Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Blackberry Untuk Semua Dengan Maxis

Entri oleh sultanmuzaffar 31 May 2009 10 komen

Foto pertama yang dirakamkan menggunakan Blackberry oleh Datin Seri Tiara Jacquelina
di hari terakhir di Akademi Fantasia 7

Foto kedua yang dirakamkan menggunakan Blackberry oleh Akim
di hari terakhir di Akademi Fantasia 7

Saya bukanlah jenis orang yang suka menukar telefon bimbit. Kalau boleh pakai sampai rosak, saya akan pakai. Apabila sekali sekala tukar telefon bimbit, ia adalah suatu yang jarang-jarang sekali saya lakukan. Kali terakhir menukar telefon bimbit ialah pada tahun 2006 sewaktu perkhidmatan 3G mula diperkenalkan.

9 Mei lalu saya menukar telefon bimbit baru. Kali ini saya memilih Blackberry Bold. Saya harus akui Blackberry Bold adalah telefon bimbit terbaik yang pernah saya miliki. Saya seperti berada di alam siber sepanjang 24 jam setiap hari.

Dengan Blackberry saya dapat menguruskan email saya dengan pantas dan muda. Paling menyeronokkan apabila aplikasi seperti Facebook boleh diakses setiap minit. Saya yang jarang membuka laman sosial MySpace, tetapi dengan Blackberry saya dapat mengakses laman itu dengan hanya satu klik.

Antara enam aplikasi penting yang berada di muka utama Blackberry saya ialah Contact, SMS/MMS, Facebook, Browser, GMail dan Blackberry Messenger. Itulah antara aplikasi yang sering saya gunakan dan paling penting buat saya sekarang. Bagi pengguna telefon bimbit biasa :) mungkin anda tidak biasa dengan Blackberry Messenger. Ia merupakan aplikasi antara Blackberry yang sama seperti sistem khidmat pesanan ringkas, cuma ia percuma dan hanya perlu bertukar PIN. Alangkah indahnya dunia jika saya berjaya mendapatkan PIN Blackberry milik Presiden AS Barack Obama, Zac Efron, Tom Cruise atau pun Paris Hilton.

Deng Bold saya boleh melayari internet dengan kepantasan 3.5G. Papan kekuncinya sama seperti seperti papan kekunci komputer. Saya boleh menyunting dokumen Microsoft Word, Excel dan Powerpoint. Pejabat sentiasa bersama saya walaupun saya sebenarnya jarang menggunakan ciri tersebut. Saya hanya menyediakan akses email GMail dan Yahoo sahaja, tidak untuk email pejabat. :) Saya tidak sanggup email pejabat mengekori saya ke mana-mana. Kameranya juga bersesuaian dengan saya dan saya boleh terus memuat-naik gambar yang diambil terus ke Facebook sekelip mata. Perkhidmatan GPS juga ada pada Bold yang saya gunakan untuk mendapatkan arah jalan. Jika tidak mahu menggunakan internet 3.5G, boleh gunakan WiFi di lokasi yang ada servis tersebut.

Aplikasi yang dibangunkan untuk Blackberry sewajarnya diperbanyakkan lagi. Ada sesetengah laman web utama dunia kini sudah mesra Blackberry. Apabila saya melayari laman web E!Online contohnya membolehkan saya memuat-turun aplikasi untuk E!Online dan saya boleh terus klik aplikasi tersebut untuk ke laman web tersebut. Ianya lebih mudah kini. Antaranya MTV, CNN dan Reuters adalah pilihan saya.

Cuma, setiap kali sebelum tidur, saya perlu mengaktifkan profil Tidur yang mana hanya bunyi deringan telefon saja yang akan saya dengar. Bunyi email, SMS/MMS, notifikasi Facebook, Blackberry Messenger dan lain-lain tidak akan kedengaran untuk mengganggu waktu tidur.

Terbaru, Maxis menawarkan Blackberry Storm pada harga RM2199 dengan Value Plus 150. Sebagai mana yang semua tahu, Storm ialah jenama Blackberry yang pertama menggunakan skrin sesentuh boleh klik di dunia. Bukan setakat 3G, malah perkhidmatan 3.5G juga boleh digunakan dengan telefon bimbit tersebut. Selain itu pakej itu turut memberikan anda 8GB MicroSD untuk digunakan bagi memuatkan segala dokumen multimedia anda.

Terdapat 3 jenis pakej servis internet Blackberry yang ditawarkan oleh Maxis iaitu :

Entry : RM40/sebulan (untuk penggunaan 5MB)
Standard : RM55/sebulan (untuk penggunaan 10MB)
Unlimited : RM120/sebulan (untuk penggunaan tanpa had)

Kalau mahu memiliki telefon bimbit yang sama seperti saya, anda boleh mendapatkan Blackberry Bold.

Foto terbaru yang dirakamkan menggunakan Blackberry bersama Datuk Sharifah Aini

EKSKLUSIF : Aril dan Akim di Jakarta

Entri oleh sultanmuzaffar 27 May 2009 16 komen















Jangan tanya saya bagaimana saya boleh mendapatkan foto-foto ini. Facebook kalau terlebih guna, boleh mendatangkan parah. Lagipun tugas saya sebagai wartawan penyiaran dan blogger adalah untuk mendapatkan berita. Salahkan Job Descriptions saya. :)

Menjelaskan Kekeliruan

Entri oleh sultanmuzaffar 21 May 2009 18 komen

Oh! Jangan terkejut. Saya bukannya mahu menjelaskan kekeliruan yang satu lagi. Saya hanya mahu menjelaskan kekeliruan tentang kedudukan stesen radio nombor satu negara yang sebenarnya telah banyak dikelirukan oleh pihak media.

Ia adalah sesuatu yang agak normal bagi sesebuah syarikat korporat untuk mewar-warkan tentang kejayaan mereka. Ia sesuatu yang tidak salah malah digalakkan. Beberapa hari yang lalu, pembaca akhbar mahu pun pelayar blog menjadi semakin keliru. Stesen manakah yang sebenarnya No.1 di Malaysia ?

Antara isi penting kajian Ukuran Pendengar Radio, Liputan 1 untuk tahun 2009 :

1. 14.9 juta atau 91% rakyat Malaysia di Semenanjung Malaysia menggunakan radio untuk mendapatkan maklumat dan hiburan.
2. 11 juta atau 75% memilih stesen kendalian AMP.
3. 5 stesen AMP tergolong dalam senarai 10 stesen radio paling popular.
4. ERA merupakan pilihan utama pendengar, SINARFM (kedua), HotFM (ketiga), THR (keempat), MY FM (kelima) dan hitz.fm (ketujuh)
5. ERA berjaya mengumpul 4 juta pendengar.
6. Slot Petang di ERA kendalian Nana merupakan slot 1-4 petang nombor satu.
7. Slot Adi & Burn merupakan slot 4-8 malam nombor satu.
8. SINAR berjaya mengumpul 3.82 juta pendengar. (Ada harapan untuk kalahkan ERA dalam survey kedua)
9. SINAR menambah 1.2 juta pendengar dalam tempoh setahun (April 08 - Mac 09)
10. Segmen Pagi Hot FM merupakan slot pagi nombor satu.
11. Segmen Pagi SINAR merupakan slot pagi nombor dua dengan 2 juta pendengar.
12. Beza Pagi Hot FM dan Pagi SINAR hanya 67,000 pendengar.
13. Hot FM berada di kedudukan nombor satu untuk keseluruhan pendengar berumur 35 tahun ke bawah.
14. Terus mendominasi bandar-bandar utama seperti Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Ipoh.
15. Secara keseluruhan, sebanyak 11 juta pendengar mengikuti stesen radio kendalian AMP. Namun mengapa kelebihan ini jarang benar dieksploitasi oleh Astro TV menerusi program-program terbitannya agar kedua-dua medium mendapat habuannya.

Amati ayat di bawah ini :
Selain kekal sebagai stesen radio nombor satu bagi pendengar di bawah lingkungan usia 35 tahun untuk kali kedua, segmen pagi AM Krew yang dikendalikan Faizal Ismail dan Fara Fauzana juga sekali lagi berjaya mengekalkan posisi sebagai rancangan pagi nombor satu Malaysia.

Sementara itu, tiga segmen lainnya turut unggul sebagai program nombor satu untuk kumpulan sasaran di bawah umur 30 tahun. Tiga segmen itu ialah Jawa Rangers kendalian AG dan Kieran, Hot FM Zone yang dikendalikan Anne serta Ikhwan dan Menu Muzik Hot FM kendalian Leya dan Tini.
Apabila Segmen AM Krew terus mengekalkan kedudukan nombor satu, mereka menggunakan angle keseluruhan Malaysia. Apabila slot kendalian penyampai gagal mengekalkan kedudukan keseluruhan Malaysia, mereka menggunakan angle "bawah 30 tahun".
17. Analoginya mudah sahaja. Hot FM nombor 1 di kalangan pelajar Tahun 3 sebuah Sekolah X, ERA nombor 1 di kalangan semua pelajar sebuah Sekolah X. Itu sahaja bezanya.

Harap semua faham analogi tersebut. I'm not a spin doctor. :)




Setelah lama tidak mengadakan konsert solo, Dato' Siti Nurhaliza sudah lama menanam impian untuk menjayakan sebuah konsert bagi menghargai para peminat serta mendekati masyarakat menerusi sebuah konsep persembahan yang tersendiri.

Siti Nurhaliza berasa amat gembira kerana pada tahun ini, Istana Budaya telah memberi peluang dan ruang bagi menjayakan sebuah konsert solo eksklusif yang bertujuan amal.

Konsert yang diberi judul SATU ini akan dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa dan diterbitkan dan diselaraskan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd.

Konsert SATU terilham daripada saranan Perdana Menteri Malaysia yang ke 6 iaitu YAB Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak yang memberi inspirasi SATU MALAYSIA.

Konsep SATU ini dilihat dari sudut yang mendalam daripada segenap aspek kehidupan seorang insan yang mana realitinya setiap seorang daripada kita melalui perjalanan, pengalaman, impian, peristiwa dan pelbagai rencah hidup yang akhirnya terungkap menjadi SATU.

Menerusi konsert SATU, Dato' Siti Nurhaliza diperlihatkan sebagai seorang ikon yang telah membina satu nama dalam masyarakat yang melangkaui dunia hiburan menjadi inspirasi kepada masyarakat dan penggemar khususnya dalam aspek kerjaya mahu pun peribadi, kejayaan, kehidupan dan semangatnya.

Konsert SATU juga menyatukan semua elemen yang dipersembahkan di pentas menjadi satu; muzik, efek, tarian, visual, grafik, koreografi, dan teknikal.

Sesuatu yang segar dalam SATU adalah seni pentas konsert eksklusif dipersembahkan secara tersendiri, mencipta kelainan dan diharapkan menjadi satu persembahan yang terkesan di hati setiap penonton dan mampu dikenang.

Jelas, SATU bukan sahaja mementaskan Dato' Siti Nurhaliza sebagai seorang penyanyi yang telah diiktiraf tetapi membawa penonton sama-sama menerokai perjalanan, pengalaman, arus, kejayaan, kecemerlangan, kerja keras, menongkah tohmahan namun akhirnya masih berupaya mencipta kejayaan yang memberikan sejuta inspirasi terlihat dan tersembunyi kepada setiap anggota masyarakat.

Semangat inilah yang harus disahut oleh setiap rakyat Malaysia, menjadi SATU MALAYSIA pada setiap asas dan matlamatnya yang benar dan sejati.

Konsert kali ini mengetengahkan Pat Ibrahim sebagai Pengarah Konsert dan Aubrey Suwito sebagai Pengarah Muzik. Barisan tenaga kreatif, produksi dan teknikal juga sudah dipilih dan setiap seorang daripada mereka mempunyai pengalaman yang besar dalam menjayakan sesebuah persembahan atau acara.

Siti Nurhaliza dijangka menyanyikan lebih kurang 30 buah lagu yang akan disusun semula muziknya oleh Aubrey Suwito. Lagu-lagu ini dinyanyikan secara penuh dan juga medley.

Setiap lagu dan segmen mempunyai ceritanya yang tersendiri apatah lagi dengan penggunaan skrin LED serta kecanggihan pentas di Istana Budaya yang dijangka akan memperi impak yang besar dalam konsert itu nanti.

Tiket-tiket sudah mula dijual bermula hari ini, 19 Mei 2009. Tiket-tiket berharga RM80, RM120, RM180, RM250 dan RM300 boleh didapati di Istana Budaya, Triways Travel & Tours (KLCC & Taman Tun Dr. Ismail), Malaysia Travel Bureau, MTB (MATIC), Sri Amera Holiday Sdn. Bhd di Level 1, Plaza Alam Sentral Shah Alam dan di Pasar Awam Presint 16, Putrajaya dan TicketCharge, 29-5, Signature Office Suite, The Boulevard, Mid Valley.

Untuk tujuan beramal dan menderma ikhlas demi kebajikan boleh dihulurkan ke Yayasan Nurjiwa melalui akaun bank Maybank Mid Valley 514486106455.






ERA kekal No. 1 dan SINAR melonjak ke tangga ke-2

Entri oleh sultanmuzaffar 19 May 2009 10 komen

Kajian Nielsen menunjukkan ERA kekal sebagai stesen radio no. 1 Malaysia, diikuti dengan SINAR di tempat ke-2, dan Hot FM di tempat ke-3. Ini merupakan kali kesembilan belas berturut-turut kajian Nielsen meletakkan ERA sebagai radio No. 1 Malaysia !

AMP makin bersinar!
Kekal menerajui industri radio Malaysia

Keputusan rasmi kajian Ukuran Pendengar Radio, Liputan 1, 2009 meletakkan ERA dan SINAR di kedudukan No. 1 dan No. 2 dalam senarai stesen radio pilihan rakyat Malaysia. Kajian yang dijalankan oleh Nielsen Media Research ini menunjukkan keunggulan AMP Radio Networks (AMP) melalui lapan stesennya iaitu ERA, MY FM, hitz.fm. MIX fm, LiteFM, SINAR, XFM dan THR (THR Raaga dan THR Gegar) sebagai peneraju industri radio Malaysia.

Keseluruhannya, kajian ini yang dilakukan Mac lalu, mendapati majoriti penduduk Semenanjung Malaysia berumur 10 tahun ke atas (91%) menggunakan radio sebagai sumber maklumat dan hiburan. Daripada 14.9 juta pendengar radio, 75% atau lebih 11 juta orang memilih stesen kendalian AMP, menguatkan lagi dominasi AMP sebagai pengendali radio yang memiliki khalayak pendengar terbesar. Bahagian pasaran AMP juga meningkat dari 51% pada kajian lepas ke 54%, angka paling tinggi pernah dicatatkan dalam tempoh 3 tahun.

Di kalangan 43 stesen radio yang terlibat dalam kajian, stesen-stesen AMP mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 20 stesen teratas. Lima buah stesen AMP tergolong dalam senarai 10 stesen radio paling popular negara; ERA merupakan stesen paling popular, SINAR naik ke tempat ke-2, THR (THR Raaga & THR Gegar) ke-4, MY FM ke-5, manakala hitz.fm berada di tempat ke-7.

AMP terus menggungguli penyiaran radio dalam kategori keempat-empat bahasa utama; No.1 Bahasa Malaysia (ERA), No. 1 Bahasa Cina (MY FM), No. 1 Bahasa Inggeris (hitz.fm) dan No. 1 Bahasa Tamil (THR Raaga) – pencapaian yang belum lagi digugat sejak lebih dua tahun lepas.

“Setiap stesen di AMP komited untuk sentiasa membaiki kandungan program, memanfaatkan teknologi penyiaran dan interaktif terkini serta menghasilkan kempen-kempen yang paling menarik untuk pengiklan. Harapan AMP adalah untuk maju lagi ke hadapan dalam era radio mudah alih, digital dan global,” ujar Dato’ Borhanuddin Osman, Pengarah Eksekutif AMP Radio Networks.

“Kejayaan demi kejayaan yang diperoleh ialah hasil sokongan pendengar dan dedikasi setiap warga AMP. Dari masa ke masa, kami mendapatkan maklum balas pendengar tentang apa yang mereka mahukan dari segi muzik, hiburan dan kandungan lain. Saya mempunyai pasukan yang kuat, mereka bukan sahaja meneliti informasi yang terima bahkan juga mahir dan kreatif untuk mewujudkan bunyi yang hebat menerusi corong radio,” tambah beliau.

Ternyata setelah 13 tahun beroperasi, AMP kian matang dan relevan. Berikut dihuraikan prestasi setiap stesen, berdasarkan Ukuran Pendengar Radio, Liputan 1, 2009 oleh Nielsen (untuk individu berusia 10 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia):

ERA : Stesen radio No. 1 Bahasa Malaysia dan keseluruhan
Buat kali kesembilan belas berturut-turut, kajian Nielsen mengangkat ERA sebagai stesen radio No. 1 di Malaysia, dengan jumlah pendengar mencecah 4 juta. Program Petang ERA kendalian Nana (1-4 petang) dan Adi & Burn (4 petang – 8 malam) muncul sekali lagi sebagai program No. 1 untuk slot masing-masing. Khalayak ERA sewaktu slot ini dikongsi bersama SINAR dan XFM, dua stesen AMP yang memperlihatkan pertambahan pendengar. ERA mempunyai kekuatan kelompok pendengar eksklusif, yang setia mendengar ERA pada bila-bila masa, iaitu seramai 572,000 orang.

Menurut Nazri Noran, Pengurus Rancangan ERA, “Kami tidak menaruh harapan terlalu tinggi untuk kajian kali ini apatah lagi dengan pembaharuan yang dilakukan. Namun jelaslah segmen-segmen unik yang diketengahkan seperti ‘Drama Sebabak’ dan acara amal ‘Orang Iklan ERA’ berjaya menarik perhatian pendengar. Buat masa ini, kami sedang sibuk merantau ke 11 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia dalam siri Jelajah 11 ERA, sempena ulang tahun stesen ini yang ke-11. Barisan penyampai yang kita ada sekarang mungkin baru, namun mereka tekad meneruskan legasi jenama ERA yang diamanahkan kepada mereka. ERA berbesar hati kerana masih berada di hati 4 juta rakyat Malaysia”.

MY FM : Stesen Bahasa Cina No.1, Program Sarapan Bahasa Cina No.1
MY FM mempertahankan status sebagai stesen radio Bahasa Cina No. 1, meraih 2.2 juta pendengar seminggu dan meninggalkan saingannya jauh di belakang. Lebih kurang 1.5 juta pendengar memisahkan antara MY FM dan stesen radio Bahasa Cina yang mengekori di belakangnya. Jack, Mei Yan & Nicholas menemani 1.36 juta pendengar setiap pagi, menegekalkan program kendalian mereka sebagai rancangan sarapan Bahasa Cina paling popular. Selain itu, MY FM merupakan satu-satunya stesen radio yang mempunyai lebih daripada 1 juta pendengar eksklusif, iaitu 1.13 juta.

hitz.fm : Stesen Bahasa Inggeris No.1 dan Program Sarapan Bahasa Inggeris No. 1
Tidak berganjak dari kedudukan stesen radio Bahasa Inggeris No. 1 di Malaysia, hitz.fm mempunyai pendengar mencecah 1.3 juta, meningkat 414,000 berbanding pada kajian terdahulu. Antara kesemua stesen Bahasa Inggeris di Malaysia, hanya hitz.fm memiliki khalayak melebihi 1 juta. Meskipun dengan gandingan hos yang berbeza, rancangan Morning Crew – kini dengan JJ & Ean – kekal sebagai program sarapan Bahasa Inggeris yang paling digemari. Rancangan ini meraih 160,000 lagi pendengar, menjadikan bilangannya hari ini 483,000 setiap minggu.

MIX fm : Istimewa dengan kepelbagaian muzik
MIX fm memenuhi citarasa seramai 437,000 pendengar, walaupun wujud saingan daripada stesen-stesen baru yang membawa gaya kontemporari sepertinya. Sebahagian besar khalayaknya, iaitu 80%, tertumpu di bandar dan 40% mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke atas. Pendengar eksklusifnya turut bertambah ke 51,000. MIX fm terus menyediakan kepelbagaian muzik buat pendengar moden dan sofistikated, dengan lagu-lagu terbaik pelbagai genre dari koleksi 80-an hinggalah yang terkini.

LiteFM
Terus merekodkan peningkatan, kali ini bertambah 83,000 lagi pendengar, LiteFM kini diikuti 467,000 orang. LiteFM dapat berbangga sebagai stesen Bahasa Inggeris No. 1 bagi pendengar berumur 35 tahun ke atas. Selain itu, LiteFM memiliki rancangan sarapan Bahasa Inggeris No. 1 di kalangan pendengar berusia 25 tahun ke atas, dengan 250,000 orang. Antara semua stesen Bahasa Inggeris, LiteFM mempunyai pendengar eksklusif paling ramai iaitu 123,000; dan pendengar LiteFM meluangkan masa yang paling lama mengikuti siarannya iaitu 10.07 jam.

SINAR : Stesen No. 2 keseluruhan, program sarapan No. 1 di kalangan pendengar 20+
SINAR melakar sejarah apabila meletakkan diri ke kedudukan ke-2 selepas ERA dalam senarai stesen radio paling popular. Berjaya mengumpul 484,000 lagi pendengar, stesen Muzik Retro Terbaik ini sekarang memiliki khalayak pendengar seluas 3.82 juta orang – angka paling tinggi yang pernah dicatatkannya setakat ini. Dalam tempoh hanya satu tahun, iaitu dari April 2008 sehingga Mac 2009, SINAR menambah bilangan pendengar sebanyak lebih 1.2 juta, menjadikannya stesen radio paling cemerlang sepanjang jangka masa tersebut. Perkembangan ini menunjukkan trend pendengar yang menggemari kandungan muzik yang lebih matang, terutama lagu-lagu daripada era retro yang gemilang.

SINAR Pagi kendalian Krill, Raja Azura dan Salih Yaccob makin hari makin digemari. Program ini sahaja kini meraih 2 juta pengikut, bertambah hampir 384,000 orang berbanding pada kajian sebelum ini. Ia merupakan rancangan sarapan ke-2 popular di Malaysia, dibezakan dengan hanya 67,000 pendengar berbanding program yang berada di tangga teratas. Malah, rancangan hujung minggu SINAR turut menarik sebilangan besar pendengar radio terutama pada waktu pagi dan malam. Kelompok pendengar SINAR adalah yang paling besar pada Sabtu dan Ahad iaitu seramai 2.7 juta, menjadikan SINAR stesen No. 1 sepanjang hujung minggu. Jika dahulu pendengar eksklusif SINAR hanya 105,000, kali ini 649,000 hanya memilih SINAR setiap kali mereka mendengar radio – peningkatan pendengar eksklusif paling tinggi antara kesemua stesen radio.

Pengurus Rancangan SINAR, Rostam Said mengakui pencapaian ini agak mengejutkan, “Suasana penyiaran radio di negara ini semakin meriah dengan tumbuhnya stesen-stesen baharu yang mewarnai lagi industri. Kerana itulah peningkatan jumlah pendengar yang sebegini besar tidak kami jangka. Faktor utama kejayaan ini tentunya adalah barisan penyampai yang mantap dan muzik yang hebat”.

XFM : Stesen radio belia yang semakin berkembang, kini dengan 475,000 pendengar
Dari kedudukan di tangga 20, XFM telah membaiki prestasinya dan berada di tempat ke-17 dalam senarai selepas kajian kali ini. Jumlah pendengar XFM meningkat 18% ke 475,000 seminggu. Peningkatan dilihat di semua slot masa, dan Zon Planet X (ZPX) yang ke udara setiap malam dari Isnin hingga Jumaat, merupakan rancangan paling diminati di XFM dengan 241,000 orang pendengar seminggu. XFM terbukti meraih sokongan daripada khalayak sasarannya iaitu bangsa Melayu berumur 15 hingga 24 tahun yang menggandakan masa yang mereka luangkan untuk mendengar XFM sehingga 8 jam seminggu berbanding hanya 4 jam berdasarkan kajian lepas. Pendengar eksklusif XFM juga bertambah 100 peratus dan mencecah 33,000 orang kini.

Sebagai satu-satunya stesen yang memainkan 100% muzik Malaysia, XFM akan terus menyediakan platform kepada pemuzik indie tempatan untuk mengetengahkan karya mereka. Terkini, XFM bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam pelaksanaan Program Radio Belia yang memberi ruang dan peluang untuk golongan muda bersuara. Sebagaimana kata Pengurus Program XFM, Adly Syairi Ramly, “Tanggungjawab diteruskan, terutama sebagai medium yang menjanakuasa revolusi bunyi baru muzik Malaysia. XFM menuju ke arah masa hadapan yang lebih cerah buat muzik dan belia negara”.

THR : Tempat ke-4 keseluruhan
Bilangan pendengar THR – stesen radio yang menggabungkan THR Gegar di Pantai Timur dan THR Raaga di bahagian lain Semenanjung – terus mencatatkan kenaikan. Pertambahan 300,000 berbanding semasa kajian lepas menjadikan THR kini mempunyai 3.18 juta pendengar dan mengekalkan kedudukannya di tempat ke-4 antara kesemua stesen.

Dengan pertambahan 170,000 pendengar, THR Gegar memperbaiki lagi prestasinya sebagai stesen radio No. 1 di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Bukan itu sahaja, pendengar eksklusif THR Gegar juga meningkat 72% dari 194,000 pada kajian lepas ke 334,000 kini. Slot paling popular di THR Gegar ialah Gegar Petang bersama Andy Hakim yang berjaya menarik seramai 872,000 pengikut setiap minggu, manakala slot Ceria Pagi yang dihoskan Nasa dan Suzana merupakan program sarapan No. 1 di Pantai Timur dengan 720,000 pendengar.

Bagi THR Raaga pula, takhta sebagai stesen radio Bahasa Tamil No. 1 di Malaysia masih belum dapat digugat. Jumlah pendengarnya kini meningkat ke 1.77 juta. 40% daripada mereka adalah pendengar eksklusif. Pendengar THR Raaga meluangkan 18.52 jam seminggu untuk menikmati muzik dan rancangan yang dikeudarakan – jangka masa yang paling lama antara kesemua stesen radio di negara ini.

Phone Interview bersama Dato' Borhan di Astro AWANI, Gala TV pukul 3.30 petang ini !

Edisi Laga-Melaga Konsert Akhir AF7

Entri oleh sultanmuzaffar 18 May 2009 56 komen



Virus H1N1 atau lebih dikenali dengan selsema babi berasal dari Mexico dan kini telah pun merebak ke Malaysia beberapa hari lalu. Begitu jugalah dengan virus Akademi Fantasia yang telah bermula di Malaysia tujuh musim yang lalu juga bermula dari Mexico menerusi program realiti yang dinamakan sebagai La Academia.

Jika virus H1N1 ditakuti penularannya di sini atau di mana-mana, begitu jugalah dengan virus Akademi Fantasia yang akan merebak setiap musim sekitar bulan Mac hingga Mei di Malaysia. Dalam tempoh tiga bulan itu, ada yang tidak cukup tidur, tidak cukup makan, hilang kawan, hilang kasih-sayang, kuat meracun, kuat mencucuk, rajin memfitnah, jadi pembuli internet dan sebagainya.

Tetapi itulah uniknya Akademi Fantasia. Selagi ia menjadi program yang berjaya memporak-perandakan emosi manusia, selagi itulah ia akan menjadi program realiti yang digemari ramai. Usai Konsert Akhir AF7, maka bermulalah edisi laga-melaga yang akan dilakukan oleh para peminat program realiti itu.

Topik utama mereka adalah mengungkit kemasukan Aril menyebabkan peluang Akim untuk muncul sebagai Naib Juara terhalang secara tidak langsung. Tidak kurang juga peminat yang mula paranoia apabila pemenang gelaran Naib Juara dan Tempat Ketiga telah pun berlepas ke Indonesia untuk penggambaran sebuah drama muzikal, sedangkan sang Juara hanya berpeluang untuk muncul di Gala TV yang ditonton oleh 27 orang penonton. Hahaha.

Maka sesi laga-melaga ini akan berterusan sampai bila-bila dan objektif utama mereka adalah mati. Ya, matlamat mereka adalah untuk mematikan salah seorang dari industri yang sepatutnya menjadi langkah pertama mereka baru sahaja bermula. Itulah realiti industri hiburan di Malaysia yang sering kali kita lihat setiap hari.

Biarkanlah perjalanan mereka yang baru sahaja bermula dirahmati dan bukannya dimatikan dengan emosi dari bukan orang lain tetapi peminat mereka. Itulah yang akan kita lihat mulai hari ini sampai entah bila. Yang pasti hanya mereka yang cekal dan tabah sahaja dapat merentangi cabaran tersebut.

Setelah berakhirnya musim ketujuh Akademi Fantasia, pastinya penilaian terhadap Tujuh Syarat Transformasi yang diwar-warkan oleh program realiti itu dijadikan asas kukuh sama ada transformasi itu berjaya direalisasikan atau pun tidak.

Sememangnya saya akui sewaktu pengumuman tujuh syarat itu dilakukan, ia suatu yang agak berat untuk program realiti seperti Akademi Fantasia yang mana kuasa produksinya bukan dipegang oleh Enfiniti Productions.

Namun, bukanlah suatu yang mustahil sekiranya ada di antara syarat-syarat itu yang berjaya direalisasikan, tidak kurang juga yang gagal dilaksanakan. Itu sudah lumrah kerana kuasa tidak terletak di tangan kita.

Mari kita menilai semula dan melihat kembali tujuh syarat yang telah disasarkan oleh Principal Tiara dalam Akademi Fantasia musim ketujuh ini.


1. Berkemampuan Untuk Menyanyi Dengan Baik

- Syarat ini menjadi asas utama dalam musim ini seperti musim-musim terdahulu. Tugas kami (baca dengan teliti perkataan kami) adalah untuk mempersiapkan setiap pelajar dengan teknik dan turut mendedahkan pelajar dengan pelbagai genre muzik selain menggalakkan pelajar untuk mencari dan membina keunikan dalam diri masing-masing.

Pandangan SM : Saya harus akui nyanyian merupakan elemen utama dalam program Akademi Fantasia. Jika pada musim-musim lalu Pengetua memiliki kata putus akan lagu yang dibawakan oleh peserta, apakah musim ini Tiara memiliki kata putus tersebut ? Pengarah Muzik iaitu Acis harus banyak membantu Pengetua dalam melaksanakan tugas ini kerana pada pandangan saya pengetahuan Acis dalam bidang muzik lebih luas.

Selepas AF7 Tamat : Dari lima finalis yang terpilih nampaknya kesemua finalis ada keunikan masing-masing dalam nyanyian. Paling ketara ialah Hafiz yang menjadikan vokal kekuatan utamanya.

2. Penghibur Serba-Boleh
Justify Full
- Pelajar kami akan dilatih tidak hanya sebagai penyanyi tetapi juga sebagai penghibur serba boleh yang boleh berlakon dan menari dengan baik.

Pandangan SM : Ini merupakan kekuatan utama Tiara dan beliau bijak untuk mempelbagaikan selain menyelongkar bakat terpendam yang ada dalam setiap peserta. Tiara boleh dibantu oleh Ida Nerina, A.Aris Kadir dan juga Fatimah Abu Bakar yang memiliki pengalaman yang tidak kurang hebatnya. Ketiga-tiga elemen ini jika digabungkan dalam Akademi Fantasia ia pasti mewujudkan satu kelainan dalam AF musim ini.

Selepas AF7 Tamat : Hanya Aril dan Akim berjaya dicungkil bakat terpendam mereka dalam syarat ini. Serba-boleh saya rungkaikan sebagai seorang penghibur yang mampu untuk memberikan sentuhan visual yang cemerlang dalam persembahan mereka. Selain memberikan nilai-tambah kepada sebuah persembahan mereka, ia juga menjadi elemen utama untuk menarik perhatian penonton.

3. Keyakinan

- Para pelajar akan dilatih untuk meletakkan sasaran yang tinggi dan berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa saja aktiviti yang mereka lakukan. Mereka juga harus melihat jauh ke hadapan untuk masa depan industry seni tempatan.

- Selain itu mereka juga akan disiapkan untuk menjadi peneraju dalam industri yang mempunyai kualiti untuk berjaya bukan sahaja dalam industri tempatan bahkan di peringkat antarabangsa.

- Ini termasuklah dalam pengucapan umum dan berkemampuan untuk berkomunikasi dengan baik kepada peminat, pihak media atau pun di majlis-majlis rasmi tanpa rasa kekok.

- Pelajar juga dikehendaki belajar menggunakan Bahasa Inggeris dan digalakkan untuk berbahasa Inggeris sebagai langkah untuk menyiapkan mereka di persada antarabangsa.

Pandangan SM : Seharusnya keinginan itu datang dari peserta sendiri kerana kemahuan itu harus timbul dari dalam diri setiap peserta. Mereka harus menjadikannya sebagai satu tabiat dan menjadi rutin seharian mereka.

Selepas AF7 Tamat : Yazid berjaya ditransformasikan dari seorang yang gementar, gugup dan gagap apabila berdepan dengan khalayak kepada seorang yang mula menyerlahkan keyakinannya.

4. Peneraju Professional yang Berdisiplin, Berkerja Keras dan Mahu Mencipta Kejayaan

- Di dalam industri ini hanya mereka yang tabah dan kental sahaja yang akan terus bernyawa dan ianya perlu diserapkan dalam diri setiap pelajar. Populariti dan gemerlapan lampu tidak akan berkekalan tanpa bakat sejati, disiplin, kerja keras dan daya usaha untuk berjaya walaupun sesuatu kejayaan itu dianggap mustahil. Perjalanan menuju puncak bukan sesuatu yang mudah dan untuk terus kekal berada di puncak memerlukan ketahanan mental. Dalam dunia serba mengejar kebendaan ini, hanya yang terbaik sahaja yang akan dapat bertahan.

- Dalam Akademi Fantasia musim ini hanya ada 13 peserta yang tersingkir dan SAYA sebagai JUARA !

Selepas AF7 Tamat : Saya masih belum nampak syarat ini wujud dalam diri finalis lebih-lebih lagi dengan kekangan yang diberikan oleh fakulti mahu pun produksi. Syarat ini hanya akan menjadi apabila mereka berani untuk berdikari tanpa bantuan sesiapa. Mereka harus berani mengorak langkah dan memilih jalan sendiri yang mereka fikirkan terbaik buat mereka. Selagi masih di bawah kekangan atau mungkin kongkongan seseorang atau pun sesebuah organisasi, agak sukar untuk menilai kesan dari syarat ini.

5. Menjaga Penampilan Diri dan Stail

- Selain bakat, setiap pelajar perlu menjaga penampilan diri untuk itu perhatian khusus akan diberikan. Pelajar akan didedahkan kepada pilihan dalam memilih gaya yang sesuai selain tip pemakaian, solekan, dandanan rambut dan juga asas etika sosial.

- Di penghujung musim Akademi Fantasia, kita akan dapat melihat transformasi pada setiap pelajar yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

- Di pertengahan tempoh pengajian, setiap pelajar diberikan peluang untuk memilih gaya mereka yang tersendiri di bawah pengawasan penata gaya untuk memilih gaya yang mereka inginkan.

Selepas AF7 Tamat : Saya dapat melihat transformasi pada fizikal Akim. Gaya rambutnya dan perubahan pada wajahnya dapat kelihatan. Begitu juga dengan Isma yang nampak lebih bergaya berbanding di peringkat awal dahulu. Syarat ini juga perlu dinilai semula selepas beberapa bulan finalis keluar dari Akademi kerana masih terlalu awal untuk menilainya. Sesetengahnya akan kembali kepada asal tetapi finalis harus menjadikan Aizat sebagai role-model yang sanggup melakukan apa saja untuk kelihatan menarik dengan penampilan yang lebih kurus.

6. Karisma dan Menjadi Inspirasi Kepada Semua

- Pelajar diharapkan dapat menonjolkan personaliti yang menyerlah selain memiliki karisma. Mereka digalakkan untuk mendalami sesuatu isu dan juga mampu untuk berkomunikasi dengan baik.

- Mereka juga akan dilatih untuk menjawab soalan media dengan bijak dan lancar selain untuk menjadikan diri mereka sebagai satu jenama yang cemerlang untuk dijual kelak.

- Kejayaan mereka akan menjadi inspirasi kepada penonton.

Selepas AF7 Tamat : Saya dapat melihat Isma menjadi inspirasi kepada golongan wanita yang sudah berkeluarga. Wanita beranak lima itu pastinya mencetuskan inspirasi besar buat mereka yang sebelum ini hanya melihat kejayaan mereka hanya berlaku di sekitar rumah mahu pun ruang dapur sahaja. Melihatkan kejayaan Isma, pastinya ia bukan suatu yang mustahil untuk mereka capai. Akim dan Hafiz boleh menjadi role-model buat golongan remaja yang masih muda tetapi berani mencari pengalaman baru dan tahu apa yang mereka inginkan.

7. Menjadi Contoh Penjagaan Kecergasan dan Kesihatan

- Setiap pelajar digalakkan untuk menjaga kecergasan dan kesihatan mereka, baik dari tabiat permakanan dan waktu rehat yang secukupnya juga kebersihan diri selain senaman.

- Mereka perlu tahu akan kepentingan menjaga kesihatan dan mengapa ianya amat penting kepada seorang penghibur. Mereka juga akan diajar untuk mengenalpasti makanan sihat yang sesuai untuk diri masing-masing.

- Tubuh yang sihat dapat mencetuskan minda yang sihat dan pelajar perlu memilih gaya hidup yang sihat dalam merealisasikan idea untuk menjadikan mereka IKON kepada industri hiburan.

Selepas AF7 Tamat : Syarat ini juga perlu dinilai semula beberapa bulan lagi sama ada mereka mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari sewaktu di dalam Akademi. Tumpuan saya berikan kepada Isma.

Farewell Akademi Fantasia 7

Entri oleh sultanmuzaffar 6 komen


















Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 7

Entri oleh sultanmuzaffar 16 May 2009 21 komen

Malam ini merupakan malam penentu sebelum Juara Akademi Fantasia musim 7 dipilih berdasarkan undian penonton. Hanya SMS AFUNDI yang mampu mengubah sebarang keputusan di luar dugaan. Oleh itu, terus mengundi pelajar pilihan anda !

AFUNDI10 AKIM ke 32999

Pra Konsert Akhir AF7









Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger