Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 28 March 2005

Ramalan Anugerah Bintang Popular 2004

Minggu ini merupakan minggu dunia hiburan yang agak padat. Bermula dengan persembahan eksklusif Siti Nurhaliza in Concert di Royal Albert Hall di London, kemudiannya Konsert Kemuncak Akademi Fantasia Tour di Bukit Jalil keesokkannya. Di Genting Highland akan berlangsung pula Anugerah Bintang Popular 2004. Populariti anugerah ini dan persembahan Siti Nurhaliza di London secara tidak langsung menenggelamkan promosi Konsert Kemuncak Akademi Fantasia Tour. Sehingga hari ini seakan tiada promosi konsert tersebut.

Para artis akan berkampung di Genting Highland dengan ketiadaan Siti Nurhaliza. Apakah kemeriahannya masih sama walaupun dengan ketiadaannya ? Setahun yang lepas, tentu kita masih ingat persembahan tiga diva, Datuk Sharifah Aini, Siti Nurhaliza dan Misha Omar mempersembahkan finale yang telah mengecewakan banyak pihak.

Tentunya saya mengharapkan sebuah persembahan yang lebih hebat pada tahun ini.

A. PENGACARA TV LELAKI POPULAR
1. Aznil Nawawi
2. Azwan Ali
3. Hani Mohsin
4. Wahid
5. Zainal Ariffin Ismail
Ramalan SM: Aznil Nawawi

Tidak sukar rasanya untuk meramal siapakah yang bakal menggondol anugerah ini. Aznil Nawawi hampir pasti mengekalkan mahkota beliau sebagai pengacara nombor satu di Malaysia. Pencabar paling dekat beliau tentulah Zainal Ariffin Ismail yang mengacarakan Misteri Nusantara di TV3. Rancangan tersebut mendapat rating yang tinggi di Malaysia dan disiarkan di stesen televisyen percuma. Berbeza dengan Aznil yang hanya muncul di stesen televiyen berbayar. Namun demikian populariti Aznil masih sukar digugat.

B. PENGACARA TV WANITA POPULAR
1. Cheryl Samad
2. Norzie Pak Wan Chek
3. Maria Tunku Sabri
4. Raja Azura
5. Zakiah Anas
Ramalan SM: Raja Azura

Aura Melodi sebenarnya masih melekat pada Raja Azura. Cheryl Samad punya kelebihan untuk menggugat kerana menerajui rancangan Muzik Muzik dan Juara Lagu. Populariti Jalan Jalan Cari Makan juga tidak wajar diketepikan. Begitu juga dengan rancangan Majalah 3. Tetapi memandangkan pengundi rata-rata dari kalangan remaja, maka pengacara rancangan seperti Muzik Muzik besar kemungkinan mampu menggondol anugerah tersebut. Pilihan saya masih berpihak kepada Raja Azura kerana karisma beliau sebagai seorang pengacara wanita yang kelakar masih sukar digugat.

C. PENYAMPAI RADIO LELAKI POPULAR
1. Andy Hakim
2. Halim Othman
3. Ismahalil Hamzah
4. Khairil Rashid
5. Kiran
Ramalan SM: Halim Othman

Populariti ERA sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia nampaknya memang sukar digugat oleh mana-mana stesen. Nama seperti Halim Othman, Kiran dan Khairil Rashid merupakan antara penyampai yang menititi di bibir setiap pendengar. Tugas Halim Othman untuk Topik Pagi ERA telah pun digantikan dengan Kiran dan Khairil Rashid. Topik Pagi ERA merupakan antara program radio yang paling diikuti oleh pendengar. Namun demikian, kemunculan Halim di televisyen seperti Roda Impian sebenarnya masih dekat dengan penonton. Rancangan HO Live sedikit sebanyak menguatkan lagi populariti beliau. Kemenangan beliau sebagai DJ Radio terbaik di Anugerah Seri Angkasa membuatkan beliau sememangnya layak untuk anugerah tersebut.

D. PENYAMPAI RADIO WANITA POPULAR
1. Abby Fana
2. Farah Fauzana
3. Linda Onn
4. Nana AF1
5. Nila Kurnia
Ramalan SM: Linda Onn

Sama halnya dengan Halim Othman, Linda Onn juga selain penyampai radio berkebolehan besar mengacarakan rancangan di televisyen. Bukan sekadar kemunculannya di ASTRO tetapi juga beberapa kali muncul di stesen televisyen percuma. Kehebatan Linda Onn sebagai penyampai popular turut didokong dengan kemunculan penyampai-penyampai wanita ERA yang baru seperti Nana AF1, Farah Fauzana dan Nilai Kurnia. Linda Onn turut menjadi Duta untuk beberapa produk tempatan dan wajahnya sering terpampang di dada akhbar dan billboard.

E. ARTIS KOMEDI LELAKI POPULAR
1. Afdlin Shauki
2. Azlee
3. Lan Pet Pet
4. Saiful Apek
5. Yassin
Ramalan SM: Saiful Apek

Tiada alasan kukuh sekiranya Apek gagal untuk mengekalkan kemenangan ini dari tahun lepas. Populariti Apek sebagai pelawak pertama menerima anugerah Bintang Popular sekaligus menafikan penguasaan Siti Nurhaliza dan mengekang kemaraan Rosyam Noor merupakan sesuatu yang di luar dugaan. Penampilan bersahaja Apek ternyata mencuit hati walaupun sekadar menjadi penyeri majlis siaran langsung sewaktu siaran berhenti rehat untuk iklan.

F. ARTIS KOMEDI WANITA POPULAR
1. Adibah Noor
2. Kartina Aziz
3. Norlia Ghani
4. Rosnah Mat Aris
5. Sheila Rusly
Ramalan SM: Adibah Noor

Wan Maimunah nampaknya telah pun hilang dari pandangan pengundi. Sejak akhir-akhir nama Sheila Rusly semakin kerap muncul di dada akhbar dan juga majalah. Besar kemungkinan beliau memenangi kategori ini. Namun demikian, kemunculan Adibah Noor sebagai pelakon iklan yang bercorak komedi juga tidak harus dipandang ringan. Lakonan beliau dalam filem Sepet juga berjaya dibawakan oleh beliau dengan sedikit suntikan komedi tetapi bukan sebuah komedi yang bersifat komersial. Malah lakonan beliau dalam Sepet lebih bersifat komedi yang bermaruah. Dua nama yang akan bersaing secara sengit dalam kategori ini iaitu antara Sheila Rusly dan Adibah Noor. Saya meletakkan harapan yang besar untuk Adibah Noor.

G. ARTIS BARU LELAKI POPULAR
1. Adi Fashla
2. Ashraff Daniel Sinclair
3. Jehan Miskin
4. Khai
5. Vince
Ramalan SM: Vince

Ada dua gergasi baru dalam dua dunia hiburan yang berbeza. Vince dalam bidang muzik dan Jehan Miskin dan bidang lakonan. Sekiranya Fahrin Ahmad tercalon besar kemungkinan beliau berpeluang besar untuk memenanginya bersandarkan bakat lakonan beliau dalam program Samarinda yang tersiar di TV3. Sayangnya beliau tidak tercalon. Maka pilihan Cuma tinggal Vince dan Jehan Miskin. Vince mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan jika pengundi berpeluang untuk menonton Sembilu 2005 dan menilai kebolehan beliau maka peluang beliau lebih terbuka luas. Kemunculan beliau dalam Juara Lagu sebagai seorang pendatang baru dengan lagu ciptaan beliau sendiri setidak-tidaknya membuka mata masyarakat yang beliau sememangnya seorang yang berbakat besar. Kemenangan tempat ketiga di Voice of Asia di Kazhastan juga merupakan satu kelebihan kepada beliau.

H. ARTIS BARU WANITA POPULAR
1. Bienda
2. Dia Fadila
3. Fasha Sandha
4. Nana AF1
5. Jaclyn Victor
Ramalan SM: Jaclyn Victor

Tumpuan undian lebih kepada perang program realiti tv yang diketengahkan oleh ASTRO dan 8TV. Jacklyn Victor, Malaysian Idol yang pertama bakal meneruskan penguasaannya kali ini. Namun demikian, persaingan paling dekat dengan beliau ialah Nana AF1 yang bukan sahaja muncul dalam rancangan Akademi Fantasia tetapi juga merupakan salah seorang penyampai ERA yang popular. Kemenangan besar kemungkinan berpihak kepada Jaclyn Victor. Kes yang melibatkan Fasha Sandha ternyata mengecilkan lagi peluang beliau untuk menang kategori ini.

I. ARTIS BUKAN MELAYU POPULAR
1. Angeline Tan
2. Hans Isaac
3. Jaclyn Victor
4. Seelan Paul
5. Vince
Ramalan SM: Vince

Sekali lagi perang undian program realiti tv akan berlaku. Saya meletakkan peluang kemenangan lebih berpihak kepada Vince. Dengan bakat yang beliau ada serta pengembangan bakat yang bukan sekadar dalam bidang muzik, maka peluang lebih besar berpihak kepadanya. Salah satu kelebihan Vince berbanding Jaclyn Victor ialah beliau terdedah dalam bidang lakonan. Maka bilangan kelompok pengundi tentunya akan lebih besar. Saya meletakkan cabaran besar akan diberikan oleh Jaclyn Victor untuk Vince.

J. PELAKON FILEM LELAKI POPULAR
1. Farid Kamil
2. Hans Isaac
3. Rosyam Nor
4. Saiful Apek
5. Yusry KRU
Ramalan SM: Rosyam Noor

Dengan berbekalkan filem Gangster yang telah menaikkan lagi nama Rosyam Noor, maka peluang beliau untuk memenangi anugerah ini lebih besar. Muncul dengan tiga watak membawa satu senario baru dalam bidang lakonan di Malaysia. Kemunculan Farid Kamil selaku pencabar baru dalam kategori ini merupakan kemunculan bakat-bakat baru dalam bidang lakonan terutamanya pelakon lelaki. Pencabar utama kategori ini tentunya berpihak kepada Rosyam Noor dan Saiful Apek. Kedua-dua mereka merupakan antara pelakon yang pernah memenangi anugerah untuk kategori lakonan.

K. PELAKON FILEM WANITA POPULAR
1. Erra Fazira
2. Nasha Aziz
3. Nisdawati
4. Maya Karin
5. Tiara Jacquelina
Ramalan SM: Erra Fazira

Berbekalkan populariti dan kontroversi, nama Nasha Aziz tentunya berada di tempat teratas. Lebih-lebih lagi dengan pendedahan yang meluas diterima oleh beliau di dalam akhbar dan majalah. Namun demikian, filem lakonannya melalui filem Cinta Luar Biasa tidaklah begitu menonjol. Begitu juga dengan Erra Fazira melalui filem Kuliah Cinta. Populariti Tiara Jacquelina tidak wajar dipandang ringan. Walaupun memenangi anugerah di peringkat antarabangsa, Maya Karin agak sukar untuk meloloskan diri untuk memenangi kategori ini kerana kurang mendapat pendedahan media. Jika dinilai dari segi kualiti, saya meletakkan harapan kepada Maya Karin dan Tiara Jacquelina. Pengundi di Malaysia adalah golongan yang meminati filem-filem Datuk Yusof Haslam dan David Teoh. Maka tidak mustahil kemenangan akan berpihak kepada Erra Fazira.

L. PENYANYI NASYID POPULAR
1. Hijjaz
2. In-Team
3. Mirwana
4. Rabbani
5. Raihan
Ramalan SM: Rabbani

Keputusan mengejut diterima sewaktu Anugerah ERA 04. Tidak mustahil ia berlaku sekali lagi. Zaman kegemilangan Raihan rasanya sudah berlalu. Pengaruh semasa tentunya membolehkan In-Team memenangi kategori ini. Saya lebih menyukai sekiranya Rabbani memenangi kategori ini. Pengaruh muzik nasyidnya yang bercorak moden memberikan satu impak baru kepada dunia seni tempatan.

M. PENYANYI LELAKI POPULAR
1. Fazley
2. Nassier Wahab
3. Reshmonu
4. Vince
5. Yusry KRU
Ramalan SM: Yusry KRU

Ketiadaan Anuar Zain dalam kategori ini seolah-olah menjatuhkan kualiti kategori ini. Nama-nama yang terpilih sekadar mencukupkan kuota. Saingan akan berpihak antara Nassier Wahab, Vince dan Yusry KRU. Populariti semasa menunjukkan Yusry KRU mendahului saingannya yang lain. Vince sukar untuk menggugat kedudukan Yusry KRU dalam kategori ini. TIdak mustahil Nassier Wahab mampu membuat kejutan. Ia pernah berlaku dalam Anugerah ERA 04.

N. PENYANYI WANITA POPULAR
1. Ning Baizura
2. Misha Omar
3. Siti Nurhaliza
4. Waheeda
5. Ziana Zain
Ramalan SM: Siti Nurhaliza

Ini antara kategori hangat pada malam anugerah itu kelak. Kerusi panas Penyanyi Wanita Popular tentunya merupakan anugerah paling mendebarkan. Setiap finalis masing-masing punya kelompok peminat yang tersendiri. Seingat saya setiap seorang dari mereka punya fanclub mereka masing-masing. Setidak-tidaknya satu yahoogroup. Berdasarkan populariti, Siti Nurhaliza punya kekuatan peminat yang besar. Tidak mustahil berlaku sebarang kejutan. Apa sahaja mungkin berlaku. Lebih-lebih lagi dengan isu “Siti vs Sharifah” yang hangat diperkatakan. Kini semakin dilupakan. Antara yang mampu mencabar kehebatan Siti Nurhaliza ialah Misha Omar yang mana kelompok peminatnya lebih besar kerana genre muziknya yang lebih kurang dengan Siti sendiri. Beza Misha dengan Ning ialah genre muzik Ning lebih ke arah urban, maka bilangan undian secara tidak langsung berkurangan. Zaman Ziana Zain boleh saya sifatkan sudah berlalu. Beliau telah berada dalam kelasnya yang tersendiri, sama seperti Sheila Majid.

O. ARTIS BERKUMPULAN / DUO POPULAR
1. Exists
2. Flop Poppy
3. KRU
4. Ruffedge
5. Spider
Ramalan SM: Spider

Kemenangan di Juara Lagu memberikan peluang yang besar untuk Spider menggondol anugerah ini. Ruffedge hanya popular dalam kelompok urban, manakala KRU sudah pun berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Saya meletakkan harapan besar untuk Spider. Populariti lagu Rela Ku Pujuk amat hebat. Lagipun muzik yang dibawakan oleh Spider lebih moderate dan sesuai untuk semua golongan.

P. PELAKON TV/VCD LELAKI POPULAR
1. Ako Mustapha
2. Jalaluddin Hassan
3. Saiful Apek
4. Rosyam Nor
5. Zamarul Hisham
Ramalan SM: Rosyam Noor

Populariti Dalam Hati Ada Cinta memberikan kekuatan utama untuk Ako Mustapha. Bersandarkan drama tersebut, nama Ako meniti di bibir peminatnya. Sesuatu yang membanggakan apabila tiada pelakon drama Gerak Khas terpilih untuk kategori ini. Satu perubahan yang agak besar dan perlu diberi perhatian. Ini membuktikan yang selera penonton telah mula berubah. Datuk Yusof Haslam tidak seharusnya berdiam diri dan beliau perlu mencari formula baru. Mereka yang benar-benar popular dalam kategori ini tentunya Ako Mustapha, Rosyam Noor dan juga Saiful Apek. Nama Rosyam Noor antara nama yang disebut-sebut untuk memenangi kategori tersebut.

Q. PELAKON TV/VCD WANITA POPULAR
1. Abby Abadi
2. Eja
3. Hetty Sarlene
4. Nasha Aziz
5. Umie Aida
Ramalan SM: Abby Abadi

Populariti drama Gerak Khas merupakan antara penyebab Hetty Sarlene dan Abby Abadi masih kekal dalam kategori ini. Sememangnya Abby Abadi memang sukar digugat dalam kategori ini. Umie Aida yang popular menerusi drama Dalam Hati Ada Cinta agak sukar untuk mencelah kerana drama tersebut disiarkan di stesen televisyen berbayar. Nasha Aziz lebih popular dalam VCD yang diedarkan secara haram bukan melalui stesen televisyen. Tidak mustahil Eja mampu menyelitkan dirinya untuk memenangi kategori ini kerana populariti siri Samarinda yang dilakonkan oleh beliau. Jika kualiti dijadikan sandaran, saya meletakkan peluang yang besar untuk Umie Aida dan Eja. Jika populariti dijadikan ukuran, Abby Abadi masih sukar digugat.

BINTANG PALING POPULAR
Tahun ini saya melihat seperti tahun Siti Nurhaliza. Siti Nurhaliza telah memberikan persembahan yang menarik di MTV Asia Awards di Bangkok. Kes email laying yang membabitkan nama beliau tentunya antara kes di kalangan artis yang paling diingati dan jarang-jarang terjadi. Ini secara tidak langsung undi emosi akan diberikan kepada beliau. Pada 1 April nanti, Siti Nurhaliza menyambut ulangtahun ke 10 pembabitannya di dalam bidang seni di London dengan sebuah persembahan eksklusif di Royal Albert Hall, sebuah dewan yang paling berprestij di London. Undian populariti secara tidak langsung diberikan kepada beliau. Sukar untuk mencari saingan yang kuat untuk Siti Nurhaliza kecuali daripada Saiful Apek.

Ramalan SM: Siti Nurhaliza

Saya sekadar meramal.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger