Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 30 July 2005 0 komen

Konsert 08 AF3

Konsert Akademi Fantasia 09 : Impian Menjadi Kenyataan !
Akhirnya, empat pelajar telah terpilih untuk menjejakkan kaki ke Konsert Final hujung minggu depan. Mereka terdiri daripada Felix, Marsha, Mawi dan Amylea. Ternyata pilihan penonton pada minggu ini amat tepat. Empat pelajar inilah yang telah menunjukkan peningkatan yang tinggi dan persembahan yang baik berbanding 10 pelajar yang lain.

Pengkritik Profesional
Kudsia Kahar, Suraya Al Attas dan Vince
Suraya merupakan penulis artikel bertajuk Akademi Fantasia: Get off Mawi’s back yang tersiar di New Straits Times hari ini. Vince seperti yang kita tahu merupakan Juara Akademi Fantasia 1 yang telah berjaya membolot Anugerah Artis Baru Terbaik di AIM baru-baru ini. Vince merupakan Juara Akademi Fantasia yang masih kekal popular sehingga kini dan bijak merancang perjalanan seninya dengan begitu baik.

Persembahan Pelajar
Konsert 09 AF3

Medley Tribute to M.Nasir 7/10
Memberikan penghormatan untuk Pengetua M.Nasir dalam Tribute to M.Nasir ini sama seperti menganugerahkan beliau Anugerah Sri Wirama tatkala beliau masih sibuk berkarya di dalam industri muzik tempatan. Semacam ada sesuatu yang tidak kena. Tribute harus diberikan kepada mereka yang telah pergi. Sebagai contohnya, Tan Sri P.Ramlee. Banyak lagu medley P.Ramlee yang sesuai, lebih-lebih lagi bilangan pelajar lelaki yang tinggal waktu itu ialah seramai empat orang. Agak janggal bilangan empat orang itu sekadar menyanyikan tiga lagu. Kecacatan paling nyata pada medley tersebut ialah vokal Kefli. Ada sumbang pada beberapa bahagian dan beliau banyak dibantu oleh Felix untuk latar. Keharmonian vokal mereka untuk lagu Ekspres Rakyat agak ketara apabila setiap pelajar menggunakan range vokal yang berbeza. Ini tidak berlaku pada lagu Apokalips. Showmanship mereka untuk lagu Apokalips juga menarik. Mereka bijak menguasai pentas dan berinteraksi dengan penonton. Lagu paling bagus sekali ialah Ghazal Untuk Rabiah. Mawi menggunakan segala kehebatan vokal beliau untuk lagu tersebut. Yazer turut mencuri tumpuan pada bahagian-bahagian tinggi. Titik kecemerlangan pada lagu tersebut dimiliki oleh Mawi dan Felix.

Kedudukan Sebelum Konsert
Mawi 36%
Felix 23%
Marsha 13%
Amylea 13%
Yazer 8%
Kefli 6%

Konsert 09 AF3

Yazer - This Love 6/10
Klip yang dipertontonkan sebelum Yazer membuat persembahan amat merisaukan kerana ia seperti salah satu taktik terakhir untuk meraih undian untuk Yazer. Yazer diperlihatkan keprihatinan beliau setelah mendapat peluang untuk melawat Rumah Sri Kenangan. Yazer tidak pernah mengecewakan apabila membawakan lagu rock atau pop-rock yang menjadi permainan jiwanya sejak awal kemunculannya di dalam Akademi Fantasia. Persembahan vokal yang ditampilkan oleh beliau dibuat dalam keadaan yang selesa dan penuh berkeyakinan. Saya menyukai gayanya yang menarik dalam corak persembahannya. Beliau ada identiti beliau yang tersendiri. Setiap pergerakannya sesuai dengan mood lagu tersebut. Ada stail yang seakan-akan menguja penonton untuk terus membuatkan penonton melihat persembahan beliau. Interaksi beliau dengan kamera dan penonton juga cukup. Sebuah persembahan yang bertenaga dan semakin menyukarkan untuk membuat pilihan ke Konsert Final.

Yazer - I’m Ready For Love (8/10 bintang)
Yazer - Sejati 5.5/10
Yazer - Suatu Masa 7.7/10
Yazer - Nyanyian Serambi 7/10
Yazer - Takdir Penentu Segala 5/10
Yazer - Cinta Kilat 7/10
Yazer - Nazraku 8.1/10
Yazer - Mengapa Harus Cinta 3.5/10

Persembahan Terbaik : Nazraku / I’m Ready For Love
Persembahan Terburuk : Mengapa Harus Cinta

Konsert 09 AF3

Marsha - Ku Pendam Sebuah Duka 5/10
Kejutan untuk Marsha apabila Fahrin Ahmad ditampilkan untuk menemaninya. Fahrin berpeluang untuk berinteraksi dengan Marsha dan kemudiannya Fahrin memperkenalkan Marsha untuk membuat persembahan. Aksi Aznil yang terpinggir agak melucukan. Marsha seperti biasa dengan imej manja dan geteknya pada waktu sebelum persembahan tetapi menjadi seorang penyanyi apabila membuat persembahan. Apabila Marsha memperoleh sedikit masa bersama Fahrin, maka ia membuatkan beliau agak hilang tumpuan pada permulaan persembahannya. Marsha terlupa lirik dan cuba menutup kesilapannya dengan melakukan improvisation tetapi disedari oleh penonton. Saya suka dengan gaya nyanyian yang ditampilkan olehnya. Ia nyata berbeza dengan penyanyi asalnya iaitu Khatijah Ibrahim. Memang nampak tumpuan beliau terganggu dalam persembahannya. Nyanyian tidak begitu konsisten dan berkeyakinan. Lontaran vokalnya mula memuncak pada pertengahan lagu tersebut. Keunikan persembahan beliau adalah cubaan beliau untuk memesongkan tumpuan penonton terhadap cara nyanyian Khatijah Ibrahim. Ia hanyalah sebuah persembahan yang biasa dari Marsha.

Marsha - Awan Yang Terpilu 4/10
Marsha - Ingin Bersamamu 6.8/10
Marsha - Lelaki Idaman 6/10
Marsha - Tunggu Sekejap 8/10
Marsha - Bossanova 7.9/10
Marsha - Destiny 9.8/10
Marsha - Jambatan Tamparuli 6/10
Marsha - Cobalah Untuk Setia 4.7/10

Persembahan Terbaik :Destiny
Persembahan Terburuk : Awan Yang Terpilu

Konsert 09 AF3

Felix - Anak 6.4/10
Klip untuk Felix juga terpapar segmen berkaitan Mawi sewaktu beliau menyanyikan lagu Pergi Tak Kembali. Terlalu berlebihan. Persembahan Felix mendapat bantuan dari Sham Kamikaze, Yazer, Kefli dan Mawi. Kecuali Mawi yang bermain tamborin, mereka yang lain bermain gitar. Saya merasakan persembahan Felix diganggu oleh back-up tersebut. Lebih-lebih lagi sistem bunyi yang tidak seimbang. Gitar dari Yazer dan Sham Kamikaze terlalu kuat sehingga menenggelamkan persembahan Felix. Mawi, walaupun sekadar bermain tamborin, saya anggap sebagai satu usaha untuk merendah-rendahkan beliau. Adalah lebih baik sekiranya Mawi tidak bermain tamborin jika hanya untuk menjadi bahan kejian. Sekadar tamborin ? Namun demikian, semangat kerjasama antara Sham Kamikaze, Mawi, Kefli, Yazer dan Felix amat ketara. Oleh kerana susunan lagu tersebut adalah seperti itu, maka tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Felix untuk mengeksploitasi lagu tersebut. Selain menggunakan lirik bahasa Melayu, lagu tersebut menggunakan lirik dari bahasa Tagalog. Ia seakan untuk menyerlahkan lagi bakat yang ada pada Felix. Saya suka dengan ekspresi wajah Felix yang cuba menghayati lagu tersebut dengan baik. Beliau memberikan persembahan penuh ekspresi selamba. Saya suka matanya yang redup lalu dapat menyampaikan mesej lagu tersebut dengan jelas. Jika diminta untuk saya pilih antara bahasa Melayu dan Tagalog, saya lebih suka bahagian Tagalog. Lebih terasa penghayatannya.

Felix - Tiada Lagi Kidungmu 8.3/10
Felix - Berjuta Batu 8.5/10
Felix - Memori Bahagia 7.3/10
Felix - Aku Semut Merah 8.8/10
Felix - Hari Ini Dan Semalam 7.4/10
Felix - Smooth 4.3/10
Felix - Fantasia Bulan Madu 6.7/10
Felix - Hukum Karma 6.5/10

Persembahan Terbaik : Aku Semut Merah
Persembahan Terburuk : Smooth

Konsert 09 AF3

Kefli - Tak Tahu 4/10
Klip untuk Kefli juga menampilkan Kefli meniru gaya jalan Mawi. Lagi sekali. Kata peminat Mawi, kejutan untuk Mawi di konsert tidak ada. Sekarang apa kata mereka ? Kejutan untuk pelajar lain juga menyebut tentang Mawi sehingga berlebihan pula. Puas hati semua ? Persembahan Kefli sekadar persembahan koreografi. Kefli nampak bersesuaian di atas pentas dengan imej tersebut. Memang nampak beliau agak comel berpakaian sedemikian. Saya melihat ada usaha dalam diri beliau untuk memberikan persembahan yang menghiburkan. Penguasaan pentasnya baik tetapi staminanya hancur dan pernafasannya terganggu. Masalah lupa lirik berlaku lagi dan ini antara masalah yang masih tidak dapat dibaiki oleh Kefli sejak minggu pertama. Memang sukar untuk menyanyi rap dan menari pada waktu yang sama. Kelemahan vokal beliau masih seperti di minggu-minggu awal dan tidak banyak perubahan yang beliau lakukan. Yazer dan Mawi telah berjaya mencuri sedikit tumpuan penonton daripadanya. Mawi memang telah membuktikan dapat melakukan kelainan yang tidak pernah beliau lakukan. Sifat agresif Kefli dalam persembahan rap dan hip-hop sebegini agak kurang dan tidak mencukupi. Saya melihat tekanan yang melanda pada minggu ini banyak merosakkan persembahan pelajar.

Kefli - Nur Kasih 5/10
Kefli - Mungkin 5/10
Kefli - Keindahan Pantai 4/10
Kefli - Seksa 3/10
Kefli - Berhenti Berharap 8/10
Kefli - Kenang Daku Dalam Doamu 4/10
Kefli - You To Me Are Everything 4/10
Kefli - Hati Emas 6.3/10

Persembahan Terbaik : Berhenti Berharap
Persembahan Terburuk : Seksa

Konsert 09 AF3

Amylea - Gemilang 8/10
Sebuah persembahan yang mengkagumkan ! Jaclyn Victor lebih hebat ! Kelainan pada persembahannya apabila beliau menyanyikan lagu tersebut mengikut gayanya yang tersendiri. Improvisasi yang dilakukannya amat memadai dan begitu kena dengan range vokal beliau. Maka tidak banyak kejutan vokal yang mampu dilakukan oleh Amylea, namun ia tetap sebuah persembahan yang hebat darinya. Melihatkan beliau memulakan persembahan secara duduk di atas bangku memang merisaukan. Mujur beliau bangun sewaktu bahagian korus lagu tersebut. Aura kekaguman melihat Amylea mencorakkan lagu tersebut dengan baik begitu hebat. Amylea seorang penyanyi yang hebat. Uniknya beliau sekadar berdiri dengan pergerakan minima tetapi tumpuan mata tidak pernah terarah ke pandangan yang lain.

Amylea - Inikah Cinta 4.5/10
Amylea - Asmara 8/10
Amylea - Anggapanmu 8.5/10
Amylea - Don’t Know Why 8.9/10
Amylea - Hak Milik Kekal 7/10
Amylea - Hati Ini Telah Dilukai 9.7/10
Amylea - Penawar Rindu 7.5/10
Amylea - Dua Insan Bercinta 8/10

Persembahan Terbaik : Hati Ini Telah Dilukai
Persembahan Terburuk : Inikah Cinta

Konsert 09 AF3

Mawi - Pergi Tak Kembali 6.5/10
Persembahan vokal yang bagus dari Mawi. Penghayatan Mawi masih kurang kerana rasa lagu tersebut tidak berjaya sampai kepada saya. Sebuah persembahan biasa dari Mawi walaupun lagu tersebut makanan hariannya. Berbeza dengan Yazer yang mampu memberikan persembahan yang lebih bertenaga untuk lagu rock atau pop-rock. Sekiranya makanan ini menjadi penilaian, saya suka untuk membandingkan persembahan ini dengan Intifada yang boleh saya sifatkan jauh lebih baik Pergi Tak Kembali. Semangat Intifada dapat dirasakan berbanding keinsafan dalam Pergi Tak Kembali. Kehadiran kejutan yang ditampilkan untuk Mawi iaitu kumpulan nasyid Wariqissalam yang terdiri daripada rakan-rakannya tidak banyak membantu menyerlahkan lagi keharmonian lagu nasyid. Sedar atau tidak, Mawi sekali lagi direndah-rendahkan dengan kejutan yang ditampilkan di atas pentas untuknya. Hanya sebuah kumpulan nasyid orang kampungnya yang ditampilkan dan bukan artis besar seperti yang diharapkan oleh sebilangan besar peminatnya.

Mawi - Kekasih Awal Dan Akhir 8.2/10
Mawi - Dari Kekasih Untuk Kekasih 3/10
Mawi - Gadis Melayu 8.1/10
Mawi - Nourel Ain 8.5/10
Mawi - Beautiful Maria 4.3/10
Mawi - Memori Cinta Luka 8/10
Mawi - Oh Fatimah 6.5/10
Mawi - Pupus 7/10

Persembahan Terbaik : Nourel Ain / Pupus
Persembahan Terburuk : Dari Kekasih Untuk Kekasih

Konsert 09 AF3

Medley Tribute to Adnan Abu Hassan 9/10
Bermula dengan Gubahan Rindu Puisi Syahdu oleh Amylea sememangnya bagus. Marsha mengambil gilirannya di bahagian korus. Lebih hebat. Mereka tidak cuba untuk overshadow persembahan masing-masing. Itu yang lebih baik. Jerat Percintaan kurang menyengat tetapi masih bagus. Memang sukar lagu tersebut kerana lagu Siti Nurhaliza. Lebih hebat apabila mereka membawakan lagu Bunga Bunga Cinta. Sememangnya kedua-dua orang pelajar perempuan ini merupakan bahan penting untuk Konsert Final. Sayang sekiranya mereka tersingkir di konsert paling kritikal ini. Tangisan Dalam Kerinduan (featuring Farah AF2) menjadi lebih baik dengan kemunculan Farah. Tidak banyak yang membantu kecuali range vokal Farah dan Amylea kedengaran agak sama rata. Amat mengkagumkan persembahan ini apabila masing-masing sedar ruang yang perlu mereka kuasai untuk memberikan sebuah persembahan yang mantap.

Konsert 09 AF3

Menuju Puncak
Bayangkan Menuju Puncak dengan hanya empat orang di atas pentas. Menuju Puncak bakal menjadi begitu hambar dengan koreograf yang masih sama tanpa banyak perubahan yang telah dilakukan. Nyata perlu dilakukan sesuatu terhadap koreograf lagu tersebut. Buat susunan lagu yang baru apa salahnya. Menuju Puncak Broadway pernah dibuat, bagaimana dengan Menuju Puncak Asli, Menuju Puncak Gamelan, Menuju Puncak Bali, Menuju Puncak Integrasi Muhibbah (Melayu, Cina, India, Sabah & Sarawak). Sebelum keputusan diumumkan, momen paling diingati tentulah apabila kesemua enam pelajar berdiri di atas pintu platform beg agar tidak dibuka. Namun demikian, realitinya harus diterima. Platform dibuka. Dua beg muncul di atas pentas. Felix pertama sekali diumumkan berjaya ke Konsert Final. Seketika kemudian nama Yazer diumumkan menjadi pelajar yang pertama tersingkir pada malam tersebut. Mawi kemudiannya diumumkan untuk terus mara ke Konsert Final dan fenomena Mawi sememangnya tidak dapat dinafikan. Marsha mengikut jejak langkah Mawi walaupun pernah tersingkir di Konsert Prelude. Hanya tinggal Kefli dan Amylea. Nama Kefli diumumkan sebagai pelajar kedua tersingkir pada malam tersebut dan menjadikan Amylea sebagai pelajar keempat terpilih ke Konsert Final.

Konsert 09 AF3

Didn’t We Almost Have It All - Bekas Pelajar Akademi Fantasia 2/10
Apa sudah jadi ? Sebuah lagu yang sedap akhirnya menjadi medan pertarungan syok sendiri untuk mempamerkan kehebatan vokal masing-masing lalu yang hanya didengar adalah jeritan-jeritan yang membingitkan. Setiap pelajar cuba mencanangkan “Lihatlah dunia ! Akulah yang paling layak untuk Anugerah Vokal Terbaik. AFVOKAL lah aku !” Lagu tersebut bermula dengan baik dan dimulakan oleh Aidil akhirnya menjadi hancur apabila bekas pelajar perempuan berusaha sedaya upaya mereka untuk menyerlahkan diri mereka berbanding bekas pelajar lain. Lagu tersebut sewajarnya menjadi antara kenangan paling manis setelah keputusan empat pelajar ke Konsert Final telah diumumkan. Dalam emosi yang berbaur-baur, setiap bekas pelajar harus menggunakan platform tersebut untuk mengingatkan pengundi mereka agar terus mengundi mereka bukannya membenci mereka.

Ranking sultanmuzaffar
Medley Tribute to Adnan Abu Hassan 9/10
Amylea - Gemilang 8/10
Medley Tribute to M.Nasir 7/10
Mawi - Pergi Tak Kembali 6.5/10
Felix - Anak 6.4/10
Yazer - This Love 6/10
Marsha - Ku Pendam Sebuah Duka 5/10
Kefli - Tak Tahu 4/10
Didn’t We Almost Have It All - Bekas Pelajar Akademi Fantasia 2/10

Imbasan 09 Akademi Fantasia
Tetamu : Madam Zora, Farah AF2, Suraya Al-Attas
Pelajar : Yazer, Kefli dan keluarga
Pesrsembahan : I’m Ready For Love & Berhenti Berharap

Kedudukan Selepas Konsert
Mawi 31%
Felix 22%
Amylea 15%
Marsha 13%
Yazer 11%
Kefli 8%

Ada usaha untuk menaikkan peratusan Kefli dan Yazer. Jika dilihat kepada usaha tersebut, ternyata ia merupakan satu usaha yang bersungguh-sungguh kerana mampu menjatuhkan peratusan undian Mawi sebanyak 5%, Felix sebanyak 1%. Ini menunjukkan para peminat Kefli dan Yazer mampu menaikkan peratus undian secara tiba-tiba dan mampu untuk merobohkan benteng peminat Mawi sebanyak 5%. Manakala Felix hanya dapat bertahan dengan sebanyak 1%. Jika mahu, kita mampu untuk merobohkan benteng tersebut dalam keadaan sekarang bila mana peratus undian tidak ditayangkan. Kini, semua peminat Akademi Fantasia ibarat orang buta yang mengundi tanpa tahu arah tujuan mereka. Mereka hanya perlu mengundi dan terus mengundi tanpa mengetahui peratusan undian. Satu taktik yang bagus dari Astro dan pernah dicadangkan sejak Akademi Fantasia 1 dan 2.

Ulasan Lain :
Javardkent
Klubbkidd
Elkapitan
Dah Demam

Entri oleh sultanmuzaffar 29 July 2005 0 komen

Konsert 08 AF3

Diari Akademi Fantasia Minggu 09 Episod 09
Persembahan dari Kefli agak membosankan. Beliau tidak menggunakan kelebihan badan yang kecil itu untuk menggunakan keseluruhan pentas. Beliau banyak terganggu dengan lirik lagu tersebut. Pergerakannya terbatas. Tabiat menjilat bibir masih diteruskan walaupun setelah minggu kesembilan. Cikgu Marlia dan Pengetua M.Nasir nampak kebosanan. Memang Kefli nampak tidak begitu berkeyakinan dengan lagu tersebut. Dalam sesi latihannya, step tariannya banyak ditinggalkan. Lagu rap Tak Tahu perlu ada attitude. Kalau Adam yang bawa, memang seluruh pentas akan beliau kuasai. Adam sudah biasa, Kefli perlu mencontohi Adam.Kefli semacam kaku dan tidak mahu berinteraksi dengan penonton. Beliau tidak mengajar penonton untuk sama-sama masuk ke dalam lagunya. Ekspresi wajahnya juga tidak memikat. Beliau perlu belajar lebih lagi untuk menjadi rapper yang baik. Gaya rappers sudah ada, cuma Kefli kena lebih berani.

Persembahan permulaan Mawi memang membosankan. Sekadar berdiri tegak dan menyanyi. Persembahan vokal memang tiada yang uniknya tetapi beliau saya lihat berjaya menghayati lagu tersebut kerana lagu tersebut memang kesukaannya. Lagu kesukaannya tetapi saya melihat tiada apa yang unik yang berjaya dipertontonkan kepada saya. Felix bertanya sama ada boleh bergoyang atau tidak untuk lagu tersebut. Pengetua M.Nasir pun semacam tidak tahu untuk menjawab apa. Apabila Pengetua menjawab, Felix semacam malu-malu. Nampak ceria tetapi tidak ceria sangat. Menurut Marsha, banyak nyanyian Mawi yang tidak melontarkan vokalnya ke hadapan. Kalau sekadar ini yang dipertontonkan, ia belum cukup lagi.

Marsha mengambil tugas sebagai pengacara pada minggu ini. Perangai gila-gila Marsha menyerlah apabila mengacau semua pelajar. Antaranya Felix yang ditanya tentang perasaan setelah terkeluarnya “A” bukan nama sebenar. Mawi pula dikacau dengan duduk berdekatan dengannya.

Pengetua M.Nasir nampaknya kurang berpuas hati dengan persembahan Mawi. Beliau tidak nampak kehebatan Mawi membawakan lagu tersebut. Nyanyiannya sudah baik tetapi tidak diiring dengan gerak yang bersesuaian. Persembahan Mawi masih kurang x-faktor yang betul-betul dapat mengkagumkan penonton. Mawi diarahkan naik ke atas dan mengulang persembahannya. Beliau kemudiannya perlu memberikan persembahan ulangan.

Rupa-rupanya muncul Rabbani untuk membantu mencantikkan persembahan Mawi. Mawi memberikan ideanya untuk permulaan lagu tersebut iaitu dengan menyebut kalimah Lailahaillallah sebelum muzik masuk. Menurut Ustaz Asri, Mawi perlu pandai mencuri nafas agar memperlihatkan nyanyiannya lebih dinamik. Perubahan note ke bahagian tinggi perlu dilakukan dengan lebih bertenaga agar lebih bagus. Ini hanya boleh dicapai dengan teknik pernafasan yang betul. Mesej lagu ini mengingatkan penonton agar mati dalam keadaan yang baik.

Setelah selesai bantuan dari kumpulan Rabbani, persembahan Mawi lebih baik pada kali ini. Permulaannya agak tinggi dan bahagian seterusnya agak bernada rendah. Nampak macam tidak seimbang. Soalan Felix dijawab oleh Ustaz Asri yang menyatakan tidak salah untuk melakukan gerakan-gerakan yang bersesuaian untuk lagu nasyid. Pergerakan tersebut untuk lebih mendapatkan penghayatan dan kekuatan pada nyanyiannya.

Ustaz Asri menasihatkan Mawi agar jangan mematikan lirik lagunya dengan note yang rendah, lebih menarik sekiranya ia dibiarkan tinggi. Idea ini bakal memberikan kehebatan pada vokal Mawi dan dinilai keupayaannya.

Amylea ke Small Wonders Children House
Sekali lagi seorang pelajar Akademi Fantasia dibenarkan untuk keluar. Kali ini peluang tersebut diberikan kepada Amylea. Amylea telah diberikan peluang untuk ke Small Wonders Children House, rumah penjagaan kanak-kanak. Amylea berpeluang untuk melepaskan rindunya kepada adik-adiknya yang telah lama tidak ditemui olehnya. Memang nampak gembira Amylea apabila mendapat peluang tersebut. Mereka saling berpelukan dengan kanak-kanak yang ada di situ. Ada juga yang telah melukis gambar Amylea berbadankan Mr. Bola-Bola. Kanak-kanak tersebut juga menari bersama Amylea lagu Menuju Puncak. Sebelum pulang, Amylea membacakan mereka buku cerita dan mereka pun tertidur beramai-ramai.

Konsert 08 AF3

Diari Akademi Fantasia Minggu 09 Episod 10
Diumumkan Anuugerah Vokal Terbaik untuk dipertandingkan di antara 14 pelajar Akademi Fantasia. Pemenang anugerah tersebut bakal ditentukan dengan undian SMS oleh penonton. Taip AFVOKAL dan hantar ke 32999 ! Saya melihat ini adalah satu cubaan untuk memecahkan undian Mawi. Namun demikian, apa pun nama anugerah tersebut, saya tetap tidak bersetuju.

Pokok Kelapak Unplugged
Kesemua pelajar berkumpul di hadapan Tipah Tipah sambil menyanyikan lagu Pokok Kelapak dalam versi unplugged. Yazer bermain gitar untuk lagu tersebut. Nyanyian kesemua pelajar masuk dengan lagu tersebut kecuali vokal Kefli yang kasar tiba-tiba. Pada bahagian seterusnya hanya tinggal Marsha dan Amylea yang membawakan lagu tersebut dalam gaya soprano seperti yang sering saya tonton dalam opera. Kefli pula menjadi konduktor.

Maybank2u.com !
Cikgu Fatimah Abu Bakar menunjukajar para pelajar tentang penggunaan Maybank2u.com, sebuah aplikasi perbankan internet. Tanpa perlu pergi ke bank, para pelajar boleh melakukan pelbagai transaksi seperti membayar bil, memindahkan wang ke akaun lain dan melihat baki akaun. Nampak tercengang-cengang pelajar melihat kemudahan tersebut. Amylea nampaknya sudah biasa dengan penggunaan aplikasi tersebut. Kefli bertanya lebih lanjut mungkin kerana ini kali pertama mereka menggunakannya.

Mungkin pada musim akan datang, para pelajar boleh ditunjukkan dengan blog-blog Akademi Fantasia yang wujud untuk membaca komen-komen yang ada pada blog tersebut. Mereka seharusnya bersedia untuk membaca komen-komen baik positif atau pun yang negatif. Melihat bagaimana kemudahan internet dapat menaikkan nama pelajar dan menjatuhkan nama pelajar. Mereka seharusnya tidak gentar kerana pada Penyanyi Nombor Satu Malaysia, internet juga merupakan racun buatnya. Mereka perlu bersedia.

Kelas Motivasi Dr Azahari
Kali ini kelas motivasi Dr. Azahari hanya sekadar bertanya pengalaman pelajar selama seminggu. Apakah yang telah berlaku selama seminggu, baik yang pahit atau yang manis. Mawi menyatakan pengalaman pahitnya yang tidak sihar, selsema, ruam dan sakit tekak mungkin kerana silap makan. Pengalaman manisnya apabila mendapat lagu nasyid. Kejutan untuknya apabila Ustaz Asri dan kumpulan Rabbani membantunya mencantikkan lagi lagu tersebut. Selain daripada itu, perhubungannya dengan semua pelajar semakin rapat. Marsha contohnya menjadi semakin tidak betul.

Pengalaman manis Kefli ialah apabila mendapat lagu rap. Manakala pengalaman pahitnya apabila dibrainwash oleh Pengetua kerana tidak memberikan yang terbaik pada lagunya. Namun demikian, beliau tetap mengambil setiap teguran tersebut sebagai sesuatu yang positif.

Komen Terakhir Tenaga Pengajar
Sebelum memulakan sesi persembahan terakhir di hadapan Pengetua dan Tenaga Pengajar, Yazer dan Amylea telah menerima hadiah setelah menyelesaikan tugasan-tugasan luaran mereka dengan baik. Yazer telah ke Rumah Seri Kenangan dan Amylea telah ke Small Wonders Children House. Yazer mendapat sebuah patung dan Amylea mendapat sebuah bantal.

Persembahan Medley Lelaki
Nyanyian Ekspres Rakyat masih sebuah persembahan yang biasa. Persembahan vokal mereka adakalanya harmoni, adakalanya tidak. Persembahan tarian mereka nampak kebudak-budakkan dengan formasi seperti keretapi. Nyata Pengetua kurang berpuas hati dengan persembahannya, lebih-lebih lagi ia adalah lagu beliau.

Pertemuan dengan Cikgu Ee
Masih ingat bagaimana Felix melambung pembesar suaranya dalam lagu Hukum Karma ? Pada mulanya, tenaga pengajar tidak membenarkannya tetapi setelah ditanya sekali lagi kepada Cikgu Ee, beliau telah menasihatkan pelajar agar membuat mengikut keselesaan.

Bagaimana untuk membuat persembahan mengikut keselesaan, lebih-lebih lagi dalam sebuah persembahan berkumpulan. Keselesaan apa yang dimaksudkan ? Apakah setiap pelajar bebas untuk melakukan apa-apa sahaja gerakan yang mereka berasa selesa lakukan ? Melakukan mengikut keselesaan hanya sesuai untuk persembahan individu.

Persembahan Medley Perempuan
Gandingan dua orang pelajar perempuan ini sememangnya amat sesuai sekali. Ia mengingatkan saya kepada gandingan Jaclyn Victor dan Dina, serta Fantasia Barrino dan Diana DeGarmo. Persembahan vokal mereka sememangnya mantap. Mereka harus melebihkan lagi interaksi mata antara mereka dan memberikan penghayatan lagunya kepada penonton.

Surat Wasiat Terakhir !
Marsha menyerahkan tugas membaca surat wasiatnya kepada Amylea. Amylea pula menyerahkannya kepada Felix dan Marsha. Yazer meminta Kefli membacakan surat wasiatnya dan sebaliknya. Mawi masih setia dengan Felix dan sebaliknya.

Apa akan jadi sekiranya Yazer dan Kefli yang tersingkir pada minggu ini. Siapakah yang akan membacakan surat wasiat mereka. Tentunya empat orang pelajar akan sama-sama membacakan surat wasiat tersebut.

AFDIARI Episod 90 ke 32999 : Untuk Diari Terbaik Musim Ini
Tayangkan klip ini esok di Konsert esok ! Saya mahu merasakan aura sedihnya di stadium malam esok.

Perasaan sedih tiba-tiba hadir apabila menonton penghujung Diari episod 90 pada malam ini. Ia seperti menonton Diari episod 100. Memang terasa perubahan pada emosi apabila mendapat tahu pada awal minggu ini tentang bakal penyingkiran 2 orang pelajar. Siapa yang tidak terkejut dengan keputusan Akademi Fantasia, walaupun ia memang telah dijangka. Ia dilakukan seakan-akan diragut keakraban enam orang pelajar itu daripada mereka. Ikuti transkrip yang diperolehi dari Diari Extended 29 Julai 2005 1120-1220.

Kita sudah hampir sampai ke destinasi kita, saya kira ini minggu ke sembilan. Ini konsert terakhir kita bersama. Minggu depan hanya ada empat orang pelajar di Akademi.

Saya sedar selepas pengumuman Pengetua pada hari Selasa, mata semua orang tiada sparkle. Kita semua kena kuat, walaupun anda terkilan dan sedih dengan keputusan tersebut. Saya juga terkesan dengan keputusan tersebut.

Saya mahu kita semua gunakan semua ilmu yang anda dapat di Akademi. Gunakan sebaik mungkin untuk malam esok kerana sesiapa yang meninggalkan kumpulan ini adalah pemenang. Tiada siapa yang akan kalah kerana kita semua adalah pemenang. Saya mahu semua orang janji, bukan bangga dengan Tenaga Pengajar dan buat Tenaga Pengajar bangga dengan apa yang sudah anda pelajari.

Tiada apa yang boleh jatuhkan semangat anda semua, kerana anda sudah dapat yang terbak daripada kami. Saya harap anda akan gunakan semua ilmu yang anda dapat bukan untuk malam esok tetapi untuk masa depan.

Tiada yang kalah, kita semua adalah pemenang !

Komen Peribadi
Hari ini baru ada diantara kita yang terkenang-kenang zaman AF2 yang penuh dengan sifat harmoni dan saling hormat-menghormati sesama kita di dalam ruangan komen blog ini. Saya lebih senang dan terasa amam membaca komen-komen dahulu berbanding sekarang. Musim ini ia ditulis dengan penuh emosi, kebencian, suka dan sebagainya.

Adakalanya, manusia tidak pernah mahu maju malah mereka lebih melangkah ke belakang. Bukan untuk menilai kesilapan lama tetapi menambah kesilapan baru.

Ramalan Penyingkiran
Saya seboleh-bolehnya ingin melihat Mawi, Felix, Marsha dan Amylea beraksi di Konsert Final pada hujung minggu depan. Merekalah empat pelajar yang telah menunjukkan peningkatan dan perubahan serta mencipta fenomena di dalam Akademi Fantasia. Sukar untuk saya bayangkan sekiranya keputusan yang bakal diumumkan oleh Aznil tidak memihak kepada pilihan saya. Saya telah menyediakan RM60 untuk Marsha dan Amylea !

Blog Picisan
Susulan daripada komen saya dan nizamzakaria kepada artikel tulisan Azhan Jusoh di dalam artikel bertajuk Rimas gelagat masyarakat minat persoal isu picisan, turut memberikan komen ialah dunia-vovin dalam artikel bertajuk Pasal Blogger AF yang 'Picisan' dan gurisan intaglio dalam artikel bertajuk || PICISANKU ||. Artikel lain yang membincangkan topik yang sama boleh dibaca di Detik Jantung Waktu dalam artikel bertajuk Non-Conventional Malay Blog dan oleh Fiqarash bertajuk Blog Picisan.

Kredit Animasi : Klubbkidd ! Anda juga boleh dengarkan lagu-lagu tugasan pelajar-pelajar versi original dn nilaikan persembahan pelajar-pelajar malam ini dengan lebih arif ! Undi dengan BIJAK !

Entri oleh sultanmuzaffar 28 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 09 Episod 07
Susulan daripada komen saya dan nizamzakaria kepada artikel tulisan Azhan Jusoh di dalam artikel bertajuk Rimas gelagat masyarakat minat persoal isu picisan, turut memberikan komen ialah dunia-vovin dalam artikel bertajuk Pasal Blogger AF yang 'Picisan' dan gurisan intaglio dalam artikel bertajuk || PICISANKU ||.

Komen lain :
Non-Conventional Malay Blog

Saya tidak menonton diari ini kerana keluar makan sambil merancang strategi mengundi pada minggu ini. Pilihan saya Felix, Amylea, Marsha dan Mawi ke Konsert Final. Ulasan lebih terpeinci selanjutnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata.

Diari Akademi Fantasia Minggu 09 Episod 08
Siapa Yang Layak Bersama Mereka Ke Final ?
Amylea menyebut nama Marsha dan Felix. Yazer pula menyebut nama Amylea dan Felix. Kemudian beliau turut menyebut nama Marsha dan Mawi setelah menyedari akan kontroversi yang bakal menyusul. Mawi menyebut nama Kefli dan Marsha, setelah pilihannya Felix, Yazer dan Kefli bukan seperti yang diarahkan iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Kenapa Kefli dan bukan sahabat baiknya ? Felix menyebut nama Yazer dan Amylea. Kenapa Yazer dan bukan kawan baiknya ? Marsha menyebut nama Amylea dan Felix. Kefli menyebut nama Marsha dan Yazer.

Pelik apabila kawan baik tidak menyebut nama kawan baik sendiri. Mereka sedar yang mereka di dalam sebuah pertandingan. Maka tentunya mereka mahu yang tidak kuat menjadi saingan mereka. Seperti di dalam Survivor, tentunya kita akan memilih peserta yang kurang dari segi kekuatannya berbanding kita untuk dijadikan saingan di Final Two. Ini juga nampaknya berlaku di dalam Akademi Fantasia.

Mawi secara tersirat memilih Kefli dan Marsha menjadi saingannya. Manakala Felix memilih Yazer dan Amylea menjadi saingannya. Tidak ada seorang pelajar pun menyebut nama Mawi. Baik bekas pelajar yang berada di luar, mahupun pelajar yang masih berada di dalam. Kerana mereka sedar sokongan yang besar yang diperolehi oleh Mawi.

Sekiranya saya harus memilih saingan saya, sudah tentu saya akan pilih pelajar yang lemah daripada saya untuk dijadikan saingan. Saingan yang melebarkan lagi peluang kita untuk menang. Maka tidaklah mengejutkan saya sekiranya Mawi memilih Kefli dan Marsha, dan Felix memilih Yazer dan Amylea sebagai saingannya.

Kebanyakan pelajar memilih nama Felix dan Yazer sebagai pilihan mereka kecuali Mawi yang memilih Kefli. Manakala Marsha dan Amylea mendapat pilihan yang sama rata. Mereka sesama sendiri tentunya tahu menilai siapa yang lebih layak, tetapi dalam Akademi Fantasia, undian terletak di tangan penonton.

Benar-benar mengejutkan saya apabila mereka diarahkan untuk memberitahu pilihan mereka di hadapan kamera. Ia semacam satu usaha untuk melaga-lagakan pelajar dan juga peminat-peminat pelajar. Diambil dari sudut positif, para peminat boleh melihat usaha ini sebagai satu alarm clock kepada mereka agar tidak terlena dari tidak mengundi pelajar pilihan mereka.

AFVOKAL
Buang masa ! AFVOKAL diwujudkan untuk memberi peluang kepada 14 orang pelajar Akademi Fantasia untuk meraih Anugerah Vokal Terbaik. Pemilihan dibuat berdasarkan undian SMS. Sekiranya yang demikian, anugerah tersebut wajar diberikan nama Anugerah Vokal Popular dan bukannya Terbaik. Siapa penonton untuk menilai yang terbaik. Penonton hanya layak untuk menilai yang paling popular.

Entri oleh sultanmuzaffar 27 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 09 Episod 05
Masih teruja dengan CSI : Season Finale ! Selain daripada itu, masa banyak dihabiskan dengan merancang konspirasi dan strategi untuk mengundi pada konsert minggu ini. Ulasan lebih terpeinci selanjutnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata.

Saya terpanggil untuk memberikan perspektif saya tentang artikel Rimas gelagat masyarakat minat persoal isu picisan.

Kata Azhan Jusoh,
Rata-rata blog ini adalah kepunyaan kaum Melayu yang mempunyai pekerjaan tetap. Saya hairan, mana mungkin mereka punyai begitu banyak masa untuk menulis perkara-perkara remeh sedemikian melainkan jika menggunakan masa di pejabat untuk berbuat demikian.

Kata sultanmuzaffar,
Saya tahu menyusun masa saya dengan teratur. Saya tahu bila waktu bekerja, bila waktu bersantai, bila waktu tidur. Jangan salahkan apa yang saya buat semata-mata kerana anda gagal untuk menyusun masa anda dengan baik. Lebih-lebih lagi bila anda tidak mampu melakukan apa yang telah saya lakukan. Jangan disamakan dunia saya dengan dunia anda. Dunia kita berbeza. Jika dunia anda sekadar bangun pagi, pergi pejabat, balik pejabat dan tidur, jangan salahkan saya jika dunia saya mampu melakukan lebih daripada itu.

Kata nizamzakaria,
Mengapa bangsa si penulis dijadikan isu? Tidakkah dia sedar (okay, kita tahu dia memang sengaja buat tak sedar), bahawa di antara penulis blog AF yang paling berketerampilan adalah penulis bukan Melayu? (dan saya berbangga sebagai rakyat Malaysia bahawa perkara ini dapat saya disaksikan apabila berlakunya jurang bangsa yang semakin hari semakin menjadi-jadi di negara ini). Apa yang ingin saya persoalkan di sini adalah; kenapa perlu wujudnya sikap rasis seperti ini? Mengapa orang-orang seperti Jusoh ini sering mengetepikan bangsa bukan Melayu di Malaysia (di dalam perbincangan mereka, kali ini melibatkan soal pembangunan negara), seolah-olah mereka tak wujud sama sekali? Mengapa di dalam kenyataan seterusnya dia menebalkan lagi sentimen-sentimen Melayu dan bukan bangsa Malaysia secara keseluruhan? Adakah dia ingin mengatakan bahawa AF ini hanya ditonton secara eksklusif oleh ORANG MELAYU SAHAJA? Perkara ini tidak benar sama sekali kerana ramai rakan-rakan saya dari golongan bukan Melayu yang menonton rancangan AF ini (sudah dua kali musim ini saya menonton konsert AF di kaca TV dengan seorang rakan berbangsa Cina yang berasal dari Pulau Pinang).

Kata Azhan Jusoh,
Kaum Melayu haruslah bangkit dan menyalurkan daya kreativiti mereka untuk menaiktarafkan daya pemikiran dan daya saing mereka sendiri sejajar dengan hasrat pertubuhan UMNO untuk menjana Melayu Glokal - yang mampu berdiri di atas kaki sendiri dan tidak takutkan kepada persaingan tempatan atau global.

Saya menyeru kepada mereka yang terlibat ini, gunakanlah fikiran kamu seadanya untuk terus memartabatkan bangsa. Banyak lagi isu semasa yang boleh dikupas untuk tujuan perbahasan bersama.

Kata sultanmuzaffar,
Inilah Melayu Pasca Mahathir. Yang hanya tahu mencari silap dan membebel tetapi duduk terkangkang tidak buat apa. Saya cabar untuk melihat blog anda dan berbicara tentang isu-isu tersebut. Setakat jam 12 tengah malam, keputusan carian di Google apabila saya menaip “Azhan Jusoh”, masih kosong. Kita mulakan dulu, apa salahnya. Melayu jenis ini, akan berasa iri hati apabila ada pihak yang telah melakukannya. Lebih menyakitkan hati mereka apabila formula orang lain berjaya.

Kata nizamzakaria,
Ye lah, kalau saya nak sarankan satu-satu perkara, saya akan MELAKUKANNYA DAHULU. Saya tak mahu lah pula jadi jenis manusia Melayu yang hanya tahu bercakap (dan bergoyang kaki dalam masa yang sama) tapi tak mahu melakukannya sendiri. Ketika saya mahu memulakan revolusi penulisan kritikan seni, saya melakukannya di dalam blog saya. Ketika saya mahu berganjak mengajak anak-anak muda agar menulis novel, saya menjadikan blog saya sendiri sebagai contoh bahawa perkara ini dapat dilakukan selagi ada daya.

Diari Akademi Fantasia Minggu 09 Episod 06
Terus hilang mood saya untuk mengulas Diari pada malam ini. Lebih-lebih lagi kerana masih teruja setelah menonton CSI : Season Finale. Menonton CSI : Season Finale lebih hebat penangannya berbanding menonton Akademi Fantasia. CSI : Season Finale pun ada housecam. Menarik sekali.

Kelas Tarian Cikgu Ee
Tarian untuk lagu medley lelaki memerlukan mereka menari dengan formasi keretapi untuk lagu Ekspres Rakyat. Pergerakan Kefli nampak malas dan Mawi masih memegang lirik. Sementara itu, di tingkat atas, Amylea dan marsha berlatih lagu medley mereka pula.

Kelas Seni Persembahan Cikgu Marlia
Yazer mendapat lagu yang menjadi kegemarannya. Saya tidak begitu risau dengan persembahannya. Sekiranya beliau ingin memberikan persembahan yang lebih baik, beliau perlu menjaga staminanya. Berikan persembahan yang bertenaga.

Cara Marsha membawakan lagu tersebut mengikut gayanya yang tersendiri. Saya agak suka dengan lenggok yang beliau gunakan. Persembahannya sekadar berdiri sahaja untuk menampilkan imej elegan pada persembahannya.

Pengumuman Pengetua
Berjanji pada saya yang anda akan terus berusaha. Tidak merasa kecewa dan terus rajin menimba ilmu. Dalam bidang ini, ilmu amat penting. Pada Konsert minggu ini akan dilakukan dua penyingkiran. Kesemua pelajar terdiam. Walaupun dua orang pelajar bakal tersingkir pada minggu ini, mereka perlu memberikan persembahan yang terbaik.

Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Mawi dan Felix boleh saya sifatkan sudah selesa di carta paling atas. Taruhan dua tempat berpihak antara Marsha, Amylea, Yazer atau Kefli. Bagaimana sekiranya Marsha dan Amylea tersingkir dan empat pelajar lelaki terpilih ke Konsert Akhir ? Bagaimana pula sekiranya Yazer dan Kefli pula yang tersingkir ? Saya berpuas hati walaupun sedikit terkilan kerana Yazer tidak dapat beraksi di Konsert Akhir. Mungkin juga Amylea dan Yazer tersingkir kerana benteng Kefli terlalu kuat sentiment simpatinya atau strategi menurut mereka.

Rata-rata kesemua pelajar terkejut, sedih, terperanjat dengan keputusan tersebut. Apa boleh buat, keputusan telah ditetapkan.

Kejutan Adam
Kadang-kadang geli hati juga apabila melihat Adam mengajar Kefli akan teknik pernafasan. Vokal Adam ternyata lebih baik daripada Kefli. Adam mengajar Kefli untuk mencantikkan bahagian-bahagian yang sukar. Adam ajar teknik whisper tu ! Gelak guling-guling. Makin poyo pun ada. Saya berbangga apabila melihat Adam mampu membawa dirinya dengan baik di hadapan kamera. Tahap keyakinan beliau amat tinggi. Bolehkah Kefli menari sehebat Adam ?

Entri oleh sultanmuzaffar 26 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 09 Episod 03
Sebuah artikel berkenaan Akademi Fantasia yang amat mendalam penyelidikan yang telah dilakukan untuk menyelami pemasalahan masyarakat dan organisasi, sila ke || EKSTRASI SENI BUDAYA FANTASI ||.

Antara petikan yang membuatkan saya terfikir,
Trend Akademi Fantasia ini memang menarik tetapi bukan kerana potensi pelajarnya, tetapi lebih kerana daya tarikan dunia pasaran yang amat bijak diterokai oleh pemodal atau kapitalis.

Pengalaman Yazer melawat Rumah Seri Kenangan dipaparkan di dalam Diari hari ini. Yazer kelihatan mencuci lantai, menyiapkan makanan, menyediakan makanan untuk para penghuni di situ. Yazer juga telah memberikan hadiah yang telah dikirimkan oleh rakan-rakannya kepada mereka. Kunjungan Yazer amat bermakna sekali apabila turut dibawa melawat ke dalam asrama penghuni tersebut.

Bayangkan banglo Akademi Fantasia dengan asrama penghuni Rumah Seri Kenangan. Jauh benar bezanya. Bayangkan makanan yang mereka makan. Dimasak menggunakan kawah. Amat tidak adil sekiranya pelajar di Akademi Fantasia tidak menunjukkan peningkatan yang kita mahukan. Apabila diulang tayang kepada pelajar yang lain, Yazer menyatakan yang pandangan setiap seorang dariapa penghuni di situ melihatnya seperti anak sendiri. Penghuni-penghuninya terdiri daripada pelbagai bangsa.

Yazer sempat berbual dengan salah seorang penghuni di situ. Beliau mempunyai 5 orang anak tetapi telah memilih untuk tinggal di situ. Sekali-sekala cucunya ada juga melawatnya. Kelihatan Marsha mengalirkan air-mata.

Untuk Akademi Fantasia 4, acara sebegini perlu dilakukan bermula dari minggu pertama. Ada banyak pilihan lawatan boleh dilakukan seperti rumah kanak-kanak spastic, down-syndrome, rumah anak yatim, rumah orang-orang tua dan juga tempat penjagaan binatang.

Tikus masuk ke dalam Akademi Fantasia. Amylea melompat. Marsha melompat. Cikgu Shahrol pun melompat.

Kelas Vokal Cikgu Adnan Abu Hassan
Latihan untuk lagu medley perempuan berlangsung dengan baik. Nampaknya nyanyian mereka sesuai dengan lagu-lagu tersebut. Pembahagian lirik turut dilakukan. Lagu Gubahan Rindu Puisi Syahdu turut dilatar oleh Felix dan Yazer. Lagu Bunga-Bunga Cinta, Jerat Percintaan dan Tangisan Dalam Kerinduan juga dibawakan oleh mereka dengan baik. Ini antara persembahan yang saya tunggu-tunggu kerana ingin melihat kebolehan dua orang pelajar perempuan membawakan lagu empat penyanyi perempuan yang berlainan latarbelakang vokal masing-masing.

Sebelum mengakhiri Diari, klip video Yazer ke Rumah Seri Kenangan ditayangkan sambil Felix menyanyikan lagu Anak.

Diari Akademi Fantasia Minggu 09 Episod 04
Korus Ghazal Untuk Rabiah sememangnya perlu dikekalkan momentumnya dalam lagu tersebut. Impak paling penting pada lagu tersebut adalah bahagian korusnya. Maka bahagian tersebut perlu dilakukan dengan baik dan dikekalkan punchingnya. Ia akan dilakukan mengikut susunan Mawi, Felix, Kefli dan Mawi. Segmen ini dibantu oleh Sham Kamikaze.
Kefli menerima perkhabaran buruk tentang kematian kawannya Azahar atau lebih dikenali sebagai Abang Panjang. Beliau mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allayarham.

Menuju Puncak
Koreografi Menuju Puncak pada minggu menampilkan keempat-empat pelajar melakukan aksi akrobatik. Sewaktu latihan, dipaparkan lenturan tangan kanan Marsha yang boleh dibengkokkan. Rata-rata kesemua pelajar telah dapat menarikan lagu Menuju Puncak dengan baik, yang perlu dibaiki hanyalah stail agar lebih cantik lagi. Felix melakukan banyak kesilapan dalam tarian tersebut. Banyak kali diulang lagu tersebut. Mungkin juga beliau hilang fokus agaknya.

Marsha - Ku Pendam Sebuah Duka oleh Khatijah Ibrahim
Marsha telah mendapat lagu baru iaitu Ku Pendam Sebuah Duka, lagu yang dipopularkan oleh Khatijah Ibrahim. Sebuah lagu evergreen yang pernah dipertandingkan di Juara Lagu. Lagu ini juga merupakan lagu tema drama Adam dan Hawa. Sebuah lagu penuh emosi untuk Marsha. Beliau berharap agar diberikan lagu Misha Omar atau lagu-lagu penyanyi baru. Pertukaran lagu Marsha dilakukan kerana masalah teknikal. Tentunya ia akan menjadi isu besar kepada yang tidak berpuas hati dengan Marsha.

Kelas Teknikal Vokal Cikgu Siti Hajar
Amylea seakan-akan didera untuk mendapatkan intonasi yang betul pada lagu Gemilang. Beliau perlu menyampaikan makna lagu tersebut dengan penuh penghayatan. Amylea telah menyampaikan makna lirik lagu tersebut walaupun adakalanya hilang beberapa patah perkataan. Menurut Cikgu Siti Hajar, apabila kita tidak boleh menghafal secara begini, makna kita tidak tahu mesej lagu tersebut. Memang sukar juga. Adakalanya Amylea akan menyanyikannya semula.

Pereka Pakaian Konsert Final
Seperti yang dijangkakan pada minggu ini akan hadir beberapa pereka fesyen untuk mereka pakaian pelajar untuk Konsert Final. Sama seperti musim lepas, mereka hadir untuk melakar idea dan berbincang dengan pelajar. Mereka terdiri daripada Izal Ismail, Wan Huzairil dan Amin Jauhary. Mereka akan mendapatkan idea dari pada pelajar dan kemudian akan menggabungkan idea-idea tersebut untuk menghasilkan rekaan terbaru untuk mereka. Imej yang dibentuk hendaklah sesuai dengan gaya bintang yang profesional. Tugas utama mereka adalah untuk menatarias seorang bintang. Izal Ismail bakal mereka untuk Marsha, Wan Huzairil mereka pakaian Kefli dan Amin Jauhary mereka pakaian Amylea.

Marsha inginkan pakaian seperti evening gown. Sekiranya boleh mempunyai leher yang luas dan tidak terlalu kecil. Kefli pula inginkan yang lebih formal tetapi tidaklah terlalu nampak baik sangat. Seluarnya lebih longgar dan tidak terlalu ketat. Sekiranya ada, ingin jaket disertakan sekali. Pakaian Kefli mempunyai stail Hong Kong. Warna bajunya ialah merah dan seluarnya hitam Sama pula warnanya dengan pakaian Adam di Konsert Final musim lepas. Amylea agak sesuai dengan fabrik-fabrik jenis lembut dengan menggunakan warna-warna yang hangat. Sekiranya dapat disesuaikan dengan angin pada malam persembahan tentu akan lebih menarik.

Bakal menjadi satu topik konspirasi apabila Mawi, Felix dan Yazer tidak mendapat rekaan pakaian mereka pada hari tersebut. Tentunya pereka pakaian untuk mereka lebih hebat. Saya menjangkakan Bill Keith, Salikin atau Bernard Chandran akan hadir untuk mereka. Tentunya pereka pakaian untuk Mawi dan Felix datang dari mereka yang hebat dalam bidang tersebut kerana kedua-duanya bakal pemenang utama.

Khas untuk peminat Akma & Felix,
Kini dibuka untuk pendaftaran Jiwang United !

Aidilistic
Atas permintaan Aidil, sebarang email kepada beliau hendaklah dialamatkan ke aidilistic@yahoo.com. Laman web Aidil iaitu Aidilistic sedang dalam pembikinan. InsyaAllah akan mula beroperasi pada bulan Ogos. Terima kasih di atas sokongan anda kepada Aidilistic !

Kenangan Akademi Fantasia 3
5 Kejutan Paling Best:
1. Kejutan Aidil heart attack!
2. Kejutan tudung Mawi world
3. Kejutan birthday surprise Cikgu MM.
4. Kejutan background black & white masa lagu Aidil
5. Kejutan Siti Nurhaliza

5 Scene Yang Paling Kelakar:
1. Mawi berlakon Ibu Mertuaku versi BI
2. Masa main game observation dalam kelas Cikgu MM
3. Scene Felix main sembunyi-sembunyi dengan Tipah Tipah.
4. Scene Marsha goda Mawi masa lepas lunch
5. Scene masa Felix & Marsha berlakon jadik waiter kat warung nak pujuk amylea yang tengah bersedih

5 Scene Yang Paling Sedih:
1. Ucapan Hari Bapa oleh students
2. Amylea menangis sepanjang hari selepas kena tegur dalam meeting
3. Bila Idayu tersingkir
4. Bila Aidil tiba-tiba rebah unexpectedly
5. Scene Akma dengan Dr Love citer pasal dia sedih bila mak dia tak datang konsert sbb mungkin malu pasal kes dia & amylea

ada lagi ? Jom tambah !

Entri oleh sultanmuzaffar 25 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 09 Episod 01
Surat Wasiat Akma
Akma : mahal kita (i love you)
Felix : mahal na, mahal kita (i love you very much)

Touching ! Wah ! Saya dah jadi juvi matching-matching pelajar. Tetapi pasangan Felix dan Akma ini agak berlainan dari Rosma & Khai, Burn & Nana, Adam & Farah, Edlin & Anding dan Yazer & Ekin. Pasangan-pasangan yang lain nampak begitu dibuat-buat. Pasangan Akma dan Felix nampak lebih matang dan agak terbuka. Itu yang menyebabkan ia nampak begitu natural.

Adakah wajar sekiranya saya tukar gambar Mawi kepada gambar Akma untuk yahoogroup Malix ? Apakah mungkin berlaku rusuhan kerana pertukaran tersebut ?

Ulasan lebih terpeinci selanjutnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata.

Kejutan Jamal Abdillah
Memang berubah muka Amylea dan Akma melihatkan rakaman video kemunculan Jamal Abdillah ke hostel lelaki. Mereka berbisik-bisik tertanya-tanya bilakah waktunya Jamal hadir ke hostel tersebut. Jamal turut mengucapkan selamat kepada pelajar perempuan. Marsha menyifatkannya tidak adil. Sekiranya dibandingkan dengan pelajar lelaki, kejutan untuk pelajar perempuan adalah bertemu dengan ahli keluarga mereka di atas pentas tentunya lebih beharga daripada kejutan bertemu dengan Jamal Abdillah. Marsha & Amylea, tidak ada apa yang perlu dicemburukan. Peluang anda bertemu dengan keluarga lebih berharga.

Diari Akademi Fantasia Minggu 09 Episod 02
Lagu Bonus
Perempuan - Medley Jerat Percintaan (Siti Nurhaliza), Bunga-Bunga Cinta (Misha Omar), Tangisan Dalam Kerinduan (Farah AF2) dan Gubahan Rindu Puisi Syahdu (Fauziah Latif)
Lelaki - Medley Ghazal Untuk Rabiah (Jamal Abdillah dan Nasir), Apokalips (M.Nasir), dan Ekspres Rakyat (Kembara)

Lagu Baru Individu
Yazer - This Love (Maroon 5)
Kefli - Tak Tahu (Adam AF2)
Mawi - Pergi Tak Kembali (Rabbani)
Marsha - These Boots Are Made For Walking (Nancy Sinatra)
Felix - Anak (Freddie Aguilar)
Amylea - Gemilang (Jaclyn Victor)

Permintaan Pelajar
Kefli berharap agar Adam AF2 ditampilkan untuk mengajarnya rap. Amylea pula bertanya tentang note paling tinggi yang boleh dicapai oleh Marsha. Amylea berasa agak gusar kerana tidak dapat membawakan bahagian paling tinggi lagu Gemilang. Marsha berharap agar ahli keluarganya dapat hadir pada minggu ini memandangkan ini merupakan minggu terakhir sebelum Konsert Final.

Mesyuarat Tenaga Pengajar
Menurut Pengetua M.Nasir, secara keseluruhan persembahan konsert pada minggu lepas memang menghiburkan kerana ia telah direka bentuk sedemikian. Ini adalah berdasarkan susunan giliran persembahan, kejutan-kejutan yang dirancang yang telah mencapai kemuncak pada waktu yang tepat. Dalam sebuah konsert sekiranya lagu disusun dengan baik dan kejutan dibuat dengan betul, tentu akan menjadikan sesebuah konsert itu lebih menghiburkan. Rata-rata semua pelajar telah memberikan persembahan mereka yang terbaik. Sekiranya dinilai dari individu, persembahan mereka masih 50/50. Ia masih belum melepasi standard yang mereka inginkan.

Puji-Pujian Felix
Fanatiklah tu ! Siap letak topik khas. Menurut Cikgu Adnan, Felix seorang yang unik. Menurut Cikgu Fatimah pula, Felix mempunyai kredibiliti yang berada pada kelasnya yang tersendiri. Beliau mampu membawakan lagu dangdut, rock, pelawak, apa sahaja. Beliau boleh menghasilkan sebuah album dangdut, sebuah album rock, sebuah album balada, album lawak dalam komitmen yang tinggi dan bukan sekadar main-main. Kita tunggu sahajalah hasilnya kelak. Apa yang berlaku di dalam Akademi Fantasia belum tentu mencerminkan apa yang berlaku di luar sana kelak. Contoh paling dekat, Rosma dan Nana di AF1, Mas dan Adam di AF2.

Pujian lagi dari Cikgu Fatimah, Felix tidak overshadow persembahan pelajar lain. Beliau ternyata bijak mengawal dirinya dan sekiranya beliau mahu untuk mencuri tumpuan, beliau mampu melakukannya tetapi beliau tidak melakukannya. Pujian dari Cikgu Linda Jasmine pula mengatakan yang Felix mempunyai attitude yang bagus. Beliau akan memarahi dirinya sekiranya beliau gagal untuk mendapatkan step tariannya. Pujian lagi dari Cikgu Marlia, beliau seorang yang intelligent. Beliau yang dimaksudkan ialah Felix. Bukan nama lain. Felix lagi. Walaupun penguasaan bahasa Melayunya agak kurang tetapi beliau boleh membawakan stail pada lagunya. Sempat juga Pengetua M.nasir mencelah dengan mengatakan yang dari segi stail Mawi agak teruk dan masalah temponya teruk juga tetapi telah dapat dibaiki pada minggu ini.

Kesemua pelajar telah mengetahui kekuatan peminat masing-masing dan tugas mereka kini adalah untuk membuktikan kepada Tenaga Pengajar yang mereka layak dan boleh melakukannya dengan lebih baik lagi.

Inilah permainan emosi yang telah dimaksudkan. Bagaimana emosi mempengaruhi Akademi Fantasia dan menukarkan emosi kepada tindakan. Tindakan tersebut adalah mengundi. Menyedari Felix telah dipuji oleh para Tenaga Pengajar, secara tidak langsung akan menjadi alarm clock kepada para peminat untuk terus mengundi pelajar pilihan masing-masing.

Latihan Pertama
Yazer nampaknya selesa dengan lagu This Love ini. Beliau berkemampuan untuk beraksi secara lebih bertenaga untuk lagu ini. Nasihat M.Nasir agar beliau tidak terlalu straight dalam lagu ini. Beliau perlu menekankan elemen blues dalam lagu tersebut agar lebih menarik. Yazer perlu menjaga staminanya agar tidak terlalu keletihan di atas pentas seperti lagu Nazraku.

Mawi juga selesa dengan lagu Pergi Tak Kembali. Ini peluang beliau mengembalikan kegemilangan Intifada yang pernah beliau bawa di Konsert Prelude. Nasyid merupakan makanannya dan saya mahu mendengar beliau membawakan lagu ini dengan acuannya bukan acuan Rabbani atau Raihan.

Kefli dan Tak Tahu merupakan tugasan yang mencabar untuknya. Rap bukan mainannya. Memang sukar dari aspek nyanyian dan tidak cukup dengan itu lirik yang panjang perlu beliau hafal. Satu tugasan yang berat untuk Kefli.

Felix membawakan lagu Anak sambil bermain gitar. Sayangnya lagu ini dibawakan dalam bahasa Melayu. Adalah lebih baik sekiranya ia dinyanyikan dalam bahasa Tagalog. Ini untuk menyerlahkan kehebatannya lagi di mata umum. Berdasarkan latihan pertamanya, beliau harus melatih permainan gitarnya agar lebih lancar lagi.

Amylea bakal diuji dengan lagu Gemilang. Lagu Juara Malaysian Idol. Memang merupakan cabaran paling getir yang perlu dihadapi oleh Amylea. Gemilang bukan sebuah lagu yang mudah lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan Jaclyn Victor. Seperti persembahannya yang terdahulu, Amylea telah lari dari menjadi penyanyi asalnya dan lagu ini juga perlu dibawakan lebih baik dari penyanyi asalnya. Kualiti Malaysian Idol dan Akademi Fantasia menjadi perhatian dalam jiwa lagu ini.

Marsha bakal membawakan sebuah lagu ago-go set 60an pada minggu ini. Ternyata sebuah lagu yang kurang mesra di telinga penonton. Berdasarkan vokalnya beliau mampu membawakan lagu ini dengan baik. Beliau perlu menyerlahkan attitudenya dalam lagu ini. Beliau perlu membuka mata penonton dengan persembahannya ini.

Latihan untuk Lagu Bonus lelaki agak membosankan kerana jiwa lagu tersebut masih kosong. Sama ada mereka bercakap atau menyanyi pun saya tidak tahu. Ekspres Rakyat jauh ketinggalan lenggoknya, Apokalip hilang keceriaannya dan Ghazal Untuk Rabiah masih kabur. Ini latihan pertama. Jangan beri malu kepada lagu-lagu Pengetua anda. Beri keadilan kepada lagu M.Nasir.

Ini berbeza dengan Lagu Bonus perempuan yang agak baik tetapi Amylea seakan mencuri tumpuan daripada Marsha. Kebolehannya menhafal lirik lagu sememangnya bagus. Saya lebih suka sekiranya lagu ini ditampilkan kejutan dari penyanyi asalnya secara serentak. Bilangan pelajar perempuan pun hanya dua orang. Lebih elok sekiranya Siti Nurhaliza, Misha Omar, Fauziah Latiff dan Farah AF2 ditampilkan bersama.

Yazer ke Rumah Seri Kenangan
Yazer telah ditugaskan untuk ke Rumah Seri Kenangan iaitu rumah orang tua-tua untuk menghantar barangan tajaan ke sana. Selain daripada itu, beliau turut ditugaskan untuk melihat persekitaran di sana. Tentu sahaja kerinduaannya terhadap orang tuanya serta neneknya akan terubat di sana. Peluang keemasan ini hanya diperolehi oleh Marsha dan Yazer. Tetapi orang Sabah yang selalu merungut tiada kejutan untuk pelajar-pelajar pilihan mereka nampak ke semua ini ? Kelebihan-kelebihan ini telah dan hanya diberikan kepada mereka dan tidak pelajar lain.

Itu sebab saya kata, kita hanya nampak apa yang kita mahu dan buat-buat lupa apa yang kita tidak mahu lihat.

Entri oleh sultanmuzaffar 23 July 2005 0 komen

Konsert Akademi Fantasia 08 : Teori Konspirasi

Konsert 08 AF3

Kenapa Akma ? Pilihan saya bertukar lagi nampaknya sama seperti musim lepas apabila bertukar setelah penyingkiran Linda di Konsert 8. Terkejut saya dibuatnya tetapi kerana Akademi Fantasia, saya sudah biasa dengan kejutan-kejutan sebegini. Boleh saya simpulkan konsert pada minggu ini merupakan yang terbaik secara keseluruhannya. Persembahan pelajar agak baik. Kejutan-kejutan yang ditampilkan juga bersesuaian.

Pengkritik Profesional
Pilihan untuk Pengkritik Profesional pada minggu ini merupakan dari pakar yang ahli dalam bidang masing-masing. Yasmin Ahmad baru sahaja memenangi anugerah Cerita Asal Terbaik dan Filem Terbaik melalui filem Sepet. Syafinaz dijemput lagi pada minggu ini. Komen-komen dari Syafinaz merupakan komen-komen yang jujur daripada beliau. Tindakan para peminat (saya tidak sebut peminat Mawi, Felix atau sesiapa sahaja secara spesifik) yang memboo beliau sewaktu mengkritik persembahan Felix amat tidak bersesuaian sekali.

Konsert 08 AF3

Ladki Badhi Anjani Hai
Saya suka dan terhibur dengan persembahan lagu Hindustan ini. Nampak benar rutin tariannya agak sukar tetapi berjaya dilaksanakan dengan baik oleh para pelajar. Walaupun miming, ia tetap merupakan sebuah persembahan yang menarik. Jeritan penonton semakin kuat apabila Mawi turun ke bawah pentas untuk menari bersama Tenaga Pengajar.

Kedudukan Sebelum Persembahan Konsert
Mawi 27%
Felix 20%
Akma 13%
Marsha 12%
Amylea 12%
Yazer 10%
Kefli 7%

Persembahan Pelajar
Konsert 08 AF3

Marsha - Cobalah Untuk Setia
Saya merasakan lagu ini merupakan sebuah persembahan yang biasa dari Marsha. Tiada apa yang menarik yang boleh diperkatakan dari persembahan tersebut. Persembahan vokal beliau agak tidak konsisten, pada beberapa bahagian agak tidak kemas. Terdapat sedikit masalah tempo di sana-sini dalam lagu tersebut. Marsha menyampaikan lagu tersebut dengan penghayatan yang sepenuhnya tetapi masih belum dapat menambat perhatian saya. Ini bermakna penghayatannya kosong dan makna-makna cerita dalam lagu tersebut tidak dapat disampaikan dengan baik.

Kejutan untuk beliau apabila berita kelahiran kucing kesayangannya disampaikan kepadanya. Dua keping gambar juga menjadi milik beliau. Aznil turut meminta beliau menamakan anak-anak kucingnya. Nah ! Giliran Aznil pula disamakan dengan kucing. Gurauan sahaja bukan !

Konsert 08 AF3

Kefli - Hati Emas
Saya kagum dengan persembahan Kefli yang boleh saya anggap sebagai sebuah persembahan yang menghiburkan. Penguasaan pentas Kefli bagus sekali. Beliau all-out berinteraksi dengan penonton, penyanyi latar dan juga Aznil. Dalam satu bahagian lagu, Aznil telah mencuri sedikit tumpuan daripada Kefli. Di sini letaknya kelemahan Kefli yang secara tidak langsung telah dapat ditutup oleh Aznil. Sekiranya Aznil mampu melakukannya, Kefli sepatutnya lebih daripada itu. Saya suka dengan persembahan vokal Kefli dalam lagu ini. Ada sumbang pada beberapa bahagian lirik bilamana beliau tidak sustain note lagu tersebut dengan betul, ia tetap sebuah persembahan yang bagus. Saya nampak Kefli menyampai lagu tersebut secara bersahaja tetapi cerita dalam lagu tersebut sampai kepada saya. Kekurangan kefli cuma menggunakan gerak-gerak yang stereotype pada kakinya dan semacam kekurangan idea. Beliau tidak bijak bermain dengan kreativiti untuk mencantikkan lagi showmanshipnya.

Konsert 08 AF3

Yazer - Mengapa Harus Cinta
Pertama sekali, pakaian yang diperagakan oleh Yazer amat menjelekkan. Dengan seluar koyak dan mensasarkan tumpuan penonton ke arah koyakan seluarnya itu. Ya benar, imej Yazer sebagai seorang yang rock. Rock pula tidak semestinya koyak. Pilihan pakaian yang ternyata tidak kena dengan persembahannya. Lebih malang, apabila persembahan vokalnya tidak mencapai standard yang saya kehendaki. Yazer telah menyampaikan lagu R&B secara yang selamat tetapi masih belum mendapat note-note yang betul. Nyanyian ternyata sumbang pada banyak tempat. Gaya persembahan yang ingin beliau bawa juga berpada tetapi belum dapat menutup kelemahan vokal beliau.

Konsert 08 AF3

Mawi - Pupus
Sekali lagi, pakaian mencacatkan penampilan Mawi. Beliau nampak seperti tukang cat yang baru sahaja keletihan setelah selesai menyiapkan tugasan mengecat bangunan. Mujur persembahannya mantap ! Temponya juga bagus dan kelemahan tersebut telah berjaya dikuasai dengan bagus. Persembahannya sedikit cacat apabila menyelitkan ad-lib yang tidak perlu iaitu “Mengapa sayang”. Tanpa adlib tersebut, saya melihat persembahan Mawi amat bagus sekali. Kali ini beliau agak kreatif apabila menamatkan persembahannya sambil duduk di tepi pentas. Keseluruhan cerita dalam lagu tersebut disimpulkan pada penghujung persembahannya. Menurut Yasmin, Mawi telah menyampaikan lagu tersebut dengan jujur.

Konsert 08 AF3

Akma - Selamat Jalan Romeo
Terus terang, saya kurang tertarik dengan persembahan Akma pada minggu ini. Lagu Selamat Jalan Romeo memang sukar disampaikan dengan baik oleh Akma. Percubaan menari geleknya boleh saya sifatkan berjaya tetapi pada beberapa bahagian agak keterlaluan. Gelekannya nampak begitu dibuat-buat. Saya sekali persembahan vokalnya sememangnya biasa sahaja pada minggu ini. Nyanyiannya agak mendatar dan lagu tersebut pula agak panjang sekaligus membosankan saya. Tumpuannya banyak terfokus kepada gerakan tariannya. Hasilnya bagus tetapi belum cukup memukau.

Ramlah Ram ditampilkan sebagai kejutan buat beliau apabila membawakan lagu Selamat Jalan Romeo di atas pentas setelah selesai kritikan kepada persembahan Akma.

Selesai persembahan Akma, ditampilkan sebuah lagi kejutan apabila pelajar perempuan dipanggil untuk menyerahkan jambangan bunga kepada orang yang tersayang. Akma menghadiahkan jambangan bunga tersebut kepada ibunya. Manakala Marsha menghadiahkannya kepada kakanya dan Amylea telah memberikan jambangan bunga tersebut kepada bapanya mewakili ibunya.

Konsert 08 AF3

Amylea - Dua Insan Bercinta
Saya suka apabila tatacahaya minima digunakan untuk persembahan Amylea. Saya turut kagum dengan cara beliau menyampaikan lagu tersebut dengan stylenya yang tersendiri. Saya terpukau dengan persembahan vokal beliau. Pergerakan beliau di atas pentas juga telah dirancang dengan baik. Pergerakan-pergerakannya terkawal dan bersesuaian dengan mood lagu tersebut. Kelebihan Amylea terletak kepada tahap keyakinannya yang sememangnya terbaik. Persembahan vokal beliau mantap tetapi masih tidak cukup menampilkan elemen wow pada penghujung-penghujung note. Showmanship beliau agak kreatif.

Ibunya turut muncul sebagai kejutan apabila menyanyikan lagu tersebut pada bahagian penghujung. Amylea tidak menyangka yang ibunya akan sama-sama berada di atas pentas bersamanya. Kejutan yang tidak menjadi kerana nyanyian ibunya tidak berjaya menambat hati saya. Elemen kejutan itu tidak begitu efektif.

Konsert 08 AF3

Felix - Hukum Karma
Saya tabik dengan cara Felix berhadapan dengan situasi jenaka yang berlaku pada minggu lepas. Beliau yang nyata tidak tahu menahu apa yang berlaku tetap menganggapnya sebagai satu gurauan sahaja, malah mengatakan ia sebagai satu sumber inspirasi. Aznil walaupun cuba untuk menyelitkan elemen kesedihan agak sukar meneruskan mood tersebut kerana berhadapan dengan jenaka Felix.

Saya bangun memberikan standing ovation kerana beliau telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Persembahan Felix amat menghiburkan. Persembahannya bertenaga sekali dan aura rocker ditampilkan oleh beliau secara bersahaja. Beliau benar-benar menghayati lagu tersebut. Walaupun ada kesilapan pada lirik lagu beliau menutup kelemahan tersebut dengan baik sekali. Persembahan vokalnya bertenaga walaupun kedengaran agak mendatar.

Amat mengejutkan apabila sewaktu Yasmin Ahmad memberikan komen beliau, jerita Felix Universe bergema. Pada mulanya saya ingatkan ia datang dari keluarga Felix. Ternyata tekaan saya itu meleset kerana ia datang dari kalangan bekas pelajar. Sekiranya benar dari mereka, ia adalah satu tindakan yang tidak sewajarnya dilakukan di hadapan enam pelajar lain yang masih berada di Akademi Fantasia. Sekurang-kurangnya sebagai bekas pelajar, mereka harusnya berlaku lebih adil untuk semua pelajar. Felix Universe telah pun menjadi trademark baru Felix.

Seri Langkat
Sebuah persembahan biasa dari para pelajar. Tidak banyak yang boleh diperkatakan selain membosankan. Saya lebih suka sekiranya pasangan pelajar mendendangkan lagu tersebut secara berseorangan. Ia dapat menyerlahkan vokal masing-masing dan bukannya secara beramai-ramai. Nyanyian mereka juga tidak begitu harmoni.

Konsert 08 AF3

Menuju Puncak
Apabila dipanggil sahaja pelajar lelaki ke hadapan saya sudah berasa lega. Saya terfikir hanya dua nama yang terlintas di fikiran saya ketika itu. Yazer dan Kefli. Sudah sampai masanya mereka ini meninggalkan Akademi Fantasia. Malangnya ia tidak menjadi kenyataan. Akma sebaliknya menjadi mangsa undia penonton pada minggu ini. Setelah dua minggu terselamat, minggu ini Akma terkandas. Akma telah pun memasuki Pilihan Lima Terbaik saya untuk ke Konsert Akhir dua minggu akan datang, sebaliknya perlu digantikan dengan nama pelajar lain.

Jika beberapa minggu lepas, Akma menjadi pilihan saya untuk tersingkir, tetapi tidak pada minggu ini. Persembahan vokal Akma jauh lebih baik daripada Kefli. Apakah teori konspirasi memasangkan pelajar menjadi penyebab penyingkiran Akma ? Elliza tersingkir kerana dipasangkan dengan Kefli. Amy tersingkir kerana dipasangkan dengan Aidil. Ekin tersingkir kerana dipasangkan dengan Yazer dan kini giliran Akma apabila cuba dipasangkan dengan Felix.

Ranking sultanmuzaffar
Amylea - Dua Insan Bercinta 8/10
Mawi - Pupus 7/10
Felix - Hukum Karma 6.5/10
Ladki Badhi Anjani Hai 6.4/10
Kefli - Hati Emas 6.3/10
Marsha - Cobalah Untuk Setia 4.7/10
Akma - Selamat Jalan Romeo 4.5/10
Yazer - Mengapa Harus Cinta 3.5/10
Seri Langkat 3/10

Konsert 08 AF3

Imbasan 07 Akademi Fantasia
Teori Konspirasi khabarnya menjadi perbualan hangat di kalangan peminat, pengundi, pemerhati dan penonton Akademi Fantasia. Seperti tahun-tahun yang lalu, pelbagai teori wujud untuk menghangatkan lagi suasana demam Akademi Fantasia. Apa jadi dengan teori-teori tahun lepas ? Senyap sahaja bukan. Kenapa perlu digembar-gemburkan cakap-cakap ini ?

Saya merasakan teori-teori konspirasi ini wujud sekadar sebagai alarm clock kepada para pengundi agar jangan terleka dan teruskan mengundi. Ada dua kemungkinan dari mana asalnya teori-teori tersebut. Sama ada dari peminat sendiri dan juga mungkin dari Astro sendiri. Di kalangan peminat, mesti wujudnya satu strategi untuk mengingatkan para pengundi agar jangan terleka. Maka dengan adanya email-email berunsurkan hasutan ini secara tidak langsung akan terus mengingatkan pengundi agar tidak terleka. Isu-isu kecil ini juga boleh dimulakan oleh Astro sendiri agar undian semakin bertambah masuk ke pihak mereka.

Saya turut ditanya tentang tanggungjawab saya terhadap laman web yang saya kendalikan. Artikel-artikel yang tersiar di laman web ini adalah berdasarkan pendapat peribadi yang berpandukan daripada Diari, Diari Extended, Konsert yang telah saya tonton di televisyen dan internet. Walaupun ada maklumat yang saya peroleh melalui teman-teman yang mengetahui lebih lanjut tentang Akademi Fantasia, ia tidak saya siarkan kerana maklumat-maklumat tersebut tidak dipaparkan di dalam Diari atau mana-mana rancangan Akademi Fantasia. Kemudahan berinteraksi dengan pembaca saya sendiri juga semacam satu kelebihan yang ada apabila masing-masing bertukar pendapat untuk mendapatkan penjelasan yang lebih berkenaan sesuatu isu.

Tentang wujudnya konspirasi ketidakadilan terhadap pemberian lagu kepada pelajar saya tidak pernah menganggap ianya sebagai satu isu besar. Pemberian lagu telah saya sifatkan sebagai adil antara semua pelajar. Ada juga di antara pelajar yang mendapat lagu mudah tetapi tidak dapat melaksanakannya dengan baik. Ada juga pelajar yang mendapat lagu sukar dan telah melaksanakannya dengan baik. Isu ini timbul semata-mata peminat merasa tidak yakin dengan kebolehan pelajar yang mereka puja. Peliknya isu tersebut senyap setelah pelajar mereka selesai melakukannya dengan baik tetapi terus digembar-gemburkan sekiranya pelajar mereka tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan baik.

Teori konspirasi biasanya wujud dari mereka yang tidak tahu cerita sebenar. Untuk mengetahui cerita sebenar, langganlah Akademi Fantasia Xtra. Keseluruhan cerita yang berlaku di dalam Akademi Fantasia boleh diperolehi di AFXtra.

Untuk pengetahuan semua, Imbasan dikendalikan oleh Aznil dan sebagai tetamu saya harus menjawab setiap persoalan yang ditanya oleh Aznil dan bukannya menjawab persoalan yang tiada kena mengena dengan soalan. Hanya ada tiga soalan yang ditanya kepada saya dan tentulah itu sahaja peluang yang saya ada. Sememangnya saya kurang berpuas hati dengan jawapan-jawapan saya sendiri. Dalam waktu yang spontan saya perlu memikirkan jawapannya dan televisyen dan penonton secara langsung merupakan antara yang menggerunkan. Ia sebuah lagi pengalaman yang mana tidak semua orang dapat merasainya.

Untuk pengetahuan semua juga, saya hanya diberitahu secara tidak rasmi melalui seorang sahabat yang bekerja di Astro akan jemputan tersebut. Oleh kerana ia adalah tidak rasmi, maka adalah tidak sesuai untuk saya beritahu kepada semua. Setelah Jumaat dan Sabtu berlalu, maka saya anggap ia sebagai tidak jadi atau pun pada minggu depan. Pada jam 5 petang, saya mendapat panggilan dan dijemput secara rasmi untuk turut serta sebagai tetamu untuk malam tersebut. Ada sebab mengapa ia diberitahu agak lewat. Adalah tidak manis saya tulis di sini kerana akan wujud sebuah lagi teori konspirasi kelak. Seperti pada musim lepas, saya tidak tahu soalan-soalan yang akan ditanya oleh Aznil. Hanya pada ketika anda mendengar soalan tersebut, maka pada waktu yang sama juga saya mendengar soalan tersebut.

Terima kasih kepada semua yang membantu. Baik yang mendapatkan kakitangan untuk membawa saya masuk ke Stadium, yang mengiringi saya ke belakang pentas dan lain-lain lagi.

Kedudukan Selepas Konsert
Mawi 23%
Felix 19%
Amylea 15%
Yazer 12%
Kefli 11%
Marsha 10%
Akma 10%

Entri oleh sultanmuzaffar 22 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 09

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 10
Diari bermula dengan para pelajar menyanyikan lagu Negaraku. Kefli menjadi konduktornya. Hari Jumaat, Mawi, Yazer, Kefli berbaju Melayu. Kefli siap bersongkok putih. Tinggi benar. Mawi berbaju Melayu ungu muda dan Yazer berbaju Melayu hitam. Pelajar perempuan berpakaian Barat. :)

Jamal Abdillah ke Hostel Pelajar
Yazer dan Felix bercerita kepada pelajar perempuan yang Jamal Abdillah telah datang ke asrama lelaki semalam. Akma dan Amylea mati-mati tidak percaya. Berusaha Akma agar Yazer melafazkan sumpah untuk berkata benar. Walaupun Yazer telah melafazkan sumpah tersebut, Akma masih tidak mempercayainya. Menurut Akma, selalunya mereka akan mengambil autograph tetapi kali ini mereka tidak melakukannya. Amat sukar untuk mereka percaya tentang kehadiran Jamal Abdillah ke hostel lelaki. Kemunculan tidak adil oleh Jamal Abdillah agak sukar untuk dipercayai kerana ia diceritakan oleh Felix yang sememangnya terkenal dengan suka membuat lawak.

Jamal Abdillah dilihat memasuki hostel lelaki dan menunggu pelajar lelaki menghabiskan kelas mereka pada malam itu. Agak dramatik penggambaran yang dibuat. Lebih-lebih lagi menggunakan teknik gerak perlahan. Setelah selesai Kelas Tarian Cikgu Linda, pelajar lelaki pulang ke hostel mereka. Ini juga merupakan klip yang jarang-jarang kita lihat. Rutin harian mereka yang tidak dirakamkan untuk disiarkan. Namun demikian, kerana kejutan dari Jamal Abdillah, rutin harian tersebut dapat ditonton oleh para penonton. Terbuka sahaja pintu, Mawi benar-benar terkejut kerana Jamal ABdillah sudah menunggu mereka di asrama. Pertama kali dalam sejarah Akademi Fantasia, selebriti dibawa ke hostel pelajar.

Nasihat-nasihat umum telah diberikan oleh Jamal Abdillah kepada semua pelajar lelaki. Melalui program sebegini, bakat baru dicungkil dan peluang keemasan ini tidak harus dilepaskan. Apabila membawakan lagu penyanyi lain, adalah perlu untuk setiap pelajar agar tidak terlalu mengikut stail penyanyi asalnya. Mereka harus mencipta stail mereka yang tersendiri untuk lebih menyerlahkan bakat yang mereka ada. Mereka perlu menghafal lirik lagu tersebut dan memahami cerita dari lagu tersebut dan juga cuba mengaitkan diri mereka dengan lagu tersebut.

Jamal Abdillah kemudiannya menyanyikan lagu Seroja untuk semua pelajar. Jamal Abdillah antara penyanyi yang versatile di Malaysia ini. Berikan sahaja apa jenis lagu dan beliau mampu membawakannya dengan baik. Melihatkan Jamal membawakan lagu Seroja dengan penuh perasaan tentunya memberikan satu kekaguman kepada para pelajar termasuklah Mawi. Mawi nampak benar-benar terpegun dengan kehebatan Jamal.

Kelas Motivasi Dr. Azahari
Mawi telah ditanya tentang apa yang paling menarik baginya pada minggu ini. Mawi menjawab pertemuan dengan Pak Hamid Gurkha yang amat dikagumi oleh beliau sejak kecil. Selain daripada itu kemunculan Jamal Abdillah turut memberikannya sebuah kenangan manis. Secara tidak langsung, pelajar perempuan sukar untuk mempercayainya. Berkali-kali mereka menerangkan kepada Dr. Azahari yang Mawi berbohong. Pelajar-pelajar lelaki yang lain turut menyokong percakapan Mawi.

Helikopter
Mereka dipecahkan kepada empat kumpulan. Felix berseorangan, yazer berseorangan, Mawi dan Kefli dalam satu kumpulan dan pelajar perempuan dalam satu kumpulan. Mereka diarahkan untuk menyelesaikan masalah yang telah diberikan iaitu untuk merekabina sebuah helikopter. Pelajar perempuan dapat menyiapkannya dalam waktu yang singkat.

Moralnya mudah sahaja. Apabila berada di dalam kumpulan, setiap masalah dapat diselesaikan dalam semangat bermesyuarat. Mereka dapat berbincang untuk menyelesaikan sesuatu masalah tersebut. Ini secara tidak langsung mereka dapat menyiapkan model tersebut dalam masa yang lebih singkat. Ini berbeza pada kumpulan-kumpulan yang lain yang menyiapkannya dalam tempoh yang lebih panjang.

Apabila satu komuniti telah dapat dibentuk seperti sebuah keluarga komuniti yang ada di blog ini, setiap perbincangan dapat dibuat dan dicapai melalui proses perbincangan secara sihat. Sekiranya ada masalah, ia dapat diselesaikan dengan segera melalui bantuan pembaca-pembaca yang lain. Keharmonian ini secara tidak langsung amat dicemburui oleh pembaca yang berasa iri hati dengan ketenangan yang ada di sini.

Mereka turut dihadiahkan dengan sebuah whiteboard yang memaparkan wajah-wajah karikatur mereka di masa akan datang. Apakah ia dijual ? Sekiranya ia dijual, saya ingin membelinya.

Komen Tenaga Pengajar
Tumpuan saya terganggu kerana melihatkan ekspresi lebih hebat Pengetua M.Nasir. Gaya beliau penuh bertenaga. Saya merasakan nyanyian Mawi pada hari ini lebih baik. Mawi perlu lebih memberikan ekspresi yang hebat kepada lagu ini. Temponya juga baik dan beliau perlu memberikan impak kepada attack-attack dalam lagu tersebut.

Nyanyian Yazer masih sumbang. Banyak note tidak disampaikan dengan baik. Saya melihat Cikgu Siti Hajar sehingga terduduk dibuatnya. Menurut Pengetua M.Nasir oleh kerana tidak push dengan baik menyebabkan nyanyiannya sumbang. Saya nampak Yazer boleh membawakan lagu ini dengan baik sekiranya tidak terlalu dibayangi dengan falsetto Vince. Itu kekuatan Vince dan jangan cuba untuk melakukan sesuatu yang di luar bidang kita. Yazer harus mencari identitinya sendiri kepada lagu tersebut.

Marsha masih kelihatan terlalu berhati-hati. Matanya liar memandang Tenaga Pengajar. Marsha harus lebih relaks untuk lagu tersebut. Pergerakannya nampak kaku. Nyanyian Marsha agak baik dan perlu dibaiki terutamanya pada bahagian korus.

Sewaktu sesi latihan Seri Langkat, pelajar membiasakan diri mereka dengan koreograf lagu tersebut. Masih tidak begitu baik formasi mereka. Nyanyian mereka juga masih biasa. Mawi turut menyarankan kepada mereka tentang sebutan salah satu lirik dalam lagu tersebut. Jamal Abdillah sendiri yang mengajar mereka bagaimana menyebutnya. Terus membangkitkan rasa cemburu dan tidak percaya di kalangan pelajar perempuan. Mereka mati-mati masih tidak percaya kemunculan Jamal Abdillah di hostel lelaki. Cikgu Ee juga tidak mempercayainya.

Cara mereka memperkenalkan diri mereka pada minggu ini berlatarkan lagu Hindustan. Masing-masing dengan nama-nama yang tersendiri untuk mengumpan undian penonton. Saksikan esok sahaja.

Ramalan Penyingkiran
Mawi dan Felix telah berada dalam senarai Pilihan Lima Terbaik saya sejak Konsert Prelude. Setelah berlangsungnya Konsert mingguan, peningkatan yang ditunjukkan oleh Amylea dan Marsha seakan-akan telah pun menempah tempat mereka untuk bersama-sama dengan Mawi dan Felix.Minggu ini merupakan minggu penentuan tempat terakhir ke Pilihan Lima Terbaik. Antara Akma dan Yazer. Semuanya berdasarkan persembahan malam konsert esok.

Kefli dan Yazer merupakan antara pelajar yang lemah pada minggu ini. Graf undian mereka juga tidak banyak berbeza dan tidak melepasi paras 10%. Saya meletakkan dua pelajar ini sebagai antara yang bakal tersingkir pada minggu ini. Sudah sampai masanya Kefli meninggalkan Akademi Fantasia. Yazer masih boleh diberikan peluang kepadanya untuk satu lagi minggu sebelum menjelang minggu terakhir ke Konsert Akhir.

Esok, saya menantikan persembahan dari Akma dengan lagu Selamat Jalan Romeo, Mawi dengan lagu Pupus, Felix dengan lagu Hukum Karma dan Amylea mecuba dengan lagu Dua Insan Bercinta.

Entri oleh sultanmuzaffar 21 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 07
Terus lemah longlai dari ingin meneruskan menulis ulasan episod ini setelah diberitahu oleh salah seorang sahabat akan satu berita yang mengejutkan ini. :)

Latihan untuk Marsha tidak begitu menyeluruh pada minggu ini. Peningkatan pada nyanyiannya juga tidak begitu ketara. Saya merasakan nyanyian Marsha perlu ditingkatkan lagi. Lagu ini punya tempo yang agak pantas terutamanya di bahagian korus. Nyanyian Marsha kedengaran agak sengau kerana lontaran vokalnya tidak dikawal dengan baik. Menurut Cikgu Adnan, Marsha perlu membuka mulutnya luas-luas. Lagu ini merupakan sebuah lagu yang sesuai untuk menyerlahkan vokal Marsha yang bertenaga dan penuh dengan dinamik itu. Mula-mula ingatkan semi-falsetto, rupanya menjadi sengau pula di penghujung.

Tone vokal yang dipunyai oleh Akma begitu sesuai dengan lagu dangdut. Dengan vibrato yang cukup serta lenggok-lenggok dangdut semakin menyerlahkan lagi persembahan Akma. Untuk lagu dangdut, sengau dibenarkan.

Maybank2u.com
Bila munculnya mascot Maybank2u, tiba-tiba teringat dekat Liza yang takutkan mascot Nando’s. Amylea pun takut dekat mascot tersebut. Kemunculan Maybank2u.com adalah sekadar kerana mereka salah satu penaja Akademi Fantasia. Bukankah lebih baik sekiranya, pelajar diberi peluang untuk membeli-belah secara online menggunakan perkhidmatan tersebut. Amylea nampak begitu tekun cuba mencerap segala maklumat dari wakil Maybank2u.com.

Saya seronok melihat mascot Maybank2u yang turut sama menari tarian sumazau, Menuju Puncak dan twist. Lambat betul nak siap ulasan episod ini.

Baling Bantal
Mengisi kebosanan pelajar, mereka bermain baling-baling bantal. Memang seronok apabila melihat mereka bermain dengan gembira. Dalam keadaan yang tidak ramai bilangannya, keseronokan tersebut dapat dirasakan. Kemesraan tersebut semakin sayang untuk dipisahkan. Dalam keriangan tersebut, ada kejujuran di dalam hati masing-masing. Isikan sisa-sisa masa yang tinggal untuk dimanafaatkan sementara masih ada.

Cikgu Linda Jasmine menyuarakan kerisauannya terhadap koreograf lagu Hindustan. Menurutnya, tarian tersebut agak sukar dan lagunya agk panjang iaitu selama tujuh minit. Hasil dari tunjukajar beliau, koreograf yang terhasil agak menarik. Lebih menarik dari tarian Menuju Puncak. Lebih sukar dari tarian Menuju Puncak.

Saya melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh Kefli, Amylea dan Akma dalam tarian tersebut. Akma dan Amylea semacam sudah menghafal lirik lagu tersebut. Tarian yang mereka tampilkan juga agak baik. Saya akui, tarian ini memang sukar kerana tempo yang yang laju dan dalam masa yang sama mereka perlu menyanyi.

Dulu-dulu, mereka miming saja.

Ibu Yusni Jaafar dan Pak Hamid Gurkha
Kehadiran Ibu Yusni Jaafar dan Pak Hamid Gurkha seakan menghilangkan kerinduan pelajar terhadap ibu bapa pelajar. Mereka turut sama makan tengahari bersama-sama pelajar yang boleh disifatkan seperti anak-anak mereka.

Ibu Yusni telah bertemu dengan pelajar perempuan dan bertanyakan tentang latarbelakang keluarga masing-masing. Manakala Pak Hamid Gurkha telah bertemu dengan pelajar lelaki dan telah memberikan nasihat-nasihat berguna untuk menjadi seorang artis.

Untuk meredakan ketegangan mereka, pelajar telah diminta untuk mengimbas kembali lakonan Pak Hamid dan Ibu Yusni dalam filem Sikit Punya Gila. Antara adegan yang dilakonkan semula ialah adegan sewaktu Ibu Yusni menegur Pak Hamid yang sedang dalam perjalanan pulang pada satu malam. Mawi dan Marsha diminta untuk melakonkannya. Manakala Kefli diminta untuk melakonkan adegan Pak Hamid sedang menggosok gigi ikan.

Nampak gembira benar pelajar melihat keletah Pak Hamid yang membuat jenaka-jenaka kepada mereka. Tipah Tipah juga terhibur dengan jenaka Pak Hamid. Walaupun sebentar, kerinduan pelajar terhadap ibu bapa mereka terubat juga. Lebih-lebih lagi kepada Yazer yang hampir-hampir menitiskan air mata kerana teringatkan keluarganya.

Membawakan artis veteran ke dalam Akademi Fantasia seakan-akan dapat memberikan sedikit pengetahuan kepada para pelajar. Mereka dapat berkongsi pengalaman yang mereka ada. Ilmu yang telah diajar oleh Afdlin Shauki semalam juga nampaknya telah dipraktikkan oleh Kefli dengan baik. Beliau menjawab soalan dari Pak Hamid dengan penuh berkeyakinan agar tidak melukakan hati beliau.

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 08
Mawi berlatih lagunya Pupus. Memang nampak Mawi bersungguh-sungguh pada minggu ini. Pasangannya, Felix juga semakin jarang kelihatan bersama-sama. Masing-masing sudah sedar minggu-minggu terakhir di Akademi Fantasia ini bukan merupakan minggu untuk bermain-main. Minggu ini masing-masing perlu serius. Mawi serius dengan Pupus, Felix serius dengan Hukum Karma. Satu perubahan yang positif apabila dapat melihat mereka mengurangkan aktiviti-aktiviti tidak serius sebaliknya menumpukan perhatian mereka kepada latihan lagu masing-masing. Saya menyukai lagu Pupus. Apabila Mawi menyanyikan lagu ini, saya semakin menyukainya kerana vokal Mawi semacam ada satu tarikan kelakiannya. Lagu ini semacam ditambah elemen Melayunya lebih lagi daripada nyanyian penyanyi asalnya. Marsha dan Akma turut membantu Mawi mendapatkan sebutan-sebutan yang betul dalam lagunya.

Cerita Kucing
Sambil-sambil mengadap makanan, Cikgu Ee bercerita yang beliau hampir terlanggar seekor kucing. Memang berubah muka Marsha kerana tidak sanggup untuk membayangkan kucing tersebut digelek. Menurutnya, beliau seorang yang tidak sukakan kucing. Sambil-sambil itu, Marsha bercerita tentang kucingnya yang sedang bunting.

Menurut Akma siapa yang menyukai kucing merupakan seorang yang penyayang. Ada yang boleh dibawa bersembang dengan kucingnya. Bapa Akma pula tidak menyukai kucing kerana lelah. Keluarga Amylea amat menyukai kucing dan membela generasi-generasi kucing tersebut. Mereka boleh berkongsi masalah dengan kucing mereka.

Bagaimana pula jika seseorang yang sukakan kucing untuk memancing undi. Selepas selesai kucingnya ditinggal-tinggalkan.

Nama kucing Marsha ialah Buruk dan Gogo. Manakala kucing AMylea ialah Ayam dan Dido. Memang sengaja Cikgu Ee mencari fasal dengan Marsha. Dikatakannya nama kucing Marsha buruk.

Turut ditayangkan ialah klip yang pernah dirakamkan tiga hari yang lepas. Marsha bercerita tentang kucingnya yang sedang bunting. Marsha ingin mengetahui siapa bapa kepada anak kucingnya. Marsha berharap agar keluarganya menelefon krew Astro memberitahu tentang perkembangan kucingnya.

Oleh kerana itu, Cikgu Ee telah mengarahkan Marsha keluar dari kelasnya kerana menyukai kucing. Marsha terpinga-pinga. Marsha telah dibenarkan untuk keluar ke SPCA iaitu Pusat Penjagaan Haiwan di Ampang.

Kelas Tarian Cikgu Ee
Baru saya mula nampak personaliti sebenar Akma. Akma harus berani seperti apa yang pernah diperkatakan oleh para pengkritik pada beberapa minggu lepas. Banyak yang menyarankan agar Akma berani mengambil risiko dalam setiap persembahannya. Sekiranya Akma masih mengawal pergerakannya maka persembahannya jadi hambar. Akma mula berani untuk mengeluarkan sedikit-sedikit tariannya walaupun dalam keadaan malu-malu. Beliau perlu lebih menggoda dalam nyanyiannya. Ini kekurangan yang ketara sewaktu lagu LOVE. Beliau harus menebus kesilapan tersebut dalam lagu ini. Lagu Selamat Jalan Romeo memberikannya peluang itu. Gerakan Akma perlu lebih menggiurkan sewaktu attack pada lau tersebut. Cikgu Ee masih menganggapnya biasa sebagai cabaran kepada Akma untuk menyerlahkan lagi gelekannya. Felix pula memerhatikan latihan Akma dari tepi.

Di Bilik Aktifkan, Amylea pula mengambil peluang untuk mengajar Akma tarian yang perlu beliau lakukan. Sedikit sebanyak, Amylea banyak membantu mencipta pergerakan-pergerakan yang lebih baik kerana beliau sudah biasa beraksi sedemikian. Saranan saya, Akma perlu berani. Belasah saja. Apa pun persembahan anda, Akma sudah berada dalam Lima Pilihan Terbaik saya.

Kelas Teknikal Vokal Cikgu Siti Hajar
Nyanyian Yazer lebih baik pada hari ini berbanding semalam. Yazer mula memberikan tumpuannya kepada lagunya. Beliau mula fokus kepada teknik nyanyian dan cuba sedaya upaya beliau untuk menvariasikan lenggok pada nyanyiannya. Bunyi kasar pada vokalnya masih menebal kerana irama rock sudah sebati dalam dirinya. Lontaran vokal beliau rasanya tidak mempunyai masalah cuma beliau perlu banyak berlatih pada bahagian falsetto agar lebih kemas.

Marsha dan Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA)
Ini pertama kali seorang pelajar Akademi Fantasia di bawa keluar dari Akademi Fantasia. Di dalam Akademi Fantasi Indosiar, pelajarnya dibenarkan keluar untuk bertemu peminat sewaktu masih berada di dalam Akademi. Peluang ini wajar diberikan kepada semua pelajar Akademi memandangkan tiada apa yang perlu dirahsiakan kepada mereka. Mereka sudah pernah menonton Akademi Fantasia 1 dan 2 dan sudah mengetahui reaksi masyarakat tentang program tersebut. Lebih menarik sekiranya pada setiap minggu dibuat semacam physical challenge di antara pelajar dan pelajar yang berjaya dibenarkan keluar untuk bertemu dengan peminat-peminat mereka yang bertuah. Ini secara tidak langsung mewujudkan persaingan di antara pelajar dan juga dapat meningkatkan sifat menimba ilmu di kalangan pelajar. Para pelajar akan cuba untuk mendapatkan peluang tersebut. Jika dapat penajaan, ada juga hadiah-hadiah khas pada minggu-minggu pertengahan itu.

Sekembalinya Marsha dari SPCA, beliau menceritakan pengalamannya berada di SPCA. Marsha menghabiskan masanya bersama kucing-kucing terbiar yang ada di situ. Membersihkan sangkar-sangkar kucing tersebut serta memberikan kucing-kucing tersebut makanan dan minuman.

Sifat kasih sayang Marsha kepada kucing semacam satu kelebihan Marsha yang dapat kita lihat di dalam Akademi Fantasia. Watak yang sama telah dimainkan oleh Khai dan berjaya mendapat tempat kedua di Akademi Fantasia 1. Hubungan kasih sayang manusia dan haiwan ini merupakan antara elemen-elemen penarik yang ada di dalam Akademi Fantasia. Elemen-elemen hiburan yang ditampilkan oleh haiwan sebegini dapat memberikan satu pandangan positif kepada penonton. Seronok saya dapat melihat Marsha begitu senang dan gembira dapat meluangkan masanya di SPCA. Bukan selalu peluang itu diperolehi. Jangan terkejut sekiranya nanti Marsha terpilih untuk menjadi Duta kepada SPCA. Sesuatu yang menarik bukan ?

Impian saya selama ini semakin hari semakin dekat mendekati saya. Semoga ia akan menjadi kenyataan.

Entri oleh sultanmuzaffar 20 July 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 05
Kelas Bahasa Inggeris Cikgu Fatimah
Minggu ini mereka mendapat tugasa dan dibahagikan kepada tiga kumpulan. Tugasan mereka ialah mereka dikehendaki bertutur dalam bahasa Inggeris kepada sekelompok penonton yang agak elit. Ada kumpulan yang mendapat ahli perniagaan, tokoh politik dan para cendekiawan.

Komen saya adalah tentang gaya dan cara mereka bertutur. Ada di antara mereka yang masih mengekalkan imej kebudak-budakan sewaktu memperkenalkan diri. Felix umpamanya masih mengekalkan lawak jenakanya. Untuk audiens yang bersifat agak profesional tentunya kurang sesuai. Begitu juga dengan Mawi yang sama dengan Felix. Kefli nadanya agak bersesuaian sewaktu perkenalan tersebut. Marsha, Akma dan Amylea agak selesa dalam pertuturannya.

Secara keseluruhan, semuanya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Mereka nampak berkeyakinan. Yang perlu dibaiki cuma cara dan gaya mereka bertutur. Mereka perlu nenampilkan imej yang lebih nampak profesional dan bukan kebudak-budakan.

Kelas Vokal Cikgu Adnan
Penyampai Yazer masih kasar untuk lagu ini. Imej-imej rock masih menebal dalam persembahannya. Nampak berlainan tetapi masih memadai. Yazer harus lebih berkeyakinan dan menghilangkan imej kerisauan dari dalam dirinya. Gayanya semakin menyerlah dari hari ke hari. Baiki dari aspek sebutan nyanyiannya.

Amylea nampaknya selesa dengan lagu ini kecuali perlu memperbaiki masalah tempo yang sering dihadapi olehnya. Teknik nyanyiannya menyerlah dalam lagu ini. Itu sebab saya tidak risau dengan kebolehan beliau apabila menerima genre lagu yang bukan pilihannya.

Felix pula amat merisaukan apabila tiba pada bahagian nada paling tinggi. Nampak begitu sengsara Felix untuk menyampaikannya. Latihan demi latihan dilakukan oleh Felix untuk mendapatkan note yang betul dalam lagunya. Beliau dinasihatkan agar mengurangkan latihan pada bahagian tinggi agar tidak hilang suara.

Kelas Tarian Cikgu Linda Jasmine
Hebat sekali koreograf tarian untuk lagu Hindustan kali ini. Pelajar lelaki perlu mengangkat pelajar perempuan dalam formasi bulatan.

Ulasan selanjutnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata.

Artikel di Harakah Daily : Mawi dan Akademi Fantasia: Fenomena baru?

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 06
Kefli buat muka comel melayan Tipah Tipah. Yazer pula siap sendawa di hadapan Tipah Tipah. Lebih malang apabila klip tersebut ditayangkan kepada umum. Memanglah mula-mula boleh mengawal pergerakan dan tingkah-laku mereka tetapi setelah lapan minggu berada di Akademi, tentunya mereka tidak dapat lagi mengawalnya.

Amylea pula didapati sakit tekak dan tidak dapat menyanyikan lagu yang ada falsetto. Lagu Dua Insan Bercinta boleh dinyanyikan tetapi tidak untuk lagu Hindustan. Tekaknya berdarah semalam katanya. Menurut Amylea sakit tersebut mungkin datang kerana tidak cukup tidur.

Kelas Tarian Koreografi Cikgu Ee
Mereka telah dilatih untuk menarikan tarian Melayu untuk lagu Seri Langkat. Pergerakan kefli agak lembut. Pergerakan pelajar perempuan juga agak menarik. Formasi yang diajar oleh Cikgu Ee juga boleh tahan. Nyanyian pelajar lelaki boleh dibaiki agar lebih jelas. Nyanyian pelajar perempuan sudah cukup baik walaupun mereka hanya tinggal 3 orang.

Kelas Teknikal Vokal Cikgu Siti Hajar
Kefli melakukannya dengan baik dengan sekali cubaan. Mawi melakukannya beberapa kali. Beliau masih belum dapat teknik yang diajar oleh Cikgu Siti Hajar.

Kefli perlu tahu apa itu forwardness dan apa itu intonasi. Lontaran vokalnya agak bagus tetapi bunyi yang dihasilkannya masih belum indah di telinga saya. Intonasi pula beliau perlu memahami makna-makna lirik lagu tersebut. Apabila beliau faham makna lirik tersebut maka lebih mudah untuk beliau menyanyikan lagu tersebut serta memberikan penghayatannya ke dalam lagu tersebut. Bagaimana hendak berjalan di tanah gersang. Perasaannya perlu dibawakan ke dalam lagu tersebut.

Marsha pula diajar tentang sebutan. Tidak ada sebutan yang tidak boleh keluar jika tekniknya betul. Bahagian rendah pada permulaan lagu tersebut perlu diberikan sedikit tumpuan. Biar bunyinya lebih jelas.

Mawi boleh menyanyikan lagu Pupus seselesa yang mungkin. Pada beberapa bahagian kedengaran agak sumbang. Cikgu Siti Hajar masih belum berpuas hati dengan latihannya. Beliau meminta agar dipasang semula lagu nyanyian asal Pupus. Beliau harus faham tentang teknik dan maka secara tidak langsung stail itu akan datang secara automatik. Teknik tersebut akan membuatkan mereka merasa senang pada tubuh mereka lagu stail itu akan datang secara semulajadi.

Jika pada minggu lepas ada yang marah kerana tidak dapat menonton sesi latihan Mawi, tentunya mereka berasa lega pada minggu ini kerana dapat melihat sesi latihan Mawi. Tetapi tentu juga ada yang merasa tidak berpuas hati kerana sesi latihan tersebut digambarkan dalam suasana Mawi yang masih belum dapat memahami teknik lagu tersebut. Tunjuk salah, tidak ditunjuk salah.

Mawi telah diajar oleh Marsha tentang lontaran pada tempat-tempat yang betul. Marsha memperbetulkan teknik nyanyian Mawi. Nampak peningkatan pada nyanyian Mawi. Namun demikian, saya masih belum berpuas hati dengan nyanyian Mawi untuk lagu tersebut. Saya suka lagu tersebut dan masih belum sedap di telinga saya.

Kejutan Afdlin Shauki
Semangat betul Amylea apabila mengetahui akan kehadiran Afdlin Shauki. Kejutan yang dirancang sebenarnya dikenakan kembali apabila Afdlin muncul dari belakang dan bukannya dari muka pintu. Jelas kelihatan Amylea termalu-malu apabila dapat bertemu dengan Afdlin. Rata-rata pelajar merasa gembira dengan kehadiran Afdlin kerana beliau agak terkenal sebagai seorang yang pelawak dan tidak begitu serius. Sekurang-kurangnya dapat meringankan ketegangan para pelajar setelah berada tujuh minggu di Akademi.

Afdlin menasihatkan pelajar agar mendapat rehat yang cukup. Pada waktu muda sememangnya kita boleh tahan, tetapi apabila semakin meningkat tua, belum tentu kita dapat tahan keadaan tersebut.

Yaer mendapatkan nasihat tentang cara-cara menguruskan badan. Pada awal kemunculannya di dalam arena muzik berat badannya adalah 100kg dan turun ke 76kg setelah berkahwin. Sewaktu penggambaran Buli beratnya meningkat ke 100kg semula. Tetapi ada doktor yang mengawal pemakanannya sewaktu proses penurunan berat badan tersebut.

Setiap pelajar mesti tahu kenapa mereka berada di dalam Akademi Fantasia. Apa motivasi kita melakukannya. Jangan sampai pada satu hari nanti setelah kita tiba-tiba teringat kenapa aku melakukannya di pertengahan jalan. Maknanya kita tidak tahu apa yang kita hendak buat. Jika kita tahu apa yang kita hendak, kita akan capai apa yang kita mahu. Jangan pijak kepala orang lain. Tetapi itulah Melayu.

Bekerja di dalam industri ini bukannya senang. Kita harus mencinta apa yang kita sukai. Begitu juga dengan Marsha dan Amylea. Tetapi harus terus belajar dan terus belajar. Sebelum berakhir, Afdlin sempat menyanyi lagu blues dengan para pelajar secara impromptu.

Kenapa saya tulis blog ?
Blog ini bermula dengan sebuah jurnal peribadi harian yang pembacanya sekitar 300 orang sehari. Saya belum berpuas hati. Saya mahu blog ini dibaca oleh ribuan pembaca. Kemunculan Akademi Fantasia merubah segala-galanya. Bermula dari komen-komen peribadi di Forum saya baiki dan saya susun agar lebih teratur tatabahasanya. Saya melakukannya untuk pembaca saya yang sebanyak 300 hits sehari itu. Tidak pernah saya terfikir hari ini saya memperolehi 11,000 hits sehari. Mulanya saya tidak minta mereka baca, saya tidak pelawa mereka datang membaca. Jangan salahkan saya sekiranya mereka membaca. Jangan saya jadi mangsa cemburu kerana blog ini dibaca. Saya menemui pelbagai macam manusia dari sini. Belajar bermacam-macam benda baru dari mereka yang ikhlas mahu membantu. Belajar bermacam-macam skil pelindung dari mereka yang berusaha mahu menjatuhkan. Malangnya, saya masih belum puas dengan apa yang saya ada sekarang. Saya tidak mahu berhenti lagi. Seboleh-bolehnya saya mahu hubungan saya dan pembaca saya berjalan dalam suasana yang penuh harmoni. Motivasi saya dengan terus mengemaskinikan blog ini adalah kerana pembaca saya ingin mendapatkan pandangan saya tentang Akademi Fantasia. Saya memberikan pandangan saya berdasarkan apa yang saya lihat, apa yang saya dengar dan apa yang saya rasa. Jika anda sudah berpuas hati, malangnya saya belum lagi mencapai apa yang saya inginkan. Moga hari ini ia tercapai.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger