Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 28 September 2004 0 komen

Surat Untuk Bulan

Bulan,
Gerhana bila datang. Gelap. Suram. Muram, Pudar, Kelam.

Bulan,
Hanya kau sahaja yang menjadi penghubung antara aku dan mereka. Kau terangi diri ini yang dalam kegelapan. Kau pancarkan cahaya menerangi jalan-jalan penyelesaian.

Bulan,
Dengan hati yang rendah diri, aku memberitahu pada satu dunia. Aku rindukan kawan-kawan aku. Tidak kiralah sesiapa pun mereka. Yang pernah aku penjarakan, yang pernah sakit hati dengan tulisan aku, yang pernah kecil hati dengan ayat-ayat aku, yang pernah menjeng (hanya untuk yang berkenaan) dengan kutukan aku, yang pernah mengenali aku, yang pernah belanja aku makan, yang aku pernah belanja makan, yang pernah kejang bila duduk sebelah aku, yang pernah aku layan gelak (hahahaha), yang pernah membaca tetapi sekadar diam, yang intelek, atau yang tidak intelek, yang pass SPM atau yang baru lepas PMR dan yang pernah apa sahaja. Macam aku rasa selesa bila duduk dalam conference, macam aku rasa seronok bila dapat layan Jojie di zonkboard, tapi aku rasa kosong dan sunyi di Komen. Bagaimana aku mengharapkan agar masa boleh berputar semula kembali ke asalnya. Begitu jugalah yang aku harapkan dengan persahabatan itu.

Bulan,
Aku harap gerhana itu akan pergi.

Bulan,
Aku nak tengok Dari Studio 1 Akademi Fantasia II, nak tengok Adam menyanyi lagu Gerhana.

Entri oleh sultanmuzaffar 0 komen

EVO 0401
Zahid Milikku
Farah Tangisan Dalam Kerinduan
Zarina Kasih Tak Bermakna
Mas Bohong
Duet Zarina dan Khai

EVO 0402
Linda Aku Cinta Kamu
Kaer Kembali Bersama
Nurul
Fitri
Zahid, Adam, Linda, Bob dan Farah (lagu bonus)

EVO 0403
Adam Haruskah
Bob Cinta Seorang Teman
Edlin
Anding
Duet Edlin dan Anding

Entri oleh sultanmuzaffar 26 September 2004 0 komen

Anugerah ERA 04
Anda pernah tengok sarkis ? Saya masa kecil-kecil dahulu, kalau ada pertunjukan sarkis, saya akan pergi dengan keluarga. Seronok tengok sarkis kerana ada badut, ada orang main api, lompat sana, lompat sini, lawak bodoh pun ada kadang-kadang di sarkis. Yang paling mendebarkan bila tengok ada manusia yang sanggup menggadai nyawa jalan atas wayar yang tergantung. Seronok tetapi mendebarkan. Selalunya bila saya pergi sarkis, saya suka tengok orang ramai berpakaian warna-warni. Bukan sahaja orang ramai, badut pun bewarna-warni, beraneka warna.

Macam sakris, Anugerah ERA 04 pun macam-macam ada. Keputusannya amat mengejutkan macam lawak bodoh. Ada pertunjukan yang dipersembahkan dengan teknik pyro yang menarik serta pakaian-pakaian bewarna-warni oleh para hadirin.

Bukan setakat Anugerah ERA, sebuah lagi sarkis yang turut diadakan di PWTC juga turut mencatatkan keputusan mengejutkan. Siapa sangka Tan Sri Isa Samad mampu untuk menang dalam persaingan Naib Presiden. Banyak juga keputusan mengejutkan yang hadir pada minggu ini. Kemenangan Maya Karin juga boleh disifatkan mengejutkan kerana juri Festival Filem Malaysia mengiktiraf Nasha Aziz untuk menang Pelakon Wanita Terbaik mengalahkan Maya Karin yang menang setelah dinilai oleh juri Festival Filem Asia Pasifik. Ini kali kedua berlaku, kali pertama apabila juri FFAP mengiktiraf Khatijah Tan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik tetapi di FFM beliau gagal di tangan Ellie Suriaty.

Berbalik kepada Anugerah ERA, promo pembukaan yang menampilkan lakonan dari Penyampai ERA memang banyak membantu mendekatkan penonton dengan konsep yang diketengahkan oleh mereka iaitu urban batik. Muncul persis model catwalk, para penyampai ERA memperagakan pakaian yang amat cantik serta improvisasi yang dilakukan kepada seni batik tempatan. Konsep urban batik yang dicetuskan untuk Anugerah ERA merupakan idea yang bernas dan brilliant ! Kreativiti pereka pakaian serta artis menyerlah pada malam tersebut.

Ketiadaan animasi AE yang sering muncul pada setiap Anugerah ERA memang terasa. Sebaliknya tuan punya suara AE hanya muncul sebagai Pengacara untuk Siaran Web di dvrplayer.com yang disiarkan secara langsung untuk penonton ERA di luar negara berpasangan dengan Kaer.

Goyang oleh Phlowtron, Ruffedge dan Lil’Z
Persembahan pembukaan oleh Phlowtron, Ruffedge dan Lil’Z menerapkan unsur-unsur moden dan berdaya maju tetapi kurang memberi kesan dan tenaga kepada penonton. Sebuah permulaan yang agak hambar tetapi berjaya menarik sedikit minat penonton apabila elemen tradisional iaitu dikir barat dimasukkan dalam persembahan.

Lagu Pop Pilihan (Farid Kamil dan Yasmin Hani)
Saya hanya menyenarai-pendekkan Jangan Kau Mimpi, Bukan, Dialah Di Hati dan Pulangkan untuk menggondol anugerah Lagu Pop Pilihan. Hanya lagu ini yang telah menarik minat saya. Persaingan sengit besar kemungkinan berlaku kepada dua artis wanita popular masa kini iaitu Siti Nurhaliza dan Misha Omar. Kejutan pertama pada malam itu apabila Bukan nyanyian Ziana Zain muncul menggondol anugerah tersebut.

Pilihan SM : Pulangkan (Misha Omar)
Keputusan : Bukan (Ziana Zain)

Medley Yallah Beena, Allahu oleh Rabbani & Raihan
Antara persembahan yang baik pada malam tersebut. Saya suka apabila mereka berjaya membawakan lagu tersebut secara langsung dengan cemerlang. Keharmonian vokal mereka memang menakjubkan. Kelantangan sesetengah penyanyi membuatkan lagu tersebut menarik. Kedua-dua kumpulan ini merupakan kumpulan yang mempunyai mutu vokal yang cemerlang serta jelas. Tidak guna punya persembahan yang mantap sekiranya mutu vokal tidak jelas. Kumpulan ini telah memberikan sebuah persembahan yang sederhana tetapi cemerlang.

Artis Inggeris Tempatan Pilihan (Maria Farida & Jehan Miskin)
Sememangnya persaingan untuk kategori ini memang agak sengit. Semuanya nama-nama besar dalam industri album Inggeris tempatan. Setiap calon mempunyai keunikan masing-masing serta pengikut setia mereka. Secara jujur sesiapa sahaja yang memenangi kategori ini saya puas hati kerana calon-calonnya benar-benar mantap dan tidak perlu saya pertikaikan. Persaingan sengit tentunya dari Ruffedge, VE dan Too Phat. Kemungkinan yang undian untuk Ruffedge dan VE telah pecah dua juga boleh dijadikan alasan mengapa mereka gagal untuk kategori ini. Peminat-peminat mereka adalah dari golongan yang sama. Ruffedge VE sudah semacam satu brand name bukannya dua kumpulan yang berbeza. Reshmonu mungkin boleh berjaya memenangi hati juri profesional di AIM tetapi belum tentu dapat memikat juri peminat.

Pilihan SM : Too Phat
Keputusan : Too Phat

Kaulah Segalanya, Andainya Kau Mengerti dan Kisah Lalu oleh Hazrul, Vince dan Khai
Permulaan yang cemerlang dari Hazrul, penyanyi yang diterbangkan dari Singapura sekaligus memukul habis penyanyi-penyanyi dari Malaysia yang dilahirkan dari Akademi Fantasia iaitu Vince dan Khai. Pemilihan lagu yang tidak sesuai dengan kelangsungan vokal Vince telah merosakkan sedikit persembahan teknikal vokalnya. Nyanyiannya tidak kemas dan tidak sehebat Hazrul. Tentunya saya mengharapkan persembahan yang terbaik dan cemerlang dari Vince. Saya kagum dengan peningkatan mutu vokal yang dipersembahkan oleh Khai walaupun kedengaran agak mengah di penghujung lagu tersebut.

Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan (Dia Fadilla & Zamani)
Mana peminat-peminat KRU, Ruffedge & VE dan Too Phat & Yassin ? Saya langsung tidak mengharapkan Mirwana mampu menggugat kehebatan vokal kumpulan/duo yang saya sebutkan tadi. Semacam ada satu yang silap, apabila keputusan menyebut nama Mirwana muncul memenangi kategori tersebut. Kalau Nirvana saya kenallah. Tidak undi dan berasa selesa dengan kedudukan artis yang kita minat tentu menjadi penyebab mengapa wujudkan keputusan yang mengejutkan seperti ini. Ini belum cukup mengejutkan lagi. Ada lagi…

Pilihan SM : Ruffedge & VE
Keputusan : Mirwana

Suzila oleh Flop Poppy
Suzila oleh Flop Poppy juga merupakan sebuah persembahan yang biasa. Yang membuatkan persembahan ini menarik adalah penari latarnya yang datang dari pelbagai golongan dan peringkat umur.

Lagu Nasyid Pilihan (Yassin & Bienda)
Mengejut apabila mereka mampu memberikan saingan kepada kumpulan-kumpulan senior. Peminat-peminat Mirwana tentunya tergolong daripada golongan remaja serta penuntut universiti yang agak ramai berbanding dengan peminat Raihan dan Rabbani yang hanya meminati kumpulan tersebut tetapi tidak menghantar undian mereka. Lagu Hikmah Kembara menjadi pilihan kerana ia lebih kepada irama nasyid kontemporari yang diselitkan elemen-elemen moden. Ini secara tidak langsung berjaya minat golongan muda untuk memberikan undian mereka kepada kumpulan tersebut.

Pilihan SM : Allahu (Raihan)
Keputusan : Hikmah Kembara (Mirwana)

Kuda Hitam dan Raikan Malam Cinta oleh Juliza Adlizan dan Puteri AF2
Kalau anda fanatik Akademi Fantasia, anda tentunya mengharapkan persembahan ini lebih memfokus kepada puteri Akademi Fantasia. Saya fanatik Akademi Fantasia, tetapi saya mahu melihat bekas Juara Bintang RTM ini membuat comeback pada persembahannya. Lagu Kuda Hitam merupakan lagu yang dinyanyikan oleh beliau sewaktu pertandingan tersebut jika ada yang tidak mengetahuinya. Ia bermula dengan baik sebelum diiringi oleh puteri Akademi Fantasia. Juliza Adlizan mempunyai vokal yang hebat dan vibratonya memang unik dan dikatakan satu-satunya di Malaysia dan apabila diiringi dengan vokal puteri Akademi Fantasia yang pelbagai corak vokal mereka, maka nyanyian mereka kedengaran tiada keharmoniannya. Kedengaran tiada keseimbangan vokal dalam nyanyian mereka. Lagu yang menarik menjadi tidak menarik dalam gabungan tersebut. Lebih mencacatkan lagi persembahan tersebut apabila lagu Raikan Malam Cinta dimulakan. Ada juga puteri Akademi Fantasia yang dengan berani membetulkan pembesar suaranya untuk menjelaskan lagi suaranya. Beliau harus faham, bahawa sebagai penyanyi latar, tahap volume vokal telah pun ditetapkan dan kedudukan pembesar suara tidak perlu diubah lalu mencacatkan keseluruhan lagu apabila keseimbangan vokal mereka tidak sama.

Muzik Video Pilihan (Sazzy & Phyne Ballerz)
Lagi satu keputusan yang di luar jangkaan. Bukan kerana saya anti Liza Hanim atau pun apa. Tetapi sekadar menilai berdasarkan populariti semasa yang lebih memihak kepada Pulangkan, Seksis dan Dialah Di Hati. Seksis lebih wajar dinilai kerana kualiti muzik video itu sendiri walaupun Pulangkan dan Dialah Di Hati lebih banyak dinilai berdasarkan populariti penyanyinya. Lagipun anugerah ini ialah anugerah muzik video dan bukannya anugerah artis. Tiga tahun berturut-turut ia dimenangi oleh Siti Nurhaliza tetapi tidak tahun ini. Kemenangan Ku Teruskan benar-benar mengejutkan saya.

Pilihan SM : Seksis (Anita Sarawak)
Keputusan : Ku Teruskan (Liza Hanim)

Relaku Pujuk oleh Spider
Sebuah lagi persembahan yang biasa dari kumpulan Spider. Walaupun lagu ini popular di Carta ERA tetapi masih belum dapat memberikan tenaga kepada penonton untuk sama-sama merasai kehangatan malam Anugerah ERA tersebut. Mungkin juga penonton tidak ghairah dan beraksi cergas kerana lokasinya dibuat di Stadium Putra Bukit Jalil berbeza apabila dilakukan di puncak Genting Highland yang suasananya lebih sejuk dan penonton perlu beraksi cergas untuk memanaskan badan. Kemeriahan anugerah ERA kali memang dapat dilihat sejak berada di luar stadium. Fenomenanya tidak seperti Konsert Akhir Akademi Fantasia.

Pilihan Kaki Wayang ERA (Rosyam Noor & Liza Hanim)
Berita kemenangan Maya Karin untuk anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Berlari Ke Langit untuk Sinematografi Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik di Fukuoka menjadi penyeri kepada industri perfileman tempatan. Memang sukar untuk menilai selera penonton filem tanahair. Ada filem yang bagus tetapi tiada penonton macam filem Buai Laju Laju, ada filem yang tidak bagus tetapi mencapai tahap Box-Office. Mujur pendengar ERA berjaya menilai filem Pontianak Harum Sundal Malam untuk berada di tempatnya yang betul. Menerima trofi bagi pihak Pontianak Harum Sundal Malam ialah Kavita Kaur yang terpaksa melangkah kerana sedikit kerosakan teknikal pada hydraulic mover. Masalah yang sama sering berlaku pada pentas hidraulik Istana Budaya. Hydraulic mover tersebut hanya sekadar melambatkan perjalanan majlis, lebih-lebih lagi ia terlindung dengan model tjanting yang berdiri gagah melindungi pandangan.

Pilihan SM : Buli, Pontianak Harum Sundal Malam
Keputusan : Pontianak Harum Sundal Malam

Seloka Cak Kun Cak oleh Tan Sri SM Salim dan M.Nasir
M.Nasir banyak menyelamatkan persembahan ini dari menjadi begitu hambar. Dalam keadaan fizikal yang tidak mengizinkan, Tan Sri SM Salim masih mampu membuat persembahan walaupun mutu vokalnya tidak seperti yang kita dengar di dalam album. Memang jauh berbeza dan beliau hanya bersemangat pada bahagian korus. M.Nasir banyak membantu beliau mendapatkan melodi yang betul serta tempo yang sesuai untuk lagu tersebut.

Band Pilihan (Zul Yahaya & Puteri Felisa ERA)
Walaupun Sheila on 7 pilihan saya gagal tetapi saya akur kerana Spider sememangnya popular di negara sendiri. Lagu-lagu mereka berjaya memikat pendengar Malaysia. Sewajarnya kemenangan Spider tidak saya pertikaikan kerana Spider sememangnya layak untuk menang.

Pilihan SM : Sheila on 7
Keputusan : Spider

Dayang Sayang Kamu oleh Dayang Nurfaizah dan Adam AF2
Persembahan Dayang Nurfaizah juga antara persembahan yang terbaik pada malam itu. Walaupun lagu tersebut lagu baru tetapi saya suka dengan vokal Dayang yang agak jelas. Penampilan Dayang juga menarik. Lagu itu menjadi lebih menarik dengan kehadiran Adam pada bahagian rap. Ada perubahan dalam tarian Adam. Nampak lebih kemas dan lebih teratur. Beliau tahu apa yang penonton suka.

Vokal Lelaki Pilihan (Tiara Jacquelina & Ziana Zain)
Lawaknya ! Kemenangan Nassier Wahab tidak pernah saya ramalkan. Saya lebih rela sekiranya Vince atau Yusry menang anugerah ini kalau pun bukan Anuar Zain. Kemenangan ini memang mengejutkan. Siapa sangka artis era 80an mampu menggugat populariti Anuar Zain. Faktor penyebab utama kekalahan artis-artis yang lebih popular mungkin disebabkan oleh merasa selesa dengan kedudukan populariti artis tersebut. Lalu pendengar tidak mengundi artis pilihan mereka kerana menyangkakan akan lebih ramai peminat lain yang akan mengundi. Inilah yang turut berlaku pada Akademi Fantasia. Faktor yang akhirnya memakan diri sendiri.

Pilihan SM : Anuar Zain
Keputusan : Nassier Wahab

Mencari oleh Giegil dan Waheeda
Sebuah persembahan yang sederhana dari Waheeda dan Giegil. Tidak banyak pembaharuan yang dibawakan oleh mereka untuk lagu ini selain selendang panjang Waheeda. Irama global dan elemen rock ini sememangnya satu cabang muzik yang perlu diperluaskan lagi pengaruhnya kepada pendengar. Menggabungkan irama tradisional dengan irama moden merupakan satu langkah yang baik agar generasi baru dapat menghayati lagu-lagu tersebut serta dapat mendekatkan diri dengan irama sedemikian.

Anugerah Seni ERA (Aziz M.Osman)
Peranan besar Dato’ Ahmad Nawab dalam bidang muzik Malaysia sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Lagu Malaysia Truly Asia yang telah dialih bahasa kepada beberapa bahasa merupakan antara salah satu kejayaan beliau. Beliau telah melahirkan artis seperti Datuk Sharifah Aini, Ujie Rashid, Azlina Aziz, Hail Amir, Dhalan Zainuddin, Ramlah Ram, Siti Fairuz dan lain-lain lagi yang telah menyinari industri muzik tempatan mahu pun yang masih aktif dalam industri.

Party Like This oleh VE
Party Like This merupakan persembahan terbaik pada malam Anugerah ERA. Dengan seramai 29 orang di atas pentas, VE dan teamnya telah membawakan lagu Party Like This dengan hebat dan bertenaga. Elemen breakdance nyata dapat memberikan tenaga kepada feratik dan diselitkan juga segmen percussion oleh kumpulan brass band. Menampilkan kanak-kanak sebagai ketua persembahan sememangnya satu faktor yang berjaya memikat penonton. Sebuah persembahan yang hebat dari VE.

Lagu Global Pilihan (Accapan dan Sheila Rusly)
Dalam rata-rata menyebut album Tan Sri SM Salim akan menggondol anugerah ini, tetapi ia sebaliknya yang berlaku. Album Sawo Matang dari Noraniza Idris berjaya memboloskan dirinya buat pertama kali apabila memenangi kategori ini. Sewajarnya beliau diiktiraf setelah sekian lama memartabatkan irama tradisional secara serius tanpa mengenal penat-lelah. Ini merupakan anugerah pertama apabila Siti Nurhaliza terpaksa akur dengan kehebatan Noraniza Idris setelah tiga tahun memonopoli kategori tersebut.

Pilihan SM : Seloka Cak Kun Cak (Tan Sri SM Salim & M.Nasir)
Keputusan : Hatinya Tak Tahan (Noraniza Idris)

Sakinah dan Semangat Yang Hilang oleh XPDC
Kenapa banyak persembahan rock tahun ini ? Asyik-asyik rock sejak awal. Saya agak bosan dengan persembahan ini walaupun lagu Semangat Yang Hilang agak sedap. Saya sudah mula bosan dengan persembahan rock yang saling bertukar ganti.

Lagu Rock Pilihan (Zed Zaidi & Ifa Raziah)
Tidak sukar untuk membuat ramalan untuk kategori ini. Selain Sheila on 7, hanya Spider yang bakal menggondol anugerah tersebut. Populariti lagu Relaku Pujuk sememangnya sukar dinafikan. Melompat Lebih Tinggi bukannya tidak bagus tetapi lagu Berhenti Berharap lebih mempunyai peluang yang cerah untuk menafikan populariti Relaku Pujuk sekiranya lagu tersebut tercalon. Kemenangan Spider tidaklah mengejutkan.

Pilihan SM : Melompat Lebih Tinggi (Sheila on 7)
Keputusan : Relaku Pujuk (Spider)

Medley Milikku, Jangan Kau Mimpi oleh Zahid & Sarah
Sebuah persembahan yang hebat oleh bintang Akademi Fantasia, Zahid dan Sarah Raisuddin. Lagu Jangan Kau Mimpi untuk Zahid dan lagu Milikku untuk Sarah. Walaupun persembahan ini sebuah persembahan medley tetapi tidak seperti yang diharapkan. Nampak tiada keserasian sesama mereka. Tiada eye-contact antara mereka. Ini berbeza dengan persembahan Misha Omar dan VE pada tahun lepas yang nyata hebat dari segi chemistry. Karisma Zahid sebagai penghibur nyata berjaya menarik minat penonton lebih-lebih lagi demam Akademi Fantasia masih lagi terasa. Kehebatan vokal Sarah juga nyata hebat dan dapat menyeimbangkan jurang antara mereka.

Anugerah Carta ERA (Aznil Hj Nawawi)
Seperti yang telah saya jangkakan, Dambaan Pilu oleh Khai akan pasti menggondol anugerah ini. Lagu ini terlalu besar pengaruhnya kepada penonton Akademi Fantasia. Khai yang menerima anugerah tersebut turut mengucapkan terima kasih beliau kepada tenaga pengajar di Akademi Fantasia, Maestro dan Abang Badrul.

Artis Harapan Pilihan (Ezlynn & Pretty Ugly)
Kesan populariti Dambaan Pilu, ramai yang menyangkakan yang Khai akan sekali naik ke pentas untuk menerima anugerah tersebut. Vince akhirnya dinobatkan sebagai pemenangnya. Sudah hampir pasti bahawa salah seorang dari bintang Akademi Fantasia yang akan memenangi kategori tersebut. Tahniah Vince !

Pilihan SM : Adi Fashla
Keputusan : Vince

Vokal Wanita Pilihan (Saiful Apek & Bob KU2)
Ini merupakan anugerah kedua bila mana Siti Nurhaliza gagal mempertahankan monopolinya sebelum ini. Persaingan sememangnya agak sengit. Lebih-lebih lagi dalam keadaan kemelut email layang yang semakin bertambah parah, maka populariti Siti Nurhaliza sama ada semakin naik atau pun semakin turun. Misha Omar muncul tepat pada masanya untuk menggondol anugerah tersebut. Tindakan Siti Nurhaliza untuk tidak hadir pada malam anugerah tersebut seakan-akan sudah menjangkakan yang beliau tidak akan menang pada malam itu.

Pilihan SM : Siti Nurhaliza
Keputusan : Misha Omar

Finale oleh Anuar Zain, Ning Baizura, Misha Omar & Glenn
Ini merupakan persembahan kedua bila mana artis luar memukul habis artis Malaysia. Nyanyian Anuar Zain untuk lagu Segalanya Untukmu, Ning Baizura untuk lagu Bebaskanlah, Misha Omar dengan lagu Dedebu Cinta masih tidak dapat menandingi kehebatan Glenn dengan lagu Januari. Dengan persembahan yang bersahaja, Glenn berjaya memikat hati penonton untuk turut sama menyanyikan lagu Januari.

Post Award Party
Saya lebih gemar untuk bersantai bersama Javard dan diperkenalkan kepada VE. Pandangan pertama saya tentang artis ini selalunya negatif kerana kehidupan sosial mereka nampak begitu bebas. Apabila bertemu dengan VE yang nampak begitu hormatkan orang tua nyata pandangan itu boleh berubah. Cara mereka bertutur jelas berbeza. Tidak nampak macam hoohaa sangat. Semasa sedang bersantai bersama Badrul, saya dapat bertemu dengan Khairil ERA. Saya sering berutus email dengan beliau sejak tahun lepas kerana Akademi Fantasia. Beliau banyak mendapatkan informasi tentang Akademi Fantasia melalui blog saya sendiri. Kata beliau abang ipar beliau iaitu Najmi yang memberitahu tentang kewujudan blog ini kepadanya. Saya sendiri tidak perasan Najmi yang mana satu kerana banyak komen yang saya terima dan tentu sukar untuk saya mengenali semua pembaca saya. Khairil nampak dashing dengan jubah ala Matrix berwarna oren itu.

Anuar Zain walaupun gagal memenangi sebarang anugerah tetap melayan karenah peminat-peminatnya yang ingin bergambar dengannya. Dengan pakaian serba putih, beliau nampak smart. Susuk tubuhnya tidaklah besar mana. Lebih kurang sahaja.

Saya amat kagum dengan Vince yang masih mengingati nama saya. Walaupun ini merupakan kali kedua saya bertemu dengan beliau. Vince boleh saya katakan seorang yang tidak sombong dan lebih rendah diri. Saya turut berpeluang untuk memegang Anugerah Artis Harapan Pilihan yang dimenangi oleh beliau. Berat ! Sambil membuat lawak, saya menyerahkan anugerah itu kepada Adi. :)

Entri oleh sultanmuzaffar 22 September 2004 0 komen

Ramalan Anugerah Era 04

Beberapa hari ini aku agak sibuk menyiapkan tugas-tugas pejabat yang semakin banyak. Hari semakin dekat dan semakin banyak yang perlu aku selesaikan dalam masa yang agak singkat. Seperti biasa, tahun ini Anugerah ERA datang kemali. Ini hanya ramalan aku, mungkin juga ia tidak menjadi kenyataan. Jika aku mengundi, aku akan undi pilihan SM. Masalahnya aku tidak mengundi.

Artis Harapan Pilihan

1. Adi Fashla
2. Dia Fadilla
3. Haizi Rani
4. Khai
5. Vince

Muncul sebagai Juara Akademi Fantasia belum tentu berjaya menggondol anugerah kategori ini. Aku kenal Vince, Khai dan Adi Fashla. Dia Fadilla kenal sikit-sikit. Haizi Rani siapa ? Aku ingatkan Haizi Rani ini lelaki tetapi setelah terbaca akhbar Berita Harian baru aku tahu dia seorang perempuan rupanya. Faktor utama anugerah ini ialah undian populariti. Rasanya populariti Khai mengatasi semua calon yang lain. Dalam banyak-banyak calon, hanya Adi Fashla sahaja yang belum memiliki album. Kalau aku mengundi, aku akan undi Adi Fashla walaupun beliau tiada album. Tapi rasanya rakyat Malaysia akan undi Khai kerana albumnya popular. Tiba-tiba aku teringat kat Mat Dylan bila bercerita tentang album Khai. Apa khabar Mat Dylan, harap sihat sentiasa.

Pilihan SM : Adi Fashla
Pilihan Malaysia : Khai

Vokal Wanita Pilihan

1. Dayang Nurfaizah
2. Liza Hanim
3. Misha Omar
4. Siti Nurhaliza
5. Ziana Zain

Menilai populariti serta kontroversi yang melanda, tidak mustahil Siti Nurhaliza bakal menggondol semula anugerah ini. Walaupun saingannya sengit, agak sukar untuk Misha Omar mengatasinya. Lebih-lebih lagi apabila namanya turut dikaitkan dalam pengedaran email layang yang heboh diperkatakan sekarang. Aku akan undi Siti Nurhaliza kerana bersimpati ke atas nasib malang yang bertimpa-timpa yang melandanya. Itu pun kalau aku mengundi. Lagipun aku rasa rakyat Malaysia yang lain akan undi Siti Nurhaliza. Kalau-kalau Siti Nurhaliza bertanding Ketua Puteri UMNO, agak-agak dia menang atau tidak ?

Pilihan SM : Siti Nurhaliza
Pilihan Malaysia : Siti Nurhaliza
Pilihan Perwakilan UMNO : Siti Nurhaliza

Vokal Lelaki Pilihan

1. Anuar Zain
2. Nassier Wahab
3. Vince
4. Yusry
5. Zamani

Nassier Wahab ? Rasa macam tahun 1980an sahaja. Tiba-tiba saja nama Nassier Wahab naik kembali pada tahun 2004 ini. Anuar Zain bakal mengekalkan gelarannya pada tahun ini. Sukar untuk digugat populariti beliau ini sekarang. Kalau aku undi, aku akan undi Anuar Zain juga. Sama macam rakyat Malaysia.

Pilihan SM : Anuar Zain
Pilihan Malaysia : Anuar Zain

Vokal Duo/Berkumpulan

1. Achik & Siti Nordiana
2. KRU
3. Nora & Vince
4. Mirwana
5. Ruffedge & VE
6. Too Phat & Yassin

Saingan yang sengit antara Ruffedge & VE dan Too Phat & Yassin. Lagu-lagu nyanyian mereka nyata popular dan lebih sedap didengar. KRU sudah macam has been. Lagipun sudah tahun 2004. Sebagai penyanyi, KRU semakin sukar memberikan saingan kerana industri muzik tempatan sudah banyak berubah selera. Lagu Alhamdulillah yang popular dendangan Too Phat & Yassin boleh menjadi taruhan terbaik mereka. Bezanya Ruffedge & VE mempertaruhkan banyak lagu dalam beberapa album.

Pilihan SM : Ruffedge & VE
Pilihan Malaysia : Ruffedge & VE

Band Pilihan

1. Exists
2. Jinbara
3. Sheila on 7
4. Spider
5. OAG

Aku tetap dengan Sheila on 7. Aku lebih suka muzik jenis Indonesia. Exists mengekori dekat Sheila on 7. Tahun lepas Exists menang. Tahun ini rasanya ia bakal berpihak kepada Spider. Lagu mereka pun popular di Carta ERA sekarang. Sekarang ini mesti punya Spider yang menang pasal dia tengah popular. Sheila on 7 pun mungkin boleh menang pasal lagu Berhenti Berharap pun berhantu juga.

Pilihan SM : Sheila on 7
Pilihan Malaysia : Spider

Lagu Global Pilihan

1. Bergendindangdong (Tan Sri S.M Salim & Siti Nurhaliza)
2. Dua Dalam Bahtera (Waheeda)
3. Entahkan Jadi Entahkan Tidak (Tan Sri S.M Salim & Sheila Majid)
4. Hatinya Tak Tahan (Noraniza idris)
5. Seloka Cak Kun Cak (Tan Sri S.M Salim & M. Nasir)

Kalau ada Siti Nurhaliza sahaja, sudah tentu kemenangan menjadi miliknya walaupun lagu itu tidak lah sedap mana. Saya lebih suka lagu Seloka Cak Kun Cak nyanyian Tan Sri SM Salim dan M.Nasir. Lagu tersebut lebih bermesej. Kalau aku mengundi, aku akan undi Seloka Cak Kun Cak. Lagu Tan Sri dengan Siti Nurhaliza tidak lah sedap mana pun.

Pilihan SM : Seloka Cak Kun Cak (Tan Sri SM Salim & M.Nasir)
Pilihan Malaysia : Seloka Cak Kun Cak (Tan Sri SM Salim & M.Nasir)

Lagu Nasyid Pilihan

1. Allahu (Raihan)
2. Bisikan Nurani (In-Team)
3. Demi Cinta Suci (UNIC)
4. Epik (Rabbani)
5. Hikmah Kembara (Mirwana)

Macam mana aku nak ulas kalau aku pun tidak tahu lagu-lagunya. Oleh itu, lebih baik aku diam. Aku kenal Raihan, Rabbani, UNIC dan In-Team. Tapi lagu-lagu mereka aku tidak dengar sangat.

Pilihan SM : Allahu (Raihan)
Pilihan Malaysia : Bisikan Nurani (In-Team)

Artis Inggeris Tempatan Pilihan

1. OAG
2. Reshmonu
3. Ruffedge
4. Too Phat
5. VE

Semua best gila. Aku sendiri pun tidak tahu mahu pilih yang mana satu. Setiap satu ada keunikan masing-masing. Kalau aku disuruh pilih, aku suka Too Phat. Tetapi Reshmonu sudah membuktikannya di dalam Anugerah Industri Muzik yang baru lalu. Pilihan populariti nyata berpihak kepada Ruffedge. Aku lebih senang dengan muzik Too Phat berbanding Ruffedge.

Pilihan SM : Too Phat
Pilihan Malaysia : Ruffedge

Lagu Rock Pilihan

1. Melompat Lebih Tinggi (Sheila on 7)
2. Mencari (Giegiel & Waheeda)
3. Pria Terhebat (Sheila on 7)
4. Relaku Pujuk (Spider)
5. Sudah-sudahlah (Jinbara)

Aku suka lagu Melompat Lebih Tinggi oleh Sheila on 7. Tetapi lagu Relaku Pujuk sedang popular. Sukar untuk Sheila on 7 mengatasi populariti lagu Relaku Pujuk.

Pilihan SM : Melompat Lebih Tinggi (Sheila on 7)
Pilihan Malaysia : Relaku Pujuk (Spider)

Lagu Pop Pilihan

1. Bukan (Ziana Zain)
2. Dialah di Hati (Siti Nurhaliza)
3. Jangan Kau Mimpi (Sarah)
4. Ku Teruskan (Liza Hanim)
5. Paling Comel (Achik & Siti Nordiana)
6. Pulangkan (Misha Omar)

Aku hairan kenapa kategori ini ada enam calon akhir. Aku harap pengundi pilih lagu Pulangkan oleh Misha Omar. Lagu itu lebih berhantu dari lagi Dialah Di Hati oleh Siti Nurhaliza. Harap-harap Siti Nurhaliza tidak menang untuk kategori ini kerana ada lagu lain yang lebih kuat pengaruhnya kepada penonton.

Pilihan SM : Pulangkan
Pilihan Malaysia : Pulangkan

Pilihan Kaki Wayang Era

1. Buli
2. Gila-Gila Pengantin Remaja
3. Jutawan Fakir
4. Kuliah Cinta
5. Pontianak Harum Sundal Malam

Aku mahu Pontianak Harum Sundal Malam menang. Kalau bukan Pontianak pun, mungkin filem Buli. Itu sahaja yang boleh dikategorikan sebagai filem. Kalau dinilai pada suka atau tidak aku kepada dua filem itu, memang aku kurang menggemarinya. Kalau populariti menjadi ukuran, filem seperti Kuliah Cinta mungkin mengetepikan calon-calon yang lain. Mungkin juga salah seorang pengundi Kuliah Cinta ialah seorang pemanggil perempuan yang pernah memberikan Kuliah Cinta 4.9/5 bintang. Hebat sungguh filem itu.

Pilihan SM : Buli, Pontianak Harum Sundal Malam
Pilihan Malaysia : Kuliah Cinta

Muzik Video Pilihan

1. Dialah di Hati (Siti Nurhaliza)
2. Hatinya Tak Tahan (Noraniza idris)
3. Ku Teruskan (Liza Hanim)
4. Pulangkan (Misha Omar)
5. Seksis (Anita Sarawak)

Sudah bertahun-tahun KRU masuk dalam calon akhir kategori ini dan tidak pernah menang. Seksis oleh Anita Sarawak merupakan sebuah muzik video yang berkualiti. Kerja-kerja grafik dan videonya sungguh mengkagumkan. Aku tidak faham dengan pengundi Malaysia. Kategori Muzik Video tetapi populariti artis juga yang diambil kira. Seperti beberapa tahun yang dulu, muzik video Bidadari punyalah hebat tetapi lagu Siti Nurhaliza juga yang menang. Kalau populariti lagu diambil kira rasanya mesti lagu Pulangkan yang menang. Aku lebih suka kalau lagu Seksis saja yang menang.

Pilihan SM : Seksis (Anita Sarawak)
Pilihan Malaysia : Pulangkan (Misha Omar)

Anugerah Carta ERA
Jangan terkejut sekiranya lagu Dambaan Pilu oleh Khai berjaya menggondol anugerah Carta ERA pada tahun ini. Aku akur lagu Dambaan Pilu besar kesannya kepada penonton, baik yang menonton rancangan Akademi Fantasia ataupun yang tidak mengenal apa itu Akademi Fantasia.

Macam tidak best pula Anugerah ERA 04 tahun ini. Calon-calon yang terpilih ke peringkat akhir macam kurang power. Aku harap persembahan malam itu tidak membosankan. Lebih-lebih lagi aku bakal duduk seorang diri sambil mencatatkan nota.

Cemburu
Aku tidak pernah menghalang sesiapa untuk terus mendewa-dewakan Anwar Ibrahim atau Hishamudin Rais. Berjuang bermati-matian semata-mata untuk pembebasannya. Lalu, apa hak orang lain untuk menghalang aku dari terus meminati Akademi Fantasia serta mempunyai kalangan pembaca fanatik yang meminati Akademi Fantasia jika tidak Malaysian Idol.

Semalaman aku menghadap coding haloscan mendapatkan jalan penyelesaian terbaik untuk mengambil semula hati-hati yang telah terasa kerana tindakan melulu aku semalam. Walaupun aku tahu yang ruangan Sembang bakal menerima populariti yang hebat berbanding ruangan Pendapat Anda, sekurang-kurangnya inilah jalan terbaik yang aku dapat beri.

Entri oleh sultanmuzaffar 20 September 2004 0 komen

Malaysian IdolGathering Adam D'Greatest Fan Club

Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi Adam telah dilangsungkan di Saloma Bistro dalam suasana yang agak gemilang. Banyak masa yang telah dihabiskan untuk melaksanakan program sebegini. Beberapa kejutan telah diberikan untuk Adam iaitu majlis tersebut yang dirahsiakan daripadanya, kehadiran ESdCo yang terbang dari Kota Kinabalu Sabah begitu juga kedua ibu-bapa Adam yang diterbangkan dari Sabah sebagai kejutan untuk Adam.

Saya sempat bertemu dengan Pengendali Laman Web tersebut iaitu SulamanWeb. Topik perbincangan kami banyak berkisar tentang kandungan sesuatu laman web. Laman web bukan sekadar grafik tetapi juga kandungan serta berita. Tanpa cerita sesuatu laman web hanya lakaran grafik tanpa cerita-cerita yang lengkap. Beliau mengharapkan saya dapat memberikan kerjasama untuk menambah-nilaikan kandungan di dalam laman web Adam. Saya suka untuk bekerjasama untuk tujuan tersebut. Saya mengharapkan agar mendapat kerjasama dari semua pihak termasuk Maestro dan pengurusan peribadi Adam untuk melicinkan proses pembangunan kandungan di laman web tersebut. Saya akan diberikan kata pengguna dan kata laluan untuk ke sistem kemaskini laman web tersebut. Sama-sama membangunkan laman web Adam jika ada kelapangan. Siapa kata sultanmuzaffar anti-Adam.

Perjalanan Majlis
Siapa yang tidak mahu bergambar dengan bintang kesukaan mereka. Semua orang mahu. Tetapi tidak semua yang memahami keadaan majlis serta menghormatinya. Keadaan menjadi agak sukar untuk dikawal apabila ramai berebut-rebut untuk bergambar dan mendapatkan tandatangan Adam dan bintang yang lain seperti Zahid dan Farah.

Dalam keadaan tersebut, tanpa mereka sedari Adam, Zahid dan Farah tidak sempat menjamah makanan kerana melayan karenah peminat mereka.

Perjalanan majlis cuba dikawal sebaik mungkin oleh para petugas dengan harapan majlis dapat berjalan dengan lancar. Memang agak sukar untuk memuaskan semua pihak. Jalan yang terbaik ialah melakukan sesuatu yang kita fikir betul dan baik untuk semua.

Peranan semua peminat adalah untuk memastikan pertalian kumpulan ini menjadi semakin kuat dan bukan untuk meleraikan ikatan yang telah sedia ada. Sama-sama kita menjaga rumah kita sendiri.

Tahniah kepada Ahli Jawatankuasa Adam Fan Club kerana usaha tersebut.

Malaysian IdolTeks Ucapan Gathering Adam Fan Club (Edited Version)

Pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus menjayakan aktiviti sebegini. Kerja secara sukarela ini wajar saya puji kerana ia dihasilkan secara kolektif dengan semangat kerjasama yang kuat antara kita semua, peminat-peminat Adam khasnya. Hasilnya sungguh membanggakan.

Terima kasih kepada Adam dan bintang-bintang Akademi Fantasia yang lain kerana sudi hadir ke majlis ini. Peluang ini boleh digunakan untuk merapatkan lagi hubungan Adam bersama pengundi-pengundinya.

Terima kasih kepada pihak pengurusan iaitu Maestro yang banyak membantu dalam menjayakan program ini.

Sudah hampir empat tahun saya menulis, belum pernah saya diminta untuk beri ucapan. Ini kali pertama saya perlu menulis dan berucap di hadapan anda semua. Peluang ini tidak akan datang jika tidak kerana Akademi Fantasia. Begitu jugalah dengan Adam "dah empat tahun aku nyanyi rap..." apabila menerima lagu yang bukan pilihannya.

Malaysian IdolSalah seorang kawan saya mengingatkan saya semalam sewaktu sedang menyiapkan teks ucapan ini. "kau kena berlatih depan cermin, kau pun nak bagi ucapan untuk budak cermin."

Di dalam kebanyakan tulisan saya setiap minggu, Adam dan beberapa yang lain sering menjadi sasaran saya. Niat saya tidak lain selain ingin melihat perubahan yang positif dalam diri mereka. Ia bukanlah kerana saya tidak menyokong Adam juga yang lain-lain. Saya sokong. Ada ketikanya sehingga saya menerima beberapa email bertanyakan sama ada "pembenci Adam" ini akan hadir atau tidak pada hari ini. Saya tidak pun berasa apa-apa. Kerana itu semua hanyalah salah sangka. Suka atau pun tidak, saya akan tetap menyokong kerjaya mereka kesemuanya. Yang penting saya tahu yang sokongan saya dan anda semua terhadap mereka lebih bersifat positif dan bukan sekadar pujian melulu. Saya tidak mahu bintang seperti Adam dan yang lain-lain terus dibuai pujian-pujian manis sehingga merosakkan perkembangan kerjaya mereka.

Apa yang kita lihat pada hari ini hanyalah 10% dari bakat Adam sepenuhnya. Sebagai peminat kita mahu melihat Adam menyerlahkan lagi bakat yang lagi 90% itu. Banyak yang boleh kita lihat dan janganlah kerana berasa selesa dengan keadaan sekarang, bakat yang 90% itu terpendam begitu sahaja. Perbaiki diri untuk menjadi lebih maju dan para peminat Adam akan sentiasa menyokong kerjaya anda.
Nota: Saya membuang perenggan ini kerana merasakan ucapan saya terlalu panjang.

Malaysian IdolPertama kali bertemu Adam sewaktu rakaman Carta ERA. Sanggup ponteng dari kerja separuh hari untuk datang ke studio ERA. Dapat jumpa, bukan satu tetapi dua. Mungkin kerana riak muka saya yang agak serius "Abang ni serius sangat lah." Itu perkataan pertama dari Adam yang saya dengar.

Besar harapan saya agar Kelab Peminat Adam ini akan terus berjaya di masa akan datang. Matlamat penubuhannya bukan sekadar berfokuskan sosial semata-mata tetapi turut menjayakan program bercorak kemasyarakatan. Setidak-tidaknya perhubungan Adam dengan peminat-peminatnya akan menjadi lebih rapat dan kerjaya Adam akan terus diberikan sokongan yang padu oleh mereka ini. Sekian, terima kasih.

Foto oleh:
Waiem Fotopages
sultanmuzaffar Fotopages

Terkini:
dari blog seorang sahabat-
Alhamdulillah, ada perkembangan sedikit dalam profesion saya ini. Hishamuddin Rais amat berminat dengan 'Akademi Fantasia' versi saya - sungguhpun amat sukar baginya untuk memberi sebarang compliments.

Jelas, setakat ini pembaca-pembaca saya dari golongan intelek.

Saya faham tidak bermakna sesebuah blog yang mempunyai ratusan komen bermakna hasil tulisannya mendapat perhatian. Komen-komen yang tersiar banyak berkisar tentang rancangan-rancangan untuk keluar makan tengahari dan sembang kosong. Mungkin hanya boleh difahami di kalangan beberapa di antara mereka yang fanatik terhadap penulis tersebut.

Ratusan komen tersebut juga rupa-rupanya dari beberapa orang sahaja. Harapan agar beliau sukses dan terus berkhayal.....


Saya MOHON kerjasama agar memberhentikan segala sembang-sembang kosong di dalam komen blog ini. Harap dapat menggunakan Zonkboard. Ulasan di blog tersebut amat menyakitkan.

Entri oleh sultanmuzaffar 18 September 2004 0 komen

Malaysian IdolMalaysian Idol – Final 5
Sri Pentas II

Saya mungkir janji kesetiaan saya pada Akademi Fantasia. Saya mengambil tiket Malaysian Idol di TV3 petang itu. Saya mendapat peluang untuk menonton siaran langsung Malaysian Idol di Sri Pentas II. Teringin juga merasakan bagaimana aksi penonton dan peminat Malaysian Idol.

Fenomenanya biasa sahaja di luar dewan. Tempat duduk untuk penonton bertiket juga kosong dan penonton tanpa tiket (minah karan dan mat rempit Shah Alam) yang menunggu di luar dengan harapan dapat masuk telah pun dibenarkan masuk untuk memenuhkan tempat-tempat kosong.

Legenda oleh Final 5
Satu perkara menarik yang saya suka tentang Malaysian Idol apabila susunan muzik untuk kesemua lagu telah diberi nafas baru serta sentuhan yang unik. Itu yang berlaku kepada lagu Legenda. Satu-satu lagu menjadi begitu segar dan sesuai dengan zaman. Walaupun akan ada komen-komen yang mengatakan perlakuan tersebut akan hanya merosakkan keaslian lagu tersebut tetapi saya merasakan ia adalah satu langkah yang paling sesuai untuk mendekatkan generasi baru dengan lagu-lagu lama serta menambahkan lagi koleksi khazanah muzik tempatan. Namun demikian, adalah lebih menarik lagi sekiranya setiap penyanyi diberi peluang untuk menyanyikan lagu tersebut secara penuh bukan sekadar separuh sahaja.

Kekuatan utama lagu Legenda terletak di bahu Jac. Jac lebih menyerlah dalam lagu tersebut berbanding yang lain-lain. Secara keseluruhan, jiwa lagu ini tidak sampai kepada saya. Itu yang saya rasa. Saya tidak rasa bangga mendengar mereka membawakan lagu tersebut. Memang sukar untuk memuaskan hati saya apabila lagu tersebut penyanyi asalnya Sheila Majid.

Vic – Getaran Jiwa dari filem Antara Dua Darjat (3/5 bintang)
Malam itu bermula dengan agak baik apabila Vic berjaya membawakan lagu Getaran Jiwa dengan penuh penghayatan. Markah utama Vic datang daripada kebolehan beliau membawakan lagu Bahasa Melayu dengan lenggok Melayu yang sedap. Macam Vince dalam Akademi Fantasia. Tidak kedengaran jelas telor-telor Cinanya. Falsetto Vic hebat dan beliau bijak mengawal tempo dan nada vokal beliau dengan baik. Lagu Getaran Jiwa tidak hancur di tangan Vic.

Andrew – Jeritan Batinku dari filem Ibu Mertuaku (1/5 bintang)
Berbeza dengan Andrew apabila lagu Jeritan Batinku seakan-akan menjerit sakit hati mendengar cara pembawaan beliau. Yang saya nampak, beliau sekadar menyanyi untuk melepaskan batuk di tangga. Sekadar cukup syarat. Persembahannya kosong. Penghayatannya jauh tersasar dan tidak kena dengan lagu tersebut. Sebutan beliau juga tidak jelas lalu apa yang beliau nyanyikan tidak kedengaran. Sememangnya persembahan Andrew amat mendatar walaupun beliau menyatakan telah melakukan yang terbaik. Saya tidak merasa sedih melihatkan cara lagu tersebut dibawakan. Jeritan Batinku bukan persembahan terbaik Andrew.

Jac – Tunggu Sekejap dari filem Sarjan Hassan (4.5/5 bintang)
Hebat. Jac bakal merupakan taruhan utama Malaysia di peringkat yang lebih jauh iaitu di World Idol. Tunggu Sekejap dibawakan oleh beliau dengan bersahaja tanpa perlu berusaha keras untuk meyakinkan para juri profesional. Saya suka dengan kawalan vokal beliau yang begitu bersahaja terutamanya pada nada tinggi. Lafaz lirik lagu dinyanyikan dalam stail yang lebih segar dan tidak terikut-ikut dengan melodi asal lagu tersebut.

Persembahannya agak memboasankan. Mungkin kerana tiada perubahan besar yang dilakukan oleh Jac pada saban minggu. Sebabnya mudah kerana setiap minggu Jac menyerlah. Harapan penonton seperti saya mahu melihat perubahan yang lebih lagi pada setiap minggu. Jac sudah menonjol sejak minggu pertama lagi. Kalau diulang semula kata-kata Ramli MS, Pengetua Akademi Fantasia kepada Bob yang mahukan beliau keluar sebagai profesional kerana Bob masuk ke dalam Akademi Fantasia bermula dengan amatur. Itu perubahan serta peningkatan yang ingin saya lihat pada Jac.

Malaysian IdolDina – Jangan Tinggal Daku dari filem Ibu Mertuaku (4/5 bintang)
Dina juga merupakan taruhan terbaik Malaysia untuk World Idol. Di peringkat World Idol, pakej fizikal bukan merupakan fator utama untuk terpilih sebagai Juara. Pakej fizikal hanya menjadi taruhan utama di Malaysia.

Sekali lagi, susunan lagu ini disesuaikan dengan imej rock Dina. Saya tabik spring kepada penyusun muzik lagu ini. Memang hebat ! Lagu Jangan Tinggal Daku menjadi begitu bertenaga sekali. Segar ! Nyanyian Dina hebat pada nada tinggi tetapi masih perlu dibaiki pada nada rendah. Menariknya lagu ini “punch” utama lagu tersebut terletak pada nada rendah. Itu yang kurang dalam persembahan Dina.

Saiful – Bunyi Gitar dari filem Tiga Abdul (1.5/5 bintang)
Saya mengharapkan beliau akan terbang pulang ke Kuching pada minggu ini. Saya merasakan apabila beradanya beliau dalam Final 12 adalah satu perkara yang biasa tetapi agak mengejutkan apabila beliau masih berada dalam Final 5. Showmanship beliau lapuk, koreograf sama tahun 50an macam ada seseorang itu yang gemar sangat membawakan koreograf KRU tahun 1990an. Beri segar pada koreograf lagu tersebut dan bukannya membawakan yang sama seperti zaman dahulu. Persembahan Saiful tidak menonjolkan kekuatan vokal sebenar beliau. Beliau tersilap memilih lagu mungkin cubaan beliau untuk menarik undian penonton menerusi gerak tarinya. Sekali lagi saya tabik pada susunan lagu ini yang diselitkan unsur-unsur broadway. Perubahan vokal Saiful pada tempo dari melodi asal kepada melodi broadway juga tidak dibuat dengan kemas. Kedengaran agak kelam-kabut. Saya petik kata Paul Moss, ini merupakan satu permulaan untuk Saiful. Beliau akan menjadi penyanyi yang popular tetapi bukan yang terbaik.

Liza Hanim – Di Mana Kan Ku Cari Ganti
Persembahan penutup dari Liza Hanim sahaja yang berjaya membawa perhatian penonton kepada zaman kegemilangan Tan Sri P.Ramlee. Penghayatan beliau serta vokal beliau yang mantap telah membawa penonton mengenang kembali bahawa Tan Sri P.Ramlee masih belum berganti. Final 5 yang terdiri daripada pelbagai bangsa yang telah membawakan lagu beliau masih belum layak menjadi pengganti.

Minah Karan dan Mat Rempit Shah Alam telah keluar dari dewan walaupun sebelum siaran langsung itu tamat. Tindakan mereka seakan-akan tidak pernah menghadiri satu majlis yang disiarkan secara langsung dan tidak menghormati penonton yang lain. Itu sebab saya panggil Mat Rempit dan Minah Karan.

Ranking Persembahan Terbaik
Jac 4.5/5 bintang
Dina 4/5 bintang
Vic 3/5 bintang
Saiful 1.5/5 bintang
Andrew 1/5 bintang

Ramalan Bottom III dan Result Show
Saya meramalkan Vic, Saiful dan Andrew akan tersenarai sebagai Bottom III pada minggu ini. Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku jika rakyat Malaysia tidak menjalankan tugasnya. Besar kemungkinan Andrew tersingkir pada minggu ini. Saya menilaikan berdasarkan persembahannya tetapi persembahannya bukan sekadar dinilai oleh saya seorang sahaja. Oleh itu apa-apa sahaja keputusan boleh berlaku.

Single Final 5
Di luar dewan ada terjual single Final 5 yang dijual dengan harga RM10.00 sahaja. Satu strategi yang bijak oleh Malaysian Idol yang WAJAR diikut oleh Akademi Fantasia. Album tersebut hanya terkandung 3 lagu iaitu satu lagu cover version, satu versi karaoke dan Ku Bawa Sinar yang dinyanyikan oleh Final 12. Jac membawakan lagu Getaran Rinduku dan Dina membawakan lagu Bunga Bunga Cinta. Album Vic, Saiful dan Andrew saya tidak beli. Perlukah ?

Untuk Akademi Fantasia, mereka harus bijak mengatur strategi penjualan album. Strategi single memang merupakan strategi yang agak baru di Malaysia berbeza dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom. Tetapi sementara tengah hangat inilah peluang tersebut wajar digunakan. Single tersebut boleh terkandung lagu baru mereka di Konsert Akhir, lagu baru mereka secara live, versi karaoke dan sebuah lagu baru.

Terkini: Ahad 10.37 malam
Saiful tersingkir untuk meneruskan kemaraannya ke Final 4. Alhamdulillah. Walaupun tekaan saya salah, tetapi saya masih berpuas-hati kerana sudah menunggu sekian lama. Undian simpati, ras bangsa untuk Andrew masih mampu menyelamatkannya.

Entri oleh sultanmuzaffar 15 September 2004 0 komen

Wawancara Email Tentang Akademi Fantasia

Saya menerima soalan ini untuk satu temuramah melalui email. Saya menyiarkannya di sini untuk tatapan pembaca blog saya. Beberapa persoalan masih belum terjawab kerana kesuntukan masa. Malam ini disiarkan Konsert Akhir Akademi Fantasia sebelum format Saluran 15 ditukar kepada format lain pula. Hujung minggu ini menerima jemputan ke Gathering Adam Fan Club. Teks ucapan masih belum disiapkan. Salah satu perenggan dalam jawapan wawancara ini akan dimasukkan sekali ke dalam teks ucapan saya hujung minggu ini.

"Sudah empat tahun aku menulis blog, belum pernah pun aku kena tulis ucapan dan beri ucapan."

1. Apakah yang menyebabkan anda begitu berminat untuk mengikuti rancangan Akademi Fantasia?

Kali pertama saya menonton Akademi Fantasia ialah pada siaran Diari Akademi pada minggu pertama di musim yang pertama. Pada mulanya sekadar menjadi penonton biasa. Akademi Fantasia bukanlah satu program yang saya tunggu-tunggu. Tirai Akademinya pun tidak saya tonton. Satu hari saya terbuka laman web Akademi Fantasia dan tertarik dengan salah seorang peserta yang terpilih pada musim pertama. Konsert minggu pertama tidak saya tonton. Satu rancangan yang membosankan. Konsert minggu kedua saya tonton dengan perasaan tidak sabar. Menariknya rancangan ini kerana segala-gala emosi ada pada rancangan ini. Sedih, gembira, benci, dendam, meluat, poyo, sombong, bongkak, rendah diri, hipokrit, gelak, seronok, risau, kecewa, tangisan, control macho, terlalu open, selamba, sumbang, sinis, pemalu dan senarai akan berterusan tidak henti-henti. Saya suka melihat gelagat manusia. Duduk diam-diam dan perhatikan gelagat mereka.

2. Adakah anda mempunyai apa-apa emosi ketika menonton Akademi Fantasia? Jika ada, apakah emosi-emosi tersebut?

Saya benci dengan AFMASUKnya Linda. Saya risau melihat Kaer yang semakin menurun prestasi persembahannya. Saya bangga dengan peningkatan prestasi persembahan Zahid. Saya menangis bila saat kedua-dua anak Mas dibawa bertemu dengannya di atas pentas Konsert II. Saya hairan melihat aksi Nurul yang ceria apabila diumumkan tersingkir pada Konsert VII. Saya bengang melihat Adam yang tidak mahu berubah dari mengikut gaya KRU. Saya meluat dengan pakaian kimono Fitri. Saya berkeinginan punya kebolehan menari seperti Anding. Saya terhibur dengan kelunakan vokal Bob. Saya ketawa apabila setiap kali Zarina diusik dengan Khai. Saya seronok dengan keletah Farah melayan Johnny. Saya suka dengan penampilan Edlin serta keramahannya. Saya terharu apabila Vince terpilih sebagai Juara Akademi Fantasia I. Saya sedih apabila membaca kutukan-kutukan yang dilemparkan terhadap keluarga Nana di dalam Forum Akademi Fantasia. Saya kecewa apabila melihat lajunya chat di Saluran 15 seperti air yang mengalir. Saya juga mula naik bosan apabila menonton seorang yang kononnya Peminat Nombor Satu Akademi Fantasia yang gagal berbicara dengan lancar. Dan sampai sekarang saya boleh sebak menonton lagu Aku Cinta Kau Dan Dia nyanyian Adifashla dan lagu Sekuntum Mawar Merah nyanyian Sahri.

3. Pada pendapat anda, apakah yang menyebabkan AF begitu berjaya dan diterima masyarakat Malaysia?

Orang Malaysia gemarkan filem hindustan. Akademi Fantasia ada ciri-ciri tersebut. Ada watak penjahat, ada watak orang baik, ada tangisan, ada jenaka dalam Akademi Fantasia. Penonton terlibat secara langsung dalam menentukan siapakah yang layak untuk meneruskan kemaraan pada minggu seterusnya. Episod Diari Akademi juga memainkan peranan yang cukup besar mendekatkan penonton dengan pelajar yang mereka sukai. Ini secara tidak langsung menguatkan lagi ikatan antara pelajar dan penonton.

Magiknya Akademi Fantasia apabila menggabungkan mereka yang terpisah atasa erti persahabatan, dapat menggabungkan dua belas pelajar berlainan latar belakang di bawah satu bumbung, bergabung tidak kira umur, bangsa dan menggabungkan ahli keluarga tanpa batasan umur untuk bersantai bersama-sama setiap malam menonton rancangan ini.

Jika setelah saban hari kita sentiasa disogokkan dengan imej-imej mereka, maka dengan sendiri imej-imej itu sukar luput dari dalam diri penonton. Ikatan yang kuat itulah yang telah membina benteng kukuh untuk setiap pelajar. Mereka bertahan saban minggu mempertahankan pelajar yang mereka undi.

Musim kedua tiada isu peluk-peluk yang menjadi asas utama kontroversi pada musim pertama tetapi rancangan ini masih terus kukuh di atas.

4. Adakah AF membawa apa-apa kebaikan untuk masyarakat Malaysia?

Telah dibuktikan, jalanraya hampir kosong pada malam Konsert Akhir. Setiap keluarga dapat berkumpul untuk menonton rancangan ini sekaligus mengeratkan lagi pertalian kekeluargaan mereka. Yang menarik, ibu bapa berbincang dengan anak-anak mereka tentang pilihan mereka. Berdebat secara positif mempertahankan pilihan masing-masing.

Begitu juga di pejabat, topik perbincangan utama mereka ialah tentang Akademi Fantasia.

Penggunaan undian SMS dalam industri muzik tempatan sebenarnya dalam usaha mendidik masyarakat Malaysia untuk membuat pilihan yang bijak. Walaupun asas perniagaan masih menjadi faktor utama dalam Akademi Fantasia, setidak-tidaknya rakyat Malaysia telah dilatih untuk membuat keputusan dengan menggunakan asas-asas yang telah mereka tonton dalam Diari Akademi.

Industri muzik tempatan yang semakin tenat kembali bersinar dengan adanya bakat-bakat baru yang mana mereka ini dipilih oleh mereka sendiri. Mereka memilih apa yang ingin mereka dengar.

Melalui blog yang telah saya hasilkan, para pembaca saya berpeluang untuk memberikan maklumbalas secara berhemah dan menjaga tatasusila masing-masing. Saya mengharapkan mereka memberikan pandangan masing-masing secara terbuka dan bukannya melulu. Saya cuba untuk menjadi setelus yang mungkin tetapi sebagai manusia tentulah ada batas-batas yang perlu kita ikuti. Perbincangan secara positif inilah juga telah merapatkan hubungan sesama peminat.

5. Adakah AF sesuai untuk semua peringkat umur?

Akademi Fantasia memang sesuai untuk semua peringkat umur tetapi malangnya kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan menonton siaran langsung konsert mingguan di Dewan Sivik Petaling Jaya. Saya merasa semua peringkat umur sesuai menonton rancangan ini. Setiap pelajar punya personaliti untuk diminati oleh mereka dari pelbagai golongan serta latarbelakang. Golongan remaja perempuan dan kanak-kanak tentunya menyukai Adam. Golongan lebih dewasa tentunya meminati Bob dan Mas. Kanak-kanak mana yang tidak sukakan keletah Farah. Zahid diminati oleh hampir semua peringkat umur. Begitu juga dengan Kaer, golongan ibu dan anak perempuan mereka sama-sama berkongsi meminati Kaer. Saya pernah menghadiri perjumpaan Fitri Fan Zone dan saya perhatikan golongan yang meminati Fitri terdiri daripada peminat perempuan juga dari pelbagai peringkat umur. Walaupun saya kurang minat dengan Fitri tetapi saya pergi juga sebagai memenuhi undangan mereka. Akan datang perjumpaan Adam Fan Club yang pastinya akan dipenuhi dengan peminat perempuannya.

6. Adakah konsep AF mewakili seluruh rakyat Malaysia?

Konsep rancangan seperti Akademi Fantasia sesuai dan mewakili seluruh rakyat Malaysia. Siapa sahaja kenal siapa Zahid Baharuddin sekarang lebih daripada kenal siapa dia Zahid Hamidi. Konsep yang telah dibuat sepanjang dua musim lekat di hati penonton-penonton Akademi Fantasia. Rancangan hiburan ini diterima secara positif oleh sebilangan besar penonton ASTRO. Hanya segelintir sahaja yang antikan Akademi Fantasia.

Perubahan konsep secara mengejut seperti AFMASUK telah menyebabkan sedikit kontroversi dan mencalarkan sedikit kredibiliti Akademi Fantasia. Ia adalah kejutan yang sukar diterima oleh penonton dan telah berjaya menjadi pemangkin kepada semangat mengundi.

7. Adakah AF menarik semua kaum?

Agak sukar untuk Akademi Fantasia menarik minat semua kaum di Malaysia kerana kurangnya penyertaan dari bangsa Cina dan India. Lebih-lebih lagi rancangan ini disiarkan di RIA.

Sebagai langkah awal yang positif, Akademi Fantasia sebenarnya telah berjaya menarik minat bangsa asing untuk menghayati karya-karya seni berbahasa Melayu melalui penyertaan Burn dan Vince yang telah muncul Juara pada musim yang lalu. Melalui musim ini, peminat Akademi Fantasia didedahkan pula dengan ras-ras suku bangsa yang wujud di Sabah dan Sarawak. Perbezaan agama atau bangsa sebenarnya bukan penghalang kepada Akademi Fantasia kerana faktor-faktor tersebut bukan penentu undian setiap penonton.

8. Patutkah AF menukar format di mana juri professional turut menyumbang kepada keputusan?

Kita sudah ada Bintang RTM untuk pertandingan yang menggunakan juri profesional. Mengapa perlukan juri profesional untuk Akademi Fantasia. Pilihan juri profesional juga adakalanya dipertikaikan. Asas utama masalah ini adalah kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Sememangnya sukar. Jika mahu membuat perubahan pada Akademi Fantasia III, tidak menjadi salahnya untuk kita mencuba kerana pada Akademi Fantasi Indosiar III mereka menggunakan juri profesional sepenuhnya kecuali menggunakan SMS sewaktu pemilihan di peringkat separuh akhir. Apa-apa pun rancangan ini masih terikat dengan syarat perlesenan yang telah diberikan oleh La Academia. Penggunaan juri profesional sekadar akan meleraikan ikatan kukuh antara penonton dengan pelajar lalu mengurangkan sedikit kesannya kepada penonton.

9. Pada pendapat anda, sejauh manakah realitinya Akademi Fantasia?

Rancangan ini masih ada penyuntingnya. Apa yang kita tonton, telah pun disunting dengan baik. Realiti bagi saya apabila kita dapat menonton aksi dua belas orang pelajar selama 24 jam untuk 7 hari tanpa suntingan. Satu baris ayat yang diucapkan oleh pelajar boleh disalah tafsir sekiranya disunting dengan bijak untuk menimbulkan polemik. Maksud sebenar pelajar boleh diputar-belitkan dengan teknik suntingan yang baik.

Kehidupan kita di Malaysia masih berlandaskan tatasusila ketimuran yang kuat berbeza dengan di Barat. Realiti yang dipaparkan dalam rancangan Survivor lebih meyakinkan bagi saya. Emosi peserta diberi tontonan secara keseluruhannya. Mereka lebih terbuka dalam melahirkan emosi-emosi mereka berbanding peserta Akademi Fantasia yang masih terkawal perlakuan mereka.

10. Apa pendapat anda mengenai sesetengah penonton yang gemar mengutuk dan mengeji pelajar di saluran 15, Forum Akademi Fantasia dan blog SM? Adakah itu sikap sebenar rakyat Malaysia?

Tentu ada sebab dan penyebab kutuk-mengutuk dan keji-mengeji ini terjadi. Seperti yang telah saya huraikan tentang bagaimana kukuhnya ikatan pelajar dengan peminat mereka walaupun mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain. Sikap sebenar rakyat Malaysia, mereka sukar dipuaskan. Mana-mana manusia di dunia ini pun sukar untuk dipuaskan hati mereka. Sudah dapat betis, mahu minta peha. Perasaan tidak puas hati, emosi, benci lahir dalam hati setiap manusia. Mana ada yang sempurna. Kalau pun kita kata kita tidak punya perasaan benci pun terhadap pelajar Akademi Fantasia, kita tentunya punya perasaan benci terhadap peminat mereka atau yang mengutuk mereka. Benci juga. Sama juga. Dua kali lima.

Kemudahan telah diberikan melalui wujudnya Forum Akademi Fantasia, Chat di Saluran 15 dan juga blog saya sendiri. Kemudahan tersebut bukan hak. Cuma mereka perlu gunakan sebaik yang mungkin dan bertanggungjawab. Saya berani bertanggungjawab dan menerima apa sahaja akibat kesan dari komen-komen saya di blog saya sendiri. Itu sebab saya berani memunculkan diri di khalayak ramai dan bukannya seperti sesetengah peminat yang marahkan saya dan hanya berani menggunakan email tanpa berani memunculkan diri berkata depan-depan. Macam tikus.

Namun demikian, hanya segelintir sahaja. Ia tidak menggambar sikap sebenar rakyat Malaysia. Ada juga yang berani.

11. Pada pendapat anda, adakah drama, filem dan ‘talk show’ di Malaysia melambangkan realiti di Malaysia?

Terlalu umum soalan ini. Ada banyak drama, filem dan talk show di Malaysia. Ada drama yang menggambarkan realiti hidup di Malaysia, begitu juga dengan filem dan talk show. Ada yang tidak. Forum Perdana menggambarkan realiti di Malaysia. Topik perbincangan mereka banyak berkisar tentang permasalahan-permasalahan semasa. Itu realiti. Isu-isu yang diketengahkan adalah isu-isu semasa cuma sama ada kita tonton atau tidak sahaja.

Memang tidak saya nafikan, ada drama dan filem yang cuba melebih-lebihkan sesuatu perkara sehingga tidak menggambarkan realiti di Malaysia.

12. Jika anda diberi peluang untuk menukar apa sahaja di dalam AF, apakah yang akan anda tukar?

Selain AFUNDI, saya mahu AFSINGKIR. Peratus undian dikira berdasarkan perbezaan AFUNDI dan AFSINGKIR. Jadi saya boleh membuang mana-mana pelajar yang tidak saya ingini untuk pengajiannya di dalam Akademi.

Pelajar Akademi Fantasia diberi pilihan untuk memilih lagu-lagu yang sesuai dengan mereka pada minggu-minggu awal atau pada mana-mana minggu sebagai kejutan.

Peratus undian disiarkan secara real-time memberikan satu lagi elemen yang mendebarkan kepada penonton lalu terus berperang sehingga ke akhir menyelamatkan pelajar mereka. Sewaktu lagu Menuju Puncak bolehlah dipadamkan dari skrin untuk membuatkan penonton merasai debarannya.

Gelaran Pelajar Contoh harus diberikan setiap minggu bukan hanya setelah pelajar yang tidak disukai Pengetua masih lagi berada di dalam Akademi.

Live coverage 24/7 untuk Akademi Fantasia. Paling tidak secara streaming di internet. Mungkin akan ada kompeni yang tutup angkara ini.

13. Jika anda diberi peluang untuk menghasilkan sebuah rancangan realiti tv, apakah rancangan yang akan anda hasilkan?

Sebuah rancangan seperti The Amazing Race telah pun dilaksanakan di Malaysia iaitu Explorace. Sebuah rancangan seperti American Idol juga telah dihasilkan iaitu Malaysian Idol. Agak sukar untuk menghasilkan rancangan realiti tv di Malaysia kerana kekangan tatasusila ketimuran yang perlu dipegang. Jika ingin menghasilkan sesuatu seperti Survivor, pasti ada suara-suara yang memprotes tentang bagaimana kehidupan mereka yang bercampur gaul di dalam hutan. Begitu juga kalau ingin menghasilkan sesuatu seperti The Big Brother. Kita harus berpegang kepada pegangan dan tatasusila tersebut.

Jika diberi peluang saya mahu sahaja mengumpulkan beberapa orang penulis profesional dan artis yang terdiri daripada pelakon/penyanyi dan penari profesional di dalam sebuah Istana Budaya. Mereka dihimpunkan dan menulis sebuah skrip teater muzikal. Penonton mengundi untuk memberikan idea kepada penulis untuk mencorakkan plot teater muzikal tersebut. Setiap hari mengundi plot yang berbeza dari penulis yang berbeza. Pada penghujung minggu para artis profesional akan mementaskan skrip yang telah dihasilkan. Penulis plot yang tidak mendapat sambutan akan disingkirkan. Di penamat teater muzikal tersebut, pemenangnya ialah semua penulis profesional yang telah menghasilkan sebuah skrip teater muzikal secara kolektif. Semua adalah pemenang, tiada pengalah.

Konsep penulisan yang memberikan pilihan kepada pembaca untuk menentukan jalan cerita telah pun dilakukan oleh Nizam Zakaria melalui novel Akademi Impiana yang telah selesai dan Seri Tertangguh yang masih dikarang oleh beliau kini.

Saya juga mengharapkan maklumbalas daripada pembaca blog saya untuk setiap persoalan yang telah dijawab ataupun yang masih belum terjawab agar hasil temuramah ini lebih bersifat kolektif.

Terima kasih daun keladi!

Entri oleh sultanmuzaffar 12 September 2004 0 komen

Buai Laju Laju : Macam menonton teater Ronggeng Rokiah

Buai Laju LajuSaya duduk dalam panggung. Harapan saya rendah untuk filem ini. Tetapi hasilnya besar. Jiwanya terlalu besar. Mesejnya maha besar.

Dari cerita orang Melayu yang tidak pandai berniaga, cerita orang Melayu yang hanya bermegah punya tanah berpuluh ekar, cerita orang Melayu yang terlalu leka mengejar bintang, Segalanya didedahkan di dalam filem ini. Faham atau tidak faham. Terletak pada otak dan hati masing-masing.

Cukup sekadar imej kotor yang dirakamkan menggunakan video dan kemudiannya dibesarkan untuk disesuaikan ke skrin panggung wayang, imej-imej yang terpapar pada filem ini punya seribu makna. Jangan mengharapkan sinematografi seindah Puteri Gunung Ledang dalam filem ini kerana impian anda akan berkecai. Sinematografi filem ini kotor, kabur, gelap dan agak kacau-bilau. Jiwanya noir tetapi tidak terlalu noir. Sebagaimana kotornya imej dalam Perempuan, Isteri dan Jalang serta Kaki Bakar dan Jogho, begitulah filem ini. Imej-imej yang terpapar berbau kusam. Semuanya digambarkan penuh jujur.

Jika anda pernah menonton teater Ronggeng Rokiah, anda tentu faham apa yang saya cuba sampaikan. Saya menonton teater Ronggeng Rokiah sebanyak empat kali. Untuk mencari makna-makna setiap babak serta makna imej yang tertera di hadapan saya. Tegaknya pili bomba bewarna merah ada makna besar begitu juga naga yang menerjah layar putih. Dalam Buai Laju Laju ia digambarkan dengan air yang mendidih.

U-Wei memang cukup sinonim menggunakan simbol untuk menyampaikan sesuatu makna. Masih kekal lagi adegan sewaktu Tapa lakonan Zaidi Omar dan Zaleha lakonan Sofea Jane berasmara di tengah-tengah hutan di dalam hujan. Imej susu pokok getah yang melimpah dari takungannya memberikan satu intepretasi seksual yang tinggi pada adegan tersebut. Lepas dari tapisan kerana Lembaga Penapis hanya mengharamkan adegan keluar-masuk yang dizahirkan secara terang-terangan tetapi menghalalkan imej yang dizahirkan secara simbolik. Mungkin juga mereka tidak faham makna susu getah tersebut.

Buai Laju LajuBerbalik kepada Buai Laju Laju, saya suka kepada imej majalah Hai yang beberapa kali dirakamkan di atas skrin. Tidak cukup untuk menggambarkan bagaimana lekanya Melayu yang bernama Zaiton itu, dinding-dinding rumahnya dipenuhi dengan poster-poster dengan wajah-wajah bintang terkenal antara Siti Nurhaliza. Bintang-bintang inilah yang telah membuatkan Melayu terleka, terlalu dibuai angan-angan dan diulik mimpi-mimpi indah. (poster bintang Akademi Fantasia juga boleh digunapakai untuk adegan tersebut).

Macam kata U-Wei, di Malaysia untuk buat filem memang susah, filem seks tidak boleh digambarkan dengan adegan ranjang dan bunuh tidak boleh dibasahi dengan darah juga filem hantu tidak boleh ada hantu. Malaysia Boleh !

Lakonan hebat Eman Manan yang telah pun memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia yang baru lalu benar-benar tepat dan tidak wajar dipertikaikan. Eman Manan memberikan sebuah lakonan yang dikawal dengan baik dan menjadi kekuatan utama filem ini untuk mengimbangi kelemahan Betty Benafe sebagai Zaiton yang agak goyah tetapi agak minimal kesannya kepada filem ini.

Sememangnya kekuatan filem Buai Laju Laju terletak pada lakonan, cerita serta rekaan produksinya yang benar-benar kuat dan mantap.

Saya meletakkan filem ini melebihi Puteri Gunung Ledang. Selepas menonton filem ini terasa Puteri Gunung Ledang terlalu kecil jiwanya dan terlalu kurang mesejnya. Jiwa Buai Laju Laju terlalu besar. Namun demikian, Perempuan Isteri dan Jalang masih karya terbaik U-Wei Haji Shaari.

Buai Laju Laju
Perempuan, Isteri dan Jalang
Buai Laju Laju

Rating: 4/5 bintang

Entri oleh sultanmuzaffar 08 September 2004 0 komen

OPs OPHELIA II
The Making of OPs OPHELIA I

Saya telah pun membuat keputusan untuk sama-sama menyertai OPs OPHELIA II yang dijadualkan berlangsung pada sekitar bulan Disember. Walaupun bakal ada tangan-tangan ajaib yang akan cuba menghalang saya dari menyertai OPs OPHELIA, saya akan tetap bersama OPHELIA.

Sewaktu melangkah masuk ke Lambang Sari Istana Budaya, hati saya telah mengatakan tempat ini sesuai untuk OPs OPHELIA II. Saya mahu melihat OPs OPHELIA II di sini. Istana Budaya ! Walaupun Lambang Sari tidak sebesar Panggung Sari tetapi sudah cukup membanggakan sekiranya ia menjadi kenyataan.

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, pembukaan Lambang Sari adalah satu usaha untuk merapatkan jalinan sedia ada antara Istana Budaya dan penggiat-penggiat seni tempatan. Penubuhannya juga adalah untuk menyambut nasihat dari beberapa tokoh seni dan budaya yang menyarankan agar sebuah panggung yang lebih kecil dibina untuk mempelbagaikan kegiatan kesenian di kompleks Istana Budaya.

Kedudukan penonton berbentuk arena memudahkan penyampai mesej serta interaksi bersama penonton dijayakan oleh OPs OPHELIA II. Dalam sedikit masa yang singkat itu, terdengar juga bagaimana rekabentuk pentas yang diimpikan oleh Tuan Pengarah. Beliau juga mengimpikan untuk menjalinkan kerjasama dengan kumpulan teater Melayu sedia ada untuk menarik lebih ramai lagi golongan Melayu mencipta sejarah bersama teater ini.

Tugas saya bersama OPs OPHELIA II telah pun bermula. Pertama, meneruskan tugas-tugas menyelia laman web OPs OPHELIA dan kedua, memperkenalkan Pengarah dan Produser kepada Pegawai Perhubungan Awam Istana Budaya yang saya kenal secara peribadi melalui beberapa jemputan ke siri teater dan persembahan yang telah diadakan di sana.

Saturday Nite @ Gazebo Subang Jaya
Saturday, 11 September 2004
8pm – 12am
Email me

Gangguan Teksual
GT 1.0 harga RM5
Harga: RM5.00 + pos
Penyusun: Ghazali Bunari
mel:harimauj(at)yahoo.com
Penulis: Geng Jurnal
Link: The Making of Gangguan Teksual V 1.0 Beta

Sebuah Zine biasa yang sederhana hebatnya. Gangguan Teksual siap dijilid dan sudah mula masuk pasar. Untuk membelinya, hubungi pengedar anda.Berikut adalah senarai salesman dengan stok terhad, siapa cepat dia dapat. Sila hubungi mereka jika anda mahu GT:
harimauj(at)yahoo.comJOHOR BAHRU
sultanmuzaffar(at)gmail.comKUALA LUMPUR
fajaril(at)yahoo.comMELAKA
mah649(at)hotmail.comBATU PAHAT
nett00(at)yahoo.comSELANGOR
beruangmalaya(at)yahoo.comKUALA LUMPUR
miecreation78(at)yahoo.comSUNGAI BULUH
maxalon(at)hotmail.comKEDAH
jongkangjongket(at)yahoo.comKEDAH
pyzul(at)yahoo.comKUALA LUMPUR
izalatif(at)yahoo.comKUANTAN
vicenata2000(at)yahoo.comSELANGOR
deadkafka(at)yahoo.comSELANGOR
design(at)lasso.com.mySKUDAI

Entri oleh sultanmuzaffar 05 September 2004 0 komen

Mini Gathering Puteri Gunung Ledang
Sekali lagi selepas tamatnya Akademi Fantasia, saya mendapat beberapa orang lagi kawan baru. Malam itu, saya turut menyertai mereka untuk menonton Puteri Gunung Ledang. Walaupun sudah menonton filem tersebut, saya menontonnya sekali lagi kerana ini pertemuan mereka yang pertama kali.

Malam itu saya dapat bertemu dengan Wink, Annemorph, OrangKampung, Scov, bakat tumpul, ajeem, CKin, Cikanos, linbanana, keisch, Resmo, mee sua, KA, Izreen, Yasz, Rose, LV, wai em, Nuar, hemo hemo dan Jojie. Maaf kalau ada yang tertinggal namanya. Ini hanya satu permulaan. Macam dulu saya selalu keliru antara Yeen dan Izreen. Maklumlah lebih kurang saja. OrangKampung macam emak Edlin. Ada gaya-gaya seorang Datin. Yang lebih hebat tentunya CKin yang terbang dari Brunei semata-mata mahu menonton Puteri Gunung Ledang. Terima kasih kerana menghadiahkan saya miniature kapal terbang Royal Brunei.

Apa yang best tentang mereka ini ialah tanpa mengira siapa yang mereka minat, kami dapat duduk semeja dan bercerita tentang Akademi Fantasia dari pagi hingga malam. Kita berkongsi satu minat yang sama. Sesiapa sahaja boleh menyertai kami.

Darzfan, bila lagi ? Bila berada di Kuala Lumpur. Sila lapur diri. Sesiapa sahaja yang berada di luar Kuala Lumpur dan bercadang untuk berada di Kuala Lumpur, boleh juga melapurkan diri anda.

Saya menerima sesiapa sahaja yang sudi untuk menyertai kami tanpa mengira siapa yang mereka minat. Itulah magiknya Akademi Fantasia. Saya lebih gemar bertemu dengan peminat yang fanatiknya masih boleh dikawal, bukan sekadar fanatik diluar kawalan.

Berkenaan Puteri Gunung Ledang, setelah menontonnya untuk kali kedua saya merasakan ia agak membosankan. Puteri Gunung Ledang ialah jenis filem yang hanya sesuai ditonton sekali sahaja seperti The Game dan The Sixth Sense. Beberapa kali saya terlena.

Outing Makan Ketam
Hari Sabtu lepas saya, badrul, dream, Chail, Lina dan anaknya telah pergi ke Pelabuhan Klang. Terima kasih kepada badrul yang telah membelanja ketam Port Village di Pelabuhan Klang. Tiada kejutan yang dibawa oleh badrul.

Melodi
Muncul selama lima saat dalam Melodi untuk komen tentang filem Sepet iaitu filem arahan Yasmin Ahmad. Saya berkesempatan untuk menonton hasil akhir filem tersebut atas jemputan pengarah filem tersebut sebelum ianya dihantar ke Lembaga Penapisan Filem Malaysia. Tentulah hasilnya akan lain dari apa yang sebenarnya ditonton sebelum ini. Seperti juga dengan rakaman temuramah oleh wartawan Melodi. Saya sendiri tidak tahu ia adalah untuk Melodi. Terima kasih kerana telah menyunting rakaman tersebut sehingga menjadikan percakapan saya begitu lancar.

Majlis Perkahwinan Shay
Tengahari tadi makan percuma kerana menghadiri wedding Shay, salah seorang pembaca blog saya sendiri. Ramai juga yang hadir antaranya KA dan anak-anaknya, Leen, Izreen, sempoii dan keluarga, kak iffa dan suami, frodo, wink, LV, wai em, ajeem, Lan dan lain-lain.

Perjalanan Bu Aminah
Bertemu Farah dan keluarganya yang sama-sama mahu menonton kerja seni gurunya di Akademi Fantasia dahulu. Teater tersebut membuka satu lokasi baru kepada penggiat teater tempatan untuk mementaskan karya-karya mereka. Lambang Sari ialah sebuah pentas arena yang sesuai untuk sebuah produksi-produksi marhaen yang bermimpi untuk beraksi di Istana Budaya.

PUTERI GUNUNG LEDANG...A TRIBUTE.

Di suatu petang seorang atuk (A) sedang berbual dgn cucunya, Boy (B) sambil menonton berita di NTV7…

A: Boy, tinggi menGUNUNG LE DANG suria tu punye gaji skarang, dah naik pangkat join NTV7.

B : Aisey tok, isu duit ni sensitip sekarang

A : Apasal?

B : Kereta boy rosak lah… Mane nak cari duit nak repair ni…

A : HANG TU AH, degil!,...atuk dari dulu lagi suruh simpan duit, cari kerja.

B : Susah lah tok nak jadi reMAJA. PAHIT hidup kitorang ni…susah nak cari duit.

A : Sape suruh cari duit jual vcd…tu BENDA HARAm tu… pi la buat keje lain

B : Dah tok, dulu kan Boy buat keje kontrak tapi tak lame. Kan masa Boy angkat simen tu, Boy teglincir terpelanTUN TEJAtuh….Seminggu Boy masuk spital

A : Habis tu, pi la belajar part time ke…ni tidak, duduk rumah layan muzik, tiap2 hari pasang cd group Henson tu, lagu apetu…yg MmmM BOK tu…dah tu asyik mengadap vcd2 GUSTI ADI, PATImah, Leman dan sesape lagi lah member2 Boy tu……dari pinjam vcd2 gusti diorang tu kan lagi bagus Boy buat kerja berfaedah sikit.

B : Tok, lagu Mmm Bob la...

A : Sama la tu...atuk ni lidah dah keras Pi lah sambung belajar, senang nanti cari kerja.

B : Susah lah tok...saya ni blur sikit...kalo buat ujian tu, asyik nak menipu je.

A : Tak baGUS TI-PU, TRIme aje lah yang awak tu malas bukan blur...

B : Abis tu camne tok?

A : Boy tak yah nak peNING. RATionalnye, senang. Boy kene usaha…nanti lamBAYAN duit tu akan datang lah kat depan muka Boy tu.

B : Ok la tuk, Boy akan usaha.

A : Dah,dah, atuk lapar ni...Mak dah keluar kan? HmmM NASI Rasenye pun dah habis. Pi lah tolong belikan atuk makanan sikit.

B : TakDE, MAK pi keluar sat. Boy dah belikan laksa untuk atuk, ade kat dapur tu.

A : LAKSA, MANA? Brape ringgit Boy?

B : RM 7. DULANG ke atau nak saye hidang atas meja je?

A : Letak je atas meja tu..tak yah pakai dulang, leceh. Bawak sekali air PATI Herba atuk tu.

B : Ok atuk.

A : Borak ngan Boy ni tetiba atuk rase nak tengok Puteri Gunung Ledang pulak, sat lagi bawak atuk ye lepas atuk habis makan ni…

B : Tak leh atuk, sorry…

A : Kenape?!

B : TIARA Boy kan rosak laa….

Moral of the story….Pi lah menonton Puteri Gunung Ledang dan jangan beli Tiara ye. Sokong lah industri tempatan yang berbaloi

oleh wink | Email | Homepage | 09.06.04 - 9:48 am | #

Gambar ihsan KA
Buat Saudara Anwar Ibrahim : Bebas Seperti Burung

Entri oleh sultanmuzaffar 01 September 2004 0 komen

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Taman KLCC

Ini kali pertama saya ke Konsert Reunion Akademi Fantasia. Kali pertama ia diadakan dengan tema Terima Kasih Malaysia, saya tidur di rumah. Masa itu saya tidak kenal sesiapa. Pelik pula nanti apabila berada di tengah-tengah orang ramai sambil mencatat catatan di buku nota. Malam tersebut saya tonton Multimedia Super Cintun di ntv7.

Konsert Reunion kali ini bertemakan Hanya Untukmu. Kali ini lebih santai. Saya mendapat pass media dari ASTRO. Terima kasih kepada yang berkenaan. Saya bebas keluar masuk dan mengambil apa sahaja gambar dari sudut-sudut yang menarik kecuali melintas di hadapan Tenaga Pengajar. Itu pesan mereka.

Pembukaan oleh Aznil pada malam itu tentunya mengejutkan ramai pihak. Tenaga Pengajar diperkenalkan sebagai Bintang Akademi Fantasia. Setiap seorang daripada mereka melakukan impersonafikasi terhadap Bintang Akademi Fantasia yang sebenar. Cikgu Ramli MS meniru mesra Bob. Cikgu Adnan meniru gaya Zahid. Cikgu Fauziah Nawi dengan Vote for Ummi. Cikgu Corrie Lee dengan gaya entah siapa. Cikgu Linda Jasmine meniru okke Linda, Dr. Sher Kawi meniru gaya rap Adam dan Cikgu Siti Hajar dengan breep breep Farah. Puan Mahani dengan gaya Mas dari Tawau Sabah. Kak Shina mengajuk Pulangkan Zarina dan Encik Julian meniru gaya Anding.

Sistem audio yang ada di Taman KLCC memang berada di tahap yang terbaik. Berada di tengah-tengah pembesar suara serta kiri-kanan pembesar-pembesar suara tentunya mampu membuatkan vokal pelajar menjadi amat sedap. Aura dan tenaga dari pelajar terserap kepada saya dan amat memuaskan hati saya sebagai penonton. Tidak ada catat celanya sistem audio pada malam tersebut. Itulah nikmat apabila menjadi penonton. Namun demikian, banyak masa saya dihabiskan dengan merakamkan gambar-gambar dari sudut-sudut yang menarik. Untuk mendapatkan rakaman yang menarik perlu bergerak dan saya sedikit sebanyak mengabaikan catatan ulasan nyanyian pelajar. Lagipun ini Konsert Reunion, yang perlu saya nilaikan ialah keseronokan bintang serta penonton yang menyaksikan persembahan malam itu.

Untuk Konsert Reunion saya melakukan sedikit perubahan. Saya nilai tahap persembahan yang telah memberikan saya kepuasan dan tenaga yang cemerlang. Saya mengabaikan nilai vokal tetapi memberikan bonus kepada bintang yang telah memberikan persembahan vokal yang cemerlang. Ada peluang untuk bintang yang telah menyebabkan mata saya tidak beralih ke tempat lain untuk menduduki tempat teratas walaupun persembahan vokalnya biasa sahaja.

Kejutan-kejutan yang dipaparkan di skrin besar pada malam tersebut wajar ditonton oleh anda dan tidak akan saya ceritakan di sini. Lebih seronok sekiranya disaksikan sendiri.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Zahid – La Obe oleh Kassim Selamat 8/10
Zahid memberikan sebuah persembahan pembukaan yang penuh bertenaga. Beliau ligat di pentas serta banyak dibantu oleh rakan-rakannya yang lain. Setiap bintang yang lain tahu apa yang perlu dilakukan di atas pentas. Walaupun ramai berada di pentas, pergerakan mereka masih terkawal. Saya suka dengan persembahan ini kerana dapat melihat penampilan setiap bintang, satu-satu.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Edlin – Hero oleh Mariah Carey 7/10
Satu sebab mengapa saya suka persembahan ini ialah kerana lagunya sukar yang dinyanyikan oleh Mariah Carey. Edlin berjaya membuktikan kepada saya yang beliau berbakat besar untuk membawakan lagu-lagu killer yang sukar dan tidak ramai yang berani menyanyikannya. Persembahan beliau menjadi lebih baik apabila mutu vokal yang disampaikan sesuai dengan lagu tersebut. Beliau bijak mengawal vokal beliau walaupun showmanship beliau masih kelihatan agak kaku.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Fitri - Dendangan Lagumu oleh Carefree 6/10
Salah satu sebab mengapa saya tidak mengendahkan sangat persembahan Fitri ialah kerana lagu yang dibawakan olehnya lebih kurang sama dengan Bayangan Tarimu juga oleh Carefree. Saya mahu melihat satu kelainan yang mampu dibawakan oleh beliau. Kelainan yang mampu dibawakan oleh beliau membawa maksud satu kelainan yang setaraf dengan kemampuannya bukan sekadar melakukan sesuatu yang di luar kemampuannya. Tarian Fitri masih lebih kurang sama walaupun ada sedikit peningkatan dari segi vokal. Kelebihan Fitri beliau bijak untuk menguasai pentas, beliau sedikit pun tidak kelihatan kekok di pentas.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Nurul – Ku Milikmu oleh Siti Nurhaliza 7/10
Nurul tidak sihat malam itu. Nyata persembahan vokal tidak seperti yang saya harapkan. Saya menonton persembahan beliau sehingga tamat untuk melihat sejauh mana beliau boleh pergi dengan fizikal yang tidak sihat. Jelas kelihatan stamina beliau agak goyah di pentas tetapi beliau tetap menampilkan showmanship yang agak berani. Tidak banyak yang boleh Nurul persembahkan kepada khalayak dalam keadaan tidak sihat. Nyata saya terpukau dengan persembahannya bersama penari latar.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Bob - Ghazal Untuk Rabiah featuring Hattan 8/10
Lagu ini pada asalnya dinyanyikan oleh M.Nasir dan Jamal Abdillah. Tetapi malam itu Bob menyanyikannya secara solo sebelum dikejutkan dengan kehadiran Hattan. Saya hanya mahu mendengar kelunakan dan kelantangan vokal Bob untuk lagu tersebut. Pada beberapa bahagian kedengaran agak sumbang. Nyata vokal Bob merupakan aset penting untuknya.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Mas – Senggol Senggolan oleh Mas Idayu 9/10
Antara persembahan yang terhebat malam tersebut. Keyakinan beliau amat terserlah. Beliau menghargai peminat-peminatnya. Tanpa memperdulikan apa yang orang kata, beliau terus bergelek tanpa menghiraukan keadaan yang lain. Pentas itu beliau yang punya. Ke kiri dan ke kanan beliau bebas bergelek. Saya suka dengan ketabahan beliau. Mas seorang yang hebat showmanshipnya walaupun mutu vokal beliau masih banyak kekurangan. Sebuah persembahan yang menghiburkan.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Kaer - Dinda Di Mana oleh Katon Bagaskara 7/10
Lagu yang dibawakan oleh Kaer tidak kuat kesannya kepada penonton. Lagu Dinda Di Mana adalah sebuah lagu yang agak lama iaitu sekitar 1995/96. Kesannya kepada penonton tidak hebat. Vokal Kaer juga tidak banyak dipelbagaikan dengan teknik-teknik untuk mengindahkan lagi sebuah lagu yang agak lama. Namun demikian, Kaer mengusai pentas dengan bagus untuk menghargai peminatnya di setiap penjuru.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Linda - Hati Lebur Jadi Debu oleh Hetty Koes Endang 6/10
Kelemahan utama Linda ialah beliau cepat goyah dengan cabaran. Memang sukar untuk berhadapan dengan kenyataan yang pahit tetapi itulah yang perlu beliau tempuhi sepanjang masa. Kesilapan beliau memulakan lagunya banyak berpunca dari ketidakstabilan emosi beliau yang banyak terganggu oleh gangguan penonton. Bintang Akademi Fantasia dilahirkan bersama-sama semangat kerjasama dan tolak-ansur yang telah dipupuk sejak hari pertama di Akademi Fantasia. Ingat itu !

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Adam - Babe oleh KRU 6/10
Apabila mengetahui Adam membawakan lagu KRU, saya sudah boleh menjangkakan gaya persembahannya. Tidak banyak pembaharuan yang dibawakan oleh Adam kecuali mutu vokal yang masih samar-samar identitinya. Saya mahu melihat Adam dan bukannya KRU. Jangan disempitkan lagi peluang Adam.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Farah - Menghitung Hari oleh Kris Dayanti 9/10
Sebuah lagu wajib di pusat karaoke dibawakan oleh Farah. Sebuah lagu mudah yang penonton biasa dengar. Saya suka dengan lagu tersebut dan ingin melihat pembaharuan yang dibawakan oleh Farah. Nyata tidak banyak perubahan kecuali untuk mendengar kehebatan vokal Farah. Farah kelihatan amat selesa dan relaks membawakan lagu tersebut.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Anding – Yeah oleh Usher 9/10
Persembahan Anding ialah antara persembahan terbaik malam itu. Saya suka dengan penampilan Anding di pentas. Koreografi Anding mengkagumkan. Cemerlang. Pergerakan dan penguasaan pentasnya hebat. Anding ada karisma sebagai seorang penghibur yang serba-boleh. Anding tahu pergerakan mana yang penonton suka tonton. Bijak. Anding perlu memperbaiki mutu vokalnya.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Zarina - Bahtera Merdeka featuring Cikgu Siti Hajar 8/10
Bahtera Merdeka merupakan antara lagu yang hebat malam itu. Sebuah lagu yang kena dengan suasana malam tersebut. Hari Kemerdekaan. Tidak banyak keindahan pada lagu tersebut yang ditonjolkan oleh Zarina. Kejutan malam itu tentunya kemunculan Cikgu Siti Hajar menyanyi bersama-sama dengan Zarina. Jarang benar dapat mendengar Cikgu Siti Hajar menyanyi sebuah lagu di dalam Akademi.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Adam dan Linda - Bintang Kehidupan oleh Yanti dan Ronnie 6/10
Sebuah lagu yang sedap tetapi malangnya gagal disempurnakan dengan baik oleh Adam dan Linda. Semacam tidak kuat karisma mereka untuk saya terus tonton persembahan mereka.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Bob dan Farah - Senja Nan Merah oleh Awie dan Ziana Zain 9/10
Dua-dua bintang mempunyai mutu vokal yang hebat. Itu kekuatan utama persembahan lagu ini. Mereka bertanding mutu vokal. Lagu ini sukar tentunya saya mahu mendengar kehebatan vokal mereka. Sayangnya Bob beberapa kali terlupa lirik sehingga Farah terpaksa menutup kesilapan yang bukan dilakukan olehnya. Sedikit kecewa saya dibuatnya.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Zahid dan Ruffedge – Milikku 9/10
Nyata kehadiran Ruffedge banyak membantu persembahan Zahid. Saya suka dengan penguasaan pentas Zahid yang ligat. Showmanship Zahid cemerlang. Persembahan vokal Zahid juga banyak menaikkan lagi semangat untuk menikmati persembahannya. Lagu ini akan terus menjadi milik Zahid dan terus kekal sinonim bersama nama Zahid. Sebuah persembahan yang amat bertenaga yang telah memberikan impak besar kepada penonton.

Bintang Akademi Fantasia II - Menuju Puncak 7/10
Agaknya versi lagu tema Menuju Puncak yang ini merupakan versi Konsert Reunion. Lebih kurang serupa dengan yang Konsert Reunion Akademi Fantasia I. Tidak banyak bezanya. Saya tertarik dengan jaket yang mereka pakai. Ada dijualkah agaknya ?

Penutup oleh Aznil Hj Nawawi - Salam Terakhir oleh Allahyarham Sudirman
Sebelum menamatkan Konsert Reunion malam itu, bintang Akademi Fantasia dengan secara rasminya membuka ujibakat untuk Akademi Fantasia III secara rasminya. Aznil terpilih sebagai peserta bernombor 0001 KUALA LUMPUR. Aznil membawakan lagu Salam Terakhir dengan penuh perasaan sehingga menitiskan airmata. Salam Terakhir dari terus menduduki kerusi Pengacara atau pun apa. Pengumuman Aznil di penghujung konsert seakan-akan mengiakan yang ada Akademi Fantasia III.

Saya pulang dengan rasa puas dan keletihan. Sebuah persembahan yang menarik tetapi belum dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton. Pemilihan lagu yang tidak kuat untuk membuatkan penonton terus teringat kepada bintang Akademi Fantasia. Tugas yang maha berat menanti untuk produksi Akademi Fantasia III. Perlu dikorek idea-idea baru untuk diadun dalam sebuah produksi terbaru, Akademi Fantasia III.

Ranking Persembahan
Zahid dan Ruffedge – Milikku 9.7/10
Bob dan Farah - Senja Nan Merah oleh Awie dan Ziana Zain 9.5/10
Farah - Menghitung Hari oleh Kris Dayanti 9.4/10
Zarina - Bahtera Merdeka featuring Cikgu Siti Hajar 9.3/10
Bob - Ghazal Untuk Rabiah featuring Hattan 8.7/10
Kaer - Dinda Di Mana oleh Katon Bagaskara 8.6/10
Zahid – La Obe oleh Kassim Selamat 8.5/10
Anding – Yeah oleh Usher 8.3/10
Adam dan Linda - Bintang Kehidupan oleh Yanti dan Ronnie 7.9/10
Bintang Akademi Fantasia II - Menuju Puncak 7.6/10
Mas – Senggol Senggolan oleh Mas Idayu 7.4/10
Linda - Hati Lebur Jadi Debu oleh Hetty Koes Endang 7.3/10
Edlin – Hero oleh Mariah Carey 7.2/10
Adam - Babe oleh KRU 7/10
Fitri - Dendangan Lagumu oleh Carefree 6.6/10
Nurul – Ku Milikmu oleh Siti Nurhaliza 6.5/10

Ranking Kepuasan Menonton
Zahid dan Ruffedge – Milikku 9/10
Anding – Yeah oleh Usher 9/10
Mas – Senggol Senggolan oleh Mas Idayu 9/10
Bob dan Farah - Senja Nan Merah oleh Awie dan Ziana Zain 9/10
Farah - Menghitung Hari oleh Kris Dayanti 9/10
Zahid – La Obe oleh Kassim Selamat 8/10
Zarina - Bahtera Merdeka featuring Cikgu Siti Hajar 8/10
Bob - Ghazal Untuk Rabiah featuring Hattan 8/10
Kaer - Dinda Di Mana oleh Katon Bagaskara 7/10
Edlin – Hero oleh Mariah Carey 7/10
Bintang Akademi Fantasia II - Menuju Puncak 7/10
Nurul – Ku Milikmu oleh Siti Nurhaliza 7/10
Fitri - Dendangan Lagumu oleh Carefree 6/10
Linda - Hati Lebur Jadi Debu oleh Hetty Koes Endang 6/10
Adam dan Linda - Bintang Kehidupan oleh Yanti dan Ronnie 6/10
Adam - Babe oleh KRU 6/10

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger