Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 09 September 2003

Sharifah AiniKonsert Simfoni Ghazal Johor Bersama Datuk Sharifah Aini
7 September 2003
Panggung Sari, Istana Budaya
8.30 malam

Konsert Simfoni Ghazal Johor bersama Datuk Sharifah Aini merupakan impian lama yang baru kini terlaksana. Beliau pernah seakan-akan merajuk kerana tidak diberi peluang untuk menyanyi di Istana Budaya. Seperti yang semua tahu Istana Budaya ibarat The Royal Albert Hall di London dan Sydney Opera House. Ia menjadi idaman setiap seniman, seniwati, biduan, biduanita, aktor, aktres untuk beraksi di pentas bertaraf dunia tersebut.

Siapa yang tidak mengenali Datuk Sharifah Aini. Baru-baru ini beliau dianugerahkan dengan gelaran Datuk. Tetapi orangnya masih sama. Tiada perbezaan.

Inilah buat pertama kali Istana Budaya mementaskan sebuah persembahan ghazal di tempat sendiri. Matlamat utama persembahan tersebut adalah untuk menyemarakkan seni muzik ghazal setanding dengan irama muzik lain serta menanam semangat jati diri melalui muzik tradisional.

Konsert Simfoni Ghazal Johor Bersama Datuk Sharifah Aini ini dapat ditonton dan seterusnya dihargai dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat negara ini.

Tirai segmen 1 dibuka dengan paparan kemegahan dan keindahan seni ghazal serta kebesaran empayar Johor-Riau. Perkembangan ghazal diteruskan oleh artis remaja bagi melestari keaslian dan tradisinya. Segmen ini juga memaparkan pesisir pantai, laut dan bahtera, senario kampung nelayan, wakaf dan penambang.

Segmen dimulakan dengan Wahida menyampaikan lagu Sri Johor dan Asiah Bakar yang mendendangkan lagu Gunung Bentan.

Persembahan Mahidin Bedu yang membawakan lagu Payung Mahkota saya lihat agak baik persembahan tersebut. S.A.Aishah pula membawakan lagu Puteri Ledang yang menyaksikan beliau berjaipong di atas pentas. Penyanyi berusia 72 tahun ini masih segar di atas pentas dan semangatnya terhadap seni begitu menebal. Penyanyi ghazal Johor yang pernah memenangi gelaran Bintang RTM iaitu Ramlah Ram mendendangkan lagu Air Mata Hati. Beliau berjaya membawakan lagu tersebut dengan cemerlang.

Penerima Anugerah Sri Wirama Rosiah Chik yang dibawa masuk dengan beca juga tidak kurang hebatnya membawakan lagu Embun Di Hujung Rumput. Betul kata Tan Sri SM Salim dalam kulit album Sekarang Dah Jadi, lagu key (nada) tinggi adalah makanan beliau. Walaupun sudah berusia kehebatan beliau menyanyikan lagu ghazal secara live wajar dipuji. Kemunculan Datin Orchid Abdullah yang membawakan lagu popularnya Penawar Rindu mendapat tepukan gemuruh dari peminat-peminatnya.

Sharifah AiniSegmen ini kemudiannya diteruskan dengan kumpulan Ghazal Remaja yang menampilkan Hazlifha Diahana Rosli dan Sabihah Abd Wahid mendendangkan lagu-lagu Sri Mahligai dan Kuala Mersing. Kumpulan Ghazal Remaja diwakili oleh 21 remaja yang berumur 5 tahun sehingga 16 tahun. Pemain tabla muda Mohd Firdaus Musa baru sahaja berusia 5 tahun tetapi kelicikan dan kehebatan beliau bermain tabla memikat penonton.

Segmen seterusnya diserikan juga oleh Artis Popular Johor seperti Subari Palil yang membawakan lagu Nasib Pengail. Nyanyian beliau baik tetapi saya merasakan penggunaan prop dan kostum yang terlalu berlebihan adakalanya menampakkan unsur-unsur tidak profesional. Elemen tradisi boleh diwujudkan tanpa prop dan kostum yang berlebihan. Tatkala Sabihah Abd Wahid menyanyikan lagu Kuala Mersing, sebuah kapal besar masuk berlayar sehingga pentas pemuzik terpaksa diturunkan sedikit untuk memberi laluan kepada kapal tersebut. Penurunan pentas pemuzik utama nampak janggal.

Abdul Rahman Kamarudin dan Wahida menyanyikan lagu La Tri La Tri Lat. Persembahan mereka nampak meriah. Mahidin Bedu mengakhiri persembahan dengan lagunya Si Cantik Manis.

Persembahan utama Datuk Sharifah Aini

Persembahan Datuk Sharifah Aini dimulakan dengan syair. Hanya suara sahaja kedengaran. Kemunculan beliau berbaju kurung ungu diiringi dengan lagu Dia Datang.

Sharifah AiniBeliau memulakan persembahan dengan menyanyikan lagu Seri Mersing. Suara lemak merdu Datuk Sharifah Aini rupanya masih tiada tandingan. Beliau kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu Di Pinggir Kayangan dan Seri Siantan.

Kata beliau, menyanyikan lagu asli umpama mengaji Quran dan berzanji. Sama seperti apabila menarikan tarian klasik India. Seorang penyanyi perlu teknik dan skil untuk menyanyikan lagu asli.

Beliau meneruskan persembahan dengan menyanyikan lagu Sayang Musalmah iaitu lagu yang dirakamkan sekitar tahun 1986. Sehingga kini, beliau telah pun bergelumang dengan dunia seni hampir 35 tahun, telah merakamkan 78 album dan menyanyikan lebih 900 buah lagu. Beliau berhajat untuk kekal dalam dunia seni untuk 2/3 tahun lagi sebelum mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari dunia seni. Persembahan lagu Jalak Lenteng menutup perembahan segmen pertama dari beliau.

Sebagai selingan, Idris Mohamad menggesek biola alunan irama ghazal. Gesekan biola beliau mendapat tepukan gemuruh dari penonton. Kemunculan kedua Datuk Sharifah ini dengan berbaju kurung kuning untuk memulakan segmen kedua.

Lagu Disebut Jangan Dikenang Jangan dinyanyikan sebagai memperingati rakan baik beliau, Datin Rafeah Buang.

Sebuah lagu bertajuk Seroja telah dinyanyikan oleh beliau dengan cemerlang. Agak sukar untuk mencari cela dalam nyanyian beliau. Inilah persembahan terbaik beliau. Kali terakhir saya mendengar lagu Seroja adalah sewaktu pementasan teater kanak-kanak Taman Baginda.

Sharifah AiniLagu Mustika Hati menutup persembahan untuk segmen kedua juga telah disampaikan dengan cemerlang. Persembahan selingan Zapin Ya Salam menarik perhatian penonton. Tarian zapin ditarikan oleh penari remaja dan penari kanak-kanak memikat hati penonton.

Kemunculan beliau untuk segmen terakhir menyanyikan lagu Lenggang Mak Limah yang berkonsepkan suasana hari raya. Rakaman konsert ini akan disiarkan sempena Hari Raya Aidil Fitri yang akan datang.

Seterusnya beliau mendendangkan lagu Semalu Rimba sebelum menutup persembahan dengan berzanji untuk memulakan lagu Zapin Budi. Persembahan Zapin Budi yang disokong dengan tarian zapin pelbagai golongan memenuhi ruang pentas benar-benar berjaya. Penglibatan generasi muda dalam menjayakan persembahan ini wajar dipuji agar seni ghazal tidak hilang ditelan zaman. Ghazal merupakan warisan yang perlu dikekalkan kerana muzik identiti sesuatu bangsa dapat dikenali.

Sebagai memenuhi permintaan penonton, Datuk Sharifah Aini kembali masuk ke pentas menyanyikan lagu encore Gunung Banang. Beliau memohon maaf kepada penonton kerana tidak dapat memenuhi permintaan penonton yang ingin mendengar lagu seperti Teratai yang nadanya amat tinggi kerana tidak sesuai dengan muzik ghazal yang mengiringi persembahan beliau. Banyak lagu yang saya tertinggal untuk dicatatkan di dalam buku nota yang dibawa kerana begitu terpesona dengan persembahan beliau agaknya.

Sharifah AiniSaya menyifatkan persembahan Konsert Simfoni Ghazal Bersama Datuk Sharifah Aini sebagai sebuah persembahan yang cemerlang dari semua segi. Persembahan ini disokong oleh teknik cahaya yang cemerlang, teknik bunyi yang baik, kesan khas yang baik, rekaan pentas yang cemerlang dan pemilihan penyanyi yang amat kena dengan persembahan sebegini. Kesilapan-kesilapan kecil yang membabitkan lirik boleh dimaafkan setelah menonton persembahan terbaik ini.

Nama-nama seperti Ramlah Ram, Rosiah Chik dan Datin Orchid Abdullah merupakan nama yang cukup sinonim dengan irama ghazal. Cuma saya agak terkilan Malaysian King of Gambus iaitu Fadzil Ahmed tidak kelihatan membuat persembahan. Beliau juga dikenali dengan gelaran King of Malaysian Ghazal sewajarnya diberi tempat untuk bermain gambus di Istana Budaya.

Kali ini Istana Budaya telah menaik-tarafkan penggunaan teleprompter yang ada sebelum ini sewaktu persembahan Konsert Untukmu Sudir Siti Nurhaliza. Teleprompter yang ada walaupun menggunakan teknologi LCD tetapi saiznya agak kecil berbanding yang telah digunakan oleh Siti Nurhaliza dahulu. Agak sukar untuk melihat lirik yang tertera di skrin tersebut terutamanya untuk penyanyi yang telah berumur.

Harga tiket yang mahal sebenarnya tidak menghalang penonton untuk menyaksikan persembahan ini kerana kebanyakan peminat Datuk Sharifah Aini di kalangan mereka yang berkemampuan.

Secara keseluruhan persembahan ini amat cemerlang dan wajar ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Tahniah !

Tenaga Produksi
Pengarah Persembahan – On Jaafar
Pengarah Artistik – On Jaafar
Koreografer – On Jaafar
Pengarah Muzik – Omar Taib
Penolong Pengarah Muzik – Idris Mohamad
Pereka Tata Cahaya – Mie
Pereka Set – Mohamad Hanafi Abd Wahab

Sharifah Aini
Rating: 5/5

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger