Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Kejutan Papadom dan Generasi Baru Filem Malaysia Menjerit !

Entri oleh sultanmuzaffar 09 August 2009

ANCHOR


Papadom, filem arahan Afdlin Shauki dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 22 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah. Filem itu mengenepikan saingan terdekatnya Talentime, Setem, Syurga Cinta dan Maut.

Filem drama keluarga terbitan Tayangan Unggul itu menggondol lima anugerah termasuk Pelakon Lelaki Terbaik dan Cerita Asal Terbaik buat Afdlin Shauki.

VT

Kemenangan mengejut Papadom bukanlah pertama kali berlaku dalam Festival Filem yang telah masuk tahun ke 22 penganjurannya. Filem arahan Yasmin Ahmad iaitu Sepet pernah memenangi anugerah Filem Terbaik, walaupun anugerah Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik dimenangi filem berbajet besar iaitu Puteri Gunung Ledang.

Filem terbitan Tayangan Unggul itu menerima trofi, hadiah wang tunai sebanyak RM50,000, dana perfileman tajaan FINAS bernilai RM100,000 dan filem tajaan Kodak apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Filem Terbaik.

Papadom yang dibintangi oleh Afdlin Shauki, Liyana Jasmay, Que Haidar dan Noorkhiriah turut meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik untuk Afdlin Shauki, Pelakon Wanita Terbaik untuk Liyana Jasmay dan Skor Muzik Asal Terbaik untuk Syed Ahmad Faizal (Pacai).

Filem Papadom masih belum ditayangkan kepada umum dan hanya akan ditayangkan pada 8 Oktober depan. Sementara itu calon pilihan pengkritik iaitu Talentime juga meraih lima anugerah. Allahyarham Yasmin Ahmad buat pertama kalinya diiktiraf menerima anugerah Pengarah Terbaik. Tiga penganjuran festival filem sebelum ini menafikan hak Yasmin dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik.

Beliau juga memenangi anugerah Lakon Layar Terbaik. Pelakon yang digilap bakatnya oleh pengarah terkenal itu iaitu Mohd Shafie Naswip terpilih sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, manakala Pelakon Harapan Wanita berjaya digondol oleh Jaclyn Victor. Talentime turut menerima satu Anugerah Khas Juri kerana paparan isu pelbagai kaum dengan dimensi yang tersendiri.

Sebuah lagi filem terbitan Tayangan Unggul iaitu Setem menerima tiga anugerah. Antaranya Sinematografi Terbaik yang dimenangi oleh Mohd Nor Kasim, Penyunting Terbaik oleh Faizul Mohd Noh dan Penataan Seni Terbaik untuk Nazrul Ashraff Mahzan.

Filem terbitan Vision Works iaitu Los dan Faun pula terpilih sebagai Filem Komedi Terbaik. Bagi mengenang pemergian pengarah tersohor Yasmin Ahmad, satu segmen khas tayangan klip video pembabitan beliau dalam industri perfileman dipersembahkan, disusuli nyanyian oleh Stacy dan Ray yang membawakan lagu dari filem Talentime.

Seniman S.Shamsuddin dan Seniwati Mariani Ismail terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Bintang Veteran. Turut hadir ke majlis tersebut ialah TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Mayor Kota Kinabalu, Pengerusi FINAS dan Ketua Pengarah FINAS.

END


GENERASI BARU FILEM MALAYSIA MENJERIT

ANCHOR

Festival Filem Malaysia yang berakhir malam tadi menyaksikan kebangkitan penggiat baru dunia perfileman Malaysia. Sekaligus membuktikan Malaysia tidak ketandusan bakat baru untuk diketengahkan bagi mewarisi kekosongan yang ditinggalkan generasi terdahulu.

VT

Festival yang bermula pada 5 Ogos lalu menyaksikan muka baru layar perak mengungguli anugerah awal yang diumumkan sewaktu majlis perasmian festival tersebut. Pelakon kelahiran ASWARA iaitu Zahiril Adzim terpilih sebagai Pelakon Harapan Lelaki dari filem selera generasi muda, Kami The Movie. Penyanyi yang kini bergelar pelakon, Jaclyn Victor pula terpilih sebagai Pelakon Harapan Wanita dari filem terakhir arahan Yasmin Ahmad, Talentime.

Penerima Anugerah Filem Box-Office juga menyaksikan pembikin filem generasi baru iaitu Geng : Pengembaraan Bermula. Filem tersebut berjaya mengutip lebih RM6 juta di pawagam. Bakat baru yang dicungkil dari program Tom Tom Bak terbitan Astro iaitu Mohd Hadziq terpilih sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi filem Syurga Cinta.

Malam Kemuncak anugerah turut menyaksikan penguasaan berterusan penggiat generasi baru apabila satu demi satu filem arahan Afdlin Shauki, Yasmin Ahmad, Kabir Bhatia, Shamsul Yusof, Yusry Abdul Halim dan James Lee meraih anugerah. Penguasaan tersebut sekaligus mengenepikan saingan sengit yang diberikan filem Maut arahan pengarah generasi pertengahan iaitu Bade Hj Azmi.

Sebelum ini, Bade pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem KL Menjerit dan filem itu juga dinobatkan sebagai Filem Terbaik. Sebelum mengarah, Bade lebih dikenali sebagai jurukamera dan menguasai kategori Sinematografi Terbaik melalui filem Fenomena dan Pelumba Malam.

Pelakon versatil dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki menggondol tiga anugerah peribadi. Filem Komedi Terbaik iaitu Los Dan Faun merupakan filem terbitan syarikat miliknya iaitu Vision Works. Menerusi Papadom, Afdlin menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.

Kehebatan filem Setem dan Cicakman 2 arahan Kabir Bhatia dan Yusry Abdul Halim masing-masing tidak wajar dipandang ringan apabila filem mereka mengungguli kategori teknikal seperti Pereka Busana Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penyunting Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Penataan Bunyi Terbaik.

Kategori lakonan turut menyaksikan kebangkitan bakat baru apabila Liyana Jasmay yang pertama kali dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik membawa pulang anugerah itu menerusi filem Papadom.

Jika dua tahun lalu Mohd Shafie Naswip membawa pulang anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi filem Mukhsin, tahun ini dia membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Talentime. Perubahan kuasa ini dilihat sebagai satu yang sangat memberangsangkan untuk industri filem Malaysia.

Pelakon yang sebelum ini lebih dikenali di skrin televisyen iaitu Salina Saibi membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Bohsia. Pengarah filem Histeria iaitu James Lee pula diangkat sebagai Pengarah Harapan tahun ini. James Lee sebelum ini dikenali di layar filem indie seperti "The Beautiful Washing Machine" dan pernah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Tidak mengejutkan apabila empat Anugerah Khas Juri turut diberikan kepada filem-filem arahan penggiat generasi baru ini. Antaranya untuk Geng : Pengembaraan Bermula, filem animasi tiga dimensi yang mencetuskan fenomena di kalangan kanak-kanak.

Paling menyentuh hati apabila buat pertama kalinya pengarah filem terkenal Yasmin Ahmad memenangi anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem Talentime. Sayang sekali, apabila Yasmin tidak lagi bersama dengan rakan-rakannya yang lain bagi menerima pengiktirafan tersebut.

Pengarah terkenal itu meninggal dunia selepas serangan strok dan pendarahan otak pada 25 Julai lalu. Pencetus inspirasi kepada penggiat generasi muda itu sendiri tidak sempat melihat kecemerlangan penggiat muda yang dirintis oleh beliau dalam festival tahun ini.

Namun, benih yang ditinggalkan Yasmin akan terus subur disemai oleh penggiat generasi baru bagi membawa filem Malaysia ke pesada dunia.//

END

2 komen

  1. Ck Says:
  2. sudah macam jadi satu kebiasaan pulak dalam industri seni kita...bila dah tiada baru diiktiraf....buat ahli keluarga dan peminat2 beliau jadi agak terkilan....al-fatihah...

     
  3. Hakim Amir Says:
  4. tahniah to afdlin and the gang at tayangan unggul for (what I'm sure is a great movie) winning the Best Film award..

    cant wait to see it in the cinema soon..

    just a small grouse, that the public do not have the opportunity to view the movie first, prior to the awards show...so, bila dapat news yang Papadom menang besar, jadi mcm a bit weird because tak boleh relate sangat (sebab tak dapat tengok lagi filem ni kat cinema!) ... tapi knowing Afdlin, the movie would be a top quality one lah lan...

    suggestion to Finas, next time before such awards nite, can the public at least get the chance to view it first?

    happy for Afdlin, Gayathri and those involved in Papadom

    cheers
    hakim

    ps. SM, get some sleep!!! penting jaga kesihatan ok..kalau dah sakit teruk, apa pun tak berguna ..

     
Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger