Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 01 January 2004

HAI/RIAS BATIK EXTRAVAGANZA
oleh:
Siti Rozaida Roslan
Unit Promosi di salah sebuah akhbar berbahasa Malaysia tempatan

BatikPerkarangan pusat membeli-belah Starhill di Bukit Bintang Kuala Lumpur bergemerlapan pada malam 21 Disember 2003 lalu. Bukan sekadar berkilauan dengan cahaya lampu dan hiasan warna-warni pokok krismas sempena Hari Krismas yang menjelang tiba, malah malam tersebut penuh bercahaya dengan bintang-bintang Akademi Fantasia yang cantik jelita iaitu Azza, Liza, Atie dan Nija. Barisan artis-artis popular yang berpenampilan menarik dengan gaya klasik, moden, etnik dan kontemporari kelihatan membuat catwalk di atas pentas peragaan yang dihias indah. Tubuh mereka mewah dibaluti fesyen pakaian berteraskan batik hasil rekaan pereka terkenal tanahair. Nama-nama pereka tersohor seperti Sharifah Kirana, Salikin Sidek, Dino, Adnan Hassan, Nor Aini Shariff (Jarumas), Meor Apparel, Kem Salleh dan Ashley (Kapas Couture) sudah tidak perlu diperkenalkan lagi.

HAI/RIAS Batik Extravaganza yang menghimpunkan artis-artis wanita popular tanahair ini dianjurkan bersempena acara Batik Extravaganza 2003. Batik Extravaganza merupakan salah satu acara bagi program Batik Malaysia-Ciptaan Untuk Dunia bermula 3 Disember 2003 hingga 10 Januari 2004. Objektif acara ini dianjurkan adalah bagi mengangkat martabat batik Malaysia ke peringkat kebangsaan sebelum menembusi pasaran antarabangsa. Secara tidak langsung, usaha sebegini mengiktiraf rekaan kreatif pereka fesyen tempatan yang menonjolkan himpunan ciptaan berteraskan seni corak batik.

Acara ini adalah atas inisiatif isteri Perdana Menteri Malaysia, YABhg Datin Paduka Seri Endon Mahmood, Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia merangkap Penaung Pergerakan Batik Malaysia-Ciptaan Untuk Dunia.

Majlis pelancaran Batik Extravaganza telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia dan isteri pada 3 Disember 2003 lalu, bertempat di Bintang Square, depan pusat membeli-belah Starhill.

Tepat jam 8 malam pada 21 Disember 2003, artis pujaan ramai, Fauziah Latiff tampil menghiburkan penonton dengan lagu ‘Manusia’ oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan sebuah lagu Inggeris ‘Remember Me This Way’ yang dipopularkan oleh Jordan Hill. Kemeriahan acara bertambah hangat dengan kemunculan 4 orang gadis berpakaian batik yang berwarna-warni menyanyikan lagu ‘Hanya Memuji’ dan ‘Sha Na Na’. Kemunculan mereka ini memang dinanti-nantikan oleh penonton memandangkan demam Akademi Fantasia masih belum reda. Ternyata program itu memang menjadi satu fenomena dalam industri seni hiburan tempatan apabila peminat-peminat mereka menjerit-jerit melaungkan nama Azza, Liza, Atie dan Nija.

BatikUsai persembahan nyanyian, pelajar-pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menguasai pentas dengan peragaan koleksi fesyen pakaian bermotifkan corak batik. Barisan 25 orang pelajar yang tidak kurang cantiknya, menghayun langkah penuh bergaya, mengalahkan model professional lagaknya.

Seterusnya, masa yang dinanti-nantikan, kemuncak acara malam itu dimulakan dengan Azza & Yuen (3R) yang memperagakan pakaian rekaan pereka terkenal Salikin Sidek. Ella yang selama ini berimej rock, muncul selepas itu dengan gaya manja dan liuk lentuk yang mempersonakan dalam busana istimewa koleksi Dino. Si tinggi lampai, Juliana Banos muncul penuh bergaya dan sopan dengan fesyen batik oleh Sharifah Kirana. Kartini (3R) nampak berseri-seri dengan busana merah hati bercorak batik, rekaan Nor Aini Shariff dari Jarumas. Atie muncul solo memperagaan koleksi Azizi dari Zizi Collection. Suasana malam dihangatkan lagi dengan kemunculan Liza dan Azah (3R) yang bergandingan menampilkan pakaian koleksi Adnan Hassan. Si kecil molek, Nija yang digelar ‘gadis rock’ waktu di Akademi Fantasia, tampak feminin dan rugged dengan seluar paras lulut dan baju merah yang agak terbuka di bahagian dada. Tidak lengkap rasanya sekiranya pakaian berimej wanita muslimah dipinggirkan. Artis baru, Bienda, gadis manis yang bertudung litup tampil di atas pentas dengan fesyen pakaian bercorak batik yang menepati ciri-ciri wanita Islam. Akhir sekali, Fauziah Latiff muncul lagi. Bukan menyanyi, sebaliknya kali ini beliau melakukan catwalk dengan penuh yakin. Agak seksi namun penampilan beliau menyerlah dengan gown batik paras lutut tanpa lengan, dihiasi selendang nipis di bahu. Sungguh mempersonakan, bagai tak percaya beliau sudah berumahtangga dan mempunyai 2 orang anak lelaki yang sudah besar!

Acara malam itu diakhiri dengan peragaan fesyen batik oleh Barakaff yang dijayakan oleh pelajar-pelajar UiTM. Sekali lagi, mereka tampil membuat catwalk sambil menari dengan diiringi alunan muzik yang menghiburkan.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger