Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 24 June 2006

Konsert 04 Akademi Fantasia : Jadilah Ikon Terengganu Yang Baik !

Hari ini hari Sabtu. Selalunya hari Sabtu bukanlah hari untuk saya membeli semua akhbar harian. Berbeza dengan hari ini. Saya beli semua akhbar harian yang ada. Asal terpampang wajah Siti Nurhaliza atau pun banglo di Kuala Lipis, saya akan beli dan baca. Pandangan saya sedikit berbeza dengan komen-komen yang saya baca di akhbar. Secara umumnya sebahagian besar pihak media sudah mengaitkan Siti Nurhaliza dengan Datuk K. Entah mengapa saya mengatakan tidak. Simptom in-denial saya masih kuat. Saya sendiri kurang pasti dengan adat perkahwinan Melayu. Contohnya siapa yang layak untuk mewakili keluarga pergi merisik bakal pengantin perempuan. Adakah saudara terdekat pengantin lelaki atau pun pengantin lelaki sendiri yang pergi. Nampak seperti tidak manis pula kalau pengantin lelaki sendiri yang pergi menyertai rombongan. Tidak tahu pula saya kalau adat tersebut tidak digunapakai untuk pengantin lelaki yang bergelar duda. Kalaulah Datuk K dan keluarganya datang untuk mewakili seseorang, siapakah seseorang tersebut ? Hanya Siti Nurhaliza sahaja yang tahu. Kalau benar 8 Ogos 2006 merupakan tarikhnya, sesuai benarlah tarikh tersebut kerana musim AF4 baru sahaja tamat. (ketawa....)

Berbalik kepada soal Akademi Fantasia, siapa pula yang akan menjadi mangsa bahana minggu ini ? Dalam kedudukan terkini, Faizal 13%, Velvet 12%, Lotter 12%, Salima 12%, Amirul 12%, Farhan 12%, Zila 10%, Diddy 9% dan Haziq 8%. Diddy dan Haziq besar kemungkinan akan terselamat kerana berada di kedudukan dua terakhir sebelum konsert dan giliran persembahan mereka juga agak awal. Berdasarkan pemerhatian sewaktu sesi latihan, Haziq dan Diddy telah berjaya membawakan lagu-lagu mereka dengan baik dan ini mencerahkan peluang mereka untuk terus kekal berada di dalam Akademi. Antara persembahan yang tidak begitu memikat hati saya ialah persembahan Amirul, Lotter dan Salima. Maka, saya memilih sama ada Salima atau pun Lotter untuk tersingkir pada minggu ini. Satu kerana melihatkan persembahan vokalnya yang masih tiada peningkatan besar untuk meyakinkan pengundinya kecuali pengundi fanatik.

Kedudukan Sebelum Persembahan
Amirul 12%
Faizal 12%
Velvet 12
Lotter 12%
Farhan 11%
Salima 11%
Zila 10%
Diddy 10%
Haziq 9%

Akhirnya Adlin Aman Ramlie memohon maaf atas segala keterlanjurannya memberikan kritikan kepada Faizal tetapi ada insan yang terasa hati dengan kenyataan tersebut. Benar saya akui ia adalah langkah yang keterlaluan dan tidak kena pada tempatnya tetapi apabila ada insan yang menangguk di air keruh dan mencetuskan polemik terhadap isu tersebut saya menjadi penyokong kuat kepada Adlin selepas itu. Mujurlah Adlin bijak menangani isu tersebut dan terus memberikan komen-komen jujur beliau terhadap pelajar seperti Amirul dan Faizal dengan bersahaja walaupun bernada agak sinis.

Velvet – Dikir Puteri
Memang menghiburkan apabila melihat Velvet menari dan berdikir. Saya nampak Velvet ada usaha untuk memberikan sentuhan tradisional kepada persembahannya. Gerak-gerak tradisional diselitkan dalam nyanyiannya. Persembahan vokal Velvet sudah cukup bagus cuma Velvet harus lebih bijak mengawal emosi penonton untuk lebih terpikat dengan persembahannya. Velvet ada kelebihan besar kerana beliau telah berjaya mengikat emosi penonton untuk menyukai personalitinya dan beliau mempunyai kehebatan vokal yang tersendiri. Kedua-duanya telah Velvet kumpul. Ia merupakan satu kelebihannya yang tidak ada pada Farhan.

Haziq – Buat Sang Puteri
Saya tabik pada Haziq kerana berusaha gigih untuk menentang perasaan gemuruhnya dan juga cuba untuk membawakan lagu tersebut dengan baik. Saya nilai pada semangatnya yang teguh untuk membuktikan yang beliau mampu membawakan lagu rock selain lagu tradisional yang memang merupakan kelebihannya. Saya terkejut juga dengan penangan Haziq kerana selepas persembahannya, namanya terus melonjak ke tangga pertama. Lonjakan tersebut mungkin berpunca dari pertama kerana kedudukan yang paling bawah sebelum persembahan bermula. Undian simpati mula masuk dan kedua adalah kerana Haziq telah berjaya melepasi halangannya. Mungkin ini merupakan permulaan untuk Haziq, siapa tahu.

Zila – These Boots Are Made For Walking
Nampak kesungguhan Zila untuk menterjemah lagu tersebut kepada penonton. Dengan gerak-gerak seksi, Zila cuba untuk mengumpan perhatian penonton atau pun setidak-tidaknya perhatian Adlin. Sukar untuk saya mengaitkan diri saya dengan persembahan Zila kerana saya sendiri tidak begitu faham apa yang beliau sampaikan atau nyanyikan. Memang lagu Inggeris ini merupakan lagu yang sukar untuk Zila dan beliau telah cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik.

Diddy – Nusantara
Saya suka dengan persembahan Diddy kerana vokalnya. Itu aset utama Diddy yang para penonton masih tidak nampak. Saya sendiri tidak faham mengapa. Diddy merupakan pelajar lelaki yang mempunyai mutu dan tone vokal yang baik. Sedap didengar. Tetapi beliau kurang aspek personaliti untuk mendekatkan dirinya dengan peminat. Bila agaknya Diddy dapat memberikan satu persembahan pemangkin yang mampu membuatkan penonton mengingatinya. Pergerakan-pergerakannya di atas pentas saya suka walaupun adakalanya bila beliau melompat nampak begitu janggal berbanding pelajar lain mungkin kerana beliau agak tinggi. Bunga-bunga silat yang dibuat oleh Diddy juga tidak menjadi. Entah mengapa setiap kali melihat Diddy beraksi, saya teringatkan...yang ada di rumah saya.

Amirul – Khatulistiwa
Sudah dua kali Amirul mendapat kejutan artis di atas pentas bersamanya di konsert. Kali ini Ito muncul bersamanya. Memang bagus bila dapat mendengar Ito meniup harmonika untuk lagu Khatulistiwa. Memang nampak ada peningkatan dalam persembahan Amirul dari minggu ke minggu. Sebenarnya saya tertarik apabila Aznil melaungkan mesej Belia Benci Dadah sewaktu Ito yang juga merupakan Penasihat kepada Persatuan Pengasih Malaysia baru sahaja selesai membuat persembahan. Ini yang sewajarnya dilakukan oleh para artis dengan melibatkan diri dengan kerja-kerja amal sebegini dan bukannya terus berusaha melengkapkan ijazah ke”doktor”an mereka. Lega hati Adlin melihatkan seorang Penasihat kepada Pengasih turut cuba untuk memberikan mesej-mesej positif melalui rancangan popular seperti Akademi Fantasia.

Farhan – Tak Ingin Lagi
Saya ingatkan Kicap yang akan muncul sebagai kejutan untuk Farhan kerana Sazzy telah pun duduk di kerusi tetamu sebelum persembahan bermula. Rupanya Sazzy juga yang naik. Saya kagum melihat permainan Farhan di dalam Diari yang cuba melihatkan kelemahannya dengan lagu tersebut. Beliau rupanya menyembunyikan sesuatu. Kelebihan lakonan yang ada dalam diri beliau secara semulajadi. Perkara yang sama turut saya berikan keutamaan apabila saya sendiri menulis perkara yang sama di Biodata Pelajar di Butang Merah @15. Ternyata, Farhan bijak mengawal persembahannya walaupun Sazzy berada bersamanya. Mereka berdua nampak serasi di atas pentas dan berkeyakinan tinggi untuk membawakan lagunya dengan baik.

Faizal – Wo!
Saya melihat kesungguhan beliau untuk membawakan lagu maut tersebut dengan baik. Memang rata-rata penonton mahu melihat kelainan yang akan beliau tonjolkan. Membawakan lagu tersebut juga sudah merupakan satu kelainan dari Faizal. Persembahan tarian Faizal tidak perlu diulas lebih panjang kerana umum sudah mengetahui bagaimana ”kongkang”nya Faizal apabila menari. Saya nampak usaha gigih itu yang perlu diberikan pujian. Satu perkara lagi yang membuatkan saya tertarik dengan persembahan Faizal apabila beliau cuba untuk memberikan maklumbalas kepada penari-penari latarnya. Saya kagum dengan gaya Adlin bermain dengan kata-kata apabila dengan menggunakan bahasa percakapan biasa, beliau menasihatkan Faizal agar menjadi ikon yang baik kepada negeri Terengganu. Kepada ikon yang tidak baik kepada negeri Terengganu, harap-haraplah sedar diri cepat-cepat.

Salima – Senandung Hidup Berbudi
Oleh kerana saya sudah tengok latihan, maka saya menghabiskan masa di bilik kawalan untuk mengemaskinikan gambar untuk website rasmi. Ada gambar yang perlu diubah, ada gambar yang perlu diedit, ada gambar yang perlu ditambah kerana kehadiran kejutan. Selain daripada itu saya sibuk melihat laporan terkini tentang kedudukan undian. Tidak begitu mengejutkan.

Lotter – Bertemasya Desa Gemalai
Begitu halnya dengan Lotter. Saya duduk melihat turun naiknya nama pelajar. Memang nampak trend musim ini yang pengundi akan mengundi pelajar berdasarkan persembahan mereka. Saya sendiri menjangkakan yang Lotter akan tersingkir kerana pertama nyanyiannya amat jauh tersasar dan kedua kerana giliran persembahannya yang berada di penghujung. Sememangnya ada juga pengundi tegar yang mengundi tanpa menonton persembahan dan mereka ini adalah pengundi personaliti dan pengundi emosi. Mereka mengundi kerana personaliti pelajar dan Lotter telah berjaya mendekatkan dirinya dengan penonton melalui Diari.

Zila tersingkir dan tiada apa yang akan dapat mengubah keputusan tersebut. Mungkin terlalu awal penyingkiran Zila dan bukan masanya.

Kedudukan Selepas Persembahan
Farhan 16%
Haziq 15%
Faizal 12 %
Velvet 11 %
Lotter 10%
Amirul 9%
Diddy 9%
Salima 9%
Zila 9%

Kalau ada yang bertanya, banyakkah perbezaan antara 1% antara pelajar. Memang banyak dan kalau seorang sahaja yang undi, mustahil untuk memintas pelajar. Dalam masa satu minit, apa sahaja keputusan boleh berubah. Sama ada yang anda suka atau pun yang anda tidak suka.

Secara keseluruhan saya suka dengan hampir semua persembahan pelajar. Dari kedudukan pertama sehingga kedudukan keenam sekurang-kurangnya. Nampak bertenaga dan masing-masing mempunyai kelebihan masing-masing. Ini antara konsert yang menarik setakat ini. Konsert kali ini juga kembali menggunakan pyrotechnic (bunga api) dan confetti untuk memeriahkan lagi suasana. Jelas sekali teknik-teknik tersebut berjaya mengembalikan suasana dan emosi dalam Akademi Fantasia. Cuma satu perkara yang saya harap dapat dibaiki untuk minggu hadapan ialah agar bukan Aznil yang membantu pelajar menarik beg kepunyaan pelajar tersebut. Biarkan pelajar sahaja yang menarik begnya kerana itu nyawa Akademi Fantasia.

Pilihan sultanmuzaffar
Farhan - Tak Ingin Lagi
Haziq - Buat Sang Puteri
Velvet - Dikir Puteri
Diddy - Nusantara
Faizal - Wo!
Amirul - Khatulistiwa
Salima - Senandung Hidup Berbudi
Zila - These Boots Are Made For Walking
Lotter - Bertemasya Desa Gemalai

Nota : Jika ada yang keliru, kenyataan "Maafkan Kami, Maafkan Kami, Maafkan Kami" adalah berkaitan dengan permohonan maaf Adlin Aman Ramlie malam ini yang akan disiarkan secara langsung di Astro RIA. Harap maklum.

Ulasan SeniKami

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger