Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 21 October 2003

Konsert ReunionKonsert Reunion Akademi Fantasia

video Konsert Reunion

Agak terlewat untuk saya memberi ulasan tentang Konsert Reunion ini yang telah berlangsung pada 31 Ogos 2003 di Taman KLCC. Ini memandangkan saya tidak berpeluang untuk menonton secara langsung persembahan tersebut memandangkan keadaan yang tidak selesa di tengah-tengah kesesakan ribuan manusia di taman tersebut. Agak sukar untuk menulis sambil orang berasak-asak. Jadi adalah lebih baik sekiranya saya memberi ulasan tentang Konsert tersebut apabila ianya tersiar di ASTRO Ria pada 18 Oktober 2003.

Persembahan Konsert itu bermula dengan lagu Khayalan yang dinyanyikan oleh seramai 12 orang pelajar Akademi Fantasia buat pertama kalinya. Sebelum ini lagu Khayalan hanya dinyanyikan oleh seramai 6 pelajar di Konsert 8 Akademi Fantasia. Persembahan lagu Khayalan merupakan permulaan yang amat baik. Lagu tersebut memberikan energy kepada pelajar dan juga kepada penonton. Enjin energy yang telah dijanakan untuk memberikan satu maraton persembahan yang sepatutnya menjadi terbaik. Tetapi sebaliknya. Sistem audio yang tidak baik sedikit sebanyak telah mencacatkan persembahan pelajar. Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan konsert ini yang mengingatkan saya tentang hari-hari kita bersama Akademi Fantasia.

Azza
Azza menyampaikan lagu I Want To Spend My Lifetime Loving You yang dipetik dari filem The Mask of Zorro bersama Sahri. Vokal Sahri ternyata hebat dan ada peningkatan pada vokal Azza. Duet mereka sememangnya dirancang agar berjaya menutup kelemahan Azza. Yang pastinya, Azza kini merupakan hos untuk rancangan Sari Rasa terbitan Astro.

Azizi
Azizi mendendangkan lagu Habis Sudah Umpanku dengan cemerlang. Showmanship beliau lebih hebat dari persembahan beliau di Kemuncak Konsert Akademi Fantasia yang lalu. Pengalaman beliau sebagai penyanyi di kelab malam merupakan aset paling beharga yang beliau ada. Beliau bijak menguasai pentas dengan sebuah persembahan yang bertenaga.

Nana
Kehebatan Nana menyanyikan lagu berbahasa Inggeris memang sudah diketahui. Beliau lebih sesuai mendendangkan lagu sedemikian. Kali ini Nana menyanyikan lagu Objection dan Kiss. Walaupun beliau kelihatan termengah-mengah tetapi bijak menutup kelemahan itu dengan showmanship yang mantap. Dulu sewaktu di Akademi Fantasia, beliau merupakan antara pelajar yang paling dibenci. Tetapi beliau bangun dari kegagalan masa lalu dan terus mengharungi cabaran dan terus berjaya.

Adifashla
Adifashla telah mempopularkan lagu Ahmad Band yang berjudul Aku Cinta Kau Dan Dia. Secara tiba-tiba lagu itu menjadi popular. Tiba-tiba satu Malaysia dilanda mania kumpulan Dewa. Saya yang tidak meminati Dewa menjadi minat kerana lagu tersebut. Persembahan Adi bermula dengan adegan peluk kaki oleh Atie mengingatkan kita tentang adegan itu yang berlaku di Konsert 3. Adi mendendangkan lagu tersebut secara biasa. Adi lebih hebat mendendangkan lagu tersebut tatkala persembahan medley di Kemuncak Konsert Akademi Fantasia. Persembahan Adi pada Konsert Reunion tidak menyengat dan meruntun perasaan ramai. Saya lebih kecewa apabila Adi menyanyikan lagu Rahsia Perempuan. Lagu rancak itu seakan-akan tidak sesuai dengan Adi. Namun ia tetap merupakan satu percubaan yang baik kerana Adi lebih meminati dan sering menyanyikan lagu sebegitu. Khabarnya Adi demam pada malam tersebut.

Rosma
Persembahan Nirmala dendangan Rosma juga agak cemerlang. Beliau bijak mengawal vokalnya untuk lagu tersebut. Showmanship beliau juga baik. Rosma juga memang menyukai lagu sebegitu. Ketinggian vokal Rosma merupakan aset penting buat beliau ditambah dengan usia yang masih muda. Tetapi harus diingat,, jika Rosma tidak dibentuk dengan baik oleh Astro beliau akan menjadi seorang lagi klon Siti Nurhaliza. Rasanya sudah cukup seorang Siti Nurhaliza di Malaysia.

Khai
Khai mendendangkan lagu popular masa kini iaitu Dambaan Pilu. Persembahan Khai juga menarik. Jika Khai buat album sudah pasti ramai yang akan membelinya. Lagu dendangan Khai nampak lebih berkeyakinan berbanding sewaktu Konsert Final. Di Konsert Final emosinya diganggu dengan gambar Rosma di meja serta klip video di skrin yang memaparkan adegan beliau bersama Rosma. Khai nampak lebih bersedia untuk lagu tersebut.

Atie
Kesilapan pertama yang beliau lakukan ialah menyatakan lagu Wajah Rahsia Hati adalah lagu dari filem Gila Gila Remaja. Lagu tersebut merupakan lagu dari filem Ali Setan. Lagu tersebut pernah dinyanyikan oleh Fauziah Ahmad Daud dan Sheila Majid. Kesilapan kedua merupakan kesilapan dari segi lirik lagu tersebut. Kesilapan menyebut perkataan abadi menjadi adabi mengundang ketawa. Walaupun muka Atie nampak berubah tetapi beliau tidak segan untuk membuat kesilapan. Kesilapan-kesilapan itu adalah kesilapan biasa yang boleh dimaafkan. Jangan takut untuk membuat kesilapan.

Sahri
Persembahan Sahri secara unplugged dengan lagu Penghujung Rindu amat cemerlang. Beliau bijak menggunakan kelebihan vokal beliau secara maksima. Vokal bertenaga Sahri merupakan aset yang penting buat beliau. Apabila Sahri membuka mulut sahaja, note pertamanya sudah baik hinggalah ke note terakhir. Perasaan penonton terbuai dengan lagu tersebut. Walaupun tidak mempunyai kelebihan dari segi fizikal, tetapi saya pasti dengan vokal yang ada Sahri boleh berjaya satu hari kelak. Itu pun jika selera rakyat Malaysia boleh menerima bakat tanpa melihat fizikal.

Liza
Jangan Pura Pura di tangan Liza juga ada peningkatan. Saya lebih menyukai melihat Liza menari. Liza mempunyai tubuh yang sesuai sebagai seorang penari yang baik. Liza lebih sesuai mendendangkan lagu yang agak rancak agar dapat memanafaatkan kelebihan dalam bidan tari yang beliau ada. Tetapi Liza juga perlu meningkatkan stamina untuk lebih berjaya kerana bukan mudah untuk menyanyi sambil menari.

Burn
Lagu Higher Deeper didendangkan oleh Burn dengan bersahaja. Burn menyukai lagu sedemikian. Menyanyikan lagu Inggeris memang tiada masalah buat Burn. Bila agaknya Burn hendak merakamkan album sendiri ? Burn kini banyak kali kelihatan sebagai hos bersama Nana untuk Anugerah ERA 2003.

Nija
Kenangan Pahit kali ini tidak sehebat malam Konsert Final. Nija lebih hebat pada malam tersebut. Penguasaan pentas Nija agak terbatas kerana pentas yang tidak luas. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan Nija.

Vince
Better Man dendangan Vince juga agak baik. Seperti yang kita telah ketahui vokal Vince bijak divariasikan mengikut rentak lagu. Vince akan menjadikan setiap lagu yang dinyanyikan oleh beliau mengikut acuannya sendiri tanpa meniru gaya penyanyi asal. Kata Siti Nurhaliza (baca: Siti lagi !) “Bagi sahaja apa lagu, Vince boleh buat !”

I Believe merupakan sebuah lagu Cina. Saya tidak mengendahkan sangat persembahan Vince untuk lagu ini. Tidak faham. Saya sebenarnya menunggu beliau menyanyikan semula lagu Sonata Musim Salju yang pernah didendangkan oleh beliau sewaktu Konsert 6. Hebat sungguh persembahan Vince malam itu.

Konsert Reunion yang disiarkan di ASTRO tidak menyiarkan lagu Fire dendangan Nana dan Burn, Sandarkan Pada Kenangan dendangan Liza dan Vince serta Seiring dan Sejalan dendangan Rosma dan Khai.

Setelah hampir di penghujung konsert, kesemua 12 pelajar bergabung untuk mendendangkan lagu Menuju Puncak. Menuju Puncak versi Konsert Reunion lebih moderate temponya. Diperlahankan beatnya. Kesemua pelajar kelihatan lebih selesa mendendangkan lagu tersebut sambil menari. Versi tersebut lebih selesa saya dengar berbanding versi asal yang lebih rancak dan kedengaran terkejar-kejar.

Konsert ReunionGimik di penghujung Konsert lebih menarik. Gelagat Adifashla meniru gaya Aznil memang melucukan. Aksi Atie memeluk kaki, aksi Adi terpinga-pinga bila namanya diumumkan, ucapan Adi sewaktu penyingkirannya, ucapan Aznil sewaktu Rosma tersingkir diulang semula. Walaupun dialog Adi tidak berapa lancar, tetapi jenaka itu memang menjadi dan mengingatkan kita tentang memori-memori sewaktu di Akademi Fantasia.

Sempena Hari Raya AidilFitri yang akan menjelang tidak lama lagi, untuk lebih menghangatkan Akademi Fantasia Mania, saya ingin mencadangkan agar dibuat satu rancangan Rumah Terbuka Bintang Akademi Fantasia. Konsep rancangan sama seperti yang pernah ASTRO terbitkan untuk Tan Sri SM Salim dan Erra Fazira.

gambar dari yahoogroups Akademi Fantasia dan galaxie. Terima Kasih !

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger