Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Panasnya AIR CON

Entri oleh sultanmuzaffar 06 July 2008

Image Hosted by ImageShack.us

Panasnya AIR CON

Sejak akhir-akhir ini penerbit teater begitu ghairah menerbitkan teater muzikal. Lepas satu-satu teater muzikal dipentaskan. Sehingga naskhah yang tidak sewajarnya dialih ke pentas muzikal pun mereka terjemah menjadi sebuah muzikal. Hasilnya entah apa-apa.

Saya tidak bermaksud ingin merendah-rendahkan usaha menerbitkan teater muzikal, tetapi biarlah naskhah itu diberikan keadilan yang sewajarnya. Memang benar, perkataan muzikal itu sahaja dapat menarik penonton.

Sebagai penggemar teater, saya mahu dihiburkan dan berpuas hati dengan setiap naskhah yang saya tonton, tanpa mengira sama ada ianya sebuah muzikal atapun pementasan kontemporari.

Apabila berpeluang untuk menonton sebuah teater kontemporari, saya harus tidak melepaskan peluang tersebut. Bukannya tidak ada teater kontemporari atau teater realisme yang dipentaskan, tetapi pementasan tersebut tidak dipromosikan dengan berjaya. Itu soal lain. Jika bercakap tentang usaha promosi teater-teater sebegini.

Teater-teater kecil yang hanya lebih dekat dengan penonton amat jarang dapat ditonton kini. Ada, tetapi tidak semuanya pementasan yang baik. Berbeza dengan teater AIR CON. Secara jujur, saya telah menontonnya sebanyak tiga kali. Ya ! Tiga kali. Sebuah naskhah yang bagus perlu diberikan tempat. Sewajarnya AIR CON diberikan tempat yang sepatutnya untuk produksi ini.

Teater tersebut diarahkan oleh gergasi teater Malaysia, Jo Kukathas dan Zalfian Fuzi. Jo Kukathas telah beberapa kali memenangi Pelakon Terbaik untuk Anugerah Kesenian BOH Cameronian. Manakala Zalfian pula beberapa kali terlibat dengan pementasan-pementasan berskala besar seperti Puteri Gunung Ledang The Muzikal dan saya pernah bekerjasama dengan beliau dalam OPS Ophelia.

Image Hosted by ImageShack.us

Dunia Sekolah Asrama

Kisah yang ingin diceritakan dalam AIR CON sangat dekat dengan saya. Ia berkisar kepada alam persekolahan menengah di sebuah sekolah berasrama. Saya tidak menafikan setiap kejadian yang pernah berlaku di sekolah berasrama sama seperti yang dipersembahkan dalam teater tersebut. Setiap kejadian pernah berlaku, sama ada di hadapan mata mahu pun di belakang mata.

Chep (Amerul Affendi) dan Burn (Zahiril Adzim) merupakan antara pelajar terbaik di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, sebuah sekolah elit di Kedah. Ianya merupakan sebuah fiksyen. Saya melihat ia mungkin Maktab Rendah Sains MARA, mungkin Maktab Melayu Kuala Kangsar, mungkin Kolej Sultan Abdul Hamid, mungkin juga Sekolah Tuanku Abdul Rahman. Hakikatnya, AIR CON sebuah fiksyen.

Burn merupakan anak emas di sekolahnya yang juga merupakan Ketua Pengawas. Chep pula tangkas di padang hoki dan digeruni dan dihormati oleh pelajar muda kerana sikap barannya. Selalunya sekolah berasrama ini akan digeruni kerana kepintaran dan kehebatan mereka di pentas debat dan padang. Begitu juga sekolah Burn dan Chep.

Malangnya dengan penemuan mayat seorang pelacur di tepi jalan keretapi di belakang sekolah tersebut telah mencetuskan kegemparan di persekitaran sekolah tersebut. Lalu menyelongkar sisi gelap sekolah itu yang sebenarnya terlibat dalam kes buli, salah laku seksual dan keganasan. Dua sahabat baik, William (Nick Davis) dan Asif (Ryan Lee Baskaran), antara pelajar muda yang masih kurang matang perlu berhadapan dengan pengalaman pahit akibat dari pembunuhan tersebut.

Pembunuhan itu telah menyebabkan beberapa konflik terurai satu-persatu. Setiap watak ada ceritanya yang tersendiri. Siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut dan apakah mereka yang terbabit akan ditahan ? Itulah persoalan yang cuba dirungkai dalam AIR CON.

Cabaran utama AIR CON ialah untuk melihat serta mencabar dan mendalami isu hipokrasi apabila masyarakat sering menjadikan remaja sebagai kambing hitam apabila mereka berdepan dengan isu-isu moral.

Teater ini berjaya membawa saya mengikuti perkembangan setiap watak yang perlu berhadapan dengan pelbagai konflik dalam usia yang masih muda. Saya dapat melihat laluan masing-masing dan juga melihat watak sekitar mereka yang mahu watak-watak muda ini mengikut acuan mereka.

Acap kali sebagai yang muda kita sering dilontarkan dengan kata-kata “Aku makan garam dulu dari engkau…”. Kita seakan perlu mengikut acuan yang mereka telah tetapkan. Tanpa mahu menilai apakah masalah yang akan timbul sekiranya kita masih berkeras.

Pujian harus diberikan kepada produksi ini yang telah memberikan satu mutu lakonan yang amat cemerlang. Setiap watak berjaya mendekatkan saya dengan setiap masalah yang melingkari hidup mereka.

Zahiril Adzim (Burn) contohnya berjaya membawakan watak abang senior yang mesra dan bersikap toleransi dengan adik-adiknya, berbeza dengan Amerul Affendi (Chep) yang berhadapan dengan masalah keluarga kerana bapanya mahu berkahwin lain serta dalam diam memendam perasaannya terhadap Burn.

Image Hosted by ImageShack.us

Cemburu Dan Dendam Di Asrama

Ada sebab mengapa Chep begitu membenci William dan ada sebab mengapa Chep membunuh pelacur (Dara Othman) tersebut. Semuanya kerana cemburu. Semuanya kerana terabainya dia dalam kehidupan keluarganya. Semuanya kerana sayang.

Di situlah terletaknya kekuatan AIR CON. Graf setiap pelakon sentiasa menaik sehingga ke penamat teater tersebut. Konflik dalam setiap watak berjaya diserlahkan sehinggakan saya tidak puas untuk mendalami masalah mereka satu-persatu.

Cikgu Hensem (Ismadi Wakiri) dan Ustaz Zakaria (Nam Ron) mereka juga punya masalah. Seperti di sekolah berasrama dahulu, cikgu-cikgu dan ustaz-ustaz sentiasa bermasalah. Masing-masing ada cara mereka yang tersendiri dan mahu anak murid mereka mengikut cara mereka.

Image Hosted by ImageShack.us

Empat Sahabat

Dibantu oleh Hazarul Hasnain dan Firdaus Che Yahaya sebagai Mona dan Mimi, dua pelakon ini bukan sekadar untuk dijadikan bahan ketawa. Mereka juga memainkan peranan yang penting dalam pembangunan naskhah tersebut. Mimi yakin dengan dirinya, manakala Mona masih keliru. Jati diri dalam diri mereka sebenarnya sememangnya wujud di mana-mana.

Saya boleh menyifatkan Ah Kok (Chew Kin Wah) sebagai scène stealer. Sewaktu menonton pertama kali saya mengandaikan Ah Kok mungkin seorang spy walaupun beliau sebenarnya hanyalah pembaiki alat penghawa dingin. Sifatnya yang penyibuk benar-benar melucukan. Seorang pelakon yang baik seperti Kin Wah, walaupun kemunculannya tidak besar, tetapi kesannya besar.

Tabik saya buat penulis skrip AIR CON iaitu Shanon Shah. Kata beliau, dia tidak pernah berada di sekolah berasrama. Sebagai seorang yang tidak pernah berhadapan dengan reality sebenar, tentunya apa yang telah beliau nukilkan di atas kertas sesuatu yang amat menakjubkan. Ketelitian dan perincian setiap watak dan situasi diberikan keadilan yang secukupnya. Saya seakan-akan melihat ianya berlaku di hadapan mata.

Mengadunkan elemen agama, bangsa dan pelbagai isu yang agak sensitif, pengarah teater ini telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan berjaya. Elemen-elemen tersebut agak seimbang dan tidak keterlaluan.

Image Hosted by ImageShack.us

Pentas Realiti

Saya menyukai hampir semua adegan yang terdapat dalam teater ini kerana ianya amat dekat dengan saya. Paling saya suka ialah adegan sewaktu William, Asif, Mimi dan Mona berada di dalam khemah dan Burn datang memeriksa mereka.

Setelah tiga kali menonton pementasan yang sama, tontonan yang terakhir merupakan lakonan terbaik Zahiril Adzim yang membawakan watak Burn. Saya merasai naluri amarah yang dicetuskan oleh beliau sewaktu di adegan yang terakhir. Lakonannya terbaik dan emosinya dapat saya rasakan.

Sewajarnya teater AIR CON hanya ditonton oleh penonton matang kerana penggunaan bahasa harian yang sering kita anggap keterlaluan tetapi sebenarnya kita takut untuk mengakui itulah gaya bahasa yang kita guna setiap hari.

Teater AIR CON telah dipentaskan di Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre dalam dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia loghat Kedah dan Bahasa Inggeris.

Saya merasakan teater ini sewajarnya terus dipentaskan di lokasi yang kecil seperti Pentas 2, tidak perlu dibawa ke Panggung Sari, Istana Budaya kerana perpindahan lokasi akan menyebabkan keaslian dan ketulenan ceritanya hilang kerana pengaruh birokrasi.

Apa yang panasnya tentang AIR CON ? Segala-galanya panas ! Amat rugi kepada penonton yang tidak sempat menontonnya.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger