Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 15 June 2004

Novel Bersiri Akademi Impiana: Bahagian 7



Kakak Besar: See I told you so!

Abang Besar: Told me so... Apa? Tak paham lah!

Kakak Besar: Kan I dah cakap, kalau you letak harga tiket RM 20 pun orang akan beli. Dulu mati-mati you cakap harga tiket terlalu mahal... Takut orang tak pergi konsert. Takut dewan kosong!

Abang Besar: Ye lah, peminat-peminat Akademi Impiana pun kebanyakannya budak-budak.

Kakak Besar: Budak-budak sekarang banyak duit dalam poket mereka tu. Jadi kita kena pandai eksploit!

Abang Besar: How should I know budak-budak kita sekarang dah banyak duit. Dulu, zaman I kat UKM, nak keluarkan 20 ringgit untuk beli tiket bas untuk balik kampung pun berkira.

Kakak Besar: Budak-budak zaman sekarang lain dengan budak-budak zaman kita dulu. Sekarang, yang jenis belum habis sekolah menengah tapi dah ada handphone sendiri pun dah ramai. Kalau sekadar nak keluarkan RM 20 untuk beli tiket konsert, takde hal untuk mereka.

Abang Besar. So, macam mana dengan penjualan tikat sekarang?

Kakak Besar: I am pleased to inform you that the tikets had been sold out!

Abang Besar: Eh yer ke?

Kakak Besar: Apa tidaknya, mak ayam besar jadi tukang jual tiket!

Abang Besar: Siapa?

Kakak Besar: Azmil lah! You ni, dah tahu lagik nak tanya! Tapi tak apa, hari ini I nak si Azmil tu jual jugak tiket kepada para penonton... Lepas tu dia beritahu kepada penonton tiket dah sold-out. Surprise!

Abang Besar: Nakal lah you ni!

Kakak Besar: Alah, apa salahnya. SMS jual. Merchandise jual. Tiket konsert jual. Makin bertambah lah bonus kita tahun ini!

**


Di pejabat, Gundutz duduk di hadapan seorang kakak bertudung labuh yang bekerja sebagai seorang kerani Am di tempatnya bekerja. Kakak ini dikenali sebagai Kak Zaidah di kalangan kawan-kawannya. Kak Zaidah mempunyai anak-anak yang meningkat ke usia remaja. Mereka semua peminat Akademi Impiana. Kak Zaidah cukup risau dengan keadaan anak-anaknya yang terus mengikuti rancangan ini, walaupun telah ditegah sekeras-kerasnya olehnya. Kalau boleh, mahu sahaja dia menukar ke saluran lain setiap kali anak-anaknya menonton rancangan Diari Akademi Impiana ini, tetapi, entah mengapa, dia sendiri suka menonton rancangan ini.

“Saya tengok awak suka sangat bukak website Gastro? Awak suka mengikuti rancangan Akademi Impiana?” tanya Kak Zaidah dari tempat duduknya. Gundutz mengangguk perlahan. Dia jarang-jarang mahu berbual dengan Kak Zaidah. Lebih-lebih lagi apabila tahun lepas dia telah mendapat tahu bahawa Kak Zaidah lah telah memulakan cerita bahawa si Kamsiah dari jabatan HR adalah aweknya, sedangkan Gundutz rapat dengan Kamsiah kerana abang Kamsiah bekerja di Gastro dan Kamsiah boleh mendapatkan tiket percuma untuknya menonton konsert Akademi Impiana secara langsung. Sebagai balasan, Gundutz akan membuat kek blueberry cheese yang sedapnya tidak terhingga itu untuk Kamsiah, yang sememangnya suka memakan kek...

“Saya memang minat tonton Akademi Impiana.” Sebut Gundutz dengan ringkas. Dia menoleh sekejap ke belakang sebelum dia cepat-cepat merenung kosong ke dalam monitor komputernya.

“Akak rasa, Akademi Impiana yang selama ni orang dok heboh-heboh... Boleh tahan. Tapi tak sesuai dengan jiwa dan budaya Islam... Lelaki dan perempuan bukan muhrim ditempatkan dalam satu tempat. Hmm... Tak tau lah akak. Kita yang tengok ni pun dok sokong!” Kak Zaidah mengeluh. Seolah-olah dia sedang mengeluhkan masalah negara yang bakal membawa segala bencana dan kemusnahan.

“Entah lah kak. Dah orang nak tonton. Dah minat.” Gundutz menggaru-garu kepalanya. Tak tahu apa yang perlu dijawabnya lagi.

“Sebenarnya Akak rasa meluat tengok Akademi Impiana... Akak benar-benar terkejut dengan sikap dan tingkah laku setiap ahli AI ni. Macam takde maruah! Yang pompuan lagik satu hal. Memang takde maruah langsung!” Suara Kak Zaidah marah-marah. “Tergedik-gedik macam pompuan takda agama. Kalau kat Negara Barat tu akak tak kisah sangat! Memang dah menjadi 'stail' orang kafir yang suka mendedah sana sini dan sikap lepas laku.”

Gundutz menelan air liurnya tatkala mendengar kata-kata Kak Zaidah yang dirasanya pedas.

“Kebanyakan ahli AI ni orang melayu... Pompuan pulak tu. Mana nilai kesopanan gadis timur yang selama ini kita pegang? Lain ler kalau Terence yang memang bukan agama Islam. Akak tak kisah jikalau dia nak buat perangai yang kurang senonoh. Lagipun tempat dia memang sudah dijanjikan di neraka jahanam.”

Terkejut Gundutz mendengar kalimah-kalimah yang terpacul dari mulut Kak Zaidah. Terutamanya mengenai Terence, penyanyi kegemarannya dari Akademi Impiana. Mahu sahaja dia bersuara untuk membantah, tapi dia tidak berani. Dia hanya mampu mengurut-urut dadanya dengan tangan kanannya, sambil berkipas dengan tangan kirinya.

“Tapi nie... Hish!!! Rasa malu pulak akak nak mengaku yang mereka ni semua, terutama yang pompuan beragama Islam! Pegang sana... Pegang sini... Peluk sana... Peluk sini... Cium pipi sana... Cium pipi sini. Macam takde agama dan takde batasan langsung. Malu ler sikit! Kita Pompuan Melayu. Penuh dengan adat ketimuran dan kesopanan. Ada Agama yang membataskan antara yang halal dan yang haram. Dah ler mereka tu semua membuat dosa dengan memperdengarkan suara mereka kat khalayak ramai. Jangan ler tambahkan dosa lagik dengan membuat kelakuan tak senonoh di depan orang lain pulak!”

“Tapi Kak--”

“Akak tahu, kubur kita lain-lain, tapi tak salah kalau kita yang diciptakan oleh Allah ni diutuskan sebagai 'khalifah' mengingati antara satu sama lain. Betul Tak?” Gundutz tidak berani untuk memandang tepat ke dalam mata Kak Zaidah. Dia ingin menjawab, tetapi dia perlu mengaturkan kata-katanya dengan sebaik-baiknya.

“Akak kalau tak suka... Kenapa akak tonton? Kan bagus akak jauhkan dari dosa mendengar orang menyanyi dan berhibur dalam Akademi Impiana ni dengan mengaji ke... Melakukan amal jariah ke... Atau setidak-tidaknya melayan suami akak tu. Tak suka, jangan tonton. Banyak lagi rancangan yang berfaedah dalam saluran Gastro tu!” Gundutz berkata dengan teragak-agak. Kemudian dia menambah lagi. “Kita ni hidup bermasyarakat. Masing-masing dengan nilai dan cara hidup masing-masing. Kalau orang lain boleh hormat dengan cara hidup akak. Kenapa susah sangat akak menghormati cara hidup dan pilihan orang lain?”

Gundutz menarik nafasnya panjang-panjang. Tangannya terasa terketar-ketar. Dia berdiri dari duduknya, lantas terus berjalan ke arah pantry. Langsung dia tidak menoleh untuk melihat Kak Zaidah yang terkejut kerana Gundutz yang bersifat pendiam di dalam pejabat berani menegurnya.

**


Sia mendapati Zurina telah mengadu sakit kaki kepadanya. Wajah Zurina terkerut-kerut menahan sakit. Mungkin kerana banyak berlatih menari. Lebih-lebih lagi apabila beliau terpaksa berlatih menari dari dua orang guru penari, Carey dan Lina Yasmin.

Pada pagi tadi. Carey telah mengamuk kepada para pelajar kerana pelajar menari sambil lewa.

“Saya tak dapat feel! Sebab itu saya cepat naik hangin! Sebab itu saya cepat bengang!” Jerit Carey kepada para pelajarnya. Kemudian dia menambah lagi: “I don't want you to like the song. I want you to love the song!”

Selepas dimarahi oleh Carey. Giliran Lina Yasmin pula naik angin. Dalam kelas menari Lina Yasmin, para pelajar disuruh melakukan senaman aerobik. Ramai di antara pelajar yang tidak dapat melakukan senaman dengan betul. Terkerut-kerut muka mereka ketika sedang melakukan senaman.

“Kalau kau sakit aku boleh urut.” Kata Sia dengan jujur kepada Zurina.

Sia mengambil minyak cap kapak yang sentiasa ada di dalam simpanannya. Yang digunakannya ketika pening dan sakit-sakit badan. Sia menyuruh Zurina menyelak seluarnya agar senang diurut kakinya nanti. Zurina menurut sahaja.

Sia mengurut selama beberapa minit. Zurina kadang-kala akan mengeluh kesakitan. Tetapi dalam rasa sakitnya itu, dia telah berkata:

“Sedaplah kau urut!”

Ketika itu, datang pula Dara. Dia mengusik-usik si Zurina dan Sia. “Setengah jam berapa kau charge?” Tanya Dara kepada Sia.

“Seminit 15 ringgit!” sambut Sia dengan nada bergurau. Mata Zurina terbeliak besar. Lantas ketiga-tiga mereka ketawa bersama...

Di sebalik cermin, di dalam bilik rahsia, juru kamera nampaknya tersenyum sesama mereka. “Shot baik ni!” Kata jurukamera Rizal kepada kawan pembantunya Wong. “Malam ni mesti masuk diari...”

“Kalau ada pelajar lelaki... Katakanlah si Khir urut kaki Zaidi, lu rasa Kakak Besar dan Abang Besar bagi lepas keluar TV tak?” Wong menanyai kepada Rizal dengan suara yang perlahan.

“Tak kot...” Rizal ketawa kecil, diikuti oleh senyuman nakal dari Wong.

**


Kakak Besar dan Abang besar sedang membaca tulisan yang telah diterbitkan di dalam forum Utusan. Setelah mereka membaca, mereka senyum sesama sendiri. Seperti ada sesuatu yang membuatkan mereka rasa puas...

Saudara Pengarang,

SEMAKIN hari semakin banyak rancangan hiburan yang menampilkan persembahan peserta secara langsung. Ini termasuklah Akademi Fantasia 2, Audition, Who Will Win dan terbaru muncul, Malaysian Idol.

Apa yang menuntut saya menulis di ruangan ini adalah gelagat para pesertanya. Mereka tidak segan silu berpelukan di antara lelaki perempuan, terjerit-jerit dan menangis untuk sesuatu yang tidak wajar.

Hendak dikatakan suara sedap, maaflah... terus-terang saya katakan setakat jaguh kampung bolehlah! Yang membuatkan saya bertambah sayu, kehadiran emak, ayah dan saudara-mara yang memberikan sokongan. Masya-Allah, apakah semua ini?

Di mana ketegasan sebagai orang tua yang hanya tersenyum (dan mungkin hanya marah dalam hati) melihat anak gadis terkinja-kinja memeluk lelaki yang bukan muhrim?

Bagi peserta lelaki pula, mungkin merasa bangga, anak terunanya dipeluk atau mungkin nampak `macho' berani memeluk anak dara orang sesuka hati.

Saya memang tidak berkenan langsung dengan rancangan-rancangan sedemikian. Belum jadi `top star', `star' pun belum, sudah ditatang sedemikian rupa. Siapa mereka?

Masyarakat kawasan Shah Alam bimbang dan mengeluh perihal maksiat yang semakin berleluasa di sana, tetapi perkara ini yang terang-terangan di depan mata dibiarkan sahaja. Tambah menyedihkan, majoriti pesertanya anak Melayu kita. Orang lain berebut-rebut ke IPTA/IPTS, mereka ini berebut-rebut untuk sesuatu yang tidak pasti. Hanya mencari glamor, duit tak seberapa.

Sedarlah dunia semakin tua, perang sana sini, maksiat merata-rata (dengan skandal seks, video lucah, haruan makan anak, sumbang mahram, bersekedudukan tidak mengira bangsa dan seribu satu macam lagi). Bilakah ia akan berakhir?

- DANA ISMAL, Seksyen 8, Shah Alam.


**


Lagu khas buat para akademia...dan sponsor rasmi kertas tisu Akademi Impiana, Prime. Terimalah lagu "Kertas Kertas Tisu" Nyanyian Tisha Omar, lirik oleh Dom Junior

KERTAS KERTAS TISU

Di kala ku kesedihan,
mengenangkan ibu bapak,
air mata ku berlinangan.

Di kala ku di marahi,
diherdik pengajar garang,
kertas tisulah yang d'perlukan,

Kini t'lah masuk musim kedua,
banyak barangan telah disponsor,
tak ketinggalan kertas tisu,
kertas oh tisuuu...

Lelehkan air matamu,
Gunakanlah tisu ini yang disponsor,
Gunakan sebanyak mungkin,
Nangislah penuh emosi,
Belailah muka nan basah dengan tisu,
inilah masa ke'masan untuk memancing undi,
kertas kertas tisu laku di 'kademi.

Di kala air tertumpah,
entah sengaja 'tau tidak,
kan ku lap dengan kertas tisu,

Di kala meng-kukukaki,
ku capai tisu seponser,
untuk mengesat air mata,

kini segalanya lebih mudah,
usah gundah dan usah gulana,
tisu sponsor sering tersedia,
tisu merata,

Lelehkan air matamu,
Gunakanlah tisu ini yang disponsor,
Gunakan sebanyak mungkin,
Nangislah penuh emosi,
Belailah muka nan basah dengan tisu,
inilah masa ke'masan untuk memancing undi,
kertas kertas tisu laku di 'kademi.

Hanya satu jenama yang kupinta,
ianya lembut serta gebu. oh...o...o...o.
walau setebal mana maskara,
berlinang meleleh,
tisu sponsor tetap adaaaa.......aaaaaaa.....aaaa....

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger