Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 24 May 2004

Konsert Gemilang Cahaya Akademi Fantasia

Akhirnya selesai sudah persembahan gabungan graduan Akademi Fantasia Malaysia dan Akademi Fantasi Indosiar berlangsung di Jakarta. Siti Nurhaliza turut serta tampil sebagai artis undangan. Akademi Fantasia diwakili oleh Top 5 bukan pilihan rakyat Malaysia sebaliknya diwakili oleh Top 5 pilihan Indosiar, khabarnya. Jika diteliti dari senarai Top 5 Malaysia tentulah ia merupakan Top 5 yang sebenar-benarnya. Vince, Khai, Azizi, Sahri dan Rosma merupakan Top 5 yang sepatutnya dipilih ke Konsert Final. Ahh, perkara sudah lepas. Tidak perlu diungkit-ungkit. Pilihan masing-masing. Rakyat Malaysia punya selera masing-masing.

Vince, Khai, Azizi, Sahri dan Rosma terbang ke kota Jakarta membawa nama Malaysia di bahu mereka.

disclaimer: Persediaan yang singkat. Mereka diberi masa empat hari untuk menghafal lagu tanpa diberikan cd lagu tersebut. Ada di antara mereka perlu menghafal lima lagu. Satu cabaran yang hebat buat rakyat Malaysia. Bukan mudah nak jadi artis dik ! Malaysia Boleh !

Persembahan Pembukaan
Saya suka dengan rekaan pentas yang ada di dewan tersebut. Sejak akhir-akhir ini, rekaan pentas yang memungkin sebilangan penonton berada di dalam pentas semakin popular. Secara tidak langsung interaksi penyanyi dan penonton dapat ditingkatkan. Pentas-pentas sebegini seringkali kita lihat untuk Anugerah MTV dan beberapa anugerah di barat. Di Malaysia, seingat saya pertama kali ia diperkenalkan adalah sewaktu Anugerah ERA.

Orkestra
Penggunaan orkestra merupakan satu peluang yang besar diterima oleh graduan AF. Bukan calang-calang artis berpeluang untuk menyanyi dengan diiringi oleh orkestra secara live. Peluang sebegini patut dipergunakan sepenuhnya.

Namun demikian, persembahan pembukaan kurang memberi impak kepada penonton, baik di dewan mahu pun di rumah. Suasana yang tidak meriah.

Veri Kia Dicky Romi Smile (Terbang) 2/5 bintang
Mereka membawakan lagu Terbang. Mereka tampil dengan pakaian warna putih lengkap bersayap amat menarik. Persembahan vokal mereka masih belum dapat dilihat kecemerlangan sebenarnya.

Mawar, Rini, Icha, Hera, Lastmu, Yeni (Optimis) 3.5/5 bintang
Saya suka dengan persembahan mereka. Vokal graduan wanita AFI nampaknya lebih hebat berbanding graduan lelaki. Koreograf tarian mereka juga menarik kerana saya dapat melihat sebuah koreograf yang berbeza dari apa yang biasa saya lihat di AF. Vokal mereka juga harmoni dan secara langsung amat hebat.

Konsert selama hampir 3 jam setengah itu telah dikendalikan oleh pengacara Udjo P Project dan Cut Mini. Agak terkilan kerana Pengacara sebenar AFI dan AF iaitu Adi Nugroho dan Aznil Nawawi tidak terpilih untuk mengacara rancangan ini.

Smile Rini (Kibar Kreasi) 3/5 bintang
Lagu Kibar Kreasi terkandung di dalam album Akademi Fantasi yang dinyanyikan oleh mereka berdua. Sekali lagi vokal Rini jauh lebih hebat daripada vokal Smile. Saya suka kolaborasi mereka. Ada keserasian.

Graduan AFI (Ekspresi) 4/5 bintang
Saya suka dengan persembahan ini kerana koreografnya menarik. Selain daripada vokal mereka yang agak harmoni dan sedap didengar.

Salah satu aspek yang menyebabkan saya tidak suka dengan Konsert Gemilang Cahaya adalah kerana pencahayaannya yang terlampau terang terutama pada shot yang jauh lalu mewujudkan silau pada penyanyi.

Pergerakan kamera yang kelam-kabut juga mencacatkan hampir keseluruhan konsert ini. Saya menonton konsert ini adalah kerana ingin menikmati nyanyian dari penyanyinya bukannya ingin melihat penonton-penontonnya. Jika saya ingin melihat penontonnya, saya boleh pergi ke Chow Kit Road setiap petang Ahad, sudah pasti ramai yang berkumpul di situ.

Kia (Harus Sampai Di Sini) 4/5 bintang
Saya kira beliau merupakan antara Top 5 AFI. Kehebatan vokal beliau terbukti malam tadi. Beliau menyanyi dengan penuh perasaan. Lagu tersebut merupakan ciptaan Glenn. Oleh kerana beliau menggunakan minus one dan tidak menggunakan muzik iringan live, saya telah menuduh beliau miming. Saya tidak dapat membuktikan. Nyanyian beliau sungguh sempurna. Sama seperti CD.

Mawar & Rini (Medley Cinta – Demi Cintaku-Indah Cinta) 3/5 bintang
Mawar lebih hebat daripada Rini yang sememang sudah bagus. Muzik iringan string sungguh mengkagumkan.

Kia, Rini, Rosma dan Vince (Begitulah Cinta) 2/5 bintang
Saya suka dengan penampilan Rosma. Nampak macam anak patung. Not bad ! Persembahan mereka agak tidak berapa baik. Keharmonian vokal mereka tidak cocok. Vokal Rosma pada bahagian rendah agak kurang menyengat berbeza pada bahagian tinggi. Berbanding vokal Rini yang menunjukkan kehebatannya di bahagian tinggi. Begitu juga Vince. Beliau tidak sehebat Rini. Tiada interaksi antara Vince dan Rini. Rini cuba berinteraksi tetapi tiada respon dari Vince.

Yeni, Lastmi dan Hera (Arti Mencinta) 4/5 bintang
Menggunakan konsep kabaret, vokal penyanyinya telah dipersembahkan dengan cemerlang. Ada idea kreatif untuk mewujudkan suasana kabaret di pentas dan koreograf mempunyai unsur-unsur kabaret. Persembahan vokal mereka begitu cemerlang.

Khai (Sephia) 1/5 bintang
Persembahan Khai amat mendatar. Vokal beliau tidak seimbang dengan muzik orkestra. Khai seakan-akan tidak bertenaga. Membawakan lagu Sephia memerlukan konsentrasi yang baik terutamanya pada bahagian rendah. Lagu tersebut agak monotone dan Khai gagal memanafaatkan peluang yang diberikan dengan baik. Beliau sepatutnya memilih lagu yang lebih sesuai dengan jiwa beliau. Aladdin contohnya. Saya takut sekiranya album Khai dibawa ke Indonesia, tiada siapa yang beli angkara sambutan penonton terhadap persembahan Khai malam itu memang dingin. Beliau berusaha keras untuk menjerit di penghujung lagu macam yang dilakukan sewaktu Konsert Final, tetapi tidak mendapat respon penonton. Malu !

Smile, Icha, Vince dan Azizi (Stand By Me) 4.5/5 bintang
Antara persembahan terbaik malam itu. Smile mempunyai mutu vokal yang superb. Vince agak selamba dengan lagu ini. Beliau menyanyi dengan konfiden. Azizi seperti biasa menyanyi dengan penuh perasaan. Icha berjaya mencuri tumpuan dengan vokal yang mantap.

Hera, Lastmi, Yeni, Rini dan Mawar (Bohong) 4/5 bintang
Vokal yang baik serta showmanship yang hebat. Selepas beberapa jam menonton konsert ini, saya harus memberikan pujian setinggi langit kepada graduan wanita AFI. Kehebatan vokal mereka benar-benar mengkagumkan.

Graduan Akademi Fantasia Malaysia 3.5/5 bintang
Summer’s Night
You’re The One That I Want
Rosma merupakan key player untuk lagu Summer’s Night. Persembahan Sahri agak superb untuk lagu You’re The One That I Want. Rosma telah memberikan showmanship yang superb. Stage presence beliau agak hebat. Showmanship Azizi juga agak baik untuk menutup beberapa kesilapan pada nyanyian.

Kia dan Romi (Cintaku) 5/5 bintang
Hebat ! Vocal mereka serasi !

Icha, Rini, Mawar dan Vince (You’ve Got A Friend) 3.5/5 bintang
Hampir tenggelam vocal Vince apabila menyanyi bersama Icha, Rini dan Mawar. Mereka menyanyikan lagu You’ve Got A Friend. Mawar paling menyerlah dalam persembahan tersebut.

Graduan AF Malaysia (Khayalan) 4/5 bintang
Lagu Khayalan adalah lagu berhantu AF. Rosma menyanyi rap untuk lagu ini. Lagu ini kalau ada yang silap juga, tidak tahu lah. Koreograf biasa tetapi menarik.

Azizi (She Bangs) 4/5 bintang
Sebuah persembahan yang OK. Showmanship mantap. Beliau mempunyai mutu vokal yang hebat. Langkah bijak dengan menyanyikan lagu yang sudah biasa dinyanyikan.

Vince (Bunyi Gitar dan Dara Manisku) 3/5 bintang
Bunyi Gitar dengan susunan muzik yang baru.Hampir mencacatkan lagu ciptaan P.Ramlee. Persembahan Vince di Konsert AF lebih baik dari persembahan malam tadi. Persembahan Dara Manisku juga biasa sahaja. Sambutan penonton terhadap Vince sekurang-kurangnya ada. Ada juga yang bersorak melihat kemunculan beliau.

Mawar (Eternal Flame) 4.5/5 bintang
Vokal Mawar sungguh superb !

Mawar, Rosma dan Siti Nurhaliza (Menghitung Hari) 5/5 bintang
Gila best ! Persembahan Menghitung Hari sememangnya hebat. Siti Nurhaliza dan Mawar banyak menguasai persembahan. Namun demikian Rosma tetap hebat. Nasib baik dibawa Rosma, bayangkan AF Malaysia terbang ke Indonesia tanpa Rosma. Siapakah yang layak membawa lagu Menghitung Hari selain Rosma ? Nana ? Oh Tidak !, Liza ? No No No ! Nija ? Oh Tidak !, Azza ? Mungkin tidak ! Atie ? No Way !

Rini (Kupu Kupu) 5/5 bintang
Hebat ! Saya memang menyukai lagu ini, dendangan asal Melly. Rini membawakan lagu ini dengan cemerlang walaupun imej Melly masih tebal pada lagu tersebut.

Kia, Smile, Azizi dan Vince (I Have A Dream) 3/5 bintang
Lagu ini dinyanyikan sambil diiringi dengan bahasa isyarat. Sebuah persembahan yang biasa.

Siti Nurhaliza
Inilah baru penghibur dari Malaysia. Hampir 3 jam menunggu untuk melihat kemunculan Siti Nurhaliza.

Bukan Cinta Biasa
Siapa yang mampu menandingi beliau. Dengan selamba beliau menarik lagu tersebut ke bahagian paling tinggi. Jarang kita melihat Amien Rais tersenyum, sewaktu persembahan Siti beliau tersenyum.

Seindah Biasa
Sebuah lagu baru. Beliau menyanyikannya dengan cemerlang. Hebat !

Sahri Rini (Nada Kasih) 2/5 bintang
Nada rendah Sahri tidak sampai pada lagu tersebut. Lagu yang tidak sesuai untuk Sahri. Vokal Rini melangkaui kehebatan vokal sebenar Sahri. Harus memilih lagu yang lebih sesuai.

Grammy Awards pun tak lama macam Konsert Gemilang Cahaya. Letihnya nak tunggu tamat.

Siti Nurhaliza
Wow ! Siti mendendangkan lagu Greatest Love Of All. Nyanyian beliau hebat. Sebutan beliau juga hebat. Tapi…..Baju macam nyonya hendak pergi pasar. Mungkin dibeli di Taiwan. Style rambut yang agak serabut macam nyonya baru bangun tidur pagi. Siti memerlukan perunding imej yang lebih baik di masa akan datang. Baju pink tersebut tidak kena langsung dengan Siti. Beliau perlu menampilkan imej yang agak elegan pada malam tersebut. Lebih manis dipandang.

Menuju Puncak
Bukankah lebih baik sekiranya Siti Nurhaliza turut sama dalam lagu ini. Sebuah persembahan yang baik. Pada persembahan ini saya dapat melihat perbezaan koreografi lagu Menuju Puncak. Saya nampak jelas perbezaannya. Saya kira koreografi untuk AFI lebih sukar daripada AF.

Secara keseluruhan, Konsert Gemilang Cahaya hanya sekadar teaser untuk Akademi Fantasia II. Tidak banyak perubahan yang dapat dilihat. Masih di takuk lama. Menunggu agak lama sehingga konsert tamat. Sebuah persembahan yang baik tentunya tidak terasa masa berlalu, tetapi tidak untuk Konsert ini. Tanpa Siti Nurhaliza, saya malu untuk mengaku seorang rakyat Malaysia.

Buat graduan Akademi Fantasia,
Pastikan persembahan yang terbaik di Konsert Tour Siti Nurhaliza dan Akademi Fantasia akan datang. Itu cabaran yang besar buat anda untuk membuktikan anda masih relevan di sini.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger