Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 13 November 2003

PalohPaloh : Dilemma Melayu Yang Keliru

Saya tidak berkesempatan menonton Paloh tatkala tayangannya di pawagam. Mungkin kerana tempoh tayangannya yang singkat atau kerana kesibukan yang terlampau. Saya mendapat khabar yang kutipan Paloh hanya sekitar RM80,000 sahaja. Cukup untuk wang hantaran 2 1/2 Erra Fazira. Saya melanggan ASTRO Showcase untuk menonton filem Paloh. Beberapa kali saya tonton untuk mendapatkan pemahaman tentang filem ini. Mungkin kerana keselesaan di rumah menyebabkan konsentrasi saya terganggu lalu intipati cerita tersebut saya tertinggal.

Apabila melihatkan ada diskusi serta tayangan khas Paloh di Actors Studio Bangsar, saya pergi menontonnya. Peluang yang ada tidak saya lepaskan untuk bersua muka dengan pengarah kontroversi filem tersebut, Adman Salleh. Saya akui Paloh merupakan sebuah filem yang memerlukan had kelayakan IQ untuk para penontonnya. Bukan sebarang orang boleh menonton filem sedemikian yang memerlukan otak memproses maklumat dengan pantas dalam keadaan non-linear.

Filem sebegini perlu diteliti dengan minda yang terbuka dan penumpuan yang terbaik. Penggunaan konsep non-linear menjadikan penonton perlu berfikir lebih untuk menikmati keseluruhan filem ini. Saya amat tertarik dengan filem ini dan berminat untuk mengulasnya adalah kerana ideologi filem ini. Pada pendapat saya, perjuangan komunisme telah diangkat ke satu tahap yang boleh dibanggakan oleh filem ini. Ideologinya jelas jauh tersimpang dengan apa yang selalu kita pegang yang mana komunis merupakan anasir jahat yang perlu ditentang habis-habis.

PalohPaloh bermula dari kenangan Ahmad dan rakan baiknya Osman. Imbas kembali Osman membuka naratif filem ini dengan menggunakan shot Osman sedang menyiapkan karangannya tentang kisah-kisah lampau. Adegan atas adegan bergerak dengan pantas namun demikian masih terkawal dan kesan dramatiknya dapat dirasai oleh penonton sekaligus mencadar minda penonton. Itu kelebihan Paloh. Kita tertunggu-tunggu penghujungnya.

Dinilai dari aspek lakonan, boleh dikatakan para pelakon telah memberikan lakonan yang cemerlang. Watak mereka saling memperlengkap. Perwatakan masing-masing dibangunkan dengan baik oleh pengarah. Tetapi sayangnya kurangnya shot close-up membuatkan ekspresi lakonan mereka tidak dapat ditonton oleh penonton.Tidak banyak pandangan kamera jarak dekat yang meperlihatkan mood pelakon.

Pembikinan filem merupakan satu kerja yang melibatkan banyak pihak. Bermula dari penerbit sehinggalah kepada pembuat teh. Oleh itu kerjasama yang kukuh penting dalam menghasilkan sebuah filem yang berjiwa Malaysia. Kontroversi yang melibatkan pengarah dan penerbit benar-benar mengejutkan walaupun sekaligus ia membuktikan semangat Malaysia Boleh yang sering dilaung-laungkan oleh tunggak kepimpinan Malaysia.

Kekacauan filem ini mungkin kerana penglibatan pengarah yang dihentikan di pertengahan jalan atas alasan yang tidak munasabah. Durasi filem ini yang pada asalnya memakan masa lebih 2 jam telah dicantas tanpa kebenaran pengarah kerana pengarah tidak di bawa bersama sewaktu proses adunan akhir. Lebih mengacaukan filem ini tentunya kerana tiada cue apabila teknik imbas kembali digunakan menyebabkan penonton keliru yang mana bukan flashback dan yang mana flashback.

PalohMelayu yang keliru jelas pada watak Ariffin Nur (Samat Salleh) dan pengikut-pengikutnya yang warak akhirnya menjadi anggota komunis, walaupun ideologi komunisme jelas menentang agama. Perkara ini wujud akibat kecewa mereka kepada keadaan yang berlaku pada waktu itu. Tetapi di dalam waktu yang sama mereka masih bermain gambus untuk menghiburkan hati di dalam hutan. Di mana letaknya komunisme mereka itu ? Saya jelas keliru

Paloh yang membabitkan bajet hampir RM4 juta itu tidak gagal sebenarnya sekalipun dikhabarkan filem tersebut mempunyai peluang yang besar untuk menyengat di Shiraz kerana memiliki kekuatan cerita dan nilai tema sejagat serta mutu lakonan yang cemerlang. Walaupun tidak berjaya memenangi apa-apa anugerah utama di Festival Filem Asia Pasifik di Shiraz, Iran, filem ini masih boleh berbangga kerana menduduki senarai akhir untuk beberapa kategori utama

Kegagalan pelakon Paloh untuk menonjolkan diri adalah kerana kurangnya close-up shot yang menampakkan ekspresi wajah pelakon. Terlalu banyak long shot serta angle jauh untuk filem Paloh lalu menyukarkan peluang mereka untuk dinilai sebagai pelakon terbaik.

PalohApa sudah jadi dengan filem Paloh ? Di mana nilai Malaysia jika Vietnam, Iran dan beberapa negara yang jauh lebih terkebelakang menjadi ukuran untuk penilaian. Vietnam dan Iran nampaknya lebih maju industri filem mereka daripada kita. Malaysia masih belum mampu menyaingi negara-negara tersebut dalam beberapa kategori utama. Kita kononnya berbangga apabila berjaya menghasilkan sesuatu filem yang kita rasa terbaik tetapi apabila bersaing di peringkat antarabangsa filem kita gagal. Atau dengan kata lain Malaysia hanya syok sendiri.

Filem ini pastinya menjadi filem yang terbaik jika tidak kerana kontroversinya. Jika pengarahnya diberi peluang untuk menyiapkan hasil kerja yang terganggu angkara karenah penerbit yang tidak tahu bagaimana membuat filem. Kreativiti dan ide Adman Salleh akan dapat membuahkan sesuatu yang cemerlang, jika kerja-kerja terdahulu dijadikan perbandingan.

Kredit Foto Laman Utama Paloh

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger