Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 07 March 2004

Wawancara bersama Rudy, bluehikari.com
Wawancara bersama Rudy, bluehikari.com oleh sultanmuzaffar

bluehikari

Siapa beliau di mata saya ? Blog beliau merupakan blog Melayu pertama yang saya temui. Secara tidak sengaja. Dan dari situ juga saya mengenali gengjurnal.net, maka terlahir sultanmuzaffar juga secara tidak sengaja. Pertemuan dengan gengjurnal.net membuka mata saya serta mencetus minat saya untuk turut sama mempunyai blog sendiri. Setelah membaca bluehikari.com, Rudy secara tidak langsung menjadi sifu saya untuk menulis. Membaca perjalanan hidup orang yang tidak pernah saya kenali merupakan satu pengalaman yang amat berbeza. Dari blog saya mengenali beliau. Blog tersebut merupakan pemenang sulung Anugerah Weblog Terbaik. Pada sesetengah orang, tulisan beliau menyuntik sedikit semangat, pada sesetengah orang yang lain, tulisan beliau hanyalah luahan perasaan serta bebelan yang tidak perlu kita ambil peduli. Yang saya perasan kini, seni fotografi yang ada pada mata beliau amat jarang dapat kita lihat hasilnya. Sibuk mungkin ! Ikuti wawancara email saya dengan beliau, Rudy, Bluehikari.com.

Tentang Diri

SM: Boleh saudara perkenalkan diri saudara kepada para pembaca? Ceritakan serba sedikit tentang diri saudara, sebagai contoh; tempat di mana saudara dilahirkan, umur dan di mana saudara telah dididik satu ketika dahulu.

RB: Rudy Bluehikari adalah nama yang saya gunakan sejak mengenal dunia internet. Saya agak lewat mengenal internet walaupun sudah diliterasikan dengan penggunaan komputer sejak di tingkatan satu. Saya merangkak tahu internet melalui chat di alamak.com semasa di tahun pertama pengajian di Fukushima Jepun.

SM: Boleh saudara ceritakan rutin kehidupan anda ?

RB: Bangun awal pagi, balik lewat petang? Workaholic-kah saya? (Ketawa)

SM: Siapakah tokoh yang anda kagumi menurut pendapat saudara?

RB: Pedulikkan tentang perkara peribadi dan cakap-cakap buruk tentang beliau. Tun Dr. Mahathir adalah tokoh yang saya segani. Seorang pemimpin yang telah memacu kejayaan dan kemajuan negara. Saya juga salah seorang produk yang dilahirkan oleh buah fikiran beliau iaitu Dasar Pandang Ke Timur.

Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pula seorang pemimpin yang berkarisma walaupun digembar-gemburkan seorang yang terlalu berlembut dan lemah. Saya berharap beliau mampu mentadbir negara lebih-lebih lagi beliau seorang bekas pegawai tinggi kerajaan sebelum meletak jawatan dan aktif dalam parti.

Selain itu, saya juga menghormati Tan Sri Lee Lam Thye. Seorang aktivis masyarakat walaupun pernah menjadi seorang wakil rakyat DAP sebelum beliau meletakkan jawatan akibat ditikam dari belakang. Pendekatan beliau sangat sederhana dan wujud keharmonian dalam masyarakat kita yang berbilang bangsa.

SM: Apakah warna kegemaran anda dan tentu ada cerita di sebaliknya ?

RB: Biru. Bukan sebab saya ini fanatik Gelombang Biru. Saya pun tak tahu apa sebabnya. Malah nama weblog saya BLUEHIKARI juga inisiatif dari warna kegemaran itu.

SM: Apakah buku yang benar-benar ingin anda miliki ataupun yang telah anda miliki ? Mengapa?

RB: Saya ingin mempunyai koleksi majalah sastera dan buku-buku karya Penyair tanahair. Saya gemar membaca dan menulis puisi dan haiku. Jadi saya jadikan mereka benchmark untuk saya tulis puisi-puisi bermutu untuk terbitan media. Setakat ini puisi saya pernah terbit di beberapa media cetak perdana tempatan. Manakala saya sudah ada dua buah buku antologi puisi bersama yang diterbit dan diselenggarakan oleh dua orang penyair terkenal. InsyaAllah tahun 2004 ini akan ada antologi bersama lain saya yang akan terbit.

Selain itu saya juga berminat untuk mengumpul koleksi majalah dan buku-buku hiasan dalaman. Majalah yang saya langgani sejak pulang ke tanahair ialah Impiana dan Anjung Seri. Mahu beli buku-buku berkaitan memang saya tak mampu, tapi memadai dengan majalah yang agak murah tetapi bermutu.

SM: Apakah rancangan TV yang paling ingin anda sertai ?

RB: Setakat ini tiada. Kalau adapun itu hanya kebetulan selepas dipanggil menghadiri audition untuk minggu tema Jepun dalam Roda Impian Musim Kelapan. Saya aktif dalam Alumni Look East Policy dan nama saya antara yang dicalonkan persatuan untuk menghadiri audition atas jemputan ASTRO.

Saya masuk secara suka-suka dan tidak serius tapi Allah berikan saya peluang berjaya hingga memasuki Juara Tahunan meskipun hanya sekadar menduduki tempat ketiga. Kutipan sepanjang permainan itu sudah lebih cukup untuk belanja kawin saya! (Ketawa)

SM: Dalam satu patah perkataan, jelaskan personaliti anda ?

RB: Friendly?

SM: Apakah perkara paling nakal pernah anda lakukan sewaktu zaman remaja anda ?

RB: Mandi lombong tanpa pengetahuan Mak? (Kalau Mak tahu sure disesahnya!)

SM: Apakah filem Melayu yang pernah anda tonton lebih dari sekali ? Jika ada. Jika tiada, mengapa ?

RB: Tiada. Sebenarnya, saya kurang menggemari filem Melayu. Anda sendiri tahu mengapa saya berkata demikian. Cuma satu filem Melayu yang saya sanjung dan tiada tandingan sehingga kini. Iaitu Layar Lara karya Shuhaimi Baba. Dan itulah kali pertama saya pergi menonton wayang.

Tentang Weblog

SM: Apakah definisi sebuah blog yang tidak bagus ?

RB: Bukan tidak bagus. Tetapi mungkin sudah cara itu mereka menulis. Sejujurnya, saya kurang gemar blog yang hanya menceritakan rutin hidup. Bangun pagi gosok gigi, mandi pagi, pergi sana pergi sini. Fuh! Selalunya saya terus close window weblog tersebut cepat-cepat. Boleh menceritakan rutin hidup tapi biarlah ada sesuatu yang boleh difikirkan. Saya suka penulisan yang punya dua lapis makna. Suratan yang dibaca tetapi ada unsur siratan yang tak diduga dan dimanfaatkan untuk difikirkan bersama.

SM: Apakah yang mendorong anda menulis blog ? Bagaimana pula saudara memulakan projek blog saudara?

RB: Saya menulis kerana saya mahu luahkan tekanan yang dihadapi selepas diduga Tuhan dengan sakit di tahun akhir pengajian di Jepun. Saya menemui Blog Sera dan Nettbiru dan membaca kisah mereka sebelum mengambil keputusan menulis seperti mereka.

Tahun akhir pengajian itu saya berulang-alik Jepun-Malaysia sebanyak tiga kali. Habis duit simpanan puluh ribu untuk tambang kapal terbang dan belanja rawatan di Malaysia. Sakit yang didominasikan ilmu hitam ini tidak nampak. Doktor Pakar sahkan saya sihat. Saya masih menjalani rawatan sehingga kini. Mungkin selagi saya tidak mati, selagi itu agaknya ilmu itu dituju kepada saya. Sebabnya? Saya sendiri tidak pasti. Mungkin cemburu dan irihati saya ke luar negeri? Entahlah. Saya tak mahu dan tidak akan membalas kerana hanya Allah yang berhak untuk melakukan segala-galanya. Kalaupun saya mati, saya redha sebab semuanya dengan keizinan DIA.

Saya mulakan blog di livejournal.com sebelum berpindah ke geocities.com dengan rekabentuk simple dan mudah yang mana saya bangunkan sendiri dan kekalkan sehingga kini. Sebab apa? Entah. Mungkin sebab serasi.

SM: Apakah misi blog saudara yang sudah tercapai ? Anda puas hati ?

RB: Alhamdulillah. Tahun 2004 adalah tahun keempat Bluehikari dionlinekan. Berat badan saya masa sakit tempoh hari susut hingga 30 kilogram. Pernah satu tahap, saya hanya mampu terbaring di ranjang. Pernah dialunkan Yassin ke telinga sebab sudah terlalu lemah untuk meneruskan hidup. Ya, saya pernah putus-asa dengan hidup bila diduga Tuhan sakit sebegitu teruk.

Tapi saya mula bangkit mendepani kesukaran itu bila mendapat emel dan sokongan moral sahabat di Buku Tamu Bluehikari. Dari situ saya melihat keberkesanan mesej sahabat itu dalam mencari kekuatan diri. Tahun 2000, 2001 dan sehingga pertengahan 2002 adalah tahun paling derita. Bermula dengan sakit, kemudian tiada pekerjaan tetap dan putus cinta. Semuanya dalam waktu yang sama. Perit tapi itulah kenyataan.

Ya, saya terhutang nyawa dengan semua hampir 8000 mesej sahabat di Buku Tamu Bluehikari. Hanya Allah yang boleh membalas kebaikan mereka. Syukur meski masih tidak sihat sepenuhnya, saya dikurniakan kehidupan yang jauh lebih baik dari dulu. Berat saya pun sudah menghampiri 70 kilogram!

SM: Sehingga kini, teknologi blog semakin berkembang. Blog sudah boleh dikemaskinikan menggunakan handphone dengan gambar-gambar yang dirakam dari handphone dan sebagainya. Fotopages contohnya. Secara tidak langsung membuatkan blog yang ada di blogspot, geocities, tripod nampak terkebelakang dari segi teknologi. Apa pendapat anda ?

RB: Bagi saya bukan teknologi yang penting. Tetapi pengisian dari tulisan itu yang maha penting. Untuk apa blog sarat dengan teknologi sedangkan akhirnya tiada yang boleh diambil iktibar dalam penulisan itu. Saya senang dengan blog yang simple, tidak terlalu berat untuk proses loading. Pendek kata kena mesra pengguna.

SM: Apakah aspek yang paling mencabar dalam menguruskan blog anda?

RB: Mungkin desakan pembaca yag mahu saya cepat update. Dulu saya boleh update setiap hari. Dulu saya tak punya tanggungjawba berat kerana kerja saya tidak tetap dan saya memang memerlukan Bluehikari untuk proses perawatan diri. Tapi sekarang bila sudah berkerjaya tetap, Alhamdulillah kesihatan semakin baik, kemudian dilempar pula kerja bertimbun saya sudah mula ponteng menulis walaupun sarat idea di kepala. Saya kena utamakan kerja yang menjadi sumber rezeki saya sebelum melakukan perkara yang selainnya.

SM: Apa makna bluehikari ?

RB: Cahaya Biru. Gabungan dua bahasa; Inggeris dan Jepun.

SM: Terus terang saya katakan, saya jarang membaca blog yang bersifat jurnal kecuali jika blog tersebut mempunyai cerita-cerita niche yang mampu membuatkan pembaca mengikutinya setiap hari. Blog anda ada niche itu. Pembaca anda sentiasa mengambil berat tentang kehidupan anda. Anda selesa ? Siapakah mereka ?

RB: Sejujurnya saya rasa selesa. Tetapi seperti kata Kak Max dalam temuramah di Majalah I-Remaja, tidak semua perkara kita boleh cerita dalam blog tersebut. Kita kena jadi Lembaga Penapis sendiri. Dulu saya agak terbuka menyiarkan nama, tempat dan gambar secara bebas. Tetapi sejak kebelakangan ini, saya mula merahsiakan identiti supaya tidak menjadi terlalu dikenali. Pengalaman menjadi mangsa stalker semasa di Jepun dulu cukup menakutkan. Malah, saya kena fikir juga kedudukan kerjaya juga. Saya tidak mahu blog ini menjadi senjata untuk orang lain menembak saya dari belakang. Busuk hati antara penyakit bangsa kita yang sukar diubati.

SM: Blog anda telah memberi semangat kepada pembaca lain untuk terus berjuang sekiranya ada di antara mereka yang gagal. Anda gembira dengan perkembangan tersebut ?

RB: Alhamdulillah. Segala puji bagi DIA, Tuhan sekelian alam. Niat saya hanya satu, mahu balas budi sahabat yang pernah saya pinjam kekuatan mereka dahulu. Jadi kerana itu saya mahu pinjamkan kekuatan yang ada di Bluehikari untuk mereka yang memerlukan. Saya pernah menutup Bluehikari suatu masa dulu. Saya akui itu satu tindakan bodoh kerana ia bagai menutup server yang sedang digunakan orang lain yang amat memerlukan. Saya terlupa Bluehikari menjadi medan bacaan pelbagai lapis sahabat yang mungkin menhadapi masalah hidup.

Soalan ini mengingatkan saya kepada Rin, salah seorang pembaca Bluehikari yang menderita barah otak. Alhamdulillah, dia masih dipanjangkan umur meskipun dikhabarkan Doktor yang hidupnya tidak panjang beberapa bulan sebelum dia menemui Bluehikari di internet. Menurutnya selepas melayari Bluehikari dia bagai dapat kekuatan untuk mendepani kenyataan hidup. Khabar terakhir yang saya terima, dia sudah mendirikan rmahtangga dan punya seorang bayi perempuan yang comel. Saya harap jawapan ini bukan bermaksud untuk masuk bakul angkat sendiri. Tetapi sebagai pembina semangat untuk saya terus diberi kekuatan Tuhan untuk menulis.

SM: Boleh anda ceritakan pengalaman paling ngeri ketika anda melawan penyakit anda ?

RB: Pengalaman paling ngeri bila saya muntah darah, miang buluh, serbuk kaca, dan keluar jarum dari badan semasa menjalani rawatan dengan seorang ustaz. Sakitnya MasyaAllah. Kalau sakit sebegitu saya sudah melolong, saya tak dapat bayangkan pula saat Izrail menarik nyawa kita nanti! MasyaAllah gerunnya!

SM: Budaya cut & paste yang mudah apabila menggunakan komputer semakin menular. Adakah anda merasa tercabar apabila artikel atau tulisan anda diciplak ?

RB: Siapa tak tercabar. Saya cuba buat sesuatu dengan membuat protection supaya tidak boleh right click walaupun saya tahu cara itu juga ada kelemahannya. Apa yang penting saya usaha. Kemudian saya berserah kepada Allah sahaja. Apa yang penting saya ikhlas menulis demi membantu sahabat. Juga sebagai medan saya meluahkan perasaan serta tekanan.

SM: Pernahkah anda diekori oleh peminat anda ? Jika belum, inginkah anda diekori oleh peminat anda ?

RB: Peminat? Saya suka menggunakan perkataan “Pembaca” atau “Pengunjung” kerana saya bukan artis. Saya cuma manusia biasa. Lagipun saya menulis bukan nak cari glamour. Sejujurnya pernah. Sudah beberapa kali saya tukar nombor telefon. Tapi biarlah cerita itu mati di sini. (ketawa).

SM: Adakah anda suka apabila dikenali di khalayak umum ?

RB: Kalau boleh tak mahu dikenali di khalayak. Saya akan rasa canggung dan semuanya seperti kekok. Bila berkeadaan begitu saya tak boleh jadi diri saya yang sebenar.

SM: Apakah kegunaan e-book memudahkan pembacaan blog atau sekadar syok sendiri ?

RB: Terpulang kepada individu. Ia memudahkan sahabat yang terhad penggunaan internet. Tidak membazir wang bagi mereka yang terpaksa duduk berjam-jam depan komputer hanya untuk membaca catatan yang lepas. Saya bangunkan ia sebagai sumber simpanan saya sendiri. Manalah tahu satu hari nanti geocities.com tidak boleh memberikan khidmat percuma lagi?

Gengjurnal.net

SM: Apakah misi Geng Jurnal sewaktu anda menerajui kepimpinannya?

RB: Saya hanya membantu Presiden (Mie) masa itu merealisasikan wawasannya. Pada waktu itu, saya cuma berharap agar ahli-ahli GJ disatukan di bawah bumbung. GJ sangat istimewa kerana ahli-ahlinya menjadi rapat seperti adik-beradik kerana penulisan mereka diblog masing-masing. Ia berbeza dengan konsep komuniti yang banyak dibangunkan di internet.

SM: Sepuluh tahun akan datang, di mana anda ingin lihat gengjurnal.net berada ?

RB: Saya harap GJ akan lebih terkehadapan pada masa depan. Mungkin sebuah badan NGO yang bebas bersuara tanpa mengenepikan nilai perpaduan bangsa Malaysia. Saya tak mahu GJ dipengaruhi unsur politik kepartian. Ahli GJ berbeza latar belakang. Ada penyokong dan pembangkang kerajaan. Mungkin tak sehaluan tetapi saya percaya ada titik penyambung antara seliratan benang-benang kemanusiaan.

SM: Anda berada di Jepun agak lama. Sudah tentu terlalu banyak pengalaman yang anda dapat. Pernahkah anda berada di dalam gempa bumi ?

RB: Selalu juga. Tetapi tidak terlalu kuat. Ada sekali bangunan apartmen saya bergoyang bagai ditiup angin. Masa itu saya dah kecut. Baru terbit rasa syukur dilahirkan di Malaysia. Negara yang macamana lagi yang mahu kalian tinggal selain Malaysia? Hujan batu di negeri sendiri kata orang.

SM: Negara manakah yang belum saudara lawati tetapi ingin saudara lawati dan kenali dengan lebih mendalam.

RB: Banyak lagi Negara yang belum saya lawati. Saya tidak suka naik kapal terbang dalam waktu yang melebihi 7 jam. Hanya duduk, duduk, duduk dan duduk. Saya tak boleh tidur dalam kapal terbang. Tak tahu kenapa. Mungkin pengalaman ngeri air pocket (hingga melambung makanan yang terhidang) sebanyak dua kali di ruang udara Taiwan dan Filipina semasa dua kali pulang bercuti di Malaysia menyebabkan rasa pobia itu.

Selain Mekah, Vienna, Austria antara tempat yang ingin saya jejaki. Mungkin saya terdetik dari cerita-cerita Muringwien tentang Vienna kota sejarah dan kebudayaan dalam blog tulisannya.

SM: Katakanlah saudara terdampar di sebuah pulau di tengah2 sebuah lautan luas. Anda boleh pilih seorang individu yang akan menemani saudara. Siapakah individu tersebut.

RB: Saya nak bawa individu-tidak bernyawa. Saya cuma mahu bawa laptop dengan kemudahan internet tanpa palam. Saya tidak boleh hidup tanpa internet dalam satu hari pun. Itu perkara benar yang saya lalui. Ketagihkah saya?

SM: Dalam masa 20 tahun, dalam fikiran saudara, apa agaknya yang akan saudara lakukan nanti?

RB: Mungkin masih sebagai Pegawai Kerajaan tetapi dengan gred jawatan yang lebih tinggi? Apa Wakil Rakyat? Jauh panggang dari api. Tapi tak siapapun tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

Nota: Minggu hadapan saya akan siarkan Wawancara saya dengan Fajar. Saya amat berbesar hati dapat menemuramah tiga orang pemenang Anugerah Weblog Terbaik Gengjurnal.net.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger