Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 16 August 2006

Mukhsin : Kembara Waktu Yang Paling Indah
Pengarah : Yasmin Ahmad

Pelakon :
Mohd. Syafie Naswip (Mukhsin)
Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid (Orked)
Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid (Mak Inom)
Irwan Iskandar (Pak Atan)
Adibah Noor (Kak Yam)
Mislina Mustafa (Makcik Senah)

Sinematografi : Keong Low
Penyunting : Affandi Jamaludin

Seperti Sepet dan Gubra, sekali lagi saya dapat peluang menonton filem terkini kerja tangan Yasmin Ahmad iaitu Mukhsin. Mana mungkin saya lepaskan peluang itu walaupun terpaksa melepaskan siaran Diari Akademi Fantasia. Diari menjadi begitu tidak penting sekali apabila hidangan Mukhsin berada di depan mata. Biarlah ada makhluk lain yang lebih bersemangat untuk meneruskan ulasan hariannya tentang Diari Akademi Fantasia, dan saya lebih senang untuk pergi menonton Mukhsin.

Kalau dalam Sepet ceritanya lebih tertumpu kepada Orked dan Jason, Gubra menjalinkan dua cerita dalam sebuah filem dan kini Mukhsin kembali semula menjadi satu cerita yang lebih fokus. Kisahnya berkisar tentang cinta zaman kanak-kanak.

Sewaktu proses penggambaran dulu, Grand Brilliance ada mempelawa untuk sama-sama konvoi ke Kuala Selangor menyaksikan penggambaran filem tersebut. Malangnya saya tolak kerana ada janji saya bersama Konsert Akademi Fantasia pada hari Sabtu. Takut juga terlewat untuk konsert pada malam harinya. Janji saya bersama Akademi Fantasia, janji yang berbayar. Mahu tidak mahu terpaksa dipenuhi.

Kalau diberikan pilihan 1 hingga 4 untuk memilih antara Rabun, Sepet, Gubra dan Mukhsin, sudah pasti kedudukan 2 hingga 4 akan saya biarkan kosong.

Mukhsin lebih hebat kerana saya dibawa ke dalam dunia kanak-kanak yang lebih telus dan jujur. Ada dunia berbasikal keliling kampung, ada dunia galah panjang, ada dunia main kahwin-kahwin, ada dunia panjat pokok dan macam-macam rencam dunia yang dibawa ke layar Mukhsin.

Dunia Mukhsin dan dunia Orked adalah dunia yang pernah kita lalui dan mengembara melaluinya sekali lagi merupakan satu pengalaman yang indah. Zaman cuti sekolah tatkala zaman kanak-kanak adalah kenangan yang paling meriangkan. Keriangan itu menjadi lebih indah apabila bertentang mata dengan Orked.

Satu macam perasaan wujud waktu saya menonton Mukhsin. Perasaan yang sama tiba-tiba datang sewaktu saya menonton Gubra. Ramai orang kata Gubra adalah sekuel kepada Sepet. Mungkin ya, mungkin tidak. Menyedari hakikat Mukhsin mengambil latar Orked sewaktu zaman kanak-kanaknya, maka orang akan mengatakan ia merupakan prekuel kepada Sepet. Mungkin ya, mungkin tidak.

Menonton Mukhsin menyingkap dan membuka banyak persoalan. Kenapa itu ? Kenapa ini ? Kenapa begitu ? Kenapa begini ? Yang pasti saya tersentuh menonton adegan Orked dan Mukhsin bermain layang-layang. Lalu membawa saya terbang ke dalam dunia selepas Mukhsin. Apakah dunia yang dimaksudkan ? Anda harus menontonnya untuk merasakan perasaan indah itu kembali menghampiri anda.

Cinta pasti datang kepada anda walaupun untuk sesaat sahaja dan kemudian akan pergi meninggalkan anda. Yang tinggal hanya melodi keroncong bertajuk "Hujan" dari soundtrack filem ini yang tetap terngiang-ngiang di telinga ini.

Walaupun puas dapat menonton Mukhsin, saya masih belum puas sekiranya belum dapat menontonnya di layar yang lebih besar. Begitu yang saya rasakan bila menonton Sepet dan Gubra di layar yang lebih besar.

Selamat mengembara melalui terowong waktu Mukhsin untuk sama-sama kita mengenali diri kita sendiri. InsyaAllah akan menemui anda di pawagam sekeliling anda pada tahun 2007.

Ulasan Mukhsin : Fadz DiaTulis

Sekadar Impian dan Harapan : Sepet menang di FFM18, Gubra menang di FFM19. Kalau Mukhsin menang di FFM20, lengkaplah hattrick kejayaan milik Yasmin Ahmad.

Sekadar Trivia : Di Festival Filem Malaysia minggu sudah, Dato' Rahim Razali ada menyebut "Setelah 25 tahun Abang pergi, boleh ke kalau saya hidupkan Abang kembali ?"

Abang dengan Rahim Razali, Abang '92 dengan Azhar Sulaiman....siapa calon Abang yang paling sesuai untuk tahun 2007 kalau benar-benar hasrat Dato’ Rahim Razali ingin menghidupkan semula Abang ?

Sedutan dari moNSTerblog : Setelah ucapan tersebut dilontarkan, umum terus melupakan yang Sharifah Amani merupakan pelakon paling muda pernah menang Pelakon Wanita Terbaik. Bakat dan segala usaha beliau seakan-akan tidak diendahkan. Tapi itu sememangnya lumrah manusia. Gubra sering dilihat sebagai pencemar budaya, manakala perkahwinan bertemakan Cinderella (Cinderella-themed wedding) diangkat setiap hari di muka depan akhbar, siaran berita utama tv sebagai penyubur tunjang budaya. Walaupun telah jelas yang Cinderella bukan budaya kita.

Semakin keliru saya dibuatnya...

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger