Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 03 April 2005

Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 2005

Fame : Sampai bila kegemilangan ini akan berterusan ?


Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 2005
Stadium Putra Bukit Jalil
Foto Album Rehearsal Konsert

Saya harus memilih antara keluar bersama sahabat saya ke Pelabuhan Klang atau menonton Konsert Kemuncak Akademi Fantasia di Bukit Jalil. Setelah sejam berfikir, saya memilih untuk makan ketam bersama Badrul, Dream, Chail dan Leen. Tidak banyak yang saya rugi apabila tidak menonton Konsert tersebut secara langsung di Bukit Jalil. Lebih-lebih lagi setelah menonton mereka sewaktu raptai penuh sehari sebelum acara tersebut.

Apa yang boleh saya katakana apabila menonton di siaran televisyen ialah konsert ini seperti dirancang dalam jangka waktu yang cukup singkat. Menonton konsert ini sama seperti menonton Dari Studio Satu dalam lokasi yang lebih besar serta penonton yang lebih ramai.

Pergerakan kamera juga tidak begitu besar iaitu hanya sekitar penonton di hadapan pentas, mungkin kerana ingin menyorokkan stadium yang tidak penuh. Pergerakan kamera banyak diganggu oleh placard yang dibawa oleh penonton sekaligus menghilangkan mood tontonan. Shot dekat hanya dilakukan pada beberapa bintang dan tidak begitu menyeluruh. Mengambil shot dari celah-celah penonton seperti Dari Studio Satu juga seakan merimaskan dengan halangan placard yang menutup kamera.

Tatacahaya juga agak suram dan tidak dibuat dengan teliti. Follow spot tidak mengenai muka bintang yang membuat persembahan lalu apa yang dipersembahkan tidak jelas dan dibuat dalam keadaan gelap. Beberapa ketika berlaku gangguan menyebabkan siaran tergendala sebentar. Gangguan audio mencacatkan lagi persembahan tersebut.

Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 2005

Fame : Bukan sekadar koreografi, tetapi nyanyian harus diberikan keutamaan.


Sewaktu sesi raptai penuh, saya berpeluang untuk bertukar-tukar tempat duduk. Dari hadapan pentas, saya bergerak ke kanan pentas. Terdapat perbezaan dari lantunan audio yang tidak seimbang. Talaan audio banyak tertumpu pada penonton di bahagian hadapan pentas dan tidak mengena pada bahagian kiri dan kanan pentas. Masalah yang sama berlaku sewaktu Anugerah Juara Lagu dan Konsert Kemuncak Akademi Fantasia II. Ia adalah disebabkan oleh sistem pembesar suara dan akustik stadium itu sendiri.

Konsert Kemuncak Akademi Fantasia sekiranya ada yang kedua, ianya harus dilakukan di negeri Sabah atau Sarawak. Dalam jangka waktu yang panjang setelah mereka keluar dari Akademi, maka kehangatan untuk menonton persembahan mereka tentunya sudah luntur. Tidak seperti sewaktu mereka baru sahaja keluar dari Akademi. Peminat yang berada di sekitar Kuala Lumpur punya lebih banyak peluang untuk menonton persembahan mereka secara dekat. Selain ke konsert, mereka berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti fanclub serta promosi-promosi mereka di pusat membeli-belah. Maka, cadangan mengadakannya di luar Kuala Lumpur adalah lebih sesuai dan kehangatan dan peluang mereka untuk menemui bintang Akademi Fantasia lebih ada. Sekiranya dinilai dari sudut logistic tentunya ia akan melibatkan kos yang agak tinggi kerana peralatan harus diterbangkan ke Sabah atau Sarawak. Tetapi kemeriahan itu semakin bertambah.

Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 2005

Mampukah Juara Akademi Fantasia Malaysia menyaingi bintang Indonesia dan Thailand ?


Tiada kelainan yang cuba ditonjolkan oleh bintang Akademi Fantasia selain mempertaruhkan lagu masing-masing untuk konsert kali ini. Kelainan yang nyata tentunya penyertaan dari bintang Akademi Fantasia versi Indonesia dan Thailand. Yang nyata, kehebatan vokal mereka berjaya menandingi keupayaan vokal bintang dari Malaysia. Penampilan mereka persis bintang ternama dengan tahap keyakinan yang begitu tinggi sekaligus menaikkan pesona bintang mereka di mata masyarakat.

Nyanyian bintang Akademi Fantasia Malaysia tidak banyak berubah kecuali pada lagu Tangisan Dalam Kerinduan (Farah), Haruskah (Adam) dan Benarkah Dia (Khai). Perubahan minima pada susunan lagu Tangisan Dalam Kerinduan serta olahan vokal Farah mencantikkan lagi lagu tersebut. Adam berbangga dengan tahap keyakinan beliau dan Khai menampilkan showmanship yang menarik dan bertenaga.

Kelemahan ketara pada persembahan Anding dan Edlin ialah kurangnya keserasian sewaktu mereka mendendangkan lagu Ceria Bersamamu. Pasangan yang kononnya bercinta tidak dizahirkan di atas pentas sewaktu membawakan lagu tersebut. Persembahan jadi kosong dan tidak bermaya. Ini amat berbeza sewaktu persembahan Sutha dan Cindy membawakan lagu Begitulah Cinta. Mereka menampilkan sebuah persembahan vokal yang berjaya serta keserasian yang besar sekali dalam melahirkan suasana romantis sewaktu membawakan lagu tersebut. Ini antara perbezaan serta kelebihan bintang Indonesia yang harus dipelajari oleh bintang Akademi Fantasia Malaysia.

Kelebihan utama bintang AF Malaysia ialah koreografi yang menarik terutamanya sewaktu lagu finale iaitu Fame. Showmanship Anding, Kaer, Fitri dan Sahri harus dipuji. Mereka kekuatan utama gerak tari lagu tersebut.

Nyanyian beramai-ramai tidak ubah seperti sebuah persembahan koir yang tiada variasi dalam mewarnakan lagu tersebut. Vokal mereka jelas monotonous. Sama sahaja. Pada beberapa bahagian, ada yang tidak sampai key. Masalah ini nyata ketara pada lagu Rahasia Perempuan dan Pria Terhebat. Berbeza pada kumpulan bintang Akademi Fantasia wanita yang lebih menyerlah tetapi belum cukup cemerlang. Ada variasi dari segi range vokal mereka dan dipersembahkan dalam lagu Bilang Saja dan Cinta Pura-Pura.

Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 2005

Bintang Akademi Fantasia Thailand mencuri perhatian


Antara aspek lain yang harus dipelajari oleh bintang AF Malaysia ialah keyakinan dan star value yang ditampilkan oleh bintang Indonesia dan Thailand. Gaya diva pada Jeen, Cindy dan Tria tidak ada pada Linda, Edlin dan Farah. Mereka tidak berjalan dengan penuh yakin. Gaya jalan mereka seperti rakyat biasa dan bukannya jalan seorang bintang. Perkara yang sama telah ditegur oleh Freddie Fernandez pada malam raptai penuh tetapi tidak dipraktikkan dengan baik oleh mereka.

Persembahan Kaer ada kelainan dari sudut pakej penari yang melengkapkan persembahannya. Idea yang ditampilkan agak menarik. Persembahan vokal masih ditakuk lama.

Juara AFI musim pertama iaitu Veri Affandi juga tidak begitu menyerlah dengan lagu Selayang Pandang. Persembahannya seakan tiada energy. Ia tidak membawa ke mana-mana. Berbeza dengan Vit iaitu Juara AFT musim pertama dengan lagu It’s Gonna Be Me, persembahannya bertenaga dengan gerak tari yang tajam serta menarik. Sayangnya tidak mampu menarik perhatian penonton dengan mencipta unsure kekaguman yang lebih untuk menyerlahkan lagi persembahannya. Pada bahagian penghujung persembahannya, beliau kelihatan termengah-mengah kerana penat.

Persembahan pada malam tersebut diakhiri dengan lagu Fame. Saya mengharapkan mereka membawakan lagu tema Menuju Puncak dalam pelbagai versi iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand. Menutup persembahan dengan lagu Menuju Puncak lebih membawa makna yang lebih besar kepada penonton. Lagu temanya juga tidak banyak berbeza dari segi lagu dan liriknya. Berkenaan Akademi Fantasia Thailand tidak pula saya ketahui. Menampilkan lagu yang sama, setidak-tidaknya kita dapat melihat gerak tari untuk lagu tersebut dari tiga rancangan realiti tv yang berbeza.

Namun demikian, Fame berjaya dari sudut koreografinya. Saya menyukai koreografi lagu tersebut. Nampak sharp dan baik sekali. Nyanyian solo oleh Rosma, Sahri, Farah, Kaer dan Zahid juga agak menarik. Turut membantu ialah bintang Akademi Fantasi Indosiar dan Thailand.

Rating : 2/5

Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 2005

Ke mana hilangnya tonggak penting Akademi Fantasia setelah selesai raptai ?


Repertoire Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 2005
Malam Kenangan (Bintang Akademi Fantasia)
Medley Malam Pesta Muda Mudi & Kwek Mambo (Pasangan Akademi Fantasia)
Kembali Bersama (Kaer)
Aku Cinta Kamu (Linda)
Cinta Seorang Teman (Bob)
Selayang Pandang (Veri Affandi)
Pria Terhebat & Rahasia Perempuan (Bintang Akademi Fantasia dan AFI Lelaki)
Medley Menghitung Hari (Tria AFI)
Benarkah Dia (Khai)
Tangisan Dalam Kerinduan (Farah)
Ceria Bersamamu (Anding & Edlin)
Bilang Saja & Cinta Pura-Pura (Bintang Akademi Fantasia dan AFI Perempuan)
Habis Sudah Umpanku (Azizi)
Yeen Yan (Aof & Jeen AFT)
It’s Gonna Be Me (Vit AFT)
Haruskah (Adam)
Milikku (Zahid)
Begitulah Cinta (Sutha & Cindy)
Nag La Fun (Aof, Jeen & Vit AFT)
Menggapai Bintang (Bintang Akademi Fantasia)
Fame (Bintang Akademi Fantasia, Akademi Indosiar & Akademi Fantasi Thailand)

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger