Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 26 September 2004

Anugerah ERA 04
Anda pernah tengok sarkis ? Saya masa kecil-kecil dahulu, kalau ada pertunjukan sarkis, saya akan pergi dengan keluarga. Seronok tengok sarkis kerana ada badut, ada orang main api, lompat sana, lompat sini, lawak bodoh pun ada kadang-kadang di sarkis. Yang paling mendebarkan bila tengok ada manusia yang sanggup menggadai nyawa jalan atas wayar yang tergantung. Seronok tetapi mendebarkan. Selalunya bila saya pergi sarkis, saya suka tengok orang ramai berpakaian warna-warni. Bukan sahaja orang ramai, badut pun bewarna-warni, beraneka warna.

Macam sakris, Anugerah ERA 04 pun macam-macam ada. Keputusannya amat mengejutkan macam lawak bodoh. Ada pertunjukan yang dipersembahkan dengan teknik pyro yang menarik serta pakaian-pakaian bewarna-warni oleh para hadirin.

Bukan setakat Anugerah ERA, sebuah lagi sarkis yang turut diadakan di PWTC juga turut mencatatkan keputusan mengejutkan. Siapa sangka Tan Sri Isa Samad mampu untuk menang dalam persaingan Naib Presiden. Banyak juga keputusan mengejutkan yang hadir pada minggu ini. Kemenangan Maya Karin juga boleh disifatkan mengejutkan kerana juri Festival Filem Malaysia mengiktiraf Nasha Aziz untuk menang Pelakon Wanita Terbaik mengalahkan Maya Karin yang menang setelah dinilai oleh juri Festival Filem Asia Pasifik. Ini kali kedua berlaku, kali pertama apabila juri FFAP mengiktiraf Khatijah Tan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik tetapi di FFM beliau gagal di tangan Ellie Suriaty.

Berbalik kepada Anugerah ERA, promo pembukaan yang menampilkan lakonan dari Penyampai ERA memang banyak membantu mendekatkan penonton dengan konsep yang diketengahkan oleh mereka iaitu urban batik. Muncul persis model catwalk, para penyampai ERA memperagakan pakaian yang amat cantik serta improvisasi yang dilakukan kepada seni batik tempatan. Konsep urban batik yang dicetuskan untuk Anugerah ERA merupakan idea yang bernas dan brilliant ! Kreativiti pereka pakaian serta artis menyerlah pada malam tersebut.

Ketiadaan animasi AE yang sering muncul pada setiap Anugerah ERA memang terasa. Sebaliknya tuan punya suara AE hanya muncul sebagai Pengacara untuk Siaran Web di dvrplayer.com yang disiarkan secara langsung untuk penonton ERA di luar negara berpasangan dengan Kaer.

Goyang oleh Phlowtron, Ruffedge dan Lil’Z
Persembahan pembukaan oleh Phlowtron, Ruffedge dan Lil’Z menerapkan unsur-unsur moden dan berdaya maju tetapi kurang memberi kesan dan tenaga kepada penonton. Sebuah permulaan yang agak hambar tetapi berjaya menarik sedikit minat penonton apabila elemen tradisional iaitu dikir barat dimasukkan dalam persembahan.

Lagu Pop Pilihan (Farid Kamil dan Yasmin Hani)
Saya hanya menyenarai-pendekkan Jangan Kau Mimpi, Bukan, Dialah Di Hati dan Pulangkan untuk menggondol anugerah Lagu Pop Pilihan. Hanya lagu ini yang telah menarik minat saya. Persaingan sengit besar kemungkinan berlaku kepada dua artis wanita popular masa kini iaitu Siti Nurhaliza dan Misha Omar. Kejutan pertama pada malam itu apabila Bukan nyanyian Ziana Zain muncul menggondol anugerah tersebut.

Pilihan SM : Pulangkan (Misha Omar)
Keputusan : Bukan (Ziana Zain)

Medley Yallah Beena, Allahu oleh Rabbani & Raihan
Antara persembahan yang baik pada malam tersebut. Saya suka apabila mereka berjaya membawakan lagu tersebut secara langsung dengan cemerlang. Keharmonian vokal mereka memang menakjubkan. Kelantangan sesetengah penyanyi membuatkan lagu tersebut menarik. Kedua-dua kumpulan ini merupakan kumpulan yang mempunyai mutu vokal yang cemerlang serta jelas. Tidak guna punya persembahan yang mantap sekiranya mutu vokal tidak jelas. Kumpulan ini telah memberikan sebuah persembahan yang sederhana tetapi cemerlang.

Artis Inggeris Tempatan Pilihan (Maria Farida & Jehan Miskin)
Sememangnya persaingan untuk kategori ini memang agak sengit. Semuanya nama-nama besar dalam industri album Inggeris tempatan. Setiap calon mempunyai keunikan masing-masing serta pengikut setia mereka. Secara jujur sesiapa sahaja yang memenangi kategori ini saya puas hati kerana calon-calonnya benar-benar mantap dan tidak perlu saya pertikaikan. Persaingan sengit tentunya dari Ruffedge, VE dan Too Phat. Kemungkinan yang undian untuk Ruffedge dan VE telah pecah dua juga boleh dijadikan alasan mengapa mereka gagal untuk kategori ini. Peminat-peminat mereka adalah dari golongan yang sama. Ruffedge VE sudah semacam satu brand name bukannya dua kumpulan yang berbeza. Reshmonu mungkin boleh berjaya memenangi hati juri profesional di AIM tetapi belum tentu dapat memikat juri peminat.

Pilihan SM : Too Phat
Keputusan : Too Phat

Kaulah Segalanya, Andainya Kau Mengerti dan Kisah Lalu oleh Hazrul, Vince dan Khai
Permulaan yang cemerlang dari Hazrul, penyanyi yang diterbangkan dari Singapura sekaligus memukul habis penyanyi-penyanyi dari Malaysia yang dilahirkan dari Akademi Fantasia iaitu Vince dan Khai. Pemilihan lagu yang tidak sesuai dengan kelangsungan vokal Vince telah merosakkan sedikit persembahan teknikal vokalnya. Nyanyiannya tidak kemas dan tidak sehebat Hazrul. Tentunya saya mengharapkan persembahan yang terbaik dan cemerlang dari Vince. Saya kagum dengan peningkatan mutu vokal yang dipersembahkan oleh Khai walaupun kedengaran agak mengah di penghujung lagu tersebut.

Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan (Dia Fadilla & Zamani)
Mana peminat-peminat KRU, Ruffedge & VE dan Too Phat & Yassin ? Saya langsung tidak mengharapkan Mirwana mampu menggugat kehebatan vokal kumpulan/duo yang saya sebutkan tadi. Semacam ada satu yang silap, apabila keputusan menyebut nama Mirwana muncul memenangi kategori tersebut. Kalau Nirvana saya kenallah. Tidak undi dan berasa selesa dengan kedudukan artis yang kita minat tentu menjadi penyebab mengapa wujudkan keputusan yang mengejutkan seperti ini. Ini belum cukup mengejutkan lagi. Ada lagi…

Pilihan SM : Ruffedge & VE
Keputusan : Mirwana

Suzila oleh Flop Poppy
Suzila oleh Flop Poppy juga merupakan sebuah persembahan yang biasa. Yang membuatkan persembahan ini menarik adalah penari latarnya yang datang dari pelbagai golongan dan peringkat umur.

Lagu Nasyid Pilihan (Yassin & Bienda)
Mengejut apabila mereka mampu memberikan saingan kepada kumpulan-kumpulan senior. Peminat-peminat Mirwana tentunya tergolong daripada golongan remaja serta penuntut universiti yang agak ramai berbanding dengan peminat Raihan dan Rabbani yang hanya meminati kumpulan tersebut tetapi tidak menghantar undian mereka. Lagu Hikmah Kembara menjadi pilihan kerana ia lebih kepada irama nasyid kontemporari yang diselitkan elemen-elemen moden. Ini secara tidak langsung berjaya minat golongan muda untuk memberikan undian mereka kepada kumpulan tersebut.

Pilihan SM : Allahu (Raihan)
Keputusan : Hikmah Kembara (Mirwana)

Kuda Hitam dan Raikan Malam Cinta oleh Juliza Adlizan dan Puteri AF2
Kalau anda fanatik Akademi Fantasia, anda tentunya mengharapkan persembahan ini lebih memfokus kepada puteri Akademi Fantasia. Saya fanatik Akademi Fantasia, tetapi saya mahu melihat bekas Juara Bintang RTM ini membuat comeback pada persembahannya. Lagu Kuda Hitam merupakan lagu yang dinyanyikan oleh beliau sewaktu pertandingan tersebut jika ada yang tidak mengetahuinya. Ia bermula dengan baik sebelum diiringi oleh puteri Akademi Fantasia. Juliza Adlizan mempunyai vokal yang hebat dan vibratonya memang unik dan dikatakan satu-satunya di Malaysia dan apabila diiringi dengan vokal puteri Akademi Fantasia yang pelbagai corak vokal mereka, maka nyanyian mereka kedengaran tiada keharmoniannya. Kedengaran tiada keseimbangan vokal dalam nyanyian mereka. Lagu yang menarik menjadi tidak menarik dalam gabungan tersebut. Lebih mencacatkan lagi persembahan tersebut apabila lagu Raikan Malam Cinta dimulakan. Ada juga puteri Akademi Fantasia yang dengan berani membetulkan pembesar suaranya untuk menjelaskan lagi suaranya. Beliau harus faham, bahawa sebagai penyanyi latar, tahap volume vokal telah pun ditetapkan dan kedudukan pembesar suara tidak perlu diubah lalu mencacatkan keseluruhan lagu apabila keseimbangan vokal mereka tidak sama.

Muzik Video Pilihan (Sazzy & Phyne Ballerz)
Lagi satu keputusan yang di luar jangkaan. Bukan kerana saya anti Liza Hanim atau pun apa. Tetapi sekadar menilai berdasarkan populariti semasa yang lebih memihak kepada Pulangkan, Seksis dan Dialah Di Hati. Seksis lebih wajar dinilai kerana kualiti muzik video itu sendiri walaupun Pulangkan dan Dialah Di Hati lebih banyak dinilai berdasarkan populariti penyanyinya. Lagipun anugerah ini ialah anugerah muzik video dan bukannya anugerah artis. Tiga tahun berturut-turut ia dimenangi oleh Siti Nurhaliza tetapi tidak tahun ini. Kemenangan Ku Teruskan benar-benar mengejutkan saya.

Pilihan SM : Seksis (Anita Sarawak)
Keputusan : Ku Teruskan (Liza Hanim)

Relaku Pujuk oleh Spider
Sebuah lagi persembahan yang biasa dari kumpulan Spider. Walaupun lagu ini popular di Carta ERA tetapi masih belum dapat memberikan tenaga kepada penonton untuk sama-sama merasai kehangatan malam Anugerah ERA tersebut. Mungkin juga penonton tidak ghairah dan beraksi cergas kerana lokasinya dibuat di Stadium Putra Bukit Jalil berbeza apabila dilakukan di puncak Genting Highland yang suasananya lebih sejuk dan penonton perlu beraksi cergas untuk memanaskan badan. Kemeriahan anugerah ERA kali memang dapat dilihat sejak berada di luar stadium. Fenomenanya tidak seperti Konsert Akhir Akademi Fantasia.

Pilihan Kaki Wayang ERA (Rosyam Noor & Liza Hanim)
Berita kemenangan Maya Karin untuk anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Berlari Ke Langit untuk Sinematografi Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik di Fukuoka menjadi penyeri kepada industri perfileman tempatan. Memang sukar untuk menilai selera penonton filem tanahair. Ada filem yang bagus tetapi tiada penonton macam filem Buai Laju Laju, ada filem yang tidak bagus tetapi mencapai tahap Box-Office. Mujur pendengar ERA berjaya menilai filem Pontianak Harum Sundal Malam untuk berada di tempatnya yang betul. Menerima trofi bagi pihak Pontianak Harum Sundal Malam ialah Kavita Kaur yang terpaksa melangkah kerana sedikit kerosakan teknikal pada hydraulic mover. Masalah yang sama sering berlaku pada pentas hidraulik Istana Budaya. Hydraulic mover tersebut hanya sekadar melambatkan perjalanan majlis, lebih-lebih lagi ia terlindung dengan model tjanting yang berdiri gagah melindungi pandangan.

Pilihan SM : Buli, Pontianak Harum Sundal Malam
Keputusan : Pontianak Harum Sundal Malam

Seloka Cak Kun Cak oleh Tan Sri SM Salim dan M.Nasir
M.Nasir banyak menyelamatkan persembahan ini dari menjadi begitu hambar. Dalam keadaan fizikal yang tidak mengizinkan, Tan Sri SM Salim masih mampu membuat persembahan walaupun mutu vokalnya tidak seperti yang kita dengar di dalam album. Memang jauh berbeza dan beliau hanya bersemangat pada bahagian korus. M.Nasir banyak membantu beliau mendapatkan melodi yang betul serta tempo yang sesuai untuk lagu tersebut.

Band Pilihan (Zul Yahaya & Puteri Felisa ERA)
Walaupun Sheila on 7 pilihan saya gagal tetapi saya akur kerana Spider sememangnya popular di negara sendiri. Lagu-lagu mereka berjaya memikat pendengar Malaysia. Sewajarnya kemenangan Spider tidak saya pertikaikan kerana Spider sememangnya layak untuk menang.

Pilihan SM : Sheila on 7
Keputusan : Spider

Dayang Sayang Kamu oleh Dayang Nurfaizah dan Adam AF2
Persembahan Dayang Nurfaizah juga antara persembahan yang terbaik pada malam itu. Walaupun lagu tersebut lagu baru tetapi saya suka dengan vokal Dayang yang agak jelas. Penampilan Dayang juga menarik. Lagu itu menjadi lebih menarik dengan kehadiran Adam pada bahagian rap. Ada perubahan dalam tarian Adam. Nampak lebih kemas dan lebih teratur. Beliau tahu apa yang penonton suka.

Vokal Lelaki Pilihan (Tiara Jacquelina & Ziana Zain)
Lawaknya ! Kemenangan Nassier Wahab tidak pernah saya ramalkan. Saya lebih rela sekiranya Vince atau Yusry menang anugerah ini kalau pun bukan Anuar Zain. Kemenangan ini memang mengejutkan. Siapa sangka artis era 80an mampu menggugat populariti Anuar Zain. Faktor penyebab utama kekalahan artis-artis yang lebih popular mungkin disebabkan oleh merasa selesa dengan kedudukan populariti artis tersebut. Lalu pendengar tidak mengundi artis pilihan mereka kerana menyangkakan akan lebih ramai peminat lain yang akan mengundi. Inilah yang turut berlaku pada Akademi Fantasia. Faktor yang akhirnya memakan diri sendiri.

Pilihan SM : Anuar Zain
Keputusan : Nassier Wahab

Mencari oleh Giegil dan Waheeda
Sebuah persembahan yang sederhana dari Waheeda dan Giegil. Tidak banyak pembaharuan yang dibawakan oleh mereka untuk lagu ini selain selendang panjang Waheeda. Irama global dan elemen rock ini sememangnya satu cabang muzik yang perlu diperluaskan lagi pengaruhnya kepada pendengar. Menggabungkan irama tradisional dengan irama moden merupakan satu langkah yang baik agar generasi baru dapat menghayati lagu-lagu tersebut serta dapat mendekatkan diri dengan irama sedemikian.

Anugerah Seni ERA (Aziz M.Osman)
Peranan besar Dato’ Ahmad Nawab dalam bidang muzik Malaysia sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Lagu Malaysia Truly Asia yang telah dialih bahasa kepada beberapa bahasa merupakan antara salah satu kejayaan beliau. Beliau telah melahirkan artis seperti Datuk Sharifah Aini, Ujie Rashid, Azlina Aziz, Hail Amir, Dhalan Zainuddin, Ramlah Ram, Siti Fairuz dan lain-lain lagi yang telah menyinari industri muzik tempatan mahu pun yang masih aktif dalam industri.

Party Like This oleh VE
Party Like This merupakan persembahan terbaik pada malam Anugerah ERA. Dengan seramai 29 orang di atas pentas, VE dan teamnya telah membawakan lagu Party Like This dengan hebat dan bertenaga. Elemen breakdance nyata dapat memberikan tenaga kepada feratik dan diselitkan juga segmen percussion oleh kumpulan brass band. Menampilkan kanak-kanak sebagai ketua persembahan sememangnya satu faktor yang berjaya memikat penonton. Sebuah persembahan yang hebat dari VE.

Lagu Global Pilihan (Accapan dan Sheila Rusly)
Dalam rata-rata menyebut album Tan Sri SM Salim akan menggondol anugerah ini, tetapi ia sebaliknya yang berlaku. Album Sawo Matang dari Noraniza Idris berjaya memboloskan dirinya buat pertama kali apabila memenangi kategori ini. Sewajarnya beliau diiktiraf setelah sekian lama memartabatkan irama tradisional secara serius tanpa mengenal penat-lelah. Ini merupakan anugerah pertama apabila Siti Nurhaliza terpaksa akur dengan kehebatan Noraniza Idris setelah tiga tahun memonopoli kategori tersebut.

Pilihan SM : Seloka Cak Kun Cak (Tan Sri SM Salim & M.Nasir)
Keputusan : Hatinya Tak Tahan (Noraniza Idris)

Sakinah dan Semangat Yang Hilang oleh XPDC
Kenapa banyak persembahan rock tahun ini ? Asyik-asyik rock sejak awal. Saya agak bosan dengan persembahan ini walaupun lagu Semangat Yang Hilang agak sedap. Saya sudah mula bosan dengan persembahan rock yang saling bertukar ganti.

Lagu Rock Pilihan (Zed Zaidi & Ifa Raziah)
Tidak sukar untuk membuat ramalan untuk kategori ini. Selain Sheila on 7, hanya Spider yang bakal menggondol anugerah tersebut. Populariti lagu Relaku Pujuk sememangnya sukar dinafikan. Melompat Lebih Tinggi bukannya tidak bagus tetapi lagu Berhenti Berharap lebih mempunyai peluang yang cerah untuk menafikan populariti Relaku Pujuk sekiranya lagu tersebut tercalon. Kemenangan Spider tidaklah mengejutkan.

Pilihan SM : Melompat Lebih Tinggi (Sheila on 7)
Keputusan : Relaku Pujuk (Spider)

Medley Milikku, Jangan Kau Mimpi oleh Zahid & Sarah
Sebuah persembahan yang hebat oleh bintang Akademi Fantasia, Zahid dan Sarah Raisuddin. Lagu Jangan Kau Mimpi untuk Zahid dan lagu Milikku untuk Sarah. Walaupun persembahan ini sebuah persembahan medley tetapi tidak seperti yang diharapkan. Nampak tiada keserasian sesama mereka. Tiada eye-contact antara mereka. Ini berbeza dengan persembahan Misha Omar dan VE pada tahun lepas yang nyata hebat dari segi chemistry. Karisma Zahid sebagai penghibur nyata berjaya menarik minat penonton lebih-lebih lagi demam Akademi Fantasia masih lagi terasa. Kehebatan vokal Sarah juga nyata hebat dan dapat menyeimbangkan jurang antara mereka.

Anugerah Carta ERA (Aznil Hj Nawawi)
Seperti yang telah saya jangkakan, Dambaan Pilu oleh Khai akan pasti menggondol anugerah ini. Lagu ini terlalu besar pengaruhnya kepada penonton Akademi Fantasia. Khai yang menerima anugerah tersebut turut mengucapkan terima kasih beliau kepada tenaga pengajar di Akademi Fantasia, Maestro dan Abang Badrul.

Artis Harapan Pilihan (Ezlynn & Pretty Ugly)
Kesan populariti Dambaan Pilu, ramai yang menyangkakan yang Khai akan sekali naik ke pentas untuk menerima anugerah tersebut. Vince akhirnya dinobatkan sebagai pemenangnya. Sudah hampir pasti bahawa salah seorang dari bintang Akademi Fantasia yang akan memenangi kategori tersebut. Tahniah Vince !

Pilihan SM : Adi Fashla
Keputusan : Vince

Vokal Wanita Pilihan (Saiful Apek & Bob KU2)
Ini merupakan anugerah kedua bila mana Siti Nurhaliza gagal mempertahankan monopolinya sebelum ini. Persaingan sememangnya agak sengit. Lebih-lebih lagi dalam keadaan kemelut email layang yang semakin bertambah parah, maka populariti Siti Nurhaliza sama ada semakin naik atau pun semakin turun. Misha Omar muncul tepat pada masanya untuk menggondol anugerah tersebut. Tindakan Siti Nurhaliza untuk tidak hadir pada malam anugerah tersebut seakan-akan sudah menjangkakan yang beliau tidak akan menang pada malam itu.

Pilihan SM : Siti Nurhaliza
Keputusan : Misha Omar

Finale oleh Anuar Zain, Ning Baizura, Misha Omar & Glenn
Ini merupakan persembahan kedua bila mana artis luar memukul habis artis Malaysia. Nyanyian Anuar Zain untuk lagu Segalanya Untukmu, Ning Baizura untuk lagu Bebaskanlah, Misha Omar dengan lagu Dedebu Cinta masih tidak dapat menandingi kehebatan Glenn dengan lagu Januari. Dengan persembahan yang bersahaja, Glenn berjaya memikat hati penonton untuk turut sama menyanyikan lagu Januari.

Post Award Party
Saya lebih gemar untuk bersantai bersama Javard dan diperkenalkan kepada VE. Pandangan pertama saya tentang artis ini selalunya negatif kerana kehidupan sosial mereka nampak begitu bebas. Apabila bertemu dengan VE yang nampak begitu hormatkan orang tua nyata pandangan itu boleh berubah. Cara mereka bertutur jelas berbeza. Tidak nampak macam hoohaa sangat. Semasa sedang bersantai bersama Badrul, saya dapat bertemu dengan Khairil ERA. Saya sering berutus email dengan beliau sejak tahun lepas kerana Akademi Fantasia. Beliau banyak mendapatkan informasi tentang Akademi Fantasia melalui blog saya sendiri. Kata beliau abang ipar beliau iaitu Najmi yang memberitahu tentang kewujudan blog ini kepadanya. Saya sendiri tidak perasan Najmi yang mana satu kerana banyak komen yang saya terima dan tentu sukar untuk saya mengenali semua pembaca saya. Khairil nampak dashing dengan jubah ala Matrix berwarna oren itu.

Anuar Zain walaupun gagal memenangi sebarang anugerah tetap melayan karenah peminat-peminatnya yang ingin bergambar dengannya. Dengan pakaian serba putih, beliau nampak smart. Susuk tubuhnya tidaklah besar mana. Lebih kurang sahaja.

Saya amat kagum dengan Vince yang masih mengingati nama saya. Walaupun ini merupakan kali kedua saya bertemu dengan beliau. Vince boleh saya katakan seorang yang tidak sombong dan lebih rendah diri. Saya turut berpeluang untuk memegang Anugerah Artis Harapan Pilihan yang dimenangi oleh beliau. Berat ! Sambil membuat lawak, saya menyerahkan anugerah itu kepada Adi. :)

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger