Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 27 May 2004

Puteri Hang Li Po
Istana Budaya

Saya berpeluang untuk menyaksikan pementasan Teater Muzikal Hang Li Po yang dipentaskan di Istana Budaya.

Malam 26 haribulan saya menonton pementasan ini secara keseluruhannya, manakala pada malam 27 haribulan saya menonton pementasan ini dari belakang pentas gagah Istana Budaya. Tentunya ada dua persepsi berbeza tentang pementasan ini.

Saya tidak kata ini produksi terbaik Istana Budaya, tetapi jika dinilai dari segi khalayak yang hadir, saya merasakan sudah menjadi satu kejayaan besar buat Istana Budaya kerana berkemampuan menghimpunkan bilang kaum yang ada di Malaysia untuk sama-sama menikmati persembahan tersebut.

Koreografi
Walaupun gerak tari yang dikoreografkan oleh Mahmod Ibrahim memang sudah terlalu sinonim Persembahan Citrawarna ini

Satu yang menarik tentang koreograf yang direka untuk pementasan ini tentunya koreograf yang direka untuk adegan kaligrafi. Mengapa saya kata menarik adalah kerana gerak tari yang direka adalah sebenarnya formasi tulisan tersebut. Adegan tersebut telah ditafsir secara sama juga oleh salah seorang penonton yang menonton pementasan ini. Tentunya mereka yang mengetahui bahasa Mandarin sahaja yang faham tentang ini.

Tatacahaya oleh Mac Chan
Saya amat kagum dengan mainan tatacahaya yang dipersembahkan oleh Mac Chan. Kerana berpeluang ke belakang pentas, saya dapat melihat bagaimana layar kapal-kapal dagang itu sebenarnya. Hanya layar sahaja tetapi kesan tatacahaya telah membangkitkan suasana tepi pelabuhan dengan amat baik sekali.

Kekaguman saya melihatkan tatacahaya beliau bermula sewaktu adegan Kaligrafi. Satu idea yang bukan baru tetapi sekali lagi membangkitkan rasa kekaguman.

Rekaan Set
Apa dah jadi dengan Istana Budaya ? Sejak akhir-akhir ini amat jarang menggunakan sepenuh kekuatan Istana Budaya di dalam setiap pementasannya. Saya masih terbayang keindahan set Rubiah, Siti Zubaidah, Tun Perak, Siti Di Alam Fantasi sekadar menyebut beberapa nama. Oleh kerana saya pernah melihat suasana Pelabuhan Melaka dalam Tun Perak tentunya saya akan membandingkannya dengan Muzikal Hang Li Po. Muzikal Hang Li Po tidak dapat mengerah segala kekuatan Istana Budaya dengan menggunakan pentas hidrauliknya kali ini. Entah mengapa !

Muzik
Lagu Kasih Kita dan Cinta Hang Li Po amat sesuai untuk Siti Nurhaliza, lebih-lebih lagi SRC berhasrat untuk menerbangkan beliau ke Taiwan untuk meluaskan empayar Siti di sana. Sebelum ini Siti sudah beberapa kali membawakan lagu dari teater-teater ternama ke dalam album-album beliau. Lagu seperti Kudus Sinarmu, Sulam Sembilan dan Sakti merupakan antara lagu-lagu dari teater dan konsert yang pernah dipentaskan di Istana Budaya.

Variasi muzik tradisional Melayu diindahkan di dalam persembahan ini. Seperti biasa muzik ciptaan Pak Ngah amat kuat bau Citrawarnanya.

Secara keseluruhan saya kagum dengan produksi ini kerana mereka telah berbelanja besar untuk menambahkan kekaguman saya terhadap kosmetik luarannya sahaja. Mesej sebenar di sebalik kisah Hang Li Po hanya pada dasar dan konflik sebenar di sebalik sejarah tersebut masih kabur dan tidak diperhalusi oleh Pengarah dan Penulis Skrip.

Teater bukan sekadar kosmetik tetapi mesejnya.

Ikuti ulasan Khalid Salleh tentang Hang Li Po
Bual Teater: Istana Budaya tidak bersandar keperibadian sebenar
Oleh Khalid Salleh

PUTERI Hang Li Po adalah sebahagian sejarah kemegahan Melaka di zaman Sultan Mansur Shah, di mana Li Po menggadaikan keperempuanannya untuk melaksanakan kepentingan politik Maharaja China (Dinasti Ming) yang juga ayahndanya. Li Po menjadi senjata memadamkan hasrat Sultan Mansur menyerang dan menakluk China. Perkahwinan antara Puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur memberi signifikan melodramatiknya kebijaksanaan Maharaja China dan murahnya kepahlawanan kerajaan Melaka (Sultan Mansur Shah) yang tersungkur pada kejelitaan wajah perempuan.

Puteri Hang Li Po, sebuah produksi teater yang masih mentah daripada segi pemikiran dan kebijaksanaan khususnya kreativiti pembikinannya. Ia tidak membayangkan kemegahan Istana Budaya yang diuar-uarkan sebagai seni pentas bertaraf dunia. Kecanggihan teknologi yang didakwa antara kemegahan dimilikinya ternyata memakan diri sendiri apabila tiap kali pertukaran set terutamanya ketika penampilan Maharaja China atau Sultan Melaka di istana masing-masing hanya dilakukan secara konvensional. Malah pekerja yang menolaknya sempat dilihat dari arah penonton, terutama ketika cuba ‘membetulkan’ bilah set pada kedudukan sebenarnya sedangkan lakonan sudah bermula.

Apakah masalah di sebalik itu? Mekanisme teknologi canggih yang terdapat di Istana Budaya sudah tidak berfungsikah? Jika benar, di manakah profesionalisme manusia yang dipertanggungjawabkan membangun imej Istana Budaya supaya memang bertaraf dunia? Kewujudan Istana Budaya belum sampai 5 tahun, kenapa sudah bermasalah? Ragam kepegawaian dan mekanisme yang menggerakkan tanggungjawab memartabatkan Istana Budaya harus beretika kedaulatan bangsa, agama dan negara.

Kewujudannya bukan untuk mendukung status diri kerana Istana Budaya dibina dengan peruntukan wang rakyat. Maka setiap produksi yang ingin ditampilkan harus mengambil kira kepentingan rakyat.

Binalah apa saja yang berkait dengan negara ia tidak akan lari daripada persoalan rakyat. Rakyat berhak memperkatakan sesuatu yang difikirkan perlu untuk kepentingan semua orang dan bukan kepentingan segelintir manusia yang berada di bawah bumbung sesuatu jabatan atau bangunan. Puteri Hang Li Po mencerminkan kemiskinan dan daif sebuah organisasi ‘kepakaran’ atas nama Istana Budaya. Selama ini Istana Budaya membesar-besarkan ‘kehebatannya’ yang tidak bersandarkan keperibadian sebenar.

Mekanisme yang mentakrifkan kehebatan Istana Budaya seolah-olah hanya berlaku apabila ada produksi teater yang didatangkan dari luar negara. Maka Puteri Hang Li Po membayangkan senario teater produksi tempatan Istana Budaya yang terabai dari pemakaian profesionalismenya.

Memperkatakan Hang Li Po dari persepsi sejarah atau teater yang dilakar untuk melahirkan elemen perpaduan - kononnya, adalah rentetan diplomasi yang mengandungi bahan politik pencetus idea pementasan Puteri Hang Li Po itu sendiri. Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir selaku Menteri Kebudayaan, Kesenian Dan Pelancongan sebelum ini adalah pokok kelahiran cerita idea kreatif Puteri Hang Li Po sebagaimana tertulis pada buku program. Malangnya kreativiti pentas lakon bukan senario politik yang boleh ditampal selia dengan sorakan moral atau manifesto yang dijulang melalui kain rentang bertulis kata-kata ‘hikmat’.

Pentas lakon adalah rupa kebenaran yang dipinjam dari elemen kebenaran sejarah itu sendiri. Sejarah kebobrokan manusia bertolak dari keadaan manusia itu sendiri apabila tidak berupaya atau tidak berani mengenalkan erti kebenaran walau di hadapan siapa sekalipun. Apakah Puteri Hang Li Po hanya dibuat semata-mata untuk perisian mengingati menteri yang akan meninggalkan portfolio sedia ada dan meraikan menteri baru dengan portfolio yang berubah sedikit sebutan namanya, seperti mana tertulis pada mukadimah awal dalam buku program yang dijual pada penonton? Puteri Hang Li Po adalah sebuah pementasan yang berasosiasi dengan masyarakat ((khalayak). Tanpa khalayak pementasan itu tidak bermakna apa-apa. Nilai khalayak dengan nilai menteri mempunyai kekuatannya tersendiri dalam sebuah persembahan seumpama Puteri Hang Li Po.

Puteri Hang Li Po harus diterjemahkan sebagai sebuah kerja kreatif yang membahu dengan elemen sejarah sebenarnya. Ia tidak boleh disesuaikan mengikut cita rasa menteri yang dianggap berkuasa walau pun memang ada kuasa menteri mencorakkan kewibawaan sesebuah kementerian yang diterajuinya. Namun, pengisian kreativiti dalam hal-hal seumpama muzik, tari, teater dan sebagainya harus berlandaskan ketentuan metafora dan nilai pemikiran yang terkandung di dalamnya. Dalam hubungan ini, seniman atau pengkarya harus mengenali posisinya dalam kerja kreatifnya. Birokrasi, seniman dan kepagawaian, mana satu yang perlu diangkat di Istana Budaya sebenarnya?

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger