Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 01 September 2004

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Taman KLCC

Ini kali pertama saya ke Konsert Reunion Akademi Fantasia. Kali pertama ia diadakan dengan tema Terima Kasih Malaysia, saya tidur di rumah. Masa itu saya tidak kenal sesiapa. Pelik pula nanti apabila berada di tengah-tengah orang ramai sambil mencatat catatan di buku nota. Malam tersebut saya tonton Multimedia Super Cintun di ntv7.

Konsert Reunion kali ini bertemakan Hanya Untukmu. Kali ini lebih santai. Saya mendapat pass media dari ASTRO. Terima kasih kepada yang berkenaan. Saya bebas keluar masuk dan mengambil apa sahaja gambar dari sudut-sudut yang menarik kecuali melintas di hadapan Tenaga Pengajar. Itu pesan mereka.

Pembukaan oleh Aznil pada malam itu tentunya mengejutkan ramai pihak. Tenaga Pengajar diperkenalkan sebagai Bintang Akademi Fantasia. Setiap seorang daripada mereka melakukan impersonafikasi terhadap Bintang Akademi Fantasia yang sebenar. Cikgu Ramli MS meniru mesra Bob. Cikgu Adnan meniru gaya Zahid. Cikgu Fauziah Nawi dengan Vote for Ummi. Cikgu Corrie Lee dengan gaya entah siapa. Cikgu Linda Jasmine meniru okke Linda, Dr. Sher Kawi meniru gaya rap Adam dan Cikgu Siti Hajar dengan breep breep Farah. Puan Mahani dengan gaya Mas dari Tawau Sabah. Kak Shina mengajuk Pulangkan Zarina dan Encik Julian meniru gaya Anding.

Sistem audio yang ada di Taman KLCC memang berada di tahap yang terbaik. Berada di tengah-tengah pembesar suara serta kiri-kanan pembesar-pembesar suara tentunya mampu membuatkan vokal pelajar menjadi amat sedap. Aura dan tenaga dari pelajar terserap kepada saya dan amat memuaskan hati saya sebagai penonton. Tidak ada catat celanya sistem audio pada malam tersebut. Itulah nikmat apabila menjadi penonton. Namun demikian, banyak masa saya dihabiskan dengan merakamkan gambar-gambar dari sudut-sudut yang menarik. Untuk mendapatkan rakaman yang menarik perlu bergerak dan saya sedikit sebanyak mengabaikan catatan ulasan nyanyian pelajar. Lagipun ini Konsert Reunion, yang perlu saya nilaikan ialah keseronokan bintang serta penonton yang menyaksikan persembahan malam itu.

Untuk Konsert Reunion saya melakukan sedikit perubahan. Saya nilai tahap persembahan yang telah memberikan saya kepuasan dan tenaga yang cemerlang. Saya mengabaikan nilai vokal tetapi memberikan bonus kepada bintang yang telah memberikan persembahan vokal yang cemerlang. Ada peluang untuk bintang yang telah menyebabkan mata saya tidak beralih ke tempat lain untuk menduduki tempat teratas walaupun persembahan vokalnya biasa sahaja.

Kejutan-kejutan yang dipaparkan di skrin besar pada malam tersebut wajar ditonton oleh anda dan tidak akan saya ceritakan di sini. Lebih seronok sekiranya disaksikan sendiri.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Zahid – La Obe oleh Kassim Selamat 8/10
Zahid memberikan sebuah persembahan pembukaan yang penuh bertenaga. Beliau ligat di pentas serta banyak dibantu oleh rakan-rakannya yang lain. Setiap bintang yang lain tahu apa yang perlu dilakukan di atas pentas. Walaupun ramai berada di pentas, pergerakan mereka masih terkawal. Saya suka dengan persembahan ini kerana dapat melihat penampilan setiap bintang, satu-satu.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Edlin – Hero oleh Mariah Carey 7/10
Satu sebab mengapa saya suka persembahan ini ialah kerana lagunya sukar yang dinyanyikan oleh Mariah Carey. Edlin berjaya membuktikan kepada saya yang beliau berbakat besar untuk membawakan lagu-lagu killer yang sukar dan tidak ramai yang berani menyanyikannya. Persembahan beliau menjadi lebih baik apabila mutu vokal yang disampaikan sesuai dengan lagu tersebut. Beliau bijak mengawal vokal beliau walaupun showmanship beliau masih kelihatan agak kaku.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Fitri - Dendangan Lagumu oleh Carefree 6/10
Salah satu sebab mengapa saya tidak mengendahkan sangat persembahan Fitri ialah kerana lagu yang dibawakan olehnya lebih kurang sama dengan Bayangan Tarimu juga oleh Carefree. Saya mahu melihat satu kelainan yang mampu dibawakan oleh beliau. Kelainan yang mampu dibawakan oleh beliau membawa maksud satu kelainan yang setaraf dengan kemampuannya bukan sekadar melakukan sesuatu yang di luar kemampuannya. Tarian Fitri masih lebih kurang sama walaupun ada sedikit peningkatan dari segi vokal. Kelebihan Fitri beliau bijak untuk menguasai pentas, beliau sedikit pun tidak kelihatan kekok di pentas.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Nurul – Ku Milikmu oleh Siti Nurhaliza 7/10
Nurul tidak sihat malam itu. Nyata persembahan vokal tidak seperti yang saya harapkan. Saya menonton persembahan beliau sehingga tamat untuk melihat sejauh mana beliau boleh pergi dengan fizikal yang tidak sihat. Jelas kelihatan stamina beliau agak goyah di pentas tetapi beliau tetap menampilkan showmanship yang agak berani. Tidak banyak yang boleh Nurul persembahkan kepada khalayak dalam keadaan tidak sihat. Nyata saya terpukau dengan persembahannya bersama penari latar.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Bob - Ghazal Untuk Rabiah featuring Hattan 8/10
Lagu ini pada asalnya dinyanyikan oleh M.Nasir dan Jamal Abdillah. Tetapi malam itu Bob menyanyikannya secara solo sebelum dikejutkan dengan kehadiran Hattan. Saya hanya mahu mendengar kelunakan dan kelantangan vokal Bob untuk lagu tersebut. Pada beberapa bahagian kedengaran agak sumbang. Nyata vokal Bob merupakan aset penting untuknya.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Mas – Senggol Senggolan oleh Mas Idayu 9/10
Antara persembahan yang terhebat malam tersebut. Keyakinan beliau amat terserlah. Beliau menghargai peminat-peminatnya. Tanpa memperdulikan apa yang orang kata, beliau terus bergelek tanpa menghiraukan keadaan yang lain. Pentas itu beliau yang punya. Ke kiri dan ke kanan beliau bebas bergelek. Saya suka dengan ketabahan beliau. Mas seorang yang hebat showmanshipnya walaupun mutu vokal beliau masih banyak kekurangan. Sebuah persembahan yang menghiburkan.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Kaer - Dinda Di Mana oleh Katon Bagaskara 7/10
Lagu yang dibawakan oleh Kaer tidak kuat kesannya kepada penonton. Lagu Dinda Di Mana adalah sebuah lagu yang agak lama iaitu sekitar 1995/96. Kesannya kepada penonton tidak hebat. Vokal Kaer juga tidak banyak dipelbagaikan dengan teknik-teknik untuk mengindahkan lagi sebuah lagu yang agak lama. Namun demikian, Kaer mengusai pentas dengan bagus untuk menghargai peminatnya di setiap penjuru.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Linda - Hati Lebur Jadi Debu oleh Hetty Koes Endang 6/10
Kelemahan utama Linda ialah beliau cepat goyah dengan cabaran. Memang sukar untuk berhadapan dengan kenyataan yang pahit tetapi itulah yang perlu beliau tempuhi sepanjang masa. Kesilapan beliau memulakan lagunya banyak berpunca dari ketidakstabilan emosi beliau yang banyak terganggu oleh gangguan penonton. Bintang Akademi Fantasia dilahirkan bersama-sama semangat kerjasama dan tolak-ansur yang telah dipupuk sejak hari pertama di Akademi Fantasia. Ingat itu !

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Adam - Babe oleh KRU 6/10
Apabila mengetahui Adam membawakan lagu KRU, saya sudah boleh menjangkakan gaya persembahannya. Tidak banyak pembaharuan yang dibawakan oleh Adam kecuali mutu vokal yang masih samar-samar identitinya. Saya mahu melihat Adam dan bukannya KRU. Jangan disempitkan lagi peluang Adam.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Farah - Menghitung Hari oleh Kris Dayanti 9/10
Sebuah lagu wajib di pusat karaoke dibawakan oleh Farah. Sebuah lagu mudah yang penonton biasa dengar. Saya suka dengan lagu tersebut dan ingin melihat pembaharuan yang dibawakan oleh Farah. Nyata tidak banyak perubahan kecuali untuk mendengar kehebatan vokal Farah. Farah kelihatan amat selesa dan relaks membawakan lagu tersebut.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Anding – Yeah oleh Usher 9/10
Persembahan Anding ialah antara persembahan terbaik malam itu. Saya suka dengan penampilan Anding di pentas. Koreografi Anding mengkagumkan. Cemerlang. Pergerakan dan penguasaan pentasnya hebat. Anding ada karisma sebagai seorang penghibur yang serba-boleh. Anding tahu pergerakan mana yang penonton suka tonton. Bijak. Anding perlu memperbaiki mutu vokalnya.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Zarina - Bahtera Merdeka featuring Cikgu Siti Hajar 8/10
Bahtera Merdeka merupakan antara lagu yang hebat malam itu. Sebuah lagu yang kena dengan suasana malam tersebut. Hari Kemerdekaan. Tidak banyak keindahan pada lagu tersebut yang ditonjolkan oleh Zarina. Kejutan malam itu tentunya kemunculan Cikgu Siti Hajar menyanyi bersama-sama dengan Zarina. Jarang benar dapat mendengar Cikgu Siti Hajar menyanyi sebuah lagu di dalam Akademi.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Adam dan Linda - Bintang Kehidupan oleh Yanti dan Ronnie 6/10
Sebuah lagu yang sedap tetapi malangnya gagal disempurnakan dengan baik oleh Adam dan Linda. Semacam tidak kuat karisma mereka untuk saya terus tonton persembahan mereka.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Bob dan Farah - Senja Nan Merah oleh Awie dan Ziana Zain 9/10
Dua-dua bintang mempunyai mutu vokal yang hebat. Itu kekuatan utama persembahan lagu ini. Mereka bertanding mutu vokal. Lagu ini sukar tentunya saya mahu mendengar kehebatan vokal mereka. Sayangnya Bob beberapa kali terlupa lirik sehingga Farah terpaksa menutup kesilapan yang bukan dilakukan olehnya. Sedikit kecewa saya dibuatnya.

Konsert Reunion Akademi Fantasia II
Zahid dan Ruffedge – Milikku 9/10
Nyata kehadiran Ruffedge banyak membantu persembahan Zahid. Saya suka dengan penguasaan pentas Zahid yang ligat. Showmanship Zahid cemerlang. Persembahan vokal Zahid juga banyak menaikkan lagi semangat untuk menikmati persembahannya. Lagu ini akan terus menjadi milik Zahid dan terus kekal sinonim bersama nama Zahid. Sebuah persembahan yang amat bertenaga yang telah memberikan impak besar kepada penonton.

Bintang Akademi Fantasia II - Menuju Puncak 7/10
Agaknya versi lagu tema Menuju Puncak yang ini merupakan versi Konsert Reunion. Lebih kurang serupa dengan yang Konsert Reunion Akademi Fantasia I. Tidak banyak bezanya. Saya tertarik dengan jaket yang mereka pakai. Ada dijualkah agaknya ?

Penutup oleh Aznil Hj Nawawi - Salam Terakhir oleh Allahyarham Sudirman
Sebelum menamatkan Konsert Reunion malam itu, bintang Akademi Fantasia dengan secara rasminya membuka ujibakat untuk Akademi Fantasia III secara rasminya. Aznil terpilih sebagai peserta bernombor 0001 KUALA LUMPUR. Aznil membawakan lagu Salam Terakhir dengan penuh perasaan sehingga menitiskan airmata. Salam Terakhir dari terus menduduki kerusi Pengacara atau pun apa. Pengumuman Aznil di penghujung konsert seakan-akan mengiakan yang ada Akademi Fantasia III.

Saya pulang dengan rasa puas dan keletihan. Sebuah persembahan yang menarik tetapi belum dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton. Pemilihan lagu yang tidak kuat untuk membuatkan penonton terus teringat kepada bintang Akademi Fantasia. Tugas yang maha berat menanti untuk produksi Akademi Fantasia III. Perlu dikorek idea-idea baru untuk diadun dalam sebuah produksi terbaru, Akademi Fantasia III.

Ranking Persembahan
Zahid dan Ruffedge – Milikku 9.7/10
Bob dan Farah - Senja Nan Merah oleh Awie dan Ziana Zain 9.5/10
Farah - Menghitung Hari oleh Kris Dayanti 9.4/10
Zarina - Bahtera Merdeka featuring Cikgu Siti Hajar 9.3/10
Bob - Ghazal Untuk Rabiah featuring Hattan 8.7/10
Kaer - Dinda Di Mana oleh Katon Bagaskara 8.6/10
Zahid – La Obe oleh Kassim Selamat 8.5/10
Anding – Yeah oleh Usher 8.3/10
Adam dan Linda - Bintang Kehidupan oleh Yanti dan Ronnie 7.9/10
Bintang Akademi Fantasia II - Menuju Puncak 7.6/10
Mas – Senggol Senggolan oleh Mas Idayu 7.4/10
Linda - Hati Lebur Jadi Debu oleh Hetty Koes Endang 7.3/10
Edlin – Hero oleh Mariah Carey 7.2/10
Adam - Babe oleh KRU 7/10
Fitri - Dendangan Lagumu oleh Carefree 6.6/10
Nurul – Ku Milikmu oleh Siti Nurhaliza 6.5/10

Ranking Kepuasan Menonton
Zahid dan Ruffedge – Milikku 9/10
Anding – Yeah oleh Usher 9/10
Mas – Senggol Senggolan oleh Mas Idayu 9/10
Bob dan Farah - Senja Nan Merah oleh Awie dan Ziana Zain 9/10
Farah - Menghitung Hari oleh Kris Dayanti 9/10
Zahid – La Obe oleh Kassim Selamat 8/10
Zarina - Bahtera Merdeka featuring Cikgu Siti Hajar 8/10
Bob - Ghazal Untuk Rabiah featuring Hattan 8/10
Kaer - Dinda Di Mana oleh Katon Bagaskara 7/10
Edlin – Hero oleh Mariah Carey 7/10
Bintang Akademi Fantasia II - Menuju Puncak 7/10
Nurul – Ku Milikmu oleh Siti Nurhaliza 7/10
Fitri - Dendangan Lagumu oleh Carefree 6/10
Linda - Hati Lebur Jadi Debu oleh Hetty Koes Endang 6/10
Adam dan Linda - Bintang Kehidupan oleh Yanti dan Ronnie 6/10
Adam - Babe oleh KRU 6/10

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger