Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 29 September 2006 0 komen

Ziarah
Episod 5 (Afghanistan)

Image Hosted by ImageShack.us

Episod ini memaparkan pengembaraan pulang ke Kabul.

Di sepanjang jalan, Ziarah mengumpul cerita untuk menjadi tatapan bersama.

Ketika berada di pinggiran bandar Kabul, hos Ziarah Dang Suria dan Wan Kamarudin sempat dipelawa untuk turut sama menuai gandum.

Ziarah turut menyelami nasib petani antara golongan terpinggir yang merasakan keperitan hidup di zaman pemerintahan Taliban.

Tinggalan kereta kebal era peperangan Russia dan juga bangunan runtuh di sepanjang jalan yang dibom turut menjadi perhatian Ziarah sepanjang perjalanan pulang.

Ziarah turut singgah makan tengahari bersama dengan penduduk kampung di Sheikh Khali yang majoritinya penduduk Hazara yang jarang menerima kunjungan dari orang luar apatah lagi orang asing.

Dan untuk minum petang, krew Ziarah sempat meluangkan sedikit waktu bersama sama dengan sekumpulan askar Afghanistan di pos tentera di Duwane Lulanj.

Perjalanan pulang ke Kabul diisi dengan perhentian demi perhentian yang ternyata memberi banyak ruang untuk kita mengenali saudara Islam di Afghanistan.

nota sultanmuzaffar : Benar, saya akui apa yang dipaparkan dalam Ziarah lebih bersifat catatan pengembaraan. Ianya berlaku secara spontan apabila terjumpa sesuatu yang menarik dan kemudiannya dirakamkan untuk penonton. Sebenarnya saya lebih tertarik dengan salah satu komen dalam entri sebelum ini yang menyatakan Ziarah hanyalah satu catatan cinta Wan Kamarudin dan Dang Suria. Ada juga rakyat Malaysia yang mahu menjalinkan cinta mereka dengan pergi menggadai nyawa ke Afghanistan. Saya ingatkan orang sekadar merealisasikan cinta mereka di Hawaii, dan Afghanistan merupakan destinasi cinta yang terbaru untuk pasangan yang sedang bercinta. Episod hari ini lebih bersifat santai dan merupakan jalan-jalan makan epal. Tapi pengalaman makan epal mana pernah anda lalui melainkan pergi ke negara-negara sepertinya. Jika minggu lepas hari Jumaat saya melakukan satu projek baik punya, esok pula saya ada satu lagi projek baik punya. Untuk kawan-kawan, apa salahnya...

Entri oleh sultanmuzaffar 28 September 2006 0 komen

Ziarah
Episod 4 (Afghanistan)

Image Hosted by ImageShack.us

Bamiyan, wilayah penuh kontroversi. Lima tahun lalu, Taliban telah memusnahkan 2 patung Buddha gergasi di wilayah yang majoritinya adalah penduduk Hazara.

Beribu ribu penduduk Bamiyan yang berasal dari etnik Hazara dibunuh tanpa belas kasihan oleh Taliban.

Akibatnya, lembah yang diiktiraf antara paling subur di dunia ini mengalami kemusnahan teruk dan kini sangat tersorok dari kemodenan.

Walaupun kurang serba serbinya, Bamiyan masih menjadi destinasi pelancongan yang sangat digemari terutamanya oleh pencinta sejarah.

Ketika berkunjung ke tapak patung Buddha gergasi kerja-kerja pemuliharaan semula sedang giat dijalankan dengan bantuan dari kerajaan Itali, Jepun dan Thailand.

Selain tapak Buddha, Bamiyan juga turut terkenal kerana keindahan alam semulajadinya yang tidak terusik.

Himpunan gunung ganang yang indah dan air sungai yang jernih membuatkan pengunjungnya terasa leka dalam dunia tersendiri.

Nota sultanmuzaffar : Akan dikemaskinikan setelah menonton siaran ulangan jam 12 tengah malam. Kita tidak perlu bercerita tentang Afghanistan hari ini. Kita bercerita tentang kanak-kanak Afghanistan yang tercengang-cengang apabila melihat ada orang asing yang menjejakkan kaki ke bumi mereka. Di Afghanistan, kanak-kanak berperang dengan trauma perang. Di Malaysia, kanak-kanak bersemangat besar mahu berperang. Perang gaya mereka ialah perang kreativiti mencipta meriam buluh. Lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadhan dan Syawal. Sudah ada kes kreativiti meriam buluh yang telah dilaporkan media. Itulah cara kanak-kanak Melayu melunaskan niat mereka untuk berperang. Biar nyawa terkorban, asalkan kreativiti mereka berjaya ditonjolkan. Lepas seorang demi seorang tumbang di medan kreativiti. Seperti tahun tahun yang sebelum ini, ada juga nyawa yang terkorban. Tetapi mereka puas kerana dapat juga pengalaman berperang. Itulah anak Melayu yang gemar menggunakan kreativiti mereka di jalan yang salah. Entah berapa banyak lagi nyawa yang akan melayang angkara perang berlumba kreativiti tahun ini. Ada lagi satu perang cara Melayu. Ia hanya akan berlaku menjelang malam-malam terakhir Ramadhan sebelum menyambut Syawal. Perang apa ? Esok-esok saya sambung.

Entri oleh sultanmuzaffar 27 September 2006 0 komen

Ziarah
Episod 3 (Afghanistan)

Image Hosted by ImageShack.us

Wanita Afghanistan bukanlah satu watak dominan. Adat dan tradisi adalah kekangan utama wanita Afghanistan untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.

Dalam episod ini, Ziarah melalui hos wanitanya, Dang Suria Zainurdin berkongsi cerita mengenai wanita Afghanistan.

Perkahwinan yang ditentukan keluarga masih merupakan tradisi yang diamalkan warga Afghanistan. Malah, jika anak gadis berkahwin berdasarkan cinta dan pilihan hati, ianya dianggap menjatuhkan maruah keluarga.

Wanita yang berkahwin turut dilarang untuk meneruskan pendidikan akhirnya ramai wanita yang berpendidikan hanya menjadi suri rumah menjaga suami dan anak anak.

Episod ini turut memaparkan kecekalan kanak kanak kecil yang terpaksa menjadi penjual air sebagai cara untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Nota sultanmuzaffar : Saya tidak sempat menonton episod malam ini. Kalau ada kesempatan saya akan tonton episod ulangan jam 12 tengahmalam ini. Satu perspektif baru tentang bumi Afghanistan disingkap dalam episod kali ini. Benar, kata anonymous apa yang telah disingkap oleh Ziarah merupakan bahan-bahan luaran yang tidak begitu digali dalam-dalam seperti yang pernah dilakukan oleh penyelidik dokumentari Barat. Sebagai tontonan awal untuk rakyat Malaysia rasanya sudah memadai. Saya juga sekadar mahu mengetahui latarbelakang negara tersebut secara luaran dan belum bersedia untuk mengorek lebih dalam rahsia Afghanistan. Dalam episod ini, saya telah didedahkan dengan pemasalahan yang ditanggung oleh kaum wanita negara tersebut. Kekangan budaya tidak memungkinkan seseorang wanita Afghanistan untuk meneruskan pengajian mereka. Selayaknya tempat mereka hanyalah di sebalik tembok-tembok rumah. Tidak lebih daripada itu. Lebih memilukan ada yang berkahwin pada usia yang terlalu muda. Bukan atas dasar cinta tetapi atas dasar pilihan keluarga. Kerana apa ? Kerana keluarga tiada pilihan lain. Mereka perlu mengahwinkan anak gadis mereka untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga. Mereka berkahwin kerana Afghanistan masih belum aman. Keluarga perlu melepaskan anak gadis mereka untuk dijaga oleh suami mereka. Itulah yang berlaku di Afghanistan. Ternyata sungguh berbeza dengan apa yang berlaku di sini. Gadis Afghanistan seperti Sweeta perlu diberikan suami yang dipilih keluarga walaupun masih dalam pengajian. Itulah antara bahasa sedih yang dipaparkan oleh Ziarah kepada penonton.

Tidak cukup dengan penderitaan yang bakal ditanggung oleh anak gadis Afghanistan kerana tahu yang mereka akan dikahwinkan dengan bakal suami yang sikapnya gemar memukul isteri, gelagat anak-anak kecil seusia 4 tahun sudah diajar untuk menyara hidup sendiri dengan menjual air sejuk. Hati mana yang tidak tersentuh. Mata mana yang tidak berkaca melihatkan semangat anak-anak kecil itu mahu mengubah nasib diri mereka. Tentulah tidak sampai hati melihatnya dan sekadar memberikannya wang 1 Rupee sebagai bayaran kepada segelas air sejuk. Apalah ertinya wang 50 Rupee untuk digantikan dengan kegigihan anak sekecil itu mencari sesuap nasi untuk menyara hidupnya sendiri. Bayangkan pula gaji yang kita terima setiap bulan. Tentulah jauh lagi besar dengan apa yang diterima oleh anak-anak kecil itu. Ini baru episod ketiga, dan apa pula lagi visual sedih yang akan dipaparkan oleh Ziarah. Kesan perang tidak mengenal bangsa, umur dan agama. Perang akan memusnahkan segala-galanya. Walaupun ianya hanyalah monumen memperingati tokoh-tokoh negara Afghanistan itu sendiri. Bagaimana pula rasanya jika peperangan itu berpindah ke Malaysia dan derita yang dipaparkan dalam ziarah adalah derita kita. Derita bangsa kita. Derita keluarga kita. Derita anak kita. Derita isteri kita. Derita ibu-bapa kita. Bagaimanakah rasanya ? Airmata kita hanya untuk Akademi Fantasia. Debat kita hanya untuk artis yang kita puja. Wang kita ke mana pula ?

Ejen 016

Image Hosted by ImageShack.us

Dalam bulan puasa pun mereka masih bekerja. Sempat pula mereka sms untuk mendapatkan fadilat ramadhan atau yang lebih betul ialah fadilat sembahyang terawih. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang fadilat sembahyang terawih, bolehlah tekan Butang Merah di RIA. Penat saya cut & paste dari satu forum kalau ia tidak dibaca oleh pengguna Astro atau penonton RIA. Oh ya ! RIA sudah ada tagline baru untuk sambutan raya tahun ini. Jika sebelum ini kita pernah dihidangkan dengan Raikan Yang Lama, Riakan Yang Baru dan beberapa tahun yang lepas Ada RIA, Ada Raya. Tahun ini apa agaknya tagline baru tersebut. Tunggu saya dapat pelepasan untuk blog dulu ya untuk umumkan. Takut juga tersalah umum nanti.

Sementara menantikan Tore yang bermalam di sebuah hotel paling mahal, Ejen 016 dapat peluang untuk tidur dalam kereta dengan Ejen Alia. Kata Ejen 016 "nak adjust lah tuh". Kalau tak adjust pun, Ejen Alia memang dah suka dengan Ejen 016. Bila lah agaknya meteor tersebut akan dapat dijumpai oleh Ejen 016. Lama betul ejen 016 dan kuncu-kuncunya bertugas. Dari episod pertama tak jumpa-jumpa lagi. Episod malam tadi tiada cameo yang muncul macam episod-episod yang sebelumnya.

Apa yang saya perasan setelah beberapa episod, apabila setelah tamat setiap episod akan ada satu segmen mempromosikan produk DiGi. Satu usaha pengiklanan yang bagus, tapi sayangnya sarikata yang terpapar adalah sarikata awal siri tersebut. Yang ternyata salah dan tidak selari dengan apa yang diucapkan oleh para pelakonnya. Kesilapan sarikata ini perlu diperbaiki.

Entri oleh sultanmuzaffar 26 September 2006 0 komen

Ziarah
Episod 2 (Afghanistan: Kabul)

Image Hosted by ImageShack.us


Dalam episod ini Ziarah menjelajah Kabul, ibu negara Afghanistan.

Selain memaparkan senario alam yang memepesonakan di sepanjang perjalanan ke Kabul episod ini juga turut memaparkan aksi cemas krew Ziarah yang terpaksa melalui pelbagai pemeriksaan di pos tentera sebelum sampai ke destinasi.

Namun tuah mengembara sebagai saudara Islam, krew Ziarah selamat sampai tanpa banyak halangan.

Di sepanjang perjalanan, beberapa kali krew Ziarah turut berhenti, keindahan panorama Empangan Srobi dan Empangan Naglu sangat memukau pandangan.

Di Kabul, krew Ziarah menginap di sebuah rumah penduduk tempatan. Selain dapat menyelami budaya kehidupan seharian, ianya juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim sejagat.

Dalam episod ini, Ziarah memaparkan kesan perang yang memusnahkan Kabul. Tidak ada satu ruang pun di Kabul yang tidak tercalar dek peperangan.

Ziarah turut mendengar isi hati penduduk Kabul yang sudah jemu hidup dalam ketakutan perang.

Episod di Kabul turut menyingkap secara ringkas sejarah Perang di Afghanistan.

Nota sultanmuzaffar : Setelah menyaksikan episod ini, adakah pandangan anda berubah terhadap Afghanistan ? Ternyata dakyah media Barat berjaya memesongkan fikiran penduduk dunia yang Afghanistan merupakan sebuah negara yang tidak selamat untuk dikunjungi. Kalau selamat, adakah anda berani untuk menjejakkan kaki ke bumi Afghanistan ? Berhadapan dengan pengebom berani mati atau pun bom kereta yang bakal meletus bila-bila masa. Sasaran mereka adalah pusat penginapan bangsa-bangsa asing yang lebih tertumpu ke hotel-hotel yang ada di bandar-bandar utama Afghanistan. Menonton Ziarah sebenarnya sama seperti menonton Di Sebalik Tabir Ziarah. Dua pengantara seperti menceritakan semula pengembaraan mereka. Bandar-bandar di Afghanistan pernah menjadi padang jarak padang tekukur angkara peperangan dengan regim komunis Rusia sekitar tahun 1979. Bahana perang telah menyebabkan beribu-ribu rakyatnya menjadi pelarian perang ke Pakistan dan negara-negara sekitarnya. Kisah sedih dan trauma yang melanda mangsa-mangsa perang ini akan diperincikan dalam episod yang seterusnya. Pada tahun 1996, Kabul bergolak lagi angkara Taliban. Habis hancur musnah segala kemudahan-kemudahan dan harta benda. Itulah kesan fizikal peperangan. Apa pula kesan emosi dan mental ? Nantikan episod seterusnya...

Entri oleh sultanmuzaffar 25 September 2006 0 komen

Image Hosted by ImageShack.us



Ziarah
Episod 1 (Afghanistan: Jalalabad)

Ziarah memulakan siri pengembaraan pertamanya di Jalalabad, Afghanistan.

Cabaran pertama yang harus ditempuh ketika melakukan pengambaran di Afghanistan adalah cuaca panas mencecah 50 darjah celcius.

Dalam episod pengenalan ini, Ziarah banyak memaparkan tentang budaya hidup rakyat Afghanistan selepas era peperangan Russia, Mujahiddin dan Taliban.

Keindahan bumi Afghanistan dan keramahan penduduknya merupakan antara paparan yang ditonjolkan dalam episod pertama ini.

Walau hampir 3 dekad dimamah penderitaan perang, keindahan panorama semulajadi bumi Afghanistan khususnya Jalalabad bagai tidak terusik malah menggamit mata memandang.

Malah dibawah terik matahari 50 darjah celcius, krew Ziarah sempat meluangkan waktu mandi sungai di Sungai Barabad.

Dalam episod ini, Ziarah turut memberi gambaran betapa Afghanistan kini selamat untuk dikunjungi.

Nota : Episod ini masih merupakan episod pengenalan kepada penonton. Tidak banyak detik-detik yang mengharukan dipaparkan dalam episod pengenalan ini. Sempat juga perantara program ini iaitu Dang Suria dan Wan Kamarudin bergurau senda dengan penduduk tempatan untuk lebih mengenali hati budi mereka. Kalau selama hari ini kita sekadar mengetahui kewujudan kaum Sikh di negara kita tetapi tidak di negara Afghanistan. Di sana juga mempunyai penganut ajaran Sikh dan mereka hidup aman makmur di Afghanistan sama seperti mereka hidup aman di bumi Malaysia. Pertemuan dengan anak-anak masa depan yang mengharapkan ada sinar keamanan di negara mereka. Dalam pengembaraan tersebut, sempat juga mereka bertemu dengan seorang anak kecil yang berniaga manisan untuk menanggung ayahnya yang lumpuh. Sesekali kanak-kanak itu tetap tersenyum dan senyuman itu merupakan bahasa duka yang terindah di dunia. Malam itu mereka menumpang di rumah saudara Islam, berselimutkan bulan dan bintang di bumbung rumah tersebut. Esok mereka akan berpindah ke Kabul dalam kemelut keamanan yang masih belum padam.

Entri oleh sultanmuzaffar 23 September 2006 0 komen

Faizal : Satu Dalam Sejuta, Suki : Taiwan Menanti !

Secara jujur, saya tidaklah menonton rancangan One In A Million dari mula. Pertama kerana program tersebut disiarkan pada hari Jumaat. Waktu tersebut adalah waktu rehearsal Konsert Akademi Fantasia dan photoshoot pelajar Akademi Fantasia. Sewaktu musim AF, memang saya tidak berpeluang menontonnya. Walaupun mendapat banyak SMS yang suruh saya menonton program tersebut.

Sejak dari episod pertama, saya tidak pernah berpeluang dan peluang hanya muncul setelah musim AF tamat. Orang cakap Faizal bagus, ada yang cakap Suki bagus, ada juga yang cakap Lokman bagus, ada juga yang berbisik Dayang tidak patut masuk tidak kurang juga yang masih simpati kepada Farah. Saya cakap saya tidak tengok.

Semalam saya menonton One In A Million depan TV di rumah. Kejutan tidak dramatik pertama dilakukan apabila tiada penyingkiran pada malam kemuncak itu. Sangat tidak dramatik. Awal dan Marion harus menuntut ilmu dari Aznil Nawawi untuk menimbulkan kesan dramatik. Sepatutnya "kezutan" seperti yang ditiru oleh Ahmad Izham Omar menjadi lebih dramatik tetapi mood tersebut tidak sampai. Sayang betul. Kalau menjadi lebih dramatik semalam tentunya lebih hangat. Mahu juga saya melihat wajah lega Suki atau Alif setelah melihat penyingkiran Faizal.

Kalau dulu kemasukan semula Lotter ada sesetengah menganggap sebagai merompak tempat Farhan, apakah dengan tiadanya penyingkiran Faizal telah merompak tempat Alif. Mungkin juga Faizal juga boleh dianggap sebagai perompak undi Alif. Yang pasti hanya ada satu tempat untuk direbut, iaitu pulang dengan wang satu juta ringgit.

Berbaloi ? Apakah nilai satu juta ringgit pada seorang perempuan yang berumur 17 tahun ? Apakah nilai satu juta ringgit pada anda ? Apakah wang satu juta ringgit yang akan diberikan dalam bentuk pelaburan akan benar-benar diperolehi oleh Suki ? RM275,000 telah dibelanjakan oleh penonton untuk diberikan kepada 8TV demi menjadikan Suki seorang jutawan ! Bukan satu berita yang baik buat 8TV ya ! :)

Persembahan Suki biasa sahaja. Persembahan yang cukup makan. Saya lebih sukakan persembahan Alif tetapi persembahan Faizal lebih meyakinkan. Antara ketiga-tiga lagu baru peserta, saya lebih menyukai lagu Maha Karya Cinta dan lagu Khayalan. Apabila menyanyikan lagu pilihan masing-masing, Faizal yang menggabungkan tiga lagu dalam sebuah lagu We Will Rock You memukul habis kedua-dua rakannya yang lain. Suki membawakan lagu Everything dan Alif membawakan lagu Give Me Just One Night (Uno Noche). Walaupun berada di kedudukan terbawah sedikit pun tidak memberikannya tekanan untuk memberikan persembahan yang terbaik. Akhirnya Faizal sekadar menang sorak dan Suki membawa pulang wang satu juta ringgit dan bergelar jutawan muda segera. Lebih baik digelar jutawan muda segera dari mee segera kan ?

Undian keseluruhan sepanjang musim One In A Million ialah 550,000 ! Untuk Grand Finale sahaja sebanyak 120,000 undi diperolehi. Undian dari sebuah program realiti paling popular dari satu nombor telefon sahaja sudah boleh mencecah 8000 undian. Bayangkan perbezaannya ! Sempat juga saya bersms dengan rakan sekerja di Astro tentang jumlah undian. :) Berbalik kepada OIAM, lagipun tempoh undian untuk program realiti ini tidak begitu panjang. Mungkin itu antara faktornya. Kalau bercakap tentang soal jumlah undian, lebih baik saya menutup mulut. Satu keputusan yang menarik bila jumlah undian MASUK (84%) melebihi undian KELUAR (16%). Tidak begitu besar jumlah kebencian yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sebenarnya. Tapi mungkin keputusannya berbeza untuk Akademi Fantasia jika kaedah ini digunakan. Mungkin !

Saya suka dengan konsep One In A Million. Satu ada MASUK dan KELUAR. Kedua, semasa tempoh ujibakat, sudah ada pertandingan KNOCK-OUT. Ketiga, ada BLIND TEST. Itu antara keunikan program ini yang menggabungkan beberapa elemen dari program realiti pencarian bakat dan kemudiannya diadun menjadi One In A Million. Penyingkiran yang dilakukan pada awal program juga antara keunikan program ini. Memanglah hancur harapan peserta yang telah membuat persediaan tetapi tidak dapat membuat persembahan.

Berdasarkan pemerhatian saya untuk beberapa minggu, saya lebih gemarkan Faizal muncul pemenang. Saya melihat persembahannya yang mampu untuk menambat hati penonton. Malam tadi sahaja beliau merupakan satu-satunya peserta yang berjaya membuatkan penonton berdiri memberikan tepukan dan gemuruh sekali Dewan Merdeka dengan sorakan untuknya. Secara keseluruhan, saya suka dengan perjalanan acara Grand Finale One In A Million semalam. Sungguh simple tetapi memberikan kesan yang hebat. Pemilihan lagu juga memainkan peranan yang penting untuk membuatkan program itu tidak terlalu meleret. Lagu-lagu baru Audi Mok memang gempak ! Good job dude ! Contoh-contoh lagu Audi seperti Drama (Ning Baizura feat. Nikki & Yanie) dan Caramu (Nikki feat. Zahid) dan...(tutup mulut). Red carpet ? Seperti standard Malaysian Idol musim 1 dan 2, tiada selebriti yang dapat memberikan gemerlap bintang. Saya sempat sms "Busuknya Red Carpet !!" ke Mr.Manager. Tiba-tiba Ning Baizura muncul di skrin tv dan sms kedua menyusul "Alamak ! hahaha".

Fantasinya sudah tamat dan kini realiti menanti di hadapan. Satu juta ringgit sudah berada di tangan dan kini perancangan yang teliti perlu dilakukan. Sudah pasti pasaran di Taiwan menanti beliau, sama seperti kemenangan Daniel dalam Malaysian Idol 2. Berbeza dengan Jac yang lebih diterima di Malaysia walaupun penjualan album tidaklah sebesar mana. Di sini saya lebih berbangga dengan Mawi bila berjaya menjual albumnya di Malaysia. Sekarang, nama Faizal lebih dikenali berbanding sewaktu beliau bersama Mirwana dulu. Dia boleh meneruskan usahanya dalam bidang muzik. Penerbit, penyanyi, pengacara dan macam-macam lagi. Suki mengekori jejak langkah Ahmad Samerin yang menjadi jutawan segera dari program More Jutaria satu ketika dahulu. Di mana ya Ahmad Samerin sekarang ?

Pilihan sultanmuzaffar
Faizal - We Will Rock You
Alif - Give Me One More Night (Uno Noche)
Faizal - Maha Karya Cinta
Alif - Khayalan
Suki - Everything
Suki - Berdiri

Entri oleh sultanmuzaffar 20 September 2006 0 komen

Sidang Media Pelancaran Ziarah di Astro RIA

Image Hosted by ImageShack.us

Macam yang anda tahu, Isnin hingga Rabu merupakan hari yang agak sibuk. Memang terasa penat bila ada "staff" yang menghabiskan cuti mereka dalam minggu-minggu yang sibuk macam minggu ini. Apa pun halangan, kerja masih perlu aku teruskan. Macam tadi berlangsung Sidang Media Pelancaran Ziarah. Aku memang puas hati dengan perjalanan majlis. Kurang dari 12 jam sebelum majlis, aku perlu memikirkan hiasan meja yang sesuai untuk majlis tersebut. Memandangkan konsep rancangan ini berbentuk dokumentari pengembaraan ke negara-negara yang sedang berada di garisan krisis atau pun yang telah musnah angkara peperangan, maka satu idea timbul. Fikir punya fikir, saya terbayangkan permainan askar yang selalu digunakan kanak-kanak zaman 70an dan 80an. Macam main Combat.

Semalam, selepas kerja aku terus bergegas ke KLCC untuk mencari set permainan Combat. Satu KLCC aku pusing. Dari Toy City, kemudian Isetan dan masuk pula ke Parkson Grand semuanya TIADA ! Tamiya dah tutup pulak ! Kanak-kanak zaman sekarang dah tak main permainan kita dulu. Mereka main robot sekarang. Mahu tak mahu terpaksa saya bergegas ke Mid Valley. Mujur ada Toys 'R Us, Toy City, Miniature Shop dan Tamiya. Aku pun shopping sakan. Bukan aku yang bayar. Company yang bayar. Jadi aku beli saja apa yang terlintas. Habis RM250.00 malam tu dengan barang permainan Combat. Ada askar, kereta kebal, helikopter, pelancar roket dan kubu. Mujur pasir saja takde dijual di Mid Valley. Kalau ada dengan pasir-pasir pun aku beli untuk cipta persekitaran perang.

Image Hosted by ImageShack.us

Mula-mula memang rasa cuak juga nak letak permainan tu kat atas meja. Takut hilang. Aku letak permainan yang paling mahal sekali atas meja VIP. Yang biasa-biasa aku letak untuk meja Astro dan Press. Kalau hilang pun tak lah ralat sangat. Mujur tiada satu permainan pun yang hilang mungkin kerana tetamu yang datang pagi tadi semuanya baik-baik belaka.

Bagi ada yang masih tidak tahu, Ziarah akan mula disiarkan pada 1 Ramadhan ini. Catatan pengembaraan ini telah disorot oleh pengacara terkenal, Wan Kamarudin Wan Ibrahim dan Dang Suria Zainuddin dan ia meliputi negara-negara seperti Afghanistan, Pakistan, Jordan, Syria, Lebanon, Uzbekistan, Kazakhstan, dan Yogyakarta. Bagaimanapun, pengambaran lebih tertumpu kepada bandar-bandar seperti Kabul, Beirut dan Yogyakarta yang telah yang musnah angkara peperangan dan gempa bumi. Macam Yogyakarta, pengambarannya masih belum dilakukan. Ia hanya akan dirakam sewaktu bulan puasa.

Image Hosted by ImageShack.us

Macam tadi, tetamu yang hadir sempat dihidangkan dengan Ziarah episod 8. Boleh dikatakan episod terbaik. Banyak juga tetamu berhati-perut yang mengalirkan airmata. Tak kurang juga yang tidak tahan dan cepat-cepat keluar dari dewan hanya kerana nak control macho macam Akmal. Khabarnya kat luar dewan dia call anak dia sekadar bertanya khabar selepas melihat episod penderitaan mangsa perang terutamanya kanak-kanak dan wanita. Sungguh berat trauma yang melanda mereka. Itulah penangan Ziarah. Macam kata Wan Kamarudin, kalau dulu orang menangis kerana Akademi Fantasia, kenapa tidak orang menangis kerana Ziarah pula ?

Peranan penerbit telah hampir selesai menerbitkan sebuah program dokumentari bermakna ini. Peranan Astro pula adalah untuk menayangkan program ini. Peranan aku pula ialah memberikan komen sejujur mungkin untuk program ini. Mungkin aku tipu, atau mungkin aku sekadar mahu mengampu Astro yang dah beri aku makan, kini apa pula peranan anda ? Peranan anda pula adalah untuk menyaksikannya sendiri dan memberikan komen anda pula. Anda boleh saksikan Ziarah mulai 1 Ramadhan ini pada jam 6.30 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat. Jom kita berperang !!!

Acara pagi tadi membuka ruang baru untuk aku menambah kawan. Mungkin dalam keadaan sekarang dah ramai kawan yang lari kerana takutkan bayang-bayang sendiri, tapi ruang masih terbuka untuk aku tambah kawan baru. Patah tumbuh hilang berganti. Sempat juga aku bersembang kosong dengan beberapa krew penerbitan yang hadir pagi tadi. Antaranya wajah-wajah baru yang sebelum ini hanya aku kenal di tv macam Wan Kamarudin dan Dang Suria. Tenaga penerbitan di belakang tabir Ziarah juga ada seperti Pauline, Muhaimi, Yaakob, Firdaus, Zainal dan beberapa lagi.

Image Hosted by ImageShack.us

Aku sebenarnya puas dengan majlis pagi tadi. Mungkin kerana aku telah berjaya siapkan banyak perkara. Dari siaran akhbar, teks ucapan dan hiasan meja. Itu yang buat aku benar-benar puas hati. Letih memanglah letih tapi aku puas. Puas kerana dapat puaskan tetamu yang hadir. Bila terlibat dengan majlis macam ini kadang-kadang buat aku keliru untuk pilih sama ada publisiti atau yang lagi satu ini.

Saya telah menonton semua episod Ziarah dari episod 1 hingga 11. Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata Ibrahim, kanak-kanak mangsa perang yang menjadi pelarian perang sejak kecil yang saya petik dalam salah satu episod Ziarah. ”I want to be the soldier of Hezbollah”.

Mungkin kerana keletihan, aku terus pulang ke kampung kerana ada hal penting yang perlu diuruskan. Aku terlupa yang aku perlu menghadiri satu lagi mesyuarat jam 2 petang. Mungkin kerana majlis tersebut pun habis agak lewat, jadi aku ada alasan untuk diberikan. Mesyuarat tu memang agak penting kerana melibatkan urusan freelance dengan MIT, bahagian yang menguruskan Astro Mobile. Ala, yang korang selalu download tu. Kalau korang nak tahu pasal aktiviti Mawi, tekan saja ON MAWI dan hantar ke 32999.

Esok pagi dan petang juga akan menjadi agak sibuk. Pagi perlu memberikan kata putus untuk kandungan Red Button dan petang menghakimi satu peraduan Raya Tagline. Hari yang sibuk sebelum bercuti pada hari Jumaat. Ada projek baik punya !!

Ziarah pun ada blognya sendiri. Perantaranya pun ada blog sendiri jugak.

Ejen 016

Image Hosted by ImageShack.us

Dah masuk episod ke sepuluh, wajah Mr.K masih tidak diketahui walaupun dari suaranya aku boleh tahu itu suara Gibran Agi. Yang menariknya, episod minggu ini ada Studio Radio ERA. Nampak cantik je lobi lif di Tingkat 2, walaupun sekitar punat lif boleh kelihatan kesan-kesan daki kakitangan Tingkat 2. Adegan Linda Onn diculik oleh Tore nampak macam adegan Farah Fauzana penyampai HotFM yang telah diganggu peminat fanatik dalam Wakenabeb seperti yang disiarkan di NTV7 serta dihoskan oleh Adlin Aman Ramlie, pengkritik tetap AF4.

Siapa yang perasan dengan nada suara Dr.Mat ? Nada suara dia agak ganjil. Sesekali aku terdengar gaya dia bercakap macam Surya dalam Hikmah 2 yang kini disiarkan di Astro Ria jam 6 petang setiap hari Isnin-Jumaat. Semua stesen TV dan stesen radio aku sebut dalam ulasan malam ini. Dr.Mat jadi hero malam ni bila dia padamkan bom yang telah dipasang oleh Ramon. Bolehkan bom tersebut dimatikan ? Jangan lupa untuk saksikan episod minggu hadapan pada hari Rabu, jam 9.30 malam.

Entri oleh sultanmuzaffar 17 September 2006 0 komen

Monolog Seorang Penagih

Aku bangun sekitar jam 9 pagi. Aku capai handphone dan terus online 3G. Itulah hidup aku seorang penagih 3G. Lewat malam aku tertidur kerana keletihan menonton drama bersiri The Triangle. Ada marathon semalam. Dari jam 7 petang sampai jam 11.30 malam. Sampai tertidur-tidur aku dibuatnya kerana drama tu memang boleh buat kepala pening.

3G telah pun aktif dan aku buka laman web Utusan. Entah mengapa. Laman web Utusan memang akan menjadi santapan harian utama aku. Aku lihat kalau-kalau ada mesej yang ditinggalkan untuk blog mahu pun email. Ada satu email penting tentang sinopsis episod dokumentari Ziarah yang dihantar oleh Wan Kamarudin dan produksinya. Perlu disiapkan menjelang hari Isnin petang sebelum Sidang Media yang akan diadakan pada hari Selasa.

Aku bangun dan terus menyiapkan diri untuk bersarapan pagi di Restoran Haslam. Singgah sebentar di Kedai Mamak sebelah Restoran Haslam untuk beli akhbar mingguan. Memang sudah menjadi kebiasaan aku untuk menyelak akhbar-akhbar mingguan. Aku beli empat akhbar. Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Kosmo Ahad dan Metro Ahad. Hanya itu saja yang aku beli dan baca.

Ada cerita tentang Dayang Nurfaizah yang tersingkir dari One In A Million. Ada cerita Puteri Gunung Ledang The Musical yang akan dipentaskan di Esplanade Singapore. InsyaAllah aku akan terbang ke Singapura 24-26 November ini. Sambil menunggu Roti Telur Bawang Cili, aku aktifkan 3G lagi. Bukannya apa sejak-sejak bil handphone dibayar syarikat, aku semakin menjadi penagih tegar 3G. Lagi pun projek baru yang diberikan kepada aku melibatkan 3G. Entah berapalah bil handphone aku bulan ini. Selalunya dalam RM150 sahaja. Tapi tak mengapa pasal ada company yang bayarkan.

Roti Telur Bawang Cili aku sampai tetapi yang tiba hanyalah Roti Telur. Aku makan saja. Tiada beza pun. Tapi kakitangan dekat restoran tu dah bising-bising dan kecoh pasal salah hantar. Yang tukang hantar kena marah dengan bos dia pasal hantar yang salah. Aku dah naik malu. Bukannya apa. Aku bukannya kisah pun kalau roti telur bawang cili dengan roti telur. Tiada beza pun bagi aku. Lainlah kalau diorang hantar durian atau tempoyak kat aku. Yang tu memang aku marah lah.

Masa nak buat pembayaran aku cakaplah aku makan roti telur. Tukang hantar makanan bagitau bos dia aku pesan roti telur bawang cili tapi yang sampai roti telur. Perbuatan dia semata-mata nak tunjukkan yang tukang buat roti dah buat silap. Aku cakap jangan panjang-panjang. Tiada beza pun. Aku dah habis makan pun.

Aku balik rumah dan baca akhbar hari ini. Aku teruja dengan Puteri Gunung Ledang The Musical : Singapore Tour yang akan dipentaskan di Singapura bulan November ini. Aku mahu bercuti. Lagipun sejak musim Akademi Fantasia 4 yang lepas dah 5 bulan aku tak ambil cuti. Patutnya lepas habis AF4, aku pun mahu berehat tetapi tidak dapat peluang juga. Lepas satu-satu projek yang datang. Lepas satu-satu majlis yang perlu diuruskan. Kalau ikutkan hati memang mahu saja aku bercuti dalam tengah-tengah kesibukan menguruskan majlis, tetapi tidak elok pula meninggalkan kerja pada orang lain.

Jumaat lepas aku baru hantar satu laporan tentang soal-selidik yang aku diminta siapkan dalam 3 hari. Tentang tabiat menonton isirumah yang mempunyai anak kumpulan 6-12 tahun dan 13-18 tahun. Aku diminta siapkan soal-selidik untuk 10 isirumah sebagai sampel tapi aku dapat 16 isirumah. Kebanyakannya datang dari pembaca blog ini sendiri. Apa yang anak-anak remaja ini tonton di TV ? Adakah rancangan yang sesuai untuk mereka ? Berapa lama mereka tonton TV di rumah ? Banyak juga persoalan yang terjawab. Terima kasih kepada yang sudi membantu.

Masa aku dapat kerja ini beberapa hari yang lalu dari bos aku, perbincangan banyak ditumpukan kepada kerja tersebut. Ada soal lain yang cuba mengubah perhatiannya. Dalam 30 minit kami berbincang, soal lain itu hanya mengambil kurang dari 3 minit untuk mengubah perhatian kami. Betapa tidak pentingnya persoalan tersebut di mata kami.

Hari Isnin akan menjadi hari yang agak sibuk mulai minggu hadapan. Pagi hari Isnin merupakan hari untuk saya mengumpul bahan dari setiap penerbit dan kemudiannya menghantar kepada penyunting video untuk bahan-bahan tersebut dijadikan kandungan 3G.

Minggu depan minggu yang agak sibuk. Pagi Isnin untuk 3G, petang Isnin untuk Seroja : A Ramadhan Showcase, Selasa untuk Ziarah, Khamis untuk Tagline Raya Astro RIA dan Jumaat adalah hari One In A Million !!! Hari seumur hidup dalam sejuta hari ! Ada plan baik hari itu ! :)

Menjelang petang, saya bersama beberapa orang kawan bertandang ke Stor Teater Dewan Bahasa Pustaka untuk teater Gadis Jalan Burmah. Teater monolog yang diarahkan oleh David Lim dan dilakonkan oleh Soefira Jaafar. Teks teater tersebut merupakan nukilan Shahredza Minhat. Ceritanya tentang Kartini yang sudah berumur 42 tahun tetapi masih belum berkahwin. Konflik jiwa banyak terarah kepada Kartini dan persekitarannya. Bayangkan dalam umur 42 tahun sewaktu menghadiri majlis perkahwinan saudara-saudaranya, pasti ada saudara-saudara yang bertanya “Bila lagi ?”. Lain kali apabila menghadiri upacara pengebumian saudara-saudara terdekat, tanya kembali pada mereka yang bertanya kepada anda itu “Bila pula ?”.

Kembali dari Stor Teater, saya singgah untuk minum petang di restoran yang sama pagi tadi. Saya minta roti telur bawang cili. Belum apa-apa tukang hantar terangkan masalah pagi tadi. Aduh ! Tak habis lagi ke isu pagi tadi ??? Kali ini dibawakannya roti telur bawang cili yang betul. Saya makan sambil baca skrip teater Toast tulisan Rodek dan kemudian saya balik.

Eh ! Mula-mula guna aku. Tiba di penghujung jadi saya. Sukar untuk mengubah rupanya. Monolog tak jadi…

Aku kini merupakan seorang penagih. Penagih tegar 3G. Korang ada 3G ? Kalau ada 3G korang guna servis tu atau tak ? Berapa lama korang akan guna bila sekali aktifkan 3G ? Program apa yang akan ditonton dengan 3G ? Antara broadband dan 3G, yang mana korang lebih suka dan akan guna ? Adakah harga untuk menggunakan servis 3G masih mahal di Malaysia ?

Entri oleh sultanmuzaffar 15 September 2006 0 komen

Ziarah Menjelma, Puasa Kembali, Tiba Masa Untuk Hibernasi

Masa banyak dihabiskan bersendirian hari ini. Baik di pejabat, mahu pun di rumah. Geng ofis pun bercuti. Geng rumah pun bercuti. Masa juga dihabiskan dengan menyiapkan kerja-kerja yang ada. Orang ingat lepas habis Akademi Fantasia, saya pun kembali ke tempat asal. Tapi balik-balik muka ini ada lagi. Bersabar sajalah mengadap. Ada dua acara yang agak penting perlu diuruskan minggu hadapan. Satu hari Isnin, satu lagi hari Selasa. Back-to-back !

Acara pada hari Isnin melibatkan Astro selaku Penyiar Rasmi untuk Seroja : A Ramadhan Showcase yang akan menampilkan Mawi, Ramli Sarip dan ramai lagi sempena bulan Ramadhan kelak. Ada satu teks ucapan yang perlu disiapkan. Satu ? Memanglah tak banyak. Cuma satu. Cuma minda perlu dihalakan menjurus kepada jargon-jargon seperti muzik Islam, mesej ketuhanan, sentuhan kerohanian yang selama ini jarang benar saya gunakan untuk blog ini. Mahu tidak mahu saya harus memperbanyakkan perbendaharaan kata yang baru dalam otak saya. Satu pengalaman baru !

Acara pada hari Selasa pula merupakan Sidang Akhbar Ziarah, sebuah program pengembaraan ke negara Asia Barat yang akan disiarkan mulai 1 Ramadhan. Tempat acara perlu dipilih, teks ucapan perlu disiapkan, media Q&A juga dirangka. Banyak kerja tetapi rakan sekerja bercuti. Mahu merungut pun tiada gunanya kerana yang penting adalah hasilnya. Untuk memberikan satu kelainan, saya perlu menonton kesemua episod Ziarah yang telah disiapkan. Saya menyukainya dan nantikan saja menjelang bulan Ramadhan kelak kemunculannya.

Lupakan...
Setelah selesai Akademi Fantasia saya masih belum berpeluang untuk bercuti panjang. Ada lagi satu kerja baru yang diperolehi tetapi dalam keadaan sekarang ianya masih tidak sesuai untuk diceritakan di sini. Tunggu sahajalah. Tetapi kepada sesiapa yang tidak sabar-sabar menunggu tibanya tarikh 24 September 2006, silalah lupakan angan-angan itu.

Soal-Selidik
Terima kasih diucapkan kepada yang sudi turut serta dengan soal-selidik segera yang perlu saya lakukan. Sebanyak 10 isirumah perlu dikaji tetapi hasilnya sebanyak 16 isirumah yang diperolehi. Ada yang melalui soal-selidik bertulis, ada juga yang melalui telefon. Untuk apa semua ini ? Untuk mengetahui apa yang kanak-kanak 6-12 tahun dan remaja 13-18 tahun inginkan dengan menonton televisyen. Apa yang kurang dengan televisyen sekarang pada kanak-kanak dan golongan remaja ini sekarang ?

Dulu ada Cumi dan Ciki, sekarang mana ada. Dulu-dulu masa peringkat umur sekolah menengah ada Cyberwave yang amat sesuai dengan saya yang gilakan teknologi, sekarang mana ada rancangan macam tu untuk menyesuaikan dengan selera orang Melayu. Itulah kurangnya. Masa bila dua peringkat umur ini menonton TV ? Siang sekolah, petang sekolah agama, lewat petang sikit bermain, malam buat kerja rumah dan sebagainya. Ada peluang untuk menonton tv pun selepas waktu makan. Tapi yang ditonton bukannya rancangan yang dikhaskan untuk tontonan dua golongan ini tetapi untuk golongan keluarga. Jadi waktu mana yang sesuai untuk dislotkan kepada dua golongan ini ? Aduh ! Banyaknya kerja baru...

Lega
Untuk sedikit berita melegakan, ada seorang funder dari sebuah badan bukan kerajaan Jerman mahu memberikan dana untuk saya meneruskan hayat blog dan juga mahu menaja beberapa aktiviti yang melibatkan blogger di Malaysia. Buat masa ini saya telah berbincang dengan beberapa blogger-blogger yang akan menjadi key person yang akan turut terlibat dengan dana ini. Jika semuanya berjalan lancar, beberapa siri aktiviti ilmiah akan dilaksanakan. Saya sudah pun mendapat persetujuan untuk perbincangan dengan kawan-kawan di Geng Jurnal. Pemberi dana ini begitu cerewet dalam keputusannya dan saya perlu mendapatkan key person untuk terlibat menjayakannya.

Entri oleh sultanmuzaffar 13 September 2006 0 komen


Konsert Nur, Istana Budaya

Konsert Nur merupakan persembahan yang menggabung muzik tradisional dan moden, dalam usaha untuk menyanjung nilai-nilai positif Islam, sejajar dengan konsep Islam Hadhari.

Konsert ini turut mempersembahkan satu koleksi pilihan kerohanian muzik dalam pujian ke atas Allah dan akan dipersembahkan dengan alat-alat muzik Malaysia, Indonesia dan Timur Tengah.

Tampil menjayakan persembahan barisan artis-artis seperti Mawi (artis undangan pada Sep 16), Ramli Sarip (artis undangan pada Sep 17), Raihan, Aishah, Nash, Khir Rahman dan ramai lagi ! Hasil daripada persembahan ini akan didermakan ke Kebajikan Persatuan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) dan disalurkan untuk tabung pendidikan mereka.

Para peminat Mawi memang sewajarnya menonton persembahan sebegini. Duit-duit yang dihabiskan untuk SMS kemenangan Mawi untuk pelbagai anugerah sepanjang tahun bolehlah pula didermakan kepada persembahan mulia ini pula. Apa salahnya berkongsi kegembiraan dengan anak-anak yatim yang tidak pernah mengenal apa itu jutawan dan yang amat memerlukannya. Mereka memerlukan dana untuk tabung pendidikan mereka pula. Bukankah lebih berkat membantu anak-anak yatim sempena kehadiran bulan Ramadhan ?

Persembahan akan dibahagikan kepada tiga segmen. Segmen pertama akan diperdengarkan suara kerohanian Melayu yang begitu kaya dengan nada dan keasliannya, hasil dari bunyi-bunyian peralatan muzik tradisional Melayu yang digabungkan dengan peralatan moden seperti biola, violin, celo dan sebagainya untuk menghasilkan nada dan irama Melayu. Segmen ini turut mengajak penonton untuk menghayati keaslian alunan nada dan irama Melayu yang asli. Segmen kedua akan memperdengarkan gabungan suara, irama dan nada yang dihasilkan daripada alat-alat muzik tradisional, iaitu antara muzik Indonesia dan Timur Tengah. Melalui segmen ini, penonton dibawa untuk menghayati serta membandingkan perbezaan antara muzik kedua-dua negara tersebut. Manakala dalam segmen ketiga, ketiga-tiga suara, nada dan irama akan digabungkan bagi memperlihatkan betapa indahnya irama yang terhasil apabila ianya digabungkan bagi menghasilkan satu gabungan suara, nada dan irama kerohanian yang bakal menyentuh hati dan perasaan, hasil daripada gabungan mantap yang turut diiringi secara simfoni orkestra.

Jangan ketinggalan !

Tarikh : 16 & 17 September
Tempat : Istana Budaya, Kuala Lumpur
Penampilan Khas : 16 Sept (Mawi) & 17 Sept (Ramli Sarip)
Tiket : www.ticket2u.biz

Ejen 016

Image Hosted by ImageShack.us

Kata Alia, masa dulu bekas teman lelakinya OK. Tidak seperti sekarang. Mulutnya semakin busuk. Itulah sebab dia meninggalkannya. Mulut busuk berbau longkang itu memang patut ditinggalkan, kata Saiful Apek Ejen 016. Kelucuan si mulut busuk itu dapat ditonton dalam Ejen 016 semalam. Kepala saya terbayang dan melayang terbang mengikut imaginasi. Amber Chia muncul sebagai cameo untuk satu adegan klip video.

Kalau ada sesiapa yang belum berpeluang untuk menonton Ejen 016, penerbit drama komedi bersiri tersebut ialah DiGi. Mereka bertanggungjawab untuk menaja Anugerah ERA 06. Kalau ada yang terlupa mereka juga menaja Filem Terbaik FFM19, Gubra dan saingan terdekat Gubra iaitu Pontianak Harum Sundal Malam 2. DiGi memang terkenal membantu produk-produk berkualiti untuk industri muzik, filem dan drama tempatan.

Gold Rains and Hailstones


Pentas 1, KLPAC
7-17 September 2006
Production blog
M92/ RM72/ RM52

Gadis Jalan Burmah
Stor Teater DBP
12-23 September 2006
RM22/ RM17 (Pelajar)/ RM15 (Malam Preview)

Ziarah di Astro RIA
Tarikh siaran : sepanjang bulan Ramadhan
Masa siaran : akan diberitahu kelak

Mulai bulan Ramadhan yang akan menjelma tidak lama lagi, saya akan cuba meluangkan masa saya dengan mengembara bersama Wan Kamaruddin dan Dang Suria ke negara-negara Islam seperti Afghanistan, Pakistan, Palestine, Jordan, Syria, Uzbekistan, Kyrgistan dan Indonesia untuk melihat kesan-kesan tinggalan keganasan perang oleh kuasa-kuasa besar Barat. Saya sudah menonton DVD 5 episod Ziarah dan teruja untuk menonton episod yang seterusnya. Ulasan lanjut berkenaan program ini akan dipaparkan di sini minggu hadapan.

Entri oleh sultanmuzaffar 12 September 2006 0 komen

Malaysian Futures 01 : Fantasia Crossover

Image Hosted by ImageShack.usAnda boleh mendapatkan majalah Off The Edge keluaran bulan September segera di pasaran. Sesekali beli Off The Edge, apa salahnya. Paling tidak, singgah di gerai mamak dan minta pinjam barang seminit. Kalau selama hari ini kita hanya mendengar The Edge, akhbar mingguan yang terbit seminggu sekali berkenaan kewangan dan pelaburan. The Edge Daily pula merupakan laman web sokongan kepada akhbar tersebut yang memberikan maklumat-maklumat perniagaan dan pelaburan.

Off The Edge pula merupakan majalah bulanan berkenaan seni dan budaya untuk usahawan. Apabila diberikan peluang untuk bertandang ke majalah ini, blog ini secara tidak langsung terdedah kepada satu lagi golongan khalayak. Selama ini ia lebih terdedah kepada khalayak Akademi Fantasia atau hiburan secara amnya, kini terbuka kepada golongan usahawan pula untuk melihat lebih dalam apa yang dipaparkan di sini.

Artikel tulisan Danny Lim bertajuk Malaysian Futures 01 : Fantasia Crossover. Takut benar saya dengan tajuknya. Saya tidak scan keseluruhan artikel kerana apa gunanya ada majalah terjual kalau kandungannya diimbas dan dipaparkan di sini. Mereka juga berniaga. Kandungan wawancara lebih menjurus kepada kesedaran menjadi seorang rakyat Malaysia, pengalaman terhadap perubahan yang berlaku di dalam negara, masa depan diri sendiri dan juga pengaruh politik nasional terhadap kehidupan saya.

Turut dipaparkan dalam senarai Malaysian Futures 02 ialah Faisal Tehrani, Malaysian Futures 03 : Menj & Rajanr, Malaysian Futures 04 : Tiara Shafiq, Malaysian Futures 05 : Johnleemk dan Malaysian Futures 06 : Khai Loon & Rifa. Tersenarai dalam kelompok tersebut sudah cukup merasakan blog ini diterima dan dihargai. Nyata dunia blog lebih luas dan bukan hanya di Malaysia Top Blog, Geng Jurnal dan Petaling Street. Dunia blog Malaysia lebih luas dari itu. Ternyata ada beribu blog lain yang sudah jauh melangkah mendahului saya. Jangan disempitkan fikiran kita di bawah tempurung angka tersebut. Mungkin kita hanya menyedari kewujudan blog hiburan atau blog picisan dan sering melupakan blog yang berbicara soal yang lebih global kerana hiburan adalah dunia keliling kita. Ia sudah cukup untuk melegakan saya walaupun pelbagai cabaran saling menjengah tatkala mempunyai blog bernama sultanmuzaffar. Namun, ia sedikit pun tidak menggoyahkan pendirian dan pegangan saya.


Image Hosted by ImageShack.us

Klik untuk imej yang lebih besar

Kalau hari ini permulaannya, saya mahu menjadikan hari ini sebagai hari yang terbaik dan langkah awal ke masa depan yang lebih gemilang. Langkah ini ibarat langkah ke medan perang. Sekali menongkah arus berada di bahagian hadapan, saya tidak akan berundur walau setapak sekalipun ! Awas !!!

Nota : Berlaku kesilapan terjemahan di bahagian pengenalan. Saya hanya membantu menguruskan publisiti dan promosi Akademi Fantasia 4 dan bukannya Pengurus Publisiti dan Promosi Akademi Fantasia 4. Dunia pengurus dan kakitangan bawahan nyata berbeza. Baik dibuat disclaimer awal-awal, ada pula yang melatah menuduh saya gila pangkat nanti !

Entri oleh sultanmuzaffar 09 September 2006 0 komen

Anugerah ERA 06 : Nikki & Zahid Merosakkan Malam Gemilang Mawi !

Untuk Ramalan yang tidak seberapa saya, sila klik sini. Sekilas pandang, saya terpegun dengan rekabentuk pentas AE06 pada tahun ini. Benar-benar terpana dengan skrin LED raksasa yang menjadi latar pentas tersebut.

Tidak sabar rasanya mahu menonton persembahan rapsodi Drama Ning Baizura yang koreografinya amat mengagumkan !

Ulasan lanjut akan disiapkan secepat mungkin. Perlu habiskan masa menonton The Triangle yang terlepas semalam.

Hanya ada 2 perkara penting yang akan ditulis tentang Anugerah ERA 06

Image Hosted by ImageShack.us

1. Kemenangan Nikki dan Zahid untuk Duo/Berkumpulan Pilihan
Saya amat berpuas hati dengan kemenangan Nikki dan Zahid untuk kategori tersebut. Walaupun meramalkan fenomena aura Mawi dan M.Nasir masih kuat untuk menang kategori ini tetapi sekelumit di hati saya tetap meletakkan pilihan Nikki/Zahid sebagai pemenang. Kehebatan Nikki/Zahid untuk mencelakan sedikit malam gemilang Mawi sememangnya di luar jangkaan tetapi tidak mustahil. Kolaborasi ini iaitu gandingan bersama bintang AF perlu diteruskan. Mana tahu tahun depan yang lagi seorang tu pula menang. :)


Image Hosted by ImageShack.us

2. Persembahan Drama oleh Ning Baizura, Nikki dan Yanie yang memukau
Pertama kali saya terpegun dengan koreografinya. Memang sharp dan sama antara satu sama lain. Itu yang buat persembahan tersebut nampak begitu mantap. Nyanyian mereka tidaklah begitu sempurna mungkin kerana sistem bunyi dan juga pembesar suara yang digunakan. Konsep persembahan juga menarik lengkap dengan tali cemeti. Nampak idea persembahan dibuat bersungguh-sungguh. Sayang sekali sudut-sudut rakaman kamera tidak begitu baik dan penonton terlepas moment-moment yang menarik dalam persembahan tersebut. Untuk laporan pilih kasih, sila ke blog Mr.Manager.

eh ! Ada lagi...

3. Kemenangan Siti Nurhaliza yang sedang "bekerja malam" untuk Vokal Wanita Pilihan.
Yahooo !! Siti Nurhaliza menang !! Walaupun beliau sedang bekerja semasa Anugerah ERA yang pasti beliau tetap menang. Kegugupan Saerah mengundang ketawa penonton apabila ucapannya diberikan makna yang cukup sensual untuk ditafsirkan oleh penonton.

4. Monster LED Screen yang meletup !!!
Saya memang suka sekali dengan monster LED screen yang menjadi latarbelakang pentas. Memang nampak pentas AE macam pentas MTV Award yang hebat di arena antarabangsa. Tahniah Faizal pereka set yang pendiam !

5. Skrip acara yang seimbang dan menarik walaupun isu-isunya lapuk tetapi segar.
Mula-mula menonton siaran langsung, saya menjangkakan majlis ini akan menjadi Mawi & Siti Nurhaliza bashing session ! Mujur telahan saya salah apabila hampir kesemua perkara-perkara penting yang berlaku dalam industri hiburan Malaysia diambil kira. Ada cerita Siti Nurhaliza, Datuk K, Mawi, Ina, Lis Dawati, Rita Rudaini, Sharifah Amani dan ramai lagi. Itu yang membuatkan skrip acara ini agak seimbang walaupun isunya sedikit lapuk tetapi masih segar apabila diberikan suntikan-suntikan yang baru. Anggap sahaja ia sebagai jenaka dan bukannya fitnah.

6. Persembahan Sean Ghazi yang menusuk kalbu.
Beliau memang kurang dikenali sebagai penyanyi mainstream, tetapi dalam bidang teater atau pementasan amnya, nama Sean Ghazi memang dikenali ramai. Kalau bukan Stephen Rahman Hughes yang membawakan watak Hang Tuah dalam PGLtM, nama Sean Ghazi lebih selayaknya membawakan watak tersebut. Dengan iringan piano, beliau memulakan persembahan lagu Jeritan Batinku dengan bersahaja tetapi menusuk kalbu. Iringan orkestra yang turut menyuntik elemen broadway dalam persembahan tersebut mnyerlahkan lagi kesegaran lagu tersebut.

Image Hosted by ImageShack.us

7. Persembahan 4 Juara AF dan saya hanya terpikat pada persembahan Mawi.
Percaya atau tidak antara 4 Juara AF yang tampil membuat persembahan, saya hanya tertarik dengan persembahan Mawi dengan lagu Kian. Iringan kanak-kanak sekolah memberikan keunikan dan kreativiti dalam persembahannya. Nyanyian Mawi untuk lagu tersebut juga mampu dihayati untuk menyerlahkan lagi perasaannya. Mawi mahu album gambarnya dikembalikan. Pulangkan...

8. Persembahan Finale (Spider, Pretty Ugly, Sixth Sense dan Pop Shuvit) yang menggegarkan.
Saya tertarik dengan penggunaan dua pentas untuk persembahan finale ini. Jika digabungkan sekali empat band dalam stadium itu tentu lagi gempak. Kehangatan penamat malam tersebut akan menjadi lebih hebat. Tumpuan tidak hanya tertumpu di satu arah. Lagipun buat penat saja kalau buat rekaan pentas banyak-banyak kalau RTM2 yang menang Set Terbaik macam set AE tahun lepas. Dua band yang benar-benar mengagumkan ialah Pretty Ugly dengan lagu popular masa kini mereka Diari Seorang Lelaki dan Sixth Sense dengan lagu Hari Ini Dan Semalam. Memang betul-betul bertenaga penyanyi kumpulan Sixth Sense itu. Tentunya pelakon-pelakon veteran 50an yang hadir malam anugerah itu terus keliru apakah lagu yang dinyanyikan itu lagu lama nyanyian J.Mizan.

9. Penganugerahan Anugerah Seni ERA kepada Dato' Maria "Pontianak" Menado dan Seniwati "Chombi" Zaiton
Kalau ada sesiapa yang tidak mengenali mereka tentu tidak pernah menonton filem tahun 50an seperti Pontianak atau pun Ibu Mertuaku. Maria Menado merupakan pembawa watak Pontianak dan Zaiton membawakan watak Chombi. Sewajarnya mereka yang pernah mengangkat nama industri perfileman Malaysia sehingga sekarang dan masih tiada tandingan. Itulah antara nama-nama yang masih segar dalam ingatan peminat filem tempatan.

10. Sistem bunyi yang membingitkan.
Saya petik kata-kata Ramli MS tentang sistem bunyi seperti yang tersiar dalam BiPop hari ini. Katanya sistem bunyi sering berada di kasta paling rendah apabila dalam perancangan belanjawan untuk sesebuah acara seperti ini. Ini menyebabkan yang sistem bunyi tidak seperti yang diharapkan. Mungkin kerana tempat saya berdiri betul-betul di bawah pembesar suara dan bukannya di tengah-tengah stadium. Memangnya sistem audio semalam agak membingitkan.

11. Menguruskan media dan jurugambar
Saya turut membantu menguruskan petugas-petugas media yang hadir pada malam itu. Ada beberapa perkara yang sedikit menyukarkan tugas saya iaitu tiadanya pintu khas untuk petugas media masuk. Kami terpaksa berkongsi pintu dengan penonton-penonton bertiket dan sedikit menyukarkan perjalanan keluar masuk media. Di luar tiada pula tempat berkumpul untuk media. Tiada meja kaunter khas untuk menjadi tempat media menanti.

12. Ramalan "buatlah ikut suka hati kau" yang menjadi kenyataan !!! Kena dalami trend muzik nasyid lagi selepas ini...
Dari senarai anugerah yang dipertandingkan, saya gagal meneka untuk kategori lagu nasyid pilihan. Ini menunjukkan yang saya perlu mendalami trend muzik tersebut lebih lagi di masa akan datang.

13. Menjadi "bapa ayam" dan harus ada "barter trade" !! Barulah we can talk business !! Hahahahaha
Tiada ulasan lanjut. Yang faham, akan faham...

Mulanya 2 perkara tetapi menjadi 13 perkara. Saya harus terus menjadi sultanmuzaffar...

Ramalan AE06 Menjadi Kenyataan

ARTIS HARAPAN PILIHAN
Ramalan : Mawi
Pilihan SM : Mawi

VOKAL WANITA PILIHAN
Ramalan : Siti Nurhaliza
Pilihan SM : Siti Nurhaliza

VOKAL LELAKI PILIHAN
Ramalan : Mawi
Pilihan SM : Mawi

VOKAL DUO/BERKUMPULAN PILIHAN
Ramalan : Mawi/M.Nasir
Pilihan SM : Nikki/Zahid

BAND PILIHAN
Ramalan : Pretty Ugly
Pilihan SM : Dewa

IRAMA GLOBAL PILIHAN
Ramalan : Aduh Saliha - Mawi
Pilihan SM : Aduh Saliha - Mawi

LAGU NASYID PILIHAN
Ramalan : Tanpamu – In-Team
Pilihan SM : Tanpamu – In-Team

ARTIS INGGERIS TEMPATAN PILIHAN
Ramalan : Jaclyn Victor
Pilihan SM : Estrange

LAGU ROCK PILIHAN
Ramalan : Diari Seorang Lelaki – Pretty Ugly
Pilihan SM : Diari Seorang Lelaki – Pretty Ugly

LAGU POP PILIHAN
Ramalan : Kian – Mawi
Pilihan SM : Biarlah Rahsia – Siti Nurhaliza

PILIHAN KAKI WAYANG ERA
Ramalan : Bujang Senang
Pilihan SM : Gol & Gincu

VIDEO MUZIK PILIHAN
Ramalan : Lagu Jiwa Lagu Cinta – Mawi/M.Nasir
Pilihan SM : Tak Tahu - Adam

Tahniah kepada semua pemenang !! Itu sahaja yang wajar saya ceritakan. Semakin banyak dan semakin panjang cerita yang tidak perlu diceritakan. Penat AF baru saja hilang, penat AE pula timbul. Saya mahu berehat.

Foto : The Star

Entri oleh sultanmuzaffar 06 September 2006 0 komen

Permulaan Masa Depan Yang Gemilang

Cerita permulaan masa depan yang gemilang ini sempat dikongsikan bersama beberapa orang sahabat yang sabar menjadi telinga yang setia. Terima kasih Dream, Izreen, Tanty, Fiebie dan Mr.Manager.

Bila tiba masa yang sesuai, saya akan berkongsi permulaan masa depan yang gemilang itu di sini. Semangat saya semakin garang mahu membuktikan sesuatu. Usaha saya makin rakus mahu merealisasikan sesuatu. Langkah saya makin pantas mahu mengejar sesuatu. Minda saya makin lapang mahu merancang sesuatu. Moga dipermudahkan perjalanan ini...

Entri oleh sultanmuzaffar 03 September 2006 0 komen

Mukhsin Dan Angkasawan Bakal Menjelajah Dunia

Mukhsin nampaknya belum apa-apa akan menjelajah dunia apabila terpilih ke San Francisco International Film Festival. Sebelum itu, Mukhsin dan Gubra akan bertandang ke Tokyo International Film Festival. Tahniah !

Dalam perkembangan lain, satu ketika dahulu Sepet pernah dilabel sebagai filem yang tidak menonjolkan elemen-elemen Malaysia dan tiada jatidiri Malaysia hanya kerana menggunakan Bahasa Inggeris, Cina dan Inggeris sebagai medium komunikasi melalui filem tersebut. Itu kata orang.

Tapi kata Menteri Kewangan, dalam pembentangan Bajet 2007 telah mencadangkan pelbagai langkah untuk memartabatkan sekolah kebangsaan dan menarik lebih ramai pelajar Cina dan India ke sekolah kebangsaan dan antara langkah yang diambil ialah keputusan untuk mengajar Bahasa Cina sebagai mata pelajaran penuh di 150 sekolah kebangsaan, manakala bahasa Tamil di 70 sekolah kebangsaan.

Apakah Bajet 2007 tiada jatidiri Malaysia sekaligus mengenepikan darjat Bahasa Melayu ? Mungkin tidak. Semakin ramai anak Melayu boleh menguasai bahasa asing selain Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan membolehkan mereka menjelajah dunia satu hari kelak. Kalau diberikan peluang saya pun mahu.

Image Hosted by ImageShack.usImage Hosted by ImageShack.us
TAHNIAH !

Foto : The Star

Esok, kerajaan akan mengumumkan nama seorang calon utama untuk menjalani latihan sebagai angkasawan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Rusia sekaligus menjadi angkasawan pertama Malaysia. Empat orang calon dari pelbagai bidang yang terdiri daripada pegawai perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (34 tahun), jurutera, S. Vanajah (35 tahun), pakar pergigian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kapten Dr. Faiz Khaleed (26 tahun) dan juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) Mohammed Faiz Kamaluddin (34 tahun) bakal terpilih untuk mengisi sejarah yang bakal tercipta esok.

Esok juga kerja saya bersama Akademi Fantasia 4 akan selesai. Puas dan lega semuanya berakhir dengan baik. Pengalaman yang satu-satunya saya dapat dan tentunya begitu besar nilainya. Ia menjadikan saya makin tabah dan makin matang dalam menempuh dugaan hidup. Saya berpegang dengan kata jangan biarkan diri kita dijajah dan ketenangan adalah maksud merdeka yang sebenar-benarnya.

Semalam waktu santai saya dihabiskan dengan menonton The Triangle di Star Movies, saluran 42. Ada sebanyak 3 episod yang akan disiarkan setiap hari Sabtu jam 10 malam. Mungkin kerana terlampau minat dengan misteri Bermuda Triangle, episod Encore pun saya tonton lagi sekali. Semalam merupakan episod pertama. Ceritanya berkisar tentang seorang usahawan yang cuba untuk menjejaki misteri kehilangan kapal-kapalnya di Bermuda Triangle. Terpegun saya melihat cara olahan cerita itu diadun. Latarbelakang masa yang tertindih-tindih mampu menggerakkan minda saya untuk berfikir apakah ada dunia lain di sebalik zaman kini ?

Menonton mini-series ini mengingatkan saya kepada filem XXRay 2 bila mana pelakon-pelakon utamanya terdampar ke Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan pertukaran sejarah berlaku. Sama juga pandangan saya sewaktu menonton trilogi Back To The Future.

Aduh ! Banyak betul perkara yang harus ditulis. Persandingan Siti Nurhaliza ? Anda sudah tonton di TV. Konsert Reunion AF4 ? Suam suam kuku yang masih dikejar. Lagipun saya tidak mahu menggunakan blog ini sebagai tempat membela diri.

Ingat ! Cari ketenangan kerana itulah makna merdeka yang sebenar-benarnya...

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger