Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

KOSMO : Malaysia lawan Singapura

Entri oleh sultanmuzaffar 23 December 2008

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Pertandingan sulung Blogger Challenge anjuran Brands mampu mengeratkan hubungan blogger antara dua negara.

WALAUPUN tewas pada cabaran ini, namun pasukan Malaysia tetap berpuas hati dengan saingan yang diberi.

--------------------------------------------------------------------------------

PERTEMUAN antara blogger dari Malaysia dan Singapura dalam pertandingan julung kali diadakan, Cabaran Blogger Brand's menyaksikan satu persaingan sengit antara kedua-dua pasukan.

Pertandingan yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh Brand's itu bagaimanapun memperlihatkan kehebatan Singapura selaku tuan rumah apabila pasukan mereka menang dengan catatan mata 54-47.

Setiap negara diwakili oleh lima blogger yang dipilih oleh Brand's berdasarkan populariti mereka di negara masing-masing. Dalam erti kata lain, mereka merupakan blogger yang mempunyai ramai pembaca, pengikut atau penyokong menerusi blog yang ditulis.

Malaysia diwakili oleh lima blogger iaitu Red Diva, KY, Sultan Muzaffar, Suanie dan KK selaku ketua pasukan manakala Singapura diwakili oleh ECL Tan, Aaron Ng, Sheylara, Mr. Endoh dan Wilfrid Wong (ketua).

Untuk pertandingan tersebut, setiap peserta bersaing menunjukkan kehebatan mereka dalam siri cabaran yang menguji tahap tumpuan atau fokus, memori dan kepantasan berfikir peserta dalam masa yang singkat.

Naib Presiden Regional Marketing Cerebos Pacific Limited, Isabella Tan berkata, pertandingan Cabaran Blogger seumpama ini diilhamkan daripada tinjauan yang dilakukan oleh Brands terhadap fungsi mental penduduk Asia.

"Melalui tinjauan yang kami jalankan, rakyat Singapura dan Malaysia lebih prihatin terhadap pengambilan makanan kesihatan tambahan bagi mengekal dan meningkatkan tahap persembahan mental mereka berbanding negara lain yang terlibat seperti Jepun, Hong Kong, China, Taiwan, India dan Thailand.

"Malah, kami sentiasa terbuka untuk menarik pelanggan kami menerusi cara dan inovatif baru. Selain itu, kami juga mensasarkan pelanggan muda mengenai penggunaan saluran online bagi menjana perbincangan mengenai Brand's dan produk kami," jelasnya.

Sementara itu, dua minggu sebelum cabaran itu berlangsung, semua peserta menerima kit pati ayam Brands untuk dihabiskan dalam tempoh 14 hari yang dipercayai mampu meningkatkan tahap kecerdasan otak seseorang individu.

Ketika pertandingan berlangsung, peserta turut dibekalkan dengan minuman pati ayam Brand's di atas meja masing-masing.

Terdapat tujuh pusingan cabaran yang perlu dihadapi peserta dimulai dengan Buzz Words iaitu cabaran menyusun huruf yang dipamerkan menjadi perkataan. Pusingan ini dimenangi oleh pasukan Singapura dengan catatan 3-2.

Untuk pusingan kedua, cabaran Mental Target menanti peserta yang akan berpasangan dengan pasukan lawan untuk memastikan siapa yang menang. Cabaran ini memerlukan peserta memilih senarai nombor yang dipaparkan bagi menjadikan ia jumlah yang diperlukan oleh juri.

Bagi pusingan ketiga atau Movie Clips, setiap peserta perlu menyaksikan tayangan video pendek dengan penuh perhatian kerana soalan akan diberi berdasarkan apa yang terdapat dalam klip video tersebut.

Dalam pusingan ini, kemenangan berpihak pada pasukan Malaysia yang mencatat lima jawapan betul berbanding tiga daripada Singapura. Ini menjadikan kedudukan ketika itu ialah 7-3.

BARISAN blogger Singapura yang bersaing dalam pertandingan ini.

--------------------------------------------------------------------------------

Sentence Trivia pula mengisi ruang pusingan keempat di mana peserta perlu menyelesaikan ayat yang diberi. Contohnya apakah maksud di sebalik 24 H In A D? Jawapannya ialah 24 Hours In A Day.

Kali ini, Malaysia sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila memenangi cabaran tersebut dan terus mendahului Singapura dengan kedudukan 9-5.

Bagaimanapun, pada pusingan kelima untuk cabaran Boggle Your Mind, pasukan Malaysia terpaksa akur apabila tewas pada Singapura. Dalam cabaran ini, setiap kumpulan perlu menghasilkan perkataan sebanyak mungkin daripada sembilan huruf yang diberi. Singapura berjaya mendapat 39 perkataan manakala Malaysia sekadar 31. Ini menjadikan kedudukan Malaysia 40, Singapura 44.

Pada pusingan keenam pula, cabarannya ialah Spot The Chicken iaitu peserta perlu meneka di mana letaknya anak ayam yang berada di atas pati ayam Brand's yang telah dipusing-pusingkan untuk mengelirukan mereka. Keputusannya menyaksikan Malaysia menambah tiga mata sementara Singapura mencatat empat mata sekali gus Singapura terus mendahului dengan catatan 45-43.

Pusingan terakhir menjadi penentu untuk kedua-dua pasukan. Dengan cabaran Test Your Memory, kedua-dua pasukan bekerja keras memberi yang terbaik untuk memastikan kemenangan mereka. Namun, pasukan negara gagal mengatasi Singapura yang menang dengan kelebihan 54 mata berbanding 47 untuk Malaysia.

Bagi salah seorang peserta Malaysia, Red Diva, pertandingan Cabaran Blogger amat menyeronokkan dan menjadi satu alternatif baru untuk mengeratkan hubungan antara blogger kedua-dua negara.

"Diharap, untuk tahun-tahun berikutnya jika pihak Brand's ingin mengadakan pertandingan serupa, mereka perlu meningkatkan tempoh waktu pertandingan dan menjemput penyertaan dari negara-negara Asia yang lain," kata Red Diva.

Ketua pasukan Singapura, Wilfrid Wong pula berkata, dia dan rakan-rakannya seronok kerana beraksi dalam pertandingan yang sememangnya menguji kepantasan minda untuk berfikir.

"Saya benar-benar teruja dengan Cabaran Blogger ini. Ia memerlukan kerjasama dalam pasukan dan kami gembira apabila kemenangan berpihak kepada kami," ujar Wilfrid sambil tersenyum.

Dengan kemenangan itu, pasukan Singapura menerima hadiah wang tunai S$1,200 (RM2,852) serta hamper barangan Brand's manakala pasukan Malaysia menerima S$600 (RM1,426) dan juga hamper dari Brand's.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger