Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Wayang : Rayuan Kepada Pelajar & Bekas Pelajar UITM

Entri oleh sultanmuzaffar 06 November 2008

Wayang : Cinta Di Sebalik Kelir...

Sekiranya filem Wayang ditonton oleh semua pelajar UITM dan juga bekas pelajar UITM pastinya filem ini akan memecahkan kutipan box-office filem di Malaysia. Kenapa Wayang perlu ditonton ? Sebabnya mudah. Filem Wayang diterbitkan oleh Universiti Teknologi Mara, Institut Pengurusan Penyelidikan dan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UITM.

Sepatutnya anda berbangga ianya dihasilkan oleh alma mater anda. Bukannya orang lain. Jika bukan anda yang menyokongnya, siapa lagi. Bilangan penonton ke pawagam Malaysia harus diperbesarkan kerana banyak lagi filem-filem yang menantikan tayangannya di pawagam.

Bilangan penonton yang sudi menonton filem Melayu akan bertambah dengan cukup banyak sekiranya anda menonton filem ini. Bayangkan jumlah pelajar UITM di seluruh Malaysia yang dianggarkan ratusan ribu dan itu tidak termasuk jumlah bekas pelajar universiti itu.

Anda patut menyokong filem ini kerana ini filem anda !

Wayang sebuah filem yang baik. Hebat jika boleh saya katakan. Lebih-lebih lagi dari aspek lakonan dan sinematografinya. Kekuatan utamanya terletak pada lakonan yang bersahaja para pelakonnya, baik yang lama mahu pun yang baru. Keindahan visualnya penuh bermakna memberikan lebih penelasan kepada watak yang terdapat di layar perak. Gabung jalin antara kisah cinta di luar kelir dan di sebalik kelir sungguh mengagumkan.

Cinta Awi lakonan Zul Huzaimy dan Melor lakonan Mas Muharni, seorang buta dan seorang sengau hanya bertunjangkan cinta pada sekadar bunyi dan gerak. Awi jatuh cinta hanya dengan menilai bunyi kerana tidak dapat melihat. Melor jatuh cinta hanya dengan menilai gerak di sebalik kekurangan yang ada padanya.

Jika dilihat kembali, cinta Ramayana dan Sita Dewi juga hanya berasaskan gerak dan bunyi yang berlaku di sebalik kelir wayang kulit. Begitu kukuhnya aspek penceritaan yang ditulis oleh Prof Dr. Hatta Azad Khan menjadi sebuah filem yang boleh saya sifatkan berjaya.

Tanpa mengenepikan elemen budaya, filem ini amat kukuh pegangan budaya Malaysianya. Filem ini menurut Dr. Hatta bukannya sebuah filem tentang wayang kulit tetapi sebuah filem cinta yang hanya berlatarbelakangkan sebuah perkampungan yang ada wayang kulit. Ia bercerita tentang kehidupan yang berlaku kepada seorang tok dalang iaitu permasalahan yang dihadapi dalam kehidupannya dan interaksinya dengan watak-watak lain.

Jika beliau mahu membuat filem tentang wayang kulit, lebih baik buat dokumentari tentang wayang kulit yang memperhalusi setiap proses menghasilkan patung wayang kulit dan permainannya di sebalik kelir.

Antara visual menarik yang terdapat dalam filem ini ialah ketika Awang Lah berdepan dengan sepupunya Jusoh. Api kemarahan Awang Lah yang digambarkan melalui besarnya api di pemetik api ditiup padam oleh Jusoh yang sedang ketakutan. Awang Lah melepaskan Jusoh kemudiannya tanpa melakukan apa-apa.

Wayang merupakan filem percintaan bunyi dan gerak di sebalik kelir yang digabungkan dengan berkesan oleh Prof Dr. Hatta Azad Khan. Kali terakhir beliau mengarah filem ialah pada tahun 1990 menerusi filem Mat Som dan membawa pulang Anugerah Lakon Layar Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 9. Filem kedua garapan Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UITM itu bakal menemui penonton pada 13 November depan.

Sinopsis
Awang Lah, seorang dalang tersohor, tiba-tiba didepani masalah mengajar wayang kulit kepada seorang kanak-kanak lelaki buta dan seorang kanak-kanak perempuan bersuara sengau. Kekecewaannya terhadap anak sendiri yang tidak mahu mendekati panggung wayang kulitnya, membuatkan Awang Lah berusaha keras mengajar dan kanak-kanak istimewa itu. Awi sekalipun buta tetapi mampu menghafal cerita-cerita wayang kulit dengan baik, dan Melor pula pandai melukis patung dan menggerakkannya di kelir mengiringi cerita yang dituturkan Awi.

Setelah dewasa Awi mencuba berbagai gaya tersendiri menyelitkan unsur jenaka pada cerita-cerita dari hikayat Ramayana. Percubaan Awi tidak disenangi Awang Lah yang menganggap wayang kulit adalah seni yang tidak boleh dipinda atau diubah. Awang Lah menjadi bertambah serabut dengan gangguan Jusoh, sepupunya yang menganggap wayang kulit adalah bertentangan dengan agama.

Cinta berputik antara Awi dan Melor. Jusoh yang menaruh hati pada Melor menjadi marah dan mula mengganggu Awi, sehinggakan Awi tertuduh membakar panggung wayang kulit Awang Lah. Awang Lah mendepani Jusoh setelah mengetahui dari Awi siapa sebenarnya yang membakar panggung wayang kulitnya. Awang Lah memberi amaran kepada Jusoh supaya tidak lagi menganggu Awi dan mengusik Melor. katanya kedua-dua remaja itu adalah tanggung-jawabnya seperti anaknya sendiri.

Awang Lah terjatuh sewaktu bermain wayang kulit. Persoalannya: mampukah Awi dan Melor meneruskan warisan kesenian wayang kulit? Adakah Awi yang buta dapat menghadapi Jusoh? Bolehkah anak lelaki Awang Lah yang kini remaja menerima wayang kulit? Adakah Awi dan Melor dapat hidup bahagia seperti Seri Rama dan Sita Dewi dalam cerita wayang kulit yang mereka mainkan?

Wayang dicalonkan dalam 12 kategori di Festival Filem Malaysia ke 21 termasuk Filem Terbaik dan hanya pulang dengan Anugerah Khas Juri dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk Zul Huzaimy Marzuki.

Walaupun diramalkan menang besar di FFM21 lepas, Dr. Hatta menjelaskan kepada wartawan agar tidak membuat ramalan kerana juri yang membacanya pasti mahu menjadi lebih baik dari sang peramal. :)

Oleh itu, semua pelajar dan bekas pelajar UITM patut menonton filem Wayang kerana ini filem anda !

3 komen

  1. Ajami Hashim Says:
  2. ehh! 'budak kelantan' taknak promot bro?

     
  3. zubin Says:
  4. Budak Kelantan dah berapa juta kutipan?

     
  5. Anonymous Says:
  6. Salam Sultan Muzaffar,

    Satu review yang baik berkenaan filem Wayang dan saya bersetuju bahawa filem Wayang mempunyai kelasnya yang sendiri dan bukan hanya sekadar filem wayang kulit. Aspek kemanusiaan lah yang sebenarnya banyak ditekankan di dalam Wayang.

    Dari phak saya, saya juga ada membuat review tentang filem ini. Apabila melihat kepada gambar-gambar yang saudara paparkan, saya berminat untuk menggunakannya di dalam blog saya bagi tujuan ulasan lanjutan.

    Diharap permohonan ini disambut baik dari pihak saudara. :)

    Terima kasih.

     
Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger