Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 30 May 2003 0 komen

Eager. Explore. Experience. Expand. All those hidden talents, bring them out and show them off. Whether a dancer, an actor, a musician, a lighting designer, a costume designer, a props-maker, a comedian, a director or just about anything. Showcase your abilities and astound us. We have created a platform for artistic expression. Present your talent and we’ll give you the audience. Do you have free time? This is a definite chance not to be missed if you take your craft seriously. Come and join us.

Spread the word around so you will not be there alone. Event: Interlude Mesra AGE (IMAGE), Location: Amphitheater MTC, Jalan Ampang, KL, Date: 7th June 2003, Time: 2.30 – 6.00pm, Contact: sultanmuzaffar@yahoo.com


Aspresiasi. Garapan. Seni. Bakat-bakat terpendam sekalian, pertontonkan dan persembahkan kepada kami. Tidak kira anda pemuzik, pelakon, penari, penata cahaya, pereka kostum, tukang props, pelawak, pengarah atau apa sahaja. Tunjukkan kelebihan anda dan kagumi kami. Platform telah tersedia untuk ekspresi artistik anda. Persembahkan bakat dan kami berikan anda penonton. Ada masa lapang ? Peluang yang tidak harus dilepaskan jika anda serius. Sertai kami.

Sebarkan agar anda tidak keseorangan. Acara: Interlude Mesra AGE (IMAGE), Tempat: Amphitheater MTC, Jalan Ampang, KL, Tarikh: 7th June 2003, Masa: 2.30 – 6.00pm, Hubungi: sultanmuzaffar@yahoo.com

Entri oleh sultanmuzaffar 29 May 2003 0 komen

Pengalaman kena saman memang menyakitkan hati, adakala melucukan. Seperti semalam, kesalahan aku ialah membuat pusingan U di tempat larangan semasa lampu isyarat warna merah. Dua kesalahan sekaligus seperti yang tercatat dalam surat saman. Kalau ikutkan ada 3, termasuk dengan tidak memakai tapi pinggang keledar.

Kenderaan polis memberhentikan kenderaan aku. Aku lantas dengan pantas memberitahu rakan di sebelah supaya terbaring buat-buat sakit. Dua anggota polis datang menghampiri tingkap. Suaranya garang, aku dengan tenang memberitahunya yang aku hendak cepat ke hospital menghantar kawan yang sedang sakit. Awal bulan, seperti biasa Polis Malaysia cuba untuk membeli aku. Mereka tanya apa pekerjaan aku. Aku jawab Pegawai Perubatan di Hospital Besar Kuala Lumpur. Mereka mengangguk-angguk mungkin merasa seronok kerana telah menjumpai lubuk emas. Aku merayu hendak cepat ke Hospital kerana tugas. Mereka tersenyum lagi. Aku faham makna senyuman itu. Semalam hari biasa masuk gaji. Awal bulan.

"Macamana nak buat ni, kena saman ni ?"
"Saya nak cepat pakcik, kawan saya tu tengah sakit. Saya nak ke Hospital. Tugas saya."
"Yalah, nak settle macamana ?"
"Maaf pakcik, kerja saya sebagai Pegawai Perubatan kat Hospital Besar. Kerja saya kerja mulia. Pakcik ikhlas nak tolong saya dan rakan saya. Saya berterima kasih. Kalau pakcik nak saman, saman sajalah."
"Saya saman ni."
"Saman sajalah."

Aku terima surat saman. Aku simpan dan minggu depan sudah pasti bapa saudara aku akan dapat surat saman tersebut. Aku pasti lepas. RM300 aku tak akan masuk dalam dana kerajaan dan RM100 aku tak akan masuk dalam poket Polis Di Rasuah Malaysia itu.

Itulah Polis Malaysia.

Entri oleh sultanmuzaffar 28 May 2003 0 komen

Ulasan Ronggeng Rokiah

Menonton teater period macam satu nostalgia bagi saya kerana baru saja mementaskan Rumah Kedai Jalan Seladang. Karya period terasa terlalu dekat dengan saya. Kesengsaraan manusia zaman itu masih ada dalam fikiran saya. Selesai pementasan saya terfikirkan bahawa karya-karya sebegini masih releven walaupun dalam alaf baru ini. Sifat Melayu masih sama seperti dahulu walaupun keadaan sekeliling Melayu pada ketika ini telah banyak berubah. Dunia masih dilanda peperangan. Sifat manusia tidak banyak berubah.

Pelakon dalam Ronggeng Rokiah perlu menonjolkan imej noirnya. Saya ingin memetik kata-kata Hassan Mutalib tentang teknik arahan dan lakonan dalam teater noir.
Menggunakan pendekatan 'method acting:' Bersahaja, eksotik, menangkap, tapi berbeza dari yang sehari-hari. Cerita 'noir' semacam sebuah mimpi buruk dan gaya lakon 'noir' adalah berbau mimpi (somnambulistic). Muka seperti bertopeng. Raut wajah beku BUKAN di tengah-tengah lakon tetapi sebelum diekspresikan. Lakon terlalu emotif meruntuhkan gaya 'noir' yang ketat. Pelakon 'noir' membendung 'a type,' jelas dan 'sketchy.' Intensiti yang langsung secara sungguh-sungguh dan dinamik TIDAK digalakkan. Pelakon 'noir' lebih ketat dan kedekut emosi. TIDAK dikehendakki tukar-tukar 'pitch' dan temperamen. Muka sukar bergerak. Membimbangkan, menakuntukan (eeriness). Tegak lemah, menengelam, lumpuh, cepat lemah, mengalah, rasa runtuh (Sag, droop, limp, depress, sink). Lafaz dialognya mengantuk dan lalok (Somnolent delivery of dialogue). Kaedah tatacahaya 'noir' menyebabkan watak 'noir' kelihatan sakit dan jahat (ill-looking dan wicked). Menyendiri dan berbahaya (a dangerous loner). Enggan, segan, berat, anti-hero yang songsang (a reluctant, inverted anti-hero). Misteri melingkungi dirinya.

Yang terserlah gaya lakonan noir hanyalah Jalaluddin Hassan, Sahronizam, Safura dan Rashidah Jaafar. Gaya lakonan pelakon lain masih seperti gaya lakonan biasa. Saya suka dengan lakonan Sahronizam yang memberangsangkan. Gerak tari beliau menjadi dan ada makna dalam setiap gerakan tersebut. Babak beliau mengekspresikan kekecewaannya dapat dirasakan bagaimana kecewanya beliau. Sudah pasti adegan bermain di motosikal menjadi antara yang terbaik dari segi artistiknya.

Dialog dalam Ronggeng Rokiah kaya makna. Jika dikaji subteksnya, pasti macam-macam telahan yang boleh dibuat. Saya paling suka dialog ini:-
cina tipu melayu, kau dah tengok
melayu tipu cina, kita tak takut
cina tipu cina itu kau takut
melayu tipu melayu itu sudah teruk


Banyak yang boleh dipelajari dari dialog tersebut. Seperti yang telah diperingat oleh Dr Anuar Nor Arai semasa sidang Apresiasi Ronggeng Rokiah beberapa hari sebelum hari pementasan sebenar, "dalami teksnya, ada maksud tersirat dalam setiap dialog yang dilontarkan oleh para pelakon. Dalami subteksnya."

Penataan cahaya yang mengkagumkan bagi saya untuk pementasan ini dan rekaan set yang menarik dan kena pada zamannya. Untuk lebih melicinkan persembahan teater 3 jam ini adalah lebih baik jika rekaan set dapat menggunakan sepenuhnya pentas hidraulik Istana Budaya agar keadaan pentas tidak sesak dengan 3 set utama di atas pentas iaitu bilik hotel Rokiah, Happy World Cabaret dan gerai tepi North Bridge Road. Jika dipergunakan sepenuhnya pentas hidraulik pasti pentas tidak sesak dan masa pertukaran babak dapat diselamatkan dengan muzik iringan dan tidak kelam-kabut sehingga menampakkan pekerja pentas.

Jika diberi kesempatan dan peluang saya ingin sekali menonton naskhah A.Samad Said "Lantai T. Pinkie", A. Samad Ismail "Rumah Kedai Jalan Seladang" atau Siti Rohayah Atan "Mencari Juita" dimartabatkan di Istana Budaya. Karya-karya period ini masih releven pada masa kini walaupun cerita yang ingin disampaikan adalah sama sahaja iaitu kesengsaraan wanita dan malapetaka di zaman perang.

Sila kunjungi Nizam Zakaria untuk mengetahui ulasan lain berkenaan Ronggeng Rokiah serta interview bersama Hassan Abd Mutalib.

Entri oleh sultanmuzaffar 17 May 2003 0 komen

Bedah Siasat Festival Teater Kuala Lumpur
diulas teater Rumah Kedai Jalan Seladang

Saya berkesempatan untuk hadir pada sessi post-mortem (bedah-siasat) Festival Teater Kuala Lumpur baru-baru ini. Pada sessi tersebut kesemua panel penilai bercerita secara terperinci kelebihan dan kekurang kumpulan yang bertanding. Antara komen-komen yang diterjemahkan oleh beliau untuk Rumah Kedai Jalan Seladang ialah :-

Kumpulan ini telah berjaya membuat penafsiran skrip dengan baik tetapi malangnya pertukaran babak yang kelam-kabut menyebabkan mood terganggu. Kata panel, 30 minit pertama pementasan ini bercelaru. Setelah mendapat konfiden barulah pementasan berjalan lancar, tetapi teknik pertukaran babak yang bercelaru dan bergaduh di atas pentas menjejaskan flow cerita ini. Apabila kumpulan telah bersetuju untuk membawa naskah realism ke pentas maka tanggungjawab pengarah dan produksi adalah terlalu berat kerana mereka perlu merealisasikan secara terperinci zaman tersebut ke pentas. Setiap perkara perlu di ambil kira sehingga fabrik kostum, warna kostum yang digunakan perlu disesuaikan. Kebaya yang dipakai oleh pelakon menggunakan fabrik yang bukan datang dari zamannya. Zaman 40an katanya panel penilai perlu menggunakan fabrik kasa rubiah atau kebaya pendek lubang berkain jarang. Untuk merealisasikan teater realism memang sukar. Setiap apa yang terjadi pada zaman itu perlu diambil kira. Penonton mahu melihat zaman itu di pentas. Berbeza dengan teater non-realism atau absurd, penonton tidak perlu menjangkakan apa-apa di pentas. Apa yang ada di pentas adalah jujur dan benar belaka. Tiada unsur tidak logik. Aku tergamam.

Pengarah masih terikat dengan skrip dan kreativitinya tidak berkembang. Dan yang lebih memeranjatkan ialah pendedahan panel penilai tentang 3 orang pelakon utama wanita iaitu Leha, Nani dan Tina. Kata pnael mereka monotonous. Watak mereka sama sahaja. Aku bersetuju. Tiada mannerism yang berbeza di antara mereka. Yang boleh dibanggakan hanyalah Kalsum. Watak Kalsum berbeza dengan yang lain-lain. Watak Mak Nah Bee masih tercari-cari identitinya. Lontaran vokalnya terlalu menjerit dan tidak disesuaikan dengan keadaan. Takahashi baik lakonannya tetapi kerana skrip wataknya tidak dapat berkembang dengan baik. Jika dikembangkan watak ini pasti beliau mampu membawakan wataknya dengan lebih baik dan berpeluang untuk lebih berjaya.

Teknik lampu yang digunakan untuk Leman Voice-Over tidak sesuai dengannya. Lampu spot bergel biru yang dipancarkan dari 90 darjah atas pemain mungkin mewujudkan teknik bayang yang cantik tetapi perlu dibantu dengan lampu spot bergel kuning yang dipancarkan dari 45 darjah di hadapan pemain untuk menyerlahkan warna kulit pemain dan miming pemain tersebut jelas dilihat. Itu asas kata panel penilai.

Props dan set di pentas ini telah dimanafaatkan dengan baik. Semuanya functional. Buku yang dipegang oleh Leman perlu diberi nyawa, tidak hanya dipegang tanpa dibuka. Set kabaret dan set rumah boleh dibaiki untuk lebih menampakkan realismnya.

Cara pengarah membangunkan klimaks cerita juga tidak berkesan. Klimaks cerita ini ialah sewaktu Gapar ditangkap Jepun. Tetapi apa yang diharap oleh penonton tidak terjadi di atas pentas. Gapar hanya ditarik keluar. Tiada unsur dramatik sewaktu adegan tersebut. Pengarah yang berjaya mampu untuk menghidangkan sesuatu yang dramatik dan yang diharap di atas pentas oleh penonton ke pentasnya.

Leman, watak utama dikatakan zombie oleh panel penilai. Leman secara zahir telah dibodohkan di atas pentas oleh pengarah. Intonasinya monotonous, flat dan no emotion. Namun begitu suaranya jelas didengar oleh penonton, suara yang baik sebagai pelakon yang pertama kali berlakon. Adakalanya Leman terpancing dengan intonasi pelakon lain. Berdasarkan skrip, wartawan ini hanya bodoh tentang wanita tetapi bagus tentang kerjanya. Pengarah telah membodohkan Leman keseluruhannya. Tidak diketahui punca Leman dibodohkan, adakah selepas bertemu wanita atau sebelum bertemu wanita. Leman ialah seorang wartawan yang bekerja dengan sebuah syarikat milik Jepun. Hanya orang yang benar-benar berkualiti yang mampu diterima bekerja dengan mereka. Oleh itu Leman seorang yang terbaik di sisi mereka. Mana mungkin Leman dibodohkan sedemikian rupa. Benar, Leman naive tentang wanita. Itu kenyataan dalam skrip tersebut tetapi Leman tidak naive tentang kerjanya.

Leman, orang risau, dia selamba, orang takut, dia selamba, orang cemas, dia selamba, orang sedih pun dia selamba. itulah pantun untuk Leman.

Itulah serba sedikit cerita bedah siasat Rumah Kedai Jalan Seladang. Banyak ilmu yang perlu ditimba, banyak maklumat yang telah diserap untuk panduan di masa akan datang. Bedah siasat sebegini baik untuk memajukan industri teater tanahair.

Entri oleh sultanmuzaffar 0 komen

Istana Budaya

Pada 22-31 Mei 2003
8.30 malam
Istana Budaya

Happy World Cabaret di Old Singapore jadi tumpuan kepada Johan, Ajis, Raman Bedok, Usman Players, Tengku Hussin, Zulfakar, Sidek Bopeng dan Johnny kerana Rokiah – yang diberi gelar Rokiah ROnggeng, primadona Happy World Cabaret. Zaman perpindahan social dan meleset tahun 1940-1050an ini membawa kisah suka-duka yang disingkap dalam bentuk tari (dance) tango, mambo dan waltz yang mendedahkan akal-budi manusia sezamannya. Dengan latar politik penjajah Inggeris semua yang terlibat dalam dunia Happy World Cabaret adalah Melayu yang tercari-cari, kehilangan identiti. Rokiah Ronggeng jadi penyata yang hidup, membawa harapan siksa sahir-batin manusia Melayu, perkara kecil dan remeh-temeh mungkin, tetapi luka dan rindu manusia kepada keamanan diri sendiri jadi muslihat yang terbuka. Rokiah Ronggeng sudah benci pada hidupnya yang sudah masuk ke pinggit mpelacuran, dan cuba mencari asal-usul dirinya, tetapi dapat tau ia tidak “milik” asal-usul itu. Seluruh ahli keluarganya lapuk nyawa. Manusia sekitar mengambil kesempatan dari usaha gigih dan “kekayaan” Rokiah Ronggeng sehingga Johnny, pengurus Melayu yang pertama di Happy World Cabaret dapat menyelamatkan Rokiah ronggeng daripada Ajis, Johan dan Raman Bedok. Rokiah “dipaksa terlibat” dalam dunia perfileman di Studio Shaw Brothers, yang cukup ia takut: kerana Rokiah Ronggeng tak boleh baca dan tulis. Paksaan ini “menyebabkannya jatuh sakit dan alami kejutan yang dirahsiakan.” Ketika bertango dengan Johnny lempaiannya secara habis-habisan, Rokiah Ronggeng terkulai dalam pelukan Johnny, menutup sebuah kisah derita seorang perempuan jelita dan berbakat keturunan Melayu di Singapore.

Nota Penulis

Pada saat ini saya berfikir bahawa ragam Melayu itu macam sehelai kelambu tidur bewarna putih. Bercorak halus tidak bewarna, dan bersaiz ikut ukurannya – kadang-kadang terbesar dan terkecil – melempai sampai ke lantai, ada kalanya senteng seinci atau sekaki. Dipandang telus, dilihat tak nampak, ditinjau ternyata seluruhnya. Penjurunya bersih dan kemas. Jika diselak tinggi-tinggi barulah terasa seluruh Melayunya, nampak corak alas bantalnya, tali pencerut bantal peluknya, dan rapi cadarnya diselit pada empat penjuru tilam berisi kekabu. Saya tak tahu kenapa imej ini melintas di mata saya bila mengingatkan Rokiah Ronggeng yang saya cipta. Saya melihatnya terbaring mengiring, separuh mukanya terselindung oleh penjuru bantal, dan punggungnya ternaik sambil peha dan kakinya tertolak sedikit ke hadapan. Rasa saying saya kepada seornag gadis Melayu seperti Rokiah Ronggeng mengingatkan saya kepada kakak saya bernama Rahmah, sezaman dewasa dengan Rokiah Ronggeng. Imej perempuan Melayu yang sedemikianlah yang membawa saya mencipta Ronggeng Rokiah dalam bentuk drama muzikal.

Ketelusan melayu dari golongan bawahan ini, yang tidak punyai cukup pelajaran dan pendidikan sempurna pada zamannya memang jadi halus dan penuh simpati bagi diri saya. Saya semacam meletakkan perasaannya ke dalam milieu yang demikian sebagai “milieu yang hampa, tercicir, sebu” kerana itu barangkali muzik boleh melahirkan the ominous lyrical reality untuk Ronggeng Rokiah. Saya masih memikirkan corak speech rythmns pengunjung-pengunjung cabaret zaman Happy World Cabaret 1950-an Singapura. Zaman meleset ini belum lagi zaman sweaters, sneakers, blue jeans, T-Shirts, suara-suara pemudanya sudah dewasa, kenal perempuan-perempuan sundal di lorong-lorong belakang, cepat dewasa ikut ukuran mereka ketika itu – so many shadings of veracity. Ikut pertanyaan Melayunya: corak kebenarannya macam mana? Yang benar dalam Ronggeng Rokiah ialah pada kata-kata Rokiah dan hidup Rokiah. Rokiah dapat disentuh, dipegang dan dirasa.

Manusia zaman itu berdiri dan bergerak dengan system nilai zamannya. Ruang tidak terarah dan waktu tidak tersusun. Keadaan ada dengan kehendak yang tidak terpegang dan terangkul oleh keupayaan dan tuntutan yang berubah. Melayu pada perasaan saya ketika itu masih pasif dengan perkembangan sekitarnya. Walaupun politik sudah jauh ke depan melihat kedudukan Melayu di bawah penjajahan Inggeris, tetapi ada golongan Melayu yang masih terpinga-pinga mencari sesuatu. Harapan.

Dalam Ronggeng Rokiah saya cuba menampilkan tanggapan mengenai mencari harapan ini. Melayu sesame Melayu tercari-cari. Banyak yang boleh dilakukan dan banyak juga halangan dan hambatan yang tidak bertulis. Manusia saya dalam zaman ini adalah manusia yang suka kerana banyak yang baru, mereka juga manusia duka kerana terikat dengan yang lama.

Sekiranya Ronggeng Rokiah mati dalam pelukan Johnny setelah memberikan lempaian tangonya yang menakjubkan itu boleh dikira sebagai hadiah kepada kaum bangsanya – Melayu Singapura ketika itu – maka Rokiah Ronggeng memang patut menerima gelaran primadona dalam dunia cabaret Singapura. Bahawa alam Melayu yang begitu baru bangun dari Perang Dunia Pertama dan berdepan dengan pahitnya zaman jatuh ekonomi dunia, menggapai-gapai mencari tembuk perlindungan social, dan kerapuhan moral dan kebajikan sesame Melayu, Rokiah Ronggeng memang satu tenaga kekuatan Melayu yang feminine, lembut, menyerah, bertimbang-rasa, mudah menghiburkan dirinya, serta pantas murung dan masuk ke dalam diri, berair mata; tapi mata yang merasakan zaman itu tentulah Rokiah Ronggeng seorang perempuan yang berjaya. Ia berjaya hidup, berdiri tegak, bersuara menguasai dunia lelaki. Lelaki dalam Ronggeng Rokiah adalah lelaki yang hilang identity, pelupa, tidak berduit, dan berwajah buruk seperti Sidek Bopeng, bekas Raja Waltz Singapura. Buruk Sidek Bopeng buruk di luar, tapi buruk Raman Bedok dan Johan buruk dari ke semua sudut. Luar dan dalam.

Entri oleh sultanmuzaffar 06 May 2003 0 komen

Pedas sekali teguran aktivis teater tersohor Malaysia ini dalam ruangannya di Berita Harian pagi ini.

Bual Teater: Kenapa nilai karya kreatif jadi berkecamuk ?
Oleh Khalid Salleh

FESTIVAL Teater Malaysia masuk musim kedua tahun ini. Di beberapa negeri sudah diketahui kumpulan yang menjadi wakil ke peringkat kebangsaan pada awal Ogos ini. Kumpulan yang menjadi juara negeri mungkin boleh berbangga, setidak-tidaknya merangsang keinginan memperlihat keupayaannya di peringkat kebangsaan kelak. Namun keperibadian sebagai pasukan kerja yang menterjemah karya penulis (pengkarya) di mana tulisan adalah jiwa dan pemikiran yang ingin disampaikan penulisnya, tidak harus berlaku ‘ketidak sopanan’ dengan menterjemah mengikut ‘sesedap rasa’ saja. Asal ada potensi untuk buat khalayak ketawa ia adalah tips memancing ketawa seterusnya.

Itulah yang terkesan pada Fesitval Teater Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 26 April-3 Mei lalu. Nilai karya sebenarnya sudah ditelanjangi keinginan memancing tawa penonton. Definisi karya kreatif yang membangun sahsiah ummah berasaskan nilai kemuliaan (Islamiah) berkecamuk menjadi longgokan sampah sarap pemikiran pengarah yang tidak kenal erti keperibadian sesebuah karya. Lebih kecewa apabila pemain (pelakon) secara ‘percuma’ memberi khidmat membumbui hilai tawa khalayak melalui aksi yang tidak bersangkutan watak dibawanya.

Perlu ditegaskan metodologi keberkesanan sesebuah pementasan berkait rapat dengan permainan. Pelakon tidak boleh membuat aksi tersendiri yang tidak digaris dalam kemungkinan perwatakannya. Belajar kenali watak dan perwatakan dalam karya teater tidak semudah melontar batu ke dalam sungai. Bermula pada tulisan, kemudian suara penyebutan (dialog). Bagaimana gaya penyebutan? Bagaimana tindak-tanduk menanggapi (interaksi) kata bual lawan? Bagaimana sikap terhadap persoalan sekeliling? Bagaimana gerak percakapan tubuh? Bagaimana sentuhan mekanisme kejiwaan yang dilontarkan bersama dialog? Bagaimana mudah atau sukarnya dialog perlu diucapkan?

Bibit yang dinyatakan itu adalah persoalan asas yang amat penting dalam kerja pementasan khususnya lakonan. Kemeriahan Festival Teater Malaysia tidak bermakna sesebuah naskhah boleh dibumbui mengikut sesedap mata pengarah yang menggunakan naskhah orang lain sebagai landasan kemasukan kumpulannya. Ia harus dimengerti bahawa idealisme pementasan adalah pembentangan pemikiran dan penganalisaan seseorang penulis (pengkarya) terhadap persoalan lingkungan hidup manusia. Sifat hormat dan fahami pemikiran penulis karya harus ada jika memilih karyanya untuk dipentaskan. Jika tidak ada etika, apakah makna mengangkat (memilih) karya orang lain untuk dipentaskan?

Berorientasikan kepada memartabatkan teater, Festival Teater Malaysia tidak harus membiarkan keadaan itu berlaku untuk masa akan datang. Asosiasi kedewasaan dan keterbukaan mengangkat karya harus berlandaskan nilai kesenimanan, di mana arus kemunasabahan boleh digunapakai untuk membezakan antara ratib (zikir) atau suara Bollywood ketika penduduk sebuah kampung cuba mengesan kehadiran makhluk halus (bunian) kerana kehilangan Tulus, salah seorang penduduk di situ. Jika persoalan munasabah pun tidak mampu diambil kira, apakah erti kemunasabahan menggerakkan kumpulan teater yang kononnya mengingkatkan daya kreatif dan meluaskan pemikiran terhadap persoalan kehidupan.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger