Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 31 December 2005 0 komen

Selamat Tahun Baru 2006

Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2006 kepada semua khalayak pembaca saya yang sentiasa setia mengikuti perkembangan blog ini baik dari aspek positif mahu pun yang negatif. Dalam senyap anda menyokong, dalam diam anda mengeji, uniknya blog sultanmuzaffar akan terus kukuh berdiri dengan adanya pembaca seperti anda semua. Saya amat menghargainya.

Semoga tahun 2006 akan menjanjikan lebih kebahagiaan dan kesejahteraan untuk negara Malaysia amnya dan rakyat Malaysia khasnya terutamanya kepada khalayak pembaca saya seadanya. Azam saya cuma satu iaitu untuk melangsaikan hutang-hutang azam yang tidak terlaksana pada tahun 2005 untuk terus dibawa ke tahun hadapan. Mudah azam saya. Banyak lagi azam-azam yang masih terhutang dan tahun 2006 bakal menyaksikan satu mungkir janji dan pulangan ringgit melalui blog ini. Sudah terlalu lama ia bergerak tanpa menjana pulangan wang ringgit, maka tahun 2006 bakal memberikan kelainan dari aspek penyampaian. Mungkin. Apakah dia, kita sama-sama nantikan. Semoga ia tidak begitu mengejutkan anda. Pengumuman hanya akan dibuat pada 11 Januari ini. (ketawa).

Sorotan Seni sultanmuzaffar

Terlalu banyak aktiviti-aktiviti seni yang saya hadiri lewat tahun 2005. Rata-rata acara yang saya hadiri menjanjikan seribu satu kelainan dan pengalaman yang dilalui tentunya berbeza-beza di antaranya. Saya perlu berhadapan dengan pelbagai ragam manusia yang melintasi kehidupan saya setiap hari.

Pelbagai acara Akademi Fantasia yang tidak berhenti, mujur aktiviti kelab peminat mereka tidak mati seperti singkatnya hayat mereka dalam industri muzik tempatan. Pelbagai acara tontonan media filem-filem baru yang akan ditayangkan di pawagam serta sesi pra-dengar album-album baru yang akan berada di pasaran. Tentulah tidak menang tangan. Mujur kesenggangan waktu yang ada memberikan saya sedikit peluang untuk sama-sama merasai kemanisan hidup sebagai seorang penulis bebas sepenuh masa. Indah sungguh dunia tanpa orang yang bernama Boss !

Penulisan di blog ini semakin menjadi milik masyarakat yang mana dahulunya lebih kepada pengguna tegar internet tetapi tahun 2005 menyaksikan nama blog ini mula singgah di diskusi forum, dada akhbar dan juga lembaran majalah, sesekali dibawa ke arena antarabangsa oleh Jeff Ooi. Pengaruh yang dibawa oleh blog ini membawa saya kepada satu lagi dunia yang lebih besar iaitu pengurusan acara yang melibatkan artis. Projek Rumah Kaca Nikki meninggalkan satu kenangan paling manis buat saya sepanjang tahun 2005. Jejak-jejak yang dibawa dari projek tersebut menyebabkan saya semakin selesa untuk bergerak sendirian tanpa sebarang kongkongan.

Matlamat saya pada tahun ini adalah untuk membawa kandungan blog saya ke satu peringkat yang lebih tinggi iaitu dalam bentuk mobile. Tidak sukar sekiranya ada usaha ke arah tersebut. Beberapa sesi perbincangan sedang berlangsung. Doakan semoga ia menjadi kenyataan. Awal pagi tadi (sebelum subuh) ada beberapa editor akhbar yang bertanya sama ada saya tiada keinginan untuk bertugas dengan pihak akhbar. Ada banyak faktor yang bakal dijadikan alasan untuk membuat keputusan seperti kreativiti saya mungkin akan terbatas apabila mendapat tugasan yang bukan menjadi minat saya. Ahh…kita fikir lain kali sahaja.

Sedar tidak sedar, tahun 2005 merupakan tahun yang cukup gemilang buat artis Malaysia khasnya. Tanggal 1 April 2005, Siti Nurhaliza mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila telah berjaya melaksanakan janjinya kepada rakyat Malaysia dengan menjadi Artis Malaysia Pertama membuat persembahan solo di Royal Albert Hall, London. Dengan rangkaian lagu-lagu popular beliau, saya agak terkilan kerana hanya sekadar menonton konsert tersebut melalui VCD dan bukannya secara langsung di London.

Kontroversi yang melanda filem Sepet setelah kemenangan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia sedikit pun tidak menggugat peluangnya untuk terus memenangi anugerah yang lebih besar di peringkat antarabangsa. Sepet memenangi Anugerah Tertinggi Juri di Festival Filem Wanita 2005 di Creteil, Perancis dan Filem Asia Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke 18. Namun demikian saya agak terkilan kerana Syarifah Amani dan Ng Choo Seong hanya sekadar memenangi Anugerah Pelakon Harapan di Festival Filem Malaysia. Mereka lebih layak untuk menggantikan tempat Tiara Jacquelina dan Zamarul Hisham berdasarkan mutu lakonan mereka yang amat membanggakan.

Tiara Jacquelina nampaknya tidak pulang hampa pada tahun ini apabila memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 50 yang telah berlangsung di Kuala Lumpur. Sebagai seorang produser yang gigih membelanjakan wang untuk industri filem tempatan, beliau telah dinobatkan sebagai Produser Terbaik di Asian Festival of 1st Films 2005 di Singapura. Saya tentunya menantikan hasil Puteri Gunung Ledang The Musical yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2006 dengan hero baru Stephen Rahman-Hughes sebagai Hang Tuah. Bagaimana agaknya lelaki berdarah campuran Inggeris ini merealisasikan watak Hang Tuah ke Lambang Sari, Istana Budaya kelak.

Dua Bintang Malaysian Idol iaitu Jaclyn Victor dan Dina berjaya mencipta nama di arena antarabangsa apabila masing-masing telah meraih perhatian juri di Festival Muzik Asia di Shanghai China dan World Championship Arts, Performances 2005 di Amerika Syarikat. Setelah kemenangan Vince di festival yang sama, bintang Akademi Fantasia masih lagi kekal sebagai jaguh kampung. Hanya pengacaranya sahaja iaitu Aznil Hj Nawawi yang berjaya menyinar di peringkat antarabangsa apabila rancangan Macam Macam Aznil terpilih sebagai Rancangan Bual Bicara Terbaik di Anugerah Televisyen Asia 2005 di Singapura. Setelah kegagalan beliau membawa pulang Anugerah Pengacara Terbaik (Hiburan) pada tahun lepas, sedikit sebanyak anugerah tersebut merupakan pembakar semangat kepadanya untuk menerbitkan lebih banyak program-program hiburan yang lebih santai dan berkualiti untuk seisi keluarga. Kumpulan muzik yang kurang dikenali di Malaysia iaitu Mohram turut membawa pulang pingat perak dari pertandingan yang sama disertai oleh Dina. Nama Mohram terus tenggelam di arena muzik tempatan berbanding terus mekar di negara Jepun. Rakyat Jepun nampaknya lebih menghargai bakat dua anak muda Melayu yang berusaha memperkenalkan muzik tradisional Malaysia di arena antarabangsa.

Tidak lengkap sekiranya saya tidak menyenaraikan fenomena Mawi sebagai salah satu sejarah utama pada tahun 2005. Muncul sebagai Juara Akademi Fantasia 3 benar-benar mengubah hidup anak muda yang berasal dari Felda Taib Andak iaitu Mawi. Akhbar Harian Metro menyenaraikan kekayaan Mawi sejak lima bulan dahulu apabila bergelar juara hingga sekarang. Memang banyak harta yang berjaya dikumpulkan oleh Mawi dan banyak juga harta yang digadai oleh peminat-peminatnya demi menaikkan nama Mawi sepanjang tempoh tersebut. Itulah yang dinamakan pengorbanan suci tulus ikhlas dengan konsep lautan api sanggup kurenangi dan lautan bara sanggup kutempuhi.

Senario paling kontroversi yang melibatkan Mawi sepanjang tempoh tersebut tentulah pengunduran AJK MawiFC yang telah dibina dengan ikhlas untuk menyokong kerjaya seni Mawi sebelum beliau keluar dari Akademi Fantasia lagi. Kontroversi tersebut telah mencalarkan sedikit kredibiliti Mawi dan juga peminatnya. Umum mengetahui secara terperinci kontroversi tersebut dan tidak perlu saya buka kembali lukanya.

Album The Best of Mawi World telah terjual hampir 160,000 unit dan album Mawi Yang Tercinta khabarnya telah mencecah 100,000 unit. Fenomena tersebut benar-benar di luar dugaan kerana ini adalah produk Akademi Fantasia. Setelah tiga tahun saya mengikuti perkembangan Akademi Fantasia, ini merupakan satu perkembangan positif yang begitu di luar dugaan dan sedikit sebanyak telah berjaya meneruskan hayat industri muzik tempatan yang semakin menuju kiamat angkara lanun cetak rompak.

Semoga sejarah atau badi Akademi Fantasia tidak turut terpalit kepada Mawi. Segala jentera pengurusan Mawi perlu digerakkan untuk terus mengekalkan nama Mawi sebagai salah seorang bintang paling popular di Malaysia. Setelah 10 tahun Siti Nurhaliza mengungguli takhta populariti, kini wajarnya mahkota tersebut diserahkan kepada bintang lain yang dirasakan lebih layak untuk menerajuinya iaitu Mawi.

Yang paling best dapat review, yang best tak dapat review...

Muzik Pilihan
Maharani - Nikki
OST Janji Joni
OST Gie
Laskar Cinta - Dewa
Siti Nurhaliza Live in Concert Royal Albert Hall, London

Filem Pilihan
Sepet
Janji Joni
Gol & Gincu
Rock
Mengejar Matahari

Teater
Life Sdn Bhd 3
Julius Caesar

Malaysian Of The Year 2005

Umum mengetahui bahawa akhbar New Straits Times telah menganjurkan satu pungutan suara melalui SMS untuk menentukan siapakah yang layak untuk memegang gelaran Malaysian Of The Year untuk tahun 2005. Saingan sengit yang berlaku antara Nicol David dan Mawi bukan merupakan satu kejutan dengan meninggalkan jauh saingan-saingan mereka termasuklah Perdana Menteri Malaysia Abdullah Badawi.

Gelaran tersebut akhirnya diraih oleh Nicol Ann David yang kini merupakan Pemain Skuasy Nombor 1 Dunia berdasarkan kedudukan terbaru ranking dunia. Kejuaraan beliau di peringkat antarabangsa dengan meraih pingat emas di Sukan Dunia di Jerman, kejuaraan di Terbuka Malaysia, Terbuka New York, Terbuka British dan Terbuka Dunia di Hong Kong merupakan antara faktor utama beliau dilihat sebagai individu yang layak untuk gelaran tersebut.

Seperti Mawi, Nicol juga dilimpahi dengan kekayaan sekelip mata yang datang setelah kejuaraannya. Mereka masih tidak mempelajari dari sejarah akan apa yang telah berlaku kepada pasukan badminton Malaysia yang telah dianugerahi pelbagai kekayaan setelah berjaya memenangi Piala Thomas pada tahun 1992. Semoga badi kejuaraan badminton Piala Thomas tidak terpalit pada Nicol Ann David.

Jom Parti !

Hari ini merupakan hari terakhir gelaran pemenang Anugerah Weblog Terbaik (AWET) 2004 anjuran Geng Jurnal tersemat di dada blog ini. Mulai esok, seorang lagi blogger akan dinobatkan sebagai penerima AWET 2005 mengiringi blogger-blogger terdahulu seperti Rudy Bluehikari, Fajar Online, Mat Jan dan saya sendiri yang pernah merasai nikmat berada di kemuncak selama setahun.

Malam ini jika tiada aral melintang saya akan berparti di avant-garde New Year Eve Party ! di sekitar Kuala Lumpur bersama beberapa aktivis teater, penggiat seni, penulis, dan ramai lagi. Mahu sahaja berada di rumah menghabiskan masa santai bersama peti televisyen. Itu lebih afdal untuk saya yang semakin meningkat usia.

Untuk Rudy Imran, penulis lirik lagu Pinta, semoga cepat sembuh dan hari ini anda akan menerima lagi tetamu-tetamu gila yang akan memeriahkan suasana di hospital tersebut. Bersabar sahajalah kerana kesakitan akan menghapuskan dosa-dosa kecil kita. Sebagai tanda simpati, mari kita pilih lagu Pinta di Pilihanmu Di Era sehingga naik Top 5 Carta ERA. (ketawa)

Kepada semua pembaca blog saya yang merupakan teman, sahabat, kawan, rakan dan seteru saya, baik yang jujur mahu pun yang oportunis, saya menghargai sokongan anda untuk tahun 2005. Jika boleh saya senaraikan di sini, saya akan senaraikan. Tetapi saya tahu yang senarai tersebut akan menjadi terlalu panjang. You know who you are !! Semoga sokongan anda akan berterusan di tahun 2006.

Entri oleh sultanmuzaffar 27 December 2005 0 komen

Dunia Blog Yang Padat

Apakah tandanya bila anda diberikan peluang untuk melibatkan diri atau menyertai aktiviti-aktiviti blog sebegini. Mungkin itu adalah tandanya anda semakin tua. Saya cuba untuk memberikan sepenuh kerjasama sebaik mungkin kepada pihak-pihak yang ingin mendapatkan pandangan dan bantuan mereka tentang dunia blog. InsyaAllah.

Blogger Focus Group

Sudah agak terlewat untuk bercerita tentang Blogger Focus Group yang diadakan sewaktu proses persiapan untuk Projek Rumah Kaca Nikki. Antara yang hadir pada malam itu ialah Rudy Bluehikari, Nizam Zakaria, Joe Klubbkidd, BadrulAfterSix, Sekadar Media Picisan dan saya sendiri.

Majlis tersebut telah dirancangkan oleh Javard untuk salah satu kajiannya tentang komunikasi menjurus kepada dunia blog secara amnya. Perbincangan lebih terbuka kepada sudut ilmiah dan jawapan-jawapan yang diterima agak memadai.

Antara bahagian-bahagian menarik yang berlaku sewaktu perbincangan tersebut ialah kata Nizam Zakaria, blog saya dan beliau dimulakan sebagai terapi setelah berhadapan dengan hubungan cinta yang gagal. Poyo ! Rudy menyatakan yang beliau akan kembali menulis blog pada tahun hadapan. Tentu ramai yang tertunggu-tunggu ianya menjadi kenyataan.

Sesuatu yang menarik tentang kumpulan yang terpilih ini adalah mereka terdiri daripada dua kumpulan yang boleh saya bahagikan kepada pertama adalah mereka yang menjadi pencetus minat saya untuk blog dan kedua adalah mereka yang timbul minat untuk blog setelah berkongsi keseronokan melalui blog saya. Kedua-dua kumpulan ini semacam ada kaitan yang amat rapat dengan diri saya sendiri. Kami berkongsi minat yang sama dan dai minat tersebut kami meneroka atau menjelajah ke satu bidang yang lebih besar.

Seperti kebiasaan, saya kurang gemar memberikan jawapan secara langsung kerana otak saya sudah perlu sampai masanya untuk menjalani proses overhaul kerana sudah terlalu berkarat. Malam Tahun Baru nanti saya overhaul. Tiga tahun sekali, apa salahnya.

Salah satu persoalan yang menarik perhatian saya adalah tentang pengaruh blog yang boleh menyebabkan berlakunya perubahan aliran sesuatu pendirian. Pengaruh menyebabkan ramai pembaca takut kepada seseorang blogger. Menurut mereka, pengaruh yang dibawa oleh seorang blogger bisa untuk mengubah pendirian pembaca yang lain. Maka, mereka perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan sokonga blogger untuk berpihak kepada mereka. Apabila ini berlaku, pandangan yang diberikan sudah menjadi tidak telus. Ini yang menakutkan saya. Pandangan blogger sudah menjadi tidak penting kerana menurut mereka sokongan dari blogger adalah lebih penting lebih-lebih lagi yang memihak kepada mereka.

Nasihat saya cuma satu, jangan cepat terpengaruh dengan tulisan blogger. Tonton, dengar atau saksikan sendiri dan buat keputusan sendiri ikut kata hati anda. Itu lebih sesuai.

Wawancara Untuk Portal WAP Maxis

Saya telah pun menyiapkan setiap jawapan untuk wawancara yang disiapkan oleh Malique. Banyak juga soalan-soalan yang panas daripada 31 soalan yang perlu saya jawab. Keseluruhan wawancara tersebut boleh dibaca di Portal WAP Maxis apabila ia telah dinaikkan kelak. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk saya menyiarkannya di blog ini sebelum ia disiarkan oleh penulis portal tersebut.

Sebagai teaser kepada keseluruhan wawancara tersebut, saya menyiarkan satu soalan untuk tatapan pembaca saya. Selebihnya, anda perlu melayari Portal WAP Maxis untuk keseluruhan wawancara tersebut.

26.Adakah anda pernah digoda oleh pembaca yang telah jatuh cinta dengan anda? Kalau ada, adakah anda menerimanya atau mengambil kesempatan?
(ketawa)

Soal-Selidik “Bloggers writing strategy survey” oleh Zany

Saya turut menerima satu email berkenaan soal-selidik “Bloggers writing strategy survey” yang saya kira adalah berkaitan dengan blog Bahasa Inggeris. Maka secara tidak langsung, soal-selidik tersebut adalah tidak relevan dengan blog saya.

Saya menyiapkan soal-selidik tersebut dalam bentuk pautan ini untuk dimuat-turunkan oleh pembaca saya yang mempunyai blog Bahasa Inggeris dan kemudiannya dihantarkan kepada pengirim email tersebut.

Muat-Turun Soal Selidik

Questionnaire About Akademi Fantasia, Malaysian Idol and Mentor oleh Nor Rosmawati

Soal-selidik yang kedua adalah berkaitan dengan Akademi Fantasia, Malaysian Idol dan Mentor yang telah dikirimkan oleh Nor Rosmawati melalui email.

Saya menyiapkan soal-selidik tersebut dalam bentuk pautan ini untuk dimuat-turunkan oleh pembaca saya yang meminati program-program tersebut. Mudah sahaja ! Jika anda ingin menjawab soalan tersebut, anda hanya perlu boldkan jawapan anda dan hantar semula jawapan tersebut kepada pengirim email tersebut.

Muat Turun Soal-Selidik

Wawancara bersama Radio MMU

Tahun 2006 bakal bermula tidak berapa lama lagi. Tahun tersebut saya bakal mulakan dengan sebuah wawancara yang telah dirancang bersama Radio MMU pada 5 Januari 2006. Wawancara tersebut boleh didengar melalui internet di Radio MMU. Khabarnya ia akan berkisar tentang blog dan pengaruhnya kepada masyarakat. Pengaruh lagi.

Saya tidak pasti sama ada siarannya adalah secara langsung atau dirakamkan terlebih dahulu seperti ERA. Yang pasti ia menggerunkan saya kerana saya memang fobia siaran secara langsung walaupun melalui medium radio.

Entri oleh sultanmuzaffar 24 December 2005 0 komen

Ulasan Filem : Baik Punya Cilok
Ramai yang suka dengan filem ini, tetapi saya sebaliknya. Entah. Bila terbaca sinopsis filem ini sewaktu menonton previu filem ini beberapa minggu yang lalu, saya tertarik dengan ceritanya. Ringkas. Empat orang sahabat baik. Seorang Tauke Wong yang tamak haloba. Sepasang kerongsang. Apabila direalisasikan di layar ia semacam ada yang kurang. Mungkin kerana jenaka versi Afdlin dan rakan-rakan teaternya saya sudah biasa tonton. Maka filem ini semacam stand-up comedy versi lebih panjang.

Ada beberapa aspek yang saya suka dalam filem ini iaitu lakonan Awie sebagai Bob yang kental jiwa-jiwanya. Kalau sebelum ini Awie sering diberikan watak-watak mat rock juga hero filem bercorak romantis. Selain daripada itu watak Naa Murad yang tebal slang Kelantannya berbahasa Inggeris. Ia mampu membuatkan saya terjaga menonton lakonannya. Ada sesuatu yang penonton boleh dapat setelah keluar dari panggung wayang selain hiburan, mereka boleh mendapat sedikit pengajaran tentang makna “cilok”. Hidup kita sentiasa perlu awas dan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Sekurang-kurangnya moral dari filem tersebut mengajar saya tentang keseluruhan hidup. Penggunaan tok dalang yang bercerita untuk adegan flashback sangat lawak dan ada kelainan. Begitu juga dengan suara ikan yang digunakan sebagai narration. Ia semacam filem ini dilihat dari pandangan seekor ikan. Mungkin.

Ada beberapa aspek yang saya kurang suka dalam filem ini iaitu suntingannya yang agak kelam-kabut. Saya jadi pening. Beberapa watak tidak dikembangkan dengan baik dan ada diantaranya seperti trying too hard macam watak Harith Iskandar dan Ida Nerina. Kedua-dua watak ini tidak berjaya menarik minat saya. Adegan pertarungan di penamat filem ini terlalu lama. Nyaris saya tertidur. Selain daripada itu kejutan-kejutan selamba yang ingin dicipta dalam filem ini semacam sudah boleh dijangkakan oleh saya. Tidak wajar untuk saya ceritakan di sini, nanti menjadi spoiler pula.

Kepada sesiapa yang masih belum menonton Baik Punya Cilok, anda tentu menyukainya kerana buat masa ini rata-rata kawan-kawan yang saya temui menyukai filem ini kecuali saya. Saya pun tidak faham mengapa kali ini selera saya jauh berbeza dari mereka, mungkin juga harapan yang tinggi saya berikan kepada Afdlin Shauki setelah menonton Buli. Anda tentu mahu mencari kelainan dalam filem ini yang tidak saya temui. Jom ke panggung ramai-ramai, jangan pedulikan ulasan saya !

Saya suka : lakonan AC Mizal (Jim Carrey Malaysia) dan Naa Murad (scene-stealer)
Saya tidak suka : Adegan pertarungan akhir yang terlalu lama

Ulasan Lain :
Sekadar Media Picisan
Mukeh
TontonFilem
Zeo
AriffSamani
Dari Kacamata Ku
Mat Jan

King Kong Pun Nak Join JU

Seawal satu jam filem ini saya tidur. Apabila terkejut dengan raungan King Kong baru saya terjaga. Entah. Mungkin kerana saya sudah lama tidak menonton filem Inggeris.

Menonton filem ini seperti menonton ulangan pelayaran dengan kapal dalam filem Titanic, kemunculan T-Rex dan velociraptor dalam Jurassic Park, memanjat bangunan tinggi dalam Spider Man, makhluk-makhluk pelik seperti dalam Alien, pengembaraan dalam Indiana Jones The Last Crusade dan juga adegan pemusnahan King Kong seperti adegan perperangan dalam Pearl Habour. Macam kapal terbang mainan kapal terbang tu. Dalam masa tiga jam, banyak filem dapat ditonton dengan hanya RM11.00. Bayangkan sekiranya ada remake filem King Kong oleh pengarah Malaysia. Tentulah King Kong akan panjat bangunan paling tinggi di dunia iaitu Menara Berkembar Petronas sampai ke Sky Bridge dan duduk bertenggek kat tengah-tengah jambatan itu. Jangan ada sesiapa yang bising saya kata bangunan itu masih paling tinggi di dunia. Kita sebagai Melayu kena bangga dengan bangunan itu. Itu kan identiti kita, towering Malay katanya.

Kalau bukan kerana Jiwang United, saya tidak akan pergi menonton filem ini. Lebih melonkolik, King Kong juga sudah ada aura-ura ingin memohon sebagai Ahi Kehormat Jiwang United.

Jika diberi pilihan lain, saya lebih rela menonton Baik Punya Cilok sekali lagi dari menonton King Kong. Cintailah filem Melayu. Tengok, jiwa Melayu saya masih kuat lagi.

Ulasan Lain :
Ruhayat X

Teater Lembah Semantan & B’Badi
Stor Teater DBP


Sesudah 50 tahun Wan Shamsiah sengaja dedahkan nama Wan Hakim kerana tidak mahu sejarah dibawa ke mati. Dia ada kerinduan terhadap masa silamnya. Dia dan arwah suaminya juga bertugas di Post Home Guard untuk mengawal ketenteraman kampung. Dialah yang menjahit bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dihadiahkan kepada Wan Hakim. Dialah yang menyaksikan bagaimana pencalonan wakil rakyat bertukar daripada nama Wan Hakim kepada Tengku Long. Dialah yang menyaksikan pertarungan dua sahabat, Wan Hakim dan Mahadi, demi kebenaran. Dia amat tahu Wan Hakim hanya berjuang demi Kemerdekaan tanah air dan tidak berdendam dengan Tengku Long yang menikahi kekasihnya, Asmah.

Kesempatan yang ada pada Wan Shamsiah apabila cucunya ingin membuat tugasan pelajar Tingkatan 2 : Kajian Tokoh Tempatan, Tugasan Lapangan Luar telah mendedahkan siapa Wan Hakim. Malah, telah membabitkan nama Tengku Gafar. Tengku Gafar, usahawan yang berjaya, tetapi melupakan sejarah, jasa pejuang dan ayahnya, Tengku Long.

Saya sering mengikuti lakonan Sarina Aziz dalam beberapa teater terdahulu. Nampak ada kelainan dalam lakonannya kali ini. Kepelbagaian watak yang dibawa oleh beliau sebelum ini telah berjaya mematangkan beliau. Saya suka dengan variasi dan tidak stereotype.

Teater ini dibantu dengan latar bunyi yang baik. Para pemuzik telah mewujudkan ambience kepada teater ini serta menyampaikan sedikit rasa kepada penonton untuk menghayati teater ini.

Fakta yang betul adalah tunjang utama dalam penghasilan cerita yang bercorak sejarah dalam mana-mana skrip teater. Sedikit kesilapan tentunya mencacatkan naratif teater tersebut. Kewujudan bendera Malaysia dalam teater ini boleh dipertikaikan.

Saya paling suka dengan salah satu dialog dalam teater ini yang berbunyi, “Sejarah boleh ditutup dengan baju tetapi parut dari kesan sejarah akan dibawa sehingga ke mati.” Banyak kesan sejarah yang terpaksa kita tanggung sehingga ke mati. Tidak perlu saya senaraikan di sini, biarlah kita fikir sendiri dan mengenangnya satu-persatu sebagai salah satu kesilapan kita yang tidak dapat dibaiki lagi.



B’Badi menceritakan tentang Qori Cabang Empat Beris yang memang sudah lama berhajat untuk berdepan dengan Pok Nik Tok Che Leh. Selagi nama Pok Nik Man tidak jatuh selagi itulah nama Qori tidak akan berada di atas. Dia sedar bahawa Pok Nik Man adalah nama yang cukup besar. Daripada dia kecil lagi nama Pok Nik Man sudah disebut orang. Kehebatannya bukan sahaja diakui dalam negeri Kelantan, malah juga di Terengganu, Pahang dan selatan Siam. Ramai juga kaki-kaki samseng di Kuala Lumpur anak buah Pok Nik. Tapi Qori tidak kurang hebatnya berbanding Pok Nik. Walaupun jarak usia mereka ternyata jauh, tapi pengalaman Qori tidak boleh diperkecilkan.

Akhirnya mereka bertemu dalam satu peristiwa di mana tenaga dan pengaruh mereka diperlukan dalam menyelesaikan satu kes penculikan yang melibatkan seorang yang berpengaruh di Kelantan. Haji Rashid Tukang Emas dan telah diculik dan dibawa ke Siam. Pok Nik Man dan Qori dianggap orang yang layak untuk menjejaki Haji Rashid berdasarkan hubungan mereka dengan orang-orang di selatan Siam.

Cerita B’Badi bermula ketika mereka bertemu di sebuah pangkalan haram di tebing Sungai Golok. B’Badi (Berbadi) bermaksud suka berlumba-lumba (mengatasi satu sama lain)

Kekuatan utama teater ini adalah lakonan penuh berpengalaman dari Sabri Yunus dan Wan Hanafi Su. Kedua-dua mereka boleh saya sifatkan sebagai jagoh dalam bidang lakonan teater. Mereka bermula dari teater dan membawa mereka ke dunia drama serta filem. Pelakon yang baik akan bermula dari teater dan inilah yang telah dibuktikan oleh mereka.
Lakonan mereka bersahaja dan penuh dengan karektor. Dibantu oleh cerita yang baik, teater ini telah berjaya mengangkat satu nashkah yang ringkas tetapi penuh bermakna. Dengan menggunakan slanga Kelantan, setiap butir cerita yang ingin disampaikan telah berjaya hampir kepada penonton. Saya terhibur dengan sebuah cerita yang ringkas dan lakonan mantap dalam teater ini.

Perkembangan Terkini Teater
Masih ingat saya pernah bercerita tentang senario teater Malaysia yang agak lesu sejak akhir-akhir ini. Khabarnya, teater Lantai T.Pinkie The Musical akan menyusul pula setelah Puteri Gunung Ledang The Musical di Istana Budaya. Antara pelakon yang telah disunting untuk teater muzikal karya Datuk A.Samad Said itu ialah Erra Fazira, Nasha Aziz, Umie Aida dan Fauziah Ahmad Daud. Saya tidak sabar. Kalau ada kelapangan masa, saya mahu ke Istana Budaya untuk meninjau peluang-peluang ujibakat untuk diwar-warkan kepada pembaca blog saya.

Selamat Hari Natal
Saya mengucapkan Selamat Hari Natal kepada pembaca blog saya yang menganut agama Kristian di Malaysia. Semoga hari tersebut menjanjikan seribu satu kebahagian buat semua. Merry XMas !!

Entri oleh sultanmuzaffar 22 December 2005 0 komen

Projek Rumah Kaca Nikki : Bahagian Keempat

Apabila saya tergerak memberikan sokongan padu saya kepada Nikki, ada pihak yang mula bersuara menyuarakan ketidakpuashatian mereka. Kata mereka saya mula pilih kasih. Tidak salah untuk saya membuat pilihan kerana hidup adalah proses membuat pilihan. Kita yang menentukan pilihan kita bukan orang di sekeliling kita. Pilihan yang terbaik adalah di tangan kita.

Nyaris
Saya nyaris tidak terlibat dengan projek ini kerana di awal perancangannya berlaku sedikit salah faham dengan Joe Klubbkidd kerana isu Mawi vs MawiFC. Nama saya hampir dipadamkan dari senarai jemputan untuk Pre-Listening Album Maharani walaupun saya di antara yang mula-mula mengetahui tentang idea Rumah Kaca tersebut. Kalau sudah peluang saya di situ, tentulah tidak ke mana. Akhirnya segala kekusutan kembali usai kerana tiada gunanya meneruskan perselisihan faham hanya kerana bintang realiti yang pasang surut popularitinya tidak menentu. Persahabatan yang bersifat jangka panjang adalah yang perlu lebih dijaga daripada yang lain.

Kali Pertama
Kali pertama saya, Badrul dan Juan mendengar lagu Caramu di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke Bangsar, saya menyatakan pandangan pertama saya tentang lagu tersebut. “Ini ke produk yang ko nak aku promote ?” ujar saya kepada Joe Klubbkidd. Kami ketawa. Muka Joe memang merah padam menahan marah. Lagu Caramu yang saya dengar itu adalah sebelum melalui proses mixing. Bunyi drumnya macam bunyi ketuk baldi. Lagu itulah yang berkali-kali diulang oleh Joe untuk kami dengar sampai tidak sanggup lagi saya dengar. Jangan salah faham kerana lagu Caramu waktu itu adalah nyanyian solo Nikki dan belum lagi dimasukkan vokal Zahid. Ada juga yang bersuara nanti mengatakan saya tidak sukakan lagu tersebut kerana Zahid.

Album tersebut perlu dilancarkan kepada umum dan Projek Rumah Kaca Nikki adalah satu idea yang gila dan perlu dilaksanakan. Saya tertarik dengan konsepnya kerana saya memang gilakan sesuatu yang realiti sama seperti realiti TV. Walaupun ada beberapa idea yang tidak dapat dilaksanakan kerana kesuntukan masa tetapi ia merupakan satu projek yang boleh saya sifatkan berjaya. Walaupun bukannya berjaya untuk semua, cukup sekadar merupakan satu kejayaan untuk diri saya sendiri.

Rata-rata mereka yang menyokong projek ini adalah mereka yang berada di dalam kelompok Akademi Fantasia. Malaysian Idol dan Akademi Fantasia adalah seperti minyak dan air yang terlalu mustahil untuk dicampur-adukkan bagi sesetengah pihak. Bintang-bintang realiti TV yang sudi menyatakan sokongan mereka kepada Nikki juga ialah mereka yang lahir dari program Akademi Fantasia seperti Zahid, Mawi, Marsha, Kaer, Farah dan Nana. Ke mana perginya bintang Malaysian Idol seperti Daniel, Nita dan Dina ? Yang hadir cuma Jaclyn Victor, itu pun atas jemputan peribadi dan bukannya melalui pihak pengurusan mereka. Sayang sekali, projek yang boleh saya sifatkan agak unik ini turut tidak mendapat sokongan dari krew Melodi.

Projek ini turut mendapat sokongan seratus peratus dari ERA. Buat pertama kalinya ERA terlibat dalam pelancaran sesebuah album artis baru. Tentunya ada sesuatu yang kita sendiri tidak nampak, tetapi mereka yang berada di ERA telah lama nampak.

Open Your Mind
Melibatkan diri untuk bekerja dengan pelbagai perangai manusia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga buat saya. Ada di antaranya memberikan saya peluang untuk mengenali sifat-sifat mereka dengan lebih dekat dan memahami karektor masing-masing dengan lebih mendalam.

Cepat bertindak juga merupakan satu ciri penting apabila terlibat dalam projek yang pasukannya tidak besar. Hanya sekitar 20 orang sahaja dan tentunya kami perlu melakukan hampir semua kerja dan mendapat kerja-kerja sampingan tanpa diduga. Satu hari saya boleh diserahkan untuk menyiapkan siaran akhbar, esok saya boleh diarahkan untuk menjadi photoblogger dan kemudiannya menjadi pembawa cenderamata. Semua orang adalah multi-tasking. It was fun !

We were very lucky to have Ted as a stand-up comedian yang menghiburkan kami dengan jenaka-jenakanya. Boleh dilihat pada gambar klasik di tengah-tengah hujan beliau berpayung menjaga muka pintu Rumah Kaca tersebut. Banyak cerita-cerita sebalik tabir yang ingin diceritakan tetapi itulah kemanisan yang lebih baik dirasai sesama sendiri tetapi bukan dengan orang lain.

Cara saya melihat sesuatu projek-projek besar juga pastinya berubah selepas ini tetapi terus mengekalkan pandangan kritis yang diharapkan dapat memantapkan lagi setiap projek yang saya sertai.

Lagi satu yang saya belajar dalam projek ini ialah jangan under-estimate mereka yang muda-muda. Kadang-kadang idea mereka lebih bagus dari mereka yang senior dan adakalanya pandangan mereka terhadap sesuatu isu lebih matang. Apa yang kita tidak nampak, mereka boleh nampak. Apabila dibincangkan, kami mencapai satu kata putus yang lebih seimbang. Maka keputusan tersebut adalah keputusan terbaik yang diperolehi.

Sekiranya sebelum ini saya ada rasa prejudis terhadap bangsa lain, saya bersyukur kerana senilah yang telah berjaya membuatkan saya membuang sikap tersebut. Mungkin tidak seluruhnya, tetapi cukup sekadar sebagai satu permulaan yang positif. Bekerja dengan pelbagai bangsa membolehkan sifat toleransi lebih diperolehi. Saya sedar tidak ramai yang berkemampuan untuk keluar dari kelompok Melayu mereka untuk sama-sama menerima bangsa atau kaum lain untuk sama-sama berkerjasama dalam satu-satu projek. Wujudnya sikap prejudis tersebut sebenarnya adalah racun kepada proses pembinaan sebuah bangsa Malaysia yang lebih berjaya.

Sikap “kita hanya perlu menyokong kerja Melayu/Islam, kerja bangsa lain tidak perlu disokong” perlu dihindarkan. Kalau menyokong kerja Melayu pun boleh sampai mana, kecuali menyokong kerja Melayu kroni kerajaan.

Semalam Majlis Makan Malam Terima Kasih dibuat di Madam Kwan’s Bangsar. Ramai juga yang hadir antaranya ialah Nikki, Vernon, Syed, Ted, Joe Klubbkidd, Audi Mok, Rudy Imran, Aylwin, Najmie dan Terry. Dapat lagi satu CD Maharani. Buat susah-susah aje. Sudah ada sebuah cukuplah, buat apa beri lagi satu. Lebih baik jual saja CD tersebut. Saya belajar lebih lanjut tentang Media Manipulation 101. Welcome to the real world, SM !

Saya telah menghabiskan masa-masa yang berkualiti dengan pasukan ini selama tiga hari bersemayam di Istana Kaca, Bukit Bintang. Terima kasih Nikki, Ning Baizura, Vernon, Jinggo, Shah Security, Terry, Aylwin Santiago, Audi Mok, Syed Sobrie, Rudy Imran, Ted Ridzuan Michael, Joe Klubbkidd, Badrul dan Najmie

Ulasan :

Entri oleh sultanmuzaffar 21 December 2005 0 komen

Projek Rumah Kaca Nikki : Bahagian Ketiga

(soundtrack : Malam Bulan Di Pagar Bintang - Dayang Nurfaizah)
Satu pagi yang sejuk gila. Kalau mahu dikatakan mendapat rehat yang secukupnya, saya rasa saya tidak mendapat keselesaan yang secukupnya. Sudah lah sejuk macam di Kutub Utara suhu bilik hotel itu. Rasa macam nak tidur bawah katil. Sudah lah permaidani Hotel JW Marriott itu tidak setebal permaidani Mandarin Oriental KL. Pagi tersebut bermula agak lewat. Urusan check-out perlu dilakukan sebelum bergerak ke Rumah Kaca. Banyak juga kerja angkut-mengangkut dari bilik ke bilik yang perlu dilakukan selain ke kereta. Arahan-arahan yang diberikan juga tidak begitu lantang. Masing-masing cuba mengawal emosi masing-masing. Lagipun ini hari terakhir di Bukit Bintang. Hari ini ialah Hari Pelancaran Album. Kita mesti gembira bukan sentap !


Selesai urusan angkut-mengangkut dan check-out, baru kami bergerak ke Rumah Kaca. Jam sudah sekitar pukul 2 petang. Segala teks ucapan dan siaran akhbar sudah siap dicetak, hanya CD Foto yang masih belum disiapkan. Najmie harus segera ke Rumah Kaca untuk melakukan proses “CD burning” sebelum majlis bermula.

Aturcara hari tersebut bermula agak lewat dan tidak seperti yang terdapat dalam program harian. Banyak aktiviti yang teranjak masanya. Setibanya saya di persekitaran Rumah Kaca, saya cuba meninjau apa lagi yang boleh dilakukan. Cenderamata perlu dipasangkan reben, cenderamata CD untuk para komposer, penulis lirik perlu diletakkan di satu tempat agar tiada yang tertinggal. Perlu juga disusun mengikut aturan agar tidak bercelaru kelak sewaktu Zizi mengumumkan nama mereka nanti.


Ning Baizura mencari teks ucapannya yang ada pada saya. Saya menyerahkan kepadanya selain membuat sedikit perubahan pada baris-baris terakhir. Saya perlu memegang teks ucapan tersebut dan diberikan kepadanya sebelum beliau naik ke atas pentas untuk berucap. Kalau beliau yang pegang takut tersilap letak katanya.

Di dalam Rumah Kaca begitu padat dengan pelbagai aktiviti yang berjalan serentak. Nikki sedang disolek oleh Matt dan rakan-rakannya, hidangan Makan Tengahari tajaan My Mom's Chicken Rice bersama Linda Onn telah pun sampai, Linda Onn pula membawa pekerja-pekerja restorannya hadir sama, Zizi pula sedang bersedia sebagai pengacara majlis dan Najmie pula sedang tekun menyiapkan Foto CD untuk diberikan kepada para wartawan. Petugas audio pula keluar-masuk untuk melakukan sound check. Semuanya tekun melakukan tugas masing-masing.

Tepat jam 3 petang, Zizi, penyampai ERA paling junior memulakan acara dengan menjemput Ning Baizura menyampaikan ucapannya. Sekilas pandang, Ning kelihatan saling tidak tumpah seperti ibunya dengan pakaian yang agak formal iaitu blaus hitam polka dot serta seluar warna beige.

Selesai berucap, Ning menyampaikan cenderamata kepada para penaja dan para komposer serta penulis lirik dalam album Maharani. Tepat jam 3.21 petang, Nikki melangkah keluar dari Rumah Kaca tersebut dan memulakan persembahannya dengan lagu Caramu. Tiada perkataan yang mampu menggambarkan perasaan saya ketika itu. Sesekali merasa lega kerana semuanya akan berakhir. Sesekali merasa bangga kerana usaha serta penat lelah kami akhirnya berjaya dilaksanakan. Perasaan itu datang berbaur-baur.

Sebagai seorang artis baru serta kemampuannya membawakan lagu-lagunya secara langsung benar-benar meyakinkan saya bahawa saya tidak tersilap dalam memberikan sepenuh keyakinan saya kepada bakat beliau. Saya mengaku yang tidak mengenalinya sewaktu persaingan di Malaysian Idol berlangsung. Namanya muncul sekali lalu sahaja tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak memberikan sokongan kepadanya setelah beliau berjaya menghasilkan sebuah album yang baik. Hasil bimbingan Linda Jasmine, Nikki nampaknya berjaya melaksanakan kerja-kerja tarian dengan baik. Bukan sekadar menari tetapi juga menyanyi secara langsung dengan baik.

Lagu Cinta Baru menyusul kemudian dan lagu dari bahasa Dusun iaitu Sunudai Oku pula berkumandang. Saya mengaku agak bias dan saya memang menantikan beliau membawakan lagu Pinta secara langsung selepas itu. Satu kerana melodi lagu tersebut kini sedang bermain-main dalam kepala saya. Kedua lirik lagunya yang begitu menyentuh perasaan. Ketiga saya mahu dengar whistling dalam lagu tersebut yang khabarnya hebat diperkatakan merupakan kekuatan utama Nikki. Semua orang boleh whistling dalam album, bagaimana pula di luar album. Itu yang saya mahu dengar.

(soundtrack : Pinta Vintage Mix - Nikki)
Perasaan sebak sekali-sekala datang menghampiri diri. Saya kawal. Saya sudah dapat melihat mata-mata Joe Klubbkidd dan Badrul dari jauh. Sambil Nikki menyampaikan lagu tersebut dengan penuh bersahaja, Vernon turut memberikan isyarat agar menyampaikan lagu tersebut dengan penuh perasaan. Feel the song ! Itu antara gerak bibirnya yang dapat saya baca. Penyampaian lagu tersebut memang superb. Itu yang boleh saya katakan. Tetapi saya belum puas. Saya mahu melihat Nikki membawakan lagu tersebut di Anugerah Industri Muzik atau pun Anugerah Juara Lagu tahun depan. Itulah antara majlis anugerah muzik yang berprestij di Malaysia.

Penglibatan ERA dalam membantu mempromosikan produk ini bukan kerja sia-sia mereka. Mereka yakin produk ini perlu mendapatkan sokongan yang sewajarnya. Tidak hairanlah sekiranya mereka memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Lagu Pinta telah pun memasuki senarai Baru Di ERA. Manakala lagu Pinta (Vintage Mix) telah pun dua minggu berada dalam senarai Carta ITunes SM. Juara Carta pulak tu ! Taste orang-orang tua !

Lagu Hey! Hey! menutup persembahan Nikki pada petang itu. Persembahan Nikki diiringi oleh para penari dari Linda Jasmine Studio. Saya merasakan Nikki perlu mendaftar dengan Linda Jasmine Studio untuk lebih memantapkan kepelbagaian tarian yang boleh dipersembahkan kepada khalayak kelak. Ternyata tunjuk ajar Linda Jasmine telah membuahkan hasil yang bukan sedikit. Ning Baizura kemudiannya menghadiahkan Nikki sejambak bunga dan memahkotakan Nikki sebagai ‘Maharani’ sebagai kejutan.

Nikki kemudiannya menyampaikan cek sumbangan kepada Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Binatang (SPCA) yang bernilai RM3,830 hasil sebahagian daripada penjualan album Nikki sepanjang 3 hari berkampung di Rumah Kaca tersebut. Ada di antara pembaca saya yang bertanyakan jumlah album terbaik bintang realiti tv ini yang telah terjual selama ini. Apa yang saya tahu, hanyalah jumlah CD yang telah terjual sepanjang 3 hari tersebut iaitu sebanyak 766 keping. Di Malaysia, adalah mustahil untuk mendapatkan kuantiti dan kualiti pada waktu yang sama. Kalau kualiti dinilai berdasarkan kuantiti, maka filem Sembilu adalah filem terbaik Malaysia dan bukannya Sepet. Tiba-tiba tukar topik ke filem kan…:)


(soundtrack : Imaginasi - Nikki)
Untuk memuaskan hati penonton, Ning Baizura meminta Nikki menyampaikan lagu Imaginasi sebagai penutup majlis pelancaran album Maharani. Bila nampak semacam ada isyarat encore dilakukan oleh Ning, saya mengharapkan agar lagu Pinta diulang semula. Akhirnya lagu Imaginasi yang menjadi pilihan walaupun didendangkan secara solo tanpa Ning Baizura. Kalau ingin mendengar versi duet bersama Ning Baizura, di dalam hidden track CD Satu ada lagu tersebut.

Selesai minum petang merangkap makan tengahari dan sarapan, tugas kami belum selesai. Kesan ketidakselesaan tidur malam semalam, saya pening pagi tersebut. Saya mengambil keputusan untuk baring seketika di sofa bed IKEA yang menjadi kepunyaan Nikki selama tiga hari tersebut. Sesekali terlena. Mungkin cuaca yang tidak menentu, sekejap panas, sekejap hujan lebih menyakitkan kepala.

Kami pulang ke hotel untuk check-out dan melakukan kerja angkut-mengangkut barang ke kereta. Siapa yang tidak seronok kerja semakin sudah hampir ke penghujungnya. Saya dan Najmie diberi pelepasan untuk tidak perlu hadir pada malam ini di Rumah Kaca untuk proses transformasi Rumah Nikki kepada New Straits Times Kiosk. Lega.

(soundtrack : Kasih - Dayang Nurfaizah)
Kami boleh pulang dan berehat. Aku mahu rehat sepuas-puasnya.

Best gila terlibat dengan projek Rumah Kaca Nikki ini. Saya pernah terlibat dengan sebuah produksi teater beberapa tahun yang lalu sebagai pelakon dan webmaster, pengalamannya jauh berbeza. Dalam waktu yang terdekat ini pula, saya akan membantu sedaya yang termampu dengan sebuah produksi drama pula. Tentunya pengalamannya lebih berbeza. Saya anggap ini semua sebagai satu proses praktikal saya dengan industri seni.

Esok merupakan Bahagian Keempat yang mana saya akan bercerita tentang mengapa saya melakukan projek ini untuk Nikki.
Ulasan :

Entri oleh sultanmuzaffar 20 December 2005 0 komen

Projek Rumah Kaca Nikki : Bahagian Kedua


(soundtrack : Caramu (Sax and The City Remix) - Nikki)
Jika semalam hanya sebahagian dari satu hari berada di rumah kaca, hari kedua menyaksikan kami perlu berada di rumah kaca selama sepanjang hari. Ia bermula seawal jam 9.45 pagi. Perkara pertama yang kami buat adalah bersarapan pagi di Mc Donalds berhampiran dengan lokasi rumah kaca tersebut. Bayangkan bagaimana penatnya kami sepanjang hari perlu menghadapi suasana sibuk segitiga emas Kuala Lumpur tersebut. Lebih-lebih lagi Penyanyi Nombor Satu Malaysia akan tiba untuk makan tengahari bersama Nikki.

Penjaga Rumah Kaca

Pagi tersebut hujan turun mencurah-curah. Adakalanya kita jadi tidak bersyukur apabila hujan turun dengan lebatnya walaupun setelah lama tidak hujan kerana kita sedang menganjurkan sesuatu dan hujan adalah sesuatu yang jika boleh mahu dielakkan. Tetapi ia tetap turun mencurahi bumi. Perggh !! Macam novel cinta pula ! Jangan dilupakan mangsa banjir yang kini sedang melanda hampir keseluruhan Perlis, Kedah dan Pantai Timur.

Backdrop untuk acara yang akan berlangsung Ahad ini telah pun dinaikkan. Maka tugas para petugas seperti kami menjadi sedikit mudah kerana pejalan-pejalan kaki yang menggunakan laluan tersebut sudah tahu apa yang berlaku di persekitaran Rumah Kaca tersebut. Cuma mereka agak kabur untuk melihat apa yang berlaku di dalam Rumah Kaca tersebut. Timbul idea dari kami untuk menggunakan TV plasma yang ada di dalam Rumah Kaca tersebut untuk dibawa keluar dan disambungkan kepada perakam video yang merakamkan aktiviti di dalam Rumah Kaca tersebut. Menyedari hakikat, TV plasma tersebut bukan hak milik persendirian, maka idea tersebut tidak dapat dilaksanakan.

Satu perkara yang menarik dalam projek sebegini, otak perlu kena cepat mencambahkan idea-idea baru dengan secepat mungkin. Walaupun dalam keletihan, otak perlu digerakkan sederas yang mungkin. Idea-idea gila sebenarnya bukan mustahil untuk dilaksanakan. Najmie menyarankan agar dibuat pengumuman di pembesar suara tentang kehadiran artis dan setiap pembelian album akan berpeluang mendapat tandatangan artis yang hadir. Bonus sekiranya ada artis kejutan. Ternyata idea tersebut berhasil menjana sedikit hasil dalam pembelian album. Siapa yang tidak mahu tandatangan Mawi bersama Nikki atau Nasha Aziz, Afdlin Shauki dan Nikki sekaligus pada satu album.

Mawi World bersama Nikki Maharani di Istana Kaca

Hujan masih turun dengan lebat. Seketika sebelum kehadiran manusia keramat tahun ini, hujan pun berhenti. Cuaca juga semacam merestui kehadirannya. Terasa macam naik belon udara pula ! Mawi tiba dengan diiringi hampir semua abang-abang sekuriti yang menawarkan diri mereka untuk mengawalnya. Sanggup volunteer semata-mata kerana Mawi. Mungkin juga itu pertama kali mereka bertemu dengan Mawi. Ternyata ruang kosong di sekitar pentas dipenuhi manusia secara tiba-tiba yang datang entah dari mana.


Mawi : Abang SM, bila nak review CD Yang Tercinta ?

Mawi meninggalkan tandatangannya di atas backdrop pentas dan menghabiskan sedikit masa untuk sesi fotografi di luar bersama Nikki sebelum masuk untuk sessi berbual mesra bersama Nikki. Segala butir-butir perbualan antara Nikki dan Mawi terpaksa dirahsiakan. Hari ini tugas saya bertambah, saya perlu juga menjadi seorang photoblogger. Saya dibenarkan untuk masuk ke dalam Rumah Kaca selama 10 minit untuk sessi fotografi apabila Nikki menerima kehadiran artis atau pun menjalankan aktiviti-aktiviti latihan vokal dan tarian. Tidak banyak yang saya masuk kerana kepenatan, lagipun saya tidak gila kamera macam saya gila stereng sewaktu pertama kali mendapat lesen memandu. Kedai yang jaraknya 50 meter pun ingin memandu kereta. Adalah seseorang itu yang sedang gila kamera berangan macam Lando (Ricky Hanggono) dalam filem Ungu Violet.

Hidangan makan tengahari Mawi dan Nikki pula telah ditaja oleh Linda Onn melalui My Mom’s Chicken Rice. Bagaimana agaknya Mawi yang baru selesai makan tengahari nasi ayam perlu pula beredar ke Majlis Perasmian My Mom’s Chicken Rice selepas itu. Itu yang kami rasa apabila setiap hari makan nasi ayam.


Farah di Rumah Kaca

Setelah selesai majlis perasmian tersebut, Nikki menerima kunjungan mengejut dari Farah AF2 yang kebetulan berada di majlis perasmian tersebut. Kunjungan mengejutnya kami terima dengan hati yang terbuka. Penampilan Farah begitu menarik sekali dengan pakaian lengkap serba putih. Beliau tiba dan terus menghulurkan tangan untuk bersalam dengan para tetamu yang berada di perkarangan pentas. Beliau naik ke atas pentas dan meninggalkan tandatangan sama seperti yang dilakukan oleh Mawi. Farah dan Nikki saling bertukar-tukar nasihat sebelum bertukar-tukar CD mereka. Sebelum melangkah keluar, teguran dari bapa Farah, Uncle Anuar yang bertanyakan kenapa lama tidak nampak muka, membuatkan saya sedikit malu. Masa saya banyak dihabiskan dengan mengikuti perkembangan bintang Akademi Fantasia 3 sehingga sedikit melupakan bintang Akademi Fantasia 2. InsyaAllah jika ada kelapangan saya akan cuba untuk melapangkan masa saya untuk Farah pula.

Nana dan Linda Jasmine tiba di Rumah Kaca

Ketibaan Nana dari ERA sejurus sebelum Farah melangkah pergi. Nana tiba untuk lintas langsung bersama Nikki dan ERA. Kehadiran Linda Jasmine adalah untuk memberikan penerangannya tentang koreografi yang perlu dilakukan oleh Nikki sewaktu persembahannya pada hari Ahad. Ruang sempit Rumah Kaca itu terus bertukar menjadi Ruang Tarian. Jeritan Linda Jasmine bergema di seluruh Rumah Kaca tersebut. Satu kejutan budaya untuk Nikki yang terkejut dengan arahan-arahan langkah yang telah diberikan oleh Linda Jasmine. Mungkin juga koreografi tarian Malaysian Idol tidak segarang Linda Jasmine.




Nasha Aziz dan Afdlin Shauki Bikin Kecoh di Rumah Kaca

Ketibaan Nasha Aziz sememangnya dinanti-nantikan oleh para hadirin yang berada di perkarangan rumah kaca, ya termasuk saya. Ini kali pertama saya melihat secara lebih dekat wajah Nasha Aziz. Beliau tiba dari JW Marriot diiringi oleh para sekuriti yang ternyata berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh Nasha Aziz. Sifat selambanya benar-benar menambat hati para sekuriti. Selain membelikan satu patung teddy bear warna pink untuk Nikki dan sebuah hamper penuh berisi cokelat, Nasha turut membelikan sekotak cokelat untuk para sekuriti yang bertugas mengawalnya. Nasha seorang yang camera-friendly. Pergerakannya adalah pose untuk pada jurukamera. Mimik mukanya adalah cerita untuk mereka yang memandangnya. Saya suka lakonannya dalam Trauma. Benar-benar mengkagumkan. Permintaan Nasha kepada pihak penganjur adalah beliau ingin masa yang private untuk bersama Nikki. Beliau tidak mahu sebarang wawancara dilakukan untuknya sebaliknya mahu tumpuan diberikan hanya kepada Nikki. Sebagai seorang bintang yang pernah menjadi tontonan rakaman kamera tersembunyi, beliau mencurahkan nasihat-nasihat berguna kepada Nikki. Afdlin Shauki menjengah pula untuk melawat Nikki yang menerima jemputan dari Joe Klubbkidd. Suasana di dalam Rumah Kaca menjadi kacau dengan jenaka-jenaka pelakon lelaki dan pelakon wanita terbaik itu. Jenaka-jenaka spontan memang melucukan. Banyak juga shot-shot yang menarik yang berjaya dirakamkan. Kehadiran Afdlin Shauki turut memberikan sedikit promosi untuk filem terbarunya iaitu Baik Punya Cilok. Kebijakan para bintang yang hadir untuk sama-sama mempromosikan kerja seni mereka adalah amat dialu-alukan. Tidak timbul soal guna mempergunakan di dalam industri seni kerana industri seni kita terlalu kecil untuk kita merasa hanya kita yang paling meletup. Sikap kerjasama antara artis dan boleh saya sifatkan sebagai cross marketing adalah penting dalam industri ini. Sampai bila kita mahu merasakan diri kita terlalu bagus untuk digandingkan dengan seorang artis baru atau pun yang kurang popular atau pun yang baru bertapak dalam industri muzik tempatan.

Saya tunggu sehingga Skuad Avanza ERA yang tiba di perkarangan Rumah Kaca untuk promosi mereka. Orang ramai berkumpul untuk mendapatkan barangan-barangan percuma dari ERA. Ramai juga orang yang berkumpul dan sekali lagi pengumuman dibuat untuk mendapatkan tandatangan Nikki dengan setiap pembelian album Nikki.

Saya kira saya sudah merasai kepenatan pada tahap maksimum. Saya perlu pulang ke hotel untuk tidur lagipun saya harus mengambil giliran untuk Midnight Watch pada jam 2 pagi hingga 6 pagi untuk menemani sahabat saya iaitu Nizam Zakaria.

(soundtrack : Pinta (Minus One) - Nikki)
Acara yang saya terlepas ialah Majlis Makan Malam bersama Pemenang Peraduan NSTP serta Kelas Vokal bersama Ning Baizura dan Aylwin. Sedang nyenyak tidur saya menerima panggilan untuk menyiapkan CD Nikki yang khabarnya telah kehabisan stok di Rumah Kaca. Di sini segalanya bermula…….

Saya bangun tidur sekitar jam 1.30 pagi untuk bergerak ke Rumah Kaca untuk bersama-sama Nizam Zakaria. Beberapa SMS saya hantar dan beberapa panggilan telefon saya terima. Itu sahaja tempat saya untuk bercerita.

Saya, Nizam Zakaria dan Joe Klubbkidd berbual-bual kosong sementara menantikan masa berlalu. Saya pulang ke hotel sekitar jam 5.30 pagi untuk menyiapkan siaran akhbar untuk acara pagi tersebut. Dalam proses menyiapkan siaran akhbar, kami ditemani dengan bunyi-bunyi orkestra yang lengkap dengan surround system dari kiri dan kanan telinga. What a turn off !!! Kepenatan agaknya. Saya mengambil sikap untuk menjauhkan diri dari bunyi-bunyian orkestra tersebut. Hahaha !! Sebentar lagi jam 11 pagi saya harus sudah bersedia untuk acara yang lebih besar, iaitu pelancaran album.

Kami mulakan hari pertama dengan enjin yang separuh berfungsi tetapi pada hari kedua kami menggerakkan enjin sederas yang mungkin sehingga ada yang benar-benar keletihan. Manusia apabila letih emosinya cepat terganggu, perasaannya cepat tersentuh. Chewah, novel lagi !

Ulasan yang telah membaikpunyacilok blog saya : Sekadar Media Picisan
Koleksi Foto Peribadi : SeniKamiFoto

Entri oleh sultanmuzaffar 19 December 2005 0 komen

Projek Rumah Kaca Nikki : Bahagian Pertama

(soundtrack : Pinta - Nikki)
Projek Rumah Kaca Nikki telah pun selesai. Lega, sayu bercampur bangga adalah antara perasaan yang ada dalam hati saya. Entah mengapa saya merasakan sepanjang terlibat dengan projek ini ia semakin menyedarkan saya tentang banyak perkara. Untuk menjadi seorang manusia sememangnya sukar lebih-lebih lagi untuk mempunyai sifat seorang manusia. Adakalanya kita perlu bertolak ansur dengan kekurangan masing-masing dan menggunakan kelebihan masing-masing untuk menjayakan projek sebegini. Terima kasih Bad, Vernon, Ning, Joe, Ted, Najmie, Syed, Audi, Rudy Imran, Aylwin, Shah, Jinggo, Terry, dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam projek ini khasnya.

Banyak pengajaran yang saya perolehi melalui projek ini. Seperti kata Badrul, dia gembira kerana tukang-tukang yang rajin komen seperti saya dan Najmie terlibat dalam projek ini secara tidak langsung pengalaman ini membolehkan saya melihat dengan lebih jelas tentang persediaan satu-satu acara. Sebelum ini apabila saya menjadi begitu kritikal terhadap sesuatu projek, setelah merasai keperitan melaksanakan projek tersebut tentunya pandangan saya terhadap mereka di belakang tabir menjadi sedikit berubah. Itu sudah pasti. Adakalanya kita hanya pandai bercakap. Kini salah satu impian saya untuk terlibat bersama mereka yang satu ketika dahulu saya kritik telah pun menjadi kenyataan. I want to be part of the entertainment industry. Itu janji saya, boleh juga saya katakan azam tahun baru saya. Selangkah dari kaki saya sudah hampir pasti dan hanya satu lagi langkah untuk saya terus terlibat dengan mereka. InsyaAllah.

Satu lagi yang saya lihat apabila terlibat dalam projek-projek sebegini cakap-cakap belakang tentunya wujud hanya sebelum acara kemuncak tiba. Apabila selesai acara tersebut, cakap-cakap belakang tersebut akan terus lenyap kerana mentaliti kita yang mudah memaafkan. Memang ia sesuatu yang baik mempunyai sifat seorang pemaaf tetapi untuk jangka masa panjang ianya akan sedikit merugikan kerana kita perlu melalui kesilapan-kesilapan yang sama di masa akan datang. Tegur-menegur penting agar kita dapat mengenali antara satu sama lain. Apa yang kita suka tentunya belum pasti menjadi kesukaan orang lain. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya ada di antara perlakuan saya yang tidak senang di mata anda, boleh ditegur. Cerita ini akan saya ulas lanjut pada hari kedua dan ketiga kerana ada cerita untuk dikongsi bersama.

Kerja kumpulan dalam projek ini boleh saya sifatkan belum cukup utuh kerana tempoh masa kami mula berkerjasama hanya pada awal minggu tersebut iaitu pada hari Isnin, 12 Dis 2005. Semangat kerja kumpulan tidak berada di tahap paling tertinggi untuk sampai ke kemuncaknya pada hari sebenar iaitu 16-18 Dis 2005. Saya pernah terlibat dengan kerja-kerja produksi teater yang memakan masa hampir 3 bulan. Saya melihat semangat kerjasama dalam teater yang saya serta lebih utuh berbanding projek ini. Masa yang singkat agak sukar untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat lebih-lebih lagi sifat semulajadi saya yang agak sukar untuk mendekati orang lain kecuali yang telah benar-benar saya kenali. Saya memerlukan tempoh yang agak lama. Mujur ia bukan halangan untuk saya meneruskan usaha saya untuk projek ini.





Koleksi Persiapan Rumah Kaca Nikki

(soundtrack : Pinta (Vintage Mix) - Nikki)
Pada hari Khamis 15 Dis 2005 merupakan hari kami menyiapkan rumah kaca tersebut. Pihak penaja dari IKEA telah mengubah NSTP Kiosk menjadi Nikki’s Home. Berkonsepkan warna merah terang iaitu warna korporat NSTP, idea rekaan dalaman rumah tersebut boleh saya sifatkan agak menarik. Satu lagi idea yang menarik saya rasa ialah dua almari yang digabungkan serta ruang kosong di tengah-tengahnya digantung bidai untuk menghalang penglihatan orang ramai sebagai tempat Nikki menyalin pakaiannya. Konsepnya ringkas tetapi kegunaannya amat besar sekali lebih-lebih lagi untuk menyesuaikan dengan ruang sempit yang ada di NSTP Kiosk tersebut. Seluruh rumah kaca tersebut siap dibahagikan kepada beberapa bahagian. Masalah pertama yang timbul apabila satu bahagian yang dirancangkan iaitu Ruang Studio tidak dapat dilaksanakan kerana komputer milik NSTP Kiosk tidak boleh dikeluarkan dari rumah kaca tersebut. Maka Nikki perlu menggunakan Ruang Tamu serta Ruang Tidurnya sebagai Ruang Tari dan juga Ruang Studio.









Koleksi Hari Pertama

(soundtrack : Malam Bulan Di Pagar Bintang - Dayang Nurfaizah)
Hari pertama, Jumaat 16 Dis 2005 bermula apabila pasukan kami mendaftar masuk ke Hotel JW Marriot Kuala Lumpur. Agak lewat kerana masalah tiada bilik kerana ASEAN Summit yang baru sahaja tamat. Kami sudah seperti cacing kepanasan apabila printer pula membuat hal. Hidangan makan tengahari bersama Badrul dan Najmie terpaksa saya tinggalkan kerana saya diminta untuk pulang ke hotel dengan segera. Beberapa dokumen perlu dicetak untuk diedarkan kepada para wartawan yang hadir sebentar lagi.

Acara bermula apabila Nikki melangkah masuk ke dalam Rumah Kaca yang akan menjadi rumahnya selama tiga hari dua malam. Saya sepatutnya berada di Planet Hollywood untuk satu lagi majlis berasingan iaitu Creatives Common Soft Launching. Hati saya nampaknya lebih selesa berada di NSTP Kiosk dan terus meninggalkan majlis tersebut. Sejurus selepas sidang media bersama media yang datang memberikan sokongan, beliau menyesuaikan dirinya dengan persekitaran rumah tersebut. Bintang pertama yang hadir melawat Nikki ialah Juara Akademi Fantasia II, Zahid AF2. Dalam waktu yang sama, Juara Malaysian Idol Jaclyn Victor turun padang untuk memberikan sokongannya kepada rakan seperjuangannya di Malaysian Idol musim pertama. Tentunya banyak nostalgia yang diimbas kembali antara mereka sewaktu berbual-bual sambil menghadapi hidangan minum petang yang ditaja oleh My Mom’s Chicken Rice.

Sejurus selepas itu merupakan Sessi Vokal bersama Hazami. Tanpa diduga Nikki menerima kunjungan mengejut dari Kaer AF2 yang kebetulan berada di Lot 10 untuk membeli-belah. Mereka sama-sama mengikuti kelas vokal yang dikendalikan oleh Hazami. Nikki kemudiannya terlibat dengan Kelas Vokal bersama Aylwin sebagai persiapan untuk vokal persembahan sebelum makan malam. Skuad Avanza ERA turut menghangatkan suasana apabila mereka tiba di perkarangan rumah kaca. Saya sudah agak kepenatan dan pulang ke hotel untuk berehat sebentar. Pada waktu tersebut Nikki berhadapan dengan Kelas Tarian bersama Koreografer dari Linda Jasmine Studio serta menerima kunjungan mengejut dari Marsha AF3. Ada juga yang kecewa kerana berada di hotel pada waktu kunjungan tersebut. Hari pertama tersebut berakhir agak lewat kerana banyak kekurangan pada hari tersebut yang perlu diatasi untuk menghadapi hari kedua dan ketiga. Setelah memastikan Nikki telah masuk tidur dan para sekuriti telah siap berkawal, kami beredar untuk satu mesyuarat bedah-siasat (post-mortem) untuk merancang untuk hari kedua dan ketiga.

Setiap dari kami diberikan tugas masing-masing dan perlu mengikut saluran yang betul untuk mendapatkan khidmat masing-masing. Contohnya sebarang perkara yang melibatkan artis perlu disalurkan kepada Joe. Khidmat sekuriti diperlukan apabila artis tiba dan pulang, maka Najmie diperlukan untuk memastikan sekuriti berada di tempatnya. Sebarang masalah tentang makanan dan minuman perlu disalurkan kepada Syed. Tugas Ted lebih menarik kerana hanya beliau sahaja yang diarahkan untuk menyelesaikan sebarang masalah berkaitan Nikki dengan kata yang lebih manis, Ted merupakan penjaga Nikki selama tiga hari. Ada kata yang tidak manis tetapi tidak sesuai dikongsi di sini. Biarlah hanya kami sahaja yang tahu. Yang pasti perkataan tersebut sentiasa bermain-main di dalam minda saya. Manakala Jinggo pula ditugaskan menjadi jurugambar rasmi untuk acara tersebut.

Apa yang dirancangkan pada mesyuarat tersebut diharapkan dapat lebih melancarkan perjalanan hari kedua dan ketiga lebih-lebih lagi esok merupakan satu hari penuh kami berkampung di Rumah Kaca tersebut. Saya pulang ke rumah dan tidur sebelum bersiap-sedia untuk kembali semula ke Rumah Kaca jam 9.30 pagi keesokkannya.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger