Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 28 January 2004

TraumaTrauma
Permulaan Yang Baik Untuk Tahun 2004
Arahan : Aziz M. Osman
Pelakon : Amy Mastura, Nasha Aziz, Azhar Sulaiman dan Syarifah Aleya

Sinopsis
Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama Nurul (Amy Mastura) yang mengalami trauma untuk memandu kereta selepas dia terbabit dalam satu kemalangan jalan raya (baca: tempat letak kereta pusat membeli-belah). Bagaimanapun, adiknya, Nadia (Syarifah Aleya) serta teman lelakinya, Huzir (Azhar Sulaiman) banyak membantu memberi semangat serta sokongan supaya dia pulih sepenuhnya. Konflik filem ini bermula apabila Jeslina (Nasha Aziz), pembantu peribadi kepada Nurul yang baru dipilih, mencetuskan perbalahan antara Nurul, Nadia dan Huzir. Akibat percayakan kata-kata Jeslina, Nadia dan Huzir sanggup menghantar Nurul ke pusat rawatan psikologi di sebuah hospital sakit jiwa. Dalam diam, Huzir sudah terpikat pada Jeslina, sehinggakan keadaan menjadi tidak terkawal apabila Huzir membuat pengakuan mengenai hubungannya dengan Jeslina. Bahagian akhir filem ini memberi kejutan kerana ia akan menguji apakah Nurul boleh pulih daripada trauma bagi merungkai segala kekusutan serta konflik yang menyebabkan berlakunya hubungan renggang dengan adiknya.

Arahan
Trauma merupakan antara arahan terbaik garapan Aziz M. Osman selain Fenomena, Femina dan Leftenan Adnan. Filem ini juga merupakan filem thriller yang kedua oleh Aziz M. Osman setelah filem Fantasia yang dua tahun tersimpan sebelum dibenarkan tayangannya setelah dihalalkan oleh Lembaga Penapis Perfileman. Filem ini bermula dengan baik pada minit-minit awal tontonan, mendatar di pertengahan dan mencapai klimaks pada masa yang amat tepat. Dengan hanya menggunakan empat pelakon utama, karektor masing-masing menjadi kekuatan filem ini. Hubungan dan kaitan sesama mereka merungkai banyak persoalan dan permasalahan. Penuh dengan tipu muslihat, dendam, iri hati, kejujuran, simpati dan kasih sayang. Karektor masing-masing berbicara dan berkonflik sesama sendiri. Gandingan Aziz M. Osman dan Badaruddin Hj Azmi amat serasi dan telah menghasilkan satu kerja seni yang cemerlang.

Skrip/Lakon Layar/Suntingan/Sinematografi/Muzik
Skrip filem ini mudah. Dialog yang digunakan punya makna tersendiri untuk mengungkap setiap persoalan baik mahu pun buruk watak-watak yang dilakonkan oleh para pelakon. Kerja-kerja seni Pengarah Fotografi oleh Badaruddin Hj Azmi masih berbisa. Pergerakan kamera yang pantas serta suntingan yang dibuat cukup baik secara tidak langsung menghidupkan elemen thriller dalam filem ini. Dalam salah satu adegan, penggunaan kamera video digital, nightshot dan slow-motion telah merangsang adrenalin. Kerja kamera Bada ada unsur-unsur sama seperti filem The Eyes dan The Blair Witch Project yang mana pergerakan kameranya agak kelam-kabut serta menimbul rasa resah pada penonton. Kesan tatacahaya yang suram serta suntingan yang kemas dan pantas benar-benar meresahkan saya. Ia membuatkan saya memohon belas ihsan agar filem ini ditamatkan dengan segera. Adegan titisan darah yang menitis di atas roti serta lirikan mata Nasha amat cantik seninya. Namun demikian, adegan seperti Amy Mastura yang terbaring dengan darah mengalir di tepi tubuhnya boleh dibuat dengan lebih menarik dan menyuntik elemen thriller yang lebih baik apabila lantai tempat beliau baring bewarna cerah dan menampakkan warna darah dengan jelas. Banglo besar di tengah-tengah hutan walaupun signifikannya kurang jelas tetapi adegan seram yang berlaku di sekitarnya benar-benar menjadi. Tatabunyi oleh Azman Abu Hassan juga sesuai dan telah berjaya menghidupkan suasana seram dengan baik.

TraumaLakonan
Inilah kali pertama saya dapat melihat Amy Mastura memberikan sebuah lakonan yang amat cemerlang. Saya jelas simpati dengan nasib yang menimpanya. Ekspresi wajah beliau sebagai seorang yang dilanda trauma dan dugaan bertimpa-timpa yang melanda jelas menjadi.

Nasha Aziz sebagai Jeslina yang memegang watak seorang pendendam juga telah memberikan sebuah lakonan yang mampu membuka mata banyak pihak. Lirikan matanya serta gerak tangan beliau dibuat dengan penuh perasaan dan amat menarik. Mainan ekspresi wajah para pelakon sudah cukup memberikan elemen thriller dalam filem ini. Filem ini tidak memerlukan jeritan persis perempuan-perempuan gila arahan Prof A Razak Mohaideen untuk menyuntik elemen thriller. Cukup sekadar debar jantung, dengusan nafas dan ekspresi mata untuk membuatkan penonton mengharapkan cerita tiba ke penghujung dengan cepat.

Syarifah Aleya juga telah memberikan sebuah lakonan yang mantap dan saling melengkapkan hubungannya dengan Amy Mastura serta Nasha Aziz. Kekeliruan pada dirinya angkara tipu muslihat Nasha Aziz telah benar-benar menghidupkan wataknya melalui ekspresi wajahnya. Namun demikian, karisma Azhar Sulaiman sebagai seorang lelaki dalam filem ini agak kurang terserlah. Walaupun muncul menjadi hero di penamat filem ini, kredibiliti beliau sebagai seorang lelaki yang pada mulanya penyayang serta bertanggungjawab tetapi berubah menjadi seorang yang mudah terpedaya, cepat tergoda dan tanpa mahu berfikir panjang agak rapuh.

Selesai menonton, saya pulang dengan puas. Bukan kerana adegan sensual penuh erotik antara Nasha dan Azhar Sulaiman tetapi puas menonton sebuah filem thriller Melayu yang berada di kelasnya yang tersendiri. Jika saya mahu membandingkan filem ini dengan Mistik terlalu jauh perbandingan yang perlu saya berikan walaupun Mistik dihasilkan oleh seorang Profesor filem Melayu dan Trauma hanya dihasilkan melalui pengalaman sebagai anak seni yang darahnya mengalir darah seni. Lebih menjadi kerja seni Aziz M. Osman. Trauma merupakan sebuah filem yang muncul tepat pada masanya. Kes-kes rogol yang terjadi masa kini sedikit sebanyak mampu menyebabkan kesan trauma kepada keluarga mangsa. Kali pertama melihat kemunculan Nasha di layar, saya sudah dapat mengagak beliau mempunyai hubungan dengan si mati yang dilanggar oleh Amy Mastura. Itu sudah pasti. Dendam manusia memang tidak pernah padam. Segala persoalan terungkai di penghujung cerita apabila flashback dipertontonkan. Timbul rasa simpati saya kepada Nasha Aziz.

Syabas saya ucapkan kepada Aziz M. Osman yang telah membawa wajah baru kepada sebuah filem Melayu. Kepada pembaca, berhati-hati apabila berjalan di tempat letak kereta pusat membeli-belah. Pandang kiri dan kanan apabila melintas. Kepada yang memandu kereta, sila ikut tanda arah anak panah di laluan tempat letak kereta tersebut.

Rating : 3.5/5 bintang

Rujukan :
Hubungi Aziz M. Osman
Aziz M. Osman Who ?
Ulasan di BiPop Berita Minggu
Filem Kita
Cinema Online

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger