Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 30 November 2006

5 Projek, 1 Tenaga, 1 Minda, 5 Realiti

Semakin kurang masa untuk blog. Dalam masa yang hampir serentak, lima projek perlu dilaksanakan. Bukan mengeluh. Juga bukan meraih simpati. Sekadar berkongsi pengalaman menarik ini. Kalau beberapa bulan yang lepas saya hanya perlu menumpukan perhatian kepada Akademi Fantasia, tetapi mulai November dan seterusnya saya perlu membahagikan masa saya untuk 5 orang anak-anak saya yang bakal lahir dan ada juga yang telah lahir. Mereka ialah Raja Lawak Astro, X-Tuned, IKON, Maxis TV dan satu fail sulit.

Maxis TV merupakan anak yang baru sahaja lahir minggu lepas, mulai 21 November. Memindahkan bahan-bahan pilihan dari RIA ke platform telefon bimbit. Selain RIA, ada AEC, Vanaavil, CNN, CNBC, BBC, Discovery, Entertainment Daily, Cartoon Network, Hitz.TV, MTV2Go, 5 stesen paling popular radio AMP dan Sports TV.

Bercakap tentang RIA, antara bahan pilihan yang ada di dalam platform tersebut ialah Macam-Macam Aznil : Segmen Artis, Segmen Anakku dan Segmen Kantoi. Segmen-segmen ini diasing-asingkan antara program-program yang lain. Ada juga Trek Selebriti, 10 Reels Wayang Kita, Segmen CMP AC Di Sini dan Segmen Final 2 Kunci Khazanah. Memang sengaja hanya beberapa segmen sahaja diambil kerana adalah tidak bersesuaian untuk meletakkan keseluruhan program di dalam telefon bimbit kerana masa pengguna menggunakan 3G tidak lama. Hanya sekitar 10-15 minit sahaja. Jika anda mahukan program-program lain dimasukkan ke dalam MaxisTV, boleh kemukakan di sini.

Program-program lain seperti Raja Lawak Astro, X-Tuned, IKON semuanya merupakan program baru yang akan diterbitkan ASTRO. Kerja saya mudah. Mengenalpasti medium-medium new media yang boleh dieksploitasi untuk dipasarkan. Seperti AF, platform mobile, narrowband dan broadband akan digunakan. Tetapi bukan untuk semua program. Hanya untuk beberapa program sahaja. Tidak menang tangan kalau semua platform disiapkan untuk semua program.

Yang menarik pada saya. Mungkin sebagai seorang blogger, saya rasa seronok kerana X-Tuned akan menggunakan konsep blog sebagai salah satu medium komunikasi untuk penonton. Jadi tidak dapat tidak, kesan favouritism itu wujud dalam diri saya. Secara peribadi saya mahu juga membuktikan yang blog juga mampu untuk menjadi medium komunikasi kepada penonton selain menggunakan broadband, narrowband atau mobile. Apa yang terpapar di dalam blog itu kini masih dalam pembikinan. X-Tuned akan mula disiarkan pada 18 Disember ini.

Raja Lawak Astro nampak lebih gah berbanding yang lain. Kerja-kerja dasarnya lebih besar. Lebih kurang sama konsep dengan AF. Bertujuan untuk mencari pelawak. Minat saya lebih ke arah X-Tuned sebenarnya. Lebih menggegarkan. Rakaman di Litar Lumba, Terminal 3 Subang, Putrajaya tentulah peluang-peluang keemasan yang tidak akan dilepaskan. Menonton aksi-aksi pemanduan yang profesional dan bukan sekadar aksi Mat Rempit di Jalan Tuanku Abdul Rahman, sudah cukup menguja saya.

Berbalik kepada Raja Lawak, sesi ujibakat akan diadakan pada bulan Disember iaitu 9 di JB, 16 di Penang dan 23 di KL. Pada 23 Disember, ia akan mula disiarkan dengan 3 episod Tirai itu kalau AF. Untuk Raja Lawak ASTRO kita menggunakan Alkisah.

IKON lebih besar kerana ia melibatkan beberapa anggota ASEAN. Mencari seorang penyanyi solo IKON dan sebuah artis berkumpulan IKON untuk Malaysia. Dalam waktu yang sama, empat negara ASEAN iaitu Filipina, Singapura, Thailand dan Indonesia akan mencari IKON-IKON mereka untuk dipertandingkan di peringkat akhir iaitu IKON ASEAN. Tetapi yang menariknya bila platform narrowband dan broadband akan dikendalikan di peringkat ASEAN. Maka ia lebih besar dan mungkin ada beberapa bahasa. Lepas ini kalau jumpa saya bercakap Siam atau Tagalog, jangan lah terkejut.

Dalam satu masa 5 projek dalam tangan. Penat...Tapi Puas !

Dalam waktu-waktu cuti sekolah ini ada sebuah Teater Muzikal di Istana Budaya, KL yang bertajuk Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Teater muzikal ini diangkat dari sitkom paling lama di Malaysia bertajuk Syhhhh dan Kampung Seri Wangi. Ia telah pun mula dipentaskan pada 24hb November yang lepas sehingga 3 Disember ini.

Saya telah menontonnya. Saya sukakan nostalgia yang diimbas kembali dengan teater muzikal ini. Saya membesar dengan menonton kehidupan mereka di pentas sitkom. Saya menonton Pak Uda, Mak Usu, Mak Ngah, Ravi, Lucy, Budin, Mat, Wan Ismail Golok dan ramai lagi. Apabila menonton mereka di pentas, kenangan-kenangan lama itu datang kembali. Mereka hidup di pentas. Aksi jenaka mereka masih berbisa terutamanya Budin dan Ravi. Lebih terasa emosi apabila watak Ketua Kampung, Mohamad Abdullah tiada di pentas. Beliau telah pun meninggal dunia beberapa tahun yang lepas. Begitu juga dengan Wan Maimunah pendukung watak Mak Usu.

Pandangan saya kepada mereka yang berminat untuk mementaskan sebuah teater muzikal. Jika tidak mampu membawakan nyanyian secara langsung di pentas, jangan buat teater muzikal. Biarkan teater tersebut hidup sebagai teater biasa. Teater muzikal dengan muzik miming nampak kemurahannya. Nampak jelas usaha yang digembleng tidak cukup dan sia-sia. Saya tidak mahu memandingkan teater muzikal ini dengan PGL The Musical atau Lantai T.Pinkie Muzikal. Jika mahu mewujudkan sebuah teater muzikal, biarlah usaha itu diberikan seratus peratus. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Elemen muzikal dalam teater ini begitu mengecewakan saya.

Image Hosted by ImageShack.us

Cuti-Cuti Malaysia : Johor Bahru, Mersing, Singapura !

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger