar. S nya juga huruf kecil, bukan huruf besar. Perkataan Yang Mulia itu terlalu besar dan saya merasakan ia tidak sesuai dengan tempatnya. Lebih santai lebih bagus.

KAERatics
Saya turut merasakan ucapan saya agak membosankan. Saya mohon maaf kerana tidak punya banyak masa untuk menulis sebuah ucapan yang lebih baik dari petang tersebut kerana kesibukan yang amat sangat dengan konvokesyen. Saya juga mengharapkan agar dapat memperbaiki lagi skil komunikasi saya di hadapan para tetamu. Ucapan saya perlu lebih santai dan lebih dekat dengan emosi tetamu. Seboleh-bolehnya saya mahu sahaja memberikan ucapan tanpa teks tetapi keyakinan itu masih belum tiba lagi. Rasa gugup itu masih ada dan jalan paling mudah ialah membuat persediaan dengan menggunakan teks ucapan. Khabarnya dari tingkat atas boleh jelas kelihatan tangan saya yang sedikit menggeletar. Ia merupakan masalah besar yang perlu saya lakukan perubahan besar untuk masa hadapan.

KAERatics
Teks Ucapan Gathering Kaer Fan Club
Sawadee karp ! Terima kasih Pengerusi Majlis. Pertamanya saya memohon maaf kerana kelewatan yang sememangnya dirancang ini kerana saya perlu menghadiri dan bekerja untuk Majlis Konvokesyen tempat di mana saya bertugas. Selesai majlis saya bergegas ke sini secepat yang mungkin. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan Tahniah kerana berjaya mengadakan Gathering Kaer Fan Club ini.

Sedar atau tidak kerana Akademi Fantasia telah wujud 12 fan club baru. Sedar atau tidak anda beruntung kerana berpeluang untuk berkongsi minat yang sama iaitu terhadap Kaer dan berkumpul seperti satu keluarga. Sebuah keluarga yang ahlinya terdiri dari beratus, mungkin juga beribu macam sifat dan perangai.

Menjadi saya, lebih beruntung kerana berpeluang untuk mengenali 12 keluarga baru ini dan ia merupakan satu pengalaman yang besar ertinya kepada saya. Ini tidak termasuk dengan satu keluarga baru dari kalangan pembaca blog saya sendiri. Bertemu dengan pelbagai ragam manusia sebenarnya mematangkan lagi perjalanan hidup seseorang. Masalah pasti wujud dalam sebuah keluarga baru ini. Setiap masalah tentunya ada penyelesaiannya.

Suka atau pun tidak, saya akan tetap menyokong kerjaya mereka kesemuanya. Yang penting saya tahu yang sokongan saya terhadap mereka lebih bersifat positif dan bukan sekadar pujian melulu. Saya tidak mahu bintang seperti Kaer dan yang lain-lain terus dibuai pujian-pujian manis sehingga merosakkan perkembangan kerjaya mereka.

Apa yang kita lihat pada hari ini hanyalah 10% dari bakat Kaer sepenuhnya. Sebagai peminat kita mahu melihat Kaer menyerlahkan lagi bakat yang lagi 90% itu. Banyak yang boleh kita lihat dan janganlah kerana berasa selesa dengan keadaan sekarang, bakat yang 90% itu terpendam begitu sahaja. Perbaiki diri untuk menjadi lebih maju dan para peminat Kaer akan sentiasa menyokong kerjaya anda. Perubahan positif untuk meningkatkan diri agar menjadi lebih matang dan mampu membuat perubahan kepada lakaran sejarah hidup sendiri akan membuatkan peminat sentiasa menyokong kerja anda.

Peminat datang dan pergi. Kaer pernah merasai bagaimana perasaan bila peminat boleh datang dan boleh pergi begitu sahaja. Melihatkan prestasinya yang semakin menurun, peminat boleh pergi. Apa maknanya ? Ini bermakna peminat mahu melihat sesuatu yang positif dalam diri Kaer. Perubahan positif itu perlu datang dari dalam diri sendiri dan juga sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi.

Selamat beramah mesra dengan keluarga baru anda. Jadikan ini titik mula kepada sebuah pembentukan masyarakat yang penyayang. Ia tidak akan berlaku jika bukan kerana Akademi Fantasia.

Terima Kasih.


KAERatics
Saya duduk bersama Badrul dan Encik Freddie Fernandez. Beliau turut meminta kerjasama dari saya agar memberitahu apa sahaja masalah yang dihadapi oleh kelompok peminat Akademi Fantasia kepadanya. Katanya, saya lebih dekat dengan para peminat Akademi Fantasia sendiri. Selesai makan pusingan yang pertama, saya naik ke atas untuk bertemu dengan sahabat-sahabat saya yang lebih selesa duduk di tingkat atas. Ada wink, Cikanos, mee sua, izreen, shaylimar, hemo, scov dan anaknya. Majlis terus berlangsung di bawah dan saya tidak sedar apa yang berlaku. Sesekali saya akan turun untuk mendapatkan makanan dan bertemu dengan Adam. Adam turut hadir ke majlis tersebut.

Saya juga berkesempatan untuk mengenali ibu dan bapa Kaer. Agak seronok juga apabila mereka mengenali saya sewaktu muncul dalam Imbasan. Juga sempat bertemu dengan Juan Danza wartawan dari URS.

KAERatics
Berbalik kepada penganjuran majlis ini, saya merasa kagum dengan semangat pada AJK. Mereka berusaha mendapatkan penajaan dari pelbagai pihak. Ada yang sanggup menaja percutian untuk pemenang cabutan bertuah.

Majlis lebih dapat dikawal dengan baik oleh para AJK. Semuanya berjalan dengan teratur. Keseronokan tetamu dapat dikawal agar mereka tidak berebut-rebut untuk bertemu dengan Kaer. Tahniah kepada penganjur yang telah bertungkus-lumus melaksanakannya dengan cemerlang.

KAERatics
Secara keseluruhan saya gembira dapat bertemu dengan semua peminat Kaer. Ada juga yang menegur, ada juga yang segan. Saya dapat berbicara seketika dengan mereka selain menjadi tempat mereka meluahkan masalah yang mereka hadapi.

Saya terfikirkan satu jalan penyelesaian kepada masalah ini. Saya akan mencadangkannya kepada Encik Freddie Fernandez kelak.

Entri oleh sultanmuzaffar 01 October 2004 0 komen

Malaysian Idol - Final 3
Malam itu diserikan lagi dengan kehadiran Siti Nurhaliza sebagai panel juri. Paul Moss turut tersipu-sipu malu apabila berpeluang untuk duduk di sebelah Siti Nurhaliza. Di penghujung rancangan, Siti Nurhaliza membawakan lagu Lagu Rindu. Ini kemunculan beliau yang pertama sejak tertangkapnya penulis email layang dan SMS layang menfitnah beliau.

Dina - I Turn To You oleh Christina Aguilera
Best ! Cara Dina membawakan lagu ini memang mengkagumkan. Agak lembut vokalnya dan betul-betul mencapai kemuncaknya pada nada yang betul. Saya nampak perkembangan yang dibawa oleh Dina amat besar. Banyak perubahan yang dapat kita lihat. Keyakinannya juga berada pada tahap paling maksimum.

Vic - I Believe oleh Fantasia Barino
Persembahannya sekadar ingin membuktikan yang penyanyi lelaki boleh membawakan lagu penyanyi perempuan. Persembahannya baik tetapi tidak cukup penghayatan. Vic punya kelebihan dalam falsetto tetapi tidak menggunakan kelebihan itu. Betul kata Roslan, membawakan lagu mudah lebih sesuai untuk pertandingan dan tidak bermakna lagu mudah tidak sesuai untuk pertandingan. Lagu I Believe hanya dapat melihat Vic sengsara membawakan lagu tersebut. Beliau seboleh-boleh berusaha mendapatkan mood untuk lagu tersebut. Baik tetapi belum outstanding.

Jac - Teringin oleh Shima
Jac duduk sambil memulakan lagu ini. Fantasia juga pernah melakukan aksi yang sama untuk lagu Summertime. Tiada kreativiti yang ingin ditonjolkan olehnya. Kawalan vokalnya baik. Beliau punya daya penarik untuk memikat penonton mendengar persembahannya sehingga tamat dan merasa risau apabila tiba di bahagian tinggi. Cuma lagu ini menurut Paul Moss agak tipikal balada Melayu yang masih belum mampu menyerlahkan kehebatan vokalnya. Jac agak over-confident pada minggu ini. Cara beliau menjawab komen dari Siti Nurhaliza agak memualkan. Beliau seharusnya menerima komen yang diberikan dengan positif dan berusaha memperbaikinya.

Dina - Seksis oleh Anita Sarawak
Persembahannya ada attitude. Penguasaan pentasnya bagus. Tetapi mesej lagu Seksis tidak sampai kepada penonton. Saya lebih sukakan cara Mas membawakan lagu tersebut iaitu lebih attitude dan penghayatannya menyerlah dari mimik muka beliau. Walaupun lagu itu dipendekkan, nampak Dina agak kurang stamina membawakan lagu yang agak rancak itu. Saya mengharapkan beliau membawakan lagu yang lebih sesuai dengan identitinya.

Vic - Belaian Jiwa oleh Innuendo
Sebuah nyanyian yang tiada identiti. Saya mahu melihat Vic membawakan lagu ini dengan stailnya yang sendiri bukan sekadar meniru gaya Innuendo. Ia tidak ubah seperti Adam membawakan lagu Awas dan Babe. Kelebihan vokal falsetto yang ada pada beliau tidak dipergunakan dan divariasikan untuk mencantikkan lagi lagu tersebut. Penghayatan beliau untuk lagu ini juga biasa sahaja.

Jac - If I Ain’t Got U oleh Alicia Keys
Superb ! Ini antara persembahan terbaik di Malaysian Idol. Saya suka dengan cara Jac membawakan lagu ini. Walaupun lagu ini berentak perlahan tetapi beliau cemerlang mengekang minat penonton untuk terus mendengar lagu tersebut. Penamatnya hebat.

Ranking Persembahan Terbaik
Jac - If I Ain’t Got U oleh Alicia Keys
Dina - I Turn To You oleh Christina Aguilera
Jac - Teringin oleh Shima
Vic - I Believe oleh Fantasia Barino
Dina - Seksis oleh Anita Sarawak
Vic - Belaian Jiwa oleh Innuendo

Keputusan Finalis ke Grand Final Malaysian Idol
Jac dan Dina akan beraksi di Grand Final Malaysian Idol. Mujur bukan Vic. Memandangkan Grand Final jatuh pada hari bekerja dan saya telah pun memilih untuk bercuti pada Pakaman Rumah Terbuka Akademi Fantasia dan Dari Studio Satu Akademi Fantasia II, maka saya akan menontonnya di rumah sahaja bersama kawan-kawan. Lagipun bukan best sangat pun, tiada elemen kejutan macam Akademi Fantasia.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger