Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 05 June 2003

Bual Teater: Ronggeng Rokiah ‘lacurkan’ definisi noir
Oleh Khalid Salleh

NOIR, ungkapan Perancis yang bermakna hitam, gelap atau samar. Definisi noir diguna oleh pengkritik filem Perancis terhadap filem Hollywood yang selalunya dihasilkan pengarah Eropah pada awal 50-an hingga hujung 60-an. Antara lain kisah Amerika yang ditangani dengan sensibiliti Eropah. Ia berputik daripada neo expressionism Eropah seperti mana yang lahir di Jerman.
Kemunculan Ronggeng Rokiah di Istana Budaya yang disensasikan pengarah dan penulisnya, Dr Anuar Nor Arai sebagai teater noir termasuk pengakuan Ketua Pengarah Istana Budaya, Dr Hatta Azad Khan yang mengatakan sejarah teater noir yang pertama di Malaysia, menggambarkan definisi noir sudah ‘dilacurkan’ semata-mata untuk memberi bayangan takjub ke atas karya yang bersifat sederhana atau biasa-biasa saja.

Lorong gelap, bai serbat (bukan mamak teh tarik sebagaimana dilakonkan), tari tango, waltz dan ronggeng (bertandak) yang hanya sekali ditampilkan, serta bayangan suasana kabaret dan juga bilik Rokiah, adalah ‘kesempitan’ ruang lakon yang menampilkan dimensi keruwatan (kacau-kalut) di sebuah pentas secanggih Istana Budaya. Dr Anuar dan Hassan Mutalib (pereka set) barangkali sangat berambisi menyalin wajah filem ke pentas. Maka ‘keluarbiasaan’ yang merumuskan definisi ‘noir’ di filem sudah menenggelamkan urutan metafora kesengsaraan Melayu (Rokiah) dalam mengenal jati dirinya.

Derita Rokiah adalah kesengsaraan Melayu yang ‘buta huruf’ dalam menggaris-dasarkan upaya menguasai sejumlah kebarangkalian kuasa, ekonomi, status kependudukan dan kemasyarakatan. lain. Ironinya buta huruf Rokiah menjadi keutamaan yang membawa kepada kematiannya di pentas ronggeng. Begitulah senario Melayu lama Singapura yang cuba diterjemahkan Dr Anuar - penulis, pengkritik, pembikin filem (Johny Bikin Filem) yang tersingkir dan terabai selama 17 tahun daripada masyarakat filem dan teater sebagaimana yang diucapkannya melalui slot berita RTM.

Dr Anuar mungkin beruntung kerana menerusi Safura, Ronggeng Rokiah memberi kesan primadona pentas ronggeng yang lincah dan menjadi buruan pengunjung Happy World Cabaret. Bagaimanapun pada bahagian tertentu dia tidak memberi impak kepada dinamika pengucapan, sekali pun mampu berbuat begitu dengan bakat suara yang sedia ada pada dirinya. Penari yang bersandarkan kerjaya tarinya (Artis Budaya) di Istana Budaya memang sesuai. Ronggeng Rokiah dimeriahkan oleh ketrampilan mereka. Namun kemeriahan Ronggeng Rokiah tidak dibayangi ronggengnya (joget), sebaliknya tango dan waltz lebih mendominasi.

Teater adalah perisian maklumat yang disinonimkan dengan realiti kehidupan itu sendiri. Mekanisme realiti pentas mengharuskan definisi ruang, masa, peraturan hidup (budaya) dan sebagainya berasosiasi mengungkapkan rupa keadaan sebenar budaya yang diangkat sebagai sebuah persembahan. Nilai kebenaran masih diguna pakai dalam apa situasi sekali pun.

Kerul (gaya rambut), gaya berpakaian, bentuk pakaian bell bottom atau yankee misalnya adalah realiti yang sangat ketara dalam pembahagian era atau zaman. Suasana sebagaimana disebutkan itu tidak jelas bahkan kabur dalam Ronggeng Rokiah. Begitu juga nama Larkin (Johor Bahru) yang disebagaikan persekitaran bandar dalam Ronggeng Rokiah sebenarnya masih dipenuhi semak dan pokok getah tua yang tidak terurus pada akhir 60-an. Selain itu, ada setinggan terpencil yang tidak ramai bilangannya. Apakah kerana noir maka ia sesuai diletakkan sebagai latar kejadian walaupun bersalahan dengan realiti sebenarnya?

Mungkin benar noir Ronggeng Rokiah pertama kali dalam sejarah di Malaysia. Apakah ia menggaris dasarkan definisi noir dalam erti dan sifatnya yang sebenar, atau sekadar mengharu-birukan laluan budaya teater yang sampai saat ini masih terumbang-ambing penerimaan dan kemampuannya memperkasa diri dalam bayangan budaya Melayu (Malaysia) yang semakin runyam bentuknya.

Ronggeng Rokiah sekadar teater sebagaimana lazimnya teater di Malaysia. Ia tidak menghantar kekaguman sebagaimana bayangan noir yang diguna pakai untuk merangsang kehadiran khalayak. Malah barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan itulah kerinduan Dr Anuar terhadap mekanisme filem yang masih belum upaya direalisasikan dalam hidupnya. Maka Ronggeng Rokiah adalah suara kekaburannya (noir) terhadap budaya filem di negara ini.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger