Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 18 November 2003

Sahabat Baru
grup pfs affening

Album Cover AFSudah agak lama saya tidak bercerita tentang apa yang berlaku dalam kehidupan saya di dalam weblog ini. Sejak akhir-akhir ini penulisan saya lebih menjurus kepada bidang ulasan. Beberapa tahun dahulu, saya menulis tentang kehidupan. Apa yang saya buat. Saya minum teh tarik dengan siapa. Saya mengamuk kerana beban kerja yang terlalu banyak. Merungut tentang kerja ProjectX yang tidak masuk akal serta aspek kehidupan yang sepatutnya menjadi rahsia tetapi didedahkan kepada umum. Oleh kerana ada masalah yang tidak dapat saya elakkan, saya mengambil cuti sabatikal selama beberapa bulan. Tidak menulis tentang apa-apa. Hidup jadi terlalu bosan. Lalu saya kembali menulis. Weblog saya mula dikenali kerana pengaruh Akademi Fantasia yang mula menular beberapa bulan yang lalu. Fenomena ini secara tidak langsung memberi kesan yang cukup besar kepada weblog saya. Saya ingin menarik perhatian anda, tentang bagaimana sebenarnya Akademi Fantasia telah memberikan saya peluang untuk bertemu beberapa sahabat baru. Pada mulanya saya agak keberatan untuk bertemu dengan mereka. Beberapa kali didesak agar hadir ke tempat mereka bertemu. Saya menolak. Sebenarnya saya juga telah dinasihatkan oleh salah seorang sahabat baik saya agar tidak bertemu dengan pembaca weblog kita sendiri. Katanya nanti lain jadinya. Saya merahsiakan perkara itu daripadanya sehinggalah hari ini.

Pertama kali saya “terpaksa” untuk bertemu dengan Vadx, salah seorang pembaca saya. Saya perlu memberikan kepadanya satu salinan CD yang mengandungi mp3 lagu-lagu yang dipetik dari Konsert 1 hingga Kemuncak Konsert Akademi Fantasia. CD tersebut perlu saya serahkan kepada beliau untuk dibuat salinan lalu diberikan kepada hampir 30 pembaca weblog saya yang selalu saya berbalas-balas email dan bersembang di tagboard. Lagu-lagu mp3 tersebut dirakam oleh mytipi juga salah seorang pembaca saya yang kini berada di Sarawak. Saya “terpaksa” juga bertemu dengan Vadx kerana salinan CD perlu dibuat dengan segera. Saya kira, koleksi mp3 yang ada pada kami adalah yang terlengkap di Malaysia. Mungkin tidak ada orang lain yang mempunyai koleksi selengkap kami. Tengahari itu, kami bertemu di sekitar tempat saya bekerja. Kami makan nasi ayam. Saya tidak banyak berbual dengan beliau ketika itu. Memang saya agak kekok kerana itulah pertama kali saya bertemu dengan pembaca saya. Saya agak gusar dengan penerimaannya. Saya memberikan CD tersebut kepadanya dan saya kembali ke pejabat.

Album Cover AFPertemuan kali kedua ini agak berbeza. Lebih ramai. Lelaki dan perempuan. Saya bertemu mereka buat kali pertama di Oren Kampung Baru. Sebenarnya kebanyakkan yang hadir pada malam itu bertemu buat pertama kali kecuali beberapa sahabat perempuan yang telah pun membuat temujanji sebelum itu untuk membeli-belah di waktu tengahari Jumaat. Saya sampai paling akhir, itu pun setelah Yeen menelefon bertanyakan tentang sama ada saya hadir atau tidak. Saya telefon Antu salah seorang pembaca lelaki bertanyakan sama ada beliau dalam perjalanan. Saya lebih selesa sekiranya beliau ada sekali. Minggu tersebut merupakan minggu yang tidak baik buat saya. Ayah dimasukkan ke hospital kerana diserang mild stroke. Oleh itu saya tidak banyak bergembira malam itu. Saya sarung baju Planet Hollywood London dan terus memandu ke Kampung Baru. Setibanya saya di Oren, saya masuk dengan agak gelabah juga. Saya berjalan dan terus bersalam dengan beberapa pembaca lelaki yang ada lalu duduk. Meja yang tadinya riuh-rendah tiba-tiba senyap. Saya buat muka selamba. Saya tidak banyak berbual malam itu. Hanya bercakap bila perlu. Mereka agak riuh juga mungkin kerana telah banyak kali bertemu. Malam itu ada Lanun, Yeen, LV, Izreen, Frodo, Aeryn, Kak Aidid dan adiknya Intan, Sempoii, Ymaulai, Kak Iffa dan suami serta Antu.

Pertemuan kali ketiga saya sudah mula mendapat sedikit kekuatan untuk membiasakan diri dengan keadaan tersebut. Kali ini perjumpaan itu dilakukan untuk meraikan Hari Lahir Frodo yang di buat di Sampan, Kampung Baru. Kali ini ia dihadiri oleh Lanun, Yeen serta 3 orang anak buahnya, LV, Vadx dan Yaya, Izreen, Antu, Frodo, Kak Aidid, Sempoii, Ymaulai, Kak Iffa dan suami serta Spiral.

Majlis Berbuka Puaka seperti kata Spiral dibuat di Istana Budaya. Tempat yang agak gah di mata masyarakat. Majlis itu dihadiri oleh Vads dan isteri serta anak, Lanun, Yeen, LV, Frodo, Sempoii, Ymaulai, Kak Iffa dan suami, Antu, Cqeng dan kawannya Ziq, Rzzlan serta Ted. Ramai juga yang ada. Termasuk juga yang membawa sekali KDN. Yang menarik malam itu tentunya baju Yeen yang sama dengan warna alas meja. Selepas selesai majlis berbuka, sessi bergambar yang tidak henti-henti di perkarangan Istana Budaya.

Album Cover AFMasing-masing ada perwatakan masing-masing. Itulah uniknya sahabat-sahabat baru saya ini. Lanun seperti contohnya merupakan perantara yang paling penting antara kami dengan budak-budak Akademi Fantasia. Beliau juga suka bercamping. Banyak juga maklumat yang kami peroleh daripada beliau. Yeen pula seorang yang gilakan camping. Beliau merupakan orang yang pertama saya beri nombor handphone saya. Izreen dan Yeen, saya pernah keliru yang mana satu Yeen, yang mana satu Izreen. Saya menghadapi masalah untuk mengingati nama orang mungkin. Frodo pula diibaratkan macam adik tiri kepada grup ini. Beliau sering dibuli terutamanya oleh Sempoii. Beliau akan jadi runner untuk menjadi penunjuk jalan. Esok lusa pula beliau akan menjadi pengangkut tong gas dan dapur. Kak Aidid, saya tidak pernah menyangka yang beliau mempunyai lima orang anak. Tetapi apabila bercakap tentang Akademi Fantasia, amat fasih. Beliau merupakan peminat Azizi yang amat fanatik. Sempoii merupakan kawan chatting bapa saya waktu malam-malam dan saya pernah bertemu dengan beliau sebelum Akademi Fantasia. Ymaulai, seorang yang agak pendiam. Saya tidak banyak bercakap dengan beliau. Beliau pernah menyaksikan acara yang dianjurkan oleh AGE iaitu Merdeka Anak Muda. Kak Iffa dan suaminya juga merupakan peminat Akademi Fantasia. LV tinggal sekampung dengan saya. Tetapi apabila tiba waktu pulang dari gathering saya akan memberi laluan kepada Lanun untuk menghantarnya pulang. Moga-moga weblog saya mendapat pahala kerana ada di antara mereka yang mendirikan masjid selepas itu. Vadx merupakan pembaca yang pertama saya jumpa. Sudah berkeluarga dan sering menghadapi masalah untuk mendapatkan permit dari Kementerian Dalam Negeri. Pertama kali bertemu Rzzlan ialah sewaktu di Istana Budaya untuk menyambut hari lahirnya. Itulah juga kali pertama beliau berjumpa dengan ahli-ahli yang lain. Tetapi layanannya mengejutkan umpama kita telah berjumpa beberapa kali. Saya bertemu dengan Ted pertama kali di Istana Budaya. Dah mula berjinak-jinak dengan blog dan mempunyai blog sendiri dalam bahasa Inggeris di ted.weblog. Tidak banyak yang saya tahu tentang Spiral. Hanya sempat bertemu di Sampan. Itu pun hanya untuk sebentar. Beliau ada blog sendiri di spiral.weblog. Saya fikir beliau sudah mula mendapat rentak penulisannya. Ulasan-ulasannya juga baik dan sering saya jadikan rujukan sebelum menonton filem ganas. Beliau sudah mendapat niche dalam bidang penulisan iaitu mengulas filem ganas. Antu merupakan seorang yang kuat merapu terutamanya apabila di tagboard mahupun di blog dan amat sesuai dengan nama gelarannya. Komen-komen beliau berunsur jenaka yang sinikal. Saya senang berYM dengan beliau.

Jangan dijentik sahabat baru saya ini, kerana saya akan mempertahankan mereka. Moga kita akan bertemu lagi di RTsm. InsyaAllah.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger