Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

MTV Asia Awards 2008 X-Party !

Entri oleh sultanmuzaffar 29 July 2008 0 komen

Setelah enam tahun diadakan di luar Malaysia, tahun ini MTV Asia Awards 2008 diadakan pertama kalinya di Malaysia. Ia bakal berlangsung di Arena Of Stars - Genting Highlands pada 2 Ogos ini.

Inilah peluang keemasan untuk peminat muzik di Malaysia untuk menyaksikan secara langsung persembahan artis-artis antarabangsa seperti Leona Lewis, OneRepublic, Panic At The Disco, The Click Five, Jabbawockeez dan ramai lagi.

Pussycat Dolls bakal menjadi artis pembuka tirai di malam anugerah tersebut dengan lagu “When I Grow Up”. Pastinya peminat muzik di Malaysia mengharapkan Leona Lewis membawakan lagu berhantunya iaitu “Bleeding Love”.

Majlis anugerah tersebut akan dihoskan oleh penyanyi utama “30 Seconds To Mars” iaitu Jared Leto bersama Karek Mok yang baru sahaja memenangi Anugerah Penyanyi Wanita Terbaik di Anugerah Golden Melody di Taiwan.

Dan sekiranya anda merupakan pengguna X-Pax, anda berpeluang untuk berparti bersama bintang antarabangsa sambil menyaksikan acara tersebut secara langsung di layar besar. Parti tersebut akan turut dihadiri oleh DJ Tony Touch, Hujan, Faizal Tahir dan dihoskan oleh Jien, Cheryl Samad dan Hannah Tan.

Untuk mendapatkan 2 pass masuk eksklusif ke X-Party, anda hanya perlu memakai pakaian berwarna ungu iaitu warna tema X-Pax dan pastikan anda berjaya dikesan oleh X-Girls di lokasi-lokasi strategik di seluruh Malaysia.

X-Girls akan berada di lokasi-lokasi berikut di sekitar Pulau Pinang, Johor Bharu dan Lembah Klang.

31 JulaiZouk (Jln Ampang), Velvet (Jln Ampang), Main Hall (Jln Ampang), Bamboo 9 (Taman Tun), Coco Banana (Sunway), Barcelona (Sunway)

Jika anda berjaya dikesan oleh X-Girls, anda berpeluang untuk berparti di Genting Highlands ! Jom parti !

Selain berparti, pelanggan X-Pax juga berpeluang untuk menonton persembahan anugerah tersebut secara langsung.

Taip XPAX MTV dan hantar ke 28881, kemudian reload nilai RM10 atau lebih dan anda berpeluang untuk menjadi salah seorang dari 6 pelanggan bertuah setiap hari untuk memenangi 2 tiket eksklusif menyaksikan MTV Asia Awards 2008.

Inilah peluang keemasan untuk Pelanggan X-PAX !

MTV Asia Awards 2008 akan disiarkan secara langsung di Saluran 713 Astro.

Klik untuk imej lebih besar

Levi’s® 501® telah menjadi ikon fesyen remaja dan akan terus menjadi sebutan hingga beberapa generasi. Tidak dapat dinafikan Levi’s® 501® sudah menjadi satu jenama asas kepada setiap orang.

Sentuhan moden dan klasik itu terus kekal diingati hingga sekarang. Untuk menjadikan Levi’s® 501® lebih relevan dengan peredaran zaman, rekaan baru dengan nafas baru disuntik pada Levi’s® 501® yang akan mula dipasarkan Ogos ini.

Gaya & Keselesaan !
Apa yang menarik tentang jeans Levi’s® 501® ini ialah pada saya keselesaannya. Gaya baru ini lebih sesuai dan mengikut struktur kaki kita walaupun ianya tidak begitu ketat. Ini menjadikan si pemakainya kelihatan lebih seksi.

Tarikan paling hebat jeans ini pastinya dari segi kemasannya yang lebih bersifat “personalized”. Semua jeans Levi’s® 501® diperbuat daripada XX Cone Denim untuk mengekalkan kekuatan dan ciri-ciri jeans itu sendiri. XX Cone Denim ialah sehelai kain yang eksklusif yang telah digunakan dalam pembuatan Levi’s® 501® sejak lewat tahun 1920an sebagai komitmen jenama tersebut untuk mengekalkan kualiti dan ketulenannya.

Terkini Levi’s® 501® memperkenalkan “Live Unbuttoned” ke seluruh dunia. Penutup butang gaya individu kepada jeans tersebut diperkenalkan untuk memberikan nilai tambahan kepada petunjuk keseronokan dan sifat individu kepada proses “unbuttoning”, selain memberikan sentuhan peribadi kepada jeans tersebut. Saya boleh menukar-nukar penutup butang itu untuk mendapatkan gaya yang saya inginkan selain memberikan kelainan apabila setiap kali mengenakan jeans tersebut.

Penutup butang tersebut boleh dibeli di kedai-kedai Levi’s® mulai September depan.

Kebebasan !
Bertepatan dengan konsep “Live Unbuttoned”, temanya mahu menggambarkan nota-nota kenyataan yang kukuh, keseronokan terus dan gambaran yang kadangkala nakal. Saya melihat ia seperti satu kekebasan. Bebas untuk bersuara. Bebas untuk berekspresi dan bebas segala-galanya.

Bebas pada saya ialah dapat mengenakan jeans Levi’s® 501® di dasar laut !

Scuba Diving !

Saya dengan keberanian yang ada dalam diri saya, terjun ke dalam laut di Pulau Redang dengan hanya mengenakan jeans Levi’s® 501®. Itu makna kebebasan pada saya. Bebas untuk melakukan apa sahaja, tanpa dibayangi rasa gentar.

Pada mulanya saya berhasrat untuk turun ke dasar laut hanya dengan mengenakan jeans Levi’s® 501®, tetapi menukar rancangan pada hari kedua kerana suhu yang agak sejuk di dasar laut. Saya hanya mencubanya di hari pertama. Mengenakan jeans Levi’s® 501® sesuatu yang pelik di mata pekerja di Redang. Mana ada diver turun ke laut pakai jeans, tetapi saya lakukan. Rakan-rakan diver yang bersama saya juga pelik pada awalnya. Setelah mengetahui rancangan saya, barulah mereka faham.

Dengan bantuan Shonny Loh, seorang jurugambar dasar laut professional, kami memulakan sesi fotografi di dasar laut. Vijay sebagai pembantu memastikan dari segi keselamatan agar semuanya berjalan dengan lancar. Suasananya memang berbeza, tetapi persekitarannya masih sama. Namun demikian, jeans Levi’s® 501® mampu untuk disesuaikan dalam mana-mana situasi, baik di darat mahu pun di dasar laut. Itu satu kelebihan jeans Levi’s® 501®.

Dalam kesejukan dasar laut sekitar 28oC dengan kedalaman 20 meter, beserta jeans Levi’s® 501® saya memulakan kerja-kerja saya. Memberikan pose terbaik untuk Levi’s® 501®. Saya berpuas-hati melihatkan hasilnya. Pose yang diberikan bukan sekadar individu tetapi juga berlatarbelakangkan hidupan laut yang kebetulan berada di sana.

Kebebasan di dasar laut bersama jeans Levi’s® 501® sesuatu yang mengujakan. Hari pertama kami mengadakan latihan untuk membiasakan diri dengan jeans Levi’s® 501®. Hari kedua barulah sesi fotografi sebenar dilaksanakan. Kami mencuba pelbagai macam gaya, seperti terapung di dalam air dan duduk di tepi batu karang. Kepuasan itu nyata sangat berbeza kerana hasilnya amat cemerlang.

Eksklusif !

Jeans Levi’s® 501® yang diserahkan kepada saya Selasa lepas merupakan sesuatu yang eksklusif. Ini kerana jeans tersebut hanya akan mula dipasarkan pada bulan Ogos ini. Ini menjadikan saya di antara beberapa blogger yang pertama memilikinya dan mengenakannya. Saya merasa sungguh bertuah kerana memilikinya. Saya kira idea untuk mengenakan jeans tersebut di dasar laut juga merupakan satu idea yang eksklusif. Bukan semua blogger tahu menyelam. Itulah kekebasan yang eksklusif untuk jeans Levi’s® 501®.

Dapatkan pas ke parti eksklusif tersebut. Jom ke Launch Party Levi’s® 501® !

Kredt Foto : Shonny Loh

www.sultanmuzaffar.net

Entri oleh sultanmuzaffar 19 July 2008 0 komen


Saya kini dalam proses menyiapkan hosting www.sultanmuzaffar.net. Sedang sibuk bermain dengan enjin Wordpress serta plugin-plugin yang boleh digunakan untuk blog tersebut.

Shabery Cheek Bukan Lawan Anwar Ibrahim

Entri oleh sultanmuzaffar 16 July 2008 0 komen

Image Hosted by ImageShack.us

Sebuah kemunculan penuh berketrampilan, kaya dengan kredibiliti dan amat meyakinkan. Ia merupakan kemunculan semula Anwar Ibrahim di kaca televisyen secara langsung sejak sedekad setelah beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Keterbukaan Kementerian Penerangan wajar diberikan pujian sekaligus melihatkan keterbukaan dan keberanian pihak Kerajaan untuk berdepan menangkis hujah Anwar yang sememangnya dikenali sebagai pendebat agung di era beliau sebagai mahasiswa.

Saya tidak pulang ke rumah awal walaupun segmen Gala TV diganti dengan program-program khas yang melibatkan Debat Khas tersebut, semata-mata ingin menyaksikan sejarah tersebut di pejabat Astro AWANI yang “mungkin” akan saya tinggalkan tidak lama lagi sekiranya semua berjalan lancar. :)

Satu kemenangan mutlak buat Anwar yang hanya berbekalkan hujah, fakta dan angka sekaligus melihatkan profesionalisme beliau yang pernah menjawat jawatan orang kedua paling penting dalam Kerajaan. Sebaliknya, Menteri Penerangan, Shabery Cheek yang tebal irinya sekaligus menjadikan medan terbuka tersebut sebagai medan serangan peribadi sekaligus menidakkan kebijaksanaan seorang bergelar Menteri.

Medan yang sepatutnya digunakan sebagai ruang untuk menjelaskan isu harga minyak dan kaedah yang boleh digunakan untuk menurunkan harga minyak sebaliknya menjadi medan sorak serangan peribadi terhadap Anwar Ibrahim oleh Shabery Cheek. Malangnya itulah jenis Menteri yang telah diberikan mandat oleh rakyat Malaysia untuk menjadi pemimpinnya.

Anwar hanya meminta diberikan ruang untuk menjelaskan berdasarkan fakta dan angka kepada rakyat. Ruang tersebut telah dipergunakan oleh Anwar sebaik mungkin tanpa sedikit pun membalas serangan peribadi dari Shabery Cheek. Jika ada pun, Anwar memberikan “one-liner” yang amat menikam, dalam senyum, ungkapannya tertusuk. Di situlah kebijaksanaan seorang pendebat. Meningkah hujah dalam sepicing saat, tanpa memberi ruang kepada pihak lawan untuk bertindak balas.

Shabery Cheek bukan lawan Anwar. Najib Razak bukan lawan Anwar. Abdullah Badawi juga bukan lawan Anwar. Lawan Anwar yang sebenar-benarnya ialah Mahathir Mohamed. Itu sahaja individu yang boleh diharapkan untuk bersilat dengan Anwar di pentas terbuka.

”Kalau Petronas dan UMNO pun mereka tidak boleh bezakan, problem tu!”. Jentik Anwar dalam salah satu hujahnya. Masalah harga minyak naik, bukan masalah untuk memburukkan Petronas, sebaliknya memperbetulkan ketamakan yang telah dilakukan oleh UMNO.

Penderitaan "batin" yang ditanggung oleh Shabery Cheek yang telah ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia (saya yakin jutaan kerana jam 11 malam jalanraya di KL agak lengang) merupakan pendedahan terburuk seorang Menteri Kabinet di kaca televisyen. Pastinya ia akan terpahat dalam sejarah dan menjadi bahan jenaka sehingga ke tahun 2020 dan mungkin melangkaui tahun 2020.

Apakah selepas ini menyokong atas pagar Kerajaan akan melompat dan menyokong usaha Anwar Ibrahim ? Sesuatu perkembangan yang menarik untuk disusul. Sifat “gentleman” beliau yang tidak termakan umpan “cacing kerawit” itu dibalas dengan jawapan-jawapan bersandarkan fakta dan angka.

Apakah selepas ini Shabery Cheek akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Penerangan setelah dilihat gagal untuk menangkis hujah-hujah Anwar seperti yang beliau janjikan ? Ah ! Mungkin alasan “saya tidak akan meletakkan jawatan kerana Anwar” akan digunakan.

Apakah media arus perdana akan memberikan ulasan yang adil tentang “tragedi” yang berlaku terhadap ketua mereka esok ? Ah ! Mungkin saja tajuk utama akhbar esok berbunyi nada Kerajaan. Jika tidak pun berita Anwar harus menyerah diri sebelum pukul 2 petang menjadi tajuk utama.

“Harga minyak di Venezuela rendah, inflasi tinggi, harga minyak di Malaysia tinggi, inflasi lagi tinggi.”

Pembohongan yang selama ini diselindungkan terbongkar walaupun didedahkan oleh Anwar tanpa rasa terburu-buru untuk menghabiskan hujahnya. Jelas itu bukan niatnya, sebaliknya lebih menumpukan kepada kaedah-kaedah dan usaha-usaha untuk menurunkan harga minyak serta mengurangkan kebocoran yang terlalu banyak masuk ke poket-poket yang tidak berkenaan.

Kata Shahrir Samad, “Jika benar niat Anwar untuk menjaga kebajikan rakyat-rakyat yang susah, kenapa hanya turunkan harga minyak petrol dan bukannya diesel. Rakyat-rakyat dan peniaga menggunakan diesel dan petrol digunakan oleh individu.” Pulak dah, sang putar alam sudah mari...

Kalau yang menjadi lawan Anwar Ibrahim malam tadi ialah Mahathir Mohamed, saya pastinya akan menyokong bekas Perdana Menteri itu.

Saya merasakan amat perlu sekiranya program Debat secara langsung ini diteruskan dari masa ke semasa. Satu jam pun cukup. Ada banyak isu negara yang boleh dibincangkan secara terbuka. Jadi tidaklah rakyat sentiasa ditipu dek media perdana yang sering memanipulasi fakta dan memutar-belitkan cerita.

Nota : Mujur saya menolak secara baik dari muncul dalam program secara langsung bertajuk “Blog” yang disiarkan setiap hari Ahad jam 9 malam di RTM 1.

Kredit Foto : MStar
Poll Online : MStar

Blog YB

Entri oleh sultanmuzaffar 15 July 2008 0 komen

Saya menerima satu utusan email dari Akmal berkenaan sebuah laman web baru yang dinamakan BlogYB. BlogYB adalah sebuah laman web yang menghimpunkan hampir semua laman web para Yang Berhormat (YB).

Beliau juga sedang dalam proses mengemaskinikan semua laman web yang ada termasuk Ahli Parlimen dan ADUN. Untuk kemudahan pembaca, pembaca boleh membaca blog-blog ini mengikut pilihan yang dipilih.

Buat masa ini, terdapat pilihan mengikut parti dan negeri. Saya tidak pilih kasih. Semuanya ada. PAS, DAP, UMNO, PKR, MIC, MCA dan semuanya. Di masa akan datang, lebih pilihan akan dimasukkan ke dalam sistem ini.

BlogYB merupakan projek bukan komersial yang bertujuan untuk memudahkan pembaca mendapatkan nukilan terkini dari blog-blog pemimpin mereka.

Projek ini masih muda dan masih dalam tempoh percubaan. Ianya amat bagus sekiranya BlogYB dapat digunakan sebagai rujukan samada untuk mengetahui perkembangan politik semasa, aktiviti YB dan menjentik idea menerusi penulisan blog mereka.

Pengunjung bebas untuk memberikan komen sekiranya blog tersebut dibuka untuk sebarang komen. Jika anda mempunyai sebarang cadangan dan berkongsi pandangan untuk menambaik BlogYB, sila berbuat demikian.

Pautan : http://blogyb.net/

Debat !

Entri oleh sultanmuzaffar 14 July 2008 0 komen

Image Hosted by ImageShack.us

Kalau ianya berlaku, pasti terpahat dalam sejarah Malaysia. Kalau ianya tidak berlaku pun, pasti juga terpahat dalam sejarah Malaysia. Apakah ianya akan mengubah apa-apa ? Belum tentu. Ketelusannya wajar diberikan pujian. Sekiranya dibatalkan, kebaculannya wajar dihina sampai bila-bila. Datuk Ahmad Shabery Cheek mempertaruhkan jawatannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertaruhkan kredibilitinya. Debat ini akan dimoderatorkan oleh Datuk Johan Jaafar.

Terlalu banyak perkara pelik yang berlaku dalam politik Malaysia sejak akhir-akhir ini. Saya akan menjadi penunggu setia tarikh 16 September 2008.

Hari ini berlaku kesesakan jalan raya yang luar biasa. Mujur saya hanya ke pejabat pukul 11 pagi dan saya tidak terkena tempiasnya. Itulah akibatnya apabila terlalu tebal sifat paranoia dan segala yang tertulis hari ini ternyata tebal pembohongannya.

Hanya kerana seorang lelaki bernama Anwar Ibrahim. Apakah rejim polis melakukan yang sama sewaktu Malaysia dihebohkan dengan kehilangan Nini sejak 9 Januari lepas ?

Penganjur : AgendaDaily


Panasnya AIR CON

Entri oleh sultanmuzaffar 06 July 2008 0 komen

Image Hosted by ImageShack.us

Panasnya AIR CON

Sejak akhir-akhir ini penerbit teater begitu ghairah menerbitkan teater muzikal. Lepas satu-satu teater muzikal dipentaskan. Sehingga naskhah yang tidak sewajarnya dialih ke pentas muzikal pun mereka terjemah menjadi sebuah muzikal. Hasilnya entah apa-apa.

Saya tidak bermaksud ingin merendah-rendahkan usaha menerbitkan teater muzikal, tetapi biarlah naskhah itu diberikan keadilan yang sewajarnya. Memang benar, perkataan muzikal itu sahaja dapat menarik penonton.

Sebagai penggemar teater, saya mahu dihiburkan dan berpuas hati dengan setiap naskhah yang saya tonton, tanpa mengira sama ada ianya sebuah muzikal atapun pementasan kontemporari.

Apabila berpeluang untuk menonton sebuah teater kontemporari, saya harus tidak melepaskan peluang tersebut. Bukannya tidak ada teater kontemporari atau teater realisme yang dipentaskan, tetapi pementasan tersebut tidak dipromosikan dengan berjaya. Itu soal lain. Jika bercakap tentang usaha promosi teater-teater sebegini.

Teater-teater kecil yang hanya lebih dekat dengan penonton amat jarang dapat ditonton kini. Ada, tetapi tidak semuanya pementasan yang baik. Berbeza dengan teater AIR CON. Secara jujur, saya telah menontonnya sebanyak tiga kali. Ya ! Tiga kali. Sebuah naskhah yang bagus perlu diberikan tempat. Sewajarnya AIR CON diberikan tempat yang sepatutnya untuk produksi ini.

Teater tersebut diarahkan oleh gergasi teater Malaysia, Jo Kukathas dan Zalfian Fuzi. Jo Kukathas telah beberapa kali memenangi Pelakon Terbaik untuk Anugerah Kesenian BOH Cameronian. Manakala Zalfian pula beberapa kali terlibat dengan pementasan-pementasan berskala besar seperti Puteri Gunung Ledang The Muzikal dan saya pernah bekerjasama dengan beliau dalam OPS Ophelia.

Image Hosted by ImageShack.us

Dunia Sekolah Asrama

Kisah yang ingin diceritakan dalam AIR CON sangat dekat dengan saya. Ia berkisar kepada alam persekolahan menengah di sebuah sekolah berasrama. Saya tidak menafikan setiap kejadian yang pernah berlaku di sekolah berasrama sama seperti yang dipersembahkan dalam teater tersebut. Setiap kejadian pernah berlaku, sama ada di hadapan mata mahu pun di belakang mata.

Chep (Amerul Affendi) dan Burn (Zahiril Adzim) merupakan antara pelajar terbaik di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, sebuah sekolah elit di Kedah. Ianya merupakan sebuah fiksyen. Saya melihat ia mungkin Maktab Rendah Sains MARA, mungkin Maktab Melayu Kuala Kangsar, mungkin Kolej Sultan Abdul Hamid, mungkin juga Sekolah Tuanku Abdul Rahman. Hakikatnya, AIR CON sebuah fiksyen.

Burn merupakan anak emas di sekolahnya yang juga merupakan Ketua Pengawas. Chep pula tangkas di padang hoki dan digeruni dan dihormati oleh pelajar muda kerana sikap barannya. Selalunya sekolah berasrama ini akan digeruni kerana kepintaran dan kehebatan mereka di pentas debat dan padang. Begitu juga sekolah Burn dan Chep.

Malangnya dengan penemuan mayat seorang pelacur di tepi jalan keretapi di belakang sekolah tersebut telah mencetuskan kegemparan di persekitaran sekolah tersebut. Lalu menyelongkar sisi gelap sekolah itu yang sebenarnya terlibat dalam kes buli, salah laku seksual dan keganasan. Dua sahabat baik, William (Nick Davis) dan Asif (Ryan Lee Baskaran), antara pelajar muda yang masih kurang matang perlu berhadapan dengan pengalaman pahit akibat dari pembunuhan tersebut.

Pembunuhan itu telah menyebabkan beberapa konflik terurai satu-persatu. Setiap watak ada ceritanya yang tersendiri. Siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut dan apakah mereka yang terbabit akan ditahan ? Itulah persoalan yang cuba dirungkai dalam AIR CON.

Cabaran utama AIR CON ialah untuk melihat serta mencabar dan mendalami isu hipokrasi apabila masyarakat sering menjadikan remaja sebagai kambing hitam apabila mereka berdepan dengan isu-isu moral.

Teater ini berjaya membawa saya mengikuti perkembangan setiap watak yang perlu berhadapan dengan pelbagai konflik dalam usia yang masih muda. Saya dapat melihat laluan masing-masing dan juga melihat watak sekitar mereka yang mahu watak-watak muda ini mengikut acuan mereka.

Acap kali sebagai yang muda kita sering dilontarkan dengan kata-kata “Aku makan garam dulu dari engkau…”. Kita seakan perlu mengikut acuan yang mereka telah tetapkan. Tanpa mahu menilai apakah masalah yang akan timbul sekiranya kita masih berkeras.

Pujian harus diberikan kepada produksi ini yang telah memberikan satu mutu lakonan yang amat cemerlang. Setiap watak berjaya mendekatkan saya dengan setiap masalah yang melingkari hidup mereka.

Zahiril Adzim (Burn) contohnya berjaya membawakan watak abang senior yang mesra dan bersikap toleransi dengan adik-adiknya, berbeza dengan Amerul Affendi (Chep) yang berhadapan dengan masalah keluarga kerana bapanya mahu berkahwin lain serta dalam diam memendam perasaannya terhadap Burn.

Image Hosted by ImageShack.us

Cemburu Dan Dendam Di Asrama

Ada sebab mengapa Chep begitu membenci William dan ada sebab mengapa Chep membunuh pelacur (Dara Othman) tersebut. Semuanya kerana cemburu. Semuanya kerana terabainya dia dalam kehidupan keluarganya. Semuanya kerana sayang.

Di situlah terletaknya kekuatan AIR CON. Graf setiap pelakon sentiasa menaik sehingga ke penamat teater tersebut. Konflik dalam setiap watak berjaya diserlahkan sehinggakan saya tidak puas untuk mendalami masalah mereka satu-persatu.

Cikgu Hensem (Ismadi Wakiri) dan Ustaz Zakaria (Nam Ron) mereka juga punya masalah. Seperti di sekolah berasrama dahulu, cikgu-cikgu dan ustaz-ustaz sentiasa bermasalah. Masing-masing ada cara mereka yang tersendiri dan mahu anak murid mereka mengikut cara mereka.

Image Hosted by ImageShack.us

Empat Sahabat

Dibantu oleh Hazarul Hasnain dan Firdaus Che Yahaya sebagai Mona dan Mimi, dua pelakon ini bukan sekadar untuk dijadikan bahan ketawa. Mereka juga memainkan peranan yang penting dalam pembangunan naskhah tersebut. Mimi yakin dengan dirinya, manakala Mona masih keliru. Jati diri dalam diri mereka sebenarnya sememangnya wujud di mana-mana.

Saya boleh menyifatkan Ah Kok (Chew Kin Wah) sebagai scène stealer. Sewaktu menonton pertama kali saya mengandaikan Ah Kok mungkin seorang spy walaupun beliau sebenarnya hanyalah pembaiki alat penghawa dingin. Sifatnya yang penyibuk benar-benar melucukan. Seorang pelakon yang baik seperti Kin Wah, walaupun kemunculannya tidak besar, tetapi kesannya besar.

Tabik saya buat penulis skrip AIR CON iaitu Shanon Shah. Kata beliau, dia tidak pernah berada di sekolah berasrama. Sebagai seorang yang tidak pernah berhadapan dengan reality sebenar, tentunya apa yang telah beliau nukilkan di atas kertas sesuatu yang amat menakjubkan. Ketelitian dan perincian setiap watak dan situasi diberikan keadilan yang secukupnya. Saya seakan-akan melihat ianya berlaku di hadapan mata.

Mengadunkan elemen agama, bangsa dan pelbagai isu yang agak sensitif, pengarah teater ini telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan berjaya. Elemen-elemen tersebut agak seimbang dan tidak keterlaluan.

Image Hosted by ImageShack.us

Pentas Realiti

Saya menyukai hampir semua adegan yang terdapat dalam teater ini kerana ianya amat dekat dengan saya. Paling saya suka ialah adegan sewaktu William, Asif, Mimi dan Mona berada di dalam khemah dan Burn datang memeriksa mereka.

Setelah tiga kali menonton pementasan yang sama, tontonan yang terakhir merupakan lakonan terbaik Zahiril Adzim yang membawakan watak Burn. Saya merasai naluri amarah yang dicetuskan oleh beliau sewaktu di adegan yang terakhir. Lakonannya terbaik dan emosinya dapat saya rasakan.

Sewajarnya teater AIR CON hanya ditonton oleh penonton matang kerana penggunaan bahasa harian yang sering kita anggap keterlaluan tetapi sebenarnya kita takut untuk mengakui itulah gaya bahasa yang kita guna setiap hari.

Teater AIR CON telah dipentaskan di Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre dalam dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia loghat Kedah dan Bahasa Inggeris.

Saya merasakan teater ini sewajarnya terus dipentaskan di lokasi yang kecil seperti Pentas 2, tidak perlu dibawa ke Panggung Sari, Istana Budaya kerana perpindahan lokasi akan menyebabkan keaslian dan ketulenan ceritanya hilang kerana pengaruh birokrasi.

Apa yang panasnya tentang AIR CON ? Segala-galanya panas ! Amat rugi kepada penonton yang tidak sempat menontonnya.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger