Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 11 November 2005

Ulasan Filem : Pontianak Harum Sundal Malam 2
Rating : 3/5 bintang

Saya berkesempatan untuk menonton tayangan filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 yang ditayangkan untuk para media di TGV KLCC baru-baru ini. Pertemuan kembali dengan Encik Hishamuddin Mohamed setelah hampir 15 tahun tidak bertemu sejak meninggalkan MRSM Perlis merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Tidak banyak perubahan pada beliau dan sekali pandang saya sudah mengenalinya.

Kos pembikinan filem ini ditaja oleh DiGi sekali penaja utama selain FINAS, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Jugra Publication. Para penonton juga boleh menyertai peraduan DiGi Memburu Pontianak dan memuat-turun ringtone, wallpaper dan lain-lain keperluan telefon bimbit.

Apa yang ada dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 ini yang memenangi dua anugerah iaitu Pelakon Terbaik dan Sinematografi Terbaik di Estepona Horror & Fantasy Film Festival Spain 2005 ?

Sinopsis
Pontianak Harum Sundal Malam 2 membawa penonton untuk melihat apa yang terjadi setahun kemudian di Pekan Paku Laris.

Wasiat Marsani supaya dipulangkan harta Meriam kepada warisnya tidak kesampaian apabila Maria menghilangkan diri. Pontianak terus menghantui kehidupan waris keluarga Marsani, Asmadi, Norman, Ana dan Zai.

Norman yang sangat tertekan dan masih tidak dapat menerima kematian datuknya, Marsani telah menghilangkan diri. Pontianak bersumpah untuk membalas dendam sehingga anaknya dipulangkan dan telah merampas anak Asmadi dari tangan Ana, isteri Norman.

Penonton sempat diimbas kembali tentang apa yang berlaku sewaktu kematian Meriam. Bila mana Laila sempat melarikan anak Merian keluar dari Pekan Paku Laris. Bagi menyelamatkan Maria dan menyembunyikan rahsia keturunan mereka, Laila membuka sebuah penempatan terpencil dan selamat iaitu di Kampung Tepian Tersorok untuk membesarkan Maria. Laila yang uzur telah menyerahkan tanggungjawab menjaga Maria kepada Bayang.
Suatu hari, Bayang dan Joyo, guru kuda kepang kampung itu telah ternampak Maria menjelma menjadi Meriam melalui semangat Pontianak. Kejadian itu menyedarkan mereka bahawa telah tiba masanya untuk Maria menunaikan takdirnya dan menuntut semula haknya. Bayang telah menghantar Maria ke Paku Laris di bawah jagaan Joyo. Bayang percaya Maria lebih selamat dilindungi Joyo kerana Joyo memiliki kuasa yang digunakan oleh guru kuda kepang untuk mengawal semangat dalam tarian kuda kepang.

Tanpa diketahui Bayang, Joyo bukanlah seperti yang disangkakan. Joyo telah terpukau dengan rasukan Meriam, wajah jelita yang seperti pernah dilihatnya. Obsesinya terhadap Meriam semakin mendalam. Di fikirannya dia harus mengawal Maria. Selepas kematian Marsani, Joyo dan Maria menghilangkan diri dari Paku Laris.

Asmadi dengan bantuan Ana cuba mencari anaknya. Menyedari bahawa Maria dibayangi Pontianak, mereka menjejaki Maria sehingga membawa mereka hampir ke Kampung Tepian Tersorok. Keazaman untuk mencari anaknya tanpa menghiraukan bahaya yang menanti membawanya kepada satu konfrontasi dengan Pontianak, Joyo dan Bayang.

Pertembungan antara mereka telah membangkitkan semangat ‘kuda kepang’ lalu membawa mereka ke suatu alam lain. Bayang yang sedar Pontianak tidak boleh dihapuskan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Maria. Dalam kekecohan itu, tiba-tiba rumah Joyo terbolos apabila tanah di kawasan rumahnya merekah dan menenggelamkan Pontianak dan Joyo yang cuba menyelamatkannya. Di manakah Maria…?

Pendapat Peribadi
Membaca sinopsisnya sahaja sudah cukup untuk mengelirukan penonton, lebih-lebih lagi sekiranya mereka tidak menonton Pontianak Harum Sundal Malam. Lanjutan dari persoalan-persoalan yang masih belum terjawab dalam edisi pertama Pontianak tersebut, semuanya boleh didapati di dalam sekuel kali ini.
Pertembungan budaya pada kedua-dua lokasi sukar dibezakan dan boleh mengelirukan. Ia tidak diperincikan dengan jelas. Set yang melibatkan lokasi Kampung Tepian Tersorok berlaku di Kampung Wonosobo, Jogjakarta, Indonesia. Setelah membaca nota dari Pengarah Seni dalam laman web rasmi mereka barulah saya faham mengapa ianya dibuat tanpa banyak perbezaan untuk menggambarkan perbezaan dua lokasi tersebut.

Keindahan sinematografi yang menjadi kekuatan pada aspek visual filem ini agak jelas. Pengambilan shot-shot yang indah dan kena dengan jalan ceritanya amat bersesuaian dengan filem tersebut. Ini harus saya akui kerana jejak kecemerlangan yang tercipta hasil sinematografi filem-filem arahan Shuhaimi Baba sememangnya bagus. Contohnya adalah seperti filem Selubung, Ringgit Kasorrga, Mimpi Moon dan Layar Lara. Nampak kualiti pada hasil yang tercipta kesan dari penggunaan teknologi terkini yang ada di pasaran. Saya kagum dengan hasil kerja Mohd Filus Ghazali kali ini. Saya beri A untuk sinematografi.
Dari aspek penceritaan dan subjek, saya memang sejak dulu kagum dengan cara Shuhaimi Baba mengolah ceritanya. Ceritanya lain daripada yang lain dan diolah dengan cara yang tersendiri. Saya mengikuti perkembangan beliau secara serius dalam filem-filem beliau yang terdahulu. Ringgit Kasorrga dan Mimpi Moon merupakan antara filem beliau yang boleh saya sifatkan agak kompleks. Isunya terlalu besar untuk dimuatkan dalam jangkamasa dua jam tayangan. Maka kekeliruan jelas berlaku apabila menonton filem ini. Berbanding Pontianak Harum Sundal Malam banyak persoalan-persoalan yang tergantung dan diperjelaskan dalam edisi kedua ini. Siapa Maria, mengapa Maria tidak tua dan terlalu muda untuk menjadi anak Meriam dijawab dalam edisi ini.

Menurut Nizam Zakaria, filem ini agak bercelaru. Bercelaru itu tidak mengapa, jika ia dibuat dengan sengaja. Tetapi kecelaruan yang ada di dalam filem ini berlaku kerana pembikin filem itu sendiri keliru dengan naratif filemnya.

Sebagai contoh, terdapat satu adegan di mana Pontianak muncul pada waktu siang, tiba-tiba sahaja syot berubah kepada waktu malam. Di sini kita tidak nampak kesinambungan cerita sama sekali.

Menurut Nizam Zakaria lagi, rasa seram kepada Pontianak terus hilang kerana pontianak tidak lagi menjadi satu perkara yang ditakuti penonton. Pontianak selalu sahaja muncul. Ini agak berbeza pada Pontianak versi pertama yang muncul jarang-jarang dan kemunculannya memberikan sedikit elemen yang mendebarkan.

Satu kelainan yang dibawa dalam filem ini apabila Pontianak juga muncul pada waktu siang lalu cuba menukar persepsi masyarakat yang Pontianak hanya muncul pada waktu malam.

Lambakan adegan begitu meresahkan dalam filem ini. Memasukkan terlalu banyak adegan yang dirasakan perlu oleh Pengarah menyebabkan terlalu banyak plot yang boleh mengelirukan penonton. Saya merasakan Penyunting dan Pengarah harus benar-benar serius mengambil shot-shot yang difikirkan penting sahaja untuk mendapatkan rentak filem ini agar tidak terlalu meleret-leret.
Maya Karin telah memberikan mutu lakonan yang agak baik berbanding edisi pertama. Jelas kelihatan perbezaan emosi, perwatakannya dalam watak-watak yang beliau lakonkan. Maka tidak hairanlah sekiranya beliau berjaya memenangi Anugerah Pelakon Terbaik dalam Estepona Horror & Fantasy Film Festival di Sepanyol. Persembahan lakonan Maya Karin berada pada kelasnya yang tersendiri. Cara beliau bermain dengan emosinya yang penuh dengan dendam menimbulkan elemen seram dan mampu membangkitkan perasaan hiba pada penonton. Keinginannya untuk mendapatkan kembali haknya dan dalam perjalanannya mendapatkannya Maya telah berjaya menarik penonton untuk sama-sama terheret dalam melodrama yang telah beliau cipta. Saya beri A untuk lakonan Maya Karin kali ini.

Namun demikian saya sedikit kecewa dengan lakonan Rosyam Noor yang boleh saya katakan tidak meneruskan mannerism dari wataknya dalam edisi pertama. Watak sebagai Asmadi yang bodoh-bodoh alang tidak diteruskan dalam sekuel ini lalu sedikit mengelirukan saya. Apakah dengan berkahwin, seseorang yang berperwatakan seperti Asmadi mampu berubah. Mungkin ada cerita di sebalik perubahan pada wataknya yang tidak saya ketahui ataupun tidak ambil endah.
Sebaliknya saya menyukai lakonan Zahim Al Bakri sebagai Tok Guru. Beliau yang sering dikenali sebagai pemegang watak berbangsa Inggeris, telah dilarikan dari imej sedemikian dan begitu cemerlang membawakan wataknya. Nyata pengalamannya dalam bidang teater banyak membantu beliau merealisasikan watak tersebut dengan begitu terkawal.

Begitu juga dengan lakonan Rusdi Ramli sebagai Joyo dan Zali yang tidak begitu menonjol tetapi memainkan peranan yang kuat untuk menjadi tunjang konflik dalam filem ini. Sekiranya diberikan watak yang lebih berat dengan bimbingan dari mereka di kalangan yang pakar, saya merasakan Rusdi Ramli mampu menjadi barisan pelapis kepada muka-muka lama seperti Yusry dan Farid Kamil.

Pontianak Harum Sundal Malam 2 telah lulus tanpa sebarang potongan dan diklasifikasikan sebagai U. Filem ini sebenarnya membawa penonton untuk terus tidak tertipu dengan adegan seram mimpi yang dibawakan dalam versi pertama. Filem ini merupakan satu penanda aras kepada filem-filem seram di masa akan datang bahawa pembikin filem boleh menghasilkan filem-filem seram yang tidak dibayangi dengan hantu versi LPF.
Perubahan peraturan yang termaktub dalam LPF nampaknya sudah berubah. Adegan-adgean hantu yang menyeramkan, adegan darah yang mengerikan sudah boleh ditayangkan kepada umum. Khabarnya, kisah-kisah hantu dari cerita rakyat sahaja yang dibenarkan untuk dijadikan filem. Jika kena gayanya filem-filem seram sebegini boleh mendapat pasaran yang meluas kerana ia menjadi kesukaan penonton yang sememangnya meminati corak filem sebegini.

Sebagai pelayar internet yang tegar, kemudahan mencapai internet melalui laman web rasmi yang dibangunkan untuk filem ini merupakan sebagai pelengkap kepada filem ini. Maklumat-maklumat yang terdapat dalam laman web rasmi filem ini begitu berguna kepada penggemar filem Melayu untuk lebih mendalami selok-belok pembikinan filem teersebut. Maklumat berkenaan rekaan set, tatarias busana serta maklumat-maklumat teknikal berkenaan filem tersebut terkandung untuk para pelayar internet.

Filem ini akan mula ditayangkan pada 24 November 2005 di pawagam-pawagam yang berdekatan dengan tempat anda. Saya akan pasti menontonnya sekali lagi kerana tidak begitu puas menontonnya pada tayangan media yang baru lepas. Bagaimana sekiranya Gathering Wayang PHSM2 diadakan kali ini. Ada yang berani ? Boleh jerit ramai-ramai dalam panggung wayang.

Laman Web Rasmi : www.pontianakhsm2.com
DiGi Memburu Pontianak
PHSM2 di Filem Kita
Ulasan Blog : Tontonfilem

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger