Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Rukun Negara : Sejauh Mana Kita Mengamalkannya ?

Entri oleh sultanmuzaffar 26 January 2010

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak :

  • mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya ;
  • memelihara satu cara hidup demokratik ;
  • mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama ;
  • menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak ; dan
  • membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :
  • KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
  • KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
  • KELUHURAN PERLEMBAGAAN
  • KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
  • KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Rukun Negara tidak seharusnya ditinggalkan usang dalam lipatan buku sekolah lama...

Bagi setiap rakyat Malaysia, pastinya pernah melafazkan Rukun Negara sewaktu berada di sekolah satu ketika dahulu dan bagi mereka yang masih bersekolah, pastinya rutin itu masih diteruskan sehingga sekarang. Doktrin itu telah pun disemai sejak alam persekolahan lagi, namun sejauh mana doktrin itu telah meresap dalam tubuh kita dan mengalir bersama darah dalam tubuh kita ?

Mungkin hanya sekadar lafaz tetapi tidak memahami isi yang selalu kita baca sejak dulu lagi. Di manakah silapnya ? Adakah kita mengetahui akan sejarah mengapa Rukun Negara diwujudkan ? Saya sendiri tidak tahu tetapi setelah melakukan beberapa kajian di internet, barulah saya faham. Persoalannya, adakah kita mahu belajar dari sejarah untuk melangkah ke hadapan ?

Prinsip Rukun Negara dihasilkan setelah melihat pepecahan yang berlaku angkara tragedi 13 Mei 1969. Tragedi hitam itu turut melanda beberapa lokasi di Kuala Lumpur. Kita harus melihat sejarah walau sepahit mana pun sejarah itu sebagai penawar untuk langkah-langkah kita yang akan datang.

Oleh itu dengan terhasilnya Rukun Negara yang lahir hasil pemikiran Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak selepas tragedi itu bertujuan untuk menyatukan semua kaum di bawah satu ideologi kenegaraan yang sama dan bersepadu. Rukun Negara harus menjadi panduan kepada setiap rakyat negara ini dan perlu diteruskan bagi melahirkan rakyat yang berkualiti dan bersatu dalam satu kesepaduan.

Kesedaran rakyat berbilang kaum tentang hidup dalam suasana harmoni perlu ditekankan agar setiap rakyat tidak bertindak mengikut prinsip tertentu atas dasar politik, agama mahu pun bangsa. Kehidupan tidak harmoni yang telah diterapkan kesan penjajahan British dan Jepun telah memberikan kesan yang cukup mendalam pada negara kecil ini. Dasar pecah dan perintah telah merosakkan usaha untuk mengharmonikan rakyat Malaysia. Justeru, rakyat perlu kembali disedarkan bahawa wujudnya nilai-nilai yang menyeluruh kea rah perpaduan dan persefahaman kaum.

Maka Rukun Negara digariskan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dalam melahirkan rakyat yang hidup aman dan damai walaupun berbeza bangsa dan agama. Masyarakat yang demokratik yang meletakkan kuasa di tangan rakyat dalam menentukan kerajaan menerusi pilihanraya yang bebas. Masyarakat yang adil dalam pengagihan kekayaan dan kemakmuran negara. Masyarakat yang progesif dalam mewujudkan warganegara yang berbudaya ilmu demi mewujudkan rakyat yang cukup pengetahuan untuk membangunkan negara. Masyarakat yang liberal yang diberikan kebebasan mengamalkan budaya kaum serta memelihara budaya kebangsaan.

Demi mengikat dan membina perasaan dan semangat cintakan negara di kalangan rakyat, Rukun Negara diisytiharkan secara rasminya oleh DYMM Yang Di Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970. Usaha itu diteruskan untuk kekal sebagai panduan kepada rakyat di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan kampung.

Saya cuba untuk melihat kembali 5 prinsip dalam Rukun Negara sebelum melihat situasi negara yang berlaku kini atau mungkin mengimbas kembali sejarah-sejarah yang pernah berlaku di negara ini apabila prinsip tersebut tidak dihayati.

Saya mengambil contoh blog adukataruna yang kini sedang hangat diperkatakan ramai. Perbuatan blogger tersebut yang menghina Almarhum Sultan Johor jelas melanggar lima prinsip Rukun Negara yang mana saya pasti blogger tersebut di zaman persekolahannya pernah melafazkan lima prinsip tersebut.

Kepercayaan kepada Tuhan : Harus kita percaya, kurangnya atau ketiadaan kepercayaan pada agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang, bangsa dan juga negara. Kerendahan peribadi tanpa asas kepercayaan agama yang kukuh antara menyebab berlakunya kes sedemikian. Tetapi malangnya, kes sedemikian masih lagi berlaku di negara ini.

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara : Melihatkan kenyataan yang dilontarkan oleh blogger tersebut ternyata prinsip kedua ini tidak diendahkan. Bagi seorang rakyat, mereka harus menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada SPB Yang Di Pertuan Agong dan Sultan yang memerintah.

Keluhuran Perlembagaan : Nampaknya blogger tersebut sebagai seorang rakyat Malaysia gagal untuk menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran serta kemuliaan Perlembagaan Negara sebagai asas dan sumber perundangan yang tertinggi.

Kedaulatan Undang-Undang : Kita perlu sedar, tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat di negara ini tidak akan aman dan stabil. Undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat untuk berasa selamat di negaranya sendiri. Apa yang telah dilakukan oleh blogger tersebut jelas melanggar undang-undang.

Kesopanan dan Kesusilaan : Di mana letaknya personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat apabila sanggup menghina seorang Sultan ? Asas ini amat penting dalam membentuk seorang warganegara yang bersopan santun dan bersusila baik sesama manusia walau tanpa mengira pangkat, bangsa dan agama.

Menilai kembali lima asas Rukun Negara, apakah kita sebagai rakyat Malaysia telah dan masih mengamalkan apa yang telah digariskan?

Rujukan : http://ms.wikipedia.org/wiki/Rukun_Negara

blog comments powered by Disqus
Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger