Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 29 August 2005

Gala Merdeka Musical Fashion Show di Palace Of The Golden Horses

Saya berkesempatan untuk hadir ke Gala Merdeka Musical Fashion Show di Palace Of The Golden Horses atas jemputan pihak penganjur. Untuk mengelakkan kekeliruan, saya ulangi jemputan tersebut adalah atas jemputan pihak penganjur dan bukannya jemputan rakan saya yang sama-sama bekerja dalam jawatankuasa acara tersebut. Saya harap tidak ada sesiapa yang salah faham.

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu memberitahu tentang cerita di sebaliknya tetapi kerana wujud kekeliruan yang telah sedikit merentap perasaan, maka harus saya perjelaskan dengan lebih lanjut. Jika bukan kerana jemputan tersebut, saya tidak mampu untuk pergi memenuhkan dewan tersebut. Saya lebih rela menghabiskan wang tersebut ke tempat lain. Kemunculan Anuar Zain, Dayang Nurfaizah dan Mawi sebagai tarikan untuk saya hadir ke majlis tersebut.

Itu bukan soalnya. Soalnya sekarang mengapa keringat Mawi diperah sehabis mungkin dan apa yang saya tonton malam tersebut merupakan sebuah persembahan yang membosankan. Jelas keletihan terpancar pada wajah beliau. Tidak cukup dengan itu, selesai beliau menyanyikan empat buah lagu pada jam 9.30 malam, beliau dan pihak pengurusannya telah berlari ke sebuah lagi persembahan yang berlangsung di Sepang. Lebih memeranjatkan, bersandarkan jadual acara yang diberikan kepada saya, Mawi sepatutnya muncul dalam persembahan finale bersama Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah untuk lagu Hanya Memuji pada sekitar jam 12.30 tengah malam. Malangnya hanya Anuar Zain dan Dayang sahaja yang muncul pada persembahan finale tersebut.

Segala kejutan sambutan Hari Lahir Mawi yang dirancang oleh pihak penganjur terpaksa dibatalkan dan tidak diraikan bersama ratusan penderma yang memenuhi ruang dalam ballroom tersebut. Namun demikian, Mawi tetap muncul tetapi setelah selesai semua acara tamat. Rata-rata hadirin yang ada pada malam tersebut menunggu sehingga majlis selesai kerana menyangkakan Mawi akan muncul lagi dalam persembahan finale tetapi ini tidak berlaku. Mereka telah membayar RM300 hingga RM500 seorang untuk menyaksikan persembahan tersebut. Mereka sebenarnya telah ditipu. Apakah mereka akan berdiam diri ? Saya tidak. Para peminat harus diberikan keadilan yang sewajarnya. Bukannya dihidangkan dengan sesuatu yang kurang masak.

Di manakah letaknya nilai profesional yang sewajarnya dibawa oleh Mawi ? Apakah ia salah Mawi ? Bukan. Sebaliknya saya meletakkan sifat tamak tersebut di bahu pihak pengurusannya. Menerima dua persembahan pada satu malam tidak lebih sebagai menyerlahkan lagi sifat busuk tersebut.

Mawi sewajarnya diberi peluang untuk melihat persembahan senior-seniornya seperti Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah. Mawi boleh menggunakan peluang tersebut untuk melihat bagaimana Anuar Zain mengawal peminat-peminatnya, cara beliau berinteraksi dengan peminatnya serta cara beliau berinteraksi dengan hadirin dari kalangan VVIP. Paling tidak pun duduk semeja makan dengan golongan tersebut. Bukan selalu dapat peluang makan dengan penuh beretika dalam majlis-majlis sebegini. Sekiranya ini terus berlaku, sampai bila pun Mawi tidak akan ke mana dan kemunculan Mawi hanya sekadar menjadi lubuk emas kepada pihak-pihak tertentu. Lihat sahaja kepada wawancara beliau bersama Melodi. Nampak seperti ada yang tidak kena seorang yang menjadi idola bertutur sedemikian. Langkah sewajarnya, mereka harus diberikan kelas tentang pembentukan personaliti di khalayak ramai seperti yang pernah diajar di Akademi Fantasia 2. Kelas Tatacara perlu diteruskan agar kredibiliti bintang tidak tercalar satu hari kelak.

Jika saya boleh membandingkan persembahan Mawi dan Dayang Nurfaizah amat jauh perbezaannya. Ya benar, Mawi masih mentah. Sudah tahu mentah, inilah masanya untuk belajar dari para seniornya. Melihat cara mereka membawa diri mereka di atas pentas. Mengumpul pengalamannya bersama bintang-bintang lama ini untuk menjadikan persembahannya lebih matang di masa akan datang.

Itulah pandangan saya untuk pihak pengurusan yang menguruskan Mawi. Saya berharap agar mereka lebih peka di masa akan datang.

Nota : Saya menukar tajuk artikel ini sebagai satu jalan selamat. Jalan menyelamatkan diri sebenarnya. Saya potong beberapa ayat juga kerana sebab yang sama. Bukan kerana tiada pendirian tetapi setelah mendengar pandangan dari pelbagai pihak. Pendirian saya tetap sama.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger