Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Ulasan Penuh SATU...Sejarah Lengkap Siti Nurhaliza

Entri oleh sultanmuzaffar 29 June 2009 7 komen






















Masih tiada tandingan. Bukan sahaja telah menjadi legenda, malah beliau selayaknya menjadi sejarah buat Malaysia. Itulah yang diluahkan oleh penyanyi unggul Indonesia, Krisdayanti. Berkongsi rasa yang sama, Siti Nurhaliza selayaknya termaktub dalam salah satu sejarah penting buat Malaysia.


Bayangkan tanpa sekilas keluhan atau desah kepenatan, Siti Nurhaliza melayangkan 30 buah lagu tanpa henti selama dua jam di Konsert Eksklusif Satu Siti Nurhaliza. Penyanyi itu membawa saya menyusuri perjalanan hidupnya selama lebih sedekad dalam bidang muzik dan seni suara.

Konsert yang berlangsung selama tiga malam berturut-turut itu diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya yang boleh dianggap pentas paling berprestij di Malaysia. Setiap penyanyi menyimpan impian untuk menjayakan sebuah konsert besar-besaran di pentas itu. Impian Siti yang sebelum ini pernah menjayakan beberapa siri konsert di situ tetapi bukanlah konsertnya sendiri. Sebaliknya dia membawakan lagu-lagu seniman legenda seperti Sudirman Hj Arshad, Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma.

Saya berkesempatan untuk menonton tiga siri konsertnya sebelum ini iaitu Konsert Live Siti Nurhaliza, Konsert Mega Siti Nurhaliza dan Konsert Siti Fantasia Tour. Saya hanya berpeluang menonton VCD Konsert Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall, London. Namun Konsert Satu Siti Nurhaliza jauh membuktikan yang penyanyi itu sememangnya tiada dua dan berada di kelasnya yang tersendiri. Bagi seorang peminat yang menyusuri kerjaya dan kisah hidup penyanyi itu pastinya lebih terpesona dengan elemen teaterikal yang cuba dibawakan oleh Siti.

Semua orang sedia maklum, teater merupakan cabang seni yang paling saya suka. Oleh itu apabila Siti mahu membawakan konsep itu ke pentas lebih-lebih lagi pentas Istana Budaya, pastinya saya meletakkan harapan yang tinggi terhadap usaha itu.

Saya juga berpeluang menonton DVD Konsert Celine Dion di Las Vegas. Pastinya standard yang diletakkan oleh Celine sungguh tinggi namun saya tetap punya keyakinan Siti juga mampu untuk melakukannya.

Dalam Konsert Satu Siti Nurhaliza, dia membawa saya mendekati kisah hidupnya yang penuh dengan pelbagai cabaran, dugaan, kenangan dan impian menerusi lagu-lagu nyanyiannya yang jika diteliti bait-bait liriknya telah membuatkan saya berfikir dan mentafsir apa yang mahu diluahkan oleh Siti.

Visual grafik, pemilihan lagu, koreografi tari dan alunan muzik menjadi satu dalam konsert itu. Itulah daya tarikan milik Siti yang mampu membuatkan peminatnya terpesona dengan nyanyiannya, tariannya, gerak tubuhnya, ekspresi nyanyiannya selain keunggulan sifat yakinnya bila berada di pentas.


Seperti yang kita sedia maklum ilham konsert ini diinspirasikan dari 1Malaysia. Bagi menuai semangat cinta pada negara, Siti membawakan lagu Hati, sebuah lagu patriotik yang dipetik dari filem 1957 : Hati Malaya. Sebuah lagu yang sudah cukup kuat untuk menguja perasaan penonton yang hadir. Mengurangkan sedikit elemen melankolik pada persembahan pembukaannya, Siti membawakan lagu Seindah Biasa. Tidak pelik sekiranya lagu itu terpilih kerana jika diteliti lirik-liriknya ada yang berkaitan dengan bagaimana kita harus bersama tatkala susah dan senang.

Saya harus akui sewaktu menulis ulasan ini saya meneliti kembali lirik lagu yang Siti bawakan. Dari situ saya lebih memahami apa yang mahu dia sampaikan. Lagu Sutramaya menyusul yang membawa saya lebih dalam tentang erti cinta bukan sahaja untuk kekasih tetapi juga untuk negara. Tanpa kita sedar, lagu-lagu nyanyian Siti sebenarnya lebih bersifat universal tidak hanya terkongkong pada satu makna sahaja. Tidak berlebih sekiranya saya meletakkan Siti setaraf Sudirman Hj Arshad.

Semakin jauh semakin dalam
Sutramaya kasihmu
Bagaikan samudera tanpa dasarnya
Asmara tiada penghujungnya
Untukmu jua...

Persembahan konsert Siti kali ini ada makna yang lebih besar dan tidak meleret-leret. Walaupun perjalanan kerjayanya panjang lebih sedekad berjaya dirangkum dalam tempoh dua jam. Kisah kerjaya seni Siti yang panjang dimulakan dengan lagu-lagu yang melonjakkan namanya di pesada muzik tanahair.

Lagu-lagu seperti Jerat Percintaan adalah lagu wajib dan semua orang tahu tentangnya. Oleh itu tidak perlu saya ulas kenapa lagu itu mesti dimasukkan kerana jawapannya tetap sama. Aku Cinta Padamu, Purnama Merindu, Kau Kekasihku, Percayalah, Bukan Cinta Biasa dan Cinta Ini. Semua ini merupakan lagu-lagu popular Siti dari album pertama hinggalah album terbarunya.


Ketika ini nama Siti Nurhaliza sudah pun berada di puncak. Namun sebagai anak Melayu yang tidak pernah pudar jati dirinya, penyanyi itu mengimbau kenangan kegemilangan lagu irama tradisional ketika itu. Menyebut kegemilangan irama tradisional pastinya tidak boleh menidakkan betapa pentingnya pengaruh Pak Ngah atau pun Dato’ Suhaimi Mohd Zain dalam pembangunan kerjaya nyanyian Siti. Siti turut mendedikasikan segmen itu kepada Bapa Irama Malaysia itu.

Seperti yang kita tahu kerjaya nyanyian Siti tidak lengkap jika tidak menyenaraikan lagu Cindai, Balqis, Nirmala dan yang terbaru sebuah lagu asli, Bulan Yang Mesra. Seperti biasa, vokal asli dan lenggok Melayunya masih utuh dan tiada tandingan. Gerak tari Melayunya masih indah dan keberanian Siti menampilkan lenggok tari yang luar dari kebiasaannya menjadikan persembahan segmen itu satu kelainan. Jika dulu sebelum berkahwin, ingin melihat Siti menggoyangkan bahu pun agak sukar, kini nyata sudah jauh berbeza. Namun itulah keistimewaan yang ada pada konsert kali ini apabila dapat melihat sesuatu yang lain daripada kebiasaan.

Elemen visual dalam lagu Bulan Yang Mesra agak menarik walaupun jauh di sudut hati saya cuba untuk membuang perasaan itu. Lagu itu jika diselak kembali rentetan wawancara saya bersama Siti sewaktu pelancaran album itu, Bulan Yang Mesra merupakan antara lagu kegemaran Dato’ Khalid, suaminya. Ditambah dengan elemen visual yang menampilkan seorang wanita dan seorang lelaki di balik langsir sedang bermesra sudah cukup memendam rasa saya. Anda boleh mentafsir sendiri mesej yang cuba ditampilkan menerusi lagu tersebut.

Gadis dalam sangkar menggambarkan bagaimana Siti seperti gadis lain juga pernah terperangkap dalam membuat keputusan. Namun Siti bukan gadis biasa seperti yang lain. Dia artis popular yang mana makna cinta terlalu jauh daripadanya. Siti juga terperangkap dalam kesibukan kerjayanya yang tidak kunjung padam di sebalik popularitinya. Mahu bercinta, tetapi terhalang kerana kerja. Itulah simbolik yang cuba ditampilkan walaupun ramai yang tidak memahaminya.


Siti mula terbayang-bayang bagaimana rasanya merasai cinta. Siti mula mengintai-intai apa maknanya cinta. Siti makin berani untuk menjadi wanita sejati. Dia seperti gadis lain seusianya, mahu meluahkan naluri gadisnya menerusi lagu Pendirianku, Pada Cintanya dan Ku Mahu. Lagu-lagu yang dipilih sememangnya kena dengan segmen tersebut merungkai pendiriannya tentang cinta dan bagaimana mahunya dia merasai cinta.

Namun di sebalik popularitinya yang semakin meningkat, langit tidak selalunya cerah buat penyanyi nombor satu negara itu apabila dia diduga dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Situasi gelap itu dibayangkan dengan guruh dan langit gelap. Penuh emosi, Siti membongkar dendam di hatinya dengan lagu Tanpa Dendam Di Hati. Segmen gelap ini dimulakan dengan korus oleh penyanyi latar yang melontarkan Biarkan.

Lautan yang berapi
Daratan yang berduri
Bagiku bukan musibah
Malahan hikmah berharga

Katalah apa saja
Yang jelik penuh dusta
Kau bebas warnai diriku
Di minda yang kelabu

Korus
Siapa diri ini
Tuhan yang memahami
Amarah dan Kecewa
Hanyalah bara membakar jiwa

Sungguh pun ku terkilan
Terguris perasaan
Ku pilih berdiam diri
Tanpa dendam di hati

Gadis mana yang tidak terusik apabila diduga dengan pelbagai cabaran yang datangnya bersama pengaruh teknologi. Pelbagai cerita buruk Siti dibongkar menerusi teknologi itu. Walaupun masih muda, Siti tidak cepat melatah sebaliknya menganugerahkan lagu Dialah Di Hati.

Mengapakah diri dijadikan sasaran
Sekilas pandangan pelbagai andaian
Sungguh terkilan


Paling mengejutkan saya apabila Siti turut membawakan lagu Kurniaan Dalam Samaran secara penuh di konsert ini. Lagu itu tidak pernah dibawakan secara penuh dalam mana-mana konsertnya di Malaysia sebelum ini, hanya di Singapura. Adlin Aman Ramlie menyarankan kepada Siti agar membawakan lagu ini. Walaupun diduga hebat, Siti terus menongkah arus mencipta kegemilangan di peringkat antarabangsa.

Dengan melodi lagu itu yang mirip muzik Jepun, di era itulah Siti mencipta nama di Jepun dan sering berulang-alik mengadakan persembahan di sana. Lagu Kurniaan Dalam Samaran Siti persembahkan dengan busana kimono berwarna merah. Elemen visual sekali lagi memainkan peranan kali ini apabila pentas naik mengangkat ekor kain kimono Siti. Lontaran vokal Siti disifatkan sebagai yang terbaik dalam segmen ini. Ia juga merupakan persembahan terbaik Siti pilihan saya.

Sudah sampai masanya Siti memiliki cinta dan perasaan itu dizahirkan dengan lagu Mulanya Cinta, Debaran Cinta, Ku Milikmu dan Wanita. Terpancar keceriaan pada wajah Siti sewaktu mengalunkan lagu-lagu itu. Gadis yang bernama Siti Nurhaliza sudah bersedia untuk menjadi seorang wanita.

Namun hasratnya untuk menjadi seorang wanita sering mendapat perhatian media dan peminatnya. Jiwanya ketika itu diasak pelbagai persoalan dari teman media dan peminat di sekelilingnya. Semua mahu tahu siapakah jejaka yang bertakhta di hatinya. Mereka sukar untuk mengerti kerana Siti sudah menjadi sebahagian daripada hidup mereka. Siti harus membuat pilihan yang seboleh-bolehnya tidak merobek hati yang lain tetapi dalam waktu yang sama cuba mengharapkan pengertian dari orang lain. Lagu Bila Harus Memilih dan Cuba Untuk Mengerti menjawab setiap gelodak jiwanya ketika itu.

Namun, kata Siti…Biarlah Rahsia.


Akhirnya terjawab setiap persoalan. Cahaya Cinta menjawab siapakah jejaka pilihannya. Disaksikan lebih 6.4 juta penonton secara langsung di saluran televisyen nasional, Siti Nurhaliza sah memilih Dato’ Khalid sebagai suaminya.

Peminat masih bersamanya. Namanya terus kekal di puncak dan tidak luntur dari calendar hiburan tempatan. Lagu Siti Situ Sana Sini dibawakan dengan mesej yang jelas, walaupun Siti berada di atas, dia sentiasa menanam sifat rendah diri melihat ke bawah. Segmen lagu tersebut juga merupakan antara segmen pilihan saya. Walaupun lagunya bukanlah lagu kegemaran saya dalam album itu, namun visualnya sungguh bermakna.

Bersama peminatnya yang mengangkatnya ke puncak, Siti mendedikasikan lagu Destinasi Cinta walaupun selepas berkahwin, dia masih diminati. Rasa sayang peminatnya tidak pernah padam. Malah, rasa benci pembencinya juga tidak pernah padam. Namun atas semangat, Siti dan peminatnya terus mendaki tangga menuju ke puncak.

Siti, penyanyi yang tiada dua menutup persembahannya dengan lagu Di Taman Teman meraikan kejayaannya bersama peminat yang setia bersamanya susah dan senang lebih sedekad. Jika dihayati lirik lagu itu, pasti kejayaan itu diraikan bersama peminatnya yang sentiasa menyokong kerjayanya selama ini.

Persembahan konsert itu dikemudikan oleh Pat Ibrahim selaku Pengarah Konsert dan diiringi 20 pemuzik di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta 25 penari latar di bawah bimbingan Pat, Azwa dan Suhaili.

Tiket-tiket menyaksikan konsert yang ditaja oleh Maxis itu habis dijual sebelum konsert bermula. Kenangan indah 27 Jun pastinya tersimpan dalam sanubari. Saya kini sedang merancang sesuatu untuk menjadikan kenangan itu menjadi lebih indah. Terlarut dalam vokal nyanyian Siti Nurhaliza, dibuai alunan muzik yang segar susunan muziknya, dipukau gerak tari dan lenggok tubuhnya yang menampilkan sesuatu yang luar biasa dan meresap dalam elemen teaterikal yang membawa saya menyusur kerjaya lebih sedekad penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza. Hanya SATU !

Kredit Foto : MStar

Nota : Entri blog ini bukan review. Entri ini merupakan 7 minutes packaged story tentang konsert itu di Gala TV, Astro AWANI. Ulasan peribadi blog akan disiarkan secepat mungkin. InsyaAllah.

(ANCHOR)

Konsert Satu Dato’ Siti Nurhaliza membuka tirainya di Istana Budaya 26 Jun lalu.

Selama tiga malam berturut-turut, penyanyi bersuara emas itu menghiburkan penonton dengan lagu-lagu yang menyusur kerjaya Siti selama lebih sedekad.

(VT)

Bagi peminat Siti Nurhaliza yang hadir menyaksikan konsert sepanjang dua jam itu…pastinya mereka pulang berpuas hati.

Ada beberapa sebab…

Pertama…tentunya kerinduan mereka yang ingin menyaksikan Siti beraksi di sebuah konsert besar di tanah air sendiri akhirnya terubat.

Kedua…menyaksikan sendiri nama penyanyi pujaan ramai itu masih utuh di puncak kejayaan walaupun statusnya kini sudah bergelar isteri.

Ketiga…mereka dapat mendekati kisah hidup penyanyi itu menerusi lagu-lagu nyanyiannya yang jika diteliti bait-bait liriknya…

Pasti membuatkan peminatnya terfikir sejenak isi hati yang mahu diluahkan oleh penyanyi kesayangan Malaysia itu.

Itulah daya tarikan milik Siti yang mampu membuatkan peminatnya termimpi-mimpi.

Berkonsepkan teaterikal, konsert itu menyusur penglibatan Siti di puncak kejayaan dengan bantuan koreografi, muzik, set pentas yang ekstravaganza dan paparan visual grafik.

Siti memulakan persembahannya dengan lagu Hati disusuli Seindah Biasa dan Sutramaya…menuai semangat cinta pada negara.

Tidak lengkap persembahan Siti jika tidak membawakan lagu yang melonjakkan namanya di pesada muzik.

Lagu seperti Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu, Purnama Merindu, Bukan Cinta Biasa dan Cinta Ini merupakan antara lagu pilihan Siti di konsert tersebut.

Walaupun berada di puncak, jati dirinya sebagai anak Melayu tidak pernah pudar pada penyanyi itu dan digambarkan dengan lagu seperti Cindai, Balqis, Nirmala dan lagu asli, Bulan Yang Mesra.

Seperti gadis lain seusianya, Siti juga meluahkan naluri gadisnya menerusi lagu Pendirianku, Pada Cintanya dan Ku Mahu.

Langit tidak selalunya cerah buat penyanyi nombor satu negara itu apabila dia diduga dengan pelbagai tohmahan dan fitnah.

Lagu Tanpa Dendam Di Hati menceritakan segala-galanya.

Namun, insan sekecil Siti hanya mampu berserah kepada Tuhan menerusi lagu Dialah Di Hati.

Paling mengejutkan apabila Siti turut membawakan lagu Kurniaan Dalam Samaran di konsert itu.

Lagu itu tidak pernah dibawakan dalam mana-mana konsertnya di Malaysia sebelum ini…hanya di Singapura.

Dengan melodi lagu itu yang mirip muzik Jepun, di era itulah Siti terus mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Siti turut berkongsi perasaan cintanya melalui lagu Mulanya Cinta, Debaran Cinta, Ku Milikmu dan Wanita.

Bila Harus Memilih dan Cuba Untuk Mengerti merungkai gelodak jiwanya yang ketika itu diasak pelbagai persoalan…siapakah jejaka yang bertakhta di hatinya.

Namun, kata Siti…Biarlah Rahsia.

Akhirnya…Cahaya Cinta menjawab segala persoalan jejaka pilihannya.

Namanya terus kekal di puncak.

Siti Situ Sana Sini dibawakan dengan mesej yang jelas, walaupun Siti berada di atas, dia sentiasa menanam sifat rendah diri...

Agar terus diminati peminatnya yang mengangkatnya ke puncak menerusi lagu Destinasi Cinta.

Siti, penyanyi yang tiada dua…menutup persembahannya dengan lagu Di Taman Teman meraikan kejayaannya bersama peminat yang setia bersamanya susah dan senang lebih sedekad.

Persembahan konsert itu dikemudi oleh Pat Ibrahim selaku Pengarah Konsert dan diiringi 20 pemuzik di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta 25 penari latar di bawah bimbingan Pat, Azwa dan Suhaili.

Tiket-tiket menyaksikan konsert yang ditaja Maxis itu habis dijual sebelum konsert bermula.//

END

Jadilah Diri Sendiri !

Entri oleh sultanmuzaffar 24 June 2009 1 komen

Pernah rasa tertekan apabila sebagai remaja kita sering diasak dengan pelbagai persoalan yang melingkar di sekeliling kita. Sebagai remaja, apabila kita diasak dengan pelbagai persoalan membuatkan jiwa remaja kuat memberontak.


Nabil, Raja Lawak Astro musim 2 melakukan sesuatu yang di luar dugaan apabila menikmati Corntoz. Jiwanya memberontak apabila mahu menikmati Corntoz dan dalam waktu yang sama tidak mahu diganggu sewaktu menonton filem. Lalu Nabil mencipta alat yang memudahkannya menikmati Corntoz tanpa gangguan. Itu idea Nabil. Anda, jiwa yang memberontak juga boleh melakukan yang terbaik.

Kita mahu melakukan apa yang kita mahukan. Bukan apa yang orang lain mahu sekadar untuk memuaskan hati mereka. Walaupun susah untuk difahami, sebagai remaja pastinya melalui dengan situasi tersebut. Pengaruh budaya, agama dan bangsa sering menjadi kekangan dalam menjadikan remaja seorang yang berani mencuba sesuatu yang baru.

Seringkali juga remaja terhalang untuk mencuba sesuatu semata-mata mahu memuaskan hati sesetengah pihak. Namun yang paling penting setiap remaja harus berpegang kepada prinsip yang tidak melanggar batasan. Paling mudah penerimaan sendiri dan punya rasa hormat harus ditanam dalam diri setiap remaja.


Ajieb, wartawan hiburan Murai.com.my memiliki jadual yang agak padat. Sebagai wartawan hiburan, Ajieb harus pantas mendapatkan berita selain menyiapkan berita tersebut sebelum disiarkan di portal hiburan tersebut. Nasib Ajieb boleh disamakan dengan nasib saya yang juga sentiasa sibuk dengan tugas hingga tidak berkesempatan memiliki waktu untuk diri sendiri. Sambil menyiapkan tugasannya, Ajieb perlu menyegarkan dirinya makan atau pun minum. Corntozlah jawapan yang terbaik untuknya yang boleh menyegarkan diri sewaktu menyiapkan tugasan harian.

Pesanan buat remaja, jadilah diri sendiri dan serlahkan diri anda ikut cara anda. Kini peluang itu diberikan oleh kempen “Corntoz’s Express Yourself” bagi remaja untuk berpeluang berkongsi dengan dunia mengikut cara mereka sendiri.



Jadilah Diri Sendiri, itu pesan Stacy buat para remaja. Lagu Stacy juga bertajuk Aku Stacy ! Jika penyanyi lain menggunakan poster untuk menghadiahkan autograph kepada peminat, Stacy yang kehabisan poster menggunakan pek Corntoz sebagai ganti. Stacy mengikut caranya yang tersendiri tanpa perlu terikut-ikut gaya artis lain. Hasilnya, Stacy gembira kerana tugasnya dapat dilaksanakan dan peminatnya juga puas kerana dapat autograph Stacy. Corntoz memuaskan semua pihak.

Anda mahu menyahut cabaran dua artis dan seorang wartawan tersebut ?

Caranya mudah saja untuk semua remaja yang mahu mencuba. Anda perlu ke kedai, supermarket berdekatan dan dapatkan pek Corntoz 60g. Layari laman web Corntoz di www.corntoz.com.my dan rekod video cara anda menikmati pek Corntoz dalam video tersebut.

Anda juga boleh memuat-naikkan video anda ke laman YouTube dan hantar pautan YouTube tersebut ke www.corntoz.com.my.

Nota : Saya melakukan cara yang mudah dengan mengambil video dari portal hiburan Murai yang memaparkan tiga video pilihan mereka. Dua artis dan seorang wartawan menjadi pilihan saya iaitu Stacy, Nabil dan Ajieb.

Caranya amat mudah bagi saya, tetapi anda harus merakamkan video sendiri dalam kempen tersebut. TIGA VIDEO TERBAIK berpeluang untuk memenangi hadiah RM8,000, RM5,000 dan RM2,000 ! Mudah bukan ?

Peraduan ini akan berakhir pada 30 Jun 2009. Tidak banyak masa tinggal untuk anda menyiapkan video anda. Jadilah remaja yang memiliki sikap segera dan pantas !

Kini, anda juga boleh melakukannya !

Noordin Hassan – Nostradamus Teater Melayu

Entri oleh sultanmuzaffar 17 June 2009 2 komen


Sepuluh tahun lalu, dunia teater Melayu digemparkan dengan cerita penarikan naskhah teater Mana Setangginya dari menjadi teater “buka panggung” untuk Istana Budaya, panggung teater paling breprestij negara. Naskhah teater itu tersimpan rapi di Istana Budaya hinggalah ia dipentaskan di pentas berprestij itu mulai 13 Jun lalu.

Wanginya setanggi masih terasa walaupun sepuluh tahun ia terperap di Istana Budaya. Seni budaya di Malaysia jarang-jarang sekali mencetuskan impak yang besar kepada saya. Sebagai penggemar teater, muzik dan filem, tiga cabang seni budaya itu boleh dibilang dengan jari bagi seni yang mampu membuatkan saya tergerak untuk cepat-cepat menulis tentangnya.

Filem contohnya, hanya filem seperti Gubra dan Talentime yang mampu menggerakkan saya. Muzik contohnya, hanya program realiti Akademi Fantasia musim pertama, kedua dan Konsert Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall, London yang mampu menggerakkan saya. Manakala teater pula contohnya, hanya Ronggeng Rokiah dan Puteri Gunung Ledang The Musical yang mampu membuatkan tangan saya menggeletar tidak sabar menulis.

Kini giliran Mana Setangginya yang mampu membuatkan minda saya terngiang-ngiang dan tergambar-gambar apa yang berlaku di atas pentas tersebut. Naskhah tulisan Datuk Noordin Hassan sekiranya diangkat ke pentas teater belum tentu mewah elemen komersialnya. Namun teater itu terus mewah dengan subteks serta perlambangan yang penuh artistik.

Bayangkan naskhah ini ditulis lebih 10 tahun lalu namun setelah dipentaskan minggu ini ia masih relevan. Isu yang diangkat menerusi teater ini terus berputar-putar walaupun di zaman sebelum kitab Al-Quran diturunkan sehinggalah sekarang. Isu manusia tamak, fitnah yang berleluasa, kezaliman, pembobrokan oleh pihak berkuasa, penindasan, lupa diri dan gila kuasa yang berleluasa.

Mana Setangginya berlatarbelakangkan sebuah perkampungan nelayan dan petani yang bermastautin di tepi pantai di pelbagai latar zaman. Penduduknya menyara hidup dengan menangkap ikan dan menjual hasil pohon setanggi. Nelayan ini dilarang untuk menangkap ikan pada hari Sabtu, iaitu hari beribadat.

Kumpulan nelayan yang menderhaka di bawah pimpinan Hawar telah berpindah ke atas bukit, lalu menubuhkan sebuah provinsi yang digelar Gemilang. Walaupun hidup dalam kemewahan, mereka telah melanggar perintah. Kedatangan Uzza selaku orang asing telah membawa falsafah baru dalam kehidupan dan peradaban mereka.

Konflik masyarakat tersebut meningkat apabila Juda, anak kepada Hawar mengahwini Iriam, anak kepada Ibra. Namun, Silbi dan Subat telah menabur fitnah akan asal-usul Iriam. Juda yang bermuka-muka akan kebaikannya cuba untuk mengaburi penduduk kampong. Dia dan ayahnya, Hawar mahu penduduk kampong nelayan yang bertaburan mengiktiraf kedudukan mereka sebagai raja. Mereka yang menentang akan diserang. Mereka menguasai kampong-kampung ini dan mahu segala hasil tangkapan dijual kepada mereka.

Sikap mereka ditentang oleh Uzza dan Paderi yang menasihatkan Hawar dan Juda telah ditangkap oleh Uzza. Ibra dan Iriam yang datang untuk membebaskan paderi telah dikenakan syarat 10 bakul ikan sebagai tebusan. Iriam juga perlu diserahkan kepada Uzza dengan persetujuan Juda.

Maka turunlah rebut yang maha dahsyat serta halilintar membelah suasana. Belut gergasi yang dibela Uzza akhirnya memakan tuannya sendiri serta membunuh Hawar. Akhirnya, Juda telah pun menemui sodom wa gamurahnya.

Setiap kali menyaksikan teater tulisan Datuk Noordin Hassan, setiap kali itulah saya akan cuba mencari kepada apa atau kepada siapa watak-watak itu boleh dikaitkan. Paling menarik dalam teater ini ada pelbagai watak yang mampu untuk menjentik minda saya untuk terus mengaitkan dengan apa yang pernah saya lalui atau pun melihat sendiri. Watak Juda, Iriam, Hawar, Mira, Uzza, Ibra, Paderi, Sami, Megda, Menteri Pembiakan Zuriat, Pemuda Seberang Laut, Esau dan banyak lagi.

Saya menonton teater bukan kerana aksi terbangnya, saya menonton teater kerana isi yang ingin disampaikan. Kepuasan menonton teater apabila terpegun dengan aksinya hanya kepuasan sementara. Manakala kepuasan menonton teater yang sebenar apabila isinya dapat saya hadam sehingga kenyang. Itu lebih puas pada saya.

Cikgu Noordin sendiri pernah menyatakan kepada semua wartawan yang hadir pada majlis pelancarannya. Ada yang nampak semua, ada yang nampak suku, ada yang akan nampak separuh dan ada yang tidak nampak langsung. Pemikiran manusia berbeza-beza dan jangan salahkan mereka.

Selepas menonton teater ini saya menyifatkan Datuk Noordin Hassan sebagai Nostradamus Teater Melayu. Beliau boleh melihat ke hadapan apa yang sedang dan akan berlaku dengan hanya permainan dialog dan naratif teater ini yang disampaikan penuh simbolik dengan subteks yang berlapis-lapis. Penerima anugerah Sasterawan Negara itu cukup unggul menaikkan martabat teater Melayu ke peringkat yang lebih berilmu agar khalayaknya tidak terus dibuai mimpi dengan lambakan teater muzikal yang tiada kesudahan. Mana Setangginya adalah wajah teater Melayu yang tebal dan sarat dengan detik yang membuatkan minda kita dicuit.

Siapakah Juda yang bermuka-muka dan sanggup mengahwini Iriam semata-mata ? Siapakah Iriam yang sering bermimpi dan mendapat alamat dari mimpinya ? Apa pula Pari-Pari yang berterbangan yang hanya boleh dilihat oleh Iriam, tetapi tidak Juda pada mulanya ? Hubungan intim Juda dan Iriam mengingatkan saya bagaimana intimnya sepasang pemimpin satu sepuluh tahun lalu.

Siapa pula Hawar dan siapa pula Ibra ? Lihat lebih teliti, pada nama wataknya sahaja sudah boleh kita telah siapakah dia. Belut gergasi pada saya dilambangkan kepada kekacauan peradaban yang telah berlaku di bawah kekuasaan Uzza, kuasa asing yang mahu menjadi raja. Jelas sekali ditujukan kepada kuasa barat. Megda ? Perempuan yang ditangkap ketika sedang berniaga hanya kerana mengenakan solekan. Kita mungkin pernah terbaca satu ketika dahulu kerajaan Kelantan tidak membenarkan perempuan bersolek. Nama wataknya juga Megda atau mungkinkah Mek Da ? Watak yang mana pula menggambarkan ISA ? Esau atau belut gergasi ? Pilih yang mana anda suka.

Saya tertarik membaca tulisan Zieman dalam akhbar online MStar yang berbunyi,
Bagi mereka yang tidak mempunyai fahaman politik yang jumud DIGALAKKAN menyaksikan pementasan ini. Tapi bagi mereka yang tidak mampu mengawal golak perasaan yang dibatasi emosi kacau tentang politik dan agama yang 'konservatif' atau mereka yang pernah menghampiri sifat 'MUNAFIK' mungkin akan mudah terasa dan tidak mampu menghayati naskah hebat dan teragung Cikgu Noordin ini.
Itu juga yang akan saya sarankan kepada mereka yang ingin menonton teater ini. Buang jauh-jauh fahaman politik anda dan pergi menonton tanpa rasa prejudis terhadap sesuatu bangsa, agama dan fahaman politik. Anda boleh mencari setanggi dan menemui bau setanggi dalam teater ini. Seterusnya mendapat apa pula makna setanggi tersebut.

Teater Mana Setangginya kini sedang dipentaskan di Istana Budaya mulai 13 Jun hingga 21 Jun depan. Tiket berharga RM30 hingga RM100 boleh dibeli di kaunter tiket Istana Budaya atau pun secara online di www.ticket2u.biz.

Kredit Foto : mStar

Lima Band, Satu Pentas…20 Jun Ini

Entri oleh sultanmuzaffar 16 June 2009 1 komen


Saya sedar banyak konsert artis tempatan yang bakal menyusul bulan Jun hingga Ogos ini. Tetapi konsert yang bakal berlangsung pada 20 Jun ini sesuatu yang berbeza. Bakal menghimpunkan lima band paling meletup di Indonesia, Pesta Malam Indonesia bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil.


Konsert mega Pesta Malam Indonesia ini merupakan kolaborasi di antara TM dan Fatboys yang sememangnya dikenali sebagai penganjur konsert antarabangsa yang hebat di Malaysia ini. Selain konsert pelbagai aturcara telah dirancang bermula pukul 10 pagi hinggalah konsert tamat. Selain berhibur untuk diri sendiri, mereka yang berkeluarga boleh juga membawa keluarga bersiar-siar, membeli-belah atau pun menyertai pelbagai permainan yang disediakan di gerai-gerai yang disediakan di tapak letak kereta.


Keselamatan pengunjung terjamin sewaktu berada di konsert tersebut. Mereka yang berkeluarga tidak perlu bimbang dengan keselamatan keluarga masing-masing memandangkan pihak berkuasa turut melakukan pemantauan dari masa ke semasa agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini cuma berharga RM63 dan pemegang tiket berpeluang untuk mendapatkan italk mobile dialer percuma. ITalk mobile dialer adalah enabler ataupun cara mudah untuk kita buat panggilan ke mana-mana di dalam atau pun ke luar negara dengan kadar panggilan paling murah terus dari handphone kita.Bagi pembaca blog yang ingin mendapatkan tiket percuma, boleh juga menyertai peraduan PMI 3 dengan melayari laman web rasmi konsert tersebut di www.hypp.tv.


Jika anda ingin menghiasi skrin komputer anda dengan wallpaper-wallpaper menarik artis Pesta Malam Indonesia, bolehlah mendapatkannya di laman web www.hypp.tv. Bagi pelanggan www.hypp.tv berbayar, mereka berpeluang untuk mendapatkan 2 tiket percuma dan bertemu band ternama di majlis post-party !


Gigi, Dewa 19, Sheila on 7, Andra & The Backbone dan Padi ! Siapa yang tidak mengenali mereka ? Lagu 11 Januari, Jomblo, Laskar Cinta, Larut, Sephia, Pria Kesepian, Main Hati, Sempurna, Mahadewi, Kasih Tak Sampai dan banyak lagi sentiasa menjadi siulan anak-anak muda. Pelbagai anugerah telah dirangkul oleh mereka antaranya Anugerah Musik Indonesia dan Anugerah Planet Muzik.

Inilah peluang anda untuk menyaksikan secara dekat…lima band paling hebat di Indonesia beraksi di atas satu pentas, Stadium Putra, Bukit Jalil pada 20 Jun ini.

Jangan ketinggalan !

Meneroka Keindahan Bali Bersama Air Asia (Bahagian 2)

Entri oleh sultanmuzaffar 15 June 2009 4 komen

Destinasi : Ubud


Pagi 3 Jun 2009 bermula agak awal daripada kebiasaan. Tepat jam 9 pagi saya sudah turun bersarapan pagi. Tidak banyak yang boleh dimakan di Bali Agung Village melainkan roti bakar, omelette dan minum kopi. Walaupun ada mee goreng tidak saya sentuh kerana was-was. Selesai sarapan pagi, saya membuat keputusan untuk ke Ubud. Saya harus meneroka daerah menghala ke utara dari Kuta untuk hari tersebut.

Saya teringatkan nombor yang dibekalkan oleh Ning Baizura. Ada dua nombor pemandu di Bali. Saya hubungi Putu. Malangnya Putu tidak dapat memenuhi permintaan saya kerana sudah ditempah untuk jam 4 petang. Sebagai gantinya, Putu menyarankan pemandunya yang lain dengan bayaran yang sama. Pak Nyoman tiba sebagai ganti dengan Toyota Avanzanya tepat jam 11 pagi. Bayarannya murah sahaja, hanya Rp400,000 untuk sehari atau lapan jam. Maknanya dari jam 11 pagi hingga 7 malam.

Kami menaiki Toyota Avanzanya yang masih baru. Menurut Pak Nyoman saya pengguna pertamanya. Saya percaya segala ceritanya lagipun mereka orang yang berniaga. Apa sahaja cara akan digunakan untuk mengumpan hati pelanggannya. Untuk ke Ubud, kami menempuh beberapa daerah seperti Sanur, Batubulan, Celuk dan Batuan. Sanur juga merupakan antara tempat tumpuan pelancong di Bali. Di Batubulan, kami melihat perusahaan ukiran batu yang menjadi keutamaan penduduk di kawasan tersebut. Sementara di Celuk merupakan kawasan perusahaan perak dan emas. Kami hanya melewati daerah tersebut, tidak singgah kerana ia bukan tujuan saya ke Bali. Batuan pula merupakan kawasan perusahaan lukisan. Kedai-kedai yang berderet di daerah tersebut dipenuhi dengan lukisan-lukisan dinding yang cantik-cantik.

Pura Batuan

Pura Batuan

Pura Batuan

Pura Batuan

Pura Batuan : Bekas bunga rampai ini akan diletakkan di hadapan rumah, kedai dan berhala

Pura Batuan : Pembikin bunga rampai

Pura Batuan : Pembina baiksemula pura

Saya hanya singgah di Pura Batuan, salah satu pura yang dibuka untuk pelancong. Di Bali, tidak semua pura dibuka untuk pelancongan sebaliknya ada yang hanya untuk tujuan beribadat. Tidak begitu jauh bezanya dengan Malaysia, saya kira. Sekitar jam 12 tengahari saya menghabiskan masa kira-kira setengah jam di pura tersebut.

Kami masih belum tiba di Ubud dan kami hanya tiba di Ubud pada pukul 1 tengahari. Masa yang sesuai untuk makan tengahari. Tidak lengkap jika melancong ke Ubud jika tidak singgah di Bebek Bengil atau pun “crispy duck”. Kami makan tengahari di situ. Sebuah restoran yang indah dengan senibina Bali yang masih mengekalkan keasliannya. Kami menikmati hidangan itik goreng di tepi sawah.

Bebek Bengil : Pintu masuk ke Bebek Bengil

Bebek Bengil : Permandangan tepi sawah di Bebek Bengil

Bebek Bengil : Makan itik goreng di sini

Bebek Bengil : Bergambar di tepi sawah

Selesai makan tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Ubud Palace. Saya tidak begitu menghabiskan banyak masa di Ubud Palace memandangkan senibina pura yang terdapat di Bali lebih kurang sama. Masuk satu, lebih kurang masuk semua. Tiada bezanya. Di situ terdapat sebuah Arts Market, di mana penduduk tempatan berniaga cenderamata yang boleh dibawa pulang ke Kuala Lumpur. Agak lama juga kami menghabiskan masa di situ walaupun tidak banyak membeli kerana melihat budaya dan kesenian Bali lebih utama. Namakan apa saja barangan cenderamata ada di situ. Pelbagai bentuk, pelbagai saiz dan pelbagai warna.

Ubud Palace : Sudah saya katakan, sama sahaja.

Ubud Palace : Sudah saya katakan, sama sahaja.

Rice Terrace : Padinya sudah dituai

Selesai di Arts Market, saya meneruskan perjalanan ke Rice Terrace. Saya tidak bernasib baik kerana padinya telah dituai sehari sebelum saya tiba di situ. Masih di Ubud, saya menghabiskan masa cuma 15 minit saja di situ. Saya sempat online Facebook awal pagi ini dan melihat komen-komen yang diberikan oleh kawan-kawan saya di Facebook. Menurut Norenshah, salah seorang kawan saya pernah menyarankan agar saya singgah minum petang di Murni’s Warung. Katanya, warung itu terletak di tepi air terjun. Saya terima cadangan tersebut dan singgah di situ.

Setibanya di Murni’s Warung, saya tidak mendengar bunyi air terjun sebaliknya hanya bunyi aliran air sungai. Tidak mengapa kerana sudah puas berjalan, saya harus berhenti untuk merehatkan diri. Saya tiba di situ sekitar jam 4.30 petang. Waktu itu merupakan waktu untuk penduduk tempatan mandi. Sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk tempatan untuk mandi di sungai. Dilihat boleh, dipegang jangan. Dari tingkat atas warung itu, kami melihat penduduk tempatan mandi. Lama kami di situ.

Tepat jam 5.45 petang, kami pulang semula ke hotel penginapan dan tiba di Bali Agung Village sekitar jam 7 malam. Hari sudah gelap. Malam, saya harus bersiap untuk makan malam di Ku De Ta, sebuah restoran yang sangat eksklusif lagaknya. Agak asing, kami berada di sana kerana pengunjungnya terdiri daripada bangsa asing yang mungkinnya bekerja atau pun melancong ke Bali. Kami pulang lebih kurang jam 10.30 malam untuk bersiap menikmati waktu malam di Seminyak.

Sekitar jam 2 pagi, saya pulang ke hotel penginapan untuk tidur bersiap untuk perjalanan hari esok.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger